Ir Saiful sertai 'Jom Plogging'

Komuniti
Typography

KEMAMAN: Kempen 'Jom Plogging' iaitu program komuniti berjoging sambil mengutip sampah di pesisir Pantai Kuala Kertih di sini, turut disertai Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili sempena cuti hujung minggu kelmarin.

"Acara pagi ini sebenarnya menjadi menjadi rutin hampir setiap minggu, ianya dipelopori oleh saudara Zulkefli Saji bersama isterinya, Normazita Ali yang tinggal berhampiran sini.

"Alhamdulillah, ada sedikit luang waktu pagi ini dan rasa terpanggil untuk menyertai aktiviti mereka, hajat ini sudah lama terpendam sebenarnya.

"Seronok juga dapat bersenam dengan berjalan-jalan anak sambil mengutip sampah dalam suasana tiupan angin pantai," kata Ir Saiful ketika ditemui.

Sementara itu Zulkifli Sarji berkata, penglibatan awal beliau dan isteri bermula apabila setiap kali ke pantai untuk bersenam perasaan kurang selesa timbul apabila melihat keadaan pantai yang tidak bersih.

Ujarnya, terdapat banyak sampah telah ditinggalkan pengunjung, sehubungan itu disamping bersenam mereka juga mengutip sampah di mana teladan itu kemudian diikuti ramai orang.

"Alhamdulillah, hari ini ada satu 'department' (jabatan) dari PPTSB (Petronas Penapisan Terengganu Sdn Bhd) yang ikut kita, dengan keluarga dalam 20 orang serta yang lain-lain supaya kita boleh bersama kerajaan menjaga kebersihan pantai," kata Zulkifli lagi.

Ir Saiful juga berharap tempat seindah Pantai Kuala Kertih ini dapat dijaga kebersihan sepenuhnya bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi juga oleh rakyat terutama pengunjung.

"Terima kasih kepada saudara Zulkifli Sarji dan isterinya Normazita Ali dan seluruh yang hadir pagi ini bagi memastikan pantai kita sentiasa bersih.

"Suatu inisiatif yang sangat baik dan disokong, semoga kerja baik ini dapat diteruskan oleh seluruh masyarakat," kata Ir Saiful Azmil penuh optimis di hadapan hampir 60 peserta yang menjayakan aktiviti berfaedah itu. -HARAKAHDAILY 23/7/2018