PADA dalam kad pengenalan, tercatat Deraman Semail dari Kampung Bukit Tanah, Jabi lahir pada tahun 1909. Beliau merupakan antara peneroka dan penduduk asal Kampung Bukit Tanah, Jabi bersama arwah datuk saya, Mat Saman Mamat yang telah meninggal dunia pada tahun 1995.

deramanWalaupun mungkin tak begitu tepat tarikh kelahiran kerana selalunya rekod kelahiran pada zaman dulu sekadar agak-agak, tapi saya rasa usianya tak jauh lari dari yang tercatat. Apatah lagi ayahanda saya yang telah berusia 71 tahun memaklumkan, ketika ayahanda masih usia zaman kanak-kanak, beliau yang mesra dipanggail Tok Deroman telah berusia sekitar 30-an, berumahtangga dan telah mempunyai cahaya mata. Sepanjang pengetahuan saya, Tok Deroman adalah warga tertua di Jabi malah mungkin antara yang tertua di Negeri Terengganu.

Dengan usia yang telah melebihi satu abad, Allah mengurniakan kepada Tok Deroman kesihatan yang baik. Boleh melihat, mendengar dan bertutur dengan baik. Diukur dengan usia, daya ingatannya juga baik. Orang lama dengan perjalanan melalui lurah kehidupan yang mencabar menjadikan tubuh mereka kuat dan sihat. Ketika saya mengunjunginya kira-kira dua bulan yang lalu, beliau masih mampu bercerita tentang kisah-kisah lama terutama bila saya tanya kenangan lalu bersama arwah datuk saya yang dipanggil Tok Chik.

“Loni dok leh nak gi surau doh. Dok cekak...” kata Tok Deroman.

Biasa kalau sihat, beliau antara yang selalu menjadi tetamu Allah di Surau as-Syakirin Kampung Bukit Tanah. Kadang-kadang naik basikal saja dengan jarak sekitar 1 km antara rumahnya menuju ke surau.

Saya tak pasti tentang taraf pendidikannya serta apakah beliau mampu menulis dan membaca, tapi yang jelas beliau terus istiqamah bersama PAS sehingga akhir hayat. Sayangnya khazanah pengalaman dari insan sepertinya tidak didokumentasikan untuk tatapan generasi mendatang.

Lima hari lepas, sekali lagi saya menziarahinya apabila mendapat khabar Tok Deroman kurang sihat. Di ruang tamu rumah, beliau terbaring lesu tanpa bercakap dan membuka mata tapi masih mampu menyedut beberapa teguk air susu menggunakan straw.  Melihat keadaannya yang semakin tenat, keluarga membawa Tok Deroman ke Hospital Besut. Setelah lima malam berada di Hospital akhirnya semalam 25 April 2017, kira-kira jam 8.20 malam, tibalah masanya perjanjian Allah untuk setiap yang bernyawa berlaku. Innalillah wainna ilaihi raajiuunn... Setelah kira-kira 108 tahun menghirup udara di atas muka bumi Allah, Tok Deroman kembali ke pangkuan Yang Maha Pencipta.

Bagi pihak Majlis Tindakan Dun Jabi saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa kesedihan yang mendalam kepada isteri, anak-anak dan seluruh sanak-saudara Almarhum. Semoga Allah mengampuni dan merahmati serta menempatkan beliau bersama para solehin. - HARAKAHDAILY 26/4/2017

Alam Ria Pasti Kawasan Miri telah dianjurkan dengan jayanya di Kampung Sukan Petronas dengan penyertaan daripada 140 orang murid dari seluruh Pasti di Miri.

Majlis ini telah dirasmikan oleh oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo dan turut dihadiri oleh AJK PAS Pusat, Muhtar Suhaili dan Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Jofri Jaraiee.

Acara tahunan yang mempertandingkan acara pidato, sajak, bercerita, nasyid, kalam jamaie, khutbah serta azan telah membuka ruang kepada pelajar berusia 4 hingga 6 tahun menonjolkan bakat masing-masing di hadapan lebih 300 ibu bapa dan penjaga yang hadir.

Johan setiap acara yang dipertandingkan akan mewakili Pasti kawasan Miri ke peringkat negeri yang bakal berlangsung di Mukah bulan hadapan.

Sejarah Pasti Miri bermula 10 tahun yang lalu dengan penubuhan Pasti yang pertama di Hilltop Garden, dan kini Pasti Miri telah mempunyai 6 cawangan di seluruh Miri iaitu Pasti Al-Munawwarah (Siang-Siang Garden), Pasti Ar-Rahman (Taman Tunku), Pasti Al-Irshad (Piasau), Pasti Al-'Amalulillah (Pujut), PASTI Al-Fateh (Permyjaya) dan yang terkini Pasti Ar-Rayyan (Senadin).

Dengan visi melahirkan insan soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan prasekolah sebagai elemen terpenting, Pasti Miri berhasrat melahirkan modal insan kelas pertama yang cintakan Allah, Rasul serta Al-Quran.

Bagi info kemasukan ke Pasti kawasan Miri, para ibu bapa boleh menghubungi melalui capaian page Facebook (PastiI Kawasan Miri).

PAS menyeru masyarakat agar dapat membina kehidupan berkeluarga dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sesama penduduk kampung.

Ketua Penerangan PAS Dungun, Alias Harun berharap orang kampung terutamanya mesti beramal dengan keluhuran Islam yang sebenar kerana tiada agama yang lebih tinggi daripada Islam.

“Saya suka menyeru kepada semua yang hadir agar kita peliharalah solat lima waktu yang menjadi asas kepada rukun Islam.

“Seandainya kita dapat menjaga solat insya Allah keberkatan akan ada dalam kehidupan terutamanya dalam memelihara kerukunan rumahtangga dan masyarakat terutamanya.

“Dalam usaha memartabatkan Islam di Malaysia ini, PAS sebagai sebuah parti bukan sahaja parti politik malahan ia adalah sebuah badan dakwah yang sentiasa mengambil tanggungjawab bagi memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan Islam yang syumul,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika menutup program Pertandingan Memancing di UPU Tok Kah yang diadakan sempena OPS HARAP 3.0 PRU14 dengan kerjasama Pemuda PAS Dun Rantau Abang dan Unit Peti Undi (UPU) Tok Kah, kelmarin.

Hampir 200 peserta dari pelbagai peringkat umur telah memeriahkan pertandingan memancing itu yang bermula jam 8.30 pagi dan berakhir 11.30 pagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang menyeru semua pihak agar sentiasa membuat pertimbangan pahala dan dosa bagi menjaga nilai murni agama Islam itu sendiri.

PAS Kawasan Kemaman terus meningkatkan keupayaan jentera pilihan raya melalui program yang dikenali sebagai Ops Medan.

Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Alias Abdul Hamid berkata, program itu lebih bertujuan menyantuni pemilih berdaftar di tempat awam terutama golongan muda yang melibatkan pimpinan utama PAS kawasan.

Memetik laporan Buletin Online, beliau berkata, Ops Medan akan dilaksanakan di setiap pasar minggu utama di seluruh Kemaman.

“Kita juga membuka kaunter semakan daftar pemilih, mengedarkan risalah 5 Tawaran Awal PAS Negeri Terengganu dan memberi penerangan ringkas isu-isu semasa,” katanya ketika melancarkan program tersebut di tapak pasar malam Kertih, petang kelmarin.

Sambutan spontan agak meriah diberikan oleh orang ramai terutamanya golongan muda dan peniaga pasar malam dengan bersalaman dengan pemimpin PAS serta turut serta membuat semakan daftar pemilih.

Ustaz Alias juga sempat merakam penghargaan terima kasih kepada semua petugas jentera pilihan raya yang melapangkan masa hadir pada petang itu dalam menjayakan program tersebut.

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sungai di Sungai Petani yang semakin teruk ketika ini.

Pencemaran yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan saja menyebabkan sungai tersebut dipenuhi sampah sarap dan berbagai bahan buangan tetapi juga airnya menjadi hitam pekat serta berbau busuk.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati segala hidupan yang terdapat di dalam sungai berkenaan telah pupus dan pokok-pokok bakau yang terdapat di sepanjang sungai ini juga turut terjejas pertumbuhannya kemungkinan berpunca dari pencemaran tersebut.

SAM kesal walau pun masalah pencemaran sungai di sini sudah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak terbabit sehingga keadaan ini semakin serius mencemarkan alam sekitar di kawasan itu.

SAM percaya jika punca berlakunya pencemaran ini tidak ditangani segera dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan masalah tersebut gagal dilaksanakan dengan berkesan ia akan merebak secara meluas dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai pada masa akan datang.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian utama oleh pihak berkuasa yang terlibat ialah sistem pembuangan sampah, air kumbahan dan sisa minyak dari kawasan perumahan, premis perniagaan serta bengkel membaiki kenderaan supaya lebih terkawal dan sempurna.

Pihak berkenaan juga perlu melakukan pemantauan secara menyeluruh dan mengenal pasti jika terdapat kilang industri di kawasan ini yang melepaskan sisa buangan ke dalam parit dan sungai di sini sehingga keadaan pencemaran bertambah meruncing.

SAM bimbang jika pencemaran sungai di Sungai Petani di sini jika tidak dikawal dan diambil tindakan dengan berkesan ia akan turut mencemarkan Sungai Merbok dan mengancam hutan paya bakau yang terdapat di sepanjang sungai itu.

Justeru SAM berharap kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan serta agensi bertanggungjawab memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya. - HARAKAHDAILY 18/4/2017

Penulis ialah Presiden SAM.

KEGAGALAN pihak berwajib menyelenggara kemudahan serta insfraktuktur di Pantai Peranginan Bukit Keluang, Besut amat mendukacitakan, terutamanya pada tahun ini yang telah diisytiharkan sebagai ‘Tahun Melawat Terengganu’.

Jambatan kayu melintasi anak sungai di kawasan tumpuan pelancong itu, dalam keadaan uzur dengan pagar runtuh dan lantai yang rosak, tidak dibaiki serta laluan ke jejantas bagi menyeberangi laluan air itu mendap.

Seorang pengunjung tetap pantai itu, Siti Nurul Jannah Mohd Daud, 26, berkata masalah itu telah berlaku sejak sekian lama tanpa diambil sebarang tindakan baik pulih oleh pihak kerajaan.

“Masalah lama dah berlaku tapi pihak bertanggungjawab tak ambil kisah pasal benda ini. Jambatan kayu yang tidak berpagar dengan lantainya patah tidak dibaiki.

“Dan sudah tentu keadaan ini boleh membahayakan para pengunjung yang lalu ikut sini,” katanya dipetik Buletin Online.

Beliau bimbang, ia akan menyebabkan kemalangan kerana laluan tersebut sering digunakan oleh orang ramai.

“Saya harap sangatlah pihak yang bertanggungjawab tolonglah baiki segera,” ujarnya.

Wan Nur Shafira Wan Ahmad, 25, kesal di atas kegagalan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan pengunjung ke pantai peranginan itu.

“Jangan biarkan keadaan ini berlarutan tanpa pembaikan kerana ia boleh membahayakan pengunjung-pengunjung di sini terutamanya kanak-kanak,” ujarnya.

PAS Kawasan Besut turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera membaik pulih infrastruktur yang rosak dan terbiar itu.

Yang Dipertuanya Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, kerosakan tersebut agak lama namun dibiarkan begitu sahaja.

“Pihak yang berkenaan diminta segera menjalankan pemantauan berkaitan infrastruktur di kawasan rekreasi ini ekoran banyak kerosakan yang berlaku boleh mengundang persoalan keselamatan di kalangan pengunjung.

“Sebagai sebuah pusat peranginan yang agak terkenal, situasi seperti ini sangat memalukan”, katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus lebih prihatin dalam mengurus tadbir prasarana yang ada agar rakyat tempatan dan pengunjung luar merasa selamat.

“Dalam masa yang sama dapat menghayati keindahan serta ketenangan alam anugerah Allah kepada kita,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga harus memandang serius soal gejala sosial yang boleh mengundang perlakuan maksiat dan tingkah laku yang mengaibkan yang berlaku di kawasan itu.

bk2

KEMPEN Muslimat PAS yang berterusan dan bersungguh-sungguh akan terus mengekalkan kerusi Wakaf Mempelam pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan tersebut, Haji Mohd Abdul Wahid Endut kagum dengan usaha para petugas ‘sayap kiri’ PAS itu, yang sentiasa mendekati dan mesra dengan masyarakat.

“Saya kagum dengan pasukan kempen muslimat yang begitu bersedia takkala dikerah walaupun bila pilihan raya sebenar belum diketahui. Mereka berkempen seolah-olah dalam suasana pilihan raya sebenar.

"Inilah jentera yang kita mahu dan tidak mustahil PAS DUN Wakaf Mempelam akan mengekalkan kemenangannya,” jelasnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkara demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Kampung Atap Zink, Losong, Kuala Terengganu, semalam.

Menurutnya, PAS Wakaf Mempelam sedang menggerakkan jenteranya dan mahu menyedarkan rakyat seluruh negeri ini bahawa ia layak memerintah negeri Terengganu selepas pilihan raya umum kali ke-14 (PRU14) nanti.

Turut sama dalam program tersebut ialah Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ketua Penerangannya, Ahmad Amzad Hashim.

Program hujung minggu bermula Jumaat itu menyerlahkan jentera DUN terbabit sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

Wan Sukairi yang juga Pengarah Majlis Tindakan DUN Wakaf Mempelam berkata, program tersebut adalah merupaka program mingguan yang dibuat secara berterusan.

“Program ini diteruskan setiap minggu mengikut kampung-kampung dan ia telah dirancang dengan baik yang akan menjadi kayu ukur rakyat menilai kesungguhan PAS di samping kita menyemak sejauh mana mana petugas kita bersedia dalam menghadapi PRU14,” katanya.

Selain ziarah, larian semangat HARAP-PGU dianjurkan oleh pemuda PAS bersama penduduk setempat.

Seramai 150 orang pelbagai peringkat umur menyertai lairan ‘keliling kampung’ itu dengan berpakaian baju-T berwarna ungu sempena Himpunan 355 yang lalu.

“Peserta berlari mengelilingi kampung dengan pakaian sokong pindaan RUU 355 mengambil semangat kejayaan pembentangan rang undang-undang itu oleh Tuan Guru Presiden PAS di parlimen kelmarin,” kata Azmad yang memimpin larian itu.

ziarah

DEWAN Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Perak) merakamkan rasa kesyukuran dan mengucapkan tahniah diatas pembentangan cadangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dibacakan oleh Yang Berhormat Marang Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan di sokong hujah Yang Berhormat Kota Baharu Datuk Haji Takiyuddin Hassan.

Pembentangan dengan penghuraian pensejarahan juga penjelasan yang sangat jelas dalam sidang Parlimen seharusnya dapat difahami dengan baik oleh ahli Parlimen dan seluruh rakyat yang menyaksikan secara langsung semalam.

Namun begitu, tindakan tidak matang ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menghalang seawal pembentang bermula dan ditutup dengan makian, cacian, sindiran dan tuduhan tidak berasas, amat dikesali. Akhlak yang buruk ditunjukkan oleh ahli Parlimen PH jelas dilihat  segenap lapisan masyarakat yang mengikuti secara langsung.

DPPN Perak sangat terkilan dengan tindakan Yang Berhomat Gopeng, Dr. Lee Boon Chye juga beberapa ahli Parlimen PH yang diketuai Yang Berhormat Gelang Patah, Lim Kit Siang seolah melupakan petugas pilihan raya dalam kalangan muslim yang bekerja juga pengundi yang memenangkan mereka di PRU13.

Lebih mendukacitakan apabila ada ahli Parlimen muslim terutamanya Yang Berhomat Sepang dan Yang Berhormat Shah Alam daripada PAN seakan-akan bersekongkol membantah cadangan pindaan RUU355 ini. Apakah mereka masih keliru atau sengaja mengelirukan masyarakat bukan Islam berhubung kedudukan mahkamah syariah dan hukumannya?

Dalam sidang media PH semalam, Yang Berhormat Pandan, Rafizi Ramli dengan tiada etika membuat tuduhan dan fitnah tidak berasas bahawa PAS bersandiwara bersama Umno. Umum sedia maklum bahawa Rafizi insan yang terkenal dengan politik persepsi. Negara tidak akan lupa bagaimana Rafizi menjatuhkan YAB Tan Sri Khalid Ibrahim dengan fitnah dan penipuan kemudian Rafizi membuat permohonan maaf selepas didapati pertuduhannya tidak benar. Masih boleh percayakan kita kepada insan sebegini?

Pembentangan RUU 355 jelas menunjukkan hitam putih ahli Parlimen yang mengutamakan agenda politik dalam meraih undi berbanding kesatuan ummah dan kesejahteraan rakyat juga negara. Budaya politik persepsi dan berkepentingan ini wajar ditinggalkan lalu diamalkan budaya politik matang dan sejahtera. DPPN Perak istiqamah dalam usaha memartabatkan syariat Allah dan mengutamakan kesejahteraan rakyat di Malaysia khususnya Perak.

DPPN Perak sekali lagi merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan tahniah juga terima kasih buat Tuan Guru Presiden serta seluruh ahli parlimen yang bersama majoriti rakyat muslim bagi memperjuangkan RUU 355.

DPPN Perak juga mengucapkan terima kasih kepada Tuan Speaker Parlimen Yang Berhormat Tan Sri Datuk Seri Panglima Pandikar Amin bin Haji Mulia diatas ruang membentangkan RUU 355 dan ketegasan beliau dalam mempengerusikan Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 7/4/2017

Penulis ialah Ketua Penerangan Pemuda PAS  Perak

KESEDARAN ibu bapa terhadap penjagaan kesihatan anak-anak mereka di negara ini masih lagi berada di tahap rendah.

Sehubungan itu program kesedaran kepentingan menjaga kesihatan remaja dan kanak-kanak akan diadakan di sebuah hotel sini pada 8 April ini.

Program itu dikenali Teddy Bear Hospital dianjurkan sekumpulan pengamal perubatan, Islamic Medical Association Of Malaysia Children and Teens Super Team (IMACATS).

Ketua Penyelaras IMACATS, Dr Dalila Roslan berkata pihaknya sudah dua tahun mengadakan program tersebut bagi memberi kesedaran ibu bapa bagi mengambil berat kesihatan kanak-kanak dan remaja.

“Salah satu usaha kami untuk memberi kesedaran berkenaan melalui program Teddy Bear Hospital,” katanya di Kota Bharu.

Beliau berkata program itu membawa konsep pembelajaran melalui pengalaman secara kreatif, menyeronok dan mesra kanak-kanak.

Program berkenaan mendapat kerjasama Hotel GRV Kota Bharu, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Bharu, Hospital Raja Perempuan Zainab II. Program trsebut akan diadakan di Hotel GRV.

Ia bermula jam 9 pagi sehingga 6 petang. IMACATS mensasarkan seramai 2,000 kanak-kanak hadir program berkenaan. - HARAKAHDAILY 6/4/2017

KEADAAN kesihatan Adun Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman yang diserang angin ahmar Isnin lepas kini bertambah baik.

Isterinya, Noraini Md Ali Matar berkata, selepas menjalani rawatan fisioterapi kesihatan suaminya makin memberangsangkan.

“Alhamdulillah syukur banyak-banyak kesihatan ustaz semakin baik, bercakap pun semakin gagah.

“Dengan izin Allah selepas rawatan fisioterapi pergerakan khususnya jari kaki, tangan semakin aktif,” katanya di Kota Bharu.

Pada 3 April lepas Adun Chetok diserang angin ahmar ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghantar anaknya di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) di Nilam Puri.

Beliau sekarang dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian.

Turut melawatnya Menteri Besar, Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob, timbalannya Datuk Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat. – HARAKAHDAILY 6/4/2017

KESIHATAN Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, dalam keadaan stabil.

Isterinya, Noraini Md Ali Matar ketika dihubungi memberitahu, percakapan suaminya juga semakin jelas berbanding semalam.

Mengulas kejadian yang berlaku pagi semalam Noraini berkata, anak sulungnya Nurul Nabila Abdul Halim tiba-tiba menerima panggilan dari suaminya (Abdul Halim).

“Ketika itu suaranya perlahan dan pertuturannya juga tidak jelas.

“Dia tiba-tiba terkena serangan angin ahmar sewaktu dalam perjalanan pulang selepas menghantar anak ke Kias,” ujarnya.

Sambungnya, mungkin kerana tidak selesa ketika itu, dia (Abdul Halim) terus memberhentikan kenderaannya di bahu jalan di Tunjung.

Jelasnya, selepas menemui beliau yang bersendirian dalam kenderaan, akhirnya beliau terus di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab ll.

“Bagaimanapun ustaz terpaksa dihantar ke HUSM untuk rawatan lanjut,”ujarnya.

Katanya lagi, ada pendarahan di kepala suaminya bagaimanapun tidak perlu membuat pembedahan. – HARAKAHDAILY 4/4/2017

MASALAH jalan ke Kampung Usaha Jaya Tukau (Tukau Tengah), Sungai Beluboh, Miri sehingga kini masih lagi tidak berturap sepenuhnya. Penduduk Kampung Usaha Jaya Tukau mengadu masalah ini kepada pihak kerajaan tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil. Walaupun ada jalan diturap tetapi hanya separuh jalan.

Kebanyakan penduduknya bekerja sebagai pekebun, nelayan dan terdapat juga di antara mereka bekerja di Bandaraya Miri secara berulang alik. Masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung tersebut adalah jalan masuk ke kampung mereka penuh dengan lopak dan berlumpur ketika musim hujan kerana sistem perparitan tidak dirancang dengan baik.

Setiap kali musim pilihan raya ada wakil-wakil rakyat datang berjanji untuk mengatasi masalah jalan kampung tersebut tetapi selepas pilihan raya berakhir muka mereka pun susah hendak nampak.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sarawak yang baru Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg pernah berkata yang setiap wakil rakyat diberi peruntukan sebanyak 5 juta ringgit untuk projek kampung tetapi kemana perginya projek jalan kampung tersebut.

Penduduk kampung Usaha Jaya, Tukau tidak mudah lupa dengan janji-janji pihak yang berwajib untuk menaiktaraf jalan kampung tersebut dan menuntut agar pihak yang berwajib dapat menunaikan janji-janji mereka yang selama ini tertangguh dan terbengkalai. Janji pihak yang berwajib adalah hendak membina sistem perparitan yang terancang sekali gus dengan menaikkan taraf jalan. Memang terdapat papan tanda menaik taraf jalan kampung tetapi jalan masih tidak diturap sepenuhnya.

Hanya sebahagian kecil saja yang diturap dengan tar dan jalan kerikil tapi sebahagian besar lagi masih jalan tanah dan berlumpur terutama sekali jalan masuk ke dalam kampung tersebut.

Keadaan jalan ini agak  teruk dan berlubang dan tidak sesuai untuk kenderaan ringan apabila musim hujan dan lebih sukar lagi apabila hujan berterusan. Jalan raya yang baik  amat penting bagi penduduk di kampung tersebut untuk memudahkan perjalanan mereka seharian dan membawa hasil tanaman mereka untuk dijual ke Tamu yang berdekatan.

PAS mendesak agar pihak yang berkenaan dapat mengunakan peruntukan yang telah disediakan untuk menyelesaikan masalah jalan dan infrastruktur kampung tersebut dengan segera tanpa perlu menunggu PRU14 nanti.

Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab dan telah diberi amanah oleh rakyat untuk menjaga kebajikan rakyat, seharusnya keperluan rakyat perlu diberi keutamaan tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.

Kita harap masalah jalan kampung ini diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa. Kerjasama dengan pihak yang berkenaan untuk mengatasi masalah rakyat ini amat dihargai.

Jofri Jaraiee
Pesuruhjaya PAS Sarawak