Pembinaan Masjid Subang Bestari diperuntukkan RM17 juta

Komuniti
Typography
SUBANG: Hasrat penduduk untuk mempunyai masjid tertunai setelah Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali pada Belanjawan Selangor 2018 mengumumkan peruntukan RM17 juta bagi pembinaan Masjid Subang Bestari, di sini.
 
Akhirnya, selepas 18 tahun iaitu sejak menerima kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pada 17 Julai 1999, usaha yang dirintis PAS Cawangan U5 bersama dengan Majlis Perwakilan Penduduk Zon 18 berjaya direalisasikan.
 
Dikategorikan antara projek utama di bawah sektor Pembangunan Institusi Kerohanian, ia menggembirakan Jawatan Kuasa Pembangunan Masjid Subang Bestari diketuai Khairul Shaufuan yang telah dibentuk sejak 14 Oktober 2012 lagi.
 
Dari penyediaan kertas cadangan pembangunan pada 2 Januari 2013 disusuli permohonan sokongan kewangan dari istana pada 19 Januari tahun sama dan kelulusan JAIS pada 20 Ogos, usaha mengumpul dana giat diadakan.
 
Sejak itu, dana terkumpul secara berperingkat bersama PAS Cawangan Subang Suria dan penduduk Pangsapuri Subang Suria telah mencecah RM20,000 di mana masjid dicadang dibina bersebelahan Taman Perumahan Laman Permai.
 
Rentetan lanjut dari itu adalah usaha pihak jawatan kuasa membawa memorandum pembangunan yang diserah kepada Azmin paa 23 April 2016 semasa Majlis Pecah Tanah dan Pelancaran Rumah Selangorku hingga membawa kepada pengumuman tersebut. - HARAKAHDAILY 10/11/2017