Adun Chukai dalam Jejak Asnaf tahun kelima

Komuniti
Typography

Khalifah Umar pernah berjalan malam untuk meninjau kehidupan rakyatnya. Demikian kecaknaan pemimpin Islam terhadap rakyat jelata. Rakyat didekati tanpa mengira masa. Justeru itu, usaha Adun Chukai, Hanafiah Mat dengan program Jejak Asnafnya adalah usaha terpuji yang jarang mampu dilakukan oleh pemimpin hari ini.

Objektif program Jejak Asnaf ini adalah untuk merasai denyut nadi rakyat yang kurang bernasib baik dalam menghadapi Ramadhan dan Syawal. Sebagai pemimpin berjiwa rakyat, keresahan hidup rakyat perlu diringankan dalam situasi kos hidup yang melambung kini.

Kali ini lokasi pilihan ialah Kg Geliga Che Akob dan Kg Banggol Kiri, dalam Dun Chukai. Beliau bersama-sama dengan pemuda-pemuda Dun Chukai mula bergerak dari rumah ke rumah asnaf selepas solat tarawih hingga pukul 12.00 tengah malam.

Sebanyak 30 buah keluarga dari dua buah kampung tersebut berjaya dijejaki untuk disampaikan bantuan berupa wang tunai dan barangan dapur. Asnaf tersebut terdiri daripada fakir miskin yang daif, ibu tunggal, OKU dan orang tua yang uzur.

Jelas tergambar pada wajah asnaf, rasa teruja dan bersyukur kerana ada insan yang masih sudi menjengah mereka. Antara mereka ialah Tuan Nong, 70, yang buta. Beliau mempunyai  seorang suami OKU dan dua orang anak. Manakala di tebing Sungai Che Akob, terlantar seorang warga tua yang menghidapi penyakit kencing manis. Pak Mat, 67, tidak boleh berjalan lagi sejak jari kakinya dipotong.

“Jejak Asnaf di malam Ramadhan yang mulia ini amat menginsafkan kami. Betapa masih ramai rakyat jelata yang memerlukan bantuan. Mereka hidup dalam serba kekurangan dan menderitai pelbagai penyakit.

“Alangkah sedihnya kerajaan BN terlepas pandang nasib mereka seolah-olah mereka saja dibiarkan dalam kesusahan agar mudah nanti dipancing undi ketika pilihanraya dengan pelbagai bantuan segera,” kata Hanafiah.

Progam yang sudah berjalan sejak lima tahun yang lalu itu akan diteruskan ke Kg Tengah yang terletak di tengah-tengah bandar Chukai, Kemaman.

hana2