'Tsunami Hijau' dapat perhatian anak muda

Komuniti
Typography

PAS Selangor terus mendapat perhatian anak muda di Pandan, semalam dengan penganjuran 'Tsunami Hijau Negeri Selangor' melalui aktiviti kekeluargaan seperti 'parenting skill' dan pertandingan mewarna anjuran Pemuda PAS negeri yang turut mengadakan acara riadah dan sukan.

Jabatan Kesenian, Kebudayaan dan Sukan (DACS) berjaya menganjurkan beberapa acara sukan yang menjadi kebiasaan anak muda seperti futsal padang, bola keranjang dan bola sepak persahabatan antara Pemuda PAS FC dan Belia Harapan FC.

DACS Selangor juga turut mengadakan DACS Mini Concert bersama 'buskers & drummers' bagi menarik minat pengunjung di samping perlawanan tarik tali antara pemuda kawasan dan 'demo race'.

Tidak ketinggalan juga pelbagai aktiviti kebajikan dan konvoi yang menarik di bawah kendalian Alternatif Riding Club (ARC) Selangor yang mendapat sambutan belia seperti program basuh motor percuma, tukar minyak hitam percuma dan konvoi pimpinan Pemuda PAS bersama kereta antik.

Forum Anak Muda di sebelah malam pula mendapat perhatian hadirin dengan penampilan dua ahli panel permotoran iaitu Ali Russia, aktivitis dakwah permotoran dan pelumba wanita profesional Cub Prix Malaysia, Siti Fatimah Husna.

Anak muda dan masyarakat turut diberikan pencerahan isu-isu terbaru menerusi Pentas Anak Muda yang menampilkan pimpinan negeri dan  pusat seperti Ustaz Sallehen Mukhyi, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan lain-lain.

Pastinya, yang cukup menarik ialah pelancaran hashtag 'Green4U' sebagai moto dan usaha berterusan Pemuda Pas mendampingi anak muda dan menyampaikan mesej sejahtera bersama Islam.

Secara keseluruhan program yang diadakan di Pandan itu jelas mendapat perhatian dan sokongan masyarakat pelbagai bangsa dan latar belakang. - HARAKAHDAILY 27/8/2017