MP Dungun serah peralatan bekalan air percuma

Komuniti
Typography

AHLI Parlimen Dungun menyerahkan peralatan untuk membekalkan sumber air mentah untuk kegunaan sebahagian lagi penduduk Kampung Jagung, Hulu Dungun.

Tahun lepas projek fasa pertama sudah dapat disiapkan dengan kaedah gotong royong.

Sumber bekalan air mentah tanpa rawatan dari Sungai Bangan sehingga sekarang masih digunakan oleh penduduk Kampung Shukur.

Kali ini untuk 22 keluarga di Kampung Jagung, juga akan disiapkan dengan kaedah gotong royong.

Kali ini paip getah dia inci hampir satu kilomeeter dibekalkan untuk tujuan ini.

Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli menjangkakan dalam tempoh seminggu bekalan air mentah terus dari sungai akan disiapkan dengan kerjasama penduduk setempat.

“Insya Allah dengan bahan mentah dapat disediakan, projek ini akan berjalan dengan mengikut sepertimana dirancangkan. Walaupun agak sukar mencari sumber kewangan, kami mencuba sedaya upaya bagi menjayakannya.

“Penduduk di sini sudah tahu Ahli Parlimen PAS tidak ada peruntukan kewangan untuk apa jua projek untuk rakyat.

“Alhamdulillah, kita berjaya mencari sumber kewangan hampir RM10,000 untuk menyediakan bahan utama paip bagi sambungan dari punca air Sungai Jagung,” katanya lagi ketika berucap di hadapan penduduk kampung.

Beliau juga mengingatkan ‘maslahah’ yang kita perlu jaga ialah masalah orang ramai.

“Kita kena ambil tahu setelah mereka memilih kita sebagai wakil mereka. Sebab itu saya mencari sumber di seluruh negara dan sampai ke Johor, mereka membantu kita bila mereka tahu keadaan kita di sini,” ujarnya lagi.

Harapan beliau agar penduduk dapat menyiapkan paip ini dan terus menikmati sumber air sungai dengan percuma.

Sehubungan itu, wakil penduduk Kampung Jagung, Abu Bakar Harun, 51, berkata sudah lama penduduk di sini menanti bekalan air sungai ini.

“Kami di sini lebih suka menggunakan sumber air sungai daripada air yang dirawat. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua terutama YB Ustaz Wan Hassan yang telah berusaha menyediakan bahan utama ini.

“Kami memang tidak mampu bila melibatkan kos yang besar,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan paip yang diadakan di perkarangan rumah beliau.

Majlis penyerahan turut dihadiri Pengerusi Majlis Tindakan Dun Bukit Besi, Haji Ghazali Sulaiman dan Ketua Cawangan PAS Kampung Shukur, Tengku Hamdan Tengku Mahmud.