Pasar malam ke arah patuh syariah di Bangi

Komuniti
Typography

Sambutan 40 Tahun Bandar Baru Bangi tahun ini mencipta sejarah sekali lagi dengan pelancaran Pasar Malam ke Arah Patuh Syariah oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (Bangiku).

bg1Program tersebut telah dilancarkan petang semalam dan dirasmikan oleh Adun Bangi, Ustaz Shafie Ngah. Turut hadir Yang Dipertua Bangiku Ahmad Sufie Munasir, Ahli Majlis MPKJ, Husni Manan, Hamsatul Hamzah dan beberapa pemimpin NGO yang lain.

Dalam ucapannya, Shafie menyampaikan rasa gembira setelah sekian lama pasar malam yang tertua di Bandar Baru Bangi itu diwujudkan kini ia mengalami pelbagai perubahan bersesuaian dengan gelaran Bangi Bandar Ilmu, dan lebih bagus lagi perubahan itu bersesuaian dengan syariat Islam.

Pertambahan pasar-pasar telah merancakkan lagi sektor perniagaan peniaga kecil di Bangi, dan menurutnya lagi, pihak ahli majlis dalam perancangan untuk mencari tempat yang lebih sesuai dengan prasarana baru dan lebih bersih tanpa menjejaskan peniaga sedia ada.

Tambah beliau, Seksyen 16 sahaja sudah ada empat jenis pasar.

“Insya Allah di Bangi ini akan diwujudkan lagi satu jenis pasar iaitu ‘Pasar Agro’ yang membawa hasil industri kecil dari kampung-kampung di seluruh Selangor," ujarnya.

Program kemudian disusuli dengan Kempen Jom Solat dengan tagline "Solat dijaga, rezeki berganda" oleh Pemuda PAS Serdang yang membuat edaran risalah  mengajak semua peniaga dan pengunjung berhenti 15 minit bagi menunaikan solat Maghrib di Pasar Malam Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.

Pemuda PAS Serdang turut menyokong program tersebut dan menyarankan konsep patuh syariah itu tidak terhenti setakat Jom Solat sahaja malah ia sangat luas sehingga penjagaan aurat dan batasan bukan mahram serta iklan di bunting, mereka juga mestilah mematuhi syariat.  - HARAKAHDAILY 24/9/2017

bg220