JAM Putatan adakan jambori

Komuniti
Typography

JABATAN Amal Malaysia (JAM) Negeri Sabah kawasan Putatan telah menganjurkan program Jambori Amal Putatan yang bertempat di Pantai Meruntum, Putatan. Program selama dua hari satu mala mini bermula pada hari Sabtu bersamaan dengan 11 Mac 2017 dan berakhir pada 12 Mac 2017.

Jambori atau perkhemahan ini diadakan adalah bertujuan untuk melatih dan mempersiapkan anggota JAM yang lebih dikenali sebagai Unit Amal dengan kemahiran-kemahiran asas  khusus yang perlu dikuasai oleh setiap Unit Amal ketika berkhidmat atau bertugas serta memperkenalkan  JAM kepada masyarakat setempat melalui kegiatan khidmat sosial.

Seramai 30 orang peserta telah menyertai jambori ini. Mereka adalah terdiri daripada golongan remaja yang berusia lingkungan 13 hingga 25 tahun, bukan sahaja daripada Putatan, tetapi juga disertai oleh peserta dari kawasan sekitar seperti Papar, Penampang dan Sepanggar, serta turut disertai oleh seorang peserta berumur 10 tahun yang sangat berminat dengan aktiviti luar seperti ini.

Para peserta sangat berpuas hati dan seronok dengan pelbagai aktiviti yang telah diaturkan oleh pihak penganjur. Antara aktiviti yang telah diadakan, sesuai dengan objektif program untuk menerapkan kemahiran Unit Amal adalah seperti latihan pertolongan cemas dan menyelamat, ikatan dan simpulan, asas kawalan lalu-lintas, latihan kawad statik, upacara pemeriksaan pasukan kawad dan penerimaan anugerah, kemahiran menyediakan masakan dalam hutan serta tidak ketinggalan program kerohanian seperti solat berjamaah, zikir munajat dan tazkirah.

Dalam tazkirah maghrib yang disampaikan oleh Ketua Urusan Ulama PAS kawasan Putatan, ditekankan bahawa adalah perlu bagi setiap Unit Amal supaya sentiasa menjadikan sifat ikhlas sebagai pegangan, sesuai dengan motto JAM, iaitu ‘Beramal Kerana Allah’. Oleh sebab itu, setiap Unit Amal perlu ikhlas dalam menjalankan tugas di lapangan masyarakat, tanpa mengharapkan sebarang upah atau balasan.

Pada hari terakhir program, semua peserta jambori bergerak dari tapak perkhemahan menuju ke Masjid Kampung Meruntum untuk melaksanakan khidmat sosial bersama-sama masyarakat setempat, bergotong-royong membersihkan kawasan masjid. Selesai gotong-royong di masjid, para peserta kembali ke tapak perkhemahan untuk melaksanakan majlis perasmian penutup.

Dalam majlis perasmian penutup pada jam 11.00 pagi itu, para peserta jambori telah siap sedia berkumpul dalam kedudukan kawad untuk diperiksa. Majlis perasmian penutup Jambori Amal Kawasan Putatan telah disempurnakan oleh Tuan Yusrizal, Timbalan Ketua Pemuda PAS Kawasan Putatan serta menyampaikan anugerah dan hadiah kepada para peserta.

Beliau dalam ucapannya menekankan kembali supaya setiap Unit Amal perlu ikhlas dalam berkhidmat, serta menunjukkan akhlak yang terbaik semasa bertugas, kerana ia juga merupakan salah satu pendekatan yang baik dalam dakwah kepada masyarakat, melalui kerja-kerja amal dan khidmat yang lain, seperti bantuan ketika bencana, kawalan keselamatan serta melancarkan perjalanan program parti ketika diperlukan.

Program ini selesai pada jam 12.00 tengahari. – HARAKAHDAILY 13/3/2017

JAMPutatan 1

JAMPutatan 2JAMPutatan 6

JAMPutatan 7