DUNGUN: Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (J3K) turut mempunyai peranan penting menjadikan menjadikan Terengganu negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Sehubungan itu anggota J3K diharap memikul tanggungjawab dengan penuh amanah serta sentiasa menjaga tingkah laku, demikian nasihat Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman

Beliau turut mengingatkan agar semua anggota J3K tidak mudah lupa diri dengan jawatan yang dimiliki kerana ia akan memberi kesan kepada pentadbiran Wisma Darul Iman.

Seru beliau, J3K perlu memudahkan urusan dan menjadi 'jambatan' yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan negeri serta menjadi agen bagi mendengar masalah rakyat.

Beliau berkata demikian paa Majlis Penyampaian Surat Perlantikan di Dewan Perbandaran Dungun, di sini semalam, demikian lapor Buletin Online.

“Kita mengharapkan komitmen yang tinggi, jitu dan kesungguhan dari setiap (orang) yang dilantik. Galas dan pikullah tanggungjawab ini dengan penuh amanah, jagalah etika, adab dan tingkahlaku yang sesuai sepanjang bersama rakyat," nasihatnya. -HARAKAHDAILY 30/7/2018

KUALA PILAH: Dewan Muslimat PAS Malaysia bersama Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan telah mengadakan Gelombang AKIFI Siri Ke-10 di PASTI Harmoni, Juaseh, di sini kelmarin dahulu.
 
Program dipimpin Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh itu dalam rangka untuk terus memantapkan tarbiyah dalam kalangan anggota Muslimat di negeri ini.
 
Majlis dimulakan dengan iftar diikuti solat berjamaah serta zikir munajat yang dialunkan penuh penghayatan oleh para peserta di mana ia telah diijazahkan oleh mantan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haron Din.
 
Ustazah Nuridah dalam taujihatnya menasihatkan anggota Muslimat untuk kekal melazimi zikir munajat ke arah memantapkan jiwa dan jasad kerana ia juga pendinding kekuatan dalam melaksanakan gerak kerja.
 
AKIFI yang merupakan singkatan Alim, Haraki dan Sufi itu merupakan inisiatif Muslimat PAS dalam memperteguhkan komitmen perjuangan para anggotanya.
 
Majlis tersebut telah dihadiri ahli Muslimat PAS dari Kawasan Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Rembau dan Seremban, selain peserta dari Nusaibah, Briged dan Guru-guru PASTI. -HARAKAHDAILY 29/7/2018

KEMAMAN: Masalah bau busuk dihadapi penduduk sekitar Kertih dan Paka berpunca dari aktiviti syarikat pengeluar makanan haiwan, CJ Bio Malaysia Sdn Shd (CJ Bio), di sini bakal berakhir.
 
Perkembangan positif tercapai hasil perbincangan bersama CJ Bio, Kerajaan Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Kesihatan serta wakil penduduk.
 
Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang turut serta dalam perjumpaan tersebut berkata, CJ Bio telah berjanji untuk mengatasi masalah tersebut secepat mungkin.
 
"Perbincangan berlangsung dalam suasana sangat mesra dan muhibah, komitmen untuk selesaikan masalah telah diberikan oleh pihak sCJ Bio," katanya di kilang CJ Bio di Kertih, di sini, Isnin lalu.
 
Menurutnya, pihak beliau di Dun Kemasik juga banyak menerima aduan penduduk terutamanya dari Kampung Batu Putih dan Pengkalan Ranggon dan beliau menyarankan CJ Bio mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan JAS.
 
"Tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama penduduk setempat bagi mengeratkan hubungan serta mengatasi masalah berbangkit perlu diteruskan.
 
"Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak dalam perjumpaan ini diharap dapat membantu menyelesaikan masalah yang berlanjutan sejak tiga tahun lepas," tambah Ir Saiful. -HARKAHDAILY 26/7/2018
 

PETRA JAYA: Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya telah menganjurkan program "Kamek Prihatin Kesihatan Kitak" di Kampung Samariang Batu, di sini kelmarin.
 
Program berobjektifkan dakwah dan kebajikan ini telah berjaya menarik ramai penduduk sekitar untuk turun menyertai aktiviti-aktiviti yang disusun.
 
Antara aktiviti tersebut adalah pemeriksaan kesihatan percuma, Kuliah Dhuha, bacaan Yasin dan tahlil, jualan amal, aktiviti mewarna, cabutan bertuah dan jamuan makan.
 
Pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan telah mendapat kerjasama dari pegawai-pegawai perubatan ppasukan Medik Muslimat (MUSMEDIK). 
 
Selain itu, sesi penerangan mengenai ubat-ubatan oleh pegawai farmasi turut dijalankan bagi mendidik masyarakat berkenaan penggunaan ubat-ubatan dengan betul dan selamat.
 
Kuliah Dhuha pula telah disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Turut hadir bersama memeriahkan majlis adalah Pengerusi Assabiqat Dewan Muslimat PAS Malaysia, Khadijah Salleh dan Ketua Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang.
 
"Kami di Dewan Muslimat PAS Petra Jaya akan terus komited menyahut seruan PAS Pusat untuk terus istiqamah turun ke lapangan bagi mendekati masyarakat walaupun bukan di musim pilihan raya," ujar Habsah. -HARAKAHDAILY 25/7/2018

BESUT: Jenazah bapa mertua Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Besut petang semalam.
 
Allahyarham Jusoh Hassan, 78, telah kembali menemui pencipta-Nya jam 9.18 malam Isnin kelmarin di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
 
Allahyarham semasa hayatnya terkenal sebagai kontraktor yang cukup berjaya sekitar tahun 80-an di daerah ini dan sikap pemurah beliau menyebabkan cukup disenangi oleh masyarakat.
 
"Sepanjang mengenali arwah, beliau tidak pernah bercakap buruk kepada sesiapa, pernah beberapa kali dianugerahkan Tokoh Mithali Peringkat Daerah Besut atas kejayaan arwah mendidik anak-anaknya.
 
"Allahyarham meninggalkan 11 anak dan seorang balu, Zaharah @ Maimum Yaakub, juga berusia 78 tahun.
 
"Hampir 11 hari di rawat di CCU ( Coronary Care Unit ) Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat masalah lemah jantung, darah tinggi dan akhirnya melarat ke masalah kegagalan buah pinggang yang dikenal pasti oleh pihak hospital sebagai penyebab kematian," Sanusi.
 
Sementara itu, antara kenamaan yang turut hadir semasa majlis pengkebumian adalah Senator Dewan Negara, Dato' Husain Awang dan wakil Adun Kota Putera dan Kemasik. -HARAKAHDAILY 25/7/2018

KOTA SAMARAHAN: Dewan Muslimat PAS Malaysia terus menyemarakkan gerak kerjanya menerusi siri jelajah Gelombang AKIFI yang sampai di Zon Selatan Sarawak, kelmarin.
 
Selain Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan sebagai tuan rumah, program itu turut menghimpunkan anggota Muslimat daripada PAS Kawasan Petra Jaya, Saadong Jaya dan Santubong.
 
Program dipimpin sendiri Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh itu diisi dengan solat berjamaah, zikir munajat serta tazkirah yang diadakan di Taman Palm Villa, di sini.
 
AKIFI merupakan singkatan daripada Alim, Haraki dan Sufi yang diinisiatifkan Muslimat PAS untuk melahirkan anggota aktif di bidang siyasah tanpa mengabaikan tarbiyah dalam diri.
 
“Walaupun PRU14 telah berakhir, kita tetap perlu teruskan gerak kerja kita sebagai persediaan untuk PRN dan PRU yang akan datang,” ujar Ustazah Nuridah.
 
Beliau turut mengingatkan agar para Muslimat terus istiqamah bertemu dan beramah mesra dengan pengundi di kawasan masing-masing sebagai salah satu usaha memperkenalkan PAS kepada masyarakat. -HARAKAHDAILY 24/7/2018

KEMAMAN: Kempen 'Jom Plogging' iaitu program komuniti berjoging sambil mengutip sampah di pesisir Pantai Kuala Kertih di sini, turut disertai Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili sempena cuti hujung minggu kelmarin.

"Acara pagi ini sebenarnya menjadi menjadi rutin hampir setiap minggu, ianya dipelopori oleh saudara Zulkefli Saji bersama isterinya, Normazita Ali yang tinggal berhampiran sini.

"Alhamdulillah, ada sedikit luang waktu pagi ini dan rasa terpanggil untuk menyertai aktiviti mereka, hajat ini sudah lama terpendam sebenarnya.

"Seronok juga dapat bersenam dengan berjalan-jalan anak sambil mengutip sampah dalam suasana tiupan angin pantai," kata Ir Saiful ketika ditemui.

Sementara itu Zulkifli Sarji berkata, penglibatan awal beliau dan isteri bermula apabila setiap kali ke pantai untuk bersenam perasaan kurang selesa timbul apabila melihat keadaan pantai yang tidak bersih.

Ujarnya, terdapat banyak sampah telah ditinggalkan pengunjung, sehubungan itu disamping bersenam mereka juga mengutip sampah di mana teladan itu kemudian diikuti ramai orang.

"Alhamdulillah, hari ini ada satu 'department' (jabatan) dari PPTSB (Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd) yang ikut kita, dengan keluarga dalam 20 orang serta yang lain-lain supaya kita boleh bersama kerajaan menjaga kebersihan pantai," kata Zulkifli lagi.

Ir Saiful juga berharap tempat seindah Pantai Kuala Kertih ini dapat dijaga kebersihan sepenuhnya bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi juga oleh rakyat terutama pengunjung.

"Terima kasih kepada saudara Zulkifli Sarji dan isterinya Normazita Ali dan seluruh yang hadir pagi ini bagi memastikan pantai kita sentiasa bersih.

"Suatu inisiatif yang sangat baik dan disokong, semoga kerja baik ini dapat diteruskan oleh seluruh masyarakat," kata Ir Saiful Azmil penuh optimis di hadapan hampir 60 peserta yang menjayakan aktiviti berfaedah itu. -HARAKAHDAILY 23/7/2018

DUNGUN: Kerajaan disaran supaya membangunkan pelbagai produk Pelancongan Agro sejajar dengan perasmian projek herba oleh Sultan Terengganu di Kampung Pasir Raja, di sini.
 
Menurut bekas Pengerusi Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR), Tengku Alias Tengku Mat Rani, 70, Kerajaan PAS Terengganu bersama penduduk pernah mengusahakan ternakan udang galah di situ.
 
Katanya, ketika itu, mantan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri, Al-Marhum Ustaz Abu Bakar Chik datang sendiri ke kampung tersebut bagi menyempurnakan projek bernilai ekonomi itu.
 
Selain pengeluaran udang yang berjaya beliau menambah, terdapat lebih 100 ekar tanah sawah diusahakan oleh penduduk berhampiran kolam udang tersebut.
 
“Ada 15 buah kolam udang semua yang menjalankan ternakan udang galah kerana kawasan ini amat sesuai.
 
“Belakang sana ada 100 ekar, masa PAS (perintah) buat, bila BN menang semula, jadi terbiar,” ujarnya.
 
Justeru, Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut sama dalam lawatan itu bersetuju dengan cadangan veteran Kampung Pasir Raja itu. 
 
Katanya, beliau bersama Pengerusi J3K, Tengku Mohd Yunus Tengku Mat Rani akan membawa cadangan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim.
 
“Kita akan bawa cadangan yang baik ini dan mengusulkan cadangan pembangunan semula kolam dan sawah itu, yang boleh menarik pelancong dalam dan luar.
 
“Saya juga akan bawa kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, YB Ariffin Deraman.
 
“Kerana kawasan ini, Hulu Dungun ini memang terkenal dengan pusat tarikan dengan adanya kawasan aktiviti lasak Sungai Kelemin dan air terjun tertinggi di Asia, Chemerong,” jelas beliau.
 
Semalam, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah mencemar duli mudik ke hulu Dungun bagi merasmikan Herba Integrasi di kampung pedalaman itu.
 
Menurut Pengerusi Bioalpha Holdings Berhad, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, syarikat yang diberi tanah tanah seluas 1000 ekar oleh kerajaan negeri negeri itu, mereka telah berjaya mewujudkan 32 peladang satelit.
 
Namun menurut Ghazali, masih kurang jumlah pengambilan pekerja tempatan dalam perusahaan bioteknologi yang tersenarai di bursa Malaysia sejak 2015. -HARAKAHDAILY 23/7/2018
 
 
 
 

BESUT: Empangan Paya Peda bernilai RM333 juta yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu, kini telah beroperasi sepenuhnya, demikian menurut Exco Kerajaan Negeri, Dr Azman Ibrahim.
 
Katanya, empangan seluas 77 kilometer persegi dan terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga, Jerteh itu beroperasi bagi keperluan perancangan masa hadapan serta sumber bekalan air kepada penduduk.
 
Beliau telah mengadakan lawatan ke empangan tersebut dan mendapat taklimat daripada Pengarah Lembaga Kemajuan Terengganu Utara (IADA KETARA), Fatimah Abdul Hamid, di sini kelmarin.
 
Jelas beliau, operasi empangan itu bukan sahaja membekalkan air termasuk mengairi kawasan penanaman padi, malah berperanan mengawal banjir dengan air boleh dilepaskan secara sistematik.
 
“Portfolio Pertanian ini yang agak besar dengan  33 jabatan dan agensi. (Kita turun) supaya kita boleh jumpa dengan kakitangan di peringkat paling bawah.
 
"Mendengar daripada mereka sendiri apa yang berlaku dan sedang dilakukan, serta isu supaya maklumat yang tepat kita boleh ke hadapan dengan langkah dan perancangan serta hasil yang terbaik kepada rakyat,” jelasnya.
 
Siri pemimpin bertemu kakitangan di bawah portfolio mereka itu turut disertai Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Hilmi Harun dan pemimpin politik antaranya Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Besut, Shalahuddin Jaafar.
 
Beliau turut mengemukakan cadangan supaya kawasan pulau yang tanahnya subur dan tidak berapa tinggi dapat diadakan aktiviti pertanian sama ada kekal ataupun kontan untuk kegiatan penduduk sekitar. -HARAKAHDAILY 22/7/2018

POKOK SENA: PAS Kawasan Pokok Sena kehilangan seorang veteran yang sebelum ini antara yang banyak memberi sumbangan untuk pembangunan parti di kawasan ini.

Cikgu Mahmud Ahmad, 86, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira jam 8.00 pagi tadi akibat sakit tua.

Menurut YDP kawasan, Wan Romani Wan Salim, allahyarham merupakan bekas bendahari PAS kawasan dan juga pernah memegang amanah selaku bendahari Muasasah Darul Ulum, Pokok Sena. (Foto atas: KENANGAN…Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhrudin ketika menziarah Cikgu Mahmud.)

"Jasa beliau kepada PAS Kedah dan Pokok Sena sangat besar. Beliau sanggup mengorbankan harta benda, wang ringgit dan tenaga untuk perjuangan PAS," ujar beliau.

Katanya, allahyarham adalah bekas guru besar dan pernah menjadi calon PAS dalam PRU memberi komiten kepada PAS sehingga akhir hayat.

"Saya mewakili PAS Kawasan Pokok Sena mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau dan semoga bersabar di atas kehilangan ini," sambung Adun Bukit Pinang itu lagi.

Jenazah Cikgu Mahmud yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Durian selepas solat Asar. – HARAKAHDAILY 22/7/2018

SANDAKAN: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kawasan Sandakan telah menaja seorang guru bagi menunaikan umrah pada hujung tahun ini.
 
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi PASTI Kawasan Sandakan, Heryanto Ladati dalam majlis Sambutan Hari Guru yang diadakan di Hotel Hsiang Garden, di sini semalam.
 
Guru PASTI Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Siti Sofiah Rafiei yang telah berkhidmat selama 29 tahun di PASTI Sandakan telah terpilih bagi melaksanakan ibadah tersebut.
 
Menurut Heryanto, pemilihan Siti Sofiah adalah sebagai tanda penghargaan besar buat beliau atas segala jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan selama menabur bakti di PASTI.
 
Katanya lagi, Siti Sofiah merupakan antara pengasas PASTI Sandakan sejak ia ditubuhkan pada tahun 1989 sehinggalah berkembang seperti hari ini.
 
Selain itu, Heryanto turut memberikan komitmen untuk menaja lebih ramai guru menunaikan umrah pada masa akan datang bergantung kepada prestasi kewangan PASTI. -HARAKAHDAILY 22/7/2018

PUTATAN: PASTI Ar-Raihan yang mengalami musibah kebakaran hingga memusnahkan lebih 80 peratus struktur bangunan dan peralatan di dalamnya beriltizam untuk terus bangkit.

Kesungguhan memberi khidmat ta'alim kepada ummah itu dibuktikan apabila kurang seminggu kejadian, operasi dan proses pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan semula pada 12 Mac lalu.

Ketika ini kelas diadakan seperti jadual biasa serta kekal di bawah bimbingan gurunya, Amina Wgkong dan Mersum Romy dengan menumpang sementara di premis Madrasah As-Salam Kampung Contoh.

Menghargai pelbagai pihak yang membantu dan memberi semangat serta menyokong tekad para murid, guru dan ibu bapa, Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin sendiri turun ke lokasi kejadian.

Beliau dalam pada itu juga menyatakan komitmen untuk memastikan operasi dapat dilaksanakan seperti sedia kata menerusi bantuan yang akan disalurkan dari masa ke masa.

Dalam kejadian 7 Mac lalu, sebahagian besar struktur PASTI Ar-Raihan musnah pada kebakaran lewat malam itu yang puncanya masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Orang ramai juga diseru mendukung hasrat dan inisiatif sedang digerakkan menerusi sumbangan ke akaun PASTI Kawasan Putatan di BIMB 1001 6010 0595 08 dan maklumat lanjut boleh hubungi Ustaz Muhasibi 013-803 8545. - HARAKAHDAILY 16/3/2018