Takziah pemergian Hafiz pelumba muda

Komuniti
Typography

SALAM takziah daripada DACS Malaysia. DACS Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Hafiz Nor Azman, 22 tahun, pelumba Cub Prix yang telah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika pusingan terakhir perlumbaan di Dataran Bandar Penawar, Johor tempoh hari.

Kemalangan dipercayai berlaku selepas pelumba di hadapan Hafiz terlanggar penghadang di tepi litar menyebabkan penghadang itu terkeluar ke tengah litar dan pada masa sama Hafiz tidak sempat mengelak, kemudian menyebabkannya melanggar objek yang terpelanting keluar dari litar sehingga motosikalnya terjatuh.

DACS Malaysia amat bersimpati di atas insiden yang berlaku dan pada masa yang sama mendesak pihak penganjur disiasat dan disoal punca kemalangan ini berlaku agar kejadian sama tidak berulang di masa hadapan.

Allahyarham seorang pelumba muda yang berbakat dan berpotensi besar untuk menjadi pelumba hebat pada masa hadapan. DACS mencadangkan satu siasatan terperinci dilakukan oleh pihak berkuasa terhadap pihak penganjur. Soal keselamatan litar wajib diletakkan sebagai keutamaan yang paling penting oleh mana-mana penganjur perlumbaan. Lesen penganjuran hendaklah diberikan setelah segala aspek keselamatan diperiksa dengan teliti. Semua ini penting agar tidak lagi berlaku kemalangan yang sebenarnya boleh dielakkan dan agar negara tidak hilang lagi pelumba yang berbakat besar mewakili negara suatu hari nanti.

Kami DACS Malaysia sentiasa mendoakan keselamatan para pelumba ketika mana-mana perlumbaan. Kerjasama yang baik kedua-dua pihak antara penganjur dan pasukan lumba akan menjamin sukan lumba motorsikal ini berkembang pesat sekali gus dapat melahirkan ramai lagi bakat-bakat baru untuk negara.

Sekian.

MUHAMMAD FADZLI ABU BAKAR

Pengarah,
Department of Arts, Culture and Sports (DACS).
Dewan Pemuda PAS Malaysia. - HARAKAHDAILY 21/12/2018