Adun Umno gagal bangunkan Seberang Takir

Komuniti
Typography

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman gagal membangunkan Seberang Takir walaupun beliau merupakan wakil rakyat yang telah bekhidmat selama dua penggal bagi kawasan itu.

Menteri Besar Terengganu itu tidak mampu mengekspolitasi potensi Dun terbabit walaupun lokasinya terletak dalam garis yang begitu strategik antara bandaraya Kuala Terengganu dengan bandar baharu Kuala Nerus.

Tidak ada apa-apa perubahan ketara kepada Dun yang memiliki Lapangan Terbang Sultan Mahmud serta sumber yang berhampiran dengan muara sungai Terengganu dan Laut China Selatan.

Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Seberang Takir, Ustaz Zakaria Dagang menyifatkan banyak projek yang dicanangkan Razif hanya ’angan-angan’.

“Datuk Seri Razif ni banyak idea yang dicetuskan kepada rakyat dalam istilah kita orang Terengganu ni ‘dak jejok bumi’, antaranya nak buat ‘River Cruise’ lah, nak jadikan orang naik penambang macam naik bas, duduk tepi jalan bas lalu tahan penambang boleh naik,” ujarnya dipetik Buletin Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program ‘Langkah Al-Fateh Dun Seberang Takir’ yang diadakan di Dataran ArRasyidin, Telaga Daing, kelmarin.

Ustaz Zakaria menambah, ini menggambarkan Razif selaku Pengerusi Umno Terengganu tidak serius dalam membangunkan kawasan yang diwakilinya.

“Jadi dia pun nak buat konsep penambang lalu tepi alur, tepi parit dan sungai, orang pun ‘tahan’ nak naik gi ke bandar (Kuala Terengganu) tapi setelah dua penggal, tak ada apa yang berlaku,” kata beliau.

Menurutnya, alur atau anak sungai yang Razif mahu jadikan laluan ‘River Cruise’ masih semak samun dan jambatan yang merentangi masih rendah, tidak mungkin dilalui oleh bot penambang.

“Kita (rakyat) dengar kelakar, tu idea dia kata, nak bagitau dia ni ‘brilliant’, otak geliga, pandai berfikir idea pelik-pelik, kesudahannya semua idea itu tidak menampakkan hasil, pelik ‘bedooh' lalu,” tambahnya.