PASTI Ar-Raihan perlu dana pulih kesan kebakaran

Komuniti
Typography

PUTATAN: PASTI Ar-Raihan yang mengalami musibah kebakaran hingga memusnahkan lebih 80 peratus struktur bangunan dan peralatan di dalamnya beriltizam untuk terus bangkit.

Kesungguhan memberi khidmat ta'alim kepada ummah itu dibuktikan apabila kurang seminggu kejadian, operasi dan proses pembelajaran dan pengajaran dilaksanakan semula pada 12 Mac lalu.

Ketika ini kelas diadakan seperti jadual biasa serta kekal di bawah bimbingan gurunya, Amina Wgkong dan Mersum Romy dengan menumpang sementara di premis Madrasah As-Salam Kampung Contoh.

Menghargai pelbagai pihak yang membantu dan memberi semangat serta menyokong tekad para murid, guru dan ibu bapa, Ketua Pemuda PAS Negeri Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin sendiri turun ke lokasi kejadian.

Beliau dalam pada itu juga menyatakan komitmen untuk memastikan operasi dapat dilaksanakan seperti sedia kata menerusi bantuan yang akan disalurkan dari masa ke masa.

Dalam kejadian 7 Mac lalu, sebahagian besar struktur PASTI Ar-Raihan musnah pada kebakaran lewat malam itu yang puncanya masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Orang ramai juga diseru mendukung hasrat dan inisiatif sedang digerakkan menerusi sumbangan ke akaun PASTI Kawasan Putatan di BIMB 1001 6010 0595 08 dan maklumat lanjut boleh hubungi Ustaz Muhasibi 013-803 8545. - HARAKAHDAILY 16/3/2018