Masalah bau busuk bakal berakhir

Komuniti
Typography
KEMAMAN: Masalah bau busuk dihadapi penduduk sekitar Kertih dan Paka berpunca dari aktiviti syarikat pengeluar makanan haiwan, CJ Bio Malaysia Sdn Shd (CJ Bio), di sini bakal berakhir.
 
Perkembangan positif tercapai hasil perbincangan bersama CJ Bio, Kerajaan Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Kesihatan serta wakil penduduk.
 
Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang turut serta dalam perjumpaan tersebut berkata, CJ Bio telah berjanji untuk mengatasi masalah tersebut secepat mungkin.
 
"Perbincangan berlangsung dalam suasana sangat mesra dan muhibah, komitmen untuk selesaikan masalah telah diberikan oleh pihak sCJ Bio," katanya di kilang CJ Bio di Kertih, di sini, Isnin lalu.
 
Menurutnya, pihak beliau di Dun Kemasik juga banyak menerima aduan penduduk terutamanya dari Kampung Batu Putih dan Pengkalan Ranggon dan beliau menyarankan CJ Bio mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan JAS.
 
"Tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama penduduk setempat bagi mengeratkan hubungan serta mengatasi masalah berbangkit perlu diteruskan.
 
"Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak dalam perjumpaan ini diharap dapat membantu menyelesaikan masalah yang berlanjutan sejak tiga tahun lepas," tambah Ir Saiful. -HARKAHDAILY 26/7/2018