Kembara dakwah di Pulau Gaya dapat sambutan baik

Komuniti
Typography

PARTI Islam SeMalaysia (PAS) Kawasan Putatan telah menganjurkan program Kembara Dakwah di Kampung Lok Baru, Pulau Gaya.

Aktiviti yang dilaksanakan dalam program ini ialah kursus tahsin solat mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk kampung. Seramai 60 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur setia selama 3 jam dalam memahami penerangan teori dan amali solat yang disampaikan.

Malahan, banyak respon positif daripada peserta kursus agar program seperti ini diteruskan secara berkala di Pulau Gaya.

Selain daripada kursus tahsin solat, pihak Lajnah Kebajikan PAS Putatan juga turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dapur kepada penduduk sekitar Kampung Lok Baru sempena bulan Ramadan, bulan yang sangat dianjurkan untuk bersedekah.

Pada akhir program, wakil daripada ahli jawatankuasa kerja PAS Putatan menjelaskan bahawa, ini merupakan antara program tahunan berterusan yang telah dianjurkan oleh PAS Putatan di Pulau Gaya, kerana aspek dakwah secara konsisten merupakan antara teras penting dalam kegiatan PAS, selain daripada aspek tarbiyah dan politik.

Selain itu, PAS Putatan juga mengharapkan supaya tanggungjawab melaksanakan program dakwah di Pulau Gaya ini turut sama digalas oleh lebih banyak pihak lagi, seperti badan-badan dan pertubuhan dakwah serta agensi kerajaan yang lain supaya saudara-saudara muslimin dan muslimat di sini dapat memperoleh manfaat dari aspek kefahaman tentang Islam serta pembudayaan ilmu dan penghayatan hidup bersyariat. – HARAKAHDAILY 5/6/2017

Gaya 4

Gaya 3

Gaya 2