PBT digesa baiki jalan raya Taipakkung Putatan

Komuniti
Typography

TERDAPAT beberapa tempat di sekitar Putatan telah dikenalpasti mengalami masalah kerosakan jalan raya yang agak teruk.

Antara kerosakan jalan yang dilihat semakin teruk dan sudah lama terbiar ialah yang berlaku di Jalan Taipakkung Putatan, iaitu kawasan yang berhampiran dengan SJKC Hwa Shiong menghala ke Stesen Keretapi Putatan dan pasar raya Giant.

Kerosakan tersebut bermula dengan satu lubang kecil, yang kemudiannya menjadi semakin besar dan dalam apabila air hujan bertakung dan berterusan dilalui oleh kenderaan yang melalui jalan tersebut.

Kesan daripada kerosakan tersebut, aliran trafik di jalan berkenaan akan menjadi perlahan apabila kenderaan terpaksa menunggu giliran untuk menggunakan lorong sebelah kanan yang digunakan oleh kenderaan dari arah bertentangan bagi meneruskan perjalanan, kerana kenderaan tidak boleh melalui jalan tersebut disebabkan oleh lubang yang besar dan dalam yang boleh mengakibatkan kerosakan pada kenderaan.

Pihak Parti Islam SeMalaysia (PAS) kawasan Putatan menggesa supaya pihak berwajib agar mengambil tindakan yang segera bagi menyelesaikan masalah kerosakan jalan raya yang berlaku di daerah Putatan ini, untuk keselesaan para pengguna jalanraya.

Selain itu, PAS Kawasan Putatan juga mencadangkan supaya pemantauan dan kerja-kerja penyelenggaraan kerosakan jalan raya dilakukan secara berkala dan lebih sistematik agar setiap kerosakan jalan raya yang berlaku dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan efektif. – HARAKAHDAILY 26/7/2017