Pahang di bawah BN makin banyak hutang

Komuniti
Typography

BIARPUN sejak merdeka Umno dan Barisan Nasional mentadbir Pahang, namun negeri itu paling banyak berhutang dengan kerajaan pusat.

Yang Dipertua PAS Kuala Krau, Shahril Azman Abdul Halim berkata, sehingga sekarang lebih RM3 Bilion hutang ditanggung kerajaan negeri.

Kata beliau sepatutnya dengan keluasan geografi Pahang dan kekayaan hasil bumi mampu menjana banyak hasil untuk mengurus negeri.

“Sebaliknya sehingga sekarang Pahang muncul sebagai negeri paling tinggi hutang dengan kerajaan pusat. Malah jumlah hutang semakin bertambah setiap tahun,” katanya di Kuala Krau.  

Oleh itu beliau berkata, sudah sampai masanya rakyat menilai semula kerajaan yang mentadbir Pahang sekarang.

Katanya juga PAS bersedia untuk membetulkan semula kepincangan itu sekiranya mendapat mandat rakyat mentadbir Pahang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.   

“Kita tidak menghadapi masalah untuk membayar hutang negeri kerana sumber negeri banyak antaranya khazanah emas, bauksit, bijih besi dan kawasan hutan yang luas.

“Sumber air juga boleh dimanfaatkan sepenuhnya bagi menjana pendapatan dengan mengeksport kepada negeri-negeri lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/9/2017