Muslimat Kangar santuni veteran

Komuniti
Typography

Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar telah mengadakan program Ziarah Veteran, bertujuan menyantuni golongan tersebut yang tinggal dalam Parlimen Kangar.

Program yang bermula sejak 8 September itu bertujuan mendekati golongan tersebut di samping memberi sumbangan sebagai tanda prihatin terhadap kebajikan mereka. 

Sumbangan berupa barangan keperluan harian dapur turut diberikan sempena ziarah itu sebagai buah tangan dalam mengikat kemesraan yang wujud antara mereka.

Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Kangar, Norhasmayati Che Me, program sebegitu menjadi platform kepada DMPKK mendapatkan data-data yang diperlukan berkenaan golongan tersebut selain mengenal pasti keperluan-keperluan mereka untuk tujuan bantuan.

"Misalnya, menerusi ziarah yang diadakan, kita mendapat maklumat, terdapat di kalangan mereka yang diziarahi itu uzur sakit dan memerlukan rujukan ke hospital atau miskin dan perlu dibantu dengan sumbangan tambahan sewajarnya," ujarnya.

Antara individu yang diziarahi termasuklah bekas Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Kawasan Kangar iaitu Azizah Mehat yang juga balu kepada bekas Ketua Cawangan Abi Alor Kabung, Abd Aziz Ismail.

Kedua-duanya semasa muda, merupakan aktivis yang sangat aktif menyumbangkan diri kepada kerja-kerja perjuangan PAS.

Turut diziarahi ialah Ahli Jawatankuasa DMPKK, Maria Abu Hasan yang baru sahaja kehilangan ayahanda beliau.