Ahli Alternatif Riding Club atau ARC Serdang, sebuah kelab motosikal di bawah Dewan Pemuda PAS Kawasan Serdang hari ini bergotong royong mengadakan program memasak bubur lambuk sempene bulan Ramadhan ini.

Program yang dijalankan di tapak Pasar Malam Seksyen 16, bersebelahan stesen Shell ini telah menarik minat anak muda bermotor besar dan kecil untuk bersama-sama menghayati ibadah sedekah dengan memberi makan kepada umat Islam yang akan berbuka puasa sebagaimana maksud Hadis Nabi yang bermaksud: "Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikitpun dari pahala orang yang berpuasa itu." (Riwayat Al-Tirmizi)

arc1Lebih kurang 10 orang ahli ARC membantu menyediakan bubur lambuk yang diketuai oleh Syed Mohammad atau lebih dikenali Pak Syed oleh anak muda Bangi dan jumlah mereka yang turun membantu bertambah menjelang petang ini dalam program agihan Bubur Lambuk ARC Power.

Agihan akan dibuat di Balai Polis, Balai Bomba Bandar Baru Bangi, Balai Polis Kajang, Hospital Pakar Azzahrah dan Hospital Pakar Annur Bangi bersama Ketua ARC Negeri Selangor, Hafiz Rois dan sebahagian Ecxo Pemuda PAS Serdang petang ini. - HARAKAHDAILY 11/6/2017

 

DAERAH Putatan pada hari ini semakin pesat membangun dalam pelbagai aspek, seperti pembangunan infrastruktur, ekonomi dan pelancongan.

Ini kerana Putatan kini menjadi salah satu destinasi pilihan pelancong dari luar negara untuk menginap dan bersiar-siar, serta menjadi laluan utama kepada pengguna jalan raya dan boleh dikatakan sebagai salah satu pintu masuk utama ke ibu negeri Sabah di Kota Kinabalu.

Oleh itu, pihak Dewan Pemuda Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Putatan mencadangkan supaya daerah Putatan mempunyai satu mercu tanda ikonik yang membolehkan daerah Putatan lebih dikenali dan menjadi salah satu daya penarik, mengetengahkan profil daerah itu sendiri, seperti mercu tanda kobis di pekan Kundasang yang terkenal dengan hasil sayuran segar, gambus di bulatan pekan Bongawan sebagai salah satu produk kebudayaan setempat dan banyak lagi tempat di Sabah yang memiliki mercu tanda daerah tersendiri yang menarik.

Pemuda PAS Putatan melihat potensi besar daerah ini sebagai salah satu daerah maju dan lebih dikenali pada masa akan datang dan berharap agar daerah Putatan memiliki satu mercu tanda ikonik, dengan cadangan tema samada kapsyen nama daerah Putatan itu sendiri, produk atau budaya tempatan serta daripada sejarah setempat, seperti asal-usul nama Putatan atau sebagai antara tempat perkembangan Islam yang terawal di Sabah. – HARAKAHDAILY 11/6/2017

Kedatangan Ramadan, bulan penuh keberkatan amat dinantikan oleh mereka yang susah dan miskin kerana pada bulan ini, ada rezeki buat mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wakaf Mempelam, Haji Mohd Abdul Wahid Endut berkata, ‘bulan al-Quran’ itu juga, orang ramai menyumbang zakat dan sedekah untuk diagihkan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Di bulan puasa ini banyak zakat yang diagihkan begitu juga sumbangan dan sedekah. PAS Wakaf Mempelam tidak ketinggalan meraikan golongan marhaen yang hidup serba kekurangan,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Beras sempena Ramadan di kediaman beliau di Seberang Baruh, Kuala Terengganu, kelmarin.

Menurutnya, sebanyak 950 kampit beras diagihkan kepada 500 penerima beserta sedikit sumbangan kewangan sebagai menampung keperluan harian mereka.

Katanya, ia membuktikan PAS amat prihatin kepada rakyat yang menghadapi kesulitan dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Timbalan Pengarah Dun Wakaf Mempelam, Ahmad Amzad Hashim.

Bantuan ‘one-off’ kerajaan Umno BN tidak membantu rakyat mengekang bebanan kos sara hidup semakin meningkat masa kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teluk Pasu, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kenaikan perbelanjaan harian rakyat yang begitu ketara hari ini adalah hasil daripada beberapa dasar dilaksanakan kerajaan seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan lain-lain.

Katanya, walaupun kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit untuk pelbagai dana, namun tahap kehidupan rakyat masih di paras yang rendah, lapor Buletin Online.

“Sepatutnya kerajaan membuat satu tindakan secara holistik, bukan sekadar dengan hanya bantuan ‘one-off’ seperti ini kerana bantuan yang seperti ini tidak banyak membantu rakyat yang dalam kesusahan.

“Sebab itu kerajaan perlu melihat secara keseluruhan bagi mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," ujar beliau ketika ditemui selepas selesai program Semarak Kasih Ramadan yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Teluk Pasu, Kuala Nerus, semalam.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan ancaman gejala sosial yang sangat dasyat khususnya dalam kalangan muda mudi.

MEMANDANGKAN lagu ‘Kelik La Wei’ ciptaan komposer Eddie Hamid mendapat sambutan hangat tahun lalu, akhirnya lagu itu diterjemahkan dalam sebuah telemovie.

Pengarah telemovie berkenaan, Zed Zamri berkata setelah lagu itu menjadi tular di media sosial tahun lalu, beliau berbincang dengan Eddie Hamid untuk dijadikan telemovie.

Katanya, setelah dipersetujui, penggambaran telemovie yang bakal dijual dalam bentuk DVD itu telah dibuat beberapa bulan lalu.

“Pada 6 Jun lalu pelancaran pra tonton drama ini diadakan di sebuah hotel. Pada masa yang sama kita raikan kira-kira 20 orang anak yatim pada majlis pra tonton itu,” ujarnya.

Katanya, telemovie dalam bentuk DVD itu dibuat bagi menyemarakkan keinginan rakyat Kelantan di perantauan pulang untuk berhari raya di kampung sendiri.

Tambah Zamri, walau di mana sekalipun seseorang itu berada, keluarga dan kampung halaman jangan dilupakan.

Menurutnya lagi, beliau berharap masyarakat Kelantan khususnya mendapatkan DVD berkenaan yang akan dijual kepada orang ramai nanti.

“Mudah-mudahan dengan cara berkenaan akan membangkitkan rasa rindu pada keluarga, kampung halaman dan sebagainya khususnya menjelang Syawal nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran PCB Resort di sini.

Telemovie berkenaan dibariskan oleh pelakon anak Kelantan sendiri di mana Zed Zamri sebagai watak utamanya berganding bersama Keena Mentor (Suriana Abdul Wahab), Mustapha Kamal, Arif Kapilla dan Amir Raja Lawak. – HARAKAHDAILY 8/6/2017

PARTI Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Putatan telah menganjurkan program Kembara Dakwah di Kampung Lok Baru, Pulau Gaya.

Aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini ialah kursus tahsin solat mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung. Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur setia selama 3 jam dalam memahami penerangan teori dan amali solat yang disampaikan.

Malahan, banyak respon positif daripada peserta kursus agar program seperti ini diteruskan secara berkala di Pulau Gaya.

Selain daripada kursus tahsin solat, pihak Lajnah Kebajikan PAS Putatan juga turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada penduduk sekitar Kampung Lok Baru sempena bulan Ramadan, bulan yang sangat dianjurkan untuk bersedekah.

Pada akhir program, wakil daripada ahli jawatankuasa kerja PAS Putatan menjelaskan bahawa, ini merupakan antara program tahunan berterusan yang telah dianjurkan oleh PAS Putatan di Pulau Gaya, kerana aspek dakwah secara konsisten merupakan antara teras penting dalam kegiatan PAS, selain daripada aspek tarbiyah dan politik.

Selain itu, PAS Putatan juga mengharapkan supaya tanggungjawab melaksanakan program dakwah di Pulau Gaya ini turut sama digalas oleh lebih banyak pihak lagi, seperti badan-badan dan pertubuhan dakwah serta agensi kerajaan yang lain supaya saudara-saudara muslimin dan muslimat di sini dapat memperoleh manfaat dari aspek kefahaman tentang Islam serta pembudayaan ilmu dan penghayatan hidup bersyariat. – HARAKAHDAILY 5/6/2017

Gaya 4

Gaya 3

Gaya 2

ADUN Chukai, Hanafiah dan PAS Chukai mengadakan majlis iftar dan sumbangan sempena Ramadan kali ini kepada 200 orang fakir miskin, 200 orang anak yatim, 60 orang-guru PASTI, guru-guru Darul Taqwa Kemaman, juga disertai 50 pelajar pondok untuk iftar.

Majlis diadakan di Dataran Banggul Square, Chukai yang juga disertai oleh AJK PAS Chukai serta lebih 100 orang penduduk setempat.

Majlis dimulakan dengan tazkirah oleh Ustaz Nik Muhammad Nasri selaku Timbalan YDP PAS Kemaman, diikuti ucapan ringkas daripada Hanafiah yang juga Naib YDP PAS Kemaman.

Sementara di sudut lain di Dataran Banggul Square, tazkirah Ramadan disampaikan oleh Ustaz Osmarizal Omar selaku Ketua Pemuda PAS DUN Chukai kepada kumpulan anak-anak yatim

Majlis penyampaian sumbangan beras dan duit dibuat sebelum hadirin berbuka puasa bersama-sama di Dataran Banggul Square tersebut.

Turut hadir ialah Johan Ismail, Bendahari PAS Kemaman, Ustaz Ali Muhammad, Ketua Urusan Ulama PAS Kemaman dan Osman, SU PAS DUN Chukai. – HARAKAHDAILY 3/6/2017

Chukai 2

Chukai 1

DEWAN Muslimat PAS Kawasan Putatan (DMPKP) telah menganjurkan kuliah "Tanyalah Ustazah: Fiqh Puasa Wanita" bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadan pada 27 Mei 2017 lalu.

Antara intipati utama kuliah adalah tentang amalan-amalan yang dianjurkan sepanjang Ramadan seperti memperbanyakan istighfar dan doa, mengerjakan solat sunat, bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan. Selain itu, para hadirin diingatkan dengan persoalan kematian yang tidak mengenal usia dan mengajak untuk sentiasa bertaubat kepada Allah lebih-lebih lagi pada bulan yang penuh rahmat ini.

Program yang berdurasi selama dua jam ini telah menunjukkan bahawa masyarakat Islam pada hari ini terutama golongan wanita sangat memerlukan bimbingan agama sejajar dengan matlamat Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Oleh itu, DMPKP menyedari akan hal ini dan telah merancang untuk mengadakan Kelas Fiqh Wanita secara berkala.

Selari dengan Negara Berkebajikan yang dibawa oleh PAS, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan DMPKP mengambil kesempatan mengagihkan barangan keperluan dapur kepada para ibu tunggal bagi meringankan beban mereka sepanjang Ramadan.
 
PAS Putatan akan terus prihatin terhadap keperluan masyarakat sekeliling dan tidak lupa berusaha untuk membimbing wanita dengan ilmu. – HARAKAHDAILY 29/5/2017

PutatFiqh 3

PutatFiqh 2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman gagal membangunkan Seberang Takir walaupun beliau merupakan wakil rakyat yang telah bekhidmat selama dua penggal bagi kawasan itu.

Menteri Besar Terengganu itu tidak mampu mengekspolitasi potensi Dun terbabit walaupun lokasinya terletak dalam garis yang begitu strategik antara bandaraya Kuala Terengganu dengan bandar baharu Kuala Nerus.

Tidak ada apa-apa perubahan ketara kepada Dun yang memiliki Lapangan Terbang Sultan Mahmud serta sumber yang berhampiran dengan muara sungai Terengganu dan Laut China Selatan.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang menyifatkan banyak projek yang dicanangkan Razif hanya ’angan-angan’.

“Datuk Seri Razif ni banyak idea yang dicetuskan kepada rakyat dalam istilah kita orang Terengganu ni ‘dak jejok bumi’, antaranya nak buat ‘River Cruise’ lah, nak jadikan orang naik penambang macam naik bas, duduk tepi jalan bas lalu tahan penambang boleh naik,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ‘Langkah Al-Fateh Dun Seberang Takir’ yang diadakan di Dataran ArRasyidin, Telaga Daing, kelmarin.

Ustaz Zakaria menambah, ini menggambarkan Razif selaku Pengerusi Umno Terengganu tidak serius dalam membangunkan kawasan yang diwakilinya.

“Jadi dia pun nak buat konsep penambang lalu tepi alur, tepi parit dan sungai, orang pun ‘tahan’ nak naik gi ke bandar (Kuala Terengganu) tapi setelah dua penggal, tak ada apa yang berlaku,” kata beliau.

Menurutnya, alur atau anak sungai yang Razif mahu jadikan laluan ‘River Cruise’ masih semak samun dan jambatan yang merentangi masih rendah, tidak mungkin dilalui oleh bot penambang.

“Kita (rakyat) dengar kelakar, tu idea dia kata, nak bagitau dia ni ‘brilliant’, otak geliga, pandai berfikir idea pelik-pelik, kesudahannya semua idea itu tidak menampakkan hasil, pelik ‘bedooh' lalu,” tambahnya.

Orang ramai disaran mengubah sikap ambil mudah tentang kebersihan persekitaran kawasan kediaman apabila ia adalah punca utama berlakunya peningkatan kes demam denggi.

Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adil Faizal Ahmad Tarmizi berkata, sikap tidak endah segelintir masyarakat dengan kebersihan kawasan penyebab utama kes itu meningkat.


“Terdapat di beberapa kawasan sekitar Klang yang saya dapati masih ada penduduk yang tidak kesah tentang kebersihan di sekitar kawasan kediaman mereka.

“Di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) kita telah menjalan tugas membersihkan di kawasan perumahan, namun di dalam rumah kita tidak ada kuasa untuk masuk tanpa kebenaran pemilik.

“Oleh itu, pemilik premis mahupun kediaman perlu bekerjasama dan pupuk sikap ambil peduli agar kita dapat bebas dari ancaman denggi,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Karnival Peduli Rakyat di Dewan Orang Ramai, Taman Eng Ann, Klang, hari ini.

Faizal berkata, pihaknya sentiasa merancang keperluan masa hadapan bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk pemuliharaan alam sekitar.

“Kita bukan sahaja melantik kontraktor tetapi kita juga turun padang untuk memantau sendiri kawasan seliaan kami.

“Walaupun kes menunjukkan penurunan namun tindakan memantau serta memusnahkan kawasan berpotensi denggi perlu diteruskan,” katanya.

Kenyataan Timbalan Ketua Parti Amanah Selayang, Wan Anwar Wan Ibrahim yang menyatakan bahawa 70% ahli aktif PAS Selayang telah menyertai parti itu adalah suatu yang mengarut dan tidak berasas.

Dia tidak pernah menjadi ahli PAS dan tidak tahu dari mana asal usulnya. Tiba-tiba sibuk cerita tentang parti yang diapun tidak tahu menahu tentang hal ehwalnya.

Saya kira lebih baik sibuk tentang ahli partinya dari menyibuk dengan parti orang lain.

Bahkan hanya seorang dua ahli yang banyak bercakap dan terkenal bermasalah sahaja yang telah meninggalkan PAS dan menyertai PAN. Bagi saya, keluar lebih baik tanpa ada niat untuk menghalau mereka.

Ini dibuktikan sebaliknya dengan keaktifan ahli di seluruh peringkat dari kawasan hingga cawangan-cawangan yang sedang giat berkerja setiap hari mempertahankan kemenangan di Dun Taman Templer dan Selayang umumnya.

Ditambah juga dengan penubuhan cawangan-cawangan baru dan pemerkasaan cawangan-cawangan sedia ada bagi persiapan untuk menghadapi PRU ke-14 nanti.

Rasanya rakyat di Selayang lebih mengetahui fakta dari auta yang diwar-warkan.

Saya rasa PAN ini terlalu 'kemaruk' untuk mempengaruhi pengundi-pengundi dengan dakyah tanpa asas dan bukti.

Saya berharap PAN Selayang tumpu kepada kerja anda dari sibuk mencari publisiti murahan yang dusta dan jijik.

PAS Selayang juga sudah bersedia untuk mempertahankan kemenangan sedia ada dan bersedia ke arah menawan Parlimen Selayang dan Dun-Dun lain jika ia mendesak kepada kami untuk melakukan sedemikian rupa.

Mohd Farhan Madzlan
Ketua Penerangan PAS Kawasan Selayang

DEWAN Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya (DMPKPJ) telah berjaya melaksanakan satu program yang dinamakan "Ziarah Kasih Ramadhan" melalui edaran kuih dan buah kurma sempena kedatangan bulan Ramadhan bertempat di Hospital Umum Sarawak (HUS), semalam.

Turut bersama dalam program tersebut, Puan Habsah Bujang selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya bersama AJK yang lain. Komitmen yang diberikan oleh semua ahli Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya terhadap program bersifat komuniti rakyat ini, menunjukkan Muslimat PAS mesra dan cakna kepada rakyat.

Turut diedar bersama, kalendar berbuka puasa yang diterbitkan oleh Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang juga merupakan salah satu institusi pendidikan kelolaan Dewan Pemuda PAS. Ini adalah sebagai tanda sokongan Dewan Muslimat PAS terhadap sistem pendidikan yang dibuat oleh PASTI itu sendiri yang mana pendidikan PASTI adalah berteraskan Rabbaniyah dan Islamiyyah.

Sebanyak 100 kotak kuih muih serta buah kurma telah diedarkan kepada semua staf, pesakit dan ahli keluarga, juga kakitangan yang berada di hospital tersebut. Para penerima, menerima baik sumbangan yang diberikan oleh Dewan Muslimat PAS. Hal ini menunjukkan masyarakat tidak lagi bersifat 'alergic' terhadap PAS itu sendiri malahan dapat menerima baik kehadiran dan kunjungan daripada Muslimat PAS.

"Ramadhan Kareem". Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya dengan ini amat mengharapkan agar Ramadhan kali ini menjadi madrasah bagi ibu-ibu dan seluruh kaum muslimat untuk meraih lebih banyak pahala dan barakah yang terkandung di dalamnya.