PRU14: PAS Kuala Nerus sasar menang semua kerusi

Komuniti
Typography

PAS Kawasan Kuala Nerus kini mempersiapkan jentera pilihan rayanya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan sasaran memenangi semua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam parlimen itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Alias Razak berkata, kawasan itu yakin akan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada PRU ke-13 lalu dan sedang bekerja keras di Dun Seberang Takir.

“Keadaan ‘mood’ rakyat hari ini dan prestasi gerak kerja parti (PAS) yang sedang berjalan ini, insya Allah.

“Parlimen kita boleh pertahankan (kemenangan) dan tiga Dun (Bukit Tunggal, Tepoh dan Teluk Pasu), insya Allah.

“Saya lebih nampak (Dun) Seberang Takir itu berpotensi untuk kita menang. Sebab, (Datuk Seri) Ahmad Razif (Menteri Besar) itu sendiri sudah jadi liabiliti,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Menurut beliau, kekalahan PAS pada PRU13 lalu di Dun Seberang Takir yang diwakili oleh Ahmad Razif itu tidak banyak dan boleh diatasi.

Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 2 PAS Terengganu berkata PAS negeriu telah lama bersiap sedia menghadapi PRU14.

Jelasnya, sejurus PRU13 lalu, PAS Terengganu terus melancarkan ‘road map’ untuk ke Wisma Darul Iman pada PRU14.

“Terutamanya, Dun tumpuan. Kita (PAS) akan tanding belaka (32 Dun) dan lapan Parlimen. Tetapi, kita juga ada Dun-Dun sasaran yang perlu kita fokus.

“Kita akan gerakkan seluruh jentera parti secara bersepadu untuk mencapai pelan ‘road map’ menuju ke Wisma Darul Iman kali ketiga, insya Allah.

“Sasaran utama kita adalah mana-mana pengundi yang condong PAS akan diberi lebih perhatian supaya mereka menyokong PAS pada PRU14,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Tunggal itu berkata demikian ketika program ziarah di Unit Peti Undi (UPU) Batu Enam, Kuala Nerus, baru-baru ini.

Menurutnya, Dun Bukit Tunggal mempunyai tujuh UPU dan 23 cawangan yang menjadi aset penting bagi kemenangan PAS.

Antaranya kata beliau, UPU Batu Enam, Pak Katak, Bukit Tunggal, Gong Kijang, Bukit Tumbuh, Pulau Duyung dan UPU Pulau Ketam.