ZAMAN 80-an dulu, sayalah penulis poster ceramah bila ada ceramah di kawasan saya, letih jugalah, nak nak bila yang datang tu penceramah terkenal seperti Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, TGHH dan lain-lain, geng-geng otai kerjanya menyuruh je, pernah saya kena tulis pada manila kad sampai 100 keping sebab nak tampal sampai ke Pekan.

Dalam satu usrah di Markas PAS Darussalam, masa itu masih lagi dalam kawasan Pekan, kalau tak silap saya Allahyarham Ustaz Awang Dagang yang jadi naqib masa tu, dia bacakan ayat dari surah yang sangat sinonim dengan perjuangan PAS iaitu surah As-Saff ayat 10 (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya?

Beliau merujuk kepada kalimah At Tijaarah (perniagaan). Allah swt umpamakan berjuangan Islam ini seperti perniagaan, bila perniagaan pasti ada untung dan ruginya, untung dan ruginya juga dipengaruhi oleh strategi perniagaan yang dilakukan, antaranya yang paling utama dalam strategi perniagaan ialah iklan.

Perjuangan PAS pun sama. Katanya. bendera PAS adalah syiar bagi menunjukkan bahawa PAS itu wujud di satu-satu tempat, sedikit atau banyak ia akan menggambarkan kekuatan, begitu juga poster ceramah. Kalau sekiranya tiada poster ditampal, tiada siapa yang akan tahu ada program ceramah, tiada orang yang akan hadir jikalau tiada poster.

Memang pada masa itu, poster adalah medium paling penting untuk mobilisasi program PAS. Berbeza sekarang yang jauh lebih mudah, pelbagai aplikasi untuk sebaran ceramah, jauh lebih mudah, cepat dan cantik, dalam masa beberapa saat ribuan manusia telah mendapat info, berbeza dulu, sampai botak tayar basikal, jauhnya berkayuh nak tampal poster ceramah PAS.

Terkadang senyum sorang, teringat zaman tu, kayuh basikal, di pinggang ada beg yang sarat dengan paku, tukul, stepler dan gam, kat pokok guna paku atau stepler, kat batu dan tiang elektrik guna gam, sebab tiang elektrik walaupun kayu tapi “kerah kong”. Istilah bahasa daerah saya ni.

“Dengan sebab posterlah orang tahu ada ceramah dan orang datang dengar serta faham tentang perjuangan Islam dan perjuangan PAS. Inilah antara kerja-kerja yang sangat membantu perjuangan PAS dan pasti ianya akan dibayar oleh Alllah swt dengan pahala dan kebaikan di Akhirat”. Inilah antara usrah yang memberi kesan mendalam di dalam jiwa saya menyebabkan sampai sekarang ketagih menampal poster.

YB Ustaz Rosli Abdul Jabar
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang

TINDAKAN pengurusan hotel yang melarang wanita Islam bertudung daripada bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontdesk) adalah tindakan keterlaluan dan mencabar kedaulatan agama Islam di negara. Alasan yang dibuat oleh Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dengan kenyataan bahawa ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi adalah suatu alasan tidak munasabah. Secara nyata menjelaskan bahawa ia menjadi bukti bahawa wanita Islam sering menjadi mangsa diskriminasi dengan pengamalan agama.

drriduanDalam hal ini saya bersetuju dengan beberapa pandangan tegas agar isu seperti ini perlu diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya. Apa yang berlaku adalah ada pihak yang tidak mahu menghormati pegangan amalan agama Islam dan menolak sikap saling memahami budaya, adat resam dan amalan beragama di negara ini. Jika tidak dibendung keadaan mungkin akan lebih parah dengan lebih banyak pihak berani mencabar dan menghina agama Islam secara terang-terangan dan menjadikan umat Islam khususnya wanita bertudung sebagai mangsanya.

Justeru cadangan keras agar lesen perniagaan mana-mana syarikat yang mengamalkan sikap diskriminasi terhadap wanita bertudung ditarik balik dan dikenakan tindakan amat wajar. Malah, senarai syarikat yang melakukan diskriminasi ini juga disiarkan untuk pengetahuan umum, agar masyarakat yang menghakimi mereka. Isu ini bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi membela golongan wanita Islam yang bertudung agar tidak diperlekeh dan dihina sesuka hati.

Jika standard operasi (SOP) dan polisi antarabangsa menjadi alasannya, maka kerajaan Malaysia perlu campurtangan dengan bertindak tegas agar standard operasi (SOP) yang diguna pakai disesuaikan mengikut keadaan dan keperluan negara Malaysia. Yang kita ketahui banyak syarikat gergasi bersifat antarabangsa mampu memahami keadaan dan suasana masyarakat setempat. Daripada kefahaman itulah, syarikat-syarikat yang menerima budaya dan pegangan agama umat Islam dilihat terus maju dan cemerlang tanpa ada sebarang masalah.

Sepatutnya mereka yang menentang wanita bertudung bekerja sedar bahawa tidak ada salahnya wanita Islam menutup aurat daripada bekerja di mana-mana seksyen dalam perhotelan termasuk di bahagian kaunter. Tidak ada bukti yang menunjukkan wanita ini melanggar syakhsiyah atau etika pemakaian. Tambahan pula wanita ini dilihat lebih manis, bersopan, beradab dan menjaga tingkah laku. Dengan demikian maruah diri mereka terjaga sehingga mampu menjaga imej dan nama baik syarikat mereka bekerja.

Islam mengangkat darjat dan martabat wanita setingginya agar kedudukan mereka dihormati masyarakat. Wanita Islam telah membuktikan bahawa peranan mereka dengan berimej menutup aurat juga mampu menjulang nama syarikat mereka. Yang perlu menjadi keutamaan adalah pada kualiti kerja, bukan pada penampilan semata-mata.

Apa yang diharapkan isu seperti ini tidak lagi timbul di masa hadapan. Semua pihak perlu menjaga sensitiviti agama dan budaya masing-masing. Isu-isu yang mengundang kemarahan penganut agama atau bangsa lain perlu dielakkan agar masyarakat mampu hidup aman makmur.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

SAYA membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas Clare Rewcastle-Brown (CRB) setebal 55 mukasurat yang tersebar dalam kes Saman Fitnah Isu RM90 juta oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ke atas Editor Sarawak Report (SR) tersebut. Apa yang menarik ialah semakin banyak fitnah yang ditabur oleh CRB SR untuk mempertahankan fitnah terdahulu!

Saya tersenyum membaca perengggan 26.11 apabila Pimpinan-Pimpinan Tertinggi PAS disenaraikan mempunyai aset-aset mewah termasuk rumah, kereta dan motorsikal mewah yang kononnya dibeli hasil sebahagian dedak RM90juta dari Dato' Seri Najib Razak dan Umno yang difitnah telah diberi kepada PAS.

Antara fitnah yang paling lucu ialah tuduhan bahawa Ketua Pemuda PAS Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi memiliki motorsikal mewah BMW! Saya kenali beliau secara rapat, beliau tiada motorsikal berkuasa tinggi tersebut! Sangat keji lagi memalukan bila kenyataan-kenyataan tuduhan tidak berasas cybertroopers berpenyakit hasad, dengki dan pembenci ulama diangkat menjadi bukti pembelaan untuk dibawa ke mahkamah!

Malah jika benar sekalipun mereka yang dinamakan memiliki aset tersebut, sepanjang mengenali mereka, saya boleh katakan bahawa harta-harta tersebut mereka perolehi secara sah dengan sebahagian besarnya melalui kerjaya dan perniagaan yang mereka atau keluarga mereka usahakan.

Pemimpin PAS juga manusia yang berkehendakkan rumah yang selesa dan kenderaan yang baik untuk digunakan bagi melangsungkan perjuangan dan menjalani kehidupan. Pemimpin PAS juga punya keluarga - isteri yang dikasihi dan anak-anak yang disayangi yang ingin hidup bahagia dan mencapai impian seperti insan lain.

Bahkan bagi saya ia bukan satu kesalahan asalkan sahaja sumbernya dari hasil yang halal, di dalam batas kemampuan dan bersederhana. Jangan pandang rendah pada Pimpinan PAS meski diakui ramai yang saya kenali dalam kalangan mereka yang sangat merendah diri, tawadhuk dan tinggi pengorbanannya.

Dalam Saff AJK PAS Pusat dan Dewan-Dewan, kita ada ramai peguam, doktor, jurutera, akauntan, pensyarah, usahawan berjaya, mantan pensyarah, mantan guru, mantan eksekutif, mantan pegawai kerajaan dan bahkan sebahagian pasangan mereka juga mempunyai kerjaya lumayan. Mantan-mantan ini sebahagian besarnya kerana terpaksa meletak jawatan demi keterlibatan langsung dengan jamaah.

Mereka ini berganding bahu dan saling melengkapi bersama murobitun sepenuh masa yang bekerja bersama parti (murobitun inilah insan hebat yang tidak didendang), selain 'ulamak mulia yang siang malam menabur bakti mengajar demi memandaikan masyarakat. Sebahagian 'ulamak ini juga mengusahakan Pondok dan Pusat Tahfiz masing-masing liridhalLah. Semoga Allah merahmati kita semua.

Lebih menghairan dan mencelarukan Dokumen Pembelaan & Dakwaan tersebut yang mengundang senyum saat membacanya ialah pada perenggan 26.7. PAS dituduh menganjurkan program-program besar seperti Muktamar, Himpunan PIHAK, Himpunan FASTAQIM, Himpunan HAMASAH, Himpunan Bantah TPPA, Himpunan RUU355, IJTIMA' Alami dan lain-lain dengan dibiayai menggunakan dana rahsia yang PAS terima dari Umno. Ini memang fitnah sangat jahat bagi yang mengenali secara dekat perjuangan dan gerak kerja PAS. Senyum, tak perlu kata apa-apa!

Sebagai salah seorang yang terlibat sedikit sebanyak dengan program-program mega ini, saya sahkan kenyataan-kenyataan ini adalah rekayasa bohong CRB SR. Sesungguhnya duit infaq ahli dan penyokong serta sumbangan orang ramailah yang membiayai program-program tersebut! Inilah perkara 'ajaib' yang mungkin sukar dimengerti apatah lagi dipercayai oleh Sarawak Report dan sekutunya. Inilah beza Parti Islam yang menyebut redha Allah menjadi matlamat dan syahid cita-cita tertinggi menjadi idaman ahli-ahlinya berbanding para pendokong parti sekular dan konvensional yang hanya mampu berprogram dan bergerak jika ada habuan wang ringgit!

Apapun, kami AJK PAS Pusat telah dinasihati untuk tidak mengulas lebih lanjut atas nasihat peguam Tuan Guru Presiden di London supaya tidak mengganggu proses mahkamah. Insya-Allah maklumat yang kita ada menunjukkan perkembangan sangat positif memihak kepada Tuan Guru sebagai plaintif dalam kes saman ini. Kita berdiri teguh di belakang Tuan Guru.

Berbalik kepada tajuk posting ini. Selepas membaca Dokumen Pembelaan & Dakwaan Balas tersebut, saya tiba-tiba teringat lagu "Aku Bukan Musuh Harta" yang liriknya ditulis oleh Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan dinyanyikan oleh Kopratasa/ Algebra.

Lagu ini menjadi kontroversi pada tahun 2008. Lagu puisi "Aku Bukan Musuh Harta" ini telah diharamkan penyiarannya oleh RTM kerana liriknya yang dikatakan menyindir para sang penguasa. Berikut lirik lagu tersebut:

Mereka kata:
Mengapa kita tidak kaya raya?
Tengoklah si fulan itu, bermewahan saja..
Aku bertanya: apakah caranya untuk aku kaya?
Tapi secara mulia dan tanpa berdusta.

Bukan kita tidak tahu
Jalan, denai dan liku
Agar harta ditemu dan disapu
Tapi semuanya cara palsu dan tipu..

Bukan kita tidak mahu,
Tapi kita tidak mampu,
Takut dan terkedu,
Mengenangkan Yang Maha Satu,
Yang Tiada BagiNya sekutu..

Ya, telah kaya para pengkhianat,
Dengan harta yang sarat,
Tapi mereka lupa Akhirat,
Balasan yang berat,
Di dunia, jiwa bertukar menjadi keparat.

Ya, telah kaya para pendusta,
Syarat mereka : lupakan Yang Esa,
Harta rakyat semua disebat,
Harta awam semua dibekam,
Hukum syaitan, mereka bertuhan.

Kita pun ingin kaya,
Ada harta, ada kereta yang istimewa,
Ada rumah mewah yang melimpah,
Ada hidangan yang bukan sebarangan,
Ada duit yang bukan sedikit.

Tapi, jalannya hendaklah suci,
Bukan seperti seorang pencuri,
Jika ada jalan yang mulia,
Di hujungnya ada harta,
Tunjukkan kita, di mana saja.

Kita bukan musuh harta,
Kita cuma musuh pengkhianat bangsa dan negara,
Apatah lagi pengkhianat agama..

Suka juga dikongsikan petikan posting sebelum ini seperti berikut:

Ini rumah kami di Pujut, Miri. Rumah ini telah saya beli pada tahun 2010 dan kemudian diubahsuai dan dibesarkan, siap sepenuhnya pada tahun 2012. Rumah ini dikenali oleh sahabat-sahabat sebagai Rumah Hijau kerana warnanya luar dan dalam hijau. Pemiliknya juga berjiwa Hijau.

Niat ubahsuai ialah agar rumah ini mampu menjadi pusat aktiviti jamaah @ markaz. Alhamdulillah, sudah banyak program-program parti sama ada aktiviti siasah, dakwah dan tarbiyah dibuat di rumah ini. Semasa Pilihanraya Negeri Sarawak, rumah ini juga dijadikan salah sebuah Bilik Gerakan PAS.

Mungkin juga saya perlu isytiharkan (agar tidak menjadi bahan fitnah cybertroopers di kemudian hari) bahawa saya mempunyai 3 buah kereta atas nama saya: Toyota Fortuner 4WD, Toyota Hilux 4WD dan Perodua Alza. Saya sebenarnya ada keinginan membeli kereta sedan, namun akhirnya membuat keputusan membeli kereta jenis pacuan 4 roda agar mudah digunakan oleh jamaah termasuk program-program dakwah di pedalaman. Toyota Hilux rasanya sudah pusing seantero Sarawak, manakala Toyota Fortuner tersebut dibawa masuk ke pedalaman melalui jalan balak tanah merah berbukit-bukau dan melalui alur sungai menuju Ulu Pakan hanya seminggu selepas dibeli!

Posting ini bukan posting untuk riak, nauzubillahi min dzalik. Posting ini posting untuk mengajak kita semua untuk menginfakkan diri dan mempergunakan harta kita semaksimanya untuk perjuangan Islam. Bagaimana seluruh apa yang kita ada dilaburkan untuk saham Akhirat kerana Allah.

Firman Allah Ta'ala di dalam Surah At-Taubah, ayat 41:

"Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berjuang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan HARTA benda dan JIWA kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui."HARAKAHDAILY 2/11/2017

SAYA bukanlah anti kepada sebuah pembangunan. Pembangunan amat perlu kerana dengan adanya pembangunan, keselesaan hidup rakyat akan lebih bermakna. Aktiviti ekonomi melalui peluang pekerjaan juga akan dapati dinikmati.
 
Sungguhpun demikian, tidak semua pembangunan akan menatijahkan manfaat kepada generasi mendatang. Bagi masyarakat Melayu yang hidup dalam suasana kemasyarakatan, majoritinya amat sukar menerima pembangunan terutamanya melibatkan pengambilan tanah kediaman. 
 
Di zaman ini, mana ada perkampungan Melayu yang apabila terlibat dengan pembangunan infrastruktur, nilai tradisi kehidupan dan interaksi kemasyarakatnya, malah budayanya terpelihara? Sebaliknya, yang terjadi adalah segalanya ditelan oleh kehendak pembangunan sehingga kita tidak akan nampak Melayu tinggal di rumah yang punyai halaman, Melayu yang dapat mengekalkan adat dan budaya, orang Melayu yang bergotong royong dalam hal ehwal kenduri-kendara dan urusan kematian.
 
HSR (High Speed Rail) yang bakal dibangunkan ini sepanjang 350km dari Jurung di Singapura ke Bandar Malaysia di Kuala Lumpur pastinya melibatkan jajaran laluan sama ada tanah kerajaan ataupun tanah milik syarikat mahupun milik persendirian. Paling menyayatkan, bila pembangunan tersebut bakal 'melanggar' kawasan penempatan Melayu yang dimiliki dan diduduki sejak beberapa generasi.
 
Secara peribadi, saya tidak menolak pembangunan. Tetapi pembangunan yang tidak dirancang terlebih awal itulah yang membuatkan saya dan ramai lagi dalam kalangan rakyat Malaysia terkilan. Mengapa tidak jajaran laluan sama ada HSR, MRT, LRT atau lebuh raya dirancang bersekali dengan pembangunan Putrajaya? Kalau ini dapat dilakukan, kita akan dapat mengelakkan atau meminimumkan pengambilan balik tanah hak milik dan tidak akan menyusahkan rakyat. 
 
Dalam keadaan ekonomi Malaysia yang 'menguncup' dan rakyat terbeban dengan kos sara hidup melambung tinggi, tiba-tiba projek HSR yang menelan belanja lebih dari RM50 billion dilancarkan. Ini menunjukkan seolah-olah kerajaan terdesak untuk memperolehi sumber kewangan melalui pelaburan luar. 
 
Menurut Menteri Kewangan Kedua, Johari Abdul Ghani, projek HSR itu akan menjadi tulang belakang ekonomi beberapa negeri di Malaysia. Selain memendekkan masa perjalanan dari Singapura ke Malaysia, sekaligus menggalakkan kunjungan rakyat kedua-dua negara. Bagi saya pembinaan HSR ini tidak kena pada masa dan jajarannya kerana ianya dilaksanakan di kala nilai ringgit yang semakin mengecil dan jajarannya melalui perkampungan Melayu atau penempatan anak watan.
 
Kita tidak mahu pembangunan yang dilaksanakan, seolah-olah projek pengusiran secara halus penduduk di penempatan Melayu.
 
IR MOHD HASLIN HASSAN
Adun Tanjong Sepat - HARAKAHDAILY 1/11/2017

SAYA ucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Badan Perhubungan PAS Negeri Perak dan Kedah yang berjaya melancarkan Jentera Pilihan raya Negeri masing-masing dengan jaya dan gemilang.

Berdasarkan pemerhatian saya, kedua-dua himpunan tersebut melepasi angka sasar. 5K sasaran di Kuala Kangsar, Perak dan 12K sasaran di Kota Sarang Semut, Kedah. (Anggaran hadir lebih 5K di Perak dan lebih 12K di Kedah.)

Saya berkesempatan hadir di dua himpunan tersebut. Majlis berlangsung pada 28 Okt 2017 (Sabtu) Jam 2.30 petang di Kuala Kangsar dan 9.30 malam di Kota Sarang Semut.

Inilah gelombang hijau atau lebih tepat Gelombang Islam yang terhasil dari Fastaqim 2.0 di Pantai Tok Jembal, Terengganu, kini sudah melanda seluruh negara. Bermula di Perak, Kedah dan Insyaallah bakal merebak ke negeri-negeri lain.

Sekali lagi menyaksikan anak-anak muda menepati 80% kehadhiran dengan semangat waja dan kental berjuang di ruang demokrasi (muwaajah silmiyyah) untuk memenangkan PAS dalam Pilihan raya Umum ke-14 kelak.

PAS mempunyai masa depan yang cerah. Generasi pelapis yang mantap. Inilah rahsia umum kekuatan PAS. Sejak 1951 hingga kini, PAS boleh kalah dalam pilihan raya tetapi tidak pernah kalah dalam perjuangannya.

PAS terus mara dengan yakin dan gagah untuk terus teguh bersama perjuangan Islam dan prinsipnya. Biar menempuh 1001 ujian. Pemimpin pergi dan datang, isu semasa pasang dan surut, namun temperature perjuangan Islam tidak pernah rendah.

Dasar perjuangan Islam, prinsipnya yang teguh, pendekatannya yang matang dan sejahtera, langkah yang konsisten, sikapnya yang jelas dan kesatuannya yang mantap menjadikan PAS terus mendekati pelbagai pihak dan didekati oleh semua.

Himpunan 12K di Kedah Darul Aman yang juga disifatkan sebagai Himpunan Fastaqim 2.1 telah menyaksikan penyertaan 3 orang tokoh untuk berjuang bersama dengan PAS. Tuan Hj Mahathir mewakili mereka tampil di pentas menerima sijil keahlian PAS yang telah diluluskan oleh parti.

Tiga tokoh yang saya maksudkan itu ialah:

a) Mantan Mufti Negeri Kedah.
Sohibus Samahah Datuk Paduka Sheikh Bedruddin Hj Ahmad

b) Mantan Pengarah Majlis Agama Islam Negeri Kedah.
Dato’ Sheikh Uzir Bin Baharom

c) Mantan Setiausaha Sulit Kanan
Timb Menteri Kewangan Malaysia.
Mantan Pegawai Kanan JAKIM.
Mantan Jkuasa Lembaga Pengampunan.
Tuan Hj Mahathir bin Md Nor

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
09 Safar 1439 / 29 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 29/10/2017

MEDIA baharu dengan aneka aplikasinya adalah anugerah Allah swt buat ummat manusia. Bijak dan betul cara mengendalinya adalah satu rahmat yang besar. Sebaliknya gagal mengekang fitnah dan adab melayarinya, mengundang celaka dan sengketa.

Ia adalah medium yang sangat berkesan untuk menyebarkan maklumat dan menyimpan data. Sebagaimana ia juga menjadi “senjata” pemusnah bagi skuad pembunuh karektor dan penyambung lidah syaitan.

Terpulang kepada penggunanya. Media baru hanya alat dan teknologi yang kesannya tergantung kepada insan yang mengurus dan menyelia. Bahasa mudah, media baru ini boleh menjadi “mesin” untuk menghasilkan pahala sebanyak yang dikehendaki sebagaimana ia juga boleh menjadi “kilang” memproses dosa yang tidak terkira besar dan beratnya.

Sebagai anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS), media baru sayugianya diurus kendali dengan adab, akhlak Islami dan penuh tanggungjawab. Mengambil kira faktor dosa dan pahala serta syurga dan neraka.

Meskipun beraksi di cybernet dan alam digital, kita tetap tidak terlepas dari pemantauan Raqib dan Atid yang tidak pernah cuai menjalankan tanggungjawab mereka mengekori perlakuan umat manusia. Bahkan Allah swt., sifatNya adalah tuhan yang Maha Mengetahui.

Justeru itu, wajarnya media baru dimanfaatkan sepenuhnya untuk:

~ menyebarkan risalah perjuangan Islam,
~ menangkis fitnah terhadap Islam,
~ memberi pencerahan ke atas apa jua bentuk kekeliruan terhadap Islam dan perjuangannya dan sebagainya.

Menggunakan media baru untuk saling mendedahkan keaiban peribadi sesama sendiri, melondehkan isu dalaman kekeluargaan yang melibatkan krisis suami isteri dan anak-anak, copy dan paste maklumat yang tidak pasti, create dan share perkara yang tidak benar adalah di luar daripada skima akhlak Islam yang murni.

Malah tindakan sedemikian bukan pedoman dan peribadi anggota Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Meskipun mereka mendakwa sebagai ahli PAS atau mewakili mana-mana agensi PAS, ketahuilah bahawa dakwaan mereka adalah palsu dan PAS tidak boleh memperakui mereka yang memanjangkan lidah syaitan di media baru.

Kita semua sedar, medan media baru kini terdedah kepada “fake account” dan “nick name” yang terlalu banyak. Sebahagian mereka mendakwa sebagai ahli dan mewakili PAS, tetapi membuat “status” dan “posting” yang bukan sahaja tidak menguntungkan PAS tetapi memulangkan persepsi negatif kepada PAS.

Semua ahli PAS dan warga netizen yang menyokong serta bersimpati dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya atau terpengaruh dengan taktik “perang saraf” yang dilancarkan oleh musuh Islam dan juga musuh PAS.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan
06 Safar 1439 / 26 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 26/10/2017

SAYA membaca transkripsi ucapan Datuk Husam Musa Adun Salor tengah malam semalam selepas Pemuda PAS memacakkan bendera di sekitar bangunan yang baru kembali ke tangan PAS. Satu persatu tohmahan melalui perkataan-perkataan yang bertamadun yang dilontarkan oleh Datuk kepada Pemuda PAS, ‘tindakan keanak-anakan’, ‘tindakan kebudak-budakan’, ‘rendah akhlak, mutu dan juga pemahaman undang-undang’, ‘tak reti undang-undang, tak sabar kerana nafsu, ataupun tak ada kerja lain’, ‘begitu angkuh, begitu tebolah, begitu gopoh’, ‘nya hungga kor setan’, ‘bodoh’, ‘cow dan ‘membelakangkan undang-undang’… Barangkali itulah laras bahasa Islam Progresif Rahmatan Lil Alamin.

fadhli sPanas benar Datuk dengan tindakan Pemuda PAS. Takut benar sehingga terkeluar habis segala maki hamun daripada mulut seorang calon Menteri Besar tajaan Lim Kit Siang ini. Kita ingin jelaskan, kenapa Pemuda PAS mengambil tindakan untuk memacakkan bendera di luar bangunan tersebut? Dari sudut apa Datuk ingin pertikaikan hak kami, undang-undang atau akhlak?

Jika undang-undang, undang-undang manakah yang menghalang kami untuk memacakkan bendera di luar bangunan yang telah sah menjadi hak milik Badan Perhubungan PAS Kelantan melalui setiausaha kerjanya sebagai pemegang amanah itu? Geran tanah PT1039 yang cukup jelas sudah keluar dengan nama yang tidak boleh dipertikaikan lagi dari sudut kesahihan jual beli. Menurut transkripsi ucapan, “Jadi AMANAH ataupun saya akan masukkan failkan ke mahkamah, ya, kita dalam proses, kita ada satu team undang-undang, saya sengaja tidak menghebohkan perkara ini..”

Ertinya, pihak Datuk AKAN memfailkan ke mahkamah dan belum difailkan permohonan untuk mencabar kesahihan pemilikan dan jual beli. Justeru, SEHINGGA KE HARI INI, jual beli adalah sah dan pemilikan adalah sah sehingga mahkamah menentukan sebaliknya.

Ya benar, notis 30 hari telah diberikan. Dan menghormati notis itulah kami tidak menyentuh fizikal bangunan sekalipun kami selaku salah satu pihak di dalam Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan berhak untuk memasuki kawasan bangunan berkenaan. Saya mencabar Datuk, bawa sahaja kes pemasangan bendera ini ke mahkamah. Bukankah Datuk sendiri yang menyatakan bahawa PAS mempunyai wang RM90 juta dan jika tidak benar, bawa kes ini ke mahkamah. Kononnya selagi PAS tidak bergerak untuk saman, selagi itulah fitnah itu adalah benar (sedangkan Datuk tidak membantu sedikitpun Sarawak Report yang sedang terkial-kial mencari bukti RM90 juta itu).

Bagaimana jika sifir sama digunakan, bawa kes pelakuan Pemuda PAS ini ke mahkamah, selagi tidak dibawa bererti benarlah tindakan Pemuda PAS dari sudut undang-undang. Kami tidak datang dengan sumpah seranah, tidak datang dengan provokasi. Hanya sekadar memasang bendera di luar bangunan yang sudah sah menjadi milik kami. Ia jelas tidak salah sebagaimana jelasnya salah berucap melebihi jam 12.00 malam hanya untuk memaki hamun kami itu.

Jika berbincang dari sudut akhlak yang ada pihak mempersoalkannya, maka soalannya, berakhlakkah pihak yang jelas sekali mengambil alih bangunan yang dibina di atas titik peluh para penderma yang menyumbangkan infaq atas nama PAS? Mengecatnya dengan warna oren dan memasang bendera parti yang berlawanan telah menghiris hati begitu ramai pihak di dalam PAS khususnya di Salor yang berusaha membangunkan markaz ini. Pada waktu itu, berbicaralah burung-burung kakak tua ini dengan bahasa undang-undang. “Tiada apa boleh PAS lakukan, kerana tanah atas nama individu…”

Nah, ke atas kami anda berbicara dengan bahasa undang-undang. Ke atas anda, bahasa akhlak yang anda gunakan?
 
Saya juga membaca pelawaan Datuk untuk saya hadir mendengar ucapan Datuk di Parlimen Kuala Krai. Saya berterima kasih atas jemputan itu. Saya percaya ia ikhlas. Barangkali Datuk menjangka tidak ramai yang akan hadir dan memerlukan saya dan rakan-rakan untuk meramaikannya. Saya faham namun maaf, masa sangat-sangat berharga buat kami dan ia tidak berbaloi untuk mendengar celoteh Datuk.

Apatah lagi, jika pendedahan itu setaraf dengan pendedahan ‘wang milik PAS dalam Affin Bank’ atau ‘surat Mustafa Ali yang menentang UG (yang hari ini tiba-tiba sahaja Mustafa Ali menyokong rundingan)’ atau ‘Pas dan Umno tidak akan berlawan dalam pilihan raya akan datang’, lebih lagi lah untuk saya tidak mendengarnya.

Apapun, terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang datang dari jauh dan dekat menjayakan misi malam tadi. Sahabat-sahabat di Salor, sahabat-sahabat di luar, anda semualah ‘cool’. Adapun siapa sebenarnya yang tak cool, boleh cari sendiri melalui rakaman-rakaman video yang tersebar. – HARAKAHDAILY 23/10/2017

KALI ini saya berkesempatan bersama 20 anggota rombongan PAS Relief berada di Kem Pelarian Rohingya di beberapa kem di Cox Bazar, Bangladesh.

Pengalaman bersama pelarian Rohingya kali ini antara yang paling bermakna dalam hidup saya dan ia sangat menyentuh hati saya.

Hati saya dan anggota rombongan sangat tersentuh melihat anak-anak kecil mengerumuni kami setiap kali turun dari kenderaan van yang kami sewa membawa perasaan hiba yang sangat. Anak-anak yang kelaparan ini akan mengekori kami dan merayu diberi apa sahaja makanan yang ada.

Tangisan rayuan mereka menyebabkan kami sebak dan kasihan.

Ada ibu yang baru bersalin dan masih dalam pantang dengan mendukung anak kecilnya berbaris berjam-jam bagi mendapatkan makanan dan keperluan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak. Ratusan ibu yang menggendong bayi yang masih kecil sambil mengheret anak-anak lain bergerak ke sana ke mari mencari tempat perlindungan. Kebetulan sewaktu kami di sana hujan turun hampir setiap hari.

Saya sempat dibawa ke sebuah madrasah sementara yang digunakan bagi mendidik anak-anak kecil belajar dan menghafal al-Quran.

Riuh-rendah suara mereka mengaji. Inilah penawar duka lara mereka. Mereka kehilangan ayah ibu, rumah dan kampung halaman. Namun mereka tidak berpisah dengan iman.

Inilah nilai keimanan yang mereka ada. Hijrah meninggalkan negara bagi menyelamatkan nyawa dan aqidah yang mereka pegang.

Saya dibawa ke dua buah sekolah yang dibiayai oleh penyumbang Malaysia melalui PAS Relief.

Insya-Allah sekolah ini hanya mampu menampung sekitar 80 pelajar daripada ribuan anak kecil yang sangat dahagakan ilmu.

Alhamdulillah, terdapat pelbagai badan dari pelbagai negara yang terus menyumbang bakti kepada pelarian Rohingya ini.

Tindakan menggunakan Tentera Bangladesh bagi mengawal agihan adalah satu tindakan yang tepat.

Ini kerana dalam suasana kelaparan dan jumlah pelarian hampir sejuta orang, suasana kecoh, berebut dan bergaduh tidak dapat dielakkan.

Semua letih dan lapar.

Namun dengan kawalan pihak tentera dan sistem kupon yang diperkenalkan, ia berjaya mengatasi permasalahan tersebut.

Saya juga berjumpa beberapa orang imam yang berjamaah di masjid kem pelarian. Mereka menceritakan bagaimana musnahnya masjid dan surau yang dibakar.

Sikap anti Islam sangat ketara, bila kedai dan restoran yang dimiliki oleh orang Islam dirampas oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan, dan diganti dengan pemilik baru.

Isu utama kini ialah berapa lama mereka akan berada di kem ini. Apakah nasib mereka akan seperti bangsa Kurdi, yang tidak bernegara? Atau nasib mereka terus akan jadi pelarian?

Selagi tiada tindakan konkrit selagi itulah nasib mereka tidak menentu.

Apakah tindakan PBB, OIC atau ASEAN bagi mengatasi kemelut yang sangat kejam oleh pengganas di Myanmar di abad moden ini?

Mencabut pingat dan gelaran kepada Aung San Suu Kyi bukanlah tindakan yang dapat membantu kaum Rohingya. Malaysia perlu memainkan peranan lebih aktif untuk mendesak PBB, OIC dan ASEAN untuk mengambil tindakan proaktif menghentikan tindakan tidak berperikemanusiaan kepada kaum Rohingya.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Catatan 13 Okt 2017 – HARAKAHDAILY 13/10/2017

Screenshot

cx1

Screenshot1

PAS TIDAK BERSENDIRIAN

41. Pentas FASTAQIM 2.0 telah mempertautkan pelbagai pihak yang tampil  bersama mendukung cita-cita perjuangan PAS untuk membina sebuah negara yang sejahtera bersama Islam.

42. Inilah Blok ketiga membentuk Gagasan Sejahtera yang terdiri daripada gabungan parti politik, ngo dan individu yang berpengaruh. Gagasan Sejahtera kian kukuh mendepani pilihanraya umum ke 14 kelak.

GELOMBANG KEBANGKITAN ISLAM

43. Tekanan dan ancaman golongan anti Islam yang semakin memuncak dan terbuka mutaakhir ini seperti amukan Evangelist Kristian, Islam Liberal dan sebagainya tidak boleh dibiarkan. Pula ditambah dengan pelbagai aktiviti mungkar yang semakin berani dipromosi secara terbuka. Terkini ialah Pesta Arak dan Tarian Gay.

44. Keberanian musuh Islam menonjol diri mutaakhir ini adalah manifestasi daripada kelemahan dan ketiadaan kuasa politik ummat Islam yang mantap. Implikasinya, agenda Islam dipersenda dan suara Islam dianakpungutkan oleh mereka.

45. Pilihan raya ke-14 adalah turning point untuk merealisasikan lantunan 9 tahun sekali gelombang perubahan melalui pilihan raya. PRU 1990 menyaksikan gelombang Tengku Razaleigh dan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang membawa kemenangan PAS di Kelantan.

46. Sembilan tahun kemudian, PRU 1999 pula berlaku gelombang Reformasi ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998. PAS bukan sahaja mengekalkan kerajaan Kelantan tetapi berjaya mengambil alih kerajaan negeri Terengganu Darul Iman.

47. Sembilan tahun kemudian, PRU 2008 membawa satu lagi gelombang yang dikenali sebagai Tsunami Cina. PAS mengekalkan kerajaan di Kelantan, sementara 4 buah negeri lagi jatuh ke tangan pembangkang iaitu Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor.

48. Lantunan 9 tahun berikutnya ialah tahun 2017. Mudah-mudahan (Insya-Allah), kita mengharapkan pusingan ini sama ada PRU ke-14 akan berlaku pada akhir tahun 2017 atau awal 2018, kelak akan menyaksikan satu lagi gelombang dan kali ini menjadi giliran gelombang kebangkitan Islam.

ISLAM BAWA RAHMAT UNTUK SEMUA

49. Islam adalah agawa wahyu. Ia juga merupakan manifestasi dari petunjuk Allah SWT Tuhan yang mencipta manusia dan alam ini. Syariat-Nya adil dan menjadi rahmat kepada semua termasuklah pihak non muslim dan mereka yang ditindas. Hak mereka dipelihara. Nasib mereka dibela dan masa depan mereka terjamin. Islam adalah cahaya sinar buat semua pihak.

50. Fastaqim 2.0 telah menghantar isyarat yang jelas kepada seluruh rakyat agar bersikap optimis terhadap masa depan Islam. Masa depan adalah milik Islam. Gagasan Sejahtera adalah blok pilihan terbaik. Justeru itu, semarakkan Gelombang Kebangkitan Islam dan muktamadkan perubahan Sejahtera Bersama Islam melalui PRU ke 14 ini.

USTAZ NASRUDIN HASSAN
Ketua penerangan PAS Pusat
16 Muharram 1439 / 07 Okt 2017– HARAKAHDAILY 7/10/2017

PENGORBANAN SYARAT KEMENANGAN

31. Tema FASTAQIM 2.0 ialah Hijau Menuju Kemenangan. Himpunan 200K itu sebagai roll call untuk memanggil semua jentera bagi mendapatkan arahan kerja dari kepimpinan bagi mengusahakan kemenangan yang disasarkan.

32. Kemenangan semanis madu memerlukan pengorbanan sepahit hempedu. Menang tidak semudah lafaz. FASTAQIM 2.0 menjadi tamrin am untuk terus mentarbiyah ahlinya supaya berkorban.

33. Malam pertama himpunan, puluhan ribu peserta tekun mendengar ucapan para pemimpin walaupun tapak himpun dilanda hujan lebat dan ribut petir. Mereka tidak berganjak sehinggalah majlis ditamatkan. Sebahagian besarnya pula terpaksa berjalan kaki antara 2 ke 5 kilometer untuk masuk ke tapak himpunan.

34. Mereka datang dengan pembiayaan sendiri. Ada yang terkandas beberapa jam dalam perjalanan kerana kenderaan mereka alami kerosakan. Namun mereka gagah mencari jalan untuk sampai jua ke Pantai Tok Jembal. Bagi mereka, segala payah sukar yang dilalui menjadi kenangan manis malah menguatkan semangat mereka untuk terus bersama perjuangan Islam.

35. Meskipun pihak penganjur menyediakan pelbagai kemudahan, namun berdepan dengan kehadiran peserta yang sebegitu ramai, pasti saja akan ada kesulitan yang memayahkan peserta, seperti putus bekalan air beberapa ketika, panas, terperangkap dalam jem yang teruk dan sebagainya. Segalanya mendidik mereka erti sabar dan tabah.

KHIDMAT KEBAJIKAN

36. Amal kebajikan terus sinonim dengan PAS. Ia telah menjadi disiplin yang terus disemai. FASTAQIM 2.0 merajahkan struktur amal kebajikan PAS kepada masyarakat sekaligus menjadi isyarat jelas kepada negara bahawa PAS adalah sebuah parti yang berpotensi membina sebuah negara berkebajikan.

37. Bermula dengan anggota Jabatan AMAL yang lenjun peluh mengawal lalu lintas tanpa perlu menyusahkan polis trafik, team sukarelawan yang memberi khidmat am kepada peserta, raider yang berulang alik mencilok jem yang teruk memboncengkan peserta terutama orang tua dan yang kurang upaya. Segalanya dilakukan tanpa sebarang upah. Mereka seronok, enjoy dan puas dapat menabur bakti.

KEBERSIHAN ALAM SEKITAR

38. Pantai Tok Jembal agak terbiar. Semak dan sampah mencemari suasana sebelum FASTAQIM 2.0 berlangsung. Team kami telah bergotong royong membersihkan tapak dan mengindahkan landskap Pantai Tok Jembal bagi keselesaan peserta himpunan.

39. Sejurus selesai FASTAQIM 2.0, semua peserta pulang ke destinasi masing-masing, team kebersihan FASTAQIM 2.0 masih bertugas selama 2 hari berturut-turut untuk membersihkan tapak terutama di kawasan gerai. Misi gotong royong diteruskan sehingga tiada lagi sampah sarap malah Pantai Tok Jembal lebih dan indah dan bersih berbanding sebelum FASTAQIM 2.0

AKHLAK DAN DISIPLIN

40. Begitulah FASTAQIM 2.0 mendidik serta membentuk minda dan peribadi. Ia bukan sekadar himpunan biasa tetapi bagaikan satu kem latihan dan pembinaan peribadi pejuang yang soleh, berakhlak mulia dan berdisiplin tinggi. (bersambung)

Nasrudin Hassan
14 Muharram 1439 / 05 Okt 2017 – HARAKAHDAILY 5/10/2017

TOKOH  PROFESIONAL & TEKNOKRAT

21. Satu daripada impak besar kepada perjuangan PAS yang ditampilkan oleh Fastaqim 2.0 ialah kebersamaan tokoh di peringkat nasional, iaitu Datuk Sri Zakaria Jaffar selaku Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (Mantan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM) dan Datuk Che Abdul Rahim Che Daud (Mantan Pengarah JPJ Malaysia)

22. Meskipun mereka bukan aktivis politik, namun selaku tokoh profesional dan teknokrat, mereka  tampil di pentas Fastaqim 2.0 untuk menyatakan kebersamaan terhadap perjuangan PAS yang serius menentang rasuah. Kelantan yang ditadbir 27 tahun oleh PAS terus dinobatkan sebagai model sebuah kerajaan yang kepimpinannya bebas rasuah.

23. Demi kebenaran, siapa jua boleh bersama PAS dan PAS senantiasa bersama pihak yang memperjuangkan kebenaran. Mesej yang dibawa oleh Fastaqim 2.0 ialah tiada siapa yang perlu gusar, apatah lagi untuk rasa bersalah bagi menyatakan kebersamaan dengan perjuangan PAS, selama PAS berada di atas landasan yang benar.

24. Tan Sri Khalid Ibrahim, Mantan Menteri Besar Selangor sebagai contoh, meskipun mahu kekal sebagai pihak yang bebas, namun hadir jua ke pentas Fastaqim 2.0 untuk merestui dan menyokong perjuangan PAS.

70 PERATUS ANAK MUDA

25. Gelombang kebangkitan Islam mendepani saingan PRU 14 telah disinar oleh Fastaqim 2.0, iaitu kehadiran yang mencapai sasaran 200,000 itu adalah 70 peratus terdiri daripada kalangan anak-anak muda.

26. Ia bukan sahaja merupakan gelombang kebangkitan Islam tetapi juga arus kebangkitan anak muda bersama gerakan perubahan sekali gus mencerminkan masa depan perjuangan Islam yang cerah dan gemilang.

KONVOI BERMOTOR ANAK MUDA

27. Antara aktiviti luar biasa dan menjadi kejutan besar Fastaqim 2.0 malah menurut perkiraan saya, ia wajar di catat dalam Malaysia Book Of Records ialah Konvoi Bermotor anak muda yang mencecah sekitar 10 ribu buah motosikal dalam satu masa menuju ke tapak Fastaqim 2.0.

IKRAR PILIHAN RAYA

28.  Nadi utama Himpunan Fastaqim 2.0 ialah Ikrar Taat Setia pesertanya untuk bekerja gigih dengan penuh disiplin serta taat arahan parti dan pimpinan, khususnya bagi menghadapi PRU ke-14. Justeru ia menjadi titik perubahan gelombang gerakan ke arah mengembalikan kuasa politik Islam di Malaysia.

GIMIK IKRAR FASTAQIM 2.0

29. Ikrar tersebut terlebih dahulu telah menyaksikan satu gimik yang sangat menarik sehingga menyentuh sanubari dan mengalirkan air mata tanpa disedari. Gimik yang telah memaparkan kegigihan, kesungguhan, kepayahan serta liku-liku yang terpaksa dihadapi oleh pejuang sebelum berjaya menggapai cita-cita perjuangan. (gimik tersebut boleh disaksi di sini:

https://www.facebook.com/fastaqim.my/videos/1731199717175980/

DERMA FASTAQIM 2.0

30. Himpunan FASTAQIM 2.0 juga adalah manifestasi episod pengorbanan ahli PAS dan penyokongnya. Biarpun PAS sering difitnah dan dibelasah bertalu-talu oleh musuh politiknya, PAS terus evergreen dan mekar di hati masyarakat khasnya anak-anak muda.

Hadir mereka tanpa diupah dan dipaksa. Sebaliknya mereka hadir dengan penuh kecintaan kepada perjuangan, bersalut kesedaran untuk bangkit mengembalikan kekuatan ummah. Inilah asas yang membuatkan mereka pula menyumbang untuk membiayai perjuangan PAS.

(Suka saya umumkan secara rasmi bahawa jumlah sumbangan atau infaq peserta Fastaqim 2.0 yang berlangsung pada 29 - 30 September 2017 ialah sebanyak RM364,629.05, EURO395 serta lima utas rantai dan gelang emas yang belum disebut nilai)

bersambung .....

USTAZ NASRUDIN HASSAN
Ketua Penerangan PAS Pusat
13 Muharram 1439/04 Okt 2017 – HARAKAHDAILY 4/10/2017

SUKARELAWAN AMAL

11. Setengah pihak cuba memperlihatkan sikap pesimis mereka terhadap objektif FASTAQIM 2.0. Kononnya tiada perkara baru yang boleh memberi impak kepada rakyat dan negara.

okf12. Kegelisahan mereka terhadap kejayaan Himpunan FASTAQIM 2.0 merupakan satu impak yang mereka cuba untuk sembunyikan. Namun mereka gagal apabila terpaksa diserlahkan dengan ulasan negatif mereka terhadap FASTAQIM 2.0.

13. Realitinya, FASTAQIM 2.0 telah bawakan kepada masyarakat satu lagi produk yang bakal memberi khidmat kepada mereka tanpa syarat. Produk ini adalah hasil kegigihan Jabatan AMAL Malaysia yang selama ini tidak pernah puas dan jemu berbakti kepada masyarakat.

14. Kini Jabatan AMAL Malaysia menghasilkan produk terbarunya iaitu SUKARELAWAN AMAL. Setelah AMAL mempunyai AMAL Marin, AMAL Medic, dan AMAL Rescue, kini Sukarelawan AMAL ditubuhkan. Uniknya Sukarelawan AMAL ialah keanggotaannya terbuka kepada semua termasuk non-Muslim.

15. Pelancaran Sukarelawan AMAL di pentas FASTAQIM 2.0 menyaksikan 20 orang anggota Sukarelawan AMAL yang terdiri dari kalangan non-Muslim naik ke pentas menerima cap daripada YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS. Mereka sedia berkhidmat bukan hanya untuk majlis PAS tetapi juga masyarakat awam.

WAWASAN INDUK NEGARA SEJAHTERA

16. FASTAQIM 2.0 terus mengangkat agenda perjuangan PAS dengan melancarkan dokumen Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS). Ia menjadi satu wawasan PAS untuk membentuk dan membina sebuah negara yang sejahtera menjelang 2051.

17. Wawasan Induk Negara Sejahtera ini mempunyai 10 prinsip yang mesti dicapai berasaskan batu tanda yang telah ditetapkan. (Lengkapnya boleh dimuat turun dari facebook rasmi PAS)

18. Falsafah WINS 2051 ini ialah membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah SWT.

BLOK KETIGA : GAGASAN SEJAHTERA

19. FASTAQIM 2.0 turut melakar sejarah apabila membariskan beberapa tokoh dari parti politik, NGO dan individu di atas satu pentas untuk menyatakan komitmen bersama menggerakkan gelombang blok ketiga ke arah mencetuskan kebangkitan ummah mendepani PRU ke-14.

20. Pentas FASTAQIM 2.0 telah membariskan Parti IKATAN yang dihadiri oleh Presidennya Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir, Parti BERJASA yang diwakili oleh Timbalan Presidennya, Brig. Jeneral (B) Datuk Hashim Abd Karim, Parti CINTA Malaysia diwakili oleh Naib Presidennya Datuk Huan Cheng Guan, Pengerusi Kongres Rakyat, Encik Azmi Abdul Hamid, Ustaz Masrizi Sat selaku Pengerusi Gerakan Benteras Aktiviti Haram (GBAH) dan Wan Ashima Kamarudin Pengerusi Alif Ba Ta Serikandi. (bersambung...)

Nasrudin Hassan
12 Muharram 1439 / 3 Okt 2017 – HARAKAHDAILY 3/10/2017