PAS Kawasan Titiwangsa melalui jentera pilihan rayanya akan mengadakan satu majlis hi-tea untuk mengumpul dana bagi menghadapi pilihanraya umum ke 14. Program tersebut akan diadakan pada Sabtu, 20 Mei 2017 bertempat di Darul Ummah, No 44 Jalan Dua Off Jalan Kampung Pandan, Kuala Lumpu bermula pukul 3 petang.

Tetamu istimewa yang akan menyempurnakan majlis ini ialah Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat. Turut hadir menyerikan majlis ini ialah Ustazah Nuridah Salleh selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat dan Haji Mohamad Noor Mohamad, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Pelbagai menu menarik akan disajikan khusus kepada para tetamu yang hadir seperti nasi dagang terengganu, nasi lemak saliha, kerepok lekor, kuih muih, bubur kacang durian, rojak nenas sarawak, air barli sejuk dan teh tarik.

Kupon-kupon infaq bernilai RM30 untuk seorang boleh didapati di kaunter pendaftaran pada hari berkenaan atau berhubung dengan Mohamad di talian 016-3842024 dan Hedzer di talian 019-2708639.

Semua para pendukung dan penyokong PAS dengan segala hormatnya dijemput hadir bagi memberi sokongan kepada gerak kerja pilihan raya PAS di kawasan Titiwangsa. Semoga setiap sumbangan kita untuk perjuangan Islam dikira sebagai amal soleh di sisi ALlah SWT.

Ahli-ahli PAS diingatkan agar tidak terlalu melayan karenah dan fitnah yang tidak berasas hingga mengganggu fokus persiapan parti menjelang Piliahn Raya Umum (PRU) ke-14.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah menyifatkan tohmahan dan fitnah itu seumpama ‘kemuncup’ yang mengganggu dalam perjuangan.

Kata beliau, tekad dan keazaman parti khususnya di Kuala Terengganu mahu mengekalkan kemenangan di empat Dun (Dewan Undangan Negeri) dan satu Parlimen.

“Tekad kita untuk PAS Kawasan Kuala Terengganu mengekalkan kemenangan PAS di empat Dun dan satu Parlimen, Insya Allah.

“Kita tak perlu susah hatilah dengan serangan lawan kita. Apa yang penting fokus pada kerja-kerja parti. Jika kita banyak sangat layan kepada PAN, PKR dan DAP jadi tidak sampai mesej kita kepada rakyat.

“Anggaplah itu sebagai ‘kemuncup’ sahaja supaya kita tidak hilang fokus untuk menjatuhkan Umno BN. Sepatutnya, kita hadap kepada Umno BN tetapi jadi lawan sesama sendiri,” ujarnya.

Beliau berate demikian ketika berucap pada majlis Himpunan Mujahidah Srikandi Perjuangan Sempena Pelancaran Jentera Piliharaya Muslimat PAS Kawasan Kuala Terengganu di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, kelmarin.

Hadir sama Timbalan Ketua Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam, Ketua Muslimat PAS Terengganu, Ustazah Zarani Othman dan Ketua Muslimat PAS Kuala Terengganu, Ustazah Shamsiah Abu Bakar.

Ustaz Wan Sukairi yang juga Penolong Setiausaha I PAS Terengganu berpendapat parti serpihan PAN dan PKR tidaklah memberi kesan besar kepada PAS di negeri itu.

“PAN dan PKR di Terengganu ini tidaklah memberi kesan yang besar kepada PAS kerana tidak berpengaruh.

“Insya Allah, dengan kerja yang bersungguh-sungguh dan munajat kita kepada Allah SWT dengan strategi-strategi menawan hati pengundi. Mudah-mudahan hasrat kita untuk mengekalkan kelima-lima kerusi di Kuala Terengganu akan dapat dicapai,” tegasnya di hadapan lebih 250 hadirin.  

Maksud kemuncup, kata Ustaz Wan Sukairi mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) edisi keempat ialah sejenis rumput yang mana nama saintifiknya ialah ‘Chrysopogon Aciculatus’.

Menurutnya, rumput itu secara mudahnya dikaitkan dengan perkara yang menyusahkan dan melecehkan.

“Perkara yang mengganggu atau mengacau berhasilnya sesuatu perkara yang telah dirancang sekian lama. Maka apabila rumput itu dikaitkan dengan perjuangan, maka sekali gus rakyat akan faham bahawa tafsiran pada sepotong kata ‘kemuncup dalam perjuangan’ itu membawa maksud sesuatu yang mengganggu atau mengacau sekali gus melambatkan proses kejayaan dalam sesebuah perjuangan,” jelasnya.

Pada PRU13 lalu, Parlimen Kuala Terengganu telah dimenangi oleh PAS melalui calonnya Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah sebelum keluar parti dengan menyertai PAN.

kt2

PAS Kawasan Setiu menyambut baik jemputan rasmi Majlis Daerah Setiu dalam program gotong royong membersihkan pesisir pantai di Rhu Sepuluh, Permaisuri.

Yang Dipertuanya, Ustaz Shaharizukirnain Abdul Kadir PAS berkata, PAS sentiasa bersedia untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan selagi mana ianya tidak bercanggah dengan dasar dan prinsip parti, lapor Buletin Online.

“Sesuai dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang telah menjadi amalan parti, kita menerima jemputan rasmi daripada Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Mohd Azmi,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Menurut beiau lagi, pihaknya juga bersedia untuk menjalinkan hubungan dengan mana-mana agensi kerajaan dan swasta demi kebaikan bersama.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli Unit Amal, Ameerah, ARC dan Ahli Jawatankuasa PAS kawasan telah menyertai gotong royong membersihkan pesisir Pantai Rhu Sepuluh, anjuran Majlis Daerah Setiu (MDS).

Sehubungan itu, Shaharizukirnain mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua MDS kerana turut sudi mempelawa dan melibatkan PAS dalam program anjuran kerajaan itu.

“Kita ucapkan terima kasih kepada Haji Mat Azmi Arshad, Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu yang sudi menjemput untuk sama-sama menjayakan program pemuliharaan alam sekitar ini.

“Dan berharap akan ada lagi jemputan rasmi yang akan kita sertai bersama,” ujarnya yang juga Pengerusi NGO Rakan Alam ketika ditemui di tapak program tersebut.

PAS melihat keadaan kemiskinan yang berterusan di Seberang Takir seolah-olah ada suatu ‘usaha’ di peringkat kerajaan Umno Terengganu supaya rakyat terus berada dalam keadaan miskin.

Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang berkata, walaupun negara kita semakin maju namun berdasarkan kepada kajian bertajuk, ‘Miskin Bergenerasi dan Mobiliti Kemiskinan di Seberang Takir’ yang dilakukan oleh sekumpulan pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) tahun lalu, hampir 30 peratus penduduk di Dun Menteri Besar Terengganu itu berada di bawah paras kemiskinan.

“Kesan daripada kemelaratan kehidupan menyebabkan rakyat terus bergantung pada mereka (kerajaan).

“Keadaan ini menyebabkan rakyat boleh digula-gulakan dan boleh diperintah untuk melakukan sesuatu benda yang mana akhirnya rakyat terpaksa ikut telunjuk mereka,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Klinik Kesihatan Seberang Takir dalam lawatan sempena Hari Jururawat yang disambut 12 Mei setiap tahun.

Menurutnya, kemiskinan dan kejahilan itu sendiri merupakan perkara yang membolehkan kerajaan untuk menguasai rakyat atau rakyat sentiasa bergantung kepada kerajaan.

Katanya, 30% orang miskin di Dun Seberang Takir merupakan satu angka yang agak besar yang memberikan gambaran bahawa sepanjang tempoh kerajaan Umno memerintah khususnya di Seberang Takir, tempat Menteri Besar sendiri menunjukkan Umno gagal menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Dan insya Allah di peringkat PAS Seberang Takir sendiri, kita sentiasa mengambil cakna kepada rakyat di sini.

“Walaupun dalam kemampuan yang sangat terbatas tanpa ada peruntukan daripada mana-mana, sekadar kita dapat sumbangan daripada pihak-pihak yang simpati untuk kita agihkan kepada golongan yang memerlukan.

“Walaupun tidak dapat membantu sepenuhnya sekurang-kurangnya dapat sebahagian meringankan beban yang ada di kalangan orang miskin," ujarnya.

BEKAS Pengarah PAS Dun Jabi yang juga bekas AJK PAS Kawasan Setiu, Tengku Nawawi Tengku Abdul Qadir atau mesra dipanggil Pok Ku Nawi kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Allahyarham ibarat kitab politik di Jabi. Seorang yang sangat komited dengan perjuangan dan terus istiqamah sehingga akhir hayat.

Ketika saya mengunjungi beliau 2 minggu yang lalu, walau dalam keuzuran, beliau masih bersemangat tinggi bercakap soal perjuangan.

Tengah hari sekejap tadi, bila tertera nombor panggilan dari anakanda almarhum pada skrin telefon bimbit, hati saya berdetik sebab anakanda almarhum yang dipanggil Ku Chik jarang menelefon kecuali ada sesuatu urusan penting.

Ternyata khabar duka yang disampaikan. Kita datang dari Allah dan kepada Allah kita kembali.

Suatu kehilangan yang sangat besar bagi PAS Jabi dan PAS Setiu. Kehilangan seorang ayah dan teman dalam perjuangan yang tidak mampu dicari ganti.

Bagi pihak PAS Jabi, saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa kesedihan yang mendalam kepada keluarga Almarhum. Semoga dengan segala bakti yang dicurahkan kepada perjuangan Islam selama ini melayakkan beliau ditempatkan bersama para syuhada dan solehin.

Innalillah wainna ilaihi raajiuun.

Dr Azman Ibrahim
Pengarah MTD Jabi
7 Mei 2017 - HARAKAHDAILY 7/5/2017

PERTUBUHAN Forum Kesedaran Rakyat Negeri Selangor (Fikir) akan menganjurkan Program Kesedaran Pengurusan Kewangan (Bijak Wang) untuk penduduk rumah kos rendah di Selangor.

Fikir akan menganjur satu siri ceramah di pembangunan-pembangunan kos rendah dari bulan Mei hingga Ogos tahun ini.

Ceramah-ceramah akan dikendalikan oleh para sukarelawan yang memiliki pengalaman di dalam bidang pengurusan kewangan.

Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran penduduk tentang betapa pentingnya kewangan mereka diurus dengan bijaksana.

Kesedaran ini penting kerana ramai rakyat Malaysia telah diisytiharkan muflis pada usia yang muda kerana gagal merancang perbelanjaan mereka.

Sehubungan dengan itu, Fikir akan menjalinkan kerjasama dengan Pejabat Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar Negeri Selangor untuk program ini.

Datuk Iskandar A. Samad selaku Exco telah bersetuju untuk menjadi penasihat kepada Fikir.

Satu majlis ringkas mengumumkan program BIJAK WANG ini telah diadakan di Shah Alam pagi semalam dengan disaksikan oleh Datuk Iskandar. – HARAKAHDAILY 28/4/2017

PADA dalam kad pengenalan, tercatat Deraman Semail dari Kampung Bukit Tanah, Jabi lahir pada tahun 1909. Beliau merupakan antara peneroka dan penduduk asal Kampung Bukit Tanah, Jabi bersama arwah datuk saya, Mat Saman Mamat yang telah meninggal dunia pada tahun 1995.

deramanWalaupun mungkin tak begitu tepat tarikh kelahiran kerana selalunya rekod kelahiran pada zaman dulu sekadar agak-agak, tapi saya rasa usianya tak jauh lari dari yang tercatat. Apatah lagi ayahanda saya yang telah berusia 71 tahun memaklumkan, ketika ayahanda masih usia zaman kanak-kanak, beliau yang mesra dipanggail Tok Deroman telah berusia sekitar 30-an, berumahtangga dan telah mempunyai cahaya mata. Sepanjang pengetahuan saya, Tok Deroman adalah warga tertua di Jabi malah mungkin antara yang tertua di Negeri Terengganu.

Dengan usia yang telah melebihi satu abad, Allah mengurniakan kepada Tok Deroman kesihatan yang baik. Boleh melihat, mendengar dan bertutur dengan baik. Diukur dengan usia, daya ingatannya juga baik. Orang lama dengan perjalanan melalui lurah kehidupan yang mencabar menjadikan tubuh mereka kuat dan sihat. Ketika saya mengunjunginya kira-kira dua bulan yang lalu, beliau masih mampu bercerita tentang kisah-kisah lama terutama bila saya tanya kenangan lalu bersama arwah datuk saya yang dipanggil Tok Chik.

“Loni dok leh nak gi surau doh. Dok cekak...” kata Tok Deroman.

Biasa kalau sihat, beliau antara yang selalu menjadi tetamu Allah di Surau as-Syakirin Kampung Bukit Tanah. Kadang-kadang naik basikal saja dengan jarak sekitar 1 km antara rumahnya menuju ke surau.

Saya tak pasti tentang taraf pendidikannya serta apakah beliau mampu menulis dan membaca, tapi yang jelas beliau terus istiqamah bersama PAS sehingga akhir hayat. Sayangnya khazanah pengalaman dari insan sepertinya tidak didokumentasikan untuk tatapan generasi mendatang.

Lima hari lepas, sekali lagi saya menziarahinya apabila mendapat khabar Tok Deroman kurang sihat. Di ruang tamu rumah, beliau terbaring lesu tanpa bercakap dan membuka mata tapi masih mampu menyedut beberapa teguk air susu menggunakan straw.  Melihat keadaannya yang semakin tenat, keluarga membawa Tok Deroman ke Hospital Besut. Setelah lima malam berada di Hospital akhirnya semalam 25 April 2017, kira-kira jam 8.20 malam, tibalah masanya perjanjian Allah untuk setiap yang bernyawa berlaku. Innalillah wainna ilaihi raajiuunn... Setelah kira-kira 108 tahun menghirup udara di atas muka bumi Allah, Tok Deroman kembali ke pangkuan Yang Maha Pencipta.

Bagi pihak Majlis Tindakan Dun Jabi saya merakamkan ucapan takziah dengan rasa kesedihan yang mendalam kepada isteri, anak-anak dan seluruh sanak-saudara Almarhum. Semoga Allah mengampuni dan merahmati serta menempatkan beliau bersama para solehin. - HARAKAHDAILY 26/4/2017

Alam Ria Pasti Kawasan Miri telah dianjurkan dengan jayanya di Kampung Sukan Petronas dengan penyertaan daripada 140 orang murid dari seluruh Pasti di Miri.

Majlis ini telah dirasmikan oleh oleh Ketua Pemuda PAS Negeri Sarawak, Mohamad Arifiriazul Paijo dan turut dihadiri oleh AJK PAS Pusat, Muhtar Suhaili dan Yang Dipertua PAS Kawasan Miri, Jofri Jaraiee.

Acara tahunan yang mempertandingkan acara pidato, sajak, bercerita, nasyid, kalam jamaie, khutbah serta azan telah membuka ruang kepada pelajar berusia 4 hingga 6 tahun menonjolkan bakat masing-masing di hadapan lebih 300 ibu bapa dan penjaga yang hadir.

Johan setiap acara yang dipertandingkan akan mewakili Pasti kawasan Miri ke peringkat negeri yang bakal berlangsung di Mukah bulan hadapan.

Sejarah Pasti Miri bermula 10 tahun yang lalu dengan penubuhan Pasti yang pertama di Hilltop Garden, dan kini Pasti Miri telah mempunyai 6 cawangan di seluruh Miri iaitu Pasti Al-Munawwarah (Siang-Siang Garden), Pasti Ar-Rahman (Taman Tunku), Pasti Al-Irshad (Piasau), Pasti Al-'Amalulillah (Pujut), PASTI Al-Fateh (Permyjaya) dan yang terkini Pasti Ar-Rayyan (Senadin).

Dengan visi melahirkan insan soleh pintar di Malaysia melalui pendidikan prasekolah sebagai elemen terpenting, Pasti Miri berhasrat melahirkan modal insan kelas pertama yang cintakan Allah, Rasul serta Al-Quran.

Bagi info kemasukan ke Pasti kawasan Miri, para ibu bapa boleh menghubungi melalui capaian page Facebook (PastiI Kawasan Miri).

PAS menyeru masyarakat agar dapat membina kehidupan berkeluarga dengan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar sesama penduduk kampung.

Ketua Penerangan PAS Dungun, Alias Harun berharap orang kampung terutamanya mesti beramal dengan keluhuran Islam yang sebenar kerana tiada agama yang lebih tinggi daripada Islam.

“Saya suka menyeru kepada semua yang hadir agar kita peliharalah solat lima waktu yang menjadi asas kepada rukun Islam.

“Seandainya kita dapat menjaga solat insya Allah keberkatan akan ada dalam kehidupan terutamanya dalam memelihara kerukunan rumahtangga dan masyarakat terutamanya.

“Dalam usaha memartabatkan Islam di Malaysia ini, PAS sebagai sebuah parti bukan sahaja parti politik malahan ia adalah sebuah badan dakwah yang sentiasa mengambil tanggungjawab bagi memberi kefahaman kepada masyarakat berkaitan Islam yang syumul,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika menutup program Pertandingan Memancing di UPU Tok Kah yang diadakan sempena OPS HARAP 3.0 PRU14 dengan kerjasama Pemuda PAS Dun Rantau Abang dan Unit Peti Undi (UPU) Tok Kah, kelmarin.

Hampir 200 peserta dari pelbagai peringkat umur telah memeriahkan pertandingan memancing itu yang bermula jam 8.30 pagi dan berakhir 11.30 pagi.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau Abang menyeru semua pihak agar sentiasa membuat pertimbangan pahala dan dosa bagi menjaga nilai murni agama Islam itu sendiri.

PAS Kawasan Kemaman terus meningkatkan keupayaan jentera pilihan raya melalui program yang dikenali sebagai Ops Medan.

Yang Dipertua PAS kawasan, Ustaz Alias Abdul Hamid berkata, program itu lebih bertujuan menyantuni pemilih berdaftar di tempat awam terutama golongan muda yang melibatkan pimpinan utama PAS kawasan.

Memetik laporan Buletin Online, beliau berkata, Ops Medan akan dilaksanakan di setiap pasar minggu utama di seluruh Kemaman.

“Kita juga membuka kaunter semakan daftar pemilih, mengedarkan risalah 5 Tawaran Awal PAS Negeri Terengganu dan memberi penerangan ringkas isu-isu semasa,” katanya ketika melancarkan program tersebut di tapak pasar malam Kertih, petang kelmarin.

Sambutan spontan agak meriah diberikan oleh orang ramai terutamanya golongan muda dan peniaga pasar malam dengan bersalaman dengan pemimpin PAS serta turut serta membuat semakan daftar pemilih.

Ustaz Alias juga sempat merakam penghargaan terima kasih kepada semua petugas jentera pilihan raya yang melapangkan masa hadir pada petang itu dalam menjayakan program tersebut.

SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menggesa Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah pencemaran sungai di Sungai Petani yang semakin teruk ketika ini.

Pencemaran yang berlarutan sejak lebih 10 tahun yang lalu itu bukan saja menyebabkan sungai tersebut dipenuhi sampah sarap dan berbagai bahan buangan tetapi juga airnya menjadi hitam pekat serta berbau busuk.

Dalam tinjauan yang dibuat SAM mendapati segala hidupan yang terdapat di dalam sungai berkenaan telah pupus dan pokok-pokok bakau yang terdapat di sepanjang sungai ini juga turut terjejas pertumbuhannya kemungkinan berpunca dari pencemaran tersebut.

SAM kesal walau pun masalah pencemaran sungai di sini sudah lama berlaku tetapi hingga sekarang tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak terbabit sehingga keadaan ini semakin serius mencemarkan alam sekitar di kawasan itu.

SAM percaya jika punca berlakunya pencemaran ini tidak ditangani segera dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan masalah tersebut gagal dilaksanakan dengan berkesan ia akan merebak secara meluas dan boleh menjejaskan kesihatan orang ramai pada masa akan datang.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian utama oleh pihak berkuasa yang terlibat ialah sistem pembuangan sampah, air kumbahan dan sisa minyak dari kawasan perumahan, premis perniagaan serta bengkel membaiki kenderaan supaya lebih terkawal dan sempurna.

Pihak berkenaan juga perlu melakukan pemantauan secara menyeluruh dan mengenal pasti jika terdapat kilang industri di kawasan ini yang melepaskan sisa buangan ke dalam parit dan sungai di sini sehingga keadaan pencemaran bertambah meruncing.

SAM bimbang jika pencemaran sungai di Sungai Petani di sini jika tidak dikawal dan diambil tindakan dengan berkesan ia akan turut mencemarkan Sungai Merbok dan mengancam hutan paya bakau yang terdapat di sepanjang sungai itu.

Justeru SAM berharap kerajaan Kedah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan serta agensi bertanggungjawab memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya. - HARAKAHDAILY 18/4/2017

Penulis ialah Presiden SAM.

KEGAGALAN pihak berwajib menyelenggara kemudahan serta insfraktuktur di Pantai Peranginan Bukit Keluang, Besut amat mendukacitakan, terutamanya pada tahun ini yang telah diisytiharkan sebagai ‘Tahun Melawat Terengganu’.

Jambatan kayu melintasi anak sungai di kawasan tumpuan pelancong itu, dalam keadaan uzur dengan pagar runtuh dan lantai yang rosak, tidak dibaiki serta laluan ke jejantas bagi menyeberangi laluan air itu mendap.

Seorang pengunjung tetap pantai itu, Siti Nurul Jannah Mohd Daud, 26, berkata masalah itu telah berlaku sejak sekian lama tanpa diambil sebarang tindakan baik pulih oleh pihak kerajaan.

“Masalah lama dah berlaku tapi pihak bertanggungjawab tak ambil kisah pasal benda ini. Jambatan kayu yang tidak berpagar dengan lantainya patah tidak dibaiki.

“Dan sudah tentu keadaan ini boleh membahayakan para pengunjung yang lalu ikut sini,” katanya dipetik Buletin Online.

Beliau bimbang, ia akan menyebabkan kemalangan kerana laluan tersebut sering digunakan oleh orang ramai.

“Saya harap sangatlah pihak yang bertanggungjawab tolonglah baiki segera,” ujarnya.

Wan Nur Shafira Wan Ahmad, 25, kesal di atas kegagalan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan pengunjung ke pantai peranginan itu.

“Jangan biarkan keadaan ini berlarutan tanpa pembaikan kerana ia boleh membahayakan pengunjung-pengunjung di sini terutamanya kanak-kanak,” ujarnya.

PAS Kawasan Besut turut menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera membaik pulih infrastruktur yang rosak dan terbiar itu.

Yang Dipertuanya Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, kerosakan tersebut agak lama namun dibiarkan begitu sahaja.

“Pihak yang berkenaan diminta segera menjalankan pemantauan berkaitan infrastruktur di kawasan rekreasi ini ekoran banyak kerosakan yang berlaku boleh mengundang persoalan keselamatan di kalangan pengunjung.

“Sebagai sebuah pusat peranginan yang agak terkenal, situasi seperti ini sangat memalukan”, katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan harus lebih prihatin dalam mengurus tadbir prasarana yang ada agar rakyat tempatan dan pengunjung luar merasa selamat.

“Dalam masa yang sama dapat menghayati keindahan serta ketenangan alam anugerah Allah kepada kita,” ujarnya ketika dihubungi.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga harus memandang serius soal gejala sosial yang boleh mengundang perlakuan maksiat dan tingkah laku yang mengaibkan yang berlaku di kawasan itu.

bk2