PAS anjur solat hajat, bantu cari nelayan hilang

Komuniti
Typography

USAHA mencari nelayan yang masih hilang sedang giat dilakukan oleh pihak berkuasa keselamatan dan juga orang-orang kampung.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong berkata, di samping segala usaha mencari dilakukan dengan bantuan nelayan, pihaknya juga melakukan solat hajat memohon kepada Allah agar dipermudahkan usaha mencari mangsa hilang di laut.

“Untuk menghilangkan kerunsingan kepada keluarga dan juga ahli waris, di samping itu kita mengharapkan rakan-rakan dan juga sahabat handai terus memberi sokongan, dan memberi motivasi kepada keluarga (mangsa) supaya mereka dapat bersabar menerima ujian ini dengan penuh keredhaan dan anggaplah ini satu takdir dan ujian dari Allah SWT,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di tepi pantai lokasi pencarian dijalankan.

Pada petang 12 Ogos lalu, Zakaria Omar, 58, dari Kampung Jambu Bongkok, Marang yang keluar menangkap ikan tidak pulang sehingga lewat petang dan dikhuatiri hilang di laut.

“Kita beserta penduduk kampung telah mengadakan solat hajat di beberapa buah masjid dalam kawasan kita ini.

“Dan insya Allah solat hajat akan diteruskan pada malam ini sehingga mangsa ditemui,” kata beliau.