PRU14: PAS Dungun tekad kuasai lima kerusi

Komuniti
Typography

PAS Kawasan Dungun komited untuk merealisasikan hasrat PAS Terengganu memerintah dengan mengekalkan kerusi yang dimenangi dan bertekad untuk memenangi Dun Bukit Besi N.25 pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Yang Dipertuanya, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli berkata, dengan gerak kerja yang tersusun dan komitmen daripada jentera semua peringkat, insya Allah akan dapat mengekalkan kerusi yang dimenangi pada PRU13.

“Parlimen Dungun yang dimenangi dengan majoriti lebih 3,000 undi tentunya akan menjadi pembakar semangat kepada 3 Dun (Sura, Rantau Abang dan Paka) untuk terus bekerja mempertahankan kerusi yang dimenangi.

“Manakala Dun Bukit Besi, kita akan terus memberi khidmat kepada masyarakat di sana melalui gerak kerja kebajikan untuk bertemu dengan semua pengundi” katanya semasa rehat pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Dungun Kali Ke-58 di Dewan Besar Darul Bayan, Pinang Merah, Dungun semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Dungun menambah, untuk mengekalkan kemenangan ini memerlukan semua penyokong dan pendukung memberi kerjasama dengan melaporkan perkara berkaitan yang memerlukan perhatian dan pertolongan terutama kepada pengundi dalam kawasan Dungun.

“Dulu di Dun Bukit Besi kita tidak dapat masuk untuk berkempen pada PRU13, sehinggakan kita nak masuk minum pun penduduk tidak suka.

“Tapi sekarang setelah banyak perkara kita buat seperti ziarah mereka bila ada kematian dan sakit dan juga pertolongan bagi meringankan beban harian, mereka dapat menerima PAS sejak kebelakangan ini.

“Ini tentunya ada perubahan kepada pengundi N.25 itu sendiri," katanya dipetik Buletin Online.

Mesyuarat agung tahunan itu dirasmikan oleh AJK PAS Pusat yang juga Adun Sabak, Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi.

Dungun2