GOMBAK: Istiadat Majlis Konvokesyen Ke-5 Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) telah disempurnakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Dewan Dato' Fadzil Mohd Noor, KUIZM, Taman Melewar, di sini baru-baru ini.

Sidang kali ini menyaksikan 74 pelajar dan graduan menerima anugerah sijil dan diploma masing-masing mewakili keseluruhan peningkatan sebanyak 51 peratus daripada pencapaian lalu.

Ia merangkumi pecahan mengikut jurusan iaitu 23 graduan Diploma Dakwah dan Komunikasi serta 11 graduan Diploma Muamalat dan Kewangan Islam, manakala 40 pelajar menerima sijil Kursus Asas Pengajian Islam.

Majlis tersebut semestinya menjadi kenangan manis buat para graduan yang kebanyakan mereka juga sedang melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Ramai daripada mereka kini sedang mengikuti lanjutan tersebut di Universiti Islam Negeri Raden Fatah Palembang dan Sekolah Tinggi Ekonomi Tazkia, Bogor, Indonesia.

Sempena majlis tersebut juga Tuan Guru Abdul Hadi yang juga Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia telah menerima Anugerah Tokoh Alim Haraki atas menghargai jasanya di bidang Pendidikan Islam.

Juga atas ketokohan beliau hingga menjadi rujukan Gerakan Islam seluruh dunia kerana keilmuannya yang tinggi. - HARAKAHDAILY 22/8/2018

IMG 20180822 WA0036

IMG 20180822 WA0035

IMG 20180822 WA0033

KEMAMAN: Hasrat besar Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili memajukan daerah itu telah menarik perhatian Pengarah Syarikat Hamzah Ibir Sdn Bhd, Dato' Khaidir Khana Hamzah untuk membangunkan taman tema air di situ.

Idea usahawan terkenal itu tercetus dari kesedaran diutarakan Ir Saiful terhadap pembangunan di situ yang jauh dari mencerminkan hakikat sebagai bandar 'minyak dan gas'.

Sehubungan itu, Dato' Khaidir berhasrat membangunkan taman tema air yang dijangka menelan kos RM3 juta di atas tanah seluas 6 ekar miliknya di Kemasik dan tidak jauh dari Mesra Mall, Kampung Baru Kiri.

Bagi Ir Saiful, beliau menyambut baik penyertaan swasta dan individu perseorangan untuk turut serta membangunkan Kemasik dan tentunya hal itu bakal memberi manfaat kepada penduduk.

Maklum Dato' Khaidir, kerja-kerja pembinaan akan melalui beberapa fasa dan dijangka dapat dibuka kepada awam dalam dua tahun lagi dengan kapasiti 3,000 pengunjung serta menjana ekonomi setempat. -HARAKAHDAILY 1/8/2018

MARANG: Jawatan adalah satu amanah wajib dilaksanakan oleh pemegangnya sama ada suka, payah mahupun senang secara adil dan saksama dan bukannya kemuliaan yang harus dibanggakan.

Pun begitu seseorang mesti memikul beban amanah di mana dia mestilah kuat dan beriman supaya tidak akan menjadi kehinaan dan penyesalan kepada pemegangnya di akhirat nanti jika gagal menjalankannya.

Demikian pesanan diberikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika merasmikan Taklimat Fungsi dan Peranan J3K Daerah Marang.

“Allah taala pernah bentang (amanah) kepada golongan yang lebih besar, tujuh petala langit dan bumi, Allah taala pernah tawarkan, tetapi mereka menolak.

"Beri kepada manusia, manusia ambil, sedia, pikul, tetapi Allah meletak satu amaran, manusia ini ramai yang zalim dan jahil.

"Manusia lupa akibat satu-satu akan dipersoalkan oleh Allah, elaun yang diterima, kita rasa sikit, tetapi akan ditanya oleh Allah, dapat duit, apa kerja awak?

"Sehinggakan Rasulullah pernah menolak permintaan sahabat untuk diberikan jawatan kerana amanah,” pesan beliau kepada seramai 200 orang Pengerusi dan Setiausaha J3K yang baharu dilantik.

Turut hadir dalam majlis tersebut yang diadakan di Pejabat Daerah Marang, ialah Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang, Kamarudin Yaakob, penghulu-penghulu mukim daerah Marang.

Seterusnya Ustaz Mohd Nor juga mengingatkan J3K adalah mata dan telinga bagi kerajaan untuk membantu melicinkan pentadbiran negeri, sehingga sampai ke akar umbi, bertujuan memenuhi keperluan rakyat.

Beliau turut berpesan agar J3K meningkatkan kesabaran, senyum dalam berkomunikasi menguruskan kehendak rakyat kerana kebiasaannya, mereka inginkan penyelesaian yang segera tanpa memahami prosedur kerajaan.

“Berkat hidup yang paling penting ialah dengan memakmurkan masjid, jadi Pengerusi, SU dan AJK J3K kena rajin pergi masjid.

"Kalau boleh sembahyang subuh berjemaah di masjid, kalau tidak boleh setiap masapun kena ada masa lain.

"Jangan Pengerusi J3K sampai berbulan-bulan tak nampak di masjid,” kata beliau memberi ingatan.

Sementara itu, Pengerusi J3K Bukit Jetit, Pengkalan Berangan, Norhayati Mohd Nor 43, selaku pengerusi wanita tunggal dalam daerah Marang, berkata beliau bersyukur kepada Allah atas lantikan itu walaupun memahami beban yang bakal beliau terima nanti.

“Saya bersyukur atas kepercayaan yang diberi oleh kerajaan sebagai wakil muslimat di kawasan saya.

"Saya akan memastikan pembangunan yang sekata di kawasan saya, masalah sosial dihapuskan dan masalah rumah PPRT yang ada sebahagiannya sudah tidak diduduki oleh generasi kedua kerana sudah keluar dari kemiskinan,” kata beliau apabila ditanya berkenaan rancangan awal beliau sebagai J3K.

Mustafa Yaakob 52, Pengerusi J3K Paya Resak pula merancang untuk menyegerakan pembaikan sistem perparitan yang sedia ada dan menambah jika perlu bagi menangani masalah banjir di sekitar Paya Resak.

“Jalan-jalan kampung juga, saya akan memastikan sentiasa dalam keadaan baik dan akan membaiki mana-mana yang telah rosak.

"Buat masa sekarang ini, semenjak J3K baharu ditubuhkan, kami telah membaik pulih rumah OKU dan mengadakan gotong royong membersih kubur di sini,” ujar beliau. -HARAKAHDAILY 1/8/2018

 

SANDAKAN: Alam Ria PASTI Negeri Sabah telah berjaya menampilkan ramai peserta cilik berbakat daripada seluruh zon negeri itu pada majlis yang berlangsung di Likas Square, di sini kelmarin.
 
Menariknya, program melibatkan murid-murid seawal usia 4 hingga 6 tahun itu telah mempertandingkan lapan acara iaitu hafazan, nasyid, kalam jama'ie, pidato, khutbah, bercerita, azan dan deklamasi sajak.
 
Zon Kota Kinabalu menjadi tuan rumah pertandingan kali ini dan melibatkan penyertaan Zon Lahad Datu, Zon Pantai Barat Selatan, Zon Tawau, Zon Pantai Barat Utara dan Zon Sandakan.
 
Tawau telah dinobatkan selaku Juara Keseluruhan apabila mengumpul kemenangan terbanyak dalam pertandingan ini, manakala Naib Juara dan Tempat Ketiga masing-masing disandang oleh Sandakan dan Kota Kinabalu.
 
Hadir sama dalam program penuh meriah ini dan merasmikan majlis ialah Ketua Pemuda PAS Sabah, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin, disamping Ketua Ulamak PAS Sabah, Ustaz Mustakim Aling dan Ahli Jawatan Kuasa PASTI Malaysia, Azman Talib. -HARAKAHDAILY 30/7/2018
 
 
 
 

TAKLIMAT Exco Pertanian kepada belia tani Dun Batu Buruk. Turut hadir Pengarah Pertanian Negeri, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pengarah Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia Negeri Terengganu.

Menarik bila beratus anak muda mari nak dengar hal peluang pertanian yang boleh mereka ceburi. Biasa bila sebut pertanian, 20 orang anak muda mari dah dikira ramai.

Saya berterima kasih kepada agensi dan jabatan kerajaan yang memberikan sokongan padu kepada siri program turun padang Exco Pertanian. Secara berseloroh Pengarah Pertanian kata, "Sejak YB jadi Exco, saya selalu kena jawab soalan dari orang ramai." Maghrib baru dapat balik rumah. Tapi saya sangat bersyukur kerana para pegawai ceria bekerja bersama saya walaupun saya tahu ianya meletihkan. Dukungan ini sangat saya hargai.

YB DR AZMAN IBRAHIM 
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri Terengganu. - HARAKAHDAILY 31/7/2018 

IMG 20180731 WA0011

IMG 20180731 WA0009

KEMAMAN: Nasib enam sekeluarga yang hampir menjadi korban dalam kebakaran mendapat perhatian pimpinan PAS Kawasan Kemaman.
 
Semua mereka tinggal sehelai sepinggang setelah rumah mereka musnah lebih 85 peratus di Kampung Cabang, Kertih, di sini sekitar jam 7 pagi kelmarin.
 
Difahamkan, kebakaran yang bermula dari satu bunyi letupan tidak diketahui itu menyebabkan api marak dengan begitu cepat.
 
Tiga jentera bomba berkekuatan 13 anggota tiba jam 7:10 pagi telah mengambil masa 15 minit mengawal api daripada merebak.
 
Menurut ketua rumah, Mohamad Boto, 50, perkara itu mengejutkannya yang sedang menonton televisyen selepas solat Subuh.
 
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Tan Boto bergegas menyelamatkan anak dan cucu yang masih tidur serta berlari keluar.
 
Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid dan Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang bergegas ke lokasi kejadian telah mendapat penerangan daripada pihak bomba.
 
Timbalan Penguasa Bomba, Khairul Hasni Mokhtar telah menyampaikan taklimat mengenai kejadian kepada mereka. -HARAKAHDAILY 31/7/2018
 
 

DUNGUN: Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (J3K) turut mempunyai peranan penting menjadikan menjadikan Terengganu negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

Sehubungan itu anggota J3K diharap memikul tanggungjawab dengan penuh amanah serta sentiasa menjaga tingkah laku, demikian nasihat Penyelaras Dun Bukit Besi, Ghazali Sulaiman

Beliau turut mengingatkan agar semua anggota J3K tidak mudah lupa diri dengan jawatan yang dimiliki kerana ia akan memberi kesan kepada pentadbiran Wisma Darul Iman.

Seru beliau, J3K perlu memudahkan urusan dan menjadi 'jambatan' yang menghubungkan rakyat dengan kerajaan negeri serta menjadi agen bagi mendengar masalah rakyat.

Beliau berkata demikian paa Majlis Penyampaian Surat Perlantikan di Dewan Perbandaran Dungun, di sini semalam, demikian lapor Buletin Online.

“Kita mengharapkan komitmen yang tinggi, jitu dan kesungguhan dari setiap (orang) yang dilantik. Galas dan pikullah tanggungjawab ini dengan penuh amanah, jagalah etika, adab dan tingkahlaku yang sesuai sepanjang bersama rakyat," nasihatnya. -HARAKAHDAILY 30/7/2018

KUALA PILAH: Dewan Muslimat PAS Malaysia bersama Dewan Muslimat PAS Negeri Sembilan telah mengadakan Gelombang AKIFI Siri Ke-10 di PASTI Harmoni, Juaseh, di sini kelmarin dahulu.
 
Program dipimpin Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh itu dalam rangka untuk terus memantapkan tarbiyah dalam kalangan anggota Muslimat di negeri ini.
 
Majlis dimulakan dengan iftar diikuti solat berjamaah serta zikir munajat yang dialunkan penuh penghayatan oleh para peserta di mana ia telah diijazahkan oleh mantan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haron Din.
 
Ustazah Nuridah dalam taujihatnya menasihatkan anggota Muslimat untuk kekal melazimi zikir munajat ke arah memantapkan jiwa dan jasad kerana ia juga pendinding kekuatan dalam melaksanakan gerak kerja.
 
AKIFI yang merupakan singkatan Alim, Haraki dan Sufi itu merupakan inisiatif Muslimat PAS dalam memperteguhkan komitmen perjuangan para anggotanya.
 
Majlis tersebut telah dihadiri ahli Muslimat PAS dari Kawasan Kuala Pilah, Jempol, Tampin, Rembau dan Seremban, selain peserta dari Nusaibah, Briged dan Guru-guru PASTI. -HARAKAHDAILY 29/7/2018

KEMAMAN: Masalah bau busuk dihadapi penduduk sekitar Kertih dan Paka berpunca dari aktiviti syarikat pengeluar makanan haiwan, CJ Bio Malaysia Sdn Shd (CJ Bio), di sini bakal berakhir.
 
Perkembangan positif tercapai hasil perbincangan bersama CJ Bio, Kerajaan Negeri, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan Pekerjaan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Jabatan Kesihatan serta wakil penduduk.
 
Adun Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang turut serta dalam perjumpaan tersebut berkata, CJ Bio telah berjanji untuk mengatasi masalah tersebut secepat mungkin.
 
"Perbincangan berlangsung dalam suasana sangat mesra dan muhibah, komitmen untuk selesaikan masalah telah diberikan oleh pihak sCJ Bio," katanya di kilang CJ Bio di Kertih, di sini, Isnin lalu.
 
Menurutnya, pihak beliau di Dun Kemasik juga banyak menerima aduan penduduk terutamanya dari Kampung Batu Putih dan Pengkalan Ranggon dan beliau menyarankan CJ Bio mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan JAS.
 
"Tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama penduduk setempat bagi mengeratkan hubungan serta mengatasi masalah berbangkit perlu diteruskan.
 
"Kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak dalam perjumpaan ini diharap dapat membantu menyelesaikan masalah yang berlanjutan sejak tiga tahun lepas," tambah Ir Saiful. -HARKAHDAILY 26/7/2018
 

PETRA JAYA: Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya telah menganjurkan program "Kamek Prihatin Kesihatan Kitak" di Kampung Samariang Batu, di sini kelmarin.
 
Program berobjektifkan dakwah dan kebajikan ini telah berjaya menarik ramai penduduk sekitar untuk turun menyertai aktiviti-aktiviti yang disusun.
 
Antara aktiviti tersebut adalah pemeriksaan kesihatan percuma, Kuliah Dhuha, bacaan Yasin dan tahlil, jualan amal, aktiviti mewarna, cabutan bertuah dan jamuan makan.
 
Pemeriksaan kesihatan percuma yang diadakan telah mendapat kerjasama dari pegawai-pegawai perubatan ppasukan Medik Muslimat (MUSMEDIK). 
 
Selain itu, sesi penerangan mengenai ubat-ubatan oleh pegawai farmasi turut dijalankan bagi mendidik masyarakat berkenaan penggunaan ubat-ubatan dengan betul dan selamat.
 
Kuliah Dhuha pula telah disampaikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.
 
Turut hadir bersama memeriahkan majlis adalah Pengerusi Assabiqat Dewan Muslimat PAS Malaysia, Khadijah Salleh dan Ketua Muslimat PAS Petra Jaya, Habsah Bujang.
 
"Kami di Dewan Muslimat PAS Petra Jaya akan terus komited menyahut seruan PAS Pusat untuk terus istiqamah turun ke lapangan bagi mendekati masyarakat walaupun bukan di musim pilihan raya," ujar Habsah. -HARAKAHDAILY 25/7/2018

BESUT: Jenazah bapa mertua Ketua Pembangkang Dun Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Raja, Besut petang semalam.
 
Allahyarham Jusoh Hassan, 78, telah kembali menemui pencipta-Nya jam 9.18 malam Isnin kelmarin di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.
 
Allahyarham semasa hayatnya terkenal sebagai kontraktor yang cukup berjaya sekitar tahun 80-an di daerah ini dan sikap pemurah beliau menyebabkan cukup disenangi oleh masyarakat.
 
"Sepanjang mengenali arwah, beliau tidak pernah bercakap buruk kepada sesiapa, pernah beberapa kali dianugerahkan Tokoh Mithali Peringkat Daerah Besut atas kejayaan arwah mendidik anak-anaknya.
 
"Allahyarham meninggalkan 11 anak dan seorang balu, Zaharah @ Maimum Yaakub, juga berusia 78 tahun.
 
"Hampir 11 hari di rawat di CCU ( Coronary Care Unit ) Hospital Nur Zahirah, Kuala Terengganu akibat masalah lemah jantung, darah tinggi dan akhirnya melarat ke masalah kegagalan buah pinggang yang dikenal pasti oleh pihak hospital sebagai penyebab kematian," Sanusi.
 
Sementara itu, antara kenamaan yang turut hadir semasa majlis pengkebumian adalah Senator Dewan Negara, Dato' Husain Awang dan wakil Adun Kota Putera dan Kemasik. -HARAKAHDAILY 25/7/2018

KOTA SAMARAHAN: Dewan Muslimat PAS Malaysia terus menyemarakkan gerak kerjanya menerusi siri jelajah Gelombang AKIFI yang sampai di Zon Selatan Sarawak, kelmarin.
 
Selain Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Samarahan sebagai tuan rumah, program itu turut menghimpunkan anggota Muslimat daripada PAS Kawasan Petra Jaya, Saadong Jaya dan Santubong.
 
Program dipimpin sendiri Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh itu diisi dengan solat berjamaah, zikir munajat serta tazkirah yang diadakan di Taman Palm Villa, di sini.
 
AKIFI merupakan singkatan daripada Alim, Haraki dan Sufi yang diinisiatifkan Muslimat PAS untuk melahirkan anggota aktif di bidang siyasah tanpa mengabaikan tarbiyah dalam diri.
 
“Walaupun PRU14 telah berakhir, kita tetap perlu teruskan gerak kerja kita sebagai persediaan untuk PRN dan PRU yang akan datang,” ujar Ustazah Nuridah.
 
Beliau turut mengingatkan agar para Muslimat terus istiqamah bertemu dan beramah mesra dengan pengundi di kawasan masing-masing sebagai salah satu usaha memperkenalkan PAS kepada masyarakat. -HARAKAHDAILY 24/7/2018