Empangan Paya Peda beroperasi sepenuhnya

Komuniti
Typography
BESUT: Empangan Paya Peda bernilai RM333 juta yang pernah menjadi kontroversi suatu ketika dahulu, kini telah beroperasi sepenuhnya, demikian menurut Exco Kerajaan Negeri, Dr Azman Ibrahim.
 
Katanya, empangan seluas 77 kilometer persegi dan terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga, Jerteh itu beroperasi bagi keperluan perancangan masa hadapan serta sumber bekalan air kepada penduduk.
 
Beliau telah mengadakan lawatan ke empangan tersebut dan mendapat taklimat daripada Pengarah Lembaga Kemajuan Terengganu Utara (IADA KETARA), Fatimah Abdul Hamid, di sini kelmarin.
 
Jelas beliau, operasi empangan itu bukan sahaja membekalkan air termasuk mengairi kawasan penanaman padi, malah berperanan mengawal banjir dengan air boleh dilepaskan secara sistematik.
 
“Portfolio Pertanian ini yang agak besar dengan  33 jabatan dan agensi. (Kita turun) supaya kita boleh jumpa dengan kakitangan di peringkat paling bawah.
 
"Mendengar daripada mereka sendiri apa yang berlaku dan sedang dilakukan, serta isu supaya maklumat yang tepat kita boleh ke hadapan dengan langkah dan perancangan serta hasil yang terbaik kepada rakyat,” jelasnya.
 
Siri pemimpin bertemu kakitangan di bawah portfolio mereka itu turut disertai Exco Kerajaan Negeri, Ustaz Hilmi Harun dan pemimpin politik antaranya Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Besut, Shalahuddin Jaafar.
 
Beliau turut mengemukakan cadangan supaya kawasan pulau yang tanahnya subur dan tidak berapa tinggi dapat diadakan aktiviti pertanian sama ada kekal ataupun kontan untuk kegiatan penduduk sekitar. -HARAKAHDAILY 22/7/2018