Gesa Mujahid ambil tindakan penghina agama

Komuniti
Typography
MUTAKHIR ini, Rasulullah S.A.W yang menjadi contoh dan ikutan umat Islam sering dijadikan bahan serangan oleh segelintir masyarakat Malaysia .
 
Belumpun reda kemarahan umat Islam, kini pemilik akaun Facebook Asiah Abdul Jalil pula telah memuat naik satu status yang boleh disifatkan sebagai menghina keperibadian Rasulullah dan keluarga Baginda serta mendustakan sebab penurunan ayat Al-Quran.
 
Selain itu, tindakan individu yang menghina Islam sebelum inipun masih gagal ditangani dan tiada tindakan oleh Dato' Seri Dr Mujahid Yusof selaku Menteri Agama dan pihak berkuasa di bawah bidang kuasa beliau terhadap mereka.
 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan melahirkan rasa kecewa terhadap Mujahid Yusof yang seolah-olah memekakkan telinga dan mematikan langkah mereka untuk bertindak ke atas individu yang menghina Rasulullah S.A.W dan keluarga Baginda serta sekali gus mengundang kemarahan umat Islam di negara ini.
 
Justeru, Pemuda PAS Bagan semalam bertindak untuk membuat laporan polis ke atas pemilik akaun Facebook Asiah dan mendesak Mujahid selaku Menteri Agama dan pihak berkuasa untuk menyegerakan tindakan ke atas penghina agama Islam dengan hukuman sewajarnya, dengan harapan tidak lagi berulang tindakan seperti ini oleh mana-mana pihak.
 
"Islam Memimpin"
"Terus Mara"
 
MUHAMMAD HAFIZ ELIAS AL-BAGHONI
Ketua Penerangan 
Dewan Pemuda PAS Kawasan Bagan - HARAKAHDAILY 17/4/2019