Sidebar

23
Sat, Sep

Polis Pahang gempur sarang penagih

Komuniti
Typography

POLIS Pahang mempergiatkan usaha membanteras gejala penagihan dadah termasuk di kawasan tanah rancangan dengan menggempur sarang-sarang penagih.

Kelmarin polis menahan seramai 173 penagih dadah termasuk dua beradik lelaki dalam operasi bersepadu 'Ops Sarang' siri tiga 2017 di Temerloh.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Zundin Mahmood berkata, operasi selama dua hari itu polis turut menahan 14 individu melibatkan lima kes kesalahan serius dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, antara yang ditahan dua beradik yang tinggal di Felda Jenderak Selatan yang ditangkap pasukan operasi kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya operasi bersepadu itu turut melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Bukit Aman.

"Operasi ini selaras dengan nasihat Pemangku Raja Pahang yang mahu penagihan dadah di Pahang dibanteras. Operasi diadakan setiap masa," katanya pada sidang media di sini.

Zundin juga berkata, operasi yang berakhir jam 5 petang kelmarin berjaya merampas pelbagai jenis dadah antaranya heroin, syabu dan eramin 5 dengan nilaian sebanyak RM7,220.

Penagih ditahan berusia dalam lingkungan 20-40 tahun kebanyakan dari kawasan tanah rancangan. – HARAKAHDAILY 13/9/2017