Apa yang PAS buat untuk bantu masyarakat

Komuniti
Typography

PAS akan menyelesaikan masalah pajakan tanah yang dibangkitkan penduduk Kampung Bukit Wan dan Kampung Bukit Nenasi jika berjaya memerintah Terengganu pada Pilihan raya Umum ke-14 nanti.

Setiausaha PAS negeri, Muhyiddin Abdul Rashid berkata, beberapa orang penduduk yang ditemui dalam program ziarah telah menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap syarat pajakan tanah yang hanya diberi 60 tahun, lapor Buletin Online.

“Saya maklumkan tentang manifesto PAS kepada mereka dan mereka mengalukan malah mencadangkan supaya beberapa cadangan baru dibuat terutamanya bagi menyelesaikan masalah tanah, di antara yang dibangkitkan tadi ialah masalah tempoh pajakan tanah yang agak pendek iaitu 60 tahun, ” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai menziarahi beberapa orang pemimpin masyarakat di Unit Peti Undi (UPU) Bukit Wan sempena program Himpunan Harapan Semua (Harap)-PGU 3.7 yang diadakan di Kampung Pengkalan Atap, Setiu.

“Masyarakat atau orang kampung telah mengusahakan tanah sekian lama tapi setelah habis tempoh pajakan, mereka terpaksa menyambung pajakan dan diberi tempoh hanya 60 tahun sedangkan usaha yang telah dibuat banyak untuk memajukan, menghidupkan tanah,” ujarnya.

Begitu juga, katanya beberapa isu lain yang beliau nampak ada tanda-tanda positif mereka akan bersama dengan PAS.

“Saya jangka akan berlaku perubahan yang besar di dua buah kampung iaitu Kampung Bukit Wan dan Kampung Bukit Nenasi dan saya dimaklumkan dua buah kampung ini kubu kuat bagi Barisan Nasional.

“Saya menemubual beberapa orang berpengaruh di antaranya guru silat, bekas Jawatan Kuasa Kawalan Kampung (J3K), imam serta bilal, masing-masing memberikan respons yang positif dengan PAS,” jelasnya lagi.

Katanya lagi, selepas beliau menziarahi dari rumah ke rumah, sebenarnya masyarakat di situ sangat terbuka dan bersedia mendengar pandangan PAS.

Justeru kata Muhyiddin lagi, program yang dibuat itu perlu diteruskan iaitu pergi rumah ke rumah dan mendengar sendiri masalah-masalah yang dibangkitkan oleh mereka.

“Kita memberi cadangan-cadangan atau kita memberi maklumat kepada mereka apa yang sedang kita usahakan dan apa tawaran PAS terutamanya manifesto untuk menghadapi pilihan raya menjadikan isu penting yang kita, insya Allah akan lontarkan kepada masyarakat.

“Dan saya berharap semoga rakyat dapat menilai apa usaha yang kita buat ini untuk membantu masyarakat dan rakyat Terengganu khususnya, insya Allah,” tegasnya.