Kemudahan asas penduduk Kg Lajong masih mundur

Komuniti
Typography

KAMPUNG Lajong, Kuala Niah, Sibuti mempunyai penduduk sekitar lebih 300 orang dan kebanyakan mereka bekerja sebagai petani dan juga nelayan. Perjalanan dari bandaraya Miri ke kampung Lajong mengambil masa lebih kurang satu jam.

Masalah utama yang dihadapi oleh penduduk kampung adalah masalah bekalan air bersih serta jalan raya masuk ke kampung masih belum diturap sepenuhnya. Mereka mengadu kepada pihak PAS yang masalah ini sudah lama mereka laporkan kepada pihak berkuasa tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak yang berkenaan.

Pembekalan air bersih diperlukan kerana buaya juga menjadi ancaman kepada keselamatan penduduk di Sungai Lajong, berhampiran Kampung Lajong Kuala Niah mereka juga menghadapi kesulitan dalam musim kemarau di mana air bersih adalah terhad. Mereka hanya bergantung dengan air hujan untuk mendapatkan air bersih. Air sungai dan air telaga tidak begitu bersih untuk diminum.

Di samping itu salah seorang penduduk kampung Lajong mengadu masalah kesukaran untuk mendapatkan Program Perumahan Rakyat (PPR). Encik Johari Junaidi mengadu kepada pihak kami yang dia sudah memohon PPR sejak tahun 2009 lagi tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkenaan untuk memgatasi masalah beliau. Mereka tidak memberi sebarang alasan mengapa pemohonannya tidak diterima. Dia sudah menunggu sekian lama untuk mendapatkan bantuan PPR.

Beliau juga hairan mengapa sesetengah dari penduduk di situ mendapat bantuan PPR sedangkan dia yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap tidak mendapat bantuan tersebut. Menurutnya lagi semacam ada pilih kasih dalam bantuan PPR itu dan masalah ini pernah diadukan kepada wakil rakyat di tempat berkenaan tetapi masih juga tiada sebarang tindakan diambil.

Beliau amat memerlukan bantuan kerana keadaan tempat tinggal dia sekarang amat daif dan tidak begitu selamat untuk diduduki dan lantai dapur di belakang rumahnya sudah roboh. Beliau amat mengharap pihak yang berkenaan dapat membantu menyelesaikan masalahnya yang sudah lama berlarutan tanpa sebarang tindakan.

Kita mengesa pihak yang berwajib dan mereka yang berkenaan dapat mengambil tindakan segera mengatasi masalah yang dihadapi oleh penduduk Kampung Lajong ini memandang mereka sudah terlalu lama menanti kemudahan asas yang sepatutnya ada untuk disalurkan ke kampung mereka.

Mereka juga mempersoalkan kemanakah peruntukan jutaan ringgit yang diwar-warkan oleh pihak pemerintah untuk projek luar bandar. Kalau memang sudah ada peruntukan untuk projek luar bandar, mengapa kampung mereka dipinggirkan dari arus pembangunan?

Kami amat mengharap pihak berwajib dan mereka yang berkenaan dapat segera mengatasi masalah penduduk Kampung Lajong ini. Penduduk kampung sudah bosan dengan janji pihak yang tertentu yang tidak penah ditepati. Kerjasama dengan semua pihak yang berkaitan amat dihargai. – HARAKAHDAILY 20/11/2017

JohariJ 3

JohariJ 2