DEWAN Pemuda PAS Kawasan Marang (DPPKM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Hassan Jusoh.

Ketuanya, Ustaz Yusuf Abdul Hadi berkata pemergian Allahyarham satu kehilangan buat jemaah khususnya PAS Kawasan Marang.

"Allahyarham seorang tokoh yang sangat berjasa kepada perjuangan lslam khususnya di  Kawasan Marang.

"Allahyarham juga sentiasa menyumbang segala tenaga dan hartanya untuk melihat agama Allah tertegak di negara ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas solat jenazah di Masjid Rusila di sini.

Menurut beliau lagi, Allahyarham telah menginfakkan  dirinya dalam jemaah hingga ke akhir hayat.

"Pada saat akhir Allahyarham  pernah menyebut walaupun saya sakit saya tetap akan berkhidmat untuk perjuangan Islam."

"Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada malam jumaat hari yang penuh keberkatan dan keampunan SWT serta mudah-mudahan Allah menempatkan bersama-sama dengan annabiyyin, assidiqin, asyuhada' assalihin," katanya dengan nada sebak.

Allahyarham yang pernah menjawat jawatan Setiausaha PAS Kawasan Marang selama 12 tahun telah menghembuskan nafas Kira-kira 9 malam di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Jenazah Allahyarham telah disemadikan di Tanah Perkuburan Kg Rusila sebelum itu solat jenazah telah diimamkan oleh Datuk Seri Presiden PAS selesai menyampaikan kuliah dhuha pagi Jumaat. – HARAKAHDAILY 1/4/2017

KERJA pembinaan dua Loji Rawatan Air Semenyih 2 dan Labohan Dagang masih berjalan mengikut jadual serta dijangka siap mengikut tempoh ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani negeri, Zaidy Abdul Talib berkata, setakat 25 Mac lalu kerja di LRA Semenyih 2 sudah mencapai 24.14 peratus berbanding jadual 55.5 peratus sejak dimulakan, pada 20 Mei 2016.

Bagi LRA Labohan Dagang, masih terdapat beberapa kerja dalam perbincangan dan status kerja dipantau dari semasa ke semasa, lapor SelangorKini.

“Pemantauan tapak yang dibuat Unit Perancang Ekonomi Negeri secara berkala dan mesyuarat jawatankuasa diadakan setiap bulan bagi membincangkan jadual projek dan mencari penyelesaian masalah yang timbul supaya tidak menjejaskan jadual projek,” katanya ketika menjawab soalan lisan ADN Sekinchan, Ng Suee Lim pada persidangan Dewan Negeri Selangor.

Zaidy berkata, masalah utama yang dihadapi dalam melaksanakan projek itu adalah pengambilan tanah, namun semuanya sudah berjaya diselesaikan.

Katanya, kerajaan negeri sudah meneliti unjuran permintaan dan pembekalan air sehingga 2027 serta berusaha mencapai sasaran meningkatkan rizab simpanan air mencapai 15 peratus sebagai satu inisaitif Pelan Permintaan Air jangka panjang.

“Setakat ini, kadar simpanan air tipis yang dianggarkan sekadar 3.4 peratus dan rizab air mentah semakin terhad dengan permintaan penggunaan disasarkan pada kadar 3.5 peratus, setiap tahun.

“Keadaan ini akan mengehadkan kerajaan negeri memberikan bantuan jika berlaku kejadian luar jangka seperti musim kering berpanjangan atau kerosakan peralatan di loji bekalan air,” katanya yang juga ADN Taman Templer.

LRA Semenyih 2 dijangka siap Disember ini sementara LRA Labohan Dagang pula dijangka siap pada Disember 2018 dengan jumlah keupayaan penghasilan 300 juta liter air sehari yang mampu membekalkan air khusus kepada penduduk Klang dan Kuala Langat.

BEBERAPA perkhidmatan percuma khususnya berkaitan kesihatan dijangka menjadi  antara tarikan Laman Sejahtera sempena Minggu Gerakan Usahawan Kelantan (GU Kelantan 2017).

Program itu akan dibuka pada 30 Mac hingga 1 April 2017 di perkarangan Medan Usahawan Kota Bharu di sini.

Laman Sejahtera yang diaktifkan oleh beberapa badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah NGO Kelantan (KNK) adalah di bawah Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan.

MGU 2017 itu dianjurkan oleh Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Perpaduan Kaum dan Pembangunan Usahawan Negeri berlangsung di Pasar Seni Kota Bharu Bazar Tok Guru, Kelantan Trade Centre dan perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV.

Pelbagai acara menarik disediakan termasuk Kelantan Festival Food Halal (Kelchef) dan Karnival Online Anak Muda.

Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan NGO Negeri Kelantan, Nasruddin Mahmud Muhaidin berkata demikian selepas memberi taklimat kepada petugas Laman Sejahtera di sebuah taman dekat sini semalam.

Katanya, Minggu Gerakan Usahawan Kelantan 2017 yang dirasmikan oleh Datuk Bentara Kanan Menteri Besar Kelantan pada sedang 23 Mac lalu berlangsung sehingga 1 April.

"Pelbagai aktiviti menarik di laman ini seperti khidmat rawatan percuma, perubatan alternatif, urutan dan khidmat guaman akan dibuka sepanjang Laman Sejahtera ini berlangsung.

"Manakala tarikan kanak-kanak juga turut diadakan dalam permainan pendidikan kesihatan bersama ikon badut di samping mereka berpeluang mendapat hadiah yang akan disediakan," ujarnya.

Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kota Bharu juga akan turut mempamer produk mereka selain lain-lain pameran, jualan amal dan sebagainya.

Ruangan urutan refleksi kaki disediakan oleh Majlis Permaufakatan OKU Kelantan dengan caj perkhidmatan berpatutan dan rawatan alternatif secara percuma dikendali oleh Yayasan Amanah Tok Kenali. – HARAKAHDAILY 28/3/2017

PAS Kawasan Putatan meraikan warga polis dengan menyerahkan kek sempena Peringatan Hari Polis ke-210. Ini sebagai menghargai khidmat dan usaha pihak polis dalam menjaga keamanan masyarakat.

Rombongan PAS Putatan yang diketuai YDP, Ustaz Abu Nuha menyantuni warga polis di sekitar Putatan. Pihak polis menyambut kunjungan PAS Putatan dengan mesra dan megucapkan terima kasih atas penghargaan yang diberikan.

Acara penyerahan kek sebagai menghargai warga polis ini bukan kali pertama dilakukan bahkan menjadi jadual tahunan bukti keprihatinan PAS Putatan.

Dengan slogan "Polis dan Rakyat Berpisah Tiada", YDP PAS Putatan mengharapkan masyarakat sentiasa memberikan kerjasama dengan pihak polis dalam semua keadaan. Polis adalah kawan dan sahabat masyarakat, tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/3/2017

SEBAGAI pemuda dalam perjuangan PAS khasnya di tanah air Malaysia, adalah sangat perlu untuk sedar dan mengakui bahawa perjuangan ini bukanlah kita sebagai pemula dan juga pengakhirannya.

Pemuda PAS mesti ingat bahawa kita hanyalah merupakan mata rantai yang menyambung siri perjuangan dalam menegakkan syiar Islam dan mempertahankannya. Sebab itulah, wahai pemuda sekalian sewajarnya menerima hakikat ini.

Penghormatan tetap buat mereka yang terlebih awal dalam perjuangan ini. Mereka yang masih istiqamah dengan erti kata masih bersama aktif membantu gerak kerja sama sumbangan tenaga mahupun harta benda. Kerana itulah syarat perjuangan yang memerlukan pengorbanan dan kesabaran setiap halangan serta ujian mendatang.

Pihak DPP Kawasan Bagan Datoh sangat mengambil kira jasa serta nilaian kerja orang lama dalam PAS khasnya di kawasan Bagan Datoh. Mereka yang istiqamah serta terus mendukung prinsip perjuangan amatlah kami kasihi dan hormati.

Soal kalah menang dalam pilihan raya dan apa jua perkara dalam parti serta jemaah ini bukannya menjadi alasan untuk undur atau putus asa. Kerana Allah SWT tidak melihat kemenangan atas dunia semata-mata sebagai syarat perolehi redha-Nya tetapi adalah kerja amal, prinsip asas perjuangan Islam, akidah, syariah dan juga akhlak Islam berterusan hingga akhirnya adalah menjadi ukurannya.

Pemuda PAS terus istiqmah berjuang.

Ustaz Mohd Khairi Abdullah al-Ijie
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan Datoh

Foto: Ustaz Mohd Khairi al-Ijie bersama Ustaz Arif Zaki Yasin semasa Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bagan Datoh kali ke-65.

ALHAMDULILLAH. Pemilihan PAS Kawasan Subang tiada pertandingan. Semua dipilih tanpa bertanding.

"Saya tak istilahkan si menang dan si kalah sebab yang dipilih dan yang tarik diri semuanya menang di sisi Allah jika mereka ikhlas," ujar Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Zaharudin Muhammad menerusi laman facebook.

Menurutnya, hampir PRU pada kebiasaan orang berebut jadi ketua kawasan (YDP) atau ketua cabang atau posisi-posisi yang berkuasa menentukan calon PRU.

"Alhamdulillah teman-teman seperjuangan di kawasan Subang berebut mendahulukan ahli jemaah yang lain. Yang tak tarik diri atas dasar tanggungjawab dan yang tarik diri juga atas dasar tanggungjawab. Semua insya Allah diberkati oleh Allah SWT," tambahnya.

Justeru, ujarnya pada mesyuarat agung kali ini beliau juga menarik diri daripada YDP Kawasan Subang dan memberikan laluan kepada Ustaz Ridhuan Ismail sebagai YDP.

"Insya Allah kita bersedia untuk melalui PRU14 pada bila-bila masa," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang telah sudi datang merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Subang. - HARAKAHDAILY 26/3/2017

PAS Kawasan Dungun komited untuk merealisasikan hasrat PAS Terengganu memerintah dengan mengekalkan kerusi yang dimenangi dan bertekad untuk memenangi Dun Bukit Besi N.25 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, dengan gerak kerja yang tersusun dan komitmen daripada jentera semua peringkat, insya Allah akan dapat mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU13.

“Parlimen Dungun yang dimenangi dengan majoriti lebih 3,000 undi tentunya akan menjadi pembakar semangat kepada 3 Dun (Sura, Rantau Abang dan Paka) untuk terus bekerja mempertahankan kerusi yang dimenangi.

“Manakala Dun Bukit Besi, kita akan terus memberi khidmat kepada masyarakat di sana melalui gerak kerja kebajikan untuk bertemu dengan semua pengundi” katanya semasa rehat pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Dungun Kali Ke-58 di Dewan Besar Darul Bayan, Pinang Merah, Dungun semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun menambah, untuk mengekalkan kemenangan ini memerlukan semua penyokong dan pendukung memberi kerjasama dengan melaporkan perkara berkaitan yang memerlukan perhatian dan pertolongan terutama kepada pengundi dalam kawasan Dungun.

“Dulu di Dun Bukit Besi kita tidak dapat masuk untuk berkempen pada PRU13, sehinggakan kita nak masuk minum pun penduduk tidak suka.

“Tapi sekarang setelah banyak perkara kita buat seperti ziarah mereka bila ada kematian dan sakit dan juga pertolongan bagi meringankan beban harian, mereka dapat menerima PAS sejak kebelakangan ini.

“Ini tentunya ada perubahan kepada pengundi N.25 itu sendiri," katanya dipetik Buletin Online.

Mesyuarat agung tahunan itu dirasmikan oleh AJK PAS Pusat yang juga Adun Sabak, Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi.

Dungun2

NASIB golongan warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan terus hidup dalam kesempitan dalam bandaraya Miri. Dengan harga barangan keperluan harian yang semakin meningkat dengan GST dan harga petrol yang tidak menentu menyebabkan kehidupan harian mereka terus tertekan.
 
Harga rumah dalam kawasan bandaraya memang terlalu mahal dan sukar untuk dimiliki oleh golongan yang kurang berkemampuan. Walaupun kerajaan mempunyai Program Bantuan Rumah (PBR) untuk menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan bagi membolehkan kumpulan sasar yang tinggal di perumahan yang lebih baik dan selamat berbanding sebelum ini, tetapi tujuan program ini masih belum mencapai sasaran.
 
Salah seorang penduduk di Tudan Phasa 5 Lutong Jalan Kuala Baram Miri mengadu masalah tempat tinggal mereka yang usang dan hampir roboh.

Maru Timin, 61, dan isterinya, Maliah Dris, 63, amat memerlukan bantuan segera membaiki rumah mereka yang usang itu. Maru bekerja sebagai pengawal keselamatan dan isterinya Maliah tidak bekerja hanya menjaga cucu mereka yang masih kecil dan tidak dapat bersekolah. Pendapatannya tidak mencukupi untuk menampung pembelanjaan harian keluarganya dan kadang-kadang mereka terputus bekalan makanan disebabkan tiada wang untuk membeli makanan dan terpaksa meminjam wang dari rakan-rakan.
 
Maru pernah memohon bantuan dengan pihak yang berwajib tahun lepas untuk membina semula rumah mereka yang usang itu tetapi sehingga kini tiada sebarang jawaban diterima dari pihak yang berkenaan. Menurut isterinya Maliah terdapat pihak yang berkenaan datang ke rumah mereka untuk tujuan kaji selidik tetapi tiada bantuan diberikan seperti yang sepatutnya. Beliau merayu kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Baitulmal boleh memberikan bantuan bulanan kepada keluarga mereka kerana mereka juga menjaga cucu mereka yang berusia 9 tahun yang masih tidak bersekolah.
 
PAS amat simpati akan nasib yang ditanggung oleh keluarga ini dan memberi sedikit sumbangan untuk mengurangkan bebanan yang mereka tanggung. Pihak berkuasa, Jabatan kebajikan Masyarakat serta Baitulmal yang sepatutnya mampu memberi bantuan bulanan kepada keluarga ini. Cucu mereka yang masih belum bersekolah sepatutnya diberi peluang untuk belajar di sekolah kerajaan.
 
PAS menggesa pihak kerajaan yang mempunyai peruntukan untuk bantuan rakyat termiskin dan mereka yang kurang berkemampuan ini dapat memberi perhatian dengan masalah yang dihadapi oleh mereka yang amat memerlukan bantuan ini.
 
Kita menggesa pihak yang berkenaan seharusnya turun padang dan apabila ada aduan yang dihadapi oleh golongan ini perlu diberi perhatian dan tindakan segera. Berilah bantuan sewajarnya kerana kami telah menerima aduan daripada kumpulan sasaran ini mereka sukar untuk mendapatkan bantuan yang sepatutnya kerana mereka perlu mengisi borang tertentu dan akan dirujuk dengan pelbagai istilah sehingga mereka merasa sukar untuk mendapatkan bantuan.
 
Kita harap masalah rakyat yang sukar untuk mendapatkan bantuan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya dari pihak berkuasa dan pihak yang berkenaan. Kerjasama dengan pihak berkuasa dan mereka yang berkenaan untuk mengatasi masalah rakyat ini amat dihargai.
 
Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak

PBR

PAS Kawasan Kuala Nerus kini mempersiapkan jentera pilihan rayanya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan sasaran memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam parlimen itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Alias Razak berkata, kawasan itu yakin akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU ke-13 lalu dan sedang bekerja keras di Dun Seberang Takir.

“Keadaan ‘mood’ rakyat hari ini dan prestasi gerak kerja parti (PAS) yang sedang berjalan ini, insya Allah.

“Parlimen kita boleh pertahankan (kemenangan) dan tiga Dun (Bukit Tunggal, Tepoh dan Teluk Pasu), insya Allah.

“Saya lebih nampak (Dun) Seberang Takir itu berpotensi untuk kita menang. Sebab, (Datuk Seri) Ahmad Razif (Menteri Besar) itu sendiri sudah jadi liabiliti,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Menurut beliau, kekalahan PAS pada PRU13 lalu di Dun Seberang Takir yang diwakili oleh Ahmad Razif itu tidak banyak dan boleh diatasi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu berkata PAS negeriu telah lama bersiap sedia menghadapi PRU14.

Jelasnya, sejurus PRU13 lalu, PAS Terengganu terus melancarkan ‘road map’ untuk ke Wisma Darul Iman pada PRU14.

“Terutamanya, Dun tumpuan. Kita (PAS) akan tanding belaka (32 Dun) dan lapan Parlimen. Tetapi, kita juga ada Dun-Dun sasaran yang perlu kita fokus.

“Kita akan gerakkan seluruh jentera parti secara bersepadu untuk mencapai pelan ‘road map’ menuju ke Wisma Darul Iman kali ketiga, insya Allah.

“Sasaran utama kita adalah mana-mana pengundi yang condong PAS akan diberi lebih perhatian supaya mereka menyokong PAS pada PRU14,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal itu berkata demikian ketika program ziarah di Unit Peti Undi (UPU) Batu Enam, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Menurutnya, Dun Bukit Tunggal mempunyai tujuh UPU dan 23 cawangan yang menjadi aset penting bagi kemenangan PAS.

Antaranya kata beliau, UPU Batu Enam, Pak Katak, Bukit Tunggal, Gong Kijang, Bukit Tumbuh, Pulau Duyung dan UPU Pulau Ketam.

MESYUARAT Agung PAS Putatan kali ke-17 fokus mempersiap gerak kerja melahirkan anak sulung PAS di Sabah. Semua ahli diseru untuk menjadi 'duta PAS' kepada masyarakat dengan pendekatan politik matang dan sejahtera.

Pada PRU-13, PAS meletakkan calon di DUN Tanjung Aru dan memperolehi undi kedua terbanyak dalam pertandingan tiga penjuru. Turun mendekati rakyat, merasai sendiri denyut nadi marhaen menjadi fokus utama PAS Putatan tanpa mengira waktu.

Mesyuarat agung yang diadakan di Hotel Yaho Kota Kinabalu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary, dihadiri lebih 100 orang perwakilan dan pemerhati. Barisan kepemimpinan yang baharu dipilih diharap terus bergerak dan tidak putus bekerja untuk merealisasikan kelahiran anak sulung PAS di Sabah. – HARAKAHDAILY 21/3/2017

PENGARAH Tabung Amanah Tok Kenali, Tuan Saripuddin Tuan Ismail dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Pasir Puteh pada mesyuarat agung semalam.

Dua lagi yang turut dicalonkan untuk jawatan itu ialah Yuganu Yunus dan Mohd Taib.
 
Yang Dipertua PAS Kawasan sesi lalu merangkap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazlan Nik Mohamad tidak mempertahankan jawatan sebaliknya hanya bertanding sebagai ahli jawatankuasa.
 
Muktamar PAS kawasan ke-58 yang diadakan di Sweet Beach Resort Tok Bali itu dirasmikan oleh Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Selain itu, jawatan Ketua Urusan Ulamak PAS kawasan turut mendapat perhatian apabila Rahmad Ibrahim dan Mohd Ruden Mohd Yusoff dicalonkan yang dimenangi Mohd Ruden.
 
Sementara Wan Hassan Wan Ibrahim menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua, Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah.

TIMBALAN Yang Dipertua PAS Setiu, Dr Azman Ibrahim mengekalkan jawatan dalam pertandingan satu lawan satu pada mesyuarat agung PAS kawasan itu yang diadakan di Kompleks Tarbiyah Luqmanul Hakim Kampung Guntong Luar, hari ini.

Mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Adun Melor, Kelantan, Dr Yusnan Yusuf juga mengisytiharkan penyandang jawatan Yang Dipertua PAS Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir menang tanpa bertanding. Turut menang tanpa bertanding ialah Mohd Nazari Alias bagi jawatan Naib Yang Dipertua dan Ustaz Mohd Pauzi Muda yang mengisi jawatan Ketua Urusan Ulamak.

Mesyuarat yang dihadiri 420 orang perwakilan turut memilih seramai 16 orang Ahli Jawatankuasa PAS Kawasan Setiu bagi sesi 2017/2019 daripada 25 orang calon yang  bertanding.

Dr AzmanDr Azman yang ditemui selepas mesyuarat agung tersebut menyifatkan pertandingan itu hanyalah pertandingan 'adik-beradik' dalam rangka hendak berlumba-lumba berbuat kebaikan.

"Selepas selesai pertandingan, marilah bersama kita rapatkan saf bagi menggalas satu tugasan penting melakukan persiapan menghadapi PRU14.

"Kabinet ini adalah 'Kabinet Perang Pilihan raya' bukannya kabinet untuk bersantai dan berbulan madu. Kita sudah berada dalam fasa pecutan terakhir menghampiri garis PRU14," tambahnya. - HARAKAHDAILY 18/3/2017