Kayuhan Amal Seri Tahfiz Al-Ilmi Keningau dapat sambutan

Komuniti
Typography

BUAT pertama kalinya Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Ilmi, Keningau telah mengadakan program Kayuhan Amal bertujuan untuk mengumpul dana pembinaan bangunan sekolah tersebut.

Program ini telah mendapat sambutan yang luar biasa dengan penyertaan seramai 300 orang peserta daripada pelbagai kelab basikal seluruh Keningau termasuk dari Labuan, Tawau dan Sandakan.

Acara kayuhan basikal sejauh 24 km yang bermula seawal jam 7.30 pagi dan berakhir pada 10.30 pagi telah dilepaskan oleh Ustaz Awang Addi selaku Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Sekolah Rendah Islam Tahfiz Al-Ilmi.

Kesemua peserta yang berjaya menamatkan kayuhan diberikan pingat sebagai tanda penghargaan. Selain itu para peserta juga berpeluang menyertai cabutan tiket bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur.

Ustaz Awang dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa kesyukuran di atas kejayaan program ini yang bukan sahaja bermatlamat untuk mengumpul dana tetapi turut dapat beriadah dan mengeratkan silaturahim di antara peserta dengan pihak sekolah.

Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini khususnya para peserta yang telah memberikan kerjasama yang baik sewaktu acara ini berlangsung.

Penyampaian cendarahati kepada para penaja telah disempurnakan oleh Penasihat Ahli Lembaga Pemegang Amanah sekolah. Antara penaja yang terlibat dalam program ini ialahTritonic, Poweroot, Group Amway Keningau, Kedai Basikal Soon-Soon, Mile One Cycle, Bank Rakyat Keningau, Tupperware Keningau, Takaful Ikhlas dan Geng Borneo Wishers Sabah.

Program ini juga mendapat kerjasama daripada pihak PDRM, APMM Keningau, Yayasan Sabah, Kelab Permotoran ARC Keningau, dan Kelab Motorsikal LCKS.

Pengarah Kayuhan Amal, Ustaz Syahrul Harith dalam ucapan penutupnya mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh jentera petugas yang bertungkus lumus bekerja demi kejayaan program ini.

Beliau juga berharap agar kelab-kelab basikal yang terlibat akan terus memberi sokongan dalam penganjuran kayuhan amal pada masa hadapan.