Firman Allah:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِّمَّن دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (33) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (34) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ (35) (سورة فصلت: ٣٣-٣٥)

“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam! (Tegas beristiqamah tanpa sembunyi)” (33) Dan tidaklah sama (kesannya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah kejahatan yang dilakukan kepadamu dengan cara yang lebih baik. Apabila Engkau berlaku demikian, maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan (bertukar) menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar yang di kurniakan (daripada Allah kebahagiaan dunia dan akhirat). (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.”

(Surah Fussilat: 33-35)

Demikianlah petunjuk Allah kepada Rasulullah S.A.W dan pengikut yang menyambung perjuangannya di sepanjang zaman. Berdakwah dan berpolitik secara matang dan sejahtera untuk menyelamatkan manusia bersama Islam seramai mungkin, walaupun terpaksa mengorbankan diri, laksana lilin yang bersedia membakar diri, demi memberi cahaya kepada semua. Bukan laksana monyet yang melompat dan bergayut mencari-mencari di pokok yang kelihatan lebat buahnya. Sepatutnya menjadi seperti pokok yang berbuah, bersedia menggugurkan buah yang masak kepada kanak-kanak nakal yang melontarkan batu dan kayu ke arahnya.

Maka Rasulullah S.A.W memaafkan orang yang memfitnah, orang yang cuba membunuhnya dan telah membunuh para sahabat dan keluarga kesayangannya. Sebabnya adalah fadilat menyelamatkan seseorang bersama Islam membawa kebaikan di dunia dan pahala yang berpanjangan sehingga ke Hari Akhirat.

Apabila mencapai kemenangan Fathu Makkah yang berada dalam keadaan paling kuat, Baginda S.A.W mengisytiharkan pengampunan beramai-ramai, termasuk kepada kalangan yang disenaraikan kesalahan yang besar dan berat. Bukan seperti Revolusi Barat (Liberal Kapitalis) dan Timur (Komunis dan Sosialis) yang mengorbankan mangsa dendam yang jumlahnya sangat menggerunkan. Benarlah apa yang berlaku selepasnya, mereka yang bermusuh itu menjadi sahabat yang setia dan rela berjuang bersama menegakkan Islam.

Generasi awal PAS dapat menyaksikan kesusahan dan pengorbanan sejak perjuangan menentang penjajah sehingga pasca kemerdekaan dan selepasnya. PAS menyokong ISA kerana menentang komunis yang masih bermaharaja lela dan mengancam keselamatan negara. PAS menyertai kerajaan campuran dan penubuhan BN selepas Peristiwa 13 Mei 1969 kerana mengukuhkan kedudukan umat Islam. Namun selepasnya, PAS pula menjadi mangsa ISA, dirampas kerajaannya di Kelantan, Peristiwa Memali yang mengorbankan pengikut setianya, dicekik Kelantan selepas kemenangan 1990 supaya tidak bernafas, dirampas royalti Terengganu apabila PAS berjaya memerintah semula 1999 dan dinafikan juga hak Kelantan.

Namun, PAS telah berjaya menyelamatkan umat Islam yang jahil akidahnya sehingga dicetuskan isu kafir mengkafir oleh gejala menghina hukum Islam disebabkan kejahilan umat dan kelemahan para ulama, serta kerakusan pemimpin negara menghina Islam. PAS mengambil pendekatan dakwah bukannya menghukum yang menjadi lapangan para mufti dan qadi yang sangat malang dipenjarakan oleh undang-undang warisan penjajah yang belum dirungkai.

PAS mengambil pendekatan menyatakan batas-batas iman dan kufur sehingga berjaya menyedarkan umat dan melenyapkan suara menghina Islam di kalangan umat Islam sendiri. Kini hanya tinggal suara yang terpencil laksana harimau tua tidak bergigi yang melepak di hutan rimba, dan kalangan bukan Islam yang memberanikan diri tanpa menghormati Perlembagaan Persekutuan dan sensitiviti umat Islam yang telah bangkit semula bersama arus kesedarannya.

PAS terus memilih demokrasi yang sinonim dengan ajaran Islam, bukannya demokrasi yang menipu rakyat yang masih jahil dan bodoh politiknya. Kalaulah rakyat Amerika yang dikatakan paling maju dan bebas, boleh terbabas memilih Presiden yang samseng dan bodoh semata-mata kerana kaya hartanya dan penguasaan media oleh Zionis, sehingga nafsu memintas akalnya. Maka kewajipan kita menyelamatkan rakyat di sini supaya tidak memilih yang dikitar semula melalui filem lama yang ditayangkan, khususnya kepada Melayu yang mudah lupa. Apa yang dibimbangkan pengaruh media sosial tanpa sempadan yang boleh menjadi tentera upahan musuh Islam.

PAS wajib memperkenalkan budaya politik damai tanpa perpecahan rakyat, sama ada kalangan umat Islam yang berbeza pendekatan dan rakyat bukan Islam yang berbeza agama dan budaya.

PAS menegaskan Islam wajib memimpin dan memerintah atau mempengaruhi pemerintah dengan nasihat yang wajib menegakkan konsep adil terhadap semua dan memelihara hak asasi manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

PAS mengambil pendekatan bertanding dalam pilihan raya tanpa berkelahi dan berpecah, melalui konsep ta’awun.

PAS mesti bertanding seberapa banyak kawasan kerana cita-cita memerintah negara, bukannya angan-angan Mat Jenin yang memanjat pokok yang berbuah sahaja walaupun bergayut di dahan yang rapuh sehingga membunuh diri sendiri, kerana budaya PAS bukan memanjat pokok yang berbuah, tetapi sanggup memanjat pokok yang tidak berbuah dan belum berbuah kerana keyakinannya akan berbuah apabila tiba masanya kalau dibajakan atau dicantas dahannya. PAS sabar berlalunya masa yang panjang, biar lambat asalkan selamat.

Al-Quran memaparkan kisah yang benar apabila Nabi Nuh A.S yang dikatakan mustahil mencapai kemenangan bersama segelintir pengikut dalam perjuangan yang terlalu panjang masanya, akhirnya mencapai kemenangan dengan izin Allah. Selain itu, dipaparkan juga kisah yang benar, apabila Nabi Musa dan Harun A.S yang dianggap mustahil dapat menjatuhkan Firaun yang kaya dan kuat, serta terlalu ramai bala tenteranya, namun Allah menenggelamkannya dengan mudah ke dalam laut.

Sejarah Islam memaparkan kaum Tartar yang paling ganas membakar dan membunuh Baghdad dan pusat kerajaan Islam Abbasiyah, akhirnya kalangan pemimpin kaum Tartar juga menganut Islam dan menegakkan Islam. Ini membuktikan Islam berjaya menempa sejarah luar biasa dapat mempengaruhi penjajahnya kerana berkat jati diri beristiqamah bersama Islam, walaupun kebiasaannya rakyat akan terpengaruh dengan penjajahnya. Firman Allah:

قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَن تَشَاءُ وَتَنزِعُ الْمُلْكَ مِمَّن تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاءُ ۖ بِيَدِكَ الْخَيْرُ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (آل عمران: ٢٦)

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah Ali-Imran: 26)

Paling penting ialah terus beristiqamah bersama Islam, setia kepada baiah, taat kepada pemimpin selagi tidak bercanggah dengan Islam daripada nas yang nyata, sama ada bersetuju atau tidak apabila telah diputuskan. Inilah adab dan akhlak kita berjamaah yang ditunjuk oleh Allah dan diajar oleh Rasulullah S.A.W.  Kalau tidak, maka sia-sia di dunia yang dicita-citakan dan celaka di Akhirat yang menjadi wawasan.

Politik Islam berkonsepkan budaya matang dan sejahtera, tidak sama dengan politik barat sehingga matlamat menghalalkan cara yang haram dan merosakkan dunianya dan tidak ada wawasan Akhirat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 12 Jamadil Awal 1439 / 29 Januari 2018
-HARAKAHDAILY 29/1/2018

إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ
"Jika sekiranya kamu tidak keluar berjuang bersungguh-sungguh untuk menegakkan Islam, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah menukar kaum yang lain memerintah kamu."
(at-Taubah: 39)

Mengapa saya menyebut firman Allah yang menyeru orang Islam supaya berjuang untuk menegakkan Islam? Walaupun Islam adalah agama adil untuk seluruh manusia, sama ada Islam dan bukan Islam, adil kepada semua bangsa, Melayu, Cina, India dan lain-lain, kerana Islam hanya agama yang menyebut politik yang sempurna.

Agama Yahudi politiknya perkauman Yahudi sahaja. Agama Kristian memisahkan politik daripada agama. Agama Hindu, Buddha dan lain-lain tidak memberi perhatian berkenaan dengan politik, idealogi-idealogi dan teori-teori politik dan ekonomi yang direka oleh ahli-ahli falsafah kalangan manusia, tidak peduli agama tanpa mengira halal dan haram.

Hanya Islam merangkumi seluruh cara hidup manusia, memerintah adil untuk semua. Maka menjadi kewajipan kepada umat Islam terlebih dahulu daripada orang-orang lain berjuang untuk memilih kerajaan dan memimpin kerajaan yang adil untuk semua.

Malangnya di hari ini, ramai kalangan umat Islam anak-anak muda dan lain-lain menganggap mengundi dalam pilihan raya tidak penting, tidak mustahak, tak mahu daftar, tak mahu keluar mengundi, serupa sahaja parti mana-mana, parti apa-apa pun. Ini adalah satu anggapan yang salah, bertentangan dengan agama Islam. Al-Quran menyebut, sejak Allah mencipta Nabi Adam A.S, Allah berfirman:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ
"Dan ingatlah apabila tuhan berkata kepada para malaikat, Aku hendak ciptakan Adam makhluk manusia untuk menjadi khalifah."
(al-Baqarah: 30)

Khalifah dalam bahasa Arab bukan khalifah dalam bahasa Melayu. Khalifah dalam bahasa Arab:

اقامة الدين وسياسة الدنيا به
"Menegakkan ajaran Islam yang adil dan mentadbir dunia dengan Islam itu."

Ini makna khilafah. Maka semua Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul A.M.S tidak memisahkan dakwah dengan politik. Nabi Nuh A.S yang pertama berjuang bukan sahaja berdakwah, tetapi menghadapi Al-Malak. Al-Malak adalah pemimpin-pemimpin yang memerintah di zamannya.

Ibrahim A.S yang dibangga oleh penganut semua agama, orang Islam menyebut Ibrahim, orang Yahudi menyebut Ibrahim, orang Kristian menyebut Abraham, orang Hindu menyebut Brahma mengikut kepercayaan masing-masing.

Ibrahim bukan sahaja berdakwah kepada tuhan yang satu. Ibrahim menghadapi Raja Namrud yang memerintah Kerajaan Babylon, menunjukkan berpolitik untuk membetulkan negara. Nabi Musa A.S dan Nabi Harun A.S memimpin Bani Israil menyelamatkan mereka, dalam masa yang sama menghadapi Firaun yang memerintah dengan zalim.

Semua Nabi-Nabi, termasuk Nabi Muhammad S.A.W berdakwah bukan sekadar di masjid, bukan sekadar imam sembahyang, imam nikah kahwin, imam memimpin negara. Ditawarkan menjadi pemimpin negara di Makkah, ditawarkan harta benda dan pangkat yang paling tinggi harta yang banyak, ditolaknya kerana tidak mahu Islam itu memerintah dengan tadbir.

Akhirnya berhijrah ke Madinah. Untuk apa berhijrah? Untuk tanam kelapa sawit? Untuk jadi nelayan? Untuk berniaga? Tidak! Hijrahnya untuk mendirikan negara yang memerintah masyarakat majmuk, orang Islam, orang Yahudi, orang Kristian dan orang Musyrikin. Allah telah membuktikan bagaimana Islam yang dimulakan di bumi yang kering:

بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ
"Lembah yang tidak ada tanaman yang tidak ada air."
(Ibrahim: 37)

Dibangun manusianya dengan akhlak yang mulia, iman yang betul, telah berjaya memimpin negara menguasai sebahagian besar muka bumi. Di Timurnya Alam Melayu, di Baratnya Afrika Barat, Sepanyol di Eropah, Asia Tengah termasuk Moscow ibu negara Rusia pada hari ini, sehingga Afrika Tengah, di zaman tidak ada kemudahan-kemudahan cepat, telefon, wireless, internet, handphone, kapal terbang, tidak ada. Islam boleh memerintah masyarakat majmuk, berbagai kaum, berbagai agama dan bangsa, memerintah dengan adil.

Penjajah yang datang untuk menghapuskan Islam. Tujuannya dengki, kerana kalau Islam memerintah tidak boleh rasuah, tidak boleh maksiat, tidak boleh menipu, tidak boleh memperhambakan manusia, mengabdikan manusia. Penjajah Barat datang menjatuhkan Kerajaan Islam.

Hari ini kita memperingati 100 tahun kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, bermulanya perjuangan nasionalisme Arab, As-Tsaurah Al-‘Arabiyah Al-Kubra, yang diisytiharkan 1916, menjatuhkan Uthmaniyah, setelah dijatuhkan Melaka 1511, campur tangan di India untuk menghalang kemaraan Islam, campur tangan di Afrika.

Orang Islam dijatuh, ditumbang satu demi satu, tetapi umat Islam tidak tunduk kepada penjajah. Mereka menentang penjajah dengan keris yang pendek menghadapi senjata-senjata moden, mereka tidak tunduk.

Lalu penjajah berbincang sesama mereka. Parlimen British di zaman Queen Victoria, Perdana Menterinya Gladstone bersidang. Gladstone berucap di Parlimen England, memegang kitab suci Al-Quranul Karim, menegaskan selagi mereka berpegang dengan buku ini Al-Quran, selagi ada sembahyang Jumaat, dinamakan sembahyang Jumaat, selagi ada Haji di Makkah, selama itulah Islam tidak boleh dihapuskan.

Maka dirancang untuk melumpuhkan kefahaman umat Islam. Mereka mengetahui kelemahan umat dan kefahaman terhadap agama mereka, khususnya kefahaman politik, kefahaman memerintah negara.

Snouck Hurgronje, Orientalis Belanda yang pernah mengaji pondok di Indonesia menegaskan bahawa tidak menjadi masalah kalau ulama-ulama Islam mengajar agama. Apa yang dianggap ancaman kepada Barat ialah doktrin politik memerintah negara.

Hari ini kita mengalami orang Islam yang tidak ada negara yang memerintah dengan Islam. Kalau dulu negeri yang kering kontang, yang tak ada hasil, Islam telah berjaya meningkatkan keamanan negara, keadilan, dan kemakmuran ekonomi. Di zaman Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, belanjawannya, ......, tak ada defisit, wang negaranya lebih sehingga orang-orang miskin dibantu, rakyat bukan sahaja pegawai kerajaan, termasuk rakyat biasa yang tua Islam dan bukan Islam mendapat pencen sara hidup.

Ini Islam. Mengapa kita di hari ini di bumi yang subur, penuh dengan hasil bumi, hasil pertanian, hasil galian, tenaga kerja, menghadapi masalah kehidupan dan kebersihan?

Mari kita kembali kepada Islam. Negeri Selangor perlu menjadi contoh. Kita harap rakyat Selangor mesti memilih kepimpinan Islam. Orang Islam yang memimpin dahulu. Biar orang Islam di depan, pilih calon-calon Islam, yang kena pilih yang menegakkan ajaran Islam itu. Ini mesti faham, bukan kita membelakangkan orang-orang yang bukan Islam, tidak. Kewajipan kita adil terhadap semua. Berdosa kita kalau tidak adil walaupun terhadap orang bukan Islam.

Percayalah kita pernah memerintah Kelantan kali yang pertama 1959 hingga 1979. Ditumbangkan dengan darurat, mereka yang terlibat dengan darurat masih hidup lagi umur dia panjang. Tahun 1990 kita menang kembali, di Kelantan sehingga hari ini, dikepung ekonominya, pentadbirannya, menyanggah konsep federalisme, campur urusan kerajaan negeri, disempitkan kewangannya.

Terengganu kita memerintah tahun 1959, 1961, ditumbankan. 1999 kita memerintah lagi, dirampas royalti petroleum, dirampas, melanggar perjanjian, tak ada undang-undang, mereka yang mencabul ini masih hidup lagi. Kewajipan kita hari ini ialah mengembalikan umat Islam yang sungguh-sungguh memerintah dan mentadbir.

Selangor perlu menjadi model, menjadi contoh. Ingatlah betapa pentingnya urusan memerintah negara ini, sehingga ketika wafatnya Nabi S.A.W, urusan sembahyang jenazah kemudian dikebumikan, yang ada di masa kebumi beberapa orang Sahabat sahaja. Abu Bakar, Umar, Uthman, Abdul Rahman Bin Auf dan Sahabat-sahabat yang besar di kalangan Muhajirin dan Ansar tidak ada di kubur di masa mengebumikan, di mana? Mereka berhimpun di Tsaqifah Bani Sa’idah, tempat cetak Quran hari ini. Berhimpun untuk apa? Untuk memilih siapa yang ketua negara memerintah, siapa yang memimpin negara, sehingga ini dianggap lebih penting daripada mengebumikan jasad Nabi S.A.W. Hari ini kita menganggap mengundi tak penting, pilihan raya tak penting, pandang remeh temeh:

إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ
"Kalau kamu tidak bangkit berjuang untuk menegakkan Islam ini, kamu orang Islam, tuhan seksa kamu dengan seksa yang pedih."
(at-Taubah: 39)

Rasalah hari ini kenaikan harga barangan, masalah hidup, jenayah yang merebak, salah-laku, salah-urus, puncanya kerana meninggalkan Islam. Islam yang boleh. Oleh kerana itu pilih yang Islam ini dahulu, termasuk rakan-rakan yang bukan Islam, pilih Islam dan ada wakil orang bukan Islam, bukan tak ada wakil, tapi Islam memimpin. Ada exco yang bukan Islam, ada Menteri yang bukan Islam. Ada urusan-urusan orang bukan Islam terlibat sama, tetapi dasar dan polisi negara mesti Islam. Ini fleksibelnya Islam, keanjalan Islam.

Di negara lain, kalau Komunis yang memerintah, mesti orang Komunis 100 peratus. Di Amerika kalau Republikan yang menang, semua Republikan pegawai kerajaan yang kanan sekali. Demokrat, semua demokrat. Di England Labour Party, semua Labour Party. Conservative, semua Conservative. Tapi kalau Islam memerintah, Islam adalah anjal, kerajaan orang Islam dan Kerajaan Teknokrat.Teknokrat memilih orang-orang yang pakar untuk memimpin mengendalikan kerajaan. Kita tak tahu menatang apa Teknokrat ini, tak diajar. Sabda Nabi S.A.W:

خياركم في الجاهلية
خياركم في الاسلام
إذا فقهوا
"Mereka yang pilihan di masa jahiliyah. Di masa jahiliyah dia adalah orang yang bijak, orang yang terpilih, yang pandai."

خياركم في الاسلام
إذا فقهوا
"Menjadi pilihan juga bersama dengan Islam."

Ini adalah pendekatan politik yang diajar oleh Nabi S.A.W.

Di Selangor letaknya ibu negara, letaknya pusat penjualan Malaysia, banyaknya pusat-pusat pengajian, mengapa orang Islam Selangor lemah sangat untuk memilih kekuatan Islam memimpin Negeri Selangor?

Mesti pilih kekuatan Islam (di) negeri Selangor. Selangor pusat kepada Malaysia seluruhnya. Kelantan tidak cukup, Terengganu tidak cukup, Selangor tidak cukup, Kedah tidak cukup, sekurang-kurangnya Selangor mesti ke depan dalam pilihan raya ini. Firman Allah Taala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Wahai orang-orang beriman, (orang-orang yang beriman, beriman kepada Islam.)...."

اصْبِرُوا
"Bersabarlah kamu menghadapi keadaan yang berlaku yang menekan diri kamu."

وَصَابِرُوا
"Dan bersabar untuk berjuang menegakkan Islam."

وَرَابِطُوا
"Dan bertugas di mana kamu ditugaskan."
(Ali-Imran: 200)

Yang jadi calon, yang angkat bendera, yang tampal poster, dia pembekalan, Muslimin-muslimat, pemuda:

وَرَابِطُوا
"Bertugas."

وَاتَّقُوا اللَّهَ
"Bertakwa kepada Allah."

لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
"Supaya kamu mendapat kemenangan."

Kemenangan Islam dengan pertolongan Allah, bukan digaris di atas meja, di atas kertas. Di atas kertas digaris juga, yang pentingnya pertolongan Allah S.W.T. Allah Taala menyebut:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ
"Dan bersedialah kamu sekadar kemampuan kamu dengan kekuatan."
(al-Anfal: 60)

Allah menyuruh kamu bersedia mengikut kemampuan kamu. Kemampuan dengan ikhlas, jangan sembunyikan kemampuan itu. Kalau kamu menyediakan kekuatan dengan kemampuan kamu. Walaupun musuh yang lebih kuat daripada kamu, lebih ramai daripada kamu, lebih kaya daripada kamu, dibantu dengan kemenangan, Allah memberi pertolongan kepada kamu.

Ini janji Allah yang mesti kita yakin. Kita memilih _Muwajahah Silmiyah_, berdepan secara damai, walaupun hari ini saya angkat keris, keris tumpul, bukan keris tajam. Keris menandakan semangat. Islam mendahulukan perdamaian dengan hubungan antarabangsa, antara Islam dengan pihak lain, walaupun dengan musuh yang menyerang negara kita, musuh yang menyerang negara kita:

وَإِنْ جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ
"Jika mereka cenderung kepada peperangan, kemudian mereka minta damai, maka berdamai dan bertawakal kepada Allah."
(al-Anfal: 61)

Itu kalau musuh yang menyerang, dia minta berdamai, terima damai. Allah memberi jaminan:

وَإِنْ يُرِيدُوا أَنْ يَخْدَعُوكَ فَإِنَّ حَسْبَكَ اللَّهُ ۚ
"Kalau mereka hendak menipu kamu, cukup Allah menolong kamu."
(al-Anfal: 62)

Kita hari ini bukan menghadapi musuh yang datang dari luar, kita menghadapi sahabat-sahabat dalam satu negara, orang-orang Melayu yang sama-sama beragama Islam, orang Cina, orang India yang dizalimi oleh penjajah dibawa ke sini, penjajah bawa mereka ke sini, dizalimi oleh penjajah. Nasib kita dijajah, kita asal di sini.

Rakan-rakan kita kaum Cina dan India dibawa oleh penjajah untuk diperhambakan di sini juga. Islam boleh terima berbagai kaum, boleh terima masyarakat majmuk, boleh terima masyarakat majmuk. Allah menjanjikan:

إِلَّا تَنْفِرُوا
"Kalau kamu tidak keluar menegakkan Islam."
(at-Taubah: 39)

يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا
"Allah menyeksa kamu seksa yang pedih di dunia dan di akhirat."
(at-Taubah: 39)

وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ
"Allah tukar kaum yang lain daripada kamu."
(at-Taubah: 39)

Tukar kaum yang lain ini, boleh dua.


وَإِنْ تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُمْ
(Muhammad: 38)

Allah jadikan kaum yang lain itu masuk Islam, kaum yang lain masuk Islam, bila orang Arab meninggalkan Islam, orang Turki masuk Islam, orang Kurdish masuk Islam, kaum lain masuk Islam, mereka mengambil alih memimpin dengan Islam. Itu satu. Yang kedua, kaum yang lain, yang menindas kamu lebih seksa daripada apa yang ada pada hari ini. Ini amaran Allah yang mesti kita faham.

Jangan kita memilih politik yang tidak menentu, yang belum Islamnya, seksanya lebih buruk. Kita memilih damai, memilih pilihan raya. Pilihan raya adalah pendekatan yang paling matang, yang paling bijak menghadapi satu kaum pelbagai kaum dalam satu negara.

Kita lihat negara Arab, dengan _Arab Spring_, memilih pendekatan kekerasan. Apa yang berlaku bukan menghadapi musuh, menghadapi Arab dengan Arab, bom masjid, bom pasar, bom hotel, bunuh sama sendiri, ratah sama sendiri, berlaku demikian, huru-hara. Ini Islam menyuruh kita memilih pendekatan damai, bukan kita menyerah kalah, kita tidak menyerah kalah. Tapi Islam membawa mesej untuk menyelamatkan manusia mendahulukan perdamaian.

PAS yang ditubuhkan tahun 1951, adalah kesinambungan daripada perjuangan Islam sejak kejatuhan Melaka. Bila Melaka jatuh 1511, seluruh umat Islam Nusantara menentang penjajah. Orang Bugis datang dari Sulawesi, orang Minang datang dari Sumatera, orang Aceh datang dari Sumatera, orang Jawa datang dari Jawa, menyebabkan adanya etnik-etnik Bugis, Jawa, Banjar, macam-macam di Tanah Melayu ini. Mereka datang bukan untuk kebun kelapa, tanah lebih luas tempat mereka. Mereka datang untuk jadi nelayan? Bukan. Laut mereka lebih luas, banyak ikan. Mereka datang untuk membebaskan Melaka. Dinafikan dalam sejarahnya

Mereka datang bukan untuk merompak dan menyamun seperti ucapan Orientalis Barat, terdapat kalangan Orientalis yang menamakan mereka ini perompak dan penyamun. Dan ada kalangan orang-orang Islam yang terpengaruh dengan pemikiran Barat, yang berleluasa membaca buku-buku Barat. Perjuangan menentang penjajah melibatkan Sultan, melibatkan ulama, melibatkan rakyat. Mereka berjuang menentang penjajah.

Kita telah menerima kemerdekaan, walaupun secara damai dan putar belit British, tetapi kita telah berjaya meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Ini penting. Islam agama Persekutuan, pegang ini. Islam agama Negeri Selangor, pegang ini. Orang Melayu menjadi pemimpin dengan Islamnya, pegang ini. Kita menolak konsep yang menolak Islam, menolak konsep Malaysian Malaysia yang mahu menghapuskan bangsa, mesti ditolak.

Bangsa adalah ciptaan Allah S.W.T, bahasa ciptaan Allah S.W.T, dikekalkan bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil, tak dibahasa penganut-penganut agama lain. Ditangani dengan adil, dengan sebaik-baiknya, Islam yang memimpin dan memerintah.

Ini pendekatan kita. Saya yakin dan percaya, semua yang hadir ini bersemangat, bersemangat datang, mereka merupakan sebahagian bukan seluruh rakyat negeri Selangor, sebahagian. Allah memilih saudara-saudara menjadi sebahagian:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Dan hendaklah ada sebahagian daripada kamu, sebahagian daripada seluruh orang Islam, (sebahagian kamu itu, satu kumpulan yang mengajak kepada Al-Khair, kepada Islam,) menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran, mereka itu mendapat kemenangan."
(Ali-Imran: 104)

Ini janji Allah. Yang sebahagian ini mesti bergerak, kerana pilihan raya penentuannya ialah majoriti, tak cukup dengan mereka yang hadir di sini, mesti bergerak di seluruh pelusuk negeri Selangor. Gerakkan keluarga, gerakkan sahabat kita yang Islam, yang bukan Islam. PAS memilih Islam memimpin negeri Selangor. Insya-Allah, dengan semangat ini kita bergerak. Sebagaimana semangat ini kita bekerja. Dengan pertolongan Allah diberi kemenangan, diberi kemenangan.

Siapa memimpin? Allah mengajar kita, Quran diturunkan dengan ada sebab yang berlaku. Kita tidak boleh menentukan hukum sebelum ada sebab. Bila Nabi menawarkan kerajaan Islam pada kabilah-kabilah Arab, ada kabilah yang menolak kerana tidak percaya Islam boleh menang. Bani ‘Amir yang mensyaratkan bertanya Nabi S.A.W:

لمن الملك
"Kalau kamu menang, siapa yang memimpin? Siapa jadi ketua negara?"

Nabi jawab:

الملك لله يؤتيه من يشاء
"Itu kepunyaan Allah, diberi kepada siapa yang dikehendaki."

Ini jawapan Nabi S.A.W. Kita tak terikut orang yang belum apa sudah mencalonkan. Calon pilihan raya je, pilihan raya di Malaysia ini tak ada calon Presiden, tak ada calon Perdana Menteri. Calon wakil-wakil rakyat, itu sistem yang ada di Malaysia.

Malaysia bukan Amerika pilih calon Presiden. Malaysia bukan British, Malaysia adalah Malaysia. Ikut petunjuk Nabi S.A.W. Yakinlah dengan asas Islam ini kita selamat. Asas yang memerlukan keikhlasan. Kita tak tahu siapa yang ikhlas, Allah yang Maha Mengetahui siapa yang ikhlas.

Bila tiba masanya Allah Taala buktikan siapa yang ikhlas. Kita tak nampak. Alhamdulillah Allah Taala menampakkan kepada kita yang bai’ah melanggar bai’ah yang tak percaya bersama dengan kita, yang oportunis tak bersama dengan kita.

Yang teras bersama dengan kita. Saudara adalah teras, teras ini perlu membina lagi kekuatan-kekuatan yang lain untuk menempah kemenangan. Ini sangat penting. 

(Transkrip oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Amanat Presiden PAS dalam Himpunan Fastaqim 2.4 Selangor pada 21 Januari 2018 di Komplek Sukan Seksyen 17, Shah Alam) - HARAKAHDAILY 22/1/2018

PADA zaman dahulu kala, ada seorang pemimpin yang bermadah daripada bahasa asing yang menjadi kebanggaannya menyebut, “adalah lebih baik bersama syaitan yang dikenali daripada bersama malaikat yang tidak dikenali”.

Kenyataan yang mengejutkan seseorang yang beriman, kerana kita disuruh beriman kepada malaikat makhluk yang baik dan mulia walaupun kita tidak pernah melihatnya dengan mata. Adapun syaitan itu telah ditetapkan sifat wajibnya, jahat dan menipu walaupun dia berupa manusia yang segak dan menarik.

Allah yang wajib bersifat Maha Benar dan Rahmat menyuruh kita beriman kepada adanya makhluk malaikat yang berada di alam ghaib, yang sangat suci peribadinya. Allah berfirman:

لا يعصون الله ما أمرهم ويفعلون ما يؤمرون (سورة التحريم: ٦)

“Para Malaikat itu tidak sekali-kali durhakakan Allah terhadap apa-apa sahaja yang diperintah kepada mereka supaya melakukannya dan mereka mesti melakukan apa sahaja yang diperintah (Allah) kepada mereka supaya dilaksanakan” (Surah At-Tahrim: 6)

Sebaliknya syaitan pula, Allah menyuruh hamba-Nya supaya memohon perlindungan Allah daripada kejahatannya dalam surah yang terakhir daripada Kitab Suci al-Quran dan setiap kali memulakan bacaan al-Quran. Ia menunjukkan betapa bahayanya syaitan itu dalam kehidupan manusia, sehingga orang membaca Al-Quran boleh ditipunya, termasuk yang bersembahyang, apatah lagi yang buta al-Quran atau kurang sembahyangnya dan lebih lagi kalau tidak sembahyang, kerana terus boleh dikerah bila-bila masa dan di mana sahaja menjadi khadam atau agennya.

Mungkin yang mengenali syaitan itu sudah bersahabat dengannya. Oleh sebab tidak pernah melihat malaikat, maka dirasakan syaitanlah yang lebih berjasa dan berbudi, atau dia juga berperangai menipu dan berputar belit seperti syaitan.

Adapun orang yang beriman sudah cukup percaya dengan pesanan al-Quran dan nasihat Rasulullah SAW Kalau dia pernah ditipu atau disesatkan oleh syaitan, maka dengan segera insaf dan kembali ke pangkal jalan.

Satu kisah menarik dalam kitab Tasawuf menceritakan pada zaman dahulu bagaimana seorang lebai yang kuat beragama ditipu oleh syaitan walaupun sembahyangnya tidak ditinggalkan. Apabila diketahuinya penduduk sebuah kampung memuja pokok yang disangka penunggu daripada syaitan yang berbudi kepada mereka sehingga menjadikan hasil pertaniannya subur, maka pokok itu menjadi tempat pemujaan. Maka si lebai yang kuat bersemangat agama itu mahu mencegah kemungkaran syirik memuja syaitan membawa kapak dengan niat ikhlas kerana Allah bersemangat menebang pokok yang dipuja.

Apabila tiba ditempatnya muncullah syaitan yang disangka menjadi penunggu itu menghalangnya. Maka bergelutlah dia dengan syaitan itu, kerana tujuannya kerana Allah, syaitan dapat dikalahkannya. Tiba-tiba syaitan yang pandai menipu itu merayu supaya dia dibebaskan dengan tawaran yang menarik, menjanjikan kepada pak lebai bahawa dia akan meletakkan duit di bawah tikar sembahyangnya setiap pagi. Dengan tawaran duit ini, maka pak lebai sedia membebaskan syaitan yang sudah dikenali dengan janjinya yang menarik itu.

Arkian kisah cerita berikutnya, pak lebai mendapati memang ada duit yang dijanjikan di bawah tikar sembahyangnya, maka terikat kasih kepada syaitan yang dikenali kerana duit itu.

Al-kisah setelah beberapa hari tiba-tiba duit tidak ada lagi. Maka marahlah pak lebai kerana syaitan sudah menipunya dan mungkir janji. Terus dipikul kapaknya dengan penuh semangat berhasrat untuk menebang pokok kerana marahnya kepada syaitan yang memungkiri janji tidak ada lagi duit yang diberikan, bukan lagi kerana mencegah kemungkaran yang akan dicatat oleh malaikat yang tidak dilihatnya akan amal pahala menentang syaitan itu. Apabila dia sampai, syaitan terus menghalang dan berlaku pergelutan yang sengit, tiba-tiba kali ini syaitan yang menang dan pak lebai menyerah kalah.

Demikianlah akibat percaya kepada syaitan yang dapat dilihat dan tidak percaya kepada malaikat yang tidak dapat dilihat.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 5 Jamadil Awal 1439 / 22 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 22/1/2018

FIRMAN Allah:

وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٤ إبراهيم

“Dan Kami tidak mengutuskan seseorang Rasul melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia menjelaskan (hukum-hukum Allah) kepada mereka. Maka Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya), juga memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)

Beginilah Allah meletakkan acuan membina syakhsiah atau jati diri manusia dengan ilmu dan pendidikan melalui ilmu wahyu dengan bahasa ibunda masing-masing, maka beginilah juga Allah menetapkan kepada manusia menuntut ilmu duniawi melalui akal, pengalaman dan kajian.

Bahasa bagi sesuatu bangsa menjadi alat paling memudahkan mendapat ilmu secara lisan dan tulisan, serta mengembangkannya di kalangan bangsanya, bukan sahaja sekadar hubungan perbualan biasa di kalangan meraka sahaja.

Islam di akhir zaman diwahyukan Kitab Suci Al-Quran menjadi mukjizat ilmu itu dengan Bahasa Arab yang dituturkan oleh Rasulullah S.A.W yang dilantik Allah dan generasi pertama yang diajak kepadanya dan menerima ilmunya.

Wahyu pertama ialah firman Allah:

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥ العلق.

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui Qalam (alat tulisan); (4) Yang mengajar manusia apa yang manusia tidak tahu (jahil). (5)” (Surah Al-‘Alaq: 1-5)

Al-Quran dibaca dan ditulis dengan Bahasa Arab yang tinggi dari segi ilmunya. Banyak perkataan tidak mampu mencapai maksud yang sebenar kalau diterjemah dengan hanya satu perkataan sahaja dalam bahasa lain seperti kalimah Allah, ibadat, jihad, zikir, tasbih dan lain-lain. Al-Quran juga menjadi mukjizat dasar dan konsep bagi semua ilmu termasuk ilmu duniawi yang menjadi petunjuk dan menentukan sempadannya untuk memberi manfaat dan menolak mudarat.

Umat Islam diperintah oleh Rasulullah S.A.W mengambil ilmu duniawi daripada berbagai bangsa yang bertamadun, sabdanya:

الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ حَيْثُمَا وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا سنن ابن ماجه

“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman. Maka di mana sahaja dia menemuinya maka dialah paling berhak mengambilnya” (Sunan Ibnu Majah)

Apabila umat Islam keluar daripada Semenanjung Tanah Arab, maka bukanlah semua ilmuan Islam mempelajari bahasa asing. Apa yang dilakukan adalah gerakan penterjemahan oleh kalangan berbagai bangsa yang menganut Islam menterjemahkan ilmu daripada semua bangsa yang telah bertamadun itu ke dalam Bahasa Arab yang menjadi bahasa rasmi umat Islam, atau hanya beberapa orang penganut Islam yang mengetahui bahasa asing menterjemahkan ilmu itu mengikut bahasa penganut Islam.

Langkahnya adalah meramaikan ilmuan berbagai lapangan di kalangan umat Islam dengan mudah dan cepat melalui Bahasa Arab atau bahasa masing-masing. Maka terciptalah Hadharah Islamiyah (Tamadun Islam) melalui ilmu duniawi berprinsip dan berkonsepkan Islam, bukannya Islam Hadhari yang mahu mengheret ajaran Islam bersama tamadun yang sesat itu.

Eropah Kristian yang tertarik kepada Tamadun Islam mengutuskan beberapa orang sahaja dalam kalangan orientalis yang mempelajari Bahasa Arab, bukan semua mereka itu mempelajari Bahasa Arab. Lalu mereka mengambil ilmu duniawinya sahaja daripada umat Islam tanpa ilmu wahyu yang menjadi petunjuk.

Kemudian mereka terjemahkan ilmu duniawi itu ke dalam bahasa masing-masing berkonsepkan sekularisma dalam masyarakatnya. Maka tercipta kemajuan sains dan teknologi yang pesat di kalangan mereka, sehingga mencetuskan Revolusi Industri yang menguatkan penjajahan dan berakhir dengan berbagai-bagai kemusnahan dan keruntuhan sehingga kini, kerana ilmunya tanpa hidayah.

Kita menyaksikan Jerman dan Jepun yang kalah dalam Perang Dunia Kedua sehingga musnah segala bangunan dan industrinya, termasuk dikenakan syarat yang ketat oleh Negara Berikat yang menang, tiba-tiba bangkit semula dengan bahasa masing-masing. Begitu juga China yang menjadi kuasa besar sekarang meletakkan acuan pelajaran dan pendidikannya ke dalam bahasa kebangsaan, hanya beberapa orang yang terpilih mempelajari bahasa asing. Semua negara itu melahirkan ramai ilmuan di kalangan mereka tanpa banyak menghabiskan masa dan tenaga rakyatnya mempelajari bahasa asing.

Selain itu juga, sejarah tamadun Islam di Nusantara menggunakan Bahasa Melayu yang bertulisan huruf Arab bersama pengaruh Islam sehingga Bahasa Melayu menjadi bahasa yang terbesar di rantau ini. Malangnya dimusnahkan selepas kedatangan penjajah melalui sistem pendidikan dan pelajaran yang sengaja dicipta untuk melumpuhkan jati diri Islam. Pada masa yang sama, diambil langkah menghapuskan pengaruh Islam atau membaratkan penganut Islam, bukan sahaja budayanya, bahkan termasuk bahasanya sama ada dimusnahkan atau menjadi bahasa rojak yang bercelaru.

UNESCO telah membuat kajian bahawa negara yang meninggalkan bahasanya sendiri gagal mencapai kemajuan yang pesat dan terus bergantung dengan pihak lain tanpa merdeka.

Generasi awal negara selepas mencapai kemerdekaan telah mengambil langkah positif untuk kembali semula memperkasakan Bahasa Melayu melalui sistem pendidikan kebangsaan dengan menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), disamping melakukan perubahan terhadap institusi pendidikan di semua peringkat supaya Bahasa Kebangsaan menjadi bahasa ilmu sehinggalah berakhir tahun 70-an.

Malangnya pada tahun 80-an dilakukan perubahan, sekali pandang ke Timur, sekali ke arah Barat, akhirnya dihanyutkan oleh ribut globalisasi berslogankan Order Baru Dunia yang ditiupkan oleh Presiden Bush iaitu Bahasa Inggeris hendaklah menjadi bahasa dunia.

Kita ikut berenang bersama arus itu, sehingga Bahasa Inggeris menjadi kebanggaan kita. Tulisan Bahasa Kebangsaan dipinggirkan sedikit demi sedikit sehingga menjadi makin halus di papan tanda perniagaan dan jalan raya.

Kita menyaksikan juga betapa para pemimpin kuasa besar berucap dengan bahasa kebangsaan masing-masing di persidangan antarabangsa yang terbesar atau kecil seperti PBB dan majlis rasmi bersama tetamu asing. Tinggallah pemimpin dunia ketiga, sama ada yang sedang membangun atau terus terduduk tanpa bangun meninggalkan bahasanya, mereka sangat bangga berucap dengan bahasa penjajah masing-masing. Inilah kesan dan pengaruh penjajah yang masih menghantui pemikiran masing-masing.

Tanpa dinafikan perlunya mengetahui berbagai bahasa dunia itu dan penting untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya daripada bangsa lain, tetapi mengilmukan rakyat dan negara masing-masing hendaklah dengan bahasanya sendiri.

Rakyat akan mendapat ilmu dengan mudah sehingga tidak ada rakyat yang tertinggal atau terpinggir daripada pendidikan dan pelajaran termasuk yang kurang upaya. Menjadikan rakyat semuanya berperanan, bak kata orang tua:

“Yang gagah menumbuk padi, yang buta menghembus lesung dan yang tempang menghalau ayam”.

Jangan yang berpendidikan tinggi hanya segelintir, ada yang tidak pulang kerana tiada tempat di tanah air sendiri dan ada juga menjadi penganggur.

Walaupun masih ramai beranggapan bahawa peranan bahasa hanya kecil sahaja, tetapi perhatikan betapa peranannya yang dipandang sepi ini dapat mempengaruhi generasi kini yang lemah jati dirinya sedang dilanda badai media baru langit terbuka tanpa sempadan, menunjukkan angka peserta pusat serenti berlipat kali ganda daripada jumlah ke universiti, kerana kemampuan bahasa asingnya tidak mencapai ke tahap menguasai ilmu.

Lebih malang bagi Bahasa Kebangsaan kita, apabila konsep penswastaan dilaksanakan dengan meluas di lapangan institusi pendidikan yang menjadikan perniagaan adalah matlamat pendidikan, bukannya dakwah dan pembangunan insan.

Ada yang sangat gembira dengan penubuhan universiti asing dan menggunakan bahasa asing serta kedatangan pelajar-pelajar asing kerana melihat banyak duit yang datang, bukannya melihat penyakit yang diundang sehingga duit itu terpaksa dihanguskan pula untuk mencegah dan mengubati kesan negatif yang lebih besar daripada positifnya. Demikianlah perangai manusia yang disifatkan oleh Rasulullah S.A.W:

مَثَلِي وَمَثَلُكُمْ كَمَثَلِ رَجُلٍ أوْقَدَ نَاراً فَجَعَلَ الجَنَادِبُ والفَرَاشُ يَقَعْنَ فِيهَا وَهُوَ يَذُبُّهُنَّ عَنْهَا، وَأَنَا آخذٌ بحُجَزكُمْ عَنِ النَّارِ، وَأنْتُمْ تَفَلَّتونَ مِنْ يَدَيَّ )رواه مسلم(
.
“Bandingan hubungan aku dan kamu laksana seorang yang menyalakan api, menyebabkan serangga belalang dan kelkatu menjatuhkan diri ke dalamnya, sedangkan aku mahu menghalangnya, sehingga aku memegang baju dan seluar kamu supaya jangan jatuh ke dalam api itu, sedangkan kamu merentap melepaskan diri daripadaku”

Allah menciptakan berbagai bangsa dan bahasa menjadi tanda kebesarannya. Firman Allah:

وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ ٢٢ الروم

“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang berpengetahuan” (Surah Ar-Rum: 22)

Manusia tidak mungkin meminda ketetapan Allah, bahkan sepatutnya bersyukur dengan ketetapan Allah kepada diri masing-masing. Maka Islam tidak memaksa bangsa yang menganut Islam menukar bangsa, warna kulit dan bahasanya, sebagaimana tidak boleh memaksa bukan Islam menganut Islam sendiri. Bahkan ilmu agama Islam juga boleh dipelajari dengan bahasa masing-masing, namun bagi mendalaminya hanya yang terpilih mempelajari Bahasa Arab.

Ibadat sembahyang yang diwajibkan bacaannya dengan Bahasa Arab, tetapi ilmu sembahyang dipelajari dengan bahasa masing-masing. Begitulah seorang yang mahu mengerjakan haji di Makkah tidak dipaksa mempelajari Bahasa Arab sebagai rukun dan syarat hajinya, termasuk yang buta huruf sah hajinya, menjadikan jamaah haji semakin ramai. Selain itu, para ulama mengesahkan status Islam seseorang dengan Dua Kalimah Syahadah yang diucapkan terjemahan dalam bahasanya dan mereka yang tidak mampu langsung melafazkan bacaan solatnya dalam Bahasa Arab diizinkan juga dengan bahasanya.

Bangsa bukan Arab yang mengambil alih kepimpinan Negara Islam yang besar, seperti Turki, Kurdis dan Mongol kekal dengan bahasa masing-masing dan menjadi bahasa rasmi negara bersama Bahasa Arab bagi mendalami ilmu syariat secara langsung daripada Al-Quran dan Sunnah. Namun tamadun duniawinya kekal dalam bahasa kebangsaan.

Malangya ada pemimpin kita yang pernah berhasrat mewajibkan Bahasa Inggeris dalam sistem pelajaran dan pendidikan kita kononnya untuk kemajuan negara. Lebih parah lagi apabila mahu menjemput tenaga pengajar asing dan menyediakan peruntukan kewangan yang sepatutnya boleh digunakan dalam perkara yang lebih bermanfaat kepada negara dan rakyat.

Cukuplah Wawasan 2020 sudah tinggal dua tahun sahaja lagi umurnya, tetapi kemajuan kita masih bernyawa ikan yang ditangkap, bukannya ikan di air bebas. Namun Allah sentiasa membuka pintu taubatnya laksana seluas muka bumi ini daripada Timur hingga ke Barat atau sepanjang umur manusia daripada umur baligh sehingga nyawa berada di kerongkong. Jangan salahkan orang lain, salahkanlah diri sendiri.

Kata Khalifah Umar R.A.

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

“Sesungguhnya kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan di dalam kebatilan”

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 1 Jamadil Awal 1439 / 18 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 18/1/2018

Ahzab sepanjang zaman

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ النَّاسِ عَدَاوَةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الْيَهُودَ وَالَّذِينَ أَشْرَكُوا ۖ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَوَدَّةً لِلَّذِينَ آمَنُوا الَّذِينَ قَالُوا إِنَّا نَصَارَىٰ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَانًا وَأَنَّهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ
"Kamu akan dapati (wahai Muhammad S.A.W) manusia yang paling bermusuh terhadap orang-orang beriman itu ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang Musyrikin. Dan kamu akan dapati (wahai Muhammad S.A.W), orang yang paling dekat kasih sayangnya terhadap orang beriman ialah orang-orang Nasara Kristian, kerana ada kalangan mereka (paderi-paderi dan pendeta-pendeta rahib) yang menegaskan dan mereka tidak sombong dan tidak takabbur.
(al-Maidah: 82)

Quran adalah petunjuk sehingga Hari Kiamat, mukjizat ilmu yang berterusan. Kita baca dalam Sirah Nabawiyyah, bagaimana orang-orang Yahudi ahli kitab yang mengetahui berkaitan dengan Nabi Muhammad S.A.W, Rasul akhir zaman di dalam kitab mereka Taurah, Injil, diberitahu oleh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul A.S mereka, oleh ulama-ulama mereka.

Sebahagian besar daripada mereka berkampung di Al-Madinah Al-Munawwarah kerana melihat tanda-tanda berlakunya Hijrah di situ. Bila datangnya Rasul itu, mereka kufur, mereka menentang. Mereka merancang menubuhkan bala tentera Ahzab untuk menyerang negara Islam. Merancang membunuh Nabi S.A.W dan meracunnya. Kewafatannya kesan dari racun itu.

Di mana perancangan Ahzab ini berterusan sepanjang zaman. Mereka terlibat seperti dijelaskan dalam kuliah yang lalu, dalam menjatuhkan Khilafah Uthmaniyyah. Setelah Theodor Herzl gagal merasuahkan Sultan Abdul Hamid Khalifah Uthmaniyyah yang terakhir. Di kala Uthmaniyyah dalam keadaan yang sangat lemah, berlakunya kekacauan dalam kerajaan. Usaha nak dipulihkan gagal.

Mereka menemui Sultan Abdul Hamid melalui Theodor Herzl, menawarkan berjuta-juta pound di masa itu, di zaman kerbau harga lima ringgit tahun 1900. Walaupun dalam keadaan yang terdesak, Sultan Abdul Hamid menolak dengan keras. Tidak akan menodai sejarah Islam yang telah ditegakkan oleh Sultan-sultan Uthmaniyyah.

Tetapi pemimpin-pemimpin Arab berjaya diperalatkan di atas semangat Nasionalisme, sehingga jatuhnya Uthmaniyyah, dilaksanakan Sykes-Picot, Perjanjian Balfour; Asia Barat dibahagi-bahagikan kepada pemimpin-pemimpin dan Raja-raja yang menyokong untuk menjatuhkan Uthmaniyyah.

Isu baru isu Baitul Maqdis melibatkan Zionis disiar dalam media boleh dibaca. Berlakunya tawaran yang termahal di abad ini kepada pemimpin-pemimpin Palestin oleh kalangan negara Arab. Menawarkan beberapa billion dollar untuk menubuhkan negara baru di Sinai bagi orang-orang Palestin. Peruntukan yang lumayan, membuka bandar baru dengan menyerahkan Palestin dan Baitul Maqdis kepada negara haram Israel.

Alhamdulillah, tidak ada pemimpin Palestin yang berani menerima tawaran itu. Kumpulan-kumpulan Islam Hamas dan Tanzim Jihad menolak dengan keras. Bahkan berita yang mutakhir,  mereka memulaukan persidangan Palestin di Tebing Barat yang diadakan kelmarin dan hari ini.

Disebalik rekayasa pertembungan

Perlu kita tahu bagaimana permainan politik yang sangat licik dan orang kita yang membaca kitab Fekah kena baca juga perkembangan politik. Sejak tahun 90-an lagi, beberapa pemimpin Amerika, khususnya yang mengepalai 'order' baru dunia, menguar-uarkan dalam media bahaya Syiah terhadap Sunni. Al Hilal Syiah, setelah berlakunya Revolusi Syiah di Iran, mereka mengatakan Iran akan mengembangkan pengaruh negara Parsi, membahayakan orang Arab.

Bahkan isu ini tidak ada di zaman Shah. Di zaman Shah, dia bawah Amerika, pangkalan ke Amerika di Iran ada di masa itu, tak ada isu ini. Tetapi, selepas Revolusi Islam Syiah di Iran, ditimbulkan isu ini. Adakah isunya Sunni dan Syiah? Orang Islam mesti faham, orang Islam mesti faham. Betul kita Sunni, kita Ahli Sunnah, pertahan Ahli Sunnah wal Jamaah, tapi kena faham politik.

Salahuddin Al-Ayyubi yang berjaya membebaskan Baitul Maqdis yang ditakluk selama satu abad, mengambil langkah berdamai dengan Kerajaan Fatimiyah Syiah di Mesir. Fatimiyah Syiah di Mesir, dia mendirikan Universiti Azhar. Azhar ini Universiti Syiah pada asalnya untuk mengembangkan pengaruh Syiah Fatimah Az-Zahra Al-Azhar. Kerajaan Fatimiyyah.

Salahuddin Al-Ayyubi mengambil pendekatan damai. Beliau sebagai wakil tentera Ayyubiah naik atas mimbar di Mesir memuji khalifah Fatimiyyah. Menyebabkan orang marah, apa duduk puji Syiah? Beliau bersabar. Berakhir dengan selesai masalah dalaman, Mesir bertukar menjadi Sunni. Jami’ Azhar di Mesir, Ahli Sunnah sampai hari ini. Baitul Maqdis berjaya dibebaskan. Ini mesti faham. Adakah isu ini ataupun isu menyelamatkan Israel?

Negara Arab yang sudah dibeli dengan kesenangan dan kemewahan tidak membangunkan teknologi mereka. Saya sebut minggu lepas, mereka kaya sahaja, tapi bodoh. Kaya, bodoh nak buat apa? Dia dalam Syiah yang cerdik, membangun teknologi, bahkan mereka mentajdidkan Fekah mereka, mereka buat pilihan raya. Dalam Fekah Syiah tak ada pilihan raya, dia pun boleh buat pilihan raya.

Negeri Arab yang kuat Sunni ini pilihan raya ke tidak? Diktator. Presiden boleh dipecat, boleh dijatuhkan. Dibangunkan teknologi dan dibuat kajian Wilayatul Faqih yang banyak melakukan perubahan dan mencedok Fekah-fekah Sunni Ahkam Sultaniyah dan lain-lain. Tajdid dilakukan. Dan mereka membangunkan teknologi.

Turki yang dijaga oleh Barat, jangan muncul lagi. Dalam diam-diam membangun Turki. Turki membangun. Walaupun Perlembagaan Turki mengharamkan penubuhan parti yang berunsurkan agama. Mana-mana parti politik yang membuka ruang untuk agama, diharamkan. Lepas satu, satu, sehingga parti AK memerintah pada hari ini menghidupkan demokrasi dan kebebasan. Demokrasi dan kebebasan bukan sahaja untuk Barat, tetapi juga untuk Islam.

Arak tak boleh diharam, pelacur tak boleh diharam, sangat sulit. Pangkalan tentera Amerika tak boleh ditutup. Diplomatik dengan Israel tak boleh diputus. Kalau masjid jangan dikacau. Ceramah agama jangan dikacau. Kegiatan Islam jangan dikacau. Ini pendekatan yang dibuat oleh Turki dalam keadaan yang begitu rupa.

Rampasan kuasa tentera Turki yang diatur gagal untuk menggulingkan Erdogan, gagal. Iran terlibat, Qatar terlibat dalam mempertahankan Kerajaan Turki, menunjukkan ada kerjasama di antara negara-negara ini.

Namun tawaran baru yang saya sebutkan tadi, bukan sahaja untuk menubuhkan negara baru Palestin. Termasuk menubuhkan blok baru, blok Arab kerana Israel untuk menghadapi bahaya Syiah, bukan blok Islam menghadapi bahaya Israel. Ini percaturan politik yang kita faham.

Tawaran yang saya sebutkan tadi, tawaran yang dikemukakan kepada Almarhum Yasser Arafat ketika beliau masih hidup. Turki di bawah kerajaan Sekular yang tegar, menghantar Menteri Luarnya Ismail Cem, saya ingat nama dia. Berjumpa Yasser Arafat, menawarkan beberapa billion kepada Yasser Arafat untuk mendirikan negara baru Palestin, serah sahaja Baitul Maqdis kepada negara Israel.

Arafat menjawab dengan senyum, Yasser Arafat kata saya bersetuju, saya bersetuju. Tetapi kamu balik ke Turki buat undi pilihan raya di Turki pungutan suara, tanya rakyat Turki setuju ke serah Baitul Maqdis kepada Israel? Satu jawapan yang bijak menyebabkan Ismail Cem keluar dalam hampa. Buat pilihan raya demokrasi, tanya orang Turki, orang Turki setuju ke tidak?

Baitul Maqdis milik Islam

Baitul Maqdis adalah isu Islam, bukan isu Arab, isu Islam, isu agama. Walaupun mereka tololkan ini isu Palestin, isu Arab, isu nasionalisme, tidak, ini isu Islam. Islam yang berhak di Palestin. Kalau di atas nama kebangsaan, baik bagi dekat Yahudi. Yahudi sendiri tidak berhak terhadap Palestin. Mereka ke negeri Islam.

Islamnya Palestin ini Allah menugaskan Ibrahim A.S supaya merasmikan Palestin setelah Nabi Ibrahim A.S dihalau daripada Babil, Babylon, berhijrah ke Palestin, ke Mesir. Balik ke Palestin dan mendirikan bumi Palestin, menghidupkan walaupun sudah ada penduduk di situ. Al Yabusiyun, dulu dari Yahudi lagi, dan Ibrahim memakmurkan Palestin.

Di mana Ibrahim adalah bapa kepada penganut-penganut agama besar Yahudi, Kristian dan Islam, termasuk Musyrikin. Orang Musyrikin juga memuja Ibrahim. Dalam Hindu antara tuhan ialah Brahma. Brahma, mereka anggap sebagai tuhan, itu Ibrahim, setelah pengaruhnya masuk ke India. Yahudi memuja Ibrahim, Kristian menyebut Abraham, orang Islam juga memuja Ibrahim disebut dalamtasyahhud akhir. Allah menyatakan:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

(Ali Imran: 67)

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ

Bahkan dalam ilmu qiraat, qiraat As-Syami (menyebut), "Maa kaa na Ibraham"

يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا

Ada bacaan ulama,"Maa kaa na Ibraham". Ada bacaan begitu daripada riwayat As-Syami.

Ibrahim bukan Yahudi, bukan Nasrani, Ibrahim bukan Musyrikin, Ibrahim adalah seorang Islam. Dan Allah memerintah Bani Israil satu bangsa yang dilahirkan daripada Ibrahim A.S melalui anaknya Ishak dan cucunya Ya'kub, maka lahirlah Bani Israil. Ya'kub yang berhijrah ke Mesir, melahirkan bangsa Israil. Ismail yang berhijrah ke Makkah melahirkan bangsa Arab. Arab dengan Israel ini, dengan Yahudi sepupu. Sepupu, pupulah. Itu hal lain. Menunjukkan Islam agama asal.

Setelah wujudnya bangsa Israil keturunan Ya'kub, setelah beribu-ribu tahun, mereka dipindah di Mesir, Allah memerintah Nabi Musa A.S berhijrah ke Palestin dengan Allah menunjukkan mukjizat kepada Bani Israil, mukjizat Musa. Menandakan ke-Rasulannya, ke-Nabiannya supaya Israil, orang-orang Yahudi mematuhi Nabi Musa A.S. Diberi kitab Taurah yang lengkap kerana mereka beriman, ditunjukkan mukjizat, Firaun dan bala tenteranya ditenggelamkan di Laut Merah.

Allah menyuruh mereka masuk ke Palestin, dengan syarat mereka mesti berjihad, berperang menentang kaum Jabbarin. Apa kata mereka?:

اذْهَبْ أَنْتَ وَرَبُّكَ فَقَاتِلَا إِنَّا هَاهُنَا قَاعِدُونَ

"Wahai Musa, pergi kamu dengan tuhan kamu, kami tak mahu pergi kami mahu duduk di sini sahaja."
(al-Maidah: 24)

Ini orang Yahudi, sehinggalah Allah mewafatkan Musa dan Harun A.S, disesatkan selama 40 tahun. Lahir generasi baru, Yusya’ bin Nun membebaskan Palestin. Ditegakkan kerajaan yang menjalankan Kitab Taurah. Di antaranya kerajaan Nabi Daud dan Sulaiman A.S. Wakil Israel di Bangsa-Bangsa Bersatu, saya ikuti ucapan dia. Antara hujahnya ialah Nabi Daud yang mendirikan kerajaan di Baitul Maqdis.

Siapa Nabi Daud? Nabi Daud yang beramal dengan Taurah, Nabi yang Islam, Sulaiman yang Islam, bukan Sulaiman yang kafir, yang meninggalkan Taurah. Di sini hikmat Allah menyebut kisah Bani Israil dalam al-Quranul Karim. Disebut dalam Quran kisah Nabi Yusuf, Nabi Ya'kub, Nabi Ibrahim, Nabi Daud dan Sulaiman disebut dalam Quran. Dan disebut hukum-hukum yang sama dalam Quran dan Taurah. Hukum Qisas dan Hudud yang jadi isu pada hari ini, disebut dalam Taurah, sama dengan Taurah.

Bahkan kita penganut Islam dihalalkan memakan sembelihan orang Yahudi, halal dan haram dekat, menunjukkan persamaan agama. Tetapi kitab mereka dinasakhkan. Islam adalah agama Allah untuk manusia, bukan untuk orang Yahudi sahaja. Tapi mereka fanatik kaum, seolah-olah Islam ini untuk orang Yahudi. Nabi bangsa Yahudi, mereka nak ajar Allah Taala. Mereka dilaknat oleh Allah.

فَبَاءُوا بِغَضَبٍ عَلَىٰ غَضَبٍ ۚ
"Mereka diwabakkan dengan kemurkaan."
(al-Baqarah: 90)

Kemurkaan di atas kemurkaan bertalu-talu, membunuh Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Mereka tidak layak untuk mewarisi Palestin, dan Allah mengisytiharkan ‘Alamiyyah Muhammad S.A.W pada malam Israk dan Mikraj, sembahyang berjamaah di Baitul Maqdis. Nabi tak minta jadi imam, Nabi tak minta jadi imam. Sekarang ini jangankan imam, Perdana Menteri pun orang minta. Jibrail pegang tangan Nabi, Nabi jadi imam.

Semua Nabi-Nabi sembahyang di belakang, sembahyang berjamaah, menandakan Islam adalah agama Nabi-Nabi A.S. Palestin adalah Islam. Baitul Maqdis adalah Islam. Mereka telah berjaya memperkecil dan mengecilkan isu Palestin, daripada isu Islam jadi isu Arab. Isu Palestin isu Baitul Maqdis.

Kemudian isu Baitul Maqdis Timur dan Barat. Banyak pemimpin negara Islam dalam ucapannya menerima Baitul Maqdis Timur untuk orang Islam, Barat untuk Yahudi. Ada yang berucap macam ini. Mahdi dari Baitul Maqdis, kecilkan lagi pula. Sedangkan Baitul Maqdis adalah untuk orang Islam. Dan Islam tidak menghalang penganut agama-agama lain.

Namun Allah Taala mengajar kita, mengajar umat Islam, bila meninggalkan Islam, maka umat Islam jadi hina, jadi lemah, mereka ditakluk. Dan Allah tidak mengizinkan agama Islam ini mati. Cahaya tak boleh dipadam.

Perjuangan menentang Yahudi

Saya ulangi balik apa yang disebut apabila dilaksanakan Perjanjian Sykes-Picot. Yahudi berhijrah ke Palestin, berlaku protes di Baitul Maqdis. Pemimpinnya Syeikh Muhammad Amin Al-Husaini, Mufti Palestin yang pernah dijemput di Tanah Melayu dalam Musabaqah Quran yang pertama tahun 1960, Mufti Palestin.

Amin Husaini diburu oleh pihak Berikat kerana dalam Perang Dunia, yang kedua beliau berpihak kepada Hitler kerana beliau berjumpa dengan Hitler, ada gambar, disiar dalam perjumpaan dengan Hitler. Hitler menjanjikan untuk menyerahkan Palestin balik ke orang Arab. Hitler kalah. Amin Husaini diburu, termasuk dalam senarai dikehendaki oleh pihak Berikat.

Tapi alhamdulillah, negara Arab tak sanggup serah dia. Tinggal di Mesir, tinggal di Lubnan, menetap di Moscow, tapi Tunku (Abdul Rahman), Almarhum Tunku jemput dia datang Musabaqah Quran tahun 60, ada juga peranan Tunku datang ke sini Musabaqah Quran tahun 60, yang tua-tua masih ingat dia datang.

Dia mengepalai gerakan menentang Yahudi di Palestin. Berlaku demonstrasi, bantahan melibatkan seluruh dunia Islam, bukan sahaja orang Arab, bahkan Presiden kita yang kedua Dr Burhanuddin dikatakan pernah ditahan di Baitul Maqdis kerana terlibat dalam demonstrasi itu, dalam tahun 40-an, Dr Burhanuddin. Orang PAS ini dah lama dah terlibat, sebelum merdeka lagi, sudah terlibat dalam perjuangan ini.

Dan kita berjaya menggunakan pengaruh kita untuk menghalang Malaysia mengiktiraf Israel, sehingga hari ini alhamdulillah Malaysia tak iktiraf Israel walaupun negara Arab sendiri sudah iktiraf Israel. Bodoh-bodoh Malaysia pun tak iktiraf Israel, Pakistan tak iktiraf Israel, Indonesia tak iktiraf Israel kerana kekuatan rakyat, kekuatan rakyat.

Apa yang menarik, yang mutakhir ini Datuk Bandar London, Sadiq Khan, bila Trumph nak pergi melawat London, dia membuat kenyataan, dibantah. Dia akan kerahkan London demonstrasi untuk menghalang Trumph melawat London, kerana menyerah Baitul Maqdis, pindah kedutaan Amerika di Baitul Maqdis. Tapi beberapa negara Arab sambut Trumph dengan karpet merah, ini. Orang Pakistan pula bersungguh. Orang Arab tak sungguh, bukan semua Arab sungguh. Rakyat Arab tidak.

Dan kita perlu memahami bahawa Israel mempunyai agenda yang besar. Agenda Freemason dan Zionis untuk mengembalikan empayar Kerajaan Nabi Sulaiman A.S, mencari Tabut. Tabut ialah peti mukjizat yang membawa Thalut dan Nabi Daud mengalahkan Jalut, disebut dalam Quran. Kalau ada Tabut ini, menang dalam peperangan. Mereka menggali keliling dan membuat terowong di bawah Masjid Aqsa untuk mencari Tabut bagi menakluk dunia. Pusatnya di Israel.

Dan di sana terdapat kepercayaan di dalam beberapa mazhab Kristian. Dalam mazhab Katolik Protestan dan beberapa mazhab Ortodok, yang mempercayai perlunya gabungan Yahudi dan Kristian untuk menentang umat Islam bagi menubuhkan empayar dunia yang berpusat di Israel menunggu kelahiran Al-Masih, yang disebut dalam Hadis, Al-Masihu Dajjal, disebut oleh Nabi S.A.W, Al-Masihu Dajjal, akan lahir di akhir zaman menjadi tanda besar akhir zaman. Al-Masihu Dajjal daripada bangsa Yahudi yang menakluk dunia.

Terdapat dalam kalangan Kristian Zionis bergabung dengan Yahudi, menunggu kelahiran Al-Masih untuk mendirikan negara agung Israel. Penglibatan Amerika dan sekutu-sekutunya ada kaitan dengan ini. Namun disebut dalam Hadis-hadis yang sahih lagi mutawatir, orang Islam akan mengalahkan Yahudi di akhir zaman.

لا تقوم الساعة حتى يقاتل المسلمون اليهود
ويختبئ اليهودي
وَرَاء الشَّجَرِ والْحَجَرِ
فقال الحجر يهودي وراء فاقتله
الا شجرة الغرقد

"Tidak akan berlaku Hari Kiamat sehingga orang Islam menghapus, membunuh Yahudi. Sehingga orang-orang Yahudi berlindung di sebalik kayu dan batu. Kami yang batu memberitahu, "Wahai orang Islam, ini Yahudi di belakangku, sila datang hapuskan dia"."

Ini Hadis dalam Shahih Bukhari.Dan di sana Hadis-hadis disebut dalam kitab Hadis. Nuzul Isa A.S, turunnya Nabi Isa A.S termasuk dalam tanda akhir zaman. Dan zahirnya Imam Mahdi termasuk dalam tanda akhir zaman. Jangan dipandang lekeh. Walaupun khilaf di antara ulama-ulama, antara Sunni dengan Syiah, khilaf tentang Imam Mahdi.

Tunggu Imam Mahdi?

Syiah Imamiyah mengatakan Imam Mahdi sudah zahir sejak ribu tahun yang lalu, bersembunyi di Iraq dalam tanah, akan muncul di akhir zaman. Syiah Nakhawilah yang tinggal di Madinah, ramai di Madinah ada Syiah, peniaga di pasar, sebahagian berniaga pasar, sebahagiannya penjual daging di pasar. Yang kata Syiah kafir itu jangan beli daging dekat pasar Madinah itu, ada Syiah, dia jual daging. Jangan cepat sangat kata kafir-kafir ini.

Mereka percaya Muhammad bin Hanafiyyah adalah Mahdi, bersembunyi di Gunung Radhwa, gunung yang di antara Makkah dan Madinah. Disebut oleh Ibnu Khaldun dalam Al-Muqaddimah, kepercayaan Syiah Nakhawilah. Sunni mengatakan zahir macam manusia biasa di akhir zaman. Salah seorang pemimpin yang akan memimpin ummah untuk mengembalikan keadilan setelah dipenuhi dengan kezaliman.

Ada pula orang tak payah mengundilah, tak payah berjuang, tunggu Imam Mahdi datang. Ada pula macam itu. Ini tak betul. Kewajipan menegakkan Islam kewajipan di zaman masing-masing, kewajipan di mana orang Islam dia berada, wajib dia menegakkan Islam, bukan tunggu Imam Mahdi. Hadis zahirnya Imam Mahdi diriwayatkan oleh lebih daripada 20 orang Sahabat (R.A), menandakan Hadis mutawatir. Walaupun tak disebut dengan sarih dalam Shahih Bukhari dan Muslim. Shahih Bukhari menyebut:

كيف انتم إذا منكم ابن مريم وإمامكم منكم

"Bagaimana keadaan kamu bila Isa Ibnu Maryam turun dan pemimpin kamu kalangan kamu?"

Itu dalam Shahih Bukhari dan Muslim. Tak disebut dalam Sunan Arba’ah, dan kitab-kitab yang lain. Walaupun di sana ada Hadis maudhu’, hadis palsu, ada hadis-hadis dhaif, hadis hasan, dan ada hadis-hadis yang sahih lagi mutawatir, tak boleh dinafikan. Akan tiba masanya.

Tiba masanya turun Isa A.S, Kristian percaya, sebahagian mereka percaya Nabi Isa disalib, dibunuh. Sebahagian Kristian blok Ortodok mengatakan Isa akan turun di akhir zaman. Kristian pun khilaf. Yang peliknya, Kristian yang kata Yahudi bunuh Nabi Isa, sokong Yahudi pula. Ini.

الضَّالِّينَ
*_"Yang sesat."_*
(al-Fatihah: 7)

Ini salah. Dia percaya bahawa Nabi Isa ini dibunuh oleh Yahudi, lepas itu dia sokong Yahudi, yang bunuh tuhan dia. Apa agama macam ini? Agama 'Trinity', tiga dalam satu, satu dalam tiga, macam kopi. Kopi campur tiga kan? Ada. Ini kepercayaan dia.

Persaingan kuasa-kuasa

Namun Israel membina kekuatan, didedahkan sejak tahun 60-an, seorang penulis tentera Iraq, Almarhum Jeneral Mahmoud...., telah menulis dalam buku, tentang pergolakan di negara Arab. Israel telah membina teknologi nuklear sejak tahun 60-an, dibantu oleh Amerika, British dan Perancis. Di mana, pusat nuklear dia di Bi’r Al-Saba’ di Palestin.

Barat membenarkan Israel membina nuklear, termasuk senjata nuklear. Majalah Al-Mujtama’ dalam tahun 1990 mendedahkan kerjasama nuklear antara Israel dan India. Ujian nuklear Israel dilakukan di India, pendedahan.

Ini antara Yahudi dan Musyrikin, betul tuhan sebut dalam Quran. Mereka tercabar dengan Pakistan juga menjadi kuasa nuklear, dan tercabar hari ini Iran menjadi kuasa nuklear. Walaupun mereka membunuh teknologi nuklear di Iraq dan Libya, serangan terhadap Iraq, serangan terhadap Libya adalah untuk menghapuskan kuasa nuklear kepada dunia Islam.

Tak nafi bahawa Saddam ini zalim, Ghaddafi zalim, tetapi matlamat dia bukan sekadar dengan Ghaddafi, matlamat dia nak bunuh sebarang kekuatan umat Islam. Orang Islam mesti faham, ini.

Barat meminta supaya Professor Abdul Qadeer daripada Pakistan pakar Nuklear Pakistan yang sudah tua uzur sekarang, diserah kepada Amerika untuk ditahan di Amerika. Kalau ditahan pun dia tak boleh, dia sakit, uzur, perlu rawatan perubatan. Kami tak benar dia pergi kerana dia uzur, tak tahu uzur sungguh ke uzur syar’ielah.

Iran dan Turki sedang membangun, walaupun mengikut hukum syarak, hukum syarak, difatwakan oleh ulama bahawa haram menggunakan senjata nuklear. Tak boleh kerana dalam peperangan tak dibenarkan membunuh orang tua, membunuh kanak-kanak, membunuh paderi, membunuh peniaga, membunuh petani, membunuh orang awam, merosakkan kebun orang awam, tak dibenarkan oleh hukum Islam. Ini syariat Islam, mendahului undang-undang antarabangsa.

Tetapi membina kekuatan untuk menggerunkan musuh, diizinkan oleh syarak. Kita tak dibenarkan membalas dendam terhadap musuh macam dia buat kepada kita. Di sinilah menyebabkan Islam diterima oleh manusia di seluruh dunia kalau Islam ini menang. Ini sangat menakutkan mereka.

Apa yang penting, mereka menggunakan orang Islam untuk memukul orang Islam, melaga, mengadu dombakan orang Islam apabila mereka menganggap orang Islam sudah mula mara ke depan pada hari ini, munculnya negara baru Iran, munculnya Turki.

Turki muncul ke depan. Kegagalan rampasan kuasa di Turki telah mengheret Turki bergabung dengan Iran dan Rusia menjadi gabungan baru antara Turki, Iran dan Rusia untuk menghadapi Barat diketuai oleh Amerika. Ini perubahan dalam blok dunia, yang kita tahu pada hari ini, ini diatur oleh Allah S.W.T.

Rusia daripada Komunis kepada Ortodok, Kristian Ortodok. Ortodok ini lain dengan Protestan dan Katolik. Amerika menganggap Rusia adalah pencabarnya. Bila Rusia bergabung dengan Islam, sudah tentulah menjadi satu kekuatan yang baru yang mencabar Amerika.

Dilakukan satu permainan politik yang mesti kita faham. Barangkali saya masih ingat beberapa bulan yang lalu, jet pejuang Turki telah menembak Sukhoi Rusia. Saya boleh sebutkan dalam perjumpaan sikit-sikitlah. Jatuh kapal terbang Rusia. Tujuan untuk melagakan Rusia dengan Turki, dan Iran dengan Turki. Ini permainan politik.

Yang berakhir dengan Turki menangkap juruterbang yang menembak Sukhoi, dan dibuat siasatan, rupanya juruterbang ini adalah yang bertugas di Itali, pangkalan tentera NATO di Turki yang ada kaitan dengan CIA. Ini yang berlaku.

Motif selamatkan Israel

Yang terakhir ialah perdamaian antara pejuang-pejuang Syria, dengan Kerajaan Syria. Peperangan yang berlaku di Syria yang berlaku di Yaman, sebenarnya bukan masalah Syria dan Yaman, kita tahu ada masalahnya. Sebenarnya adalah gangguan untuk menyelamatkan Israel dan Baitul Maqdis pada Yahudi, ini permainan percaturan politik yang kita kena faham. Kerana Yaman, Syria, Sudan adalah pangkalan untuk membantu pejuang-pejuang Palestin, Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah daripada Syiah di Selatan Lubnan. Ini.

Khususnya bila beberapa peperangan di Gaza, dan peperangan di Selatan Lubnan, membuktikan bahawa Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah mempunyai senjata-senjata yang tak boleh dipintas oleh roket-roket Amerika yang mempertahankan Israel. Ini menyebabkan mereka kacau.

Ancaman yang besar kepada Israel pada hari ini ialah teknologi baru yang dipunyai oleh Hamas, Jihad dan Hizbullah yang boleh menyerang Israel apa yang disebut Kubah (Iron Dome). Yang diberi oleh Amerika dengan sistem pertahanan peluru perpandu yang boleh mengawal Israel; ditembusi oleh senjata-senjata baru yang dipunyai oleh Hamas, Jihad dan Hizbullah.

Sudah tentulah ada negara luar yang membantu gerakan balas. Maka bagaimana untuk menyekat bantuan ini ialah menghancur negeri-negeri yang menjadi dianggap sebagai pangkalan, mengacau Yaman. Yaman adalah pintu masuk ke Laut Merah, mengacau Somalia pintu Laut Merah, mengacau Sudan pintu Laut Merah. Dan mengacau Syria bukan kerana Bashar Al-Assad itu zalim, tapi untuk menyelamatkan Israel.

Ini mesti dibaca. Inilah pertembungan antarabangsa yang orang Islam kena faham, kena tahu. Sekarang ini zaman media baharu, yang tahu banyak bahasa lagi banyak maklumat. Tetapi semua maklumat itu hendaklah ditabayyun, hendaklah ditapis benar ataupun salah, dan dibuat andaian-andaian. Andaian-andaian dan membuat keputusan yang tepat, dan dikaji perkembangan yang berikutnya, di sana akan terdapat kebenaran. Bagaimana berlakunya percaturan politik untuk menyelamatkan Israel. Namun kita yakin dan percaya, semua perancangan itu tidak boleh menyekat agenda Allah S.W.T.

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ ۖ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ

"Mereka merancang, Allah Taala juga merancang, mereka merancang tipu daya, Allah Taala merancang untuk mengalahkan tipu daya mereka."
(Ali-Imran: 54)

Terjadi Malhamah Kubra

Walaupun makar ini sering digunakan untuk perancangan tipu daya yang sulit waktu malam orang tak tahu, Allah Taala Maha Mengetahui. Allah Taala Maha Mengetahui. Namun di sana ada Hadis-hadis yang banyak, yang mengatakan bahawa, sebelum dihapuskan Israel itu, akan berlaku Malhamah Kubra. Malhamah Kubra ialah peperangan yang besar, barangkali perang dunia yang ketiga, wallahua’lam, yang keempat wallahua’lam, dalam ilmu Allah Taala.

Peperangan yang besar, macam banjir besar. Bila banjir besar, maka muara sungai berubah, muka bumi berubah, begitulah juga peperangan yang besar, boleh mengubah peta dunia. Kita yakin peta dunia akan berubah setelah umat Islam jatuh dalam pusingan di abad yang lalu, akan naik di abad yang mendatang.

Kalau sekiranya Baitul Maqdis yang ditakluk oleh tentera Salib selama 100 tahun, Salahuddin Al-Ayyubi membebaskan selepas 100 tahun. Kita mengharapkan senario 100 tahun akan berulang bila Revolusi Arab diisytiharkan tahun 1917 yang menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah, insya-Allah 2017 akan membawa satu tanda yang menentukan kemenangan kepada umat Islam. Bagaimana kita diwajibkan beramal, diwajibkan menjalankan kerja kita. Allah Taala menjanjikan:

وَأَعِدُّوا لَهُمْ مَا اسْتَطَعْتُمْ مِنْ قُوَّةٍ

"Dan bersedialah kamu sekadar kemampuan kamu dengan kekuatan."
(al-Anfal: 60)

Allah Taala suruh umat Islam menyediakan kekuatan.

مَا اسْتَطَعْتُمْ
"Sekadar kemampuan kamu."

Kewajipan persiap kemampuan

Kemampuan tak boleh disembunyikan, Allah Taala Maha Mengetahui. Kalau sembunyikan kemampuan, Allah Taala tidak menolong. Sekiranya umat Islam menyediakan kemampuan mengikut kemampuan yang ada pada mereka, walaupun kemampuan itu tidak sama dengan kekuatan yang ada pada musuh, Allah Taala memberi kemenangan kepada Islam. Kerana kemampuan yang ada pada umat Islam itu adalah kewajipan yang ditentukan oleh Allah S.W.T.

Setelah mereka menunaikan kewajipan itu, bagaimana untuk menampung kekuatan yang lebih kepada musuh? Kekuatan itu adalah pertolongan Allah S.W.T yang mengatasi kekuatan musuh. Itulah sunnah alam yang berlaku kepada perjuangan Islam di sepanjang zaman yang kita kena faham. Di sinilah Saidina Umar Ibnul Khattab R.A mengatakan kepada Sa’ad Bin Abi Waqas, Panglima Islam yang ditugaskan untuk menghadapi empayar Parsi.

"Wahai Sa’ad, aku pesankan kepada kamu supaya bertakwa kepada Allah."

Takwa adalah senjata yang paling penting bagi orang Islam kerana Allah Taala tidak menolong melainkan dengan sifat takwa yang ada pada kita. Sekiranya kita tidak ada sifat takwa, kita mengerjakan maksiat, tidak menunaikan perintah Allah, maka Allah tidak menolong kita kerana kekuatan kita tidak sama dengan lawan kita. Jumlah kita tak sama jumlah lawan kita.

Bila Allah Taala tidak menolong kita, maka musuh boleh mengalahkan kita. Jangan kamu cakap kata Saidina Umar, kita adalah orang yang baik dan orang yang benar, mesti ditolong oleh Allah. Allah telah menghukum Bani Israel, mereka adalah umat yang benar di masa itu. Bila mereka mengerjakan maksiat, mereka dibinasakan oleh Allah S.W.T.

Di sini pentingnya orang Islam menyediakan kekuatan mengikut kemampuan yang ada pada mereka dan ditambah dengan takwa yang lebih penting daripada itu. Ini sangat penting.

Walaupun banyak ayat-ayat Quran menyebut tentang peperangan, tetapi dalam muamalah terhadap manusia, sama ada dalam kontek individu, kontek jamaah, dalam kontek negara, Islam mendahulukan damai. Damai hendaklah didahulukan daripada tindakan yang keras kerana matlamat Islam menyelamatkan manusia seramai-ramai yang mungkin. Kejayaan kita menunjuk seorang kepada Islam, fadhilatnya sangat besar. Kejarlah untuk mendapat fadhilat ini. Berjaya menyelamatkan orang dengan Islam, ini sangat penting.

Memujuk orang datang kepada Islam, ini sangat penting. Ini risalah Nabi-Nabi yang wajib disambung oleh umat Muhammad S.A.W. Tetapi kerjanya sangat mencabar. Bukan sahaja Yahudi, Kristian, Musyrikin, termasuklah kalangan Munafik, dalam orang Islam sendiri, termasuklah di kalangan yang lemah iman yang menjadi halang perjalanan kepada pekerja-pekerja Islam. Ini penghalang-penghalang. Sekiranya kita tunaikan kerja dengan baik tersusun, semua halangan-halangan itu dibawa di atas, ia dengan izin Allah.

Lonjakan isu Baitul Maqdis

Isu Baitul Maqdis yang menarik umat pada hari ini, alhamdulillah telah berjaya menyatukan umat Islam di seluruh dunia. Bila dibuat sidang tergempar di Bangsa-bangsa Bersatu, setelah Majlis Keselamatan membuat sidang khas, divetokan oleh Amerika, dan diminta buat sidang Agung Bangsa-bangsa Bersatu kerana ada peruntukan dalam peraturan boleh buat dalam Bangsa-bangsa Bersatu. Walaupun keputusan dia tak boleh dilaksanakan, tetapi menjadi satu lonjakan politik.

Bila dibuat sidang Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari dua pertiga ahli Bangsa-Bangsa Bersatu tidak menerima langkah Amerika untuk mengiktiraf Baitul Maqdis adalah ibu negara Israel sepenuhnya. Ini kejayaan awal bagi umat Islam. Semua negara Islam, termasuk negara Islam yang paling lembik tak berani, semua ikut sama. Tak apalah, sekadar itulah. Menandakan mudah-mudahan ada sebesar zarah iman dalam diri dia boleh menyelamatkan dia, kita harapkan begitu. Perkara ini mesti ada dalam perhatian kita orang Islam di saat kita sembahyang, kita sibuk buat umrah, Nabi kata:

من لم يهتم بأمر المسلمين فليس
منا

"Barangsiapa yang tak ambil berat berkenaan dengan orang Islam, dia bukan daripada kalangan kita,"

Nabi kata. Kena ambil berat hal-hal orang Islam ini. Kita kena ambil berat, jangan kita pandang ringan. Termasuklah tak lama lagi kita akan pilihan raya. Masih ramai kalangan-kalangan kita ini menganggap pilihan raya ini tak penting, serupa sahaja siapa memerintah, sama sahaja, tak payah pilihan rayalah, sibuk duduk kelahi sesama sendiri, tak usah mengundi. Kita mesti faham bahawa mengundi ini adalah cara untuk mendirikan kerajaan, mendirikan kerajaan adalah wajib, bukan sunat.

Kerana mendirikan kerajaan yang wajiblah Nabi berhijrah dari Makkah ke Madinah, kalau tak kerana mendirikan kerajaan itu wajib, maka Nabi tak berhijrah ke Madinah. Hijrah ini untuk mendirikan kerajaan di Madinah, ini wajibnya mendirikan kerajaan, kita kena sedar.

Sehingga bila Nabi wafat, para Sahabat bermesyuarat di Tsaqifah Bani Saidah, sebahagian besar Sahabat tak hadir di kubur masa kebumikan Nabi. Mengikut adat orang kita bila orang tua mati, mesti ada di kubur, tapi masa Nabi dikebumikan, sebahagian besar Sahabat bermesyuarat, mesyuarat untuk apa? Untuk pilih siapa jadi ketua negara, ini pentingnya memilih kerajaan yang memerintah.

Risiko tidak mengundi

Tiba-tiba terdapat kalangan orang Islam, tak penting, tak mustahak. Lebih malang lagi orang bukan Islam yang bekerja di Sarawak balik mengundi di Ipoh, balik sendiri dengan duit dia. Kita duduk dekat rumah mengundi tak pergi mengundi (bila) orang tak ambil dengan kereta, ini orang Islam punya akalan.

Dengan sebab satu, gagal kita menegakkan Islam, kita terimalah tanggungjawab ini. Jangan pandang ringan. Semalam saya sebut dalam perjumpaan di Kelantan, saya sebut kepada orang Kelantan, sama juga dengan orang lain pun, sama tahun 2004, kita menang di Kelantan dengan satu kerusi majoriti, simple majority, simple satu kerusi sahaja. Menang satu kerusi dengan dua undi sahaja, dua undi, ini kerana cikgu-cikgu Kelantan daripada Sabah dan Sarawak balik, barangkali dalam dua itu ada orang yang balik daripada Sabah dan Sarawak dua orang. Kalau tak jadi dua orang ini balik, jatuh Kelantan itu.

Jatuh Kelantan, maka perlaksanaan Islam yang kita buat habis di situ sahaja. Bukan kita kata orang lain tak Islam, tapi kita lebih bersungguh untuk melaksanakan Islam daripada orang lain. Kita bersungguh-sungguh. Memang kita nak suruh semua laksanakan Islam belaka, berebutlah, berlumba nak tegak Islam, tapi sehingga kini kita lebih bersungguh untuk melaksanakan Islam itu. Dan kita harap kita lebih bersungguh lagi.

(Transkrip oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari Kuliah Dhuha Siri Ke-3 "Dunia Islam Masa Kini" oleh Presiden PAS pada 14 Januari 2018 di Dataran Ilmu Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Kuala Lumpur) - HARAKAHDAILY 16/1/2018

PERKATAAN kitar semula disebut dalam masyarakat umum kepada barangan yang dibuang, seperti tayar terpakai, botol, kampit yang dicampak dan sebagainya untuk diguna pakai semula, tidak sepatutnya digunakan kepada makhluk manusia yang mulia kejadiannya.

Adapun manusia yang berakal disebut penerusan amal yang soleh. Kalau bersalah disebut bertaubat dan ditebuskan dosanya dengan melakukan islah (perubahan) melalui amalan yang baik dan membayar kesalahannya dengan bersopan tanpa merosakkan pula.
 
Peranan manusia tidak boleh disamakan seperti menukar enjin, tayar kereta dan sebagainya dengan menggunakan barang yang baru atau dikitar semula. Perbezaannya manusia itu akan dihisab amalannya di dunia selepas meninggal dunia dan masuk ke alam akhirat, berbeza dengan barangan yang akhirnya hancur dibakar menjadi abu atau menjadi tanah.

Islam menunjukkan teladan para sahabat R.A yang dipecat oleh Rasulullah SAW seperti Saad bin Ubadah R.A ketika melanggar disiplin dalam Peristiwa Fathu Makkah yang dicatat sejarahnya, Khalid bin Al-Walid R.A yang diturunkan kedudukannya oleh Khalifah Umar R.A dengan digantikan orang yang lebih layak, namun mereka terus beramal menjadi petugas biasa dengan ikhlas menuntut keredaan Allah.  

Kalangan yang dihukum kerana kesalahannya pula menebus dosa dengan berjuang lebih gigih dan ikhlas sehingga mengorbankan diri laksana lilin yang sanggup membakar diri ditempatnya tanpa menganggu orang lain.

Allah berfirman terhadap ulama ahli kitab yang berdosa menyembunyikan kebenaran, kemudiannya sedar dan insaf:

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠  البقرة

“Kecuali mereka yang telah bertaubat dan mengadakan islah (perbaikan) dan menerangkan (kebenaran), maka terhadap mereka itu, Aku (Allah) menerima taubatnya dan Akulah Yang Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang” (Surah Al-Baqarah: 160)

Ayat ini menceritakan penjelasan mereka terhadap kesalahan dan melakukan islah kerana berdosa terhadap rakyat umum yang ditipu, dibeli atau dibuli.

Selanjutnya Allah berfirman menyatakan sifat orang yang bertaqwa kalau melakukan dosa:

وَٱلَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَٰحِشَةً أَوۡ ظَلَمُوٓاْ أَنفُسَهُمۡ ذَكَرُواْ ٱللَّهَ فَٱسۡتَغۡفَرُواْ لِذُنُوبِهِمۡ وَمَن يَغۡفِرُ ٱلذُّنُوبَ إِلَّا ٱللَّهُ وَلَمۡ يُصِرُّواْ عَلَىٰ مَا فَعَلُواْ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ ١٣٥ أُوْلَٰٓئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغۡفِرَةٞ مِّن رَّبِّهِمۡ وَجَنَّٰتٞ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ وَنِعۡمَ أَجۡرُ ٱلۡعَٰمِلِينَ ١٣٦ آل عمران

“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menzalimi diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedangkan mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (135) Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (136)” (Surah Ali-Imran: 135-136)

Firman Allah:

وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ طَرَفَيِ ٱلنَّهَارِ وَزُلَفٗا مِّنَ ٱلَّيۡلِۚ إِنَّ ٱلۡحَسَنَٰتِ يُذۡهِبۡنَ ٱلسَّيِّ‍َٔاتِۚ ذَٰلِكَ ذِكۡرَىٰ لِلذَّٰكِرِينَ ١١٤ هود

“Dan dirikanlah sembahyang (wahai Muhammad, engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang) dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat.” (Surah Hud: 114)

Sabda Rasulullah SAW.

اتق الله حيثما كنت، وأتبع السيئة الحسنة تمحها، وخالق الناس بخلق حسن "رواه الترمذي وقال حديث حسن

“Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada, ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan nescaya menghapuskan dosanya, dan berakhlak terhadap manusia” (Riwayat Tirmizi, Hadis Hasan)

Rasulullah SAW telah menjelaskan pula pendekatan islah itu tanpa merosakkan umat seluruhnya, bahkan menyelamatkan dengan sabdanya:

مثل القائم في حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهموا علي ىسفينة فصار بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها، فكان الذين في أسفلها إذااستقوا من الماء مروا على من فوقهم، فقالوا: لو أنا خرقنا فينصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا. فإن تركوهم وما أرادوا هلكوا جميعا، وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعا " رواه البخاري  " رياض الصالحين لأبي زكريا الدمشقي .

“Bandingan kalangan yang menegakkan sempadan Allah (mencegah kemungkaran) dan kalangan yang melakukan kemungkaran laksana mereka diundi kedudukannya di atas sebuah bahtera (kapal). Ada yang dipilih berada di atas dan ada yang diletakkan di bawah. Apabila kalangan yang berada di bawah memerlukan air, melalui kalangan yang berada di atas. Lalu mereka berkata: Ambilah jalan mudah, kalau ditebuk sahaja kapal ini, tidak bersusah payah terhadap kalangan yang berada di atas. Kalaulah dibiarkan mereka melakukan kemahuannya nescaya semuanya binasa tenggelam. Kalaulah dicegahnya bertindak begitu selamatlah semuanya”. (Riwayat Bukhari)

Islam menunjukkan pendekatan menyelamatkan manusia bersama Islam seberapa ramai yang mungkin, bukannya menghapuskan. Pendekatan perubahan daripada kesalahan kepada pembetulan, ditukar yang jahat kepada yang baik, bukannya ditukar kepada yang jahat juga dan lebih parah sekiranya keadaan menjadi lebih buruk dan penyakitnya bertambah parah.

Orang yang berlumuran dengan kotoran dimandikan dan dipakaikan pakaian baru atau pakaian yang dibersihkan. Kalau pakaiannya kotor, dibasuhkan. Tiada makna juga kalau hanya menukar baju baru atau baju yang dibersihkan, tetapi dipakaikan kepada jasad yang tidak mahu mandi. Adapun bertaubat itu lebih mudah, pintunya sangat luas, masanya juga panjang selagi matahari belum muncul dari arah barat. Jangan tenggelam dalam angan-angan kosong.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG  
Presiden PAS

Bertarikh: 25 Rabiul Akhir 1439 / 13 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 13/1/2018

وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ 
"Dan berbelanjalah kamu pada jalan agama Allah, dan jangan kamu mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan."
(al-Baqarah: 195)
 
Sebab turunnya ayat yang saya baca itu apabila berlaku di zaman Nabi S.A.W, ada beberapa orang Sahabat (R.A) yang meninggalkan perjuangan kerana merasakan Islam sudah cukup berjaya, inilah masa untuk jaga kebun, jaga kedai, jaga binatang. Lalu Allah menurunkan ayat:
 
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ
"Belanjalah kamu pada jalan Allah, jangan kamu campak diri kamu ke dalam kebinasaan."
(al-Baqarah: 195)
 
Allah Taala memberi amaran, supaya mereka jangan meninggalkan perjuangan untuk menegakkan perjuangan Islam. Disuruh mereka menyumbang perkara yang mereka kasih iaitulah harta mereka untuk menolong Islam. 
 
Allah Taala menyebut acapkali dalam Quran, menyumbangkan harta lebih daripada menyumbangkan diri, kerana Allah Taala tahu manusia sayang ke harta lebih daripada diri. Dan Allah menjanjikan kepada yang menyumbang fi sabilillah, 700 kali ganda, berbeza dengan sumbangan-sumbangan yang lain. 
 
Kerana manusia mudah beri sedekah kepada peminta sedekah, mudah beri ke masjid, mudah beri bantuan kepada mereka yang dapat dilihat dengan mata. Tetapi menyumbang kepada perjuangan Islam ini, payah nak diberi, dengan sebab banyak bisikan-bisikan syaitan, gangguan-gangguan syaitan, mari macam-macam perasaan.
 
Dan hari ini pula timbul keraguan, adakah pilihan raya, pilihan raya ini ada dalam ugama Islam? Termasuk dalam ibadat ke? Memang tak sebut dalam Quran. Quran menyebut tentang haji, tuhan tak sebut naik kapal terbang, cari pitih untuk naik kapal terbang. Tuhan sebut masjid, tuhan tak sebut, kayu simen, besi dan sebagainya. 
 
Pilihan raya adalah alat untuk mendirikan kerajaan, mendirikan kerajaan ini kewajipan yang besar, kewajipan yang Allah Taala isytihar kepada Malaikat bila Allah nak jadikan Nabi Adam A.S. Tuhan lantik Adam jadi Khalifah, diisytihar kepada Malaikat.
 
Khalifah itu ialah politik memerintah negara. Pilihan raya salah satu daripadanya, walaupun pilihan raya tak disebut dalam kitab-kitab Feqah, tapi disebut dalam kitab Sirah, disebut dalam kitab Tafsir dan Hadis, apabila Nabi S.A.W wafat, Nabi tak tunjuk siapa dia ganti dia. Maka Sahabat pilih tiga calon, Abu Bakar, Saidina Ali, dan Sa’ad Bin Ubadah. Akhirnya Abu Bakar dilantik jadi khalifah. Itu adalah pilihan raya secara zaman dulu. 
 
Di mana amalan demokrasi yang diamalkan oleh orang Barat, orang Eropah tak tahu nak buat perubahan, macam mana nak pilih pemimpin negara. Pada asalnya demokrasi ini adalah dicipta oleh orang-orang Greek di Athen, democrasi, democratia, ataupun democratos.Dalam bahasa Greek democratus, bahasa Latin democratia, kuasa rakyat, kuasa orang ramai, itu makna demokrasi.
 
Orang ramai diberi hak untuk memilih pemimpin. Oleh kerana orang ramai tidak faham, termasuk orang Islam tak faham bahawa mengundi memilih pemimpin, memilih kerajaan satu kewajipan yang besar. Banyak hukum-hukum syarak, hukum-hukum Allah Taala untuk mengurus orang Islam, kehidupan orang Islam, mesti ada kerajaan Islam yang memerintah, kerajaan yang meninggikan hukum Islam, mesti diadakan, ini wajib bagi orang Islam. 
 
Dengan sebab itulah pada hari kiamat kelak, manusia akan dihimpun bukan sahaja dengan amalan dia, termasuk dengan pemimpin yang dipilih di atas dunia ini, dibawa pada hari kiamat kelak. Ini tanggungjawab pilihan raya yang kita kena sedar, yang kita kena faham.
 
Menyumbang untuk pilihan raya ini ialah untuk memenangkan Islam. Bagi Terengganu, kita usaha supaya boleh perintah balik negeri Terengganu kerana kita pernah memerintah dan kita telah meminda Perlembagaan Negeri Terengganu, hukum yang tertinggi ialah Quran, Hadis, Ijmak Ulama dan Qias, masih ada lagi. Tapaknya sudah ada, tapi nak tambah lagi tidak boleh kerana kita tidak ada kuasa pemerintahan. 
 
Tanggungjawab kita untuk mewujudkan kuasa pemerintahan ini, dalam masa yang sama kita perlu kuat kerajaan pusat. Kalau boleh menguasai Kerajaan Pusat. Kalau tak boleh kuasai Kerajaan Pusat, boleh mempengaruhi Kerajaan Pusat. 
 
Kalau kita boleh 40 kerusi di Parlimen, kerajaan tak boleh nak tubuh kerajaan melainkan dengan bergantung dengan 40 kerusi ini. Walaupun orang lain ada 100 kerusi, kerana nak tubuh kerajaan mesti ada 112 kerusi. Parti-parti tak mampu nak dapat 112 kerusi. 100 boleh, 80 boleh, 88 boleh, sekadar itu sahaja. 
 
Kalau kita ada 40 kerusi, bermakna kita akan menjadi tempat pergantungan siapa nak tubuh kerajaan. Dengan 40 kerusi ini, kita ada pengaruh, boleh minta macam-macam. Dengan 40 kerusi ini, kita boleh tarik sokongan, jatuh siapa dia, naik siapa dia. Ini dari segi politik, kena faham dari segi politik, kedudukan politik.
 
Walaupun dengan 40 kerusi, kita tidak majoriti. Bila 40 kerusi ini kita boleh menentukan kerajaan. Ini dari segi politik, ini kena mengaji ilmu politik. Orang mengaji politik tahulah, yang tak mengaji politik tak tahu hal macam ini. Kalau tak tahu, ikut orang yang tahu. Ini kena faham. Jangan belajar dengan surat khabar, kena belajar dengan kitab, kena belajar dengan nas-nas yang dibincangkan oleh ulama kita. 
 
InsyaAllah hari ini kita akan lancarkan tabung derma untuk pilihan raya. Bagi Terengganu kita nak kerusi kita lebih banyak. Terengganu ini tempat majoriti orang Islam macam Kelantan, macam Kedah. Kerusi Terengganu, kerusi Kelantan, kerusi Kedah kena banyak, jadi asas kepada 40 kerusi ditambah oleh negeri-negeri yang lain. 
 
(Transkrip oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari ucapan Presiden PAS ketika merasmikan Pelancaran Dana 1 Juta Ke Wisma Darul Iman, pada 12 Januari 2018 di Masjid Rusila, Marang) - HARAKAHDAILY 13/1/2018

KATA Saidina Uthman Ibn Affan R.A:
 
إن الله يزع بالسلطان
ما لا يزع بالقرآن
"Allah Taala mengizinkan sesuatu tindakan dibuat oleh pemerintah dalam perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran."
 
Menegakkan kerajaan al-Quran
 
Terlebih dahulu marilah kita bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah meletakkan kita dalam kumpulan Islam, yang dinamakan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang ditubuhkan oleh ulama kita pada tahun 1951 setelah diharamkan Hizbul Muslimin, diharamkan Sarekat Islam, diharamkan kumpulan Islam oleh penjajah, sama ada Inggeris di Malaysia ataupun Belanda di Indonesia. 
 
Ramai kalangan kita orang Islam yang tidak tahu bahawa ulama dan pemimpin yang menubuhkan kumpulan Islam ini ialah untuk menghidupkan suatu kewajipan yang besar di dalam agama Islam. Kewajipan mengadakan kerajaan yang memerintah dengan Al-Quranul Karim yang diajar oleh Nabi kita Muhammad S.A.W. 
 
Kerana Nabi kita Muhammad S.A.W yang berjuang dalam masa 23 tahun, bukan sahaja mengajar sembahyang, puasa, zakat, haji, mengucap, berzikir, bertasbih. Mengajar semua perkara daripada halal dan haram makan minum, membersihkan diri, kencing berak kita, sehinggalah nikah kahwin, bercerai, berbaik semula, muamalat, berjual beli, buka tanah, sampai kepada memerintah negara, mendirikan kerajaan.
 
Oleh kerana mendirikan kerajaan ini terpaksa berlawan dengan pihak yang berkuasa, yang memerintah di zaman Nabi dan bila-bila masa sahaja yang tidak mahu kepada Al-Quranul Karim, menyebabkan kerja ini sangat payah. Bukan sahaja payah nak ikut, payah nak faham. 
 
Padahal Nabi kita Muhammad S.A.W telah berhijrah daripada Makkah ke Madinah. Nabi pergi ke Madinah bukan kerana nak pergi ke laut, Nabi nak tanam kelapa sawit, nak tanam getah, nak berniaga. Pergi ke Madinah kerana nak mendirikan kerajaan Islam.
 
Di sana ada orang Islam, ada orang kafir, orang kafir pun ada, orang Yahudi, orang Musyrikin Arab, Kristian, semuanya ada. Ada di antara mereka yang terima kerajaan Islam, ada di antara mereka yang menolak sehingga berperang dengan Nabi kita Muhammad S.A.W, akhirnya mencapai kemenangan. 
 
Dan Allah Taala menurunkan Quran sebanyak 30 juzuk yang sangat tebal kita baca sendiri. Dalam Quran ini semuanya ada, termasuklah undang-undang negara, undang-undang antarabangsa, ekonomi, politik, semua ada dalam Quran. Dan Nabi kita telah menyempurnakan ajaran Allah. Allah Taala menyempurnakan agama Islam.
 
Islam memerintah 1300 tahun
 
Lalu Allah mematikan Nabi kita Muhammad S.A.W, diwafatkan. Bila Nabi wafat, Nabi tidak menentukan siapa ganti dia. Maka para Sahabat R.A bermesyuarat. Sebaik sahaja lepas sembahyang jenazah Nabi, terus pergi mesyuarat. Hanya beberapa orang sahaja yang pergi ke kubur, Saidina Ali anak beranak, beberapa orang sahaja yang berada di kubur.
 
Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Uthman, Abu Ubaidah, Sahabat-sahabat yang besar tak ada di kubur, kerana apa? Mesyuarat! Mesyuarat untuk pilih siapa yang ganti Nabi untuk memerintah negara. 
 
Ada tiga calon. Orang Madinah mencalonkan Sa’ad bin Ubadah. Anak beranak Nabi mencalonkan Saidina Ali K.W. Kalangan Quraisy Muhajirin mencalonkan Saidina Abu Bakar R.A.
 
Oleh kerana Nabi bersabda:
 
الأئمة من قريش
"Pemimpin daripada Quraisy."
 
Disebut hadis ini. Sahabat Nabi bila sebut Hadis, terima hadis. Quraisy ialah kaum yang ramai, yang paling ramai sekali, walaupun ada Ansar, ada macam-macam puak, Quraisy adalah paling ramai sekali, maka dipilih daripada Quraisy, Abu Bakar R.A. 
 
Islam memerintah selama 1300 tahun, 1300 tahun. Memerintah negara daripada atas Barat Afrika, sampai Sepanyol. Sampai Moscow di Rusia hari ini, dekat Xinjiang, sempadan China, termasuklah Tanah Melayu ke Indonesia, di bawah jajahan takluk Kerajaan Uthmaniyyah, Kerajaan Islam yang paling akhir. Kerajaan Uthmaniyyah ini orang Turki. Pusatnya di Istanbul. 
 
Musuh cari jalan jatuhkan Islam
 
Musuh-musuh Islam daripada Yahudi, daripada Kristian, daripada Musyrikin, terus-menerus menyerang Islam, bukan sahaja menyerang dengan cakap, termasuklah menyerang dengan bala tentera. Mereka mencari jalan bagaimana nak menjatuhkan Islam. 
 
Barangkali kita belajar di sekolah, Marco Polo, Vasco Da Gama, macam-macam nama ini, mereka ini adalah pengembara-pengembara Barat yang menjajah dunia sehingga mereka menemui barisan belakang dunia Islam, iaitulah Alam Melayu, mereka tidak boleh menjatuhkan Turki. Mereka takluk negeri yang jauh-jauh dulu. 
 
Tahun 1511, Portugis berjaya menakluk Melaka. Jatuh Melaka, masa itu kapal terbang tak ada, telefon tak ada, wireless tak ada, Melaka kecil sahaja. Selepas Melaka ditakluk, mari Belanda, mari Belanda, mari Inggeris, mereka menakluk Alam Melayu, mereka menakluk negeri-negeri di Afrika sampai ke India. 
 
Dan ulama-ulama kita berjuang menentang penjajah bersama dengan Sultan. Ada Sultan yang berjuang menentang penjajah, antaranya ialah Tuan Ali Haji daripada Sulawesi, Diponegoro, Sultan Diponegoro daripada Jogja Indonesia, Sultan Abdul Samad Selangor, Sultan Zainal Abidin, ini antara Sultan yang menentang penjajah, yang melawan penjajah. 
 
Sehingga mereka berusaha untuk mengambil balik Melaka, ambil balik Melaka. Maka marilah orang-orang Jawa naik di Johor, orang Bugis daripada Sulawesi, orang Banjar daripada Kalimantan, orang Minangkabau daripada Sumatera, orang Aceh mari ke Tanah Melayu berjuang menentang penjajah. 
 
Sampai hari ini ada keturunan Jawa, keturunan Bugis, keturunan Banjar, di Johor ada, Negeri Sembilan ada, di Perak ada, Aceh banyak di Kedah. Mereka mari di sini bukan nak tanam getah, tanah tempat dia luas, bukan nak tanam nyior, nak ke laut ikan banyak tempat dia. Mereka mari kerana berjuang menentang penjajah. Ini tidak diajar di sekolah, tak ada dalam buku sekolah, tak diajar, kita tak tahu cerita ini.
 
Sehingga Sultan Aceh menghantar kapal pergi ke Turki di Istanbul, dibawa rempah untuk nak hadiah kepada Khalifah Uthmaniyah di Turki. Oleh kerana perjalanan dengan kapal layar jauh, habis pitih, jual rempah tengah jalan, tinggal seraut tangan je, seraut tangan tinggal rempah. Ini cerita, sehingga dibawa rempah seraut sembah ke Sultan Uthmaniyyah, sebagai hadiah. 
 
Turki menghantar kapal mari ke Aceh, hantar kapal perang, Turki ini kuat mari ke Aceh. Masa itu kapal layar lah, dia menghantar pakar-pakar untuk membuat bedil, meriam ke Aceh, sampai hari ini ada keturunan Turki di Aceh. 
 
Tetapi Turki pun kena serang, kena serang Rusia, kena serang itu. Oleh kerana perjalanan masa itu jauh, orang Islam terlalu ramai, akhirnya 100 tahun yang lalu, mereka telah berjaya, ringkas ceritanya menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyah. 
 
Jatuh Kerajaan Uthmaniyyah ini melalui tipu daya, hasutan, dihasut Arab, biar orang Arablah jadi khalifah pula, jangan orang Turki, orang Arab layak jadi khalifah. 
 
Lawrence, Lawrence ini ialah salah seorang pegawai tinggi intelligent British membantu Ibnu Su’ud yang duduk di Najd, di Timur Arab Saudi hari ini, dan McMahon Gabenor British di Mesir membantu Syarif Husain Raja Makkah, Raja Makkah. Dicadangkan Raja Makkah ini jadi khalifah, suka nak jadi khalifah ini, Orang Putih sokong. 
 
Maka, Ibnu Su’ud menyerang Riyadh, ditubuhkan Kerajaan Saudi. Ketua-ketua Kabilah menyokong untuk menentang Turki. Syarif Husain mengisytiharkan perang ini di Makkah, start di Makkah. Dengan Makkah ini orang Islam naik semangatlah nak jatuhkan Turki, Orang Putih bagi senjata. Maka jatuhlah Turki. 
 
Lepas Turki jatuh, habis negeri Islam dijajah oleh penjajah, ditakluk, tidak ada lagi Kerajaan Islam. Dan ulama-ulama kita seluruh dunia bangkit untuk balik semula menubuhkan kumpulan Islam ini. 
 
Lalu ditubuhkan pertubuhan Islam di Pulau Penyengat Riau, kemudian Sarekat Islam di Indonesia, Haji Abdul Rahman Limbong tubuh cawangan dia di Terengganu ini, diharamkan oleh British. Hizbul Muslimin diharamkan oleh British, sehingga tahun 1951 ditubuhkan PAS.
 
Oleh kerana Allah Taala jadikan tidak ada kerajaan yang kekal dalam dunia, kerajaan akan jatuh, tak kekal. Kerajaan Islam pun jatuh, kerajaan Firaun pun jatuh, Namrud pun jatuh, kerajaan Nabi Sulaiman pun tak selama-lama. Allah Taala jatuhkan kerajaan dengan berlakunya peperangan, perang dunia yang kedua antara Jepun, Jerman, Itali menentang British, Amerika, Perancis, Negeri-Negeri Eropah.
 
Oleh kerana Jepun dengan Jerman kuat, British Amerika puak-puak ini menggunakan anak-anak negeri, menggunakan anak-anak negeri jadi askar untuk lawan Jepun, untuk lawan Jerman, orang Arab lawan Jerman, lawan Jerman. Kita ini lawan Jepun, banyak jadi askar Melayu. Orang Putih puji kita, melelehlah orang Melayu ini berani sangat, dia duduk di belakang, kita duduk depan. Dia rebus kita macam ubi berlawan dengan Jepun, ramai mati ramai.
 
Orang Arab berlawan dengan Jerman, sehingga mereka yang mati dalam perang dunia itu banyak orang Islam, Orang Putih tak ramai mati, berlawan dengan Jepun. Orang Putih tukang sorak je, dia duduk di belakang, kena tipu dia. 
 
Melantik kerajaan adalah ujian
 
Mereka telah menjanjikan untuk memberi kemerdekaan selepas menang. Maka diberi kemerdekaan. Tetapi kemerdekaan itu, negaranya bukan negara Islam, negara mengikut cara mereka, diberi merdeka, Indonesia merdeka, kita merdeka, semuanya merdeka.
 
Pemerintahannya ialah mengikut cara yang Orang Putih tinggal, tak boleh cara Islam. Tetapi mereka membenarkan cara demokrasi, cara pilihan raya untuk pilih kerajaan. Maka ulama kita menubuhkan PAS. PAS ditubuhkan untuk masuk pilihan raya, untuk membolehkan kita mendirikan kerajaan. 
 
Walaupun di Malaysia ini orang Islam 60 peratus, Cina 25 peratus je, India dengan macam-macam hat baki, orang Islam 60 peratus. Tapi pilihan raya kalah, kalah Islam. Pasal apa? Banyak orang Islam jahil, tak tahu bahawa memerintah negeri cara Islam ini wajib.
 
Banyak orang kita ini masih lagi duduk ingat jadi Islam ini sembahyang dah, puasa dah, pitih banyak, pergi haji umrah acap-acap kali, siapa dia memerintah serupa dia je. Bahkan banyak kalangan kita pilihan raya ini tak penting mana, pilihan raya tak mustahak, pilihan raya tak usah caralah. Kita buat pilihan raya, orang lain naik. Orang lain itu siapa dia naik? Orang yang memerintah tidak dengan cara Islam. 
 
Naik dengan cara pilihan raya, naik dengan cara pilihan raya. Bila kita tak terlibat dalam pilihan raya menyebabkan orang lain naik, hukum Islam tak berjalan, dosa tak? Mereka yang terlibat itu berdosalah, yang tak terlibat itu tak berdosa. Allah Taala tak tanya mengapa kita tak menang? Allah Taala tanya kita buat kerja ke tak? Allah Taala jadikan kerja Islam ini kerja yang payah.
 
Nabi Nuh A.S sampai 950 tahun baru menang. Nabi Musa A.S puluh-puluh tahun baru menang. Pasal apa Allah Taala buat begitu sedangkan Allah Taala Maha Berkuasa? Allah Taala:
 
كُنْ فَيَكُونُ
 
Tuhan kata "Jadi!", (maka) jadi selalu. Pasal apa Tuhan tak buat begitu? Sebab Tuhan letak manusia di atas muka bumi ini, Tuhan letak sementara, Tuhan nak uji manusia di atas muka bumi. Kehidupan yang sebenar selama-lama di hari akhirat. Allah Taala uji bukan sahaja sembahyang, bukan sahaja puasa, bukan sahaja haji, zakat, termasuklah uji melantik kerajaan yang memerintah, Allah Taala uji.
 
Dengan sebab itu pada hari kiamat, Tuhan panggil manusia bukan sahaja dengan sembahyang, bukan sahaja dengan puasa, bukan sahaja dengan haji. Tuhan panggil dengan ketua yang dipilih dia ikut di atas dunia ini. 
 
 
 إِنَّا أَطَعْنَا سَادَتَنَا وَكُبَرَاءَنَا فَأَضَلُّونَا السَّبِيلَا
"Wahai tuhan kami, atas dunia dulu, kami ikut pemimpin-pemimpin kami, mereka lah yang telah menyesatkan kami."
(al-Ahzab: 67)
 
Menunjukkan ini semua akan dibawa pada hari akhirat.
 
Pentingnya mengundi
 
Apa yang membimbangkan kita, 60 peratus orang Islam di negeri kita ini, 40 peratus adalah orang muda, adalah orang muda. Sebahagiannya muslimat. Mereka merasakan tak penting, tak mahu mengundi, lak begitu sahaja. Hidup dalam leka, sedangkan orang bukan Islam mengundi, orang Cina kerja balak di Sarawak balik mengundi di Perak, balik mengundi orang Cina, dia 20 peratus je. Dia duduk dalam hutan, balik mengundi. Kita tak penting mengundi ini, lak begitu. Akhirnya kita tak mengundi, dia mengundi, dia pilih kerajaan. 
 
Maka jadilah apa yang kita rasa pada hari ini, harga barang naik, cukai naik, macam-macam, sedangkan Tuhan beri hasil negeri kita banyak, mengapa jadi begini? Sebab urus tak kena, tadbir tak kena, banyak orang tak ada kerja, tadbir tak kena. Sedangkan Tuhan jadikan manusia ini makin ramai makin nak kepada makanan banyak, rumah banyak, kerja banyak.
 
Bila kerja banyak, hasilnya banyak. Ini tak, manusia banyak, jadi kerja tak banyak, jadi begitu. Barang tak banyak menyebabkan naikkan harga barang. Ini kerana urus tadbir tak ikut cara Islam yang kita kena sedar dan kita kena faham.
 
Perubahan orang Islam-Melayu
 
Alhamdulillah, pada mula-mula tahun 50-an dulu, masa PAS mula-mula berjuang, banyak kalangan orang Melayu ini, duduk kata kalau memerintah Islam ini huru-hara, memerintah Islam ini hukum Hudud banyak orang kena kerat tangan, banyak orang kena rejam, tak cukup batu nak rejam orang, duduk kira itu je. 
 
Memanglah hukum Islam ada hat itu, tapi banyak lagi hukum-hukum Islam hat yang lain. Hukum-hukum itu nak menakutkan orang yang buat jahat, nak takutkan orang mencuri, nak jatuh hukum payah, tapi orang yang mencuri takut. Nak jatuh hukum kena saksinya, kena banyak keterangan dia, tapi menyebabkan orang gerun, ini undang-undang Islam. 
 
Puluh tahun nak bertemu kena kerat tangan payah, kerana nak jatuh hukum payah, tapi menyebabkan orang gerun. Perompak pun takut, ini menyebabkan gerun. Hukum Islam kena sebat 100 kali, 100 kali itu macam sebat macam cikgu sekolah je, tapi undang-undang manusia ini 6 kali, sekali sebat nak mati. Dengar 100 itu orang gerun. 
 
Setelah kita menerangkan, menyebabkan peringkat awal dulu banyak orang Islam orang Melayu ini menghina hukum Islam. Dia tak tahu color, menghina hukum Islam ini jadi kafir, jadi murtad, tapi dah kerana dia jahil, jahil tak jadi kafir kerana dia jahil. Kebanyakannya jahil, tak tahu dengan sebab kejahilan. 
 
Kalau dia tahu, tak boleh. Banyak yang jahil tak tahu color. Bila kita menerangkan batas-batas iman dan kufur, walaupun orang kita kena tangkap, orang kita kena macam-macam, Ustaz Ibrahim Libya kena bunuh di Memali, kita sabar, kita terus menerangkan apa dia hukum Islam.
 
Hari ini orang Umno pun senyap, tak bercakap dah, tak hina dah hukum Islam. Bahkan bila kita nak bawa Undang-undang 355 di Parlimen, sebahagian besar orang Umno dia sudah sokong, sudah sokong, tinggal belas-belas orang je yang tidak sokong daripada 88 orang. Tetapi tak cukup, undi tak cukup lagi, ini yang berlakunya.
 
Menandakan sudah berubah, perubahan sudah berlaku. Dengan sebab itu, kita kena ramai lagi calon-calon kita yang menang ramai lagi. Bagi negeri Terengganu, kita memerintah dua kali 1959 sekali, 1999 sekali. (Tahun) 1959, kita menang dulu daripada Kelantan, Terengganu negeri yang pertama menang. Dua tahun setengah je jatuh. 1999 kita memerintah pula, bila kita memerintah, kita dulu undang-undang Islam, hapus cukai pintu, bagi tanah sampai 60 ribu lot bagi tanah, sehingga hasil kita bertambah naik, bertambah. Menyebabkan Kerajaan Pusat takut kerana Terengganu lebih kuat daripada Kelantan, urus tadbir kita.
 
Kelantan banyak gangguan sangat. Terengganu mudah. Bila mudah, dia guling kita tahun 2004, menyebabkan mereka guna pitih, rampas minyak, macam-macam, padahal menyalahi peraturan, menyalahi peraturan, dia buat. Terengganu kita boleh menang, boleh kerana kita pernah menang dan jumlah orang Islam sangat besar, cuma nak jaga tipu dia, itu sahajalah yang kita kena buat. 
 
Pahala perjuangan 700 ganda
 
Malam ini kita rasmikan markaz kita, markaz ini adalah pusat kegiatan kita salah satu daripada kerja jamaah, kerja jamaah yang kita beri sumbangan. Dan kita kena sedar bahawa kerja jamaah ini kerja perjuangan Islam ini pahala dia sangat besar. Kalau derma dekat orang, sedekah, derma ke masjid, 10 kali ganda, derma kepada perjuangan, 700 kali ganda. 
 
Jaga malam, berzikir, menangis, dalam masa 24 jam. Kita duduk sekejap je dalam perjuangan, berlipat kali ganda kelebihannya. Pasal apa jadi begitu? Sebabnya perjuangan Islam ini orang tak berapa nampak, payah orang nak mari. Dengan sebab itulah Tuhan jadikan kelebihannya lebih besar daripada ibadat-ibadat yang lain kerana Kerajaan Islam ini jadi payung kepada semua amal-amal Islam yang lain. 
 
 
(Transkrip oleh Pelatih Harakah, ZAID MD ADHAR dan suntingan oleh Penolong Pengarang Berita Harakah, IZWAN ABDUL HALIM dari ucapan Presiden PAS sempena Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kampung Rudhua, Marang, Terengganu pada 8 Januari 2018) - HARAKAHDAILY 9/1/2018

TUN Salleh Abas, tokoh besar peristiwa kehakiman negara pernah meminta saya mencari nas asal dalam Tafsir Ibnu Kathir yang dibacanya daripada terjemahan Bahasa Inggeris yang menegaskan peristiwa kehakiman yang berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W menunjukkan bahawa Islam mendahului Eropah melaksanakan konsep pembahagian kuasa dalam sistem pemerintahan negara.

Ya! Ini dilaporkan dalam riwayat Ibnu Kathir, Musnad Imam Ahmad, Sunan Abu Daud dan Al-Nasaie yang menceritakan peristiwa Rasulullah S.A.W bersetuju membeli seekor kuda daripada seorang A’arabi (badwi). Oleh kerana berlaku di celahnya perkara lain yang sengaja dilambatkan walaupun masih berada di tempat dan masa yang sama atau majlis yang sama, tiba-tiba si badwi itu mahu menjualnya kepada orang lain yang menawarkan harga yang lebih tinggi.

Meskipun berlakunya ketidaksopanan Badwi itu mengikut hukum agama dan adat yang sepatutnya diakui pembelian Rasulullah S.A.W, namun dalam perselisihan ini dilakukan perbicaraan kehakiman. Apabila diminta saksi, maka Khuzaimah R.A tampil menjadi saksi, akhirnya kemenangan berpihak kepada Rasulullah S.A.W.

Di sini menunjukkan betapa Rasulullah S.A.W sebagai ketua negara, bahkan seorang Rasul yang telah dilantik oleh Allah S.W.T tidak menggunakan kesempatan kuasa dan kedudukannya, tetapi menyerahkan kepada kehakiman yang sebenar tanpa gangguan, lakonan atau ada dalang di sebalik tabirnya.

Konsep ini dilaksanakan oleh kerajaan Islam selepasnya seperti peristiwa Khalifah Saidina Ali K.W.H dihakimi kerana barangnya dicuri oleh seorang rakyat bukan Islam beragama Yahudi sehingga dibela Yahudi itu apabila ketua negara tidak boleh mengadakan saksi. Berlaku juga pada zaman Khilafah Uthmaniyyah apabila Sultan Muhammad Al-Fateh dihukum kerana ketelanjurannya terhadap seorang rakyat beragama Kristian.

Pembahagian kuasa atau dalam Bahasa Arab disebut (الفصل بين السلطات) dan Bahasa Inggeris dipanggil "Separation of Powers" merupakan satu doktrin dalam pemerintahan demokrasi yang membahagikan urusan dalam pengurusan negara kepada tiga cabang utama: Pemerintah (eksekutif), Perundangan (legislatif) dan Kehakiman.

Ia bertujuan untuk mengelak atau menghindari bahaya “kezaliman” (tyranny), di mana dikatakan doktrin pembahagian kuasa atau fungsinya dapat mewujudkan dan mengekalkan kepimpinan, kebebasan sebenar dan menghindari kemaharajalelaan (despotisma) dengan cara membahagi-bahagikan kuasa untuk mewujudkan semak dan seimbang (check and balance) antara kuasa tersebut.

Sebenarnya pihak Barat hanya mengenali demokrasi, sistem pilihan raya, pentadbiran dan kehakimannya daripada sejarah Greece Purba (Yunani) sebelum Masihi yang dilakukan pembaharuan selepasnya.

Contoh awal konsep ini di Eropah adalah ditemui teorinya dalam karya-karya Aristotle. Pada tahun 1656, James Harrington dalam bukunya Oceana, telah mengemaskinikan idea tersebut dan mencadangkan sistem berdasarkan konsep ini. John Locke dalam “The Second Treatise of Civil Government” pada 1690, telah membahagikan kuasa kerajaan kepada dua iaitu eksekutif dan legislatif. Manakala, Montesquieu dalam karyanya, "The Spirit of the Laws" telah mengembangkan idea Locke, dengan menambahkan cabang kehakiman. Dikatakan orang Inggeris mewujudkan kaedah sebenar pembahagian kuasa ini dengan lebih formal, yang mereka gelar sebagai “Instrumen Kerajaan”.

Namun masih lagi dibayangi oleh kelemahan manusia tanpa hidayah yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W yang ditinggalkan, menyebabkan masih dibayangi diktatorship dan ketuhanan syirik yang belum mampu menegakkan keadilan, ketelusan dan hak yang sebenarnya, termasuklah amalan pilihan raya yang bebas dan telus belum dikenali, kerana sebelum ini mereka menegakkan negara secara revolusi yang mencetuskan perang saudara di England, Perancis, Amerika dan lain-lain negara yang memakan korban raja-raja, pemimpin dan rakyat. Perubahan sebenar berlaku setelah para orientalis mengkaji sejarah Islam dan ilmunya yang ditulis oleh para ulama Islam.

Kononnya dunia Barat sangat tegas memberi kuasa kepada Badan kehakiman, berdalilkan Skandal Watergate (1972-1974) yang memecat Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon bagi menunjukkan amalan ini. Namun konsepnya masih tidak istiqamah (konsisten) kerana tidak ada roh aqidah beriman kepada Allah dan Hari Akhirat yang ada perhitungan dosa dan pahala.

Hari ini politik mereka boleh melantik Presiden yang bodoh disebabkan pengaruh politik wang. Media dan pengurusannya diganggu oleh pengaruh minoriti zionis yang menguasai ekonomi dan media yang memayungi apa sahaja tindakan di bawahnya, sehingga berlakunya pemecatan Peguam Negara dan lain-lain di Amerika.

Peristiwa krisis kehakiman tahun 80-an di negara kita telah menjadi sejarah hitam, dan diikuti mata rantai selepasnya, sehingga berlaku peristiwa merempuh perjanjian Royalti Petroleum Terengganu dan kemudiannya Kelantan. Ini menunjukkan betapa hilangnya moral demokrasi dan perundangan yang adil.

Mutakhir ini, kita menyaksikan mereka yang terlibat dalam menitik hitam itu termasuk kelompok oportunis yang menjadi pengampu dan syaitan bisu, hanya mengangguk kepala tanpa mencegah kemungkaran. Mereka sama-sama dapat menyaksikan dan merasai akibatnya di dunia ini ketika kita masih hidup dan dipanjangkan umurnya.

Perjuangan PAS adalah meminta perubahan secara islah berprinsipkan Islam dan konsepnya yang sempurna, bukan sekadar menukar kerajaan seperti menukar baju daripada jasad yang masih tidak mandi untuk membersihkan diri dan jauh sama sekali berkonsepkan semata-mata menggulingkan kerajaan atau merampas kerusi sahaja tanpa menukar dasar, konsep dan pendekatan.

Jangan kita mengambil contoh daripada ahli neraka yang saling mengutuk di antara satu sama lain setelah dihumban ke dalam neraka, sebagaimana dinyatakan oleh firman Allah:

قَالَ ٱدۡخُلُواْ فِيٓ أُمَمٖ قَدۡ خَلَتۡ مِن قَبۡلِكُم مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ فِي ٱلنَّارِۖ كُلَّمَا دَخَلَتۡ أُمَّةٞ لَّعَنَتۡ أُخۡتَهَاۖ حَتَّىٰٓ إِذَا ٱدَّارَكُواْ فِيهَا جَمِيعٗا قَالَتۡ أُخۡرَىٰهُمۡ لِأُولَىٰهُمۡ رَبَّنَا هَٰٓؤُلَآءِ أَضَلُّونَا فَ‍َٔاتِهِمۡ عَذَابٗا ضِعۡفٗا مِّنَ ٱلنَّارِۖ قَالَ لِكُلّٖ ضِعۡفٞ وَلَٰكِن لَّا تَعۡلَمُونَ ٣٨ وَقَالَتۡ أُولَىٰهُمۡ لِأُخۡرَىٰهُمۡ فَمَا كَانَ لَكُمۡ عَلَيۡنَا مِن فَضۡلٖ فَذُوقُواْ ٱلۡعَذَابَ بِمَا كُنتُمۡ تَكۡسِبُونَ ٣٩ الأعراف

“Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam Neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda daripada (azab) Neraka. Allah berfirman: Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui. (38) Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), di antara mereka, kepada golongan yang akhir (pengikut-pengikutnya): (Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami. (Allah berfirman): Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan. (39)” (Surah Al-Aaraf: 38-39)

Demikianlah Allah menceritakan peristiwa sebenar di Hari Akhirat yang mesti berlaku kerana janji Allah itu adalah benar. Iktibarnya supaya kita bertaubat di dunia dan melakukan perubahan yang bukan sahaja mendapat fadilatnya diampunkan dosa, bahkan diberi keberkatan dan perubahan yang membawa kepada kebaikan di dunia serta diberi pahala pula di Hari Akhirat nanti.

Dalam sejarah Islam dicatatkan bahawa Khalifah Umar bin Abdul Aziz daripada Dinasti Umayyah telah melakukan perubahan islah tanpa menggulingkan kerajaannya. Begitu juga Sultan Ahmad bin Tolun di Mesir yang zalim berubah menjadi adil setelah dinasihatkan oleh Sayyidah Nafisah R.A, seorang ulama muslimat di zamannya tanpa digulingkan kerajaannya. Sejarah Sultan Qutuz daripada Dinasti Mamalik juga berubah dan berjaya.

Sultan Salahudin Al-Ayyubi daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah mengambil pendekatan awal memuji Khalifah Fatimiyyah daripada kalangan Syiah kerana menjaga perpaduan umat Islam, akhirnya berjaya melakukan perubahan dalaman umat secara damai tanpa berlakunya perpecahan dalaman negara dan umat, seterusnya menempa sejarah memimpin pembebasan Masjid Al-Aqsa daripada penjajahan Salib setelah berjaya melakukan perubahan dalaman secara islah.

Kesimpulannya bahawa tanpa pembahagian kuasa dalam pentadbiran negara bukan sahaja merosakkan kehakiman, bahkan merosakkan urusan pentadbiran, politik, ekonomi, termasuk keselamatan, keamanan dan pertahanan negara. Kita mengalu-alukan perubahan dilakukan bila-bila masa sahaja sebelum pilihan raya, bukan sahaja menunggu di tengah pilihan raya dan selepasnya.

Firman Allah:

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِهِمۡۗ وَإِذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِقَوۡمٖ سُوٓءٗا فَلَا مَرَدَّ لَهُۥۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِۦ مِن وَالٍ ١١ الرعد

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Surah Ar-Ra’d: 11)

PAS berpolitik berwawasan Akhirat dengan tetap mendahulukan mencari keredaan Allah sebelum keredaan manusia. PAS menolak budaya politik sekadar mencari pelanggan laksana penjual ubat kuat untuk tenaga nafsu binatangnya dan jauh sekali daripada politik kera mencari makan yang melompat ke pohon yang lebat buahnya, tanpa peduli rakyat menjadi mangsanya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Rabiul Akhir 1439 / 9 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 9/1/2018

ISU pengangguran terus menghantui kehidupan manusia sepanjang zaman, termasuk di negara yang dikatakan paling maju, apatah lagi negara miskin atau sedang membangun. Perbezaannya banyak atau sedikit sahaja, namun sukar dihapuskan.

Apabila Allah telah menetapkan dasar secara naluri dan pilihan di dalam Al-Quran, nyatalah bahawa kesilapannya adalah manusia sendiri. Walaupun mereka mendabik dada dan mengaku pandai, pakar, bijak, bertamadun dan maju jaya, namun terus berlakunya masalah tiada peluang pekerjaan, pengangguran dan kos sara hidup yang terhimpit.

Allah berfirman:

تَبَارَكَ ٱلَّذِي نَزَّلَ ٱلۡفُرۡقَانَ عَلَىٰ عَبۡدِهِۦ لِيَكُونَ لِلۡعَٰلَمِينَ نَذِيرًا ١ ٱلَّذِي لَهُۥ مُلۡكُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَمۡ يَتَّخِذۡ وَلَدٗا وَلَمۡ يَكُن لَّهُۥ شَرِيكٞ فِي ٱلۡمُلۡكِ وَخَلَقَ كُلَّ شَيۡءٖ فَقَدَّرَهُۥ تَقۡدِيرٗا ٢ الفرقان

“Maha berkat Tuhan yang menurunkan Al-Furqan (Al-Quran) kepada hamba-Nya (Muhammad S.A.W), untuk menjadi peringatan dan amaran bagi seluruh penduduk alam. (1) Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna. (2)”

(Surah Al-Furqan: 1-2)

Allah telah mencipta manusia bernalurikan Masyarakat Madani tanpa bersendirian, mewajibkan bertaaruf dan berkhilafah. Ini bermaksud berhubungan, bertolong-menolong dan berurusan secara naluri, serta mentadbir kehidupan dunia dengan petunjuk-Nya, bersama kemampuan akal dan pengalaman yang berbeza berkonsepkan kemampuan secara bersendiri dan bersepadu dalam kehidupan bermasyarakat dengan sumber rezeki Allah yang mencukupi walaupun berbeza bahannya bagi kemudahan makanan, pakaian, kediaman, perhubungan, perhiasan dan lain-lain. Sekiranya bermasalah adalah kesilapan manusia sendiri.

Ibnu Khaldun, Bapa Ilmu Sosiologi merumuskan bahawa sumber kehidupan yang menyumbang rezeki melalui pekerjaannya adalah Imarah (kepimpinan yang mengurus), Tijarah (perniagaan), Zira’ah (pertanian), Sina’ah (industri) dan tambahannya ialah Khidmah (perkhidmatan). Semuanya menjadi lapangan pekerjaan dan sumber rezeki yang diusahakan.

Katanya juga bahawa sepatutnya semakin ramai penduduk, semakin banyak keperluan dan meningkatnya peluang pekerjaan dengan hasil yang bertambah banyak pula, seterusnya menjadikan negara itu makin kuat dan maju, makin pesat kemajuan ekonominya, bertambah peluang pekerjaan dan meningkatnya pula pendapatan. Pemerintah adalah pengurus dan pengawasnya, semua rakyat adalah jenteranya di tempat masing-masing. Ia sangat berbeza dengan teori ahli falsafah Barat yang menganggap perkembangan ini menjadi ancaman kepada rezeki dan kehidupan manusia.

Aspek naluri, jasad, roh dan akal manusia bersama kehidupan bermasyarakat Madani yang bertaaruf dapat mengurus rezeki Allah yang melimpah ruah daripada langit dan keluar daripada bumi.

Firman Allah:

ياأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱعۡبُدُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمۡ وَٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ ٢١ ٱلَّذِي جَعَلَ لَكُمُ ٱلۡأَرۡضَ فِرَٰشٗا وَٱلسَّمَآءَ بِنَآءٗ وَأَنزَلَ مِنَ ٱلسَّمَآءِ مَآءٗ فَأَخۡرَجَ بِهِۦ مِنَ ٱلثَّمَرَٰتِ رِزۡقٗا لَّكُمۡۖ فَلَا تَجۡعَلُواْ لِلَّهِ أَندَادٗا وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ٢٢ البقرة

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang yang) bertakwa. (21) Dialah yang menjadikan bumi ini untuk kamu sebagai hamparan dan langit (serta segala isinya) sebagai bangunan (yang dibina dengan kukuhnya) dan diturunkan-Nya air hujan dari langit, lalu dikeluarkan-Nya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). (22)

(Surah Al-Baqarah: 21-22)

Ayat ini menunjukkan bahawa konsep ibadah itu mengikut takrif Islam, bukan takrif yang sempit, bahkan meluas kepada seluruh kehidupan manusia dan segala aspeknya kerana sifat manusia itu di bawah kerajaan Allah Pencipta dan hamba Allah yang mengurus alam, bukan rakyat dan warganegera kepada kerajaan di bumi yang dibahagikan mengikut negara masing-masing.

Firman Allah:

فَاطِرُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۚ جَعَلَ لَكُم مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ أَزۡوَٰجٗا وَمِنَ ٱلۡأَنۡعَٰمِ أَزۡوَٰجٗا يَذۡرَؤُكُمۡ فِيهِۚ لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَيۡءٞۖ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ ١١ لَهُۥ مَقَالِيدُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِۖ يَبۡسُطُ ٱلرِّزۡقَ لِمَن يَشَآءُ وَيَقۡدِرُۚ إِنَّهُۥ بِكُلِّ شَيۡءٍ عَلِيمٞ ١٢ الشورى

“Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkan-Nya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifatNya dan pentadbiran-Nya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (11) Dialah jua yang menguasai urusan dan perbendaharaan langit dan bumi; Dia memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan yang telah ditetapkan), dan Dia juga yang menyempitkannya (menurut peraturan itu); sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (12)

(Surah As-Syura: 11-12)


Firman Allah:

وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦ الأعراف

“Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

(Surah Al-Aaraf: 96)

Keberkatan ialah mendatangkan faedah di dunia dan akhirat. Allah telah menurunkan rezeki sumber asli dan tenaga manusia yang mencukupi dan seimbang.

Kekuatan jasmani dan rezeki rohnya pula ialah akal, ilmu dan hidayah Islam yang memandu kehidupan manusia dalam aspek akidah dan akhlak yang mengawal akal dan perasaan, serta kemampuan jasad secara individu dan bertaaruf secara bermasyarakat madani, serta akhlak bertimbang rasa, berkasih sayang yang menciptakan konsep bertolong-menolong (bertaawun), walaupun adanya kepelbagaian kemampuan, kemahiran dan hasil yang berbeza.

Tanpa dinafikan ada manusia yang terbatas kemampuannya sehingga ada juga yang malas, bodoh dan jahat yang bermasalah. Ada negeri yang banyak hasilnya dan ada yang sedikit, ada pula yang banyak tenaga manusia dan ada yang sedikit, namun tidak boleh mempengaruhi kehidupan manusia umum yang dikawal oleh undang-undang dan sempadan kehidupan.

Secara tabiinya sebagai contoh, manusia berhajat kepada pakaian, sekurang-kurangnya untuk menjaga jasad daripada alam sekeliling yang mendatangkan penyakit dan gangguan cuaca, kerana ketahanan kulitnya tidak seperti binatang yang tidak memerlukan pakaian dan tidak bermaruah tinggi. Lebih-lebih lagi manusia itu demi menjaga agama dan maruahnya yang mewajibkan menutup aurat, termasuk yang menjaga adab dan akhlaknya tanpa mengira agama dan bangsa, bahkan yang tidak ada agama dan tidak berakhlak semuanya mahukan pakaian.

Justeru itu, apabila semua manusia berhajat kepada keperluan kain. Maka memerlukan pertanian, bidang pengurusan, tanah dan jentera untuk menanam kapas dan sebagainya untuk menghasilkan benang. Kemudiannya kain yang ditenun akan dijahit dan memerlukan jarum yang perlu adanya bidang perlombongan, perindustrian, perniagaan dan pengurusan untuk menghasilkannya.

Begitulah juga keperluan makanan, kediaman, kenderaan dan sebagainya yang memerlukan berbagai sumber semula jadi dan ciptaan yang menghasilkan peluang pekerjaan dan tenaga kerjanya yang banyak, walaupun berlakunya kemajuan sains dan teknologi.

Allah berfirman:

أَهُمۡ يَقۡسِمُونَ رَحۡمَتَ رَبِّكَۚ نَحۡنُ قَسَمۡنَا بَيۡنَهُم مَّعِيشَتَهُمۡ فِي ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَاۚ وَرَفَعۡنَا بَعۡضَهُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٖ دَرَجَٰتٖ لِّيَتَّخِذَ بَعۡضُهُم بَعۡضٗا سُخۡرِيّٗاۗ وَرَحۡمَتُ رَبِّكَ خَيۡرٞ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ ٣٢ الزخرف

“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan Rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan: Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian daripada mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya daripada (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.”

(Surah Az-zukhruf: 32)

Di sini Allah menegaskan konsep pendapatan melalui pembahagian rezeki dan pembahagian kerja yang wajib disaksamakan. Makin ramai manusianya, makin banyak keperluan yang wajib dimajukan tanpa melampau. Sepatutnya makin banyak peluang pekerjaan bagi membanyakkan hasil, sepatutnya juga masalah pengangguran dapat di atasi termasuk yang tidak berupaya tidak tercicir dan terbiar.

Mengapa boleh berlaku masalah pengangguran dan tiadanya peluang pekerjaan? Puncanya ialah diri manusia sendiri yang tidak memenuhi hikmah tujuan mereka diciptakan.

Dunia hanya mengenali pendekatan secara teori dan ideologi ciptaan manusia sendiri tanpa kembali kepada petunjuk Allah yang bernama Islam. Dalam pendekatan ekonomi, mereka hanya mengenali aliran kanan dan kiri, Liberal Kapitalisma, Sosialisma, Komunisma atau Pragmatisma. Islam pula dilupakan atau sengaja tidak dipandang kerana menganggapnya tidak penting atau dengki yang menyemarakkan Islamofobia.

Sejarah Islam memulakan agenda pembangunan manusia daripada Makkah yang kering kontang dan berhijrah ke Yathrib yang ditukar kepada nama Madinah yang disinonimkan dengan Islam sebagai Al-Din dan berjaya menangani Masyarakat Madani berbagai kaum dan agama, berbeza kemampuan, pendapatan dan pekerjaan.

Modelnya bermula daripada bumi padang pasir yang tiada hasil dengan membangunkan jati diri manusia yang sempurna dengan jasad, roh dan akal beracuankan ilmu wahyu yang memberi hidayah kepada ilmu akal dan pengalaman. Akhirnya berjaya membetulkan tamadun kebendaan Rom, Parsi, Greece, Mesir, China dan India, bukan menghapuskan semuanya.

Islam mencipta tamadun sejagat dinamakan Hadharah Islamiyyah dan memerintah Timur dan Barat di zaman keemasan Islam yang diamalkan secara menyeluruh, sehingga diterima oleh masyarakat majmuk berbagai agama, bangsa dan budaya serta mampu menyara rakyat semuanya.

Saya pernah mendengar temu bual RTM bersama YM Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid beberapa tahun lepas. Beliau menegaskan betapa nelayan di pantai dan penoreh getah di kawasan pedalaman keluar awal pagi, menunjukkan bahawa masyarakat yang miskin itu bukannya pemalas.

Hari ini kita menyaksikan anak muda yang berpendidikan tinggi, termasuk yang tidak tinggi pelajarannya tetapi tetap bertenaga muda susah mendapat peluang pekerjaan. Termasuk juga ada yang menganggur atau pendapatan yang tidak mampu menyara hidup di bumi yang banyak hasilnya dan ramai tenaga kerjanya, tetapi masih ramai yang menganggur dan yang telah bekerja pula ramai yang dibuang kerja atau dipotong pendapatannya. Mengapa kehidupan mereka terhimpit?

Masalah ini menunjukkan ada perkara yang salah dengan pendekatan yang tidak betul atau dasar yang tersesat jalan. Sepatutnya pemandu yang mengambil alih silih berganti jangan meneruskan kesilapan pemandu terdahulu dan jangan meninggalkan yang betul, cuma membetulkan kesilapan, bertaubat kalau berdosa, bukan sekadar meminta maaf tanpa mengaku kesalahan dan kelemahan makhluk.

Lakukan muhasabah secara menyeluruh. Percaya bahawa Islam daripada Allah adalah penyelesaiannya berkonsepkan sempurna dan holistik. Bukannya mengumpulkan kekayaan yang berpusing di sekitar keluarga dan kroni sahaja dengan tuduhan orang lain semuanya bodoh, dibiarkan sekadar negara maju walaupun rakyatnya miskin dan menganggur.

Firman Allah:

قُلۡ هَٰذِهِۦ سَبِيلِيٓ أَدۡعُوٓاْ إِلَى ٱللَّهِۚ عَلَىٰ بَصِيرَةٍ أَنَا۠ وَمَنِ ٱتَّبَعَنِيۖ وَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ وَمَآ أَنَا۠ مِنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ١٠٨ يوسف

“Katakanlah (wahai Muhammad S.A.W): "Inilah jalanku dan orang-orang yang mengikut ajaranku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah (Islam) dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."

(Surah Yusuf: 108)

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 15 Rabiul Akhir 1439 / 3 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 3/1/2018

KETIKA umat Islam di seluruh dunia dikejutkan langkah drastik Israel dan Zionis menggunakan Presiden Amerika Syarikat yang terkini, mengisytiharkan Bait Al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel. Dia merasakan dirinya sangat berani tidak seperti orang lain. Tindakannya laksana menghempas batu besar ke dalam lubuk, sehingga menimbulkan segala hidupan di dalamnya, sama ada paling besar, paling kecil dan lemah semuanya menimbulkan diri, sehinggalah buaya dan ular berbisa paling berbahaya.

Sudah tentu di dalam umat ini sejak zaman Rasulullah S.A.W sehingga kini, ada yang kuat imannya sehingga sangat maju ke hadapan, ada yang sederhana dan ada yang terkebelakang menzalimi diri sendiri dengan sebab kelemahannya dan ada juga yang menjadi duri dalam daging menyebabkan punca penyakit. Benarlah firman Allah:

ثُمَّ أَوۡرَثۡنَا ٱلۡكِتَٰبَ ٱلَّذِينَ ٱصۡطَفَيۡنَا مِنۡ عِبَادِنَاۖ فَمِنۡهُمۡ ظَالِمٞ لِّنَفۡسِهِۦ وَمِنۡهُم مُّقۡتَصِدٞ وَمِنۡهُمۡ سَابِقُۢ بِٱلۡخَيۡرَٰتِ بِإِذۡنِ ٱللَّهِۚ ذَٰلِكَ هُوَ ٱلۡفَضۡلُ ٱلۡكَبِيرُ ٣٢ فاطر

“Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran) dan di antaranya ada yang bersikap sederhana dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata).” (Surah Fatir: 32)

Allah memberi peringatan kepada kalangan yang paling lemah dan menjadi duri dalam daging sehingga membawa penyakit yang sangat membahayakan, firman-Nya:

۞يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ ٱلۡيَهُودَ وَٱلنَّصَٰرَىٰٓ أَوۡلِيَآءَۘ بَعۡضُهُمۡ أَوۡلِيَآءُ بَعۡضٖۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمۡ فَإِنَّهُۥ مِنۡهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي ٱلۡقَوۡمَ ٱلظَّٰلِمِينَ ٥١ فَتَرَى ٱلَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٞ يُسَٰرِعُونَ فِيهِمۡ يَقُولُونَ نَخۡشَىٰٓ أَن تُصِيبَنَا دَآئِرَةٞۚ فَعَسَى ٱللَّهُ أَن يَأۡتِيَ بِٱلۡفَتۡحِ أَوۡ أَمۡرٖ مِّنۡ عِندِهِۦ فَيُصۡبِحُواْ عَلَىٰ مَآ أَسَرُّواْ فِيٓ أَنفُسِهِمۡ نَٰدِمِينَ ٥٢ المائدة

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat kerana setengah mereka menjadi teman rapat kepada setengahnya yang lain dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka teman rapatnya, maka sesungguhnya dia adalah daripada golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. (51) Dalam pada itu, engkau lihat orang-orang (munafik) yang ada penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka (Yahudi dan Nasrani), sambil berkata: Kami takut bahawa kami akan ditimpa bencana (yang memaksa kami meminta pertolongan mereka). Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada Rasul-Nya dan umat Islam) atau mendatangkan sesuatu hukuman dari sisi-Nya (terhadap golongan yang munafik itu); maka sebab itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan dalam hatinya. (52)” (Surah Al-Maidah: 51-52)

Gabungan Amerika Syarikat dan Israel adalah kenyataan firman Allah tersebut, betapa Donald Trump menjadi Presiden yang dipilih mutakhir ini menunjukkan terbukti kenyataan saya sebelum ini, bahawa yang paling rapat dan paling kuat sokongannya kepada negara haram Israel dimenangkan oleh pihak yang menguasai ekonomi, pengurusan dan media. Kesetiakawanan dibuktikan dengan beraninya mengisytiharkan Bait Al-Maqdis menjadi ibu negara haram Israel itu. Dia tidak peduli bantahan daripada seluruh dunia, meskipun hanya segelintir negara sahaja yang menyokongnya.

Hikmahnya, peristiwa yang berlaku telah menyatukan umat Islam dan manusia berperikemanusiaan, sehingga yang paling lemah kembali ke pangkal jalan dan masuk ke dalam saf menentang Israel. Pada masa sama, ia mendedahkan sekutu-sekutu Zionis walaupun bertopengkan jubah pakaian kebangsaan Arab, serban dan berkopiah putih di kalangan bangsa Arab dan berbahasa Al-Quran. Ada pula yang jasadnya paling dekat dengan Kaabah dan Maqam Rasulullah S.A.W dan paling dekat pula dengan medan perjuangan menentang Zionis itu, tetapi hatinya berpaut rapat dengan musuh Islam itu.

Langkahnya adalah menyelamatkan Israel bukannya membebaskan Masjid Al- Aqsa, tidak sedikitpun menyentuh hati mereka daripada apa yang dilakukan terhadap tanah suci ketiga Islam itu.

Golongan ini melakukan apa sahaja bagi menangguhkan jihad menentang Israel dan membebaskan Masjid Al-Aqsa. Mereka mengemukakan berbagai hujah dan melakukan beberapa pendekatan. Di antaranya ialah mengundurkan masalah Palestin ke belakang sedikit demi sedikit, daripada sifat Islamnya kepada Nasionalis Arab, seterusnya Jerusalem dipecah dua sehingga dilupakan Islamnya kerana katanya sudah cukup Makkah dan Madinah bagi umat Islam, serahkan sahaja Bait Al-Maqdis kepada Israel.

Bermula daripada mewujudkan Perjanjian Camp David 1978 yang membawa pengiktirafan kepada negara haram Israel, diikuti dengan Persidangan Oslo 1993 dan kemudiannya Persidangan Madrid 1999 dengan penyelesaian dua negara, satu untuk kaum Yahudi dan satu untuk Arab Palestin, digula-gulakan kenyataan bersama cadangan supaya Israel berundur daripada kawasan yang ditawan ketika Perang Huzairan 1967 sehingga menawan seluruh Kota Suci Bait Al-Maqdis, kemudian dibelah dua, Bait Al-Maqdis Timur untuk Palestin dan Bait Al-Maqdis Barat untuk Israel. Israel mendiamkan diri, tetapi Arab terus dipujuk dan banyak negara yang menerimanya.

Perkembangan mutakhir pula menunjukkan perbezaan sikap rakyat yang terbakar semangat Islamnya dengan pemimpin negaranya yang bersikap dingin dan melangkah sedikit demi sedikit ke belakang mengadakan hubungan sulit dengan Israel dan ada yang telah terbuka.

Ada negara yang lebih terang lagi bersuluh telah masuk ke dalam strategi pendekatan menyelamatkan Israel, di antaranya melakukan kekacauan dalam negeri tanah air sendiri sehingga menjejaskan perjuangan menghadapi negara haram itu.

Sejak tahun 60-an Jordan dipilih untuk dikacau, apabila sebahagian besar gerakan Palestin dan pemimpinnya bertapak di sana, lalu dicetuskan kekacauan dalam negara yang lemah dan tidak bersumber kekayaan buminya sehingga terpaksa dikeluarkan para pemimpin dan gerakan perjuangan Palestin daripada Jordan, tanpa mengira Islam atau sekular, kanan atau kiri, semuanya berpindah ke Syria, Lubnan dan lain-lain.

Kekacauan terkini yang melanda Syria, Lubnan, Yaman, Mesir, Sudan dan lain-lain, diatur begitu rupa dengan mencetuskan kekacauan yang licik. Ada yang diadu dombakan kerana perbezaan agama dan ideologi, perbezaan Mazhab Sunni dan Syiah, berbeza etnik dan krisis sempadan, seterusnya di atas nama menentang kezaliman, menyokong demokrasi dan sebagainya sehingga mencetuskan Arab Spring yang tidak berbuah.

Sepatutnya menghadapi Israel terlebih dahulu, tetapi malangnya menghadapi kawan yang dianggap pengacau dahulu, sehingga berperang besar, membunuh sesama sendiri dan meruntuhkan rumah sendiri. Mereka tidak mengambil perumpamaan kebijaksanaan kumpulan anjing sekampung yang mengutamakan mangsa yang datang sehingga menyatukan mereka semua memburu mangsa itu, sehingga meninggalkan perkelahian sesama sendiri. Walaupun selepasnya mereka berkelahi semula kerana tomak dan haloba mengikut nafsu kebinatangannya.

Demikianlah kadang-kadang Allah menyuruh manusia belajar daripada binatang. Firman-Nya:

۞إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَسۡتَحۡيِۦٓ أَن يَضۡرِبَ مَثَلٗا مَّا بَعُوضَةٗ فَمَا فَوۡقَهَاۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ فَيَعۡلَمُونَ أَنَّهُ ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّهِمۡۖ وَأَمَّا ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ فَيَقُولُونَ مَاذَآ أَرَادَ ٱللَّهُ بِهَٰذَا مَثَلٗاۘ يُضِلُّ بِهِۦ كَثِيرٗا وَيَهۡدِي بِهِۦ كَثِيرٗاۚ وَمَا يُضِلُّ بِهِۦٓ إِلَّا ٱلۡفَٰسِقِينَ ٢٦ البقرة

“Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmahnya), iaitu kalau orang-orang yang beriman, maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar daripada Tuhan mereka dan kalau orang-orang kafir pula, maka mereka akan berkata: Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan benda ini? (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan ramai orang sesat dengan sebab perbandingan itu dan akan menjadikan ramai orang mendapat petunjuk dengan sebabnya dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik.” (Surah Al-Baqarah: 26)

Adakah kalian tidak membaca atau melupakan laporan usaha untuk menubuhkan kumpulan Negara Islam Sunni bagi menentang bahaya Revolusi Islam Syiah Iran, bukannya menentang Israel?

Paling terkini pula menyenaraikan kumpulan Islam Hamas, Tanzim Jihad (daripada Sunni) dan Hizbullah (daripada Syiah) adalah pengganas tanpa menyebut Israel, bahkan disebarkan maklumat menubuhkan kumpulan ala ISIS bagi menentang kumpulan Islam yang sudah bersatu ini.

Apabila Israel dan sekutunya menyokong langkah ini menandakan betapa wujudnya kumpulan Zionis di dalam dunia Islam yang menjadi khadam Israel dalam rumah umat Islam. Mereka dibekalkan dengan segala jenis senjata yang sentiasa diawasi supaya dihalakan kepada negara jiran yang dikira berbahaya bukannya Israel.

Mengapa Islam dahulu boleh memerintah, boleh meneruskan dakwah dan tegak negaranya beberapa abad menghadapi serangan musuh yang bertali arus walaupun perbezaan agama rakyatnya, sudah ada berbagai bangsa dan perbezaan mazhab? Ini menunjukkan adanya perkara salah di kalangan umat yang wajib diperbetulkan.

Tanda-tanda menunjukan fajar mula menyinsing. Cahaya Islam yang tidak boleh dipadamkan sekali-kali akan menyinar semula menyuluh dunia yang gelap. Hanya mereka yang dirasuk syaitan Zionis akan menghilang bersamanya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 13 Rabiul Akhir 1439 / 1 Januari 2018 – HARAKAHDAILY 1/1/2018

Firman Allah:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ وَتُدۡلُواْ بِهَآ إِلَى ٱلۡحُكَّامِ لِتَأۡكُلُواْ فَرِيقٗا مِّنۡ أَمۡوَٰلِ ٱلنَّاسِ بِٱلۡإِثۡمِ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ ١٨٨ البقرة

“Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada kalangan yang mengendalikan hukuman (pemerintah, pentadbir, hakim dan sebagainya), supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui” (Surah Al-Baqarah: 188)

Hadis Rasulullah S.A.W.

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم الرَّاشي والمُرْتَشيَ" رَوَاهُ أَبُو داوُدَ وَالتِّرْمذيُّ وَصَحّحَهُ

“Rasulullah S.A.W telah melaknat orang yang memberi rasuah dan menerima rasuah” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Al-Quran petunjuk sepanjang zaman telah menyebut sejak lima abad yang lalu, betapa penyakit rasuah berlaku dahulu kala di kalangan umat terdahulu dan berlaku sehingga kini.

Rasuah termasuk dalam dosa besar yang dilaknat oleh Allah terhadap semua yang terlibat, yang memberi rasuah dan menerima rasuah. Laknat bermaksud tidak mendapat Rahmat Allah daripada dunia sehingga celaka dan neraka di akhirat kalau tidak bertaubat.
 
Wujudnya rasuah bersama syaitan yang merosakkan manusia dan kehidupannya dengan meniupkan perasaan ingin mendapatkan kesenangan semata-mata tanpa mempedulikan keburukan dan akibatnya yang menimpa diri dan masyarakat.

Islam meletakkan hukum bukan sahaja dalam undang-undang negara yang merangkumi semua urusan pentadbiran, kehakiman, ekonomi dan lain lain, bahkan menjadi sebahagian daripada perkara yang tidak berpisah dengan agama Islam yang sempurna.

Allah mendedahkan penyakit ini berlaku di kalangan semua peringkat, daripada setinggi jawatan sehingga serendahnya, termasuk agamawan sejak zaman dahulu, pelakunya menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Firman Allah:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡأَحۡبَارِ وَٱلرُّهۡبَانِ لَيَأۡكُلُونَ أَمۡوَٰلَ ٱلنَّاسِ بِٱلۡبَٰطِلِ وَيَصُدُّونَ عَن سَبِيلِ ٱللَّهِۗ وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٖ ٣٤ التوبة

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya banyak di antara pendeta-pendeta dan ahli-ahli agama (Yahudi dan Nasrani) memakan harta orang ramai dengan cara yang salah dan mereka menghalangi (manusia) daripada jalan Allah (agama Islam). Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah At-Taubah: 34)

Firman Allah lagi:

وَٱتۡلُ عَلَيۡهِمۡ نَبَأَ ٱلَّذِيٓ ءَاتَيۡنَٰهُ ءَايَٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنۡهَا فَأَتۡبَعَهُ ٱلشَّيۡطَٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلۡغَاوِينَ ١٧٥ وَلَوۡ شِئۡنَا لَرَفَعۡنَٰهُ بِهَا وَلَٰكِنَّهُۥٓ أَخۡلَدَ إِلَى ٱلۡأَرۡضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلۡكَلۡبِ إِن تَحۡمِلۡ عَلَيۡهِ يَلۡهَثۡ أَوۡ تَتۡرُكۡهُ يَلۡهَثۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلۡقَوۡمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُواْ بَِٔايَٰتِنَاۚ فَٱقۡصُصِ ٱلۡقَصَصَ لَعَلَّهُمۡ يَتَفَكَّرُونَ ١٧٦ الأعراف

“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami, kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar daripada mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat. (175) Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: dia menghulurkan lidahnya termengah-mengah dan jika engkau membiarkannya: dia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir. (176)” (Surah Al-Aaraf: 175-176)

Rasulullah S.A.W mendidik para sahabat secara langsung ketika memimpin negara supaya mengelakkan diri daripada rasuah. Contohnya apabila seorang sahabat R.A yang ditugaskan memungut hasil daripada salah satu wilayah Islam, secara ikhlas berkata: “Wahai Rasulullah! Ini adalah hasil pungutan yang telah ditugaskan dan ini pula diberi kepada saya”.

Apabila keluar memberi ucapan kepada umum, Rasulullah S.A.W bersabda tanpa menyebut namanya:

“Ada kalangan kamu yang ditugaskan, datang kepadaku memberitahu: “Bahawa ini hasil pungutan saya dan ini pula diberi kepada saya”. Adakah sekiranya dia berada di rumah ibunya dan ayahnya tanpa tugas atau jawatan itu akan diberi kepadanya?” Demi Tuhan yang diriku berada dalam genggaman-Nya, harta seperti ini akan dibawa bersama, dipikulnya untuk dibicarakan pada Hari Kiamat nanti”.

Ini menunjukkan hadiah luar biasa diberikan oleh kalangan tertentu yang ada kepentingan adalah bertujuan rasuah atau pendahuluan, ia sangat mempengaruhi seseorang yang berjawatan dalam apa-apa urusan. Apatah lagi yang terang dan nyata kerana mempengaruhi sesuatu keputusan yang menyebabkan penyelewengan atau tidak berlaku adil.

Islam meletakkan bahawa jawatan seseorang itu ada perhitungan dosa dan pahala yang dikira pada Hari Kiamat nanti, yang menyebabkan seksa di dalam kuburnya di Alam Barzakh dan Padang Mahsyar, seterusnya dihumban ke dalam Neraka. Bukan sahaja tiada keberkatan yakni tidak mendatangkan kebaikan daripada hartanya kepada diri dan keluarga dalam kehidupan dunia.

Rasuah tidak tertebus dosanya dengan ibadat seperti haji dan umrah dan lain-lain, kerana melibatkan hak rakyat umum. Besarnya dosa rasuah kerana merosakkan seluruh kehidupan manusia, kerana merosakkan pentadbiran, pengurusan, kehakiman, membawa kesan negatif dalam kegiatan politik, ekonomi sehinggalah alam sekitar dan lain-lain. Ini disebabkan rasuah mempengaruhi segala keputusan dan kelulusan.

Saya disoal dalam ceramah di Universiti Nanyang beberapa tahun yang lalu. Kenapa tidak dimasukkan rasuah dalam kesalahan Hudud dan Qisas?

Jawapannya: Hudud berkait dengan hak Allah, Qisas pula berkait dengan hak manusia, walaupun kesalahannya semuanya jenayah berat. Qisas dan Hudud boleh diletakkan sempadannya. Adapun rasuah melibatkan hak Allah dan hak manusia, kesalahannya pula ada kecil dan ada besar tanpa sempadan, berkait pula dengan sebab penerima rasuah, pemberi rasuah dan sebab kerajaan sendiri yang memberi tugas dan sara hidup dalam kemampuan dan kedudukan yang berbeza yang wajib dilihat.

Maka Islam menetapkan hukuman Takzir yang luas dan anjal, daripada paling berat sehinggalah paling ringan mengikut penilaian yang adil oleh pihak yang berkenaan, sama ada kerajaan, badan kehakiman dan pihak penguatkuasaan, berkonsepkan hukuman Islam yang lebih bersifat mendidik masyarakat daripada menghukum semata-mata.

Kejayaan Islam di zaman kegemilangannya berjaya kerana melaksanakan hukum Islam yang mengandungi aspek lahiriah dan ruhaniah yang dikawal oleh prinsip iman dan konsep taqwa, berbeza dengan undang-undang ciptaan manusia yang hanya mengandungi aspek lahiriah sahaja.

Seseorang yang dikawal oleh iman dan taqwanya tidak boleh mengatasi hukum Allah yang ditinggikan menjadi undang-undang negara, serta mereka percaya tidak terlepas daripada hukuman akhirat walaupun terlepas di dunia, kerana tidak boleh mengatasi undang-undang syariat walaupun pandai menipu.

Seorang wanita penjual susu ditegur oleh anak perempuannya supaya jangan menipu apabila mahu meletakkan air ke dalam susu yang hendak dijual. Lalu ibunya terus membatalkan hasratnya apabila puteri yang solehah itu menyebut bahawa Allah Maha Mangetahui, Maha Melihat dan Maha Mendengar walaupun Saidina Umar tidak tahu. Khalifah Umar R.A yang mengintip perbualan di waktu malam tersebut meminang anak gadis itu untuk puteranya, di mana zuriat yang soleh ini melahirkan Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang terkenal keadilannya.

Islam mengambil kira syarat Islam, iman dan akhlak bagi jawatan-jawatan penting, bukan sekadar syarat ilmu dan pengalaman dalam bidangnya sahaja. Selain itu, diikat pula pula dengan baiah apabila dilantik di jawatan yang penting, tidak cukup sekadar menjadi seorang Muslim dengan mengucap dua Kalimah Syahadah bagi penganut Islam. Kehakimannya pula mengambil kira peranan kerajaan yang mencukupi, sifat pelaku dan cara tindakan pihak penguatkuasa yang beradab dengan rukun dan syaratnya tanpa sewenang-wenangnya.

Adapun undang-undang ciptaan manusia tanpa iman, akhlak dan taqwa, boleh terlepas di dunia dan tidak percaya adanya hukuman di akhirat, serta ada kalangan yang meletakkan dirinya mengatasi undang-undang.

Negara Komunis yang paling keras hukuman sehingga menghukum mati terhadap kesalahan rasuah tanpa mengambil kira kesalahan kerajaan dan berbagai pihak seperti majikan yang memberi gaji yang tidak mencukupi kos sara hidup diri dan keluarga.

Kerajaan Liberal Kapitalis yang bergaji paling besar juga tidak mampu mengatasi penyakit rasuah, kerana manusia yang tidak puas dengan harta yang banyak, tetap bernafsu mengambil dengan apa jua cara. Undang-undangnya pula ciptaan manusia, hukum Allah hanya ibadat sahaja yang tidak boleh diangkat menjadi undang-undang negara. Maka terciptalah manusia yang berlagak berkuasa mengatasi undang-undang ciptaan kepala dan tangannya sendiri.

Penyakit rasuah tidak mengira Islam dan bukan Islam, kerana semuanya dirasuk nafsu syaitan. Tetapi itulah pendekatan Islam yang disaksikan paling berkesan kerana gabungan jasad dan ruh.

PAS yang berusaha menghayati Islam berjaya menegakkan kerajaan yang bersih daripada rasuah di semua negeri yang diperintahnya khususnya Kelantan sehingga kini, kejatuhan kerajaannya bukan kerana rasuah.

PAS sentiasa membuka pintu sepanjang masa kepada semua pihak kalau ada terpandang berlakunya dosa besar ini untuk disiasat dan diambil tindakan.

PAS tidak melindungi dan mempertahankan sesiapa yang melakukan dosa ini dalam kerajaannya.

PAS membentuk ahlinya dengan ilmu Islam dan tarbiyah. Semua calon dipertanggungjawabkan dengan ikatan baiah setia kepada perintah dalam semua perkara yang tidak bercanggah dengan Islam termasuk ijtihad jamaah dalam perkara yang tidak ada nas. Semua yang berpenyakit atau berhasrat melakukannya tidak boleh bersama. Ada yang keluar lebih awal dan ada yang dikeluarkan.

PAS mengizinkan semua pihak untuk menyiasat kalau ada yang melakukan rasuah dalam kerajaannya mengikut cara yang adil tanpa fitnah semata-mata.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Rabiul Akhir 1439 / 27 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 27/12/2016