Telemovie semarakkan semangat pulang ke kampung

Komuniti
Typography

MEMANDANGKAN lagu ‘Kelik La Wei’ ciptaan komposer Eddie Hamid mendapat sambutan hangat tahun lalu, akhirnya lagu itu diterjemahkan dalam sebuah telemovie.

Pengarah telemovie berkenaan, Zed Zamri berkata setelah lagu itu menjadi tular di media sosial tahun lalu, beliau berbincang dengan Eddie Hamid untuk dijadikan telemovie.

Katanya, setelah dipersetujui, penggambaran telemovie yang bakal dijual dalam bentuk DVD itu telah dibuat beberapa bulan lalu.

“Pada 6 Jun lalu pelancaran pra tonton drama ini diadakan di sebuah hotel. Pada masa yang sama kita raikan kira-kira 20 orang anak yatim pada majlis pra tonton itu,” ujarnya.

Katanya, telemovie dalam bentuk DVD itu dibuat bagi menyemarakkan keinginan rakyat Kelantan di perantauan pulang untuk berhari raya di kampung sendiri.

Tambah Zamri, walau di mana sekalipun seseorang itu berada, keluarga dan kampung halaman jangan dilupakan.

Menurutnya lagi, beliau berharap masyarakat Kelantan khususnya mendapatkan DVD berkenaan yang akan dijual kepada orang ramai nanti.

“Mudah-mudahan dengan cara berkenaan akan membangkitkan rasa rindu pada keluarga, kampung halaman dan sebagainya khususnya menjelang Syawal nanti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran PCB Resort di sini.

Telemovie berkenaan dibariskan oleh pelakon anak Kelantan sendiri di mana Zed Zamri sebagai watak utamanya berganding bersama Keena Mentor (Suriana Abdul Wahab), Mustapha Kamal, Arif Kapilla dan Amir Raja Lawak. – HARAKAHDAILY 8/6/2017