CAP gesa baiki segera jalan di Pasar Besar Sena

Komuniti
Typography

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mengambil tindakan membaiki jalan yang rosak teruk di sekitar Pasar Besar Sena di Kangar dengan segera.
 
Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata masalah yang sudah lama berlaku itu bukan saja menjejaskan keselesaan para pengguna yang berkunjung ke pasar tersebut malah keadaan itu juga boleh mengancam keselamatan mereka jika terus dibiarkan berlarutan.
 
"Dalam tinjauan yang dibuat CAP mendapati jalan terbabit telah pecah dan berlubang menyebabkan beberapa tempat menjadi becak dan digenangi air ketika hujan," ujarnya dalam satu kenyataan.
 
Tambahnya, CAP kesal walaupun pasar tersebut menjadi tumpuan ramai terutama pada hari cuti namun masalah itu tidak diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkenaan.

Katanya, selain masalah jalan, orang ramai yang datang di pasar itu juga kurang selesa dengan kawasan parkir yang tidak sempurna.
 
Justeru itu, ujarnya CAP meminta kerajaan negeri dan MPK menyiasat keadaan yang berlaku di kawasan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memulihkan masalah kemudahan asas yang dihadapi oleh para pengguna yang terlibat.
 
Katanya lagi, CAP berpendapat jalan yang rosak teruk itu perlu dipulihkan demi keselesaan dan keselamatan masa depan mereka yang berkunjung di pasar tersebut.
 
Beliau menambah, jalan terbabit hendaklah diturap tar dan lubang-lubang dalam yang terdapat di situ pula hendaklah segera ditimbus supaya kejadian yang tidak diingini menimpa para pengguna jalan tersebut. - HARAKAHDAILY 5/9/2017