TIMBALAN Yang Dipertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim mengekalkan jawatan dalam pertandingan satu lawan satu pada mesyuarat agung PAS kawasan itu yang diadakan di Kompleks Tarbiyah Luqmanul Hakim Kampung Guntong Luar, hari ini.

Mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Adun Melor, Kelantan, Dr Yusnan Yusuf juga mengisytiharkan penyandang jawatan Yang Dipertua PAS Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menang tanpa bertanding. Turut menang tanpa bertanding ialah Mohd Nazari Alias bagi jawatan Naib Yang Dipertua dan Ustaz Mohd Pauzi Muda yang mengisi jawatan Ketua Urusan Ulamak.

Mesyuarat yang dihadiri 420 orang perwakilan turut memilih seramai 16 orang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Setiu bagi sesi 2017/2019 daripada 25 orang calon yang  bertanding.

Dr AzmanDr Azman yang ditemui selepas mesyuarat agung tersebut menyifatkan pertandingan itu hanyalah pertandingan 'adik-beradik' dalam rangka hendak berlumba-lumba berbuat kebaikan.

"Selepas selesai pertandingan, marilah bersama kita rapatkan saf bagi menggalas satu tugasan penting melakukan persiapan menghadapi PRU14.

"Kabinet ini adalah 'Kabinet Perang Pilihan raya' bukannya kabinet untuk bersantai dan berbulan madu. Kita sudah berada dalam fasa pecutan terakhir menghampiri garis PRU14," tambahnya. - HARAKAHDAILY 18/3/2017                      

PERSATUAN Bekas Pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu atau lebih dikenali dengan Alumni Maahad Muhammadi (AMM) sedang dalam usaha membaik pulih sebuah bangunan yang berada di Maahad Muhammadi Lelaki untuk dijadikan sebagai sebuah kompleks pentadbiran dan sukan Alumni.

alumskuasy 1Bangunan itu asalnya adalah sebuah kilang ukiran kayu, dibeli oleh AMM melalui sumbangan dan kutipan derma termasuk melalui majlis makan malam yang dianjur oleh pihak AMM.

Demikian menurut Yang Dipertua AMM, Dr Nazmi Ghazali Azmi sewaktu menyeru sumbangan bagi membiayai projek tersebut.

"Bahagian bangunan dua tingkat akan menempatkan Pejabat Alumni dan Pejabat Koperasi Alumni. Bersambungan dengan pejabat berkenaan, kami mengusahakan sebuah gelanggang ping-pong dan pusat sukan squash sebagai sumbangan kepada pembangunan sukan yang jarang disertai oleh pelajar aliran agama. Sebuah binaan berasingan sebagai gelanggang futsal akan turut dibina bersebelahan bangunan ini".

"Kami ingin memecah tradisi sebagai sebuah pertubuhan alumni yang mampu mengeluarkan pemain squash daripada kalangan pelajar beraliran berkenaan," katanya.

Dengan terbinanya Gelanggang squasy ini, ia akan menjadi yang pertama bagi sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan dan yang kedua seumpamanya di Kota Bharu selepas gelanggang squasy di Kompleks Sekolah-Sekolah di Wakaf Mek Zainab.

Menurut Nazmi lagi setakat ini pihak AMM menerima serba sedikit sumbangan terutama daripada alumni dalam bentuk material seperti sumbangan cat, bahan binaan dan sebagainya selain daripada sumbangan dalam bentuk wang tunai.

Bagi menyempurnakan projek kebajikan AMM untuk sekolah Maahad Muhammadi, beberapa elemen binaan masih memerlukan sejumlah kos termasuk tempat letak motosikal berbumbung untuk para pelajar yang juga akan dibina oleh AMM. Sumbangan untuk projek pembangunan ini boleh disalurkan ke dalam akaun Tabung Pembangunan Abdul Rahman al-Makki.

Dalam perkembangan lain, Nazmi memaklumkan bahawa mesyuarat agung tahunan AMM akan berlangsung pada 18 Mac ini di Dewan Muhammadi, Maahad Muhammadi Lelaki dekat sini.

"Saya mengharapkan ribuan bekas pelajar Maahad samada Maahad Muhammadi Lelaki mahu pun Maahad Muhammadi Perempuan agar dapat hadir bersama bagi memberi apa-apa sumbangan terutama dalam bentuk pandangan dan idea.

"Kita maklum bahawa di luar sana terlalu ramai lepasan Maahad Muhammadi dalam pelbagai bidang agama dan profesional yang boleh pulang membalas jasa sekolah bertepatan dengan tema AMM, Kembali Berbudi," ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2017

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran Sungai Keluang dan Sungai Nipah dekat Bayan Lepas yang serius berlaku ketika ini.

Kejadian yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan sahaja menyebabkan air kedua-dua sungai berkenaan menjadi hitam pekat dan berlumpur tetapi juga kelihatan kotor serta jijik di samping menimbulkan bau busuk yang meloyakan.

Masalah ini berlaku berpunca dari pembuangan sisa dari kilang industri, kediaman penduduk, premis perniagaan, bengkel, najis binatang dan najis manusia. Berikutan itu kedua-dua sungai tersebut mati di bahagian hilir tanpa terdapat apa-apa spesies hidupan di dalamnya.

Tinjauan CAP mendapati air sungai berkenaan berminyak serta berlumpur dan di permukaannya dipenuhi sampah sarap serta berbagai bahan buangan yang mendap di dalamnya. CAP terperanjat kerana terdapat penduduk yang tinggal di kawasan jeti nelayan Sungai Keluang membina tandas dan membuang najis ke dalam sungai tersebut.

CAP percaya dan bimbang jika keadaan ini dibiarkan ancaman pencemaran ke atas sungai-sungai tersebut akan berlaku dengan lebih buruk lagi pada masa depan dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai dan mengancam hidupan marin di laut berhampiran.

CAP juga menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Kesihatan menjalankan siasatan dan membuat pemantauan yang kerap bagi memastikan pengusaha kilang industri mematuhi peraturan-peraturan yang termaktub di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, manakala orang awam pula tidak membuang sisa kotoran dan najis ke dalam sungai dengan sewenang-wenangnya.

CAP kesal dengan kejadian ini dan berharap kerajaan Pulau Pinang, PBT, jabatan serta agensi yang terlibat memainkan peranan lebih berkesan termasuk menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada dengan tegas supaya sungai-sungai di negeri ini selamat dari sebarang bentuk pencemaran di masa akan datang.

SM MOHAMED IDRIS
Presiden CAP

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan segera menghentikan projek tambak laut berhampiran Kampung Tepi Laut dekat Kuala Kedah kerana ia tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta memusnahkan hutan paya laut dan mengancam sumber pendapatan nelayan pantai di kawasan itu.

SAM kesal dengan kerajaan Kedah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini kerana membenarkan kegiatan tersebut dilakukan sejak beberapa bulan yang lalu walaupun belum mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).  Laporan EIA ini sedang dipamer untuk ulasan awam dari 5 Mac hingga 25 Mac 2017.

Tinjauan SAM mendapati lebih kurang 1 km laut di sini telah ditambak oleh pihak pemaju projek pembangunan berkenaan dan hampir 10 hektar hutan paya laut di persisiran pantai telah musnah di samping mengancam hidupan laut dan sumber pendapatan 500 keluarga nelayan tempatan yang mencari rezeki di kawasan tersebut.

Nelayan pantai dan nelayan tradisi di Kampung Tepi Laut dan Kampung Tengku Laksamana Tepi Laut Sejak projek tambak laut ini mengadu bahawa sejak projek tambak laut ini bermula hasil tangkapan mereka telah berkurangan antara 20 hingga 30% sehari kerana sumber tangkapan utama seperti ikan, udang, ketam, siput, kerang dan lala semakin berkurangan dan hampir pupus.

Sebelum ini nelayan terbabit boleh memperolehi pendapatan mencecah RM100 sehari tetapi sekarang hanya mendapat antara RM40 hingga RM80 sahaja sehari.

Keadaan ini akan menjadi lebih serius jika projek tambak laut di kawasan tersebut diteruskan dan hutan paya laut di tempat itu musnah. SAM kesal walau pun awalnya penduduk-penduduk kampung terutama nelayan di sini membantah rancangan projek penambakan laut di kawasan tersebut tetapi ia tidak dihiraukan dan diteruskan juga oleh pihak kerajaan negeri ini.

Selain sumber perikanan di perairan Kuala Kedah diancam kepupusan dan mata pencarian nelayan teruk terjejas, kesan ke atas alam sekitar akan menjadi lebih buruk apabila hutan paya laut yang menjadi tempat pembiakan hidupan laut turut mengalami kemusnahan dan Zon A kawasan tangkapan nelayan pantai diancam pencemaran sisa lumpur akibat dari aktiviti penambakan laut di sini.  

Justeru, SAM meminta Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan Kedah menghentikan projek pembangunan di kawasan tersebut kerana projek itu kini ternyata melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2012) dan memberi kesan buruk ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan.

Penulis ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia.

DOKTOR telah melepaskan ‘mesin pernafasan’ dan terdapat perkembangan positif kepada aktivis Cikgu Mohamad Fauzi Abu Samah, yang kini masih di rawat di hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Rosalina Ghani, 47, berkata, suaminya telah memberikan sedikit tindak balas walaupun masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Perkembangan terkini Cikgu Fauzi, petang ni pada pukul 5 tadi, doktor sudah bukakan meesin pernafasan jadi dalam pemantauan itu, Alhamdulillah.

“Dia boleh bernafas dia telah boleh bernafas di antara 96-98 peratus tanpa menggunakan bantuan mesin dari segi respons, ada sekali-sekala bila (kita) bercakap dia ada maklum balas,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Katanya, antara tindak balas Cikgu Fauzi matanya sesekali bergerak-gerak dan mengalirkan air mata.

Namun kata beliau, belum ada pergerakan sama ada pada tangan atau kakinya.

Rosalina yang juga seorang pendidik berkata, beliau terus ‘bermukim’ di hospital sejak suaminya itu dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital itu pada 17 Februari lalu.

“Ya, duduk sini tapi ada sewa bilik yang hospital sewakan. Biasanya duduk sini (dalam wad) hanya balik sejam atau dua jam sehari,” katanya sambil mengesat air jernih yang mengalir pada anak matanya.

Walaupun ‘berat mata’ para pelawat yang datang dan melawat serta memandang keadaan Cikgu Fauzi, namun Rosalina tabah dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah.

“Sebenarnya banyak bergantung dengan Allah, tak rasa terbeban pun, tak rasa susah, tak rasa cemas, tak ada.

"Sebab kita pegang apa yang Allah aturkan itu adalah yang terbaik untuk kita, itu jelah,” jelasnya ketika dikunjungi oleh Dewan Pemuda PAS Seberang Takir, semalam.

Sehubungan itu, naib ketuanya Ustaz Mohd Rozi Sakiman berkata wajah Cikgu Fauzi begitu tenang seperti orang yang sedang tidur.

“Kami melihat dari raut wajah kekanda Cikgu Fauzi begitu tenang seperti tidur sedangkan beliau masih koma,” katanya

Justeru, beliau menyampaikan salam sahabat-sahabat kepada Rosalina dan mendoakan agar Cikgu Fauzi diberikan kesembuhan serta dapat kembali aktif bersama saf perjuangan.

EKORAN daripada aduan daripada PAS Kawasan Putatan kepada pihak berwajib, Padang Awam Putatan yang tidak dijaga dan diselenggara dengan baik dapat diatasi. Keadaan padang berubah selepas pihak berwajib mendengar aduan daripada jawankuasa bertindak PAS Putatan.

Sebelum ini, keadaan padang sangat tidak kondusif kepada pengguna sejak sekian lama iaitu rumput terlalu panjang manakala sebahagian besar kawasan padang pula tidak berumput, apabila musim hujan, padang akan menjadi becak dan berlopak, khususnya tempat orang awam bermain bola sepak.

Kebersihan di kawasan grandstand dan tepi padang juga tidak terurus. sampah-sampah seperti botol-botol minuman, bungkusan makanan dan puntung rokok bersepah mengotorkan kawasan tersebut.

Yang Dipertua PAS Kawasan Putatan, Hamid Ismail ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada pihak berwajib yang telah mengambil tindakan segera atas aduan yang telah dibuat oleh pihak Jawatankuasa Bertindak PAS Kawasan Putatan. Beliau juga mengharapkan kerjasama daripada masyarakat supaya cakna dan prihatin dan terus memberi maklumat jika terdapat sebarang masalah yang dihadapi.

PAS Kawasan Putatan sentiasa bersedia memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat untuk menikmati kehidupan yang sejahtera. – HARAKAHDAILY 14/3/2017

JABATAN Amal Malaysia (JAM) Negeri Sabah kawasan Putatan telah menganjurkan program Jambori Amal Putatan yang bertempat di Pantai Meruntum, Putatan. Program selama dua hari satu mala mini bermula pada hari Sabtu bersamaan dengan 11 Mac 2017 dan berakhir pada 12 Mac 2017.

Jambori atau perkhemahan ini diadakan adalah bertujuan untuk melatih dan mempersiapkan anggota JAM yang lebih dikenali sebagai Unit Amal dengan kemahiran-kemahiran asas  khusus yang perlu dikuasai oleh setiap Unit Amal ketika berkhidmat atau bertugas serta memperkenalkan  JAM kepada masyarakat setempat melalui kegiatan khidmat sosial.

Seramai 30 orang peserta telah menyertai jambori ini. Mereka adalah terdiri daripada golongan remaja yang berusia lingkungan 13 hingga 25 tahun, bukan sahaja daripada Putatan, tetapi juga disertai oleh peserta dari kawasan sekitar seperti Papar, Penampang dan Sepanggar, serta turut disertai oleh seorang peserta berumur 10 tahun yang sangat berminat dengan aktiviti luar seperti ini.

Para peserta sangat berpuas hati dan seronok dengan pelbagai aktiviti yang telah diaturkan oleh pihak penganjur. Antara aktiviti yang telah diadakan, sesuai dengan objektif program untuk menerapkan kemahiran Unit Amal adalah seperti latihan pertolongan cemas dan menyelamat, ikatan dan simpulan, asas kawalan lalu-lintas, latihan kawad statik, upacara pemeriksaan pasukan kawad dan penerimaan anugerah, kemahiran menyediakan masakan dalam hutan serta tidak ketinggalan program kerohanian seperti solat berjamaah, zikir munajat dan tazkirah.

Dalam tazkirah maghrib yang disampaikan oleh Ketua Urusan Ulama PAS kawasan Putatan, ditekankan bahawa adalah perlu bagi setiap Unit Amal supaya sentiasa menjadikan sifat ikhlas sebagai pegangan, sesuai dengan motto JAM, iaitu ‘Beramal Kerana Allah’. Oleh sebab itu, setiap Unit Amal perlu ikhlas dalam menjalankan tugas di lapangan masyarakat, tanpa mengharapkan sebarang upah atau balasan.

Pada hari terakhir program, semua peserta jambori bergerak dari tapak perkhemahan menuju ke Masjid Kampung Meruntum untuk melaksanakan khidmat sosial bersama-sama masyarakat setempat, bergotong-royong membersihkan kawasan masjid. Selesai gotong-royong di masjid, para peserta kembali ke tapak perkhemahan untuk melaksanakan majlis perasmian penutup.

Dalam majlis perasmian penutup pada jam 11.00 pagi itu, para peserta jambori telah siap sedia berkumpul dalam kedudukan kawad untuk diperiksa. Majlis perasmian penutup Jambori Amal Kawasan Putatan telah disempurnakan oleh Tuan Yusrizal, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Putatan serta menyampaikan anugerah dan hadiah kepada para peserta.

Beliau dalam ucapannya menekankan kembali supaya setiap Unit Amal perlu ikhlas dalam berkhidmat, serta menunjukkan akhlak yang terbaik semasa bertugas, kerana ia juga merupakan salah satu pendekatan yang baik dalam dakwah kepada masyarakat, melalui kerja-kerja amal dan khidmat yang lain, seperti bantuan ketika bencana, kawalan keselamatan serta melancarkan perjalanan program parti ketika diperlukan.

Program ini selesai pada jam 12.00 tengahari. – HARAKAHDAILY 13/3/2017

JAMPutatan 1

JAMPutatan 2JAMPutatan 6

JAMPutatan 7

USTAZ Yusuf Abdul Hadi dilantik mengemudi bahtera Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang bagi sesi 2017/2019.

Beliau telah dipilih dalam pemilihan sempena Mesyuarat Agong Pemuda PAS Kawasan itu kali ke-33 yang telah berlangsung di Dewan Maahad Tahfiz Al Busyra, Masjid Pengadang Baru.

"Saya sebenarnya tidak layak, yang mana orang yang bersama saya mereka ini lebih layak,tetapi amanah yang diberikan oleh sahabat sekalian mudah-mudahan kita berada di landasan yang betul dan kita bersama saf saf perjuangan Islam Insyaallah," kata beliau dalam ucapan sulungnya.

Beliau berharap setiap gerak kerja mudah-mudahan diberi ganjaran yang besar oleh Allah SWT.

Sementara itu, mantan Ketua Pemuda Ustaz Sulaiman Sulong mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada saf kepimpinan.

"Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada saf kepimpinan DPPKM yang  telah bekerja dan menyumbang segenap tenaga, masa, wang ringgit dan segala-galanya bagi menjayakan aktiviti. Juga terima kasih kepada jawatankuasa panitia muktamar agong tahunan yang bertungkus lumus untuk menjayakan mesyuarat agong malam ini," ujar beliau.

Selain Ustaz Yusuf, yang dipilih dalam DPPKM ialah Ustaz Ziyad Zakaria, Sabri Zakaria, Aswadi Mohamad, Fazrul Ismail, Azmi Amiruddin, Ismail Sapia, Mohd Fakhurudin Yasin, Ustaz Bunyamin, Ahmad Nazirul Ismail dan Azlan Abdul Wahab.

Gandingan muka lama dan baharu telah di pilih dalam pemilihan yang diadakan pada Jumaat,10 Mac 2017 yang lepas. – HARAKAHDAILY 11/3/2017

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menyokong gesaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) untuk segera melarang pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda dan mewartakan hutan simpan ini sebagai hutan tadahan air.
 
Dilaporkan baru-baru ini bahawa Jabatan Perhutanan Kedah telah mengeluarkan arahan berhenti kerja kepada syarikat yang menjalankan aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda di Sik selepas ia didapati melanggar syarat lesen pembalakan. Akhir-akhir ini papan tanda yang menunjukkan lesen untuk mengambil hasil hutan dari beberapa kompartmen di Hutan Simpan Ulu Muda juga didapati terpacak di sini.
 
Kawasan Ulu Muda terdiri daripada beberapa hutan simpan, yang terbesar merupakan Hutan Simpan Ulu Muda. Hutan-hutan di Ulu Muda memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air bagi Empangan Ahning, Pedu dan Muda yang membekalkan air minuman kepada Kedah (termasuk Langkawi), Pulau Pinang dan Perlis.
 
Kira-kira 96% bekalan air Kedah, 80% bekalan air Pulau Pinang dan 50% bekalan air Perlis berasal dari hutan Ulu Muda. Skim pengairan Muda di Kedah, yang menyumbang kira-kira 40% daripada jumlah pengeluaran beras Malaysia, juga amat bergantung kepada sumber air dari hutan Ulu Muda.
 
Malangnya kepentingan Ulu Muda sebagai tadahan air diabaikan dengan terus membenarkan pembalakan di kawasan ini. Tambahan pula bukan keseluruhan Hutan Simpan Ulu Muda diklasifikasikan sebagai hutan tadahan air. Beberapa hutan simpan di sini telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal untuk kedua-dua tujuan pengeluaran dan perlindungan.
 
Dengan membenarkan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda, peranannya sebagai tadahan air terjejas teruk dan menggugat jaminan air kerana tanpa fungsi menyimpan air dan fungsi penapisan hutan semula jadi, hujan akan berkurangan dan hujan tidak akan ditadah dan disimpan.
 
Kemarau di negeri-negeri utara Semenanjung pada 2016 telah menyebabkan penurunan mendadak paras air di Empangan Pedu dan Muda. Kenyataan media PBAPP bertarikh 8 Mac 2017 mendedahkan bahawa kapasiti penyimpanan Empangan Muda adalah 60.3% pada 1 Januari 2017 dan ia telah menurun kepada 27.3% pada 7 Mac 2017. Ia adalah jelas bahawa penebangan hutan telah membawa kepada defisit air ini.
 
Berdasarkan perkara di atas, semua aktiviti pembalakan dan kuari di kawasan Ulu Muda mesti dihentikan serta-merta. Kerajaan tidak mesti keluarkan konsesi pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda . Kerajaan Persekutuan juga perlu menunaikan janji untuk membayar pampasan kepada Kerajaan Negeri Kedah kerana tidak pembalakan hutan Ulu Muda itu.
 
Memandangkan kepentingan hutan di sini sebagai hutan tadahan air, kami menyeru kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk mewartakan keseluruhan Hutan Simpan Muda Ulu dan rizab hutan sekitarnya sebagai hutan tadahan air di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 kerana ia membekalkan air kepada Empangan Pedu, Muda dan Ahning.
 
Air adalah Kehidupan. Selamatkan Hutan.
 
SM MOHAMED IDRIS
Presiden Sahabat Alam Malaysia - HARAKAHDAILY 9/3/2017

KERAJAAN negeri telah memindahkan tujuh keluarga yang terlibat dengan banjir lumpur di kawasan seluas  satu ekar.

 
Tanah berkenaan terletak di Kampug Pauh, Temangan dekat sini,  kira-kira lima kilometer dari Bukit Besi.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM70,000.
 
Katanya, ianya untuk kerja meratakan tanah berkenaan bagi dijadikan lot perumahan pada mangsa terbabit.
 
Beliau, perkara itu telah diuruskan pihak Pejabat Tanah dan Jajahan Machang.
 
Katanya, ia telah diputuskan pada mesyuarat exco kerajaan negeri sebelum ini.
 
“Tindakan itu dibuat berikutan rumah mereka tidak sesuai didiami lagi akibat banjir lumpur yang melanda ketika banjir baru-baru ini,” ujarnya.
 
Katanya, tanah berkenaan dijadikan lot-lot perumahan yang diberikan kepada mangsa sebagai tukaran lot tanah asal mereka.
 
Beliau memberitahu, sebelum ini beberapa siri perbincangan telah diadakan bersama mangsa.
 
Fadzli yang juga Adun Temangan memberitahu mereka telah bersetuju dengan cadangan pihak pentadbir tanah.
 
“Kerajaan negeri bersama Majlis Agama Islam Kelantan akan mendirikan rumah berkenaan kepada mangsa,” ujarnya.
 
Banjir lumpur berlaku di kampung itu akhir tahun lalu akibat banjir. Ia dikatakan berpunca kesan aktiviti perlombongan bijih besi yang terletak kira-kira 200 meter dari kampung berkenaan. – HARAKAHDAILY 9/3/2016

AHLI Parlimen Dungun menyerahkan peralatan untuk membekalkan sumber air mentah untuk kegunaan sebahagian lagi penduduk Kampung Jagung, Hulu Dungun.

Tahun lepas projek fasa pertama sudah dapat disiapkan dengan kaedah gotong royong.

Sumber bekalan air mentah tanpa rawatan dari Sungai Bangan sehingga sekarang masih digunakan oleh penduduk Kampung Shukur.

Kali ini untuk 22 keluarga di Kampung Jagung, juga akan disiapkan dengan kaedah gotong royong.

Kali ini paip getah dia inci hampir satu kilomeeter dibekalkan untuk tujuan ini.

Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menjangkakan dalam tempoh seminggu bekalan air mentah terus dari sungai akan disiapkan dengan kerjasama penduduk setempat.

“Insya Allah dengan bahan mentah dapat disediakan, projek ini akan berjalan dengan mengikut sepertimana dirancangkan. Walaupun agak sukar mencari sumber kewangan, kami mencuba sedaya upaya bagi menjayakannya.

“Penduduk di sini sudah tahu Ahli Parlimen PAS tidak ada peruntukan kewangan untuk apa jua projek untuk rakyat.

“Alhamdulillah, kita berjaya mencari sumber kewangan hampir RM10,000 untuk menyediakan bahan utama paip bagi sambungan dari punca air Sungai Jagung,” katanya lagi ketika berucap di hadapan penduduk kampung.

Beliau juga mengingatkan ‘maslahah’ yang kita perlu jaga ialah masalah orang ramai.

“Kita kena ambil tahu setelah mereka memilih kita sebagai wakil mereka. Sebab itu saya mencari sumber di seluruh negara dan sampai ke Johor, mereka membantu kita bila mereka tahu keadaan kita di sini,” ujarnya lagi.

Harapan beliau agar penduduk dapat menyiapkan paip ini dan terus menikmati sumber air sungai dengan percuma.

Sehubungan itu, wakil penduduk Kampung Jagung, Abu Bakar Harun, 51, berkata sudah lama penduduk di sini menanti bekalan air sungai ini.

“Kami di sini lebih suka menggunakan sumber air sungai daripada air yang dirawat. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua terutama YB Ustaz Wan Hassan yang telah berusaha menyediakan bahan utama ini.

“Kami memang tidak mampu bila melibatkan kos yang besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan paip yang diadakan di perkarangan rumah beliau.

Majlis penyerahan turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Dun Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman dan Ketua Cawangan PAS Kampung Shukur, Tengku Hamdan Tengku Mahmud.

HASIL sumbangan dan prihatin orang ramai telah berjaya memudahkan usaha PAS Kawasan Tambun menganjurkan program Majlis Sumbangan Fakir Miskin PAS Dun Manjoi.

PAS sentiasa berusaha membantu satu sama lain atas dasar persaudaraan kemanusiaan bahkan prihatin berkaita kebajikan rakyat.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun, Ustaz Hafez Sabri berkata demikian ketika Majlis Sumbangan Fakir Miskin PAS Dun Manjoi, di Dewan Orang Ramai Sungai Tapah, Manjoi, semalam.

Katanya, program tersebut berjalan dengan suasana penuh kasih sayang antara antara satu sama lain seperti sebuah keluarga yang saling memerlukan.

"Jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada seluruh jentera kuat penggerak program dari pimpinan PAS kawasan, Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Urusan Ulamak dan seluruh cawangan.

"Jutaan terima kasih juga kepada para penyumbang sedekah, infaq, zakat untuk majlis ini.

"Semoga Allah meluaskan rezeki tuan-tuan dan puan-puan semua dunia dan akhirat.

"Dari Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW, bersabda: Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat," ujar beliau.

Sebanyak 350 sumbangan untuk setiap keluarga disediakan oleh pihak PAS Dun Manjoi untuk meringankan sedikit bebanan meneruskan kehidupan.

Kehadiran tetamu bersama keluarga masing-masing dianggarkan sekitar 500 orang.

Turut serta bersama dalam program itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Saleh Said mengambil peluang menyantuni masyarakat tempatan. – HARAKAHDAILY 6/3/2017