PERANG propaganda membayangi krisis Asia Barat yang semakin bergolak, sehingga boleh mencetuskan Perang Dunia Ketiga, kerana pertembungan di kalangan negara kuasa besar boleh berlaku bila-bila masa selepas dicetuskan peperangan secara proksi bagi merebut pengaruh, menguji senjata dan berniaga senjata masing-masing.

Penubuhan negara haram Israel oleh semua negara besar tersebut diketepikan bermula setelah bersama menjatuhkan Khilafah Uthmaniah yang memimpin negara Islam selepas Perang Dunia Pertama di awal abad yang lalu. Caranya sangat zalim, apabila merampas bumi Palestin dan menghalau penduduknya.

Negara yang ditubuhkan penjajah itu tidak mempunyai hak untuk memberi kepada kaum Yahudi yang tidak berhak memilikinya, sehingga mencetuskan ketegangan yang membara memakan masa panjang beberapa dekad, disambung beberapa generasi dan tidak mungkin dipadamkan.

Ada kalangan berpendapat bahawa penubuhan negara haram Israel itu bertujuan mengeluarkan bangsa Yahudi yang dikira menjadi ancaman khususnya ekonomi negara masing-masing, serta menangani campur tangan politik Yahudi sehingga mengacau urusan memilih pemimpin yang hanya dapat dipengaruhinya. Pada masa sama, semangat Yahudi Zionis yang bermimpikan empayar Yahudi yang berpusat di Palestin.

Terkini, kuasa besar Barat yang dipimpin oleh Amerika, adalah paling hadapan melindungi Israel dengan hujah menguar-uarkan bahaya pengaruh Syiah Iran yang dikatakan menular di Asia Barat, bukannya negara haram Israel yang diciptakan. Dikatakan Iran kini menjadi ancaman kepada negara jirannya, bahayanya selepas berlaku Revolusi Islam dan diubah namanya kepada Republik Islam Iran, dan melaksanakan konsep demokrasi pilihan raya yang bersyaratkan Islam mengikut mazhabnya yang dilakukan tajdid dan islah, serta mencapai kemajuan teknologi tinggi.

Mengapa Iran dianggap tidak bahaya di zaman Shah dahulu, walaupun berkonsepkan diktator monarki? Sehingga Iran ketika itu menjadi pangkalan Barat yang terpenting dalam era Perang Dingin, dibina segala kekuatannya yang menjadi benteng menghadapi ancaman Blok Timur, disamping itu juga menjadi pangkalan maksiat untuk memuaskan hawa nafsu dan bebas berfoya-foya seperti negara Barat, bagi memudahkan kalangan yang tidak berpeluang melancong ke negara Barat yang bebas segala-galanya.

Sebenarnya, negara berkuasa besar khususnya Barat menjadikan Asia Barat laksana jantung yang membekalkan darah dan nafasnya untuk menyambung talian hayat, kerana kekayaan sumber tenaga terpenting yang menghidupkan industri dan ekonomi yang menjana kekuatan politik dan ketenteraannya, sehingga diletakkan pangkalan-pangkalan tentera yang besar di kawasan itu, kerana tidak cukup kuat menjaga kepentingannya oleh negara haram Israel yang diadakan dengan segala kemudahan, termasuk kebebasan memiliki senjata pemusnah yang diharamkan kepada negara lain.

Segala pencabulan Israel terhadap undang-undang antarabangsa mengancam negara jirannya sehingga boleh melakukan apa sahaja sewenang-wenangnya dan menafikan hak asasi manusia yang wajib diberikan kepada rakyat Palestin.

Semua tindakan ke atas Israel oleh majoriti masyarakat antarabangsa boleh dibatalkan dengan kuasa veto yang menjadi keistimewaan negara kuasa besar. Undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia laksana sarang labah-labah yang memerangkap makhluk kecil dan lemah sahaja.

Mazhab Syiah dijadikan alasan. Negara Iran Syiah yang dahulunya berimamkan Shah Iran boleh diterima oleh Barat dan Negara Arab yang berada di bawah ketiaknya yang hangit itu sejak hampir satu abad, di kala itu hubungan negara Iran juga paling intim dengan negara haram Israel tersebut.

Tiba-tiba fatwanya berubah selepas rajanya bergelar Syahan Syah (Raja bagi segala raja-raja), gelaran yang diharamkan oleh Rasulullah S.A.W, berjaya digulingkan oleh rakyat yang dipimpin oleh para ulamanya dan menukar namanya kepada Republik Islam Iran, seterusnya membatalkan hubungannya dengan negara Israel dan mengisytiharkan Israel adalah negara haram yang wajib dihapuskan.

Disebabkan oleh mereka kini tidak boleh lagi berfoya-foya di Iran, tiba-tiba terus dianggap menjadi ancaman kepada negara serantau, walaupun Iran mengajak bersatu menentang Israel dan menghapuskannya.

Hujahnya kerana Iran itu Syiah walaupun di zaman Syah dahulu Syiah juga, sehingga diterima menjadi anggota OIC, rakyatnya mendapat kuota jamaah haji di antara paling besar jumlahnya, qarinya juga dijemput bermusabaqah al-Quran dan para ulama Syiah Iran dilantik juga menjadi anggota Majma’ Fiqh Antarabangsa di bawah OIC.

Muhasabah politik dengan sedar dan insaf perlu dilakukan dengan seadil-adilnya oleh semua pihak di kalangan umat Islam. Adakah para ulama dan mufti yang berada di bawah kerajaan masing-masing yang dikatakan sangat kuat pegangan sunninya tidak boleh membezakan betapa pengaruh politik Barat sedang membayangi kerajaan meraka, sehingga fatwa para ulama dan muftinya juga terheret oleh kenyataan politik pemimpin Barat yang diimamkan oleh kerajaan mereka?

Baca dan ingat!

Betapa Sultan Yusuf Salahudin al-Ayyubi pernah menempa sejarah berjaya membebaskan Bait Al-Maqdis yang dijajah tentera salib hampir satu abad, setelah baginda berjaya mendekatkan diri secara ilmu dan damai dengan Kerajaan Abbasiyah Sunni yang lemah di Iraq dan Kerajaan Fatimiyyah yang memerintah Mesir yang fanatik Mazhab Syiah Ismailiyyah, di mana Syiahnya lebih melampau daripada Syiah Imamiyyah di Iran dan Universiti al-Azhar diadakan bagi menyebarkan mazhab Syiah. Namun Baginda Sultan Salahuddin al-Ayyubi meletakkan perbezaan mazhab adalah masalah dalaman umat Islam dan lebih utama menghadapi musuh yang menjajah Bait al-Maqdis itu. Akhirnya berjaya dibebaskan, Mesir dan al-Azhar berubah jadi Sunni.

Sila bandingkan di antara iktibar daripada Salahuddin al-Ayubi dan pendekatannya sehingga berjaya membebaskan al-Aqsa dengan nasihat Presiden Trump dan juak-juaknya yang menguar-uarkan bahawa Republik Islam Iran Syiah adalah ancaman kepada umat Islam Sunni, kerana fatwa Trump bahawa Iran Syiah itu mahu menjajah Sunni dan Israel pula adalah sahabat yang akrab, walaupun sudah diketahui kerjanya sedang merancang untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan merampas serta merobohkan rumah dan menghalau rakyat asal Palestin bagi penempatan kaum Yahudi yang didatangkan daripada seluruh pelosok dunia.

Presiden Donald Trump memberanikan diri mengiktiraf Bait al-Maqdis adalah ibu negara haram Israel. Langkah yang ditentang oleh majoriti umat dunia melalui Sidang Khas PBB, sehingga banyak negara menjadi pak turut mengikut arus masyarakat antarabangsa, tetapi sebelah kakinya masih bersama Presiden yang mendukung Israel itu.

Perhatikan kacau bilau yang sedang menumpahkan darah di Asia Barat kini kerana pertembungan yang sudah berkecamuk dengan peperangan dan menggunakan senjata yang hendak diuji dan dibayar dengan duit Arab yang diletakkan harganya oleh Trump, bersyaratkan tanpa gangguan sedikit pun terhadap negara haram Israel dan pangkalan-pangkalan tentera negara Barat yang sebenarnya demi menjaga telaga minyak dan gas serta laluannya, dan menjamin keamanan negara haram Israel yang dijadikan hantu penunggu, bukannya menjaga Arab dan Mazhab Sunni. Negara Arab itu hanya dijadikan laksana lembu susu yang diperah susunya untuk tuannya yang lebih penting daripada anak lembu sendiri.

Mengapa semua pihak yang bersedia menentang Israel disenaraikan pengganas oleh Barat dan Israel? Daripada yang besar bernegara seperti Iran sehinggalah yang kecil tidak bernegara seperti Hamas, Tanzim Jihad dan Hizbullah, termasuk individu seperti Dr Yusuf al-Qardawi, Ismail Haniyyah, Hasan Nasrullah dan lain-lain, tanpa mengira Sunni dan Syiah, termasuk juga negara sekular yang menyokongnya seperti Syria, Lubnan, Qatar, Yaman, Sudan, Turki dan lain-lain, sehingga dibantu untuk menghuru-harakannya dengan media, wang dan senjata yang diuji.

Adakah sebenarnya Iran dan Syiah menjadi ancaman atau kerana selamatkan Israel dan menjaga kepentingan Barat dan sekutunya, maka Islam semuanya tanpa pedulikan mazhab adalah musuh utama?

Mereka tidak pedulikan negara Arab yang merampas kuasa silih berganti tanpa demokrasi yang kononnya sangat diperjuangkan dan menjadi kebanggaannya. Semuanya mereka sokong konsepnya walaupun tidak ada tempat bagi konsep demokrasi, asalkan tidak bermusuh dengan Israel. Walaupun Sunninya yang bermazhab Kamal Atarturk, Kasim Ahmad dan Ayah Pin dianggap anggota umat Islam yang tidak merbahaya.

Adapun Presiden Muhammad Mursi yang menang melalui demokrasi pilihan raya mereka tidak iktiraf, biar digulingkan kerana dasar Islam dan bermusuh dengan Israel tanpa mengira mazhab Sunninya.

Para ulama terdahulu telah menulis dalam kitab yang dikarangnya berkenaan perbezaan mazhab Sunni, Syiah, Khawarij dan sebagainya. Ada yang salah dan ada yang sesat, ada pendapat mazhabnya yang diterima ijtihadnya dan ada yang ditolak. Semuanya dianggap perkara dalaman umat yang boleh dikaji hujahnya, sehingga riwayat hadis dan ijtihad daripada ulama Sunni dan Syiah juga dimasukkan dalam kitab-kitab yang muktabar, tetapi semua kitab ini dilupakan kerana fatwa daripada ‘White House’ yang lebih muktabar kerana menjadi pergantungan tali hayat kursinya. Bukan ayat kursi yang menegakkan akidah dan menghalau Syaitan, tetapi ayat kursi ciptaan yang berpegang kepada ungkapan bahawa percayakan Syaitan yang dikenali adalah lebih baik daripada Malaikat yang tidak dapat dilihat kerana berada di alam ghaib.

Terkini, Syaitan besar sedang menukar buah catur melalui ISIS dan kumpulannya yang kalah, kepada kaum Kurdis yang dinyalakan api perkaumannya dengan dibekalkan senjata yang perlu bagi menyambung kekacauan yang menyelamatkan Israel bagi melagakan kaum Arab, Turki, Parsi dan Kurdis yang termasuk dalam lakaran peta barunya tanpa mengira Sunni dan Syiah yang mesti menjadi korbannya, namun negara haram Israel tetap diamankan. Seterusnya Asia Barat terus menjadi papan catur dan rakyatnya menjadi ayam sabung yang dilagakan.

Kenyataan Mantan Setiausaha Luar Amerika, John Kerry dalam forum di Munich bahawa beberapa pemimpin Arab dan Israel mendesak Amerika tidak menyerang Iran kerana menggunakan taktik buah catur yang diperalatkan lebih merehatkan Amerika dan Israel. Kita menunggu dan melihat, apakah langkah Trump yang lebih berani mendukung Israel?

Ingatlah amaran Rasulullah S.A.W bahawa Islam di Masjid al-Aqsa tidak boleh dihapuskan oleh mereka yang mengecewakannya:

لَا تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الدِّينِ ظَاهِرِينَ لَعَدُوِّهِمْ قَاهِرِينَ لَا يَضُرُّهُمْ مَنْ خَالَفَهُمْ إِلَّا مَا أَصَابَهُمْ مِنْ لَأْوَاءَ حَتَّى يَأْتِيَهُمْ أَمْرُ اللهِ وَهُمْ كَذَلِكَ ". قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَأَيْنَ هُمْ؟ قَالَ: " بِبَيْتِ الْمَقْدِسِ وَأَكْنَافِ بَيْتِ الْمَقْدِسِ.

مسند أحمد ط الرسالة (36/ 657).

“Tetap masih ada kalangan umatku kumpulan yang bangkit menyerlah menyatakan Islam dengan gagah perkasa terhadap musuh mereka, tidak boleh memudaratkannya oleh penentang mereka, cuma mereka ditimpa kesulitan, sehinggalah datangnya kemenangan daripada Allah, mereka masih dalam keadaan begitu (tidak berganjak). Lalu mereka (para Sahabat) bertanyakan: Dimanakah mereka itu? Sabdanya: Mereka berada di Bait al-Maqdis dan di sekitar Bait al-Maqdis”

(Musnad Ahmad)

Ketika musuh Islam bersatu menentang kebangkitan Islam secara umum tanpa mengira mazhab betul atau salah dan ideologinya yang sesat atau tidak, tiba-tiba umat Islam dicetuskan dengan permusuhan dan diatur supaya sedia berperang, hanya sebab adanya titik perbezaan bangsa, mazhab, kepentingan harta dan takhta, termasuk perbezaan masyarakat majmuk berbagai agama yang tidak boleh dipaksakan, namun bersatu di atas kemanusiaan menentang penjajah yang zalim. Fikir dan berfikirlah.

Sejahtera Bersama Islam

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 15 Jamadil Akhir 1439 / 3 Mac 2018 - HARAKAHDAILY 3/3/2018

FIRMAN Allah:

وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ أَنْ صَدُّوكُمْ عَنِ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ أَنْ تَعْتَدُوا وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari Masjidil Haram itu, mendorong kamu menceroboh dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).

(al-Maidah: 2)

Allah telah memberi petunjuk kepada umat Islam sejak generasi pertama yang ditugaskan untuk menyelamatkan manusia seramai-ramainya bersama Islam. Di antaranya melalui pendekatan Ta’awun (bertolong-menolong) dalam perkara yang baik dan taqwa (mentaati Allah), terus beristiqamah di atas dasar Islam dan matlamatnya dengan melaksanakan Islam dan menegakkannya.

Tidak bekerjasama dalam perkara dosa dan permusuhan walaupun terhadap musuh yang menzaliminya, apatah lagi dalam kalangan umat Islam yang berbeza pendapat, berlainan pendekatan dan berlakunya salah faham, serta tenggelam dalam kejahilan. Konsep ini juga dipanjangkan dalam hubungan masyarakat majmuk dalam satu negara walaupun berbeza agama bangsa sehingga berlakunya ketegangan. Selain itu, dilakukan juga dalam hubungan luar negara.

Pendekatan ini menghubungkan Islam dengan semua pihak bagi menyampaikan risalahnya ke seluruh alam. Petunjuk ini pernah berjaya menembusi hati bangsa Arab padang pasir yang keras, degil dan sifat pemanasnya yang bernyala, cepat bermusuh dan berperang.

Hatinya laksana kerasnya batu dan tanah yang dibakar oleh kepanasan suhu cuaca dan kehidupannya yang kering kontang, tetapi Islam berjaya menyatukan umat yang beriman daripada kalangan bangsa Arab, diikuti berbagai bangsa dan kaum di atas aqidah Islam atau menarik kalangan bukan Islam di atas persamaan konsep kemanusiaan yang masih tetap menjadi sifat yang matang mahukan kebaikan dan menolak kejahatan.

Objektifnya adalah memilih titik persamaan terlebih dahulu dan menangani perbezaan secara anjal (fleksibel), serta menolak perpecahan yang merugikan dengan sabar menghadapi cabaran, walaupun menunggu masa yang lama.

Rasulullah S.A.W meneguhkan perpaduan umat Islam di kalangan Muhajirin dan Ansar yang terdiri daripada berbagai kabilah dan keluarga yang pernah berperang pada zaman jahiliah, akhirnya bersatu di bawah persaudaraan iman dan bendera Islam.

Seterusnya secara langsung menerima persamaan sifat yang baik di kalangan bukan Islam, sama ada di kalangan keluarganya ketika di Makkah dan kalangan bukan Islam yang menerima Piagam Madinah dan berhubung juga dengan Kabilah Arab di luar Makkah dan Madinah, walaupun mereka itu masih menganut agama syirik.

Rasulullah S.A.W menerima konsep Tahaluf (bekerjasama) dengan pihak lain dalam menentang kezaliman tanpa meninggalkan perkara prinsip akidah Islam, sempadan syariat dan akhlaknya. Tahaluf diharamkan dan dibatalkan apabila tidak lagi menghormati perkara asas tersebut, melakukan perkara maksiat atau tindakan mencetuskan permusuhan dan mengundang apa sahaja keburukan.

Di Marhalah Makiyyah, Rasulullah S.A.W bersama keluarganya kalangan Bani Hasyim yang dipimpin oleh Abu Talib yang belum menganut Islam. Manakala Marhalah Madaniyyah pula, Baginda S.A.W menerima kaum bukan Islam dalam kalangan ahli kitab yang dimasukkan dalam Piagam Madinah yang terkenal menjadi contoh kontrak sosial masyarakat majmuk dalam satu negara.

Seterusnya membuka ruang kepada Kabilah Khuza’ah dan lain-lain yang berada di bloknya dalam perjanjian Hudaibiyyah dan mengiktiraf amal kebajikan Hatim Al-Toei pada masa jahiliah sehingga bertindak membebaskan kabilahnya yang belum Islam.

Kenyataan yang tegas meneruskan dakwah walaupun mereka tidak bersama lagi melindungi Rasulullah S.A.W ketika di Makkah. Bertindak membatalkan Suluh Hudaibiyah apabila Bani Bakar yang berada di blok Musyrikin memerangi Khuza’ah yang bernaung di bawah Negara Islam, sehingga menjadi sebab dilakukan Fathu Makkah.

Semua konsep hubungan dengan pihak lain seperti tahaluf, suluh, mujadalah, taawun dan lain-lain bertujuan untuk membuka pintu dakwah secara langsung atau tidak langsung kepada pihak lain, dengan syarat beristiqamah di atas akidah dan menuju matlamat menyampaikan Islam kepada pihak lain, supaya melihat secara langsung ajaran Islam yang diamalkan membawa kebaikan kepada seluruh manusia dan menolak segala kemungkaran walaupun dilakukan oleh bangsa arab dan keluarganya.

Menangani Politik Semasa

Al-Quran dan pelaksanaannya oleh Rasulullah S.A.W adalah petunjuk di sepanjang zaman sehingga Hari Kiamat. Maka ahli PAS hendaklah berpegang teguh dan istiqamah kepada Perlembagaan PAS yang menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai hukum tertinggi dan menjadi asas paling mulia dalam perlembagaannya, dan hendaklah mentafsirkannya dalam amalan politik semasa dengan teguh dan istiqamah, tanpa hanyut atau sesat daripada dasar dan matlamat Islamnya.

Semua keputusan melaksanakan pendekatan berdamai dengan pihak lain seperti Tahaluf yang pernah dilakukan beberapa kali dalam senario perjalanan PAS dirancang oleh pimpinan pusat dan dilaksanakan setelah diputuskan oleh dahulunya Dewan Ulama dan terkini pula Majlis Syura Ulama.

Keputusan telah dibuat juga dengan membatalkan Tahaluf bersama Pakatan Rakyat oleh Majlis Syura Ulama berdasarkan hukum Syariat, lalu dilaksanakan oleh PAS Pusat. Kini diperkenalkan pula konsep Ta’awun yang lebih terbuka dan tidak terikat dengan syarat-syarat yang lebih ketat seperti Tahaluf.

BPMS dan Ta’awun

PAS memilih pendekatan Muwajahah Silmiyyah (berdepan secara damai) dengan menyertai amalan demokrasi pilihan raya mengikut konsep keutamaan dalam dakwah dan jihad yang bertujuan menyelamatkan manusia bersama Islam, sama ada menganut Islam atau berada di bawah pemerintahan Islam tanpa menganutnya, tetapi melihat pelaksanaan Islam yang adil terhadap semua dan membawa rahmat kepada semua.

Sejarah merakamkan bahawa kalangan bukan Islam lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam. Maka penganut Islam yang berkhilaf hendaklah lebih wajib menegakkan kuasa pemerintahan Islam.

Cara menjauhkan diri daripada masyarakat atau menghalau bukan pendekatan yang bijak bagi menarik manusia kepada Islam. Semua para Rasul A.S diperintahkan oleh Allah supaya berhadapan dengan manusia, walaupun terhadap yang paling keras seperti Firaun.

Mereka berucap dengan bahasa yang lembut dan menarik, bukan dengan bahasa dan cara yang keras dan tindakan meliarkan walaupun terhadap mereka yang tidak ada harapan untuk mendapat hidayah, kerana kewajipannya hanya menyampaikan, adapun penerimaannya dengan sebab mendapat hidayah adalah urusan Allah.

Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) ditunjukkan oleh firman Allah S.W.T:

وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ (٣٣) وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ (٣٤) وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا الَّذِينَ صَبَرُوا وَمَا يُلَقَّاهَا إِلَّا ذُو حَظٍّ عَظِيمٍ(٣٥) وَإِمَّا يَنْزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّهِ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٣٦)

Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah (Islam), serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (33) Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara membalasnya melakukan yang paling baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (34) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (35) Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari syaitan, maka hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. (36)

(Surah Fussilat: 33-36)

Budaya bijaksana ini dilaksanakan oleh Rasulullah S.A.W dalam semua keadaan, ketika berdamai dan berperang, khususnya ketika mencapai kemenangan dalam keadaan paling kuat, sehingga Islam diterima dengan mudah dan cepat tersebarnya ke seluruh pelosok dunia.

Pengaruh Islam menembusi ke dalam masyarakat musuh, sehingga kuasa besar dunia yang zalim jatuh dengan pertolongan Allah dan musuh yang tidak didukung oleh masyarakat bangsa dan agamanya sendiri, apabila melihat perbandingan di antara pemerintahan Islam yang adil dengan kerajaannya sendiri.

Selain itu, ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W ketika operasi Perang Khaibar terhadap kaum Yahudi yang paling memusuhi Islam bahawa kejayaan mengIslamkan seorang musuh lebih afdal daripada menghapuskannya:

لأن يهدي الله بك رجلا واحدا خير لك من حمر النعم

“Demi sesungguhnya kejayaanmu menjadikan seseorang itu mendapat hidayah Allah (masuk Islam) lebih baik daripada kenderaan yang paling mahal harganya”

Kedatangan Islam di rantau ini juga secara damai, tidak seperti di tempat yang lain sehingga Islam juga berkembang di zaman penjajahan, walaupun penjajah itu membawa agenda menyebarkan agama Kristian yang dilindungi senjata dan harta kekayaan.

Hanya segelintir penduduk yang menganut agama penjajah, adapun yang telah Islam tetap bertahan walaupun dalam keadaan yang jahil agama, dikongkong kemiskinan dan buta huruf dan ramai terpengaruh dengan budaya Barat tetapi tetap cintakan Islam.

Perjuangan kita terkini ialah menyedarkan yang sudah Islam yang paling besar jumlahnya yang wajib memimpin kuasa politik negara dan ditambah dengan usaha mengIslamkan bukan Islam tanpa paksaan atau mereka menerima pemerintahan Islam melalui pilihan raya.

Pendekatan melalui penerangan dan pengajian sahaja tidak mencukupi, maka hendaklah disertai agenda menunjukkan Islam yang boleh diamalkan bersama pihak lain yang dinamakan Ta’awun yang lebih luas lapangannya daripada Tahaluf.

Ta’awun membolehkan kerja yang bersifat kebajikan yang diterima oleh semua pihak. Pelaksanaannya ialah ta’awun (bertolong menolong dalam perkara yang baik dan menentang segala kemungkaran). Pendekatan ini boleh dilaksanakan dalam semua keadaan sama ada menjadi pembangkang atau tidak semestinya kalau berkuasa memerintah negeri atau negara.

Di antara perkara yang telah dilakukan adalah pendirian berkecuali (tidak membangkang dan tidak juga menyokong) oleh MP dan Adun PAS terhadap Bajet dengan menjadi pembangkang yang tidak melulu, kerana di dalam Bajet itu ada perkara baik yang menjadi keperluan rakyat dan jentera kerajaan yang mengurus kehidupan secara umum dan menjaga keamanan dan keselamatan negara, namun kita tetap menentang dalam perkara kemungkaran seperti boros dan membazir dalam mengendalikan kewangan negara. Huraiannya ialah melalui penjelasan dalam perbahasan dewan.

Kejayaan awal membawa usul persendirian RUU 355 adalah hasil keterbukaan boleh berbincang, bukan sekadar berbahas dan berdebat sahaja. Contohnya juga ialah penglibatan jentera parti membantu mangsa bencana seperti banjir dan sebagainya, menjadikan kita bersama dengan jentera kerajaan. Amalan seperti ini sepatutnya tidak dipersoalkan lagi, tetapi ketidak matangan berpolitik mencetuskan suara-suara negatif terhadap parti Islam ini dalam perkara yang tidak sepatutnya diragukan.

Selain itu, bersama dalam membela Palestin dan Aqsa walaupun ada perbezaan sikap terhadap penyelesaian dua negara Palestin. Kejayaannya kini negara Malaysia tidak mengiktiraf negara haram Israel seperti negara umat Islam yang lain. Contohnya juga dapat bersama membela umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa kezaliman di tanah air sendiri.

Konsep Ta’awun mendekatkan PAS dengan masyarakat umum dan pihak lawan secara Muwajahah Silmiyyah yang menjadi konsep demokrasi. Walaupun masih ada banyak kelemahan dan salah laku dalam amalan demokrasi itu, tetapi hilangnya ketegangan dalam masyarakat telah memberi ruang yang lebih luas kepada PAS untuk bergerak lebih pantas yang wajib diatur dengan baik.

Khususnya kerjasama dalam perkara mempertahankan kedudukan Islam dan umat dalam arena politik negara adalah kewajipan yang wajib diketahui oleh setiap penganut Islam tanpa mengira kefahaman politik, termasuk orang Islam paling jahil. Ini adalah kewajipan umum yang wajib ditunaikan oleh setiap orang Islam.

Kedudukannya sama apabila negara diancam oleh musuh luar yang mahu menjajah semula. Oleh sebab itu, adalah haram bersama musuh itu dan wajib bersama menghadapinya dan mempertahankan agama dan negara walaupun kita tidak bersetuju dengan kerajaan yang ada.

Inilah sikap para ulama pada zaman awal Islam di era Amawiyyah dan Abasiyyah, walaupun mereka menanggung kezaliman kerajaan yang memerintah. Inilah pendekatan PAS ketika menuntut kemerdekaan, walaupun PAS menolak syarat-syarat kemerdekaan yang digariskan oleh penjajah sebelum mereka berundur. PAS tidak bersama dengan Komunis yang mengangkat senjata menentang penjajah dan menyokong ISA bagi menentang komunis itu. PAS juga tidak menerima syarat-syarat yang dibuat oleh penjajah.

PAS menentang tindakan yang lebih dikuasai oleh golongan kiri. Namun PAS tetap bersama merayakan kemerdekaan yang tidak sempurna dan menyertai Pilihan Raya Umum 1955, pra kemerdekaan, apabila PAS menjadi satu-satunya pembangkang yang berada dalam Majlis Mesyuarat sebelum merdeka dan terus menyertai pilihan raya selepas kemerdekaan kerana memilih pendekatan demokrasi walaupun menghadapi salah laku terhadapnya dalam masa pilihan raya dan dijatuhkan kerajaannya setelah menang di Kelantan dan Terengganu.

PAS bersedia menyertai Kerajaan Campuran selepas 13 Mei 1969 dan menubuhkan BN 1974 demi menyelamatkan negara dalam keadaan darurat, sehingga bersendirian selepasnya kerana perilaku zalim ke atas PAS, namun terus menjadi Harakah Islamiyyah yang semakin kuat walaupun di tempat tidak ada kerusi melalui pilihan raya.

Ketegasan PAS beristiqamah bersama Islam di masa pasang dan surut, di masa menang dan kalah pilihan raya, namun tetap tidak menyerah kalah dalam perjuangannya menegakkan Islam yang sempurna, laksana pokok yang bertambah subur kalau dicantas dan dipatahkan rantingnya.

Inilah firman Allah:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ٢٤ تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ (٢٥) وَمَثَلُ كَلِمَةٍ خَبِيثَةٍ كَشَجَرَةٍ خَبِيثَةٍ اجْتُثَّتْ مِنْ فَوْقِ الْأَرْضِ مَا لَهَا مِنْ قَرَارٍ (٢٦) يُثَبِّتُ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا بِالْقَوْلِ الثَّابِتِ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَفِي الْآخِرَةِ وَيُضِلُّ اللَّهُ الظَّالِمِينَ وَيَفْعَلُ اللَّهُ مَا يَشَاءُ (٢٧)

“Tidakkah engkau melihat (Wahai Muhammad S.A.W) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. (24) Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). (25) Dan bandingan kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. (26) Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-Nya. (27)”

(Surah Ibrahim: 24-27)

Perhatikan kalangan yang tidak bersama PAS atau keluar PAS kerana menentang pendekatan yang telah diambil sejak dahulu, sama ada bertindak melompat ke dalam kerajaan yang dirasakan lebih selesa dan cepat mendatangkan hasil kebendaannya atau yang menubuhkan parti lain dan menjadikan PAS tempat persinggahannya sahaja kerana dianggap mustahil mendapat kemenangan bersama PAS.

Adapun PAS makin bertambah ahli, cawangan dan kawasannya sehingga berlipat kali ganda daripada yang gugur berciciran dalam perjalanannya menegakkan Islam sehingga kini, walaupun PAS menolong setiap orang yang dikeluarkan daripada lawannya.

Ini menandakan betapa istiqamah menjadi rahsia ketahanan PAS dan hubungannya dengan pihak lain tidak pernah merugikan. Mereka yang dapat meneruskan perjuangan bersama PAS hanya yang berwala’ dan taat kepada keputusan jemaah ini.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 9 Jamadil Akhir 1439 / 25 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 25/2/2018

SEMUA pihak dan semua kaum dalam masyarakat majmuk di negara ini menerima suasana harmoni sehingga kini yang perlu ditingkatkan, bukan melemahkannya. Inilah konsep positif yang ada dalam masyarakat Melayu beragama Islam, sehingga sejahil-jahil kampung Melayu boleh menerima kaum lain kalangan bukan Islam di tengah masyarakat Melayu. Walaupun hanya satu keluarga dan sebuah kedai runcit, bukan Melayu boleh hidup di tengah kampung padat Melayunya sejak zaman berzaman. 

Adapun yang menganut Islam pula dianggapnya masuk Melayu, kerana inilah kesan ajaran Islam yang ada dalam diri mereka, walaupun Islam itu adalah agama bukannya bangsa. Bukan Melayu dan bukan Islam pula sanggup bergaul dan bercakap Bahasa Melayu walaupun pelat tanpa nahunya tetapi tetap bermesra dan bersaudara. Sehingga ada yang berbudaya Melayu walaupun dikekalkan bangsa dan agamanya yang tidak Islam.

Ketika berlakunya Peristiwa 13 Mei 1969, negeri paling tenang dan aman adalah Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Negeri yang banyak pengajian Islam dan paling padat Melayunya. Ini menunjukkan sejahil-jahil mereka tetap memelihara adab yang diajarkan oleh Islam dan cara hidup bermasyarakat majmuk terhadap penganut agama lain. Al-Quran mendidik umat Islam bahawa manusia adalah keluarga besar walaupun berbagai agama dan bangsa. Semuanya daripada Adam dan Hawa. Firman Allah:

 

يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ

أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ (١٣)

 

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan (Adam dan Hawa) dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku kaum supaya kamu bertaaruf (berkenal-kenalan dan saling berhajat antara satu dengan yang lain mengikut konsep bermasyarakat majmuk dan madani). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

(al-Hujurat: 13) 

Konsep hubungan kekeluargaan manusia diwujudkan bersama konsep dakwah Islam kepada seluruh alam, tanpa paksaan terhadap agama lain, dan mengekalkan bangsa dan budaya masing-masing yang sinonim dengan makna Islam itu sendiri ialah menyerah diri secara ikhlas kepada ajarannya.

Pendekatan cara paksaan adalah membatalkan keikhlasan dan menimbulkan ketegangan. Walaupun wajib berdakwah mengajak manusia semuanya kepada Islam, namun Islam konsisten mewajibkan adil dan memberi hak terhadap semua kaum dan agama dalam masyarakat majmuk dan masyarakat madani.

Adalah menjadi hak yang wajib kepada penganut Islam yang menjadi masyarakat awal dan bersifat dominan dalam negara ini, menegaskan Islam menjadi agama negara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Dalam masa yang sama diberi hak yang adil kepada agama lain yang wajib diamalkan. 

Inilah keputusan yang saksama di awal kemerdekaan berasaskan persetujuan secara demokratik dalam Pilihan Raya Umum Pra Kemerdekaan pada tahun 1955 yang melibatkan Parti Perikatan (Umno, MCA, MIC) dan PAS satu-satunya parti pembangkang yang ada kerusi. Parti-parti yang lain belum lagi dilahirkan. PAS bersama berjuang kemerdekaan daripada penjajah, walaupun berbeza dari segi dasar dan konsep negara, serta berbeza dari segi beberapa pendekatan, namun sama-sama bersetuju menghalau penjajah.

Ketegangan yang mencetuskan Peristiwa 13 Mei 1969 apabila adanya parti yang berlumba menjadi juara fanatik perkauman sehingga mencetuskan ketegangan. Kini ada parti yang ingin meneruskan lagi cara lama yang usang dan tidak patut diulang lagi. 

Mereka bertahan dengan pengundi bukan Islam tanpa menghormati sensitiviti umat Islam, cuba menghidupkan ketegangan agama dan kaum, namun tanpa berpegang kepada apa-apa agama, tetapi menjadikan Islam adalah sasarannya. Caranya tidak konsisten, sama ada ia beragama, berkaum atau tidak atau pragmatik oportunis.

Tindakan parti itu paling lantang dan ke hadapan menentang PAS dalam segala usahanya bagi melaksanakan Islam, walaupun dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan penganut bukan Islam. 

Contohnya yang paling berani ialah supaya mengisytiharkan Malaysia adalah negara sekular, berani mencabar ajaran Islam yang sempurna dan menjadi penghalang tegas terhadap usaha PAS memperjuangkan negara Islam secara demokrasi. Cara tersebut menunjukkan langkahnya lantang menyekat perjalanan Islam sehingga kelantangannya terkini lebih daripada sebelumnya, apabila berani menyentuh Perlembagaan Persekutuan dalam perkara Islam, Raja Berperlembagaan, Hak Istimewa Bumiputera dan lain-lain. 

Pendekatannya memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ke arah melarutkan kaum dan bangsa serta bahasanya yang sudah menjadi tabii manusia. Cara politik parti itu boleh juga disebut sebagai konsep luar tabii yang mahu memaksa keadaan yang ada selama ini.

Penentangan terbuka terhadap RUU 355 juga adalah langkah yang nyata tidak menghormati hak penganut Islam yang berpegang teguh dengan ajaran agamanya. Parti itu ingin menjadi juara memaksa kalangan bukan Islam supaya bersamanya.

Mereka juga mengambil kalangan penganut Islam yang sanggup menjadi topengnya atau yang bersedia diperalatkan. Namun mereka tetap tidak mampu menyorokkan wajahnya yang sebenar. Topeng juga tidak kukuh dan boleh terkoyak dan dirobekkan bila-bila masa.

Umat Islam tidak sepatutnya dipermainkan, sehingga sekadar dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi penganutnya tidak berhak beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain berhak beramal dengan agama mereka.

Kedudukan konsep Raja Berperlembagaan yang dijadikan syiar ketua agama juga dipermain-mainkan. Walaupun ada kelemahan manusianya, tetapi bukan tempat untuk dipermain-mainkan, kerana sepatutnya diperkasakan dengan mengatasi kelemahan manusia, bukan mencari kelemahan untuk dijatuhkan dan merampas kuasanya yang ada. 

Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا أرَادَ اللهُ بِالأَمِيرِ خَيْراً، جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ صدقٍ، إنْ نَسِيَ ذَكَّرَهُ، وَإنْ ذَكَرَ أعَانَهُ، وَإِذَا أرَادَ بِهِ غَيْرَ ذَلِكَ جَعَلَ لَهُ وَزِيرَ سُوءٍ، إنْ نَسِيَ لَمْ يُذَكِّرْهُ، وَإنْ ذَكَرَ لَمْ يُعِنْهُ.

رواه أَبُو داود بإسنادٍ جيدٍ عَلَى شرط مسلم . رياض الصالحين (تحقيق الدكتور الفحل) (1/ (383.

 

Apabila Allah menghendaki kepada raja itu baik, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang baik. Sekiranya dia terlupa, nescaya diperingatkannya. Sekiranya dia ingat, nescaya ditolongnya. Sekiranya Allah menghendaki kepada raja itu keburukan, nescaya dijadikan bersamanya menteri yang jahat. Sekiranya dia terlupa, nescaya tidak diperingatkan. Sekiranya dia ingat tidak ditolongnya pula

 Dalam masa yang sama, parti itu menyokong pesta arak, hiburan dan gaya hidup bebas yang ditentang oleh semua agama yang menjaga moral manusia. Walaupun agama itu syirik aqidahnya, tetapi tetap sama dari segi menerima akhlak yang mulia, seperti tidak meminum arak, tidak berjudi, melarang pergaulan bebas dan sebagainya. Sepatutnya titik persamaan ini sama-sama dihidupkan, tetapi sengaja dilemahkan semata-mata kerana kepentingan mendapat sokongan politik untuk mendapat kuasa, tanpa perhitungan baik dan buruk, aman dan huru-hara. 

Mereka juga menyatakan tidak senang terhadap beberapa perkara yang membela Melayu dan Bumiputera yang dipinggirkan sejak zaman penjajah dan masih terkebelakang selepas kemerdekaan, tanpa dinafikan pembelaan terhadap kaum lain yang bermasalah, namun Melayu dan Bumiputera paling ramai miskin. Sikap tidak senang ini juga boleh menghilangkan keharmonian masyarakat majmuk.

 Rakyat bukan Islam hendaklah menolak parti itu demi keselamatan semua. Adapun umat Islam diharamkan dengan sekeras-kerasnya sama ada menjadi ahli, penyokongnya atau alatnya, termasuk menjadikannya rakan setia untuk perjuangan partinya apabila nyata sikapnya terhadap Islam, sehingga Allah memberi amaran yang keras dan menjadikannya sebahagian daripada sifat munafik. 

Firman Allah:

بَشِّرِ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ بِأَنَّ لَهُمۡ عَذَابًا أَلِيمً (١٣٨) ٱلَّذِينَ يَتَّخِذُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۚ أَيَبۡتَغُونَ عِندَهُمُ ٱلۡعِزَّةَ فَإِنَّ ٱلۡعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعٗا (١٣٩) وَقَدۡ نَزَّلَ عَلَيۡكُمۡ فِي ٱلۡكِتَٰبِ أَنۡ إِذَا سَمِعۡتُمۡ ءَايَٰتِ ٱللَّهِ يُكۡفَرُ بِهَا وَيُسۡتَهۡزَأُ بِهَا فَلَا تَقۡعُدُواْ مَعَهُمۡ حَتَّىٰ يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيۡرِهِۦٓ إِنَّكُمۡ إِذٗا مِّثۡلُهُمۡۗ إِنَّ ٱللَّهَ جَامِعُ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ وَٱلۡكَٰفِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا (١٤٠ )

 

Sampaikanlah khabar berita kepada orang-orang munafik: Bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya; (138) (Iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir (yang bermusuh) itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya ialah milik Allah (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya). (139) Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: Apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahannam. (140)  

(an-Nisa’: 138-140) 

 Allah telah menurunkan wahyu al-Quran apabila seorang Sahabat bernama Hatib bin Abi Baltaah R.A, seorang ahli Badar yang mendapat tempat istimewa di sisi Allah kerana dia menyampaikan maklumat kepada musuh Islam semata-mata kerana ingin menjaga keluarganya di Makkah supaya tidak diganggu. 

 Allah berfirman:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَتَّخِذُواْ عَدُوِّي وَعَدُوَّكُمۡ أَوۡلِيَآءَ تُلۡقُونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَقَدۡ كَفَرُواْ بِمَا جَآءَكُم مِّنَ ٱلۡحَقِّ يُخۡرِجُونَ ٱلرَّسُولَ وَإِيَّاكُمۡ أَن تُؤۡمِنُواْ بِٱللَّهِ رَبِّكُمۡ إِن كُنتُمۡ خَرَجۡتُمۡ جِهَٰدٗا فِي سَبِيلِي وَٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِيۚ تُسِرُّونَ إِلَيۡهِم بِٱلۡمَوَدَّةِ وَأَنَا۠ أَعۡلَمُ بِمَآ أَخۡفَيۡتُمۡ وَمَآ أَعۡلَنتُمۡۚ وَمَن يَفۡعَلۡهُ مِنكُمۡ فَقَدۡ ضَلَّ سَوَآءَ ٱلسَّبِيلِ ( ١)

 

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah S.A.W dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Makkah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul. 

(al-Mumtahanah: 1) 

 

Dalam surah ini juga, Allah menetapkan bahawa tidak menjadi salah mengadakan hubungan yang baik dan wajib berlaku adil kepada kalangan bukan Islam yang tidak bermusuh terhadap Islam dan penganutnya. Firman-Nya:

لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ (٨

 

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.

 (al-Mumtahanah: 8 )

 Hatib bin Abi Baltaah R.A terus bertaubat dengan ikhlas kerana Allah tanpa merasa marah atau berkecil hati terhadap teguran yang keras daripada Allah dan Rasulullah S.A.W.

Al-Quran adalah petunjuk sepanjang zaman dan mukjizat ilmu yang berterusan sehingga Hari Kiamat. Maka wajiblah kalangan yang bersekongkol dengan parti yang nyata menentang Islam dan bersekongkol bersamanya sehingga berani melakukan apa sahaja yang menghalang cita-cita Islam atau berbelit-belit di jalanan politiknya, supaya kembali ke pangkal jalan.

Umat Islam boleh berbeza pendapat dalam perkara cabang, namun diharamkan berpecah dalam perkara dasar, menyentuh aqidahnya dan mengancam kedaulatan Islam. Kalangan bukan Islam pula wajib menolak rakan mereka yang tidak bermasyarakat madani dan majmuk yang mengancam keharmonian antara kaum dan agama.  

 “Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Bertarikh: 8 Jamadil Akhir 1439 / 24 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 24/2/2018

 

SAYA tidak perlu cerita panjang. PAS pernah memerintah tahun 1999. Saya dilantik menjadi Menteri Besar masa itu, banyak benda yang kita buat. Di antaranya ialah kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman. Rumah kediaman tempat duduk di kawasan bandar dihapuskan.

Yang kena bayar cukai ialah hotel, rumah perniagaan sahaja. Walaupun kita tahu penduduk kawasan bandar banyak orang Cina, mereka lebih banyak merasai bagaimana kita hapuskan cukai pintu rumah kediaman. Kerana rumah kediaman adalah rukun hidup manusia, mesti ada rumah. Kita hapus cukai peniaga-peniaga kecik kita hapuskan. Kita beri geran tanah kepada rakyat tidak kira kaum apa termasuk orang Cina.

Di sana ada Kampung Baru Cina di Bukit Berangan, Batu Lima Dungun, di Air Puteh Kemaman, mereka dikurung oleh British dulu di situ. Walaupun kita sudah merdeka, kerajaan tak beri geran tanah sehingga kita memerintah, kita beri geran tanah kepada mereka. Dan kita bantu sekolah-sekolah rakyat termasuk sekolah Cina, sekolah Tamil, kita tolong, ini kerana hak pelajaran, hak pendidikan adalah hak semua manusia menggunakan bahasa dia.

Barangkali tuan-tuan masih ingat bila kita buat banyak perkara ini, kerajaan pusat rampas minyak, rampas royalti minyak petroleum kerana nak cekik, nak halang kita buat benda-benda yang begini. Walaupun demikian kita boleh memerintah sehingga lima tahun. Caranya ialah kita naikkan cukai orang-orang kaya, cukai balak, cukai kilang, cukai orang kaya kita naik, cukai pintu terus kita tak kenakan. Ini cara pemerintahan kita.

Islam mengajar kita kerana PAS ini parti Islam, walaupun kita berbeza agama, berbeza bangsa, manusia semua adalah satu keluarga. Manusia asal daripada Adam dan Hawa, ayah dan ibu yang satu. Kemudian jadi macam-macam bangsa, dan manusia tak boleh hidup bangsa masing-masing, puak masing-masing, mesti ada hubungan tolong menolong di antara satu sama lain. Ada bangsa yang bercucuk tanam, ada bangsa yang berniaga, ada bangsa jadi tukang besi, jadi kilang, macam-macam. Barulah kita boleh hasil pakaian, makanan, dan sebagainya. Walaupun kita berbeza dari segi ajaran agama, halal dan haram, tetapi hak hidup sebagai rakyat tidak ada beza, mesti dilayan dengan adil. Ini pemerintahan yang kita nak perkenalkan kepada rakyat.

Kalau kita diberi kuasa lagi memerintah, banyak lagi benda yang kita akan buat, yang kita akan tunaikan. Dan Islam mengajar pengikut-pengikut dia hat ini orang Islam sungguh bukan Islam tak sungguh, bukan Islam pelawok, Islam yang sungguh-sungguh, di mana saudara kaum Cina, kaum India, merasai bagaimana mereka boleh hidup di kampung Melayu. Boleh berkedai di kampung Melayu, boleh hidup kedai satu keluarga orang Cina, di mana sahaja di tengah kampung Melayu, di Kelantan, di Terengganu, di Kedah, di Perlis.

Ketika berlakunya huru-hara kaum 13 Mei, Terengganu tak ada 13 Mei, Kelantan tak ada 13 Mei, Kedah tak ada 13 Mei. Huru-hara berlaku di Pulau Pinang, berlaku di Singapura, bergaduh kaum. Tempat yang orang Islam sungguh-sungguh pegang dengan Islam tak ada gaduh dan tak ada huru-hara.

Hari ini PAS dalam memperkenalkan kepada rakyat cara politik baru, politik, Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Politik kita boleh berbalah, boleh berkelahi tapi tak boleh berperang, tak boleh bergaduh. Beza pendapat boleh, tetapi bergaduh tidak boleh. Kita nak halang segala sebab-sebab yang boleh menimbulkan pergaduhan. Ini yang kita nak perkenalkan kepada rakyat.

Kita cuba di Kelantan, cuba di Terengganu, cuba di Kedah, tapi kita tak dapat kuasa yang lebih. Kalau boleh kita nak kuasai sampai kerajaan pusat. Dalam pilihan raya ini PAS akan bertanding 130 kerusi, PAS akan bertanding 130 kerusi. Kerana untuk memerintah negara, kita memerlukan 112 kerusi. 130 kerusi kita akan bertanding. Kalau menang 112, PAS boleh memimpin negara, ini benda yang kita nak akan buat, kita akan lakukan.

Maka kaum Cina, kita minta supaya memberi kepercayaan kepada PAS pula, terus beri kerajaan kepada kita, bukan sahaja Terengganu, kita nak sampai ke peringkat Malaysia. Kita mahu menjadi parti yang kuat, parti yang gagah, yang boleh menghalang orang nak buat huru-hara dan nak buat kacau dalam negeri kita ini.

(Transkrip oleh Pengarang HarakahDaily, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Presiden PAS dalam Jamuan sempena Tahun Baharu Cina 2018 bersama Presiden PAS pada petang tadi di hadapan pejabat penyelaras Parlimen PAS Kuala Terengganu) - HARAKAHDAILY 22/2/2018

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

“(Kata Allah) Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (dalam menghadapi diri kamu sendiri. Dan bersabarlah kamu dalam perjuangan menghadapi musuh-musuh kamu). Dan bertugaslah kamu (di mana sahaja kamu diletakkan). Dan bertakwalah kamu kepada Allah (dengan mengikut perintah-Nya dan meninggal larangan-Nya) supaya kamu mendapat kemenangan (di dunia dan kemenangan di hari akhirat).”

(ali-‘Imran: 200)

Terlebih dulu kita bersyukur kepada Allah S.W.T yang telah memilih kita dengan petunjuk-Nya bersama dengan Parti Islam Se-Malaysia PAS yang ditubuhkan oleh ulama-ulama dan pemimpin Islam tahun 1951. Setelah diharamkan Hizbul Muslimin, diharamkan Sarekat Islam, diharamkan perjuangan Islam di zaman penjajah.

Tujuan ditubuhkan PAS ialah untuk mengumpulkan umat Islam seramai-ramainya supaya memenangkan pemimpin-pemimpin yang ditugaskan untuk mendirikan kerajaan Islam. Kerana mendirikan kerajaan Islam ini satu kewajipan yang sangat besar yang tak boleh dipandang ringan.

Besarnya kewajipan ini sehingga apabila wafatnya, matinya Nabi Muhammad S.A.W, setelah para sahabat menyembahyangkan jenazahnya, sembahyang masing-masing tidak ada imam, kerana tidak ada siapa yang layak jadi imam untuk sembahyang jenazah Nabi S.A.W. Sembahyang masing-masing, muslimin-muslimat, Muhajirin Ansar, keluarga Nabi, budak-budak yang boleh sembahyang. Kemudian ketika nak ditanamkan jenazahnya, hanya beberapa orang sahabat sahaja yang ada bagi menyelesaikan penanaman jasad Nabi S.A.W. Semua yang lain ramai-ramai berhimpun di Saqifah Bani Sa’idah. Hari ini jadi tempat cetak Quran di Madinah.

Mereka berhimpun di situ tujuannya untuk memilih siapakah yang akan jadi ketua kerajaan menyambung kerajaan Islam yang diajar oleh Nabi S.A.W mengikut al-Quranul Karim. Ada tiga calon. Keluarga Nabi mencalonkan Saidina Ali Bin Abi Talib K.W.J. Orang Madinah mencalonkan Sa’ad Bin Ubadah R.A. Kalangan Muhajirin sahabat-sahabat yang berhijrah yang lain mencalonkan Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A. Bila mereka mendengar Hadis Nabi S.A.W yang dibaca:

الأئمة من قريش

“Pemimpin (hendaklah dipilih) daripada Quraisy”

Quraisy ialah Kabilah Arab yang paling ramai sekali jumlahnya dan paling kuat. Lalu mereka semua bersetuju memilih Saidina Abu Bakar as-Siddiq R.A. Ini adalah Pilihan Raya Umum memilih siapa menjadi pemimpin negara. Menunjukkan betapa wajibnya perkara ini sehingga lebih besar daripada menanam jasad Nabi S.A.W.

Hari ini orang kita buat main-main dalam masalah mengundi pilihan raya ini kerana mereka tak tahu bahawa mendirikan kerajaan Islam adalah kewajipan yang besar di dalam ugama Islam. Pendakwah-pendakwah dan ulama-ulama yang bawa Islam ke Tanah Melayu bukan sekadar mengajar mengucap dua kalimah syahadah, bukan sekadar sembahyang, puasa, zakat, haji, mereka juga mendirikan kerajaan Islam.

Di Negeri Terengganu ada batu bersurat. Batu bersurat ini ditulis di atasnya hukum-hukum Islam yang diamalkan oleh kerajaan Terengganu di masa itu. Oleh kerana kita lama dijajah, banyak orang kita tak tahu dalam perkara ini, maka menjadi satu kesulitan, payah kepada PAS untuk mengajak orang Islam menyokong perjuangannya.

Banyak orang Islam tenggelam di dalam kejahilan. Dalam pilihan raya tahun 1955 sebelum kita merdeka, pilihan raya yang pertama, PAS bertanding dalam lapan kerusi sahaja, lapan calon daripada 52 kerusi. Menang satu. Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin di Kerian Laut Perak satu kerusi saja menang. 51 lagi daripada Umno, MCA dan MIC. Dengan satu kerusi yang kita menang ini PAS telah berjaya berdakwah melalui memorendum kepada Suruhanjaya Reid yang ditubuh oleh orang putih supaya meletakkan Islam adalah ugama kepada Tanah Melayu, ugama rasmi.

Walaupun satu kerusi, kita telah berjaya meletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama persekutuan, dalam masa yang sama kita tidak ganggu penganut-penganut ugama lain. Inilah yang diajar oleh Quran yang diajar oleh Nabi S.A.W. Penganut-penganut ugama lain tunduk di bawah kerajaan Islam. Biar mereka tengok adil dan baiknya Islam ini. Lepas merdeka tahun 1959, pilihan raya. Negeri Terengganu negeri yang pertama menang, negeri yang pertama PAS menang ialah Terengganu. Lepas itu baru Kelantan. Pada masa itu pilihan raya dibuat peringkat negeri, tidak sekali gus. Start dengan Perlis, PAS tak menang, tak ada satu kerusi pun.

Kedah, PAS tak menang satu kerusi pun. Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, PAS tak menang satu kerusi pun. Sampai giliran Terengganu PAS menang 13 kerusi daripada 24 kerusi. Umno enam kerusi, MCA satu kerusi, Parti Negara empat kerusi. PAS 13 kerusi. Lepas itu barulah orang Kelantan naik semangat, Kelantan kita menang 28 daripada 30 kerusi. Oleh kerana kita menang sikit di Terengganu apabila wakil rakyat kita diculik, dibawa pelari, wakil rakyat kita ada yang kena beli. Tahun 1961, kerajaan PAS Terengganu jatuh melalui undi tidak percaya. Kita boleh bertahan di Kelantan. Kelantan kita ambil balik setelah jatuh tahun 1979.

Apabila tahun 1973 selepas berlakunya peristiwa 13 Mei, berperang Melayu Cina di Kuala Lumpur, di Pulau Pinang, kerajaan mengisytiharkan darurat, isytihar darurat. Dalam keadaan darurat ini, PAS diajak menyertai kerajaan. Maka PAS buat Muktamar, Dewan Ulama kita bermesyuarat. Kita setuju masuk kerajaan dengan lapan syarat. Yang penting ialah tiga syarat, yang pertama kita tidak terikat dengan Parti Perikatan, kita parti yang tersendiri. Yang kedua diberi peluang untuk melaksanakan Islam dalam kerajaan. Yang ketiga PAS bebas berdakwah mengajar di Kementerian-kementerian, pejabat kerajaan, Universiti-universiti. Tiga syarat yang penting.

Akhirnya Tun Razak Perdana Menteri masa itu terima syarat itu. Dan kita masuk kerajaan. Masa kita masuk kerajaan, berlakulah kesedaran, kesedaran Islam di pejabat-pejabat kerajaan, Universiti-universiti. Pegawai-pegawai yang bertugas di zaman British banyak pencen lepas seorang-seorang pencen. Pelajar-pelajar Universiti yang baru lulus mengambil alih pentadbiran kerajaan menyebabkan pengaruh Islam masuk dalam jentera kerajaan.

Di sini merisaukan kalangan-kalangan yang tak setuju dengan Islam. Antara yang tak setuju dengan Islam ini ialah Dr Mahathir, hidup lagi dia. Ini tak setuju kesedaran Islam. Berlaku pertembungan yang berakhir dengan diisytiharkan darurat di Kelantan. Dan PAS dipecat daripada Barisan Nasional kita bergerak sendiri, menang puak-puak yang tak setuju dilaksanakan Islam ini dalam Umno. Maka berlaku pertembungan yang dahsyat. Walau bagaimanapun kita sudah berjaya dalam tahun 1957, tahun 60-an, masa itu banyak suara-suara menghinakan Islam. Kalau memerintah dengan Islam banyak orang kudung tangan, kena kerat tangan. Memerintah dengan Islam tak cukup batu nak buat jalan raya. Memerintah dengan Islam tak cukup batu nak buat bangunan, menghina Islam kerana mereka jahil, mereka tak tahu.

Bila kita masuk kerajaan 1974, 1973, 1974, kefahaman Islam mula ada dalam jentera kerajaan. Akhirnya suara-suara menghina Islam ini makin lama makin koho, makin lama makin senyap. Dan hari ini orang tak berani kalau dia nak bercakap politik suku ugama suku. Tak berani lagi nak hina hukum Islam, suara tidak kuat lagi. Tetapi cita-cita untuk melaksanakan Islam itu masih dihalang.

Kita memerlukan wakil rakyat yang ramai sama ada di Parlimen ataupun Dewan Negeri. Kita balik semula di Kelantan tahun 1990, kita perintah Kelantan. 1999 kita menang di Terengganu. Masa kita menang di Kelantan dan Terengganu, kita luluskan syariat Islam melalui Dewan Negeri. Tetapi mendapat tentangan daripada kerajaan pusat.

Apabila Perdana Menteri tulis surat kepada al-Marhum Tuan Guru Nik Aziz, sekiranya Kerajaan Kelantan melaksanakan syariat Islam kerajaan pusat akan bertindak. Terengganu dibawa ke mahkamah untuk halang melaksanakan syariat. Oleh kerana perjuangan kita bukan perjuangan Terengganu Kelantan sahaja, perjuangan kita seluruh Malaysia, bukan Terengganu Kelantan sahaja. Kita sebahagian daripada Malaysia. Maka kita mengambil kira seluruh negeri yang ada di Malaysia ini supaya kita mendapat kerusi yang sebanyak-banyaknya.

Dalam pilihan raya ini, di peringkat pusat, kita berusaha supaya kita bertanding 130 kerusi daripada 222 kerusi. Kalau kerusi kita lebih, kita boleh bentuk kerajaan. Kalau kerusi kita sekadar 40 kerusi, tidak ada parti yang boleh bentuk kerajaan. Umno tak boleh bentuk kerajaan, DAP tak boleh bentuk kerajaan, siapa tak boleh bentuk kerajaan. Kalau kita dapat 40 kerusi, parti lain akan dapat kerusi-kerusi dia.

40 kerusi ini sudah cukup bagi PAS untuk menekan parti-parti lain sama ada menerima Islam ataupun tidak. Bermakna kita ada kekuatan dengan 40 kerusi. Kita akan usaha dapat 40 kerusi di peringkat Parlimen. Dan kita usaha untuk mempertahankan Kelantan. Berusaha untuk menang lagi di Terengganu, menang di Kedah, menang di Perlis dan menang di Selangor. Ini kita akan usahakan. Kalau kita mendapat kejayaan, insyaa Allah kita tunjuk dulu apa dia adilnya Islam dan baiknya Islam ini khusus kepada orang bukan Islam dan menyedarkan orang Melayu sendiri bagaimana wajibnya mereka balik kepada Islam. Islam menyelamatkan mereka di dunia sehingga hari akhirat.

Maka untuk kita menang di Terengganu, kerusi yang kita dah menang, Bukit Payong, kita dah menang mesti pertahankan, mesti menang juga. Termasuk kerusi yang menang tempat lain kena menang lagi. Dan tambah dua tiga empat kerusi lagi insyaa Allah kita boleh memerintah Negeri Terengganu sekali lagi. Kita jangan lupa masa kita memerintah tahun 1999, kita telah meluluskan undang-undang diri Negeri Terengganu. Hukum yang paling tinggi Quran, Hadis, Ijma Ulama, dan Qias.

Di mana apa yang kita buat ini, Umno tak berani nak hapus, masih ada lagi sekarang. Cuma tak boleh nak berjalan kalau kita tak menang. Kena kita menang baru boleh berjalan, boleh kita sambung balik. Maka perjuangan kita dalam pilihan raya ini sangat besar maknanya, besar ertinya untuk mengembalikan semula Islam ini memerintah menyelamatkan kita dunia sehingga hari akhirat.

(Transkrip oleh Pengarang HarakahDaily, IZWAN ABDUL HALIM dari Ucapan Presiden PAS dalam Ceramah Perdana sempena Majlis Pelancaran Markas Besar Dun Bukit Payong pada 13 Februari 2018 di Perkarangan MDI, Titian Baru/Kedai Buloh, Marang)

SABDA Rasulullah S.A.W:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ تَسُوسُهُمُ الأَنْبِيَاءُ، كُلَّمَا هَلَكَ نَبِيٌّ خَلَفَهُ نَبِيٌّ، وَإِنَّهُ لاَ نَبِيَّ بَعْدِي، وَسَيَكُونُ خُلَفَاءُ فَيَكْثُرُونَ. قَالُوا: فَمَا تَأْمُرُنَا؟ قَالَ: فُوا بِبَيْعَةِ الأَوَّلِ فَالأَوَّلِ، أَعْطُوهُمْ حَقَّهُمْ، فَإِنَّ اللَّهَ سَائِلُهُمْ عَمَّا اسْتَرْعَاهُمْ

(صحيح البخاري 4/ 169)

Kaum Bani Israel pada zaman dahulu pemimpin siasah (politik) mereka ialah para Anbia. Setiap nabi wafat digantikan nabi selepasnya. Tidak ada lagi nabi selepasku (Muhammad S.A.W). Namun adanya para khalifah (pemimpin di kalangan umatku). Jumlah mereka ramai. Mereka (para sahabat) bertanya: Maka apakah perintahmu kepada kami (yang wajib kami lakukan?) Sabdanya: Tunaikan yang pertama dilakukan bai’ah dan yang berikutnya. Berikan hak yang wajib ditunaikan terhadap mereka. (Sebenarnya) Allah akan menyoal mereka (di Hari Kiamat nanti) daripada apa sahaja kewajipan yang diwajibkan supaya mereka menunaikannya).”

(Sahih al-Bukhari)

Hadis ini menafsirkan bahawa kewajipan khalifah yang bermaksud siasah (politik) adalah satu daripada tujuan manusia diciptakan oleh Allah dan kewajipan itu dimaterikan dengan baiah. Ditegaskan dalam firman Allah S.W.T:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

[البقرة: 30]

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan melakukan kejahatan dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya".”

(al-Baqarah: 30)

Inilah di antara peranan makhluk manusia dengan sifat fitrahnya boleh menunaikan kewajipan itu, kerana asal kejadiannya mempunyai jasad, roh, akal, bersendirian dan bermasyarakat. Ciri-ciri ini tidak ada pada makhluk lain, walaupun para malaikat yang paling mentaati Allah dan bersih daripada maksiat.

Apa yang dimaksudkan dengan khalifah itu adalah memimpin dan mentadbir iaitu daripada perkataan ‘siasah’ dalam Bahasa Arab dan maknanya ‘politik’ dalam bahasa yang lain. Mengikut istilah Islam, khalifah adalah siasah atau politik mentadbir urusan dunia dengan Islam.

Al-Quran memaparkan cerita benar, bahawa semua para Rasul berdakwah dan berpolitik menghadapi rakyat dan kerajaan pada zaman masing-masing. Para Rasul itu juga mengumpulkan pengikut bagi membentuk jamaahnya yang diikat dengan bai’ah kepada kumpulan yang berjuang bersamanya supaya rakyat menerima Islam dan meminta kerajaan memerintah dengan syariat Allah (Islam) di zaman masing-masing.

Nabi Nuh, Nabi Ibrahim, Nabi Hud, Nabi Soleh, Nabi Musa A.S dan lain-lain berdakwah, mengumpul rakyat dan berdepan dengan para pemimpin di zamannya supaya beriman kepada Allah sahaja dan menolak syirik dalam ibadat serta beramal dengan syariat Allah dalam urusan kehidupannya.

Nabi Daud A.S menjadi khalifah dan Nabi Sulaiman A.S pula menjadi raja yang memerintah dengan beriman kepada Allah dan beramal dengan syariat-Nya. Firman Allah S.W.T menceritakan kisah Nabi Isa A.S:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا أَنْصَارَ اللَّهِ كَمَا قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ لِلْحَوَارِيِّينَ مَنْ أَنْصَارِي إِلَى اللَّهِ قَالَ الْحَوَارِيُّونَ نَحْنُ أَنْصَارُ اللَّهِ فَآمَنَتْ طَائِفَةٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَكَفَرَتْ طَائِفَةٌ فَأَيَّدْنَا الَّذِينَ آمَنُوا عَلَى عَدُوِّهِمْ فَأَصْبَحُوا ظَاهِرِينَ

[الصف: 14]

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu para penolong agama Allah (Islam), laksana peristiwa apabila Isa bin Maryam berkata kepada Hawariyyin (para sahabatnya yang setia): “Siapakah yang bersedia menjadi penolongku dalam menegakkan agama Allah?” Berkatalah Hawariyyun: “Kamilah para penolong agama Allah”. Maka sebahagian daripada kalangan Bani Israil beriman dan sebahagiannya pula kufur (menentang). Lalu (akhirnya) kami memberi pertolongan kepada mereka yang beriman sehingga mereka mencapai kemenangan mengatasi musuh mereka”

(as-Saff: 14)

Maka Rasulullah S.A.W, Nabi akhir zaman yang menerima al-Quran secara wahyu melaksanakan dakwah bersama politik memerintah negara bermasyarakat madani dan majmuk, mengumpulkan para pengikut yang setia dengan ikatan perjanjian melakukan baiah dan melaksanakan al-Quran itu bagi urusan politik dengan sempurna, serta melaksanakan hukum akal dan pengalaman yang diizinkan oleh Allah mengikut kemampuan manusia berdasarkan akidah beriman kepada Allah dan hari akhirat dan berkonsepkan ibadah. Semuanya ada perhitungan dosa dan pahala, sehinggalah dinyatakan fadilatnya yang pertama di hari kiamat nanti, mengikut sabda Rasulullah S.A.W:

سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ في ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إلاَّ ظِلُّهُ: إمَامٌ عَادِلٌ، وَشَابٌّ نَشَأ في عِبَادَةِ الله - عز وجل - وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابّا في اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيهِ وتَفَرَّقَا عَلَيهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأةٌ ذَاتُ حُسْنٍ وَجَمَالٍ، فَقَالَ: إنِّي أخَافُ الله، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ، فَأخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِينُهُ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ الله خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ.

مُتَّفَقٌ عَلَيهِ

“Tujuh jenis orang yang dipayungi Allah pada Hari (Kiamat) yang tidak ada tempat bernaung melainkan naungan Allah: 1) Pemimpin yang adil, 2) Pemuda yang hatinya bergantung ingatan kepada beribadah kepada Allah, 3) Orang yang hatinya sentiasa bergantung di Masjid, 4) Dua orang yang bersahabat dengan rasa kasih sayang yang ikhlas, kalau berjumpa kerana Allah dan berpisahnya juga kerana Allah, 5) Seorang yang diminta oleh perempuan cantik rupawan (supaya melakukan maksiat) lalu dia menolak dengan katanya: “Aku takutkan Allah”, 6) Seorang yang bersedekah secara sembunyi, di mana sifat pemurahnya laksana apa yang dihulur oleh tangan kanannya tidak diketahui oleh tangan kirinya dan 7) Orang yang berzikir (menyebut Allah dengan khusyu’) sehingga berlinangan air matanya”

(Muttafaqun ‘Alaih)

Allah meletakkan politik memimpin negara di tempat pertama dan politik juga menjadi lapangan melaksanakan amar makruf dan nahi munkar yang diletakkan senarainya dalam perkara pertama untuk mempertahankan jati diri umat Islam, sama ada berkuasa memerintah dan dapat melaksanakan syariat Allah yang Maha Adil atau tidak memerintah yang hanya sekadar menjadi penasihat kepada pemerintah supaya berlaku adil. Firman Allah:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

[التوبة: 71]

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(at-Taubah: 71)

Allah juga menegaskan wajibnya diadakan kumpulan dalam kalangan orang-orang yang beriman yang melaksanakan kewajipan tersebut. Firman-Nya:

وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

[آل عمران: 104]

“Hendaklah ada di kalangan kamu satu ummah (jamaah) yang berdakwah kepada kebajikan (Islam yang sempurna), menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran. Mereka itulah orang-orang yang mendapat kejayaan (yang sebenarnya).”

(ali-‘Imran: 104)

Kemuncak bagi melaksanakan kewajipan tersebut adalah mewajibkan adanya negara yang diperintah oleh Islam yang dinamakan politik. Kewajipan ini termasuk dalam perjuangan para Anbia A.S sama ada mengajak pemimpin negara di zamannya supaya menerima Islam atau Rasul itu sendiri bersama para pengikutnya menukar kerajaan yang menjadikan Islam itu memerintah.

Umat Islam pada zaman kini yang menyambung urusan Islam selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, hendaklah sedar bahawa betapa banyaknya hukum Islam yang disebut di dalam al-Quran, Hadis Nabi S.A.W dan ijtihad para ulama khususnya yang berkait dengan kehidupan bermasyarakat, dengan mensyaratkan wajib berpolitik dan ditegakkan negara yang mendaulatkan Islam itu sehingga berkuasa memerintah. Sama ada hukum yang telah dinaskan dan hukum Islam yang tidak ada nas, namun Islam wajib dijadikan dasar dan petunjuk. Para ulama menegaskan kata-kata Khalifah Uthman bin Affan R.A:

إن الله يزع بالسلطان مالا يزع بالقرآن

“Sesungguhnya Allah menjadikan kuasa pemerintah (politik dapat menyelesaikan masalah manusia) apa yang tidak boleh diselesaikan melalui nas al-Quran (yang dibaca sahaja)”

Hari ini terdapat kalangan manusia yang tidak ambil peduli. Mereka hanya sekadar mendengar perintah al-Quran supaya melakukan kebaikan atau mencegah kemungkaran, sehinggalah mereka boleh ditundukkan dengan tindakan kerajaan yang memerintahnya. Selain itu juga, adanya perkara yang diserahkan kepada kebijaksanaan pemimpin kerajaan apabila tidak ada nas daripada Al-Quran dan Hadis Nabi S.A.W.

Kewajipan menegakkan kerajaan yang beramal dengan syariat Allah menjadi ijmak ulama para sahabat generasi awal umat dan tabiin di sepanjang zaman. Kewajipan ini disebut dalam kitab-kitab tafsir, hadis dan fekah yang muktabar.

Adapun kata-kata yang menyatakan politik tidak ada dalam ajaran Islam, sebabnya dipengaruhi oleh ajaran sesat yang berasal daripada penyelewengan penjajah yang berlaku dalam agama Nasrani (Kristian), sebagaimana disebut dalam Injil Mark:

Render to Caesar the things that are Caesar’s and to God the things that are God’s” 

(Huraiannya dalam Injil Mark 12; 13-17)

“Serahkan urusan kerajaan kepada raja (manusia) dan serahkan urusan Tuhan kepada Tuhan”

Kata-kata ini bermakna Allah tidak ada ilmu dalam urusan dunia yang dicipta-Nya dan manusia itu lebih tahu daripada Allah dalam masalah dunia seperti urusan politik. Penjajah telah menyebarkan kefahaman ini ke dalam masyarakat Islam sehingga ramai yang terpengaruh, sama ada dalam kalangan masyarakat umum yang buta al-Quran atau yang mempelajari Islam tetapi hanya sebahagian kecil untuk urusan ibadat dan keluarga sahaja. Tujuan penjajah ini supaya umat Islam menyerah diri kepada kerajaan mereka atau mendukung para pemimpin kalangan umat Islam yang terpengaruh dengannya. Maka berlakulah apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W:

لينقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تثبث الناس بالتي تليها، فأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة

(المسند إمام أحمد بن حنبل)

“Demi sesungguhnya akan dirungkai ikatan ajaran Islam yang kukuh, satu demi satu. Setiap satu simpulan itu dirungkai, nescaya manusia berselerak dan terpaksa berpegang kepada simpulan yang masih ada berikutnya. Perkara pertama dirungkai ialah hukum hakam dan yang terakhir ialah solat”

(Musnad Imam Ahmad bin Hanbal)

Para ulama dan cendekiawan Muslim di seluruh tanah air umat Islam menubuhkan jamaah atau parti Islam bagi menunaikan kewajipan menyatakan Islam yang sempurna dan menghidupkan ilmunya. Sama ada menentang penjajah di zaman mereka berkuasa menakluk umat Islam atau selepas kemerdekaan bagi menghadapi pihak yang berkuasa yang mewarisi ajaran penjajah itu.

Inilah tujuan ditubuhkan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada tahun 1951 oleh para ulama dan ilmuwan yang berpendidikan Barat yang menyedari hakikat ini, setelah diharamkan kumpulan Islam sebelumnya oleh penjajah. PAS ditubuhkan bagi menyambung perjuangan para Anbia yang tidak tamat dengan kewafatan Rasulullah S.A.W, menunaikan kewajipan beramal dengan Islam semuanya, dan menyahut perintah Allah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ

[البقرة: 208]

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; Sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.”

(al-Baqarah: 208)

Politik menegakkan negara yang mendaulatkan Islam adalah syarat wajib untuk dilaksanakan semua syariat-Nya bagi mencapai rahmat dan adil Allah. Tidak beramal dengan Islam atau beramal dengan sebahagian sahaja seperti perkara yang berkait dengan diri masing-masing dalam urusan ibadat dan keluarga sahaja atau tidak mempedulikan hukum Islam dalam urusan bermasyarakat, politik, ekonomi dan lain-lain, adalah langkah syaitan yang telah dilihat keburukannya di dunia sebelum tiba hari akhirat.

Semua kalangan yang mahu mengheret PAS keluar daripada landasannya tersungkur dalam perjalanan. Hanya mereka yang terus beristiqamah sahaja bersama sehingga akhir hayatnya.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 3 Jamadil Akhir 1439 / 19 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 19/2/2018

PRESIDEN PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ditemuramah oleh wartawan Mingguan  Malaysia (MM), Zulkiflee Bakar bagi menjawab persoalan semasa dan menerangkan pendekatan PAS dalam PRU 14. Wawancara ini telah disiarkan dalam akhbar tersebut pada hari ini, 18 Februari 2018. 
 
MM: Apa khabar Dato’ Seri? Ramai yang memperkatakan mengenai tahap kesihatan Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri ceritakan sedikit keadaan Dato’ Seri sekarang?
 
PRESIDEN PAS: Alhamdulillah kesihatan saya semakin baik dan sangat baik, namun masih dalam tempoh pemulihan dan pemerhatian doktor.  
 
MM: Apakah rasional atau alasan di sebalik keputusan PAS untuk bertanding di 130 kerusi?
 
PRESIDEN PAS: PAS membuat keputusan berdasarkan maklumat semasa daripada akar umbi di setiap Kawasan dan Cawangan kita di seluruh negara. Tujuan utama PAS menyertai pilihan raya adalah untuk menyebarkan dakwah kepada masyarakat selain mahukan kemenangan di dunia sebagai anugerah dan janji Allah. 
 
PAS menawarkan manifesto Malaysia yang sejahtera bersama tawaran penyelesaian, terpulang kepada rakyat untuk menentukan pemilihan mereka. Kita mengharapkan rakyat dapat memberikan sokongan sama ada kita memimpin kerajaan atau menjadi parti yang berpengaruh dapat memberi nasihat dan mempengaruhi kerajaan.
 
Oleh itu, jumlah kerusi yang ditandingi PAS sangat realistik dengan jumlah Kawasan yang kita ada sekarang sebanyak 196 Kawasan dari 222 kerusi parlimen dan 7,063 Cawangan, kita ada kekuatan jentera yang cukup dan calon berkaliber daripada pelbagai latarbelakang untuk bertanding PRU 14. 
 
MM: Ada yang berpandangan tindakan PAS untuk bertanding dengan kerusi sebanyak itu bagi membolehkan PAS menjadi parti yang ada kelebihan untuk tawar menawar jika memenangi banyak kerusi? 
 
PRESIDEN PAS: PAS bertanding untuk membuat perubahan dasar dan sistem kepada penyelesaian Islam. PAS masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang kerusi sahaja tapi kita mahu menang bersama Islam yang didukung. 
 
Sama ada PAS menjadi kerajaan memerintah atau pembangkang yang menasihat, PAS berhasrat menjadikan Malaysia negara yang sejahtera dengan mengubah dasar negara dan urus tadbir sesuai dengan penuh berhikmah dan matang. 
 
Selain itu PAS sedang bekerja bersungguh-sungguh untuk menang paling kurang 40 kerusi. Dengan kemenangan itu PAS ada pengaruh untuk menentukan kerajaan dan mencapai matlamat perjuangan Islam.   
 
MM: Pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan menilai bahawa PAS tidak akan mampu mencapai kemenangan besar apabila bertanding bersendiri? Apa komen Dato’ Seri?
 
PRESIDEN PAS: PAS berpijak di atas kekuatan sendiri dan jentera sendiri bukan menumpang parti lain, maka tidak menjadi masalah PAS bersendirian. Kita mempunyai pengalaman yang panjang dalam senario politik dalam negara, pernah bersendirian, pernah bertahaluf dengan pihak lain. 
 
Kita ada pusat penyelidikan yang membuat kajian secara terperinci dan turun ke lapangan dengan menilai kerusi-kerusi yang kita yakin boleh menang. Kajian kita bukan sekadar duduk dalam bilik berhawa dingin di atas meja sahaja. Jentera kita bergerak membuat culaan kecenderungan pengundi. 
 
Namun kita tidak merasa selesa, bahkan kita minta jentera setiap negeri, kawasan dan cawangan tingkatkan lagi usaha dan gerak kerja supaya matlamat menang 40 kerusi berjaya dicapai. 
 
Dekati pengundi dengan pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) untuk menarik pengundi atas pagar dan golongan anak muda atau mereka yang fobia dengan kacau bilau politik khususnya pengundi Melayu Islam supaya mengundi PAS. 
 
Kita yakin dengan pendekatan ini kita berjaya mengurangkan ketegangan dan mudah mendekati pengundi. PAS dan Gagasan Sejahtera adalah pilihan terbaik dan alternatif kepada pengundi yang tidak suka kepada BN atau PH, untuk buat perubahan negara ke arah lebih baik.    
 
MM: Apabila PAS membuat keputusan tidak lagi bersekongkol dengan Pakatan Harapan, PAS dituduh mahu bekerjasama dengan Umno? Apa pandangan Dato’ Seri?
 
PRESIDEN PAS: PAS adalah parti yang dapat menilai baik dan buruk. Kita tidak menghukum semua tindakan kerajaan 100 peratus adalah salah dan kita tidak menjadi pembangkang yang membuta tuli. Kita tidak menganggap tindakan kerajaan semuanya betul, kita tidak menyokong juga secara membuta tuli. Maka PAS mengambil pendekatan konsep ta’awun, bekerjasama dalam perkara baik dan menentang dalam perkara yang tidak baik. 
 
Mereka yang tuduh PAS itu masih membawa cara politik kampung yang tidak matang. PAS sudah bergerak ke depan dan meninggalkan budaya politik kebudak-budakan seperti ini. Bila tidak bersama mereka dituduh bersama Umno. 
 
Politik Matang yang menjadi pendekatan PAS hari ini adalah politik yang meraikan suasana dan kehendak rakyat. Rakyat tidak minat melihat kecamukan politik yang oportunis, penting diri sendiri dan puak sendiri. PAS boleh duduk dengan sesiapa sahaja untuk berbincang demi kepentingan Islam dan rakyat. 
 
Kita utamakan kepentingan rakyat dan kita komited menawarkan khidmat kepada rakyat melalui program-program kebajikan yang digerakkan di semua peringkat. Rakyat mahu lihat parti yang bekerja bukan parti yang siang malam bercakaran untuk kepentingan politik sempit mereka.  
 
MM: Apa pandangan Dato’ Seri berhubung serangan demi serangan yang dilancarkan oleh PH ke atas PAS khususnya kepada peribadi Dato’ Seri sendiri sehingga Dato’ Seri dianggap pengkhianat manakala PAS pula dianggap sesat, kafir dan sebagainya?
 
PRESIDEN PAS: Kita anggap itu adalah asam garam politik dalam perjalanan yang mesti dihadapi, cabaran senang, susah, tuduhan dan fitnah. Yang penting kita konsisten, istiqamah dengan dasar dan matlamat perjuangan. 
 
Mereka sudah tidak ada modal untuk menyerang PAS kerana PAS satu-satunya parti yang tidak boleh ditundukkan oleh sesiapa pun. Baik semasa PAS bertahalluf atau bersendirian, PAS tidak mudah dicucuk hidung oleh mana-mana pihak. 
 
Saya sudah jawab berulangkali dan kita minta dibuat siaran live supaya rakyat dapat menilai dengan adil. Tuduhan sesat dan kafir ini tuduhan musuh-musuh Islam untuk menghancurkan gerakan Islam seluruh dunia, nampaknya mereka berkomplot sama atau ditipu. 
 
MM: Sejauhmanakah Dato’ Seri melihat kehadiran PAN boleh memberi kesan kepada sokongan rakyat terhadap PAS?
 
PRESIDEN PAS: PAS sudah berulang kali menghadapi serpihan-serpihan sejak tahun 60-an, Parti Imam, Parti Islah, 70-an Parti Berjasa, 80-an Parti Hamim, itu pecahan PAS, yang semuanya ditenggelamkan zaman. Dan sebahagian besar daripada mereka kembali semula kepada PAS. Sepatutnya mereka mengambil iktibar sejarah lama ini. Mungkin mereka ini orang baru, tidak tahu cerita lama.   
 
PAN wujud untuk memecahbelahkan umat Islam, undi Melayu dan bagi talian hayat kepada Umno untuk menang. Kalau benar PAN mahu lawan Umno, kenapa sibuk masuk kerusi PAS yang menjadi tradisi pertandingan Umno-PAS sejak puluhan tahun? 
 
PAN adalah ijtihad yang salah hasil dari campurtangan pihak luar terhadap politik Malaysia dan mendapat sokongan DAP yang mulanya untuk menggantikan PAS tapi sekarang laksana melukut di tepi gantang sahaja.  
 
MM: Setakat ini bagaimana reaksi penyokong-penyokong PAS terhadap politik matang yang diamalkan oleh PAS termasuklah sedia berada sepentas dengan pemimpin-pemimpin Umno dalam memperjuangkan isu Islam sejagat seperti Rohingya dan Palestin?
 
PRESIDEN PAS: Pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) adalah pendekatan yang mewujudkan suasana demokrasi yang sebenar dan tidak bercelaru. Kita boleh berbeza pendapat tapi jangan berpecah. Pendekatan yang ditajdidkan dan diperbaharui menjadi lebih tersusun dan menyeluruh bermula tahun 2015, khususnya mendepani situasi politik negara dan krisis antarabangsa hari ini. 
 
Melalui politik matang ini, kita menerapkan kepada ahli tentang konsep ta’awun iaitu PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja atas dasar kebaikan dan kebajikan bukan kejahatan dan keburukan. Kerjasama bukan bermaksud bergabung. PAS tidak perlu masuk Umno untuk kerjasama dalam isu Palestin, Rohingya dan RUU 355. 
 
Bahkan dengan DAP sekalipun kita boleh bekerjasama atas dasar kebaikan dengan syarat menghormati Islam sebagai agama persekutuan dan hak-hak masyarakat majmuk lain. Dan ahli PAS memahami dan menerima pendekatan yang kita bawa hari ini.    
 
MM: Isu Memali kembali diperkatakan, Tun Dr. Mahathir Mohamad menuduh Dato’ Seri bertanggungjawab mengakibatkan peristiwa itu berlaku, adakah Dato’ Seri bersetuju dengan desakan pelbagai pihak supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja bagi tujuan tersebut?
 
PRESIDEN PAS: Ya, kita setuju ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) Isu Memali kerana kita lihat ia dimainkan sejak sekian lama untuk kepentingan politik pihak tertentu sehingga menafikan hak keluarga mangsa Memali dan juga anggota polis. Jadi kita harap kerajaan sekarang boleh segerakan menubuhkan dan menyiasat isu ini dengan telus dan saya bersedia untuk hadir memberi keterangan.  
 
Saya juga sudah menulis beberapa buah buku tentang isu amanat dan isu kafir mengkafir. Buku saya sudah disiasat melalui Majlis Agama Islam peringkat negeri dan pusat, sehingga ini mereka menerima sebagai satu kajian ilmiah dan tidak menyentuh ketenteraman dan keamanan negara. 
 
Alhamdulillah kalangan yang mengambil pendekatan yang keras dalam PAS, semuanya keluar daripada PAS sama ada mereka menyertai Umno ataupun mereka mendiamkan diri. 
 
MM: Akhir sekali, apakah nasihat Dato’ Seri kepada semua kepemimpinan politik tanpa mengira parti dalam mereka membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum?
 
PRESIDEN PAS: Politik adalah salah satu daripada urusan agama. Jika ibadat ada batal dan sah, ekonomi ada halal dan haram, maka politik juga tidak lari adanya dosa dan pahala. 
 
Dosa politik tidak boleh dihapuskan dengan menunaikan umrah dan haji, masuk Kaabah dan ziarah maqam Nabi semata-mata tapi boleh dihapuskan dengan bertaubat dan memulihkan keadaan negara menjadi lebih baik, kerana politik ada kaitan dengan urusan manusia. 
 
Jika ada hak rakyat diambil secara salah, maka bertaubat dengan memulangkan kembali kepada rakyat. Jika ada dasar yang digubal secara batil dan merosakkan, maka dibetulkan dengan kembali kepada dasar Islam. 
 
Kata Saidina Umar:“Sesungguhnya kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan di dalam kebatilan”. 
 
Keduanya, semua parti politik ada tanggungjawab menjaga keharmonian negara. Islam sebagai agama persekutuan perlu dihormati, tidak boleh ada cubaan untuk merosakkannya. 
 
Hubungan antara kaum mesti dijaga dan tidak boleh mencetuskan ketegangan kaum. Sebab itu saya tegaskan dalam artikel sebelum ini bahawa Ketua Negara mesti dari Melayu Islam yang beriman dan budiman melaksanakan Islam keseluruhannya dengan adil untuk semua, kerana Melayu kaum yang paling majoriti dan berpengaruh.
 
Menteri kabinet dan exco kerajaan negeri boleh dilantik dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam mengikut kesesuaian bidang kuasa dan tugasan. 
 
Akhir sekali, kita harapkan pilihan raya akan datang adalah pilihan raya paling bersih dalam sejarah negara. Parti-parti diberi hak sama rata dari sudut media, tiada politik wang atau campurtangan kuasa asing. Serahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan dan pemimpin negara. 
 
Segala masalah negara diselesaikan secara harmoni dan adil di dalam negara. Kita ada badan kehakiman, peguam negara yang mesti dipisahkan dari kuasa eksekutif.  
 
Mudah-mudahan negara kita menjadi negara yang sejahtera, yang adil dan harmoni dengan kembali kepada Islam. - HARAKAHDAILY 18/2/2018

ISLAM memandang kewujudan kepelbagaian kaum dan bangsa di Malaysia sebagai satu perkara positif berkonsepkan Masyarakat Madani. Setiap bangsa mempunyai kemahiran dan kepakaran tersendiri yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan masyarakat dan negara. 
 
Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan asas yang kukuh berkaitan bangsa dan agama dengan menjadikan Islam sebagai agama persekutuan dan penganut agama lain bebas mengamalkannya tanpa paksaan dalam Islam dan adil untuk semua.    
 
Islam mengajar penganutnya supaya menunaikan amanah dan berlaku adil terhadap rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Kedatangan Islam disambut oleh penduduk setempat kerana percaya hanya Islam adil untuk semua sehingga mereka sendiri tidak sanggup berada di bawah pemerintah yang zalim dari bangsa sendiri. 
 
PAS yang berpegang dengan dasar Islam telah berjaya memerintah Kelantan (1959- 1979, 1990-kini), Terengganu (1959-1963, 1999-2004) dan Kedah (2008-2013) tanpa diskriminasi kaum, tidak dirobohkan rumah ibadat bukan Islam dan memberi bantuan secara adil kepada mereka sehingga berjaya mewujudkan keharmonian masyarakat walaupun bukan Islam hanya minoriti.  
 
Allah menyatakan dalam Al-Quran:
۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا
٥٨النساء.
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.”
(Surah An-Nisa’: 58)
 
Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina kepada kaum Tionghua dan rakyat negara ini. Marilah kita membina Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur. 
 
“Sejahtera Bersama Islam”
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS - HARAKAHDAILY 16/2/2018

BERIKUT adalah temubual Tuan Guru Presiden PAS bersama wartawan China Press yang disiarkan pada 8 Februari 2018. 

China Press: Menjelang PRU 14, adakah pengundi Cina penting untuk PAS? ada sebarang strategi untuk meyakinkan masyarakat Cina? Apa persepsi salah dengan PAS?
 
Presiden PAS: Masyarakat Cina tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat majmuk. PAS menganggap wajib diberi perhatian dan PAS berpegang konsep Islam adalah adil untuk semua.  PAS membawa pendekatan ta’awun iaitu bekerjasama dalam perkara baik dan tidak bekerjasama dalam perkara keburukan. Kerjasama bukan bermakna bergabung. Bila PAS kerjasama dengan Umno seperti contoh dalam isu Palestin, Rohingya dan RUU 355, maka tidak bermakna PAS bergabung atau masuk Umno. Maka PAS boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, sama ada parti pemerintah atau parti pembangkang dengan syarat menghormati Islam sebagai agama persekutuan, tidak menghalang atau menentang pelaksanaan syariat Islam secara menyeluruh, serta menghormati hubungan antara kaum dengan memberi hak mengikut perlembagaan, iaitu Islam adalah agama persekutuan, dalam masa yang sama hak kebebasan yang adil kepada agama lain dan penganutnya. 
 
Terkini, PAS ada cabang Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) dalam kalangan bukan Islam, mereka akan menjadi calon PAS di kerusi-kerusi terpilih. PAS juga membentuk Gagasan Sejahtera, di dalamnya ada Parti Ikatan dan Parti Cinta Malaysia, dalamnya ada orang bukan Islam bekerjasama dengan PAS. Mereka bukan Islam tapi menghormati hak orang Islam dan agama-agama lain yang dijamin dalam perlembagaan. Ini berbeza dengan sikap DAP apabila PAS memutuskan hubungan kerjasama politik kerana DAP bersikap menghalang dan menentang usaha PAS untuk meninggikan Mahkamah Syariah dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam yang hanya diperuntukkan khusus untuk orang Islam sahaja. DAP dan rakan-rakannya mengambil satu sikap yang salah melanggar konsep perlembagaan kerana menyentuh hak-hak orang Islam yang tidak ada kena mengena dengan masyarakat bukan Islam. 
 
Dari sudut politik Islam dan sejarahnya, ketua negara hendaklah dilantik dari kaum majoriti yang berpengaruh, maka dalam konteks Malaysia adalah penganut Islam dan Bumiputera Melayu yang beriman dan budiman bermatlamatkan melaksanakan Islam secara menyeluruh yang adil untuk semua. Adapun Menteri Kabinet dan Exco Kerajaan Negeri boleh dilantik dari penganut Islam atau bukan Islam mengikut bidang kuasa tertentu yang dibenarkan. 
 
Oleh demikian, PAS mengharapkan undi kaum Cina dan undi bukan Islam yang lain untuk mengundi PAS dan Gagasan Sejahtera dengan jaminan keadilan dan kemakmuran serta hak masyarakat majmuk tidak dipinggirkan sebagaimana PAS telah berjaya membuktikan melalui pentadbiran Kerajaan PAS Kelantan sejak 1990 hingga sekarang, Kerajaan Terengganu 1999-2004 dan Kerajaan Kedah 2008-2013 yang dinobatkan kerajaan paling bersih tanpa rasuah dan diskriminasi kaum. Ketika krisis perkauman 13 Mei 1969, negeri kubu PAS di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis tidak berlaku kerana pada waktu itu pimpinan PAS menjaga dan memberi jaminan keselamatan kepada orang bukan Islam.  
 
China Press: Salah satu pandangan dari masyarakat Cina merasakan PAS akan bekerjasama dengan Umno, adakah persepsi ini tak betul?
 
Presiden PAS: Kita perlu membezakan di antara bekerjasama dengan Umno dan masuk Umno. Ini beza. Sepertimana saya sebutkan tadi, kerjasama PAS dengan Umno bukan bermaksud PAS masuk Umno. PAS boleh kerjasama dengan sesiapa sahaja di luar gabungan atau pakatan. Kerana PAS mengamalkan konsep ta’awun (kerjasama dalam perkara kebaikan dan kebajikan, bukan kerjasama dalam perkara buruk dan kejahatan). PAS sudah ada Gagasan Sejahtera dan PAS akan melawan BN termasuk Umno dan PH dalam PRU 14. 
 
China Press: Adakah kerana DAP menyebabkan masyarakat Cina salah faham dengan PAS, dan rasa PAS merupakan satu parti yang agresif?

Presiden PAS: Masyarakat Cina mesti menolak parti yang agresif terhadap Melayu seperti DAP kerana mengancam hubungan kaum di negara ini. Banyak faktor yang mempengaruhi salah faham masyarakat Cina terhadap PAS terutamanya kefahaman tentang Islam itu sendiri.  

Pertama, parti-parti Cina saling bersaing untuk mendapatkan undi Cina sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan bersifat rasis, tidak menghormati hak orang Islam dan bukan Islam dalam masyarakat majmuk yang dijamin dalam perlembagaan. Mereka saling menunjukkan sikap anti Islam dan syariatnya walaupun sudah berulang kali diberi penjelasan. Walau hujah mereka rapuh tapi tetap membutakan mata dan hati untuk melihat kebenaran. 
 
Jika mereka mendakwa PAS memperjuangkan hudud (undang jenayah Islam) kerana politik, kita juga boleh mendakwa mereka menentang hudud juga kerana politik dan bersaing untuk meraih undi bukan Islam, sedangkan hakikatnya PAS memperjuangkannya kerana hudud adalah salah satu daripada ajaran Islam yang sejak sekian lama seawal penubuhan PAS hingga kini tidak berhenti bercakap soal ini dan PAS bersikap telus dan terbuka mengisytiharkannya kepada rakyat tanpa berselindung kerana menghormati semangat demokrasi yang diamalkan termasuk ketika PAS bersama DAP dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR)
 
Saya bimbang jikalau ada NGO-NGO yang menyokong dan memberi dana kepada mereka. Saya pernah dijemput oleh sebuah NGO untuk memberi penerangan tentang RUU 355 tapi tidak dibenarkan sesi soal jawab dan dialog bersama saya dan masa juga disingkatkan. Kenapa begitu takut? PAS mengambil pendekatan terbuka dan bersedia berdialog dengan mana-mana parti, NGO atau individu daripada masyarakat Cina mahupun kaum lain.
 
Seterusnya saya lihat media juga mainkan peranan mencetuskan isu sampingan atau terpencil untuk dijadikan bahan menaikkan sentimen perkauman yang boleh diselesaikan dengan cara harmoni dan bijaksana. Oleh sebab itu, PAS menerima Malaysia sebuah masyarakat majmuk dengan meraikan kehadiran kaum Cina dan India yang dibawa penjajah, menunjukkan masyarakat Islam terbuka dan berlapang dada.

Namun saya ingatkan jangan diambil kesempatan atas kemurahan kami, sebaiknya kita hidup berkonsepkan masyarakat majmuk yang Madani, saling membantu untuk membangunkan negara yang aman dan sejahtera. Orang Melayu ada kepakarannya, orang Cina pun ada, orang India dan lain-lain kaum pun ada. Maka semua kaum saling bertukar dan berkongsi kepakaran kerana mustahil dapat hidup keseorangan. 
 
China Press: Apakah pandangan terhadap Pakatan Harapan yang sekarang diketuai oleh bekas PM? Apakah perasan yang Tun M selalu serang PAS? Adakah kerana rasa PAS akan mengancam mereka?
 
Presiden PAS: Mereka serang kerana mereka gagal tundukkan PAS. Hanya PAS yang tidak terpengaruh dengan perangkap Tun Mahathir dan DAP yang mahu menghapuskan PAS di persada politik, kita dapat menghidu sejak dari awal khususnya selepas DAP menang banyak kerusi. Ketika itu DAP bersikap lantang dan tidak menghormati hak orang Islam dan sering kali memainkan isu perkauman untuk menimbulkan ketegangan kaum yang tidak dibenarkan oleh Islam. Walaupun Pengerusi PH adalah Tun Mahathir tapi hakikatnya DAP yang berkuasa di belakang tabir. 
 
China Press: Selepas Tuan Guru Nik Aziz meninggal, memandangkan hubungan PAS dengan Pakatan Harapan semakin teruk? Kenapa?
 
Presiden PAS :Sebelum Tuan Guru Nik Aziz meninggal, beliau sudah menghidu sikap DAP dan banyak kali berbincang dengan saya yang tidak diketahui oleh orang ramai. Bahkan sikapnya konsisten bahawa DAP dan Pakatan Rakyat ketika itu jangan melanggari sempadan sehingga mengacau prinsip perjuangan parti masing-masing. Sebenarnya Tuan Guru Nik Aziz sendiri sudah menyatakan tidak senang dengan sikap DAP dan Pakatan Rakyat yang makin terbuka menunjukkan perkara-perkara yang negatif terhadap hubungan agama dan kaum. 
 
Selepas ketiadaan Tuan Guru, DAP semakin lantang dan mendapat sokongan bekas pimpinan PAS yang ketika berada dalam PAS sudah buat kacau dan menjadi broker kepada rakan Pakatan untuk memaksa PAS menurut cakap mereka. Tapi PAS ada prinsip dan PAS masih kekal hingga hari ini kerana Islam yang menjadi dasarnya, di samping bersikap terbuka dan fleksibel dari sudut pendekatan. Kepimpinan PAS sekarang mewarisi perjuangan kepimpinan terdahulu khususnya Tuan Guru Nik Aziz yang meninggal di dalam PAS dan beliau tidak pernah pun keluar PAS dan konsisten bercakap tentang Islam di Parlimen mewakili PAS walaupun keseorangan diri. Ahli PAS diajar pemimpin boleh datang dan pergi, tapi bahtera Islam yang diperjuangkan terus berlayar walaupun dilanda ombak besar. 
 
China Press: Akhirnya, berkenaan Akta 355, macam mana nak yakinkan Akta tersebut tidak akan pengaruhi masyarakat bukan Islam?
 
Presiden PAS: Pertama, Perlembagaan Persekutuan telah memberi jaminan bahawa Akta 355 adalah untuk orang Islam sahaja dan tidak terpakai ke atas golongan bukan Islam sebagaimana dalam Akta asal yang diluluskan sejak tahun 1965. Sepanjang tempoh 53 tahun ini, belum pernah ada seorang bukan Islam yang didakwa kesalahannya di bawah mana-mana Mahkamah Syariah Negeri-negeri di bawah Undang-undang Jenayah Syariah Negeri-negeri yang diwujudkan daripada Akta induk ini. 
 
Saya merasa harian mengapa masyarakat Cina boleh terpengaruh dengan Undang-undang Barat walaupun undang-undang itu mengalami kelemahan-kelemahan yang banyak seperti hukuman mati dan gantung yang lebih kejam daripada Qisas dan Hudud, hak pengampunan yang tidak ada pada keluarga dan mangsa kezaliman. Tetapi mereka tidak mahu mengkaji kebaikan yang ada dalam Undang-undang Islam. 
 
Kedua, bidang kuasa Mahkamah Syariah terhad setakat kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Butiran 1, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan. Malah Mahkamah Syariah tiada bidang kuasa ke atas bukan Islam. Hatta jika berlaku persetubuhan antara Islam dan bukan Islam, hanya yang Islam sahaja yang boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Orang bukan Islam tidak boleh dituduh di Mahkamah Syariah. Bahkan dia juga tidak boleh dituduh di Mahkamah Sivil atas tuduhan membantu orang lain melakukan kesalahan. 
 
Dalam kes yang lain pula, jika orang Islam merogol bukan Islam, siasatan dan pendakwaan bagi kes itu hanya boleh dilakukan oleh polis di bawah kesalahan Kanun Keseksaan. Dan Syariat Islam boleh menghukum orang Islam yang merogol orang bukan Islam dengan hukuman yang lebih adil dan keras daripada undang-undang sivil. 
 
Ketiga, selain jaminan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk melindungi hak bukan Islam, hukum Islam daripada nas al-Quran dan Hadis juga memberi jaminan hak perlindungan dan hak memilih tanpa paksaan kepada bukan Islam sebagaimana disebut dalam Al-Quran:

 فَإِنْ جَاءُوكَ فَاحْكُمْ بَيْنَهُمْ أَوْ أَعْرِضْ عَنْهُمْ
[المائدة: 42]

Jika sekiranya orang bukan Islam datang kepada kamu, kamu boleh bawa mereka ke Mahkamah Islam dan kamu boleh biarkan mereka sendiri dengan mahkamah mereka 

(al-Maidah: 42)

Ia mengikut pilihan masyarakat bukan Islam itu sendiri. Maknanya bukan Perlembagaan Persekutuan sahaja tetapi al-Quran sendiri menyatakan demikian. 
 
Keempat, pindaan Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri, membunuh dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan dan bidang kuasa Mahkamah Sivil. Jadi pindaan RUU 355 hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam Enakmen Jenayah Negeri-Negeri. 
 
Kelima, walaupun kewujudan masyarakat majmuk di negara kita adalah ciptaan penjajah bagi menjayakan agenda pecah dan perintah, namun al-Quran lebih mendahului petunjuk bermasyarakat majmuk dengan adil dan bersaudara di atas konsep kemanusiaan sejagat. Kita diwajibkan berpegang kepada konsep tiada paksaan dalam beragama. Dalam masa yang sama, Islam memerintah penganutnya supaya berdialog dengan cara terbaik.
 
Oleh hal yang demikian, kita memohon seluruh rakyat bukan beragama Islam tidak perlu berasa bimbang akan implikasi cadangan pindaan ini kerana tiada seorang warga bukan Islam yang akan disabitkan atas apa-apa kesalahan jenayah di bahawa Akta 355 ini.
 
Hanya ahli politik yang kemaruk kepada undi sahaja hilang kewarasan apabila mencetuskan kebimbangan di kalangan masyarakat bukan Islam untuk menolak pindaan Akta 355 ini. - HARAKAHDAILY 8/2/2018

MASALAH ini telah menjadi perbincangan hangat di kalangan para ulama sejak zaman dahulu, kerana negara Islam sangat berpengalaman mentadbir masyarakat majmuk. Secara khusus apabila berlakunya perceraian dan masalah hadanah (penjagaan) oleh ibu yang bukan Islam.
 
Para ulama Mazhab Syafie dan Hanbali dengan tegas mengamalkan konsep berkebajikan dengan mewajibkan pihak Islam hendaklah diberi hak menjaga anak kerana melihat pengawasan Islam terhadap kepentingan anak adalah menyeluruh. 
 
Bukan sahaja dalam aspek agama dan menyusu anak secara zahirnya, bahkan juga dalam aspek pemakanan yang halal kerana semua makanan yang haram adalah mendatangkan mudarat kepada jasad, roh dan akal kanak-kanak yang dijaga, tanpa menafikan naluri kesayangan ibu terhadap anak secara zahirnya, tetapi tidak ada kawalan terhadap pemakanan yang halal, kerana agama lain tidak mengharamkannya. Di samping itu, aspek akhlak yang berbeza dalam menilai baik dan buruk secara fitrah juga diberi perhatian. 
 
Islam juga memberi jaminan wajibnya ke atas anak menunaikan kewajipan terhadap ibu bapa yang tidak beragama Islam, walaupun anak itu tetap memilih agama Islam. Hukum ini dinyatakan oleh firman Allah:
وَوَصَّيْنَا الْإِنْسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ١٤ وَإِنْ جَاهَدَاكَ عَلَى أَنْ تُشْرِكَ بِي مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا وَاتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَيَّ ثُمَّ إِلَيَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ١٥
[لقمان: 14-15]
 
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kesusahan demi kesusahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku (Allah) dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (14) Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan dengan-Ku sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka; dan bergaulah dengan mereka (kedua ibu bapa yang tidak Islam itu) di dunia dengan cara yang baik dan turutlah jalan orang-orang yang rujuk kembali kepadaKu (dengan tauhid dan amal-amal yang soleh). Kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu segala yang kamu telah kerjakan. (15)”
(Surah Luqman: 14-15)
 
Mengikut pembacaan saya, ayat yang disebut secara nas seperti ini tidak ada dalam kitab suci agama yang lain daripada Islam. Oleh itu, tidak boleh ada kebimbangan oleh kalangan bukan Islam terputusnya hubungan keluarga dengan sebab menganut Islam.
 
Adapun Mazhab Hanafi dan Maliki mengizinkan ibu bukan Islam menjaga anak, tetapi dengan syarat jaminan yang sebenar dapat memelihara kesucian akhlak dan fitrah anaknya serta tidak juga memberi makanan yang haram seperti daging babi, meminum arak dan sebagainya. 
 
Pandangan ini berdasarkan kepada negara dan masyarakat yang dilaksanakan Islam sepenuhnya sehingga dapat mengawasi anak tersebut dengan menjaga sensitiviti bapa dan masyarakat yang menganut Islam. Masalahnya, adakah aspek ini dapat dijaga dalam masyarakat yang telah meletakkan Islam tidak ada pengawasannya yang sempurna?
 
Sepatutnya badan kehakiman yang membuat keputusan hendaklah mengambil kira kedudukan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan, serta bidang kuasa negeri terhadap urusan agama Islam dan peranan Raja-raja yang menjadi Ketua Agama Islam yang menjadi komponen penting dalam negara kita dengan nasihat para Mufti atau Majlis Fatwa masing-masing. Pada masa yang sama, hendaklah menjaga batas hak agama lain yang mensyaratkan menjaga batas keharmonian masyarakat majmuk. 
 
Kerajaan juga hendaklah berani dan tegas terhadap kalangan yang lebih menjaga kepentingan politik perkauman dan fanatik agamanya untuk pilihan raya tanpa mengambil kira aspek yang lain, sehingga melampau apabila mencabar Ketua Polis Negara yang tidak bertanding dalam pilihan raya, tetapi menunaikan kewajipan menjaga keharmonian. Kalangan yang mencabar juga tanpa peduli kepada kebijaksanaan secara ilmu kemanusiaan dan undang-undang yang menghormati semua pihak.
 
“Sejahtera Bersama Islam”
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS 
 
Bertarikh: 20 Jamadil Awal 1439 / 6 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 6/2/2018
 

POLITIK disebut dalam ilmu syariat dengan perkataan Khilafah, Siyasah, Imamah atau Mulk, semuanya perkataan sinonim dan menjadi sebahagian daripada Islam sebagai Al-Din yang sangat berbeza dengan takrif perkataan agama dalam bahasa yang lain, kerana Islam adalah petunjuk Allah yang sempurna kepada alam ciptaan-Nya termasuk makhluk manusia. Ini menjadikan Islam lebih luas daripada agama dan ideologi, dan ditegaskan bahawa politik menjadi sebahagian daripada tujuan manusia diciptakan. 
 
Firman Allah:
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً  قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ  قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ
[البقرة: 30]
“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".”
(Surah Al-Baqarah: 30)
 
Khalifah itu ialah menegakkan Islam dan mentadbir urusan politik dengan Islam. Maka semua para Rasul A.S yang berdakwah menyatakan Islam yang sempurna, termasuk juga dalam urusan politik. Kesemua mereka memimpin umat supaya beribadah kepada Allah dan menghadapi ketua negara dan Al-Malaa (para pemimpin dan pemerintah) yang terpesong daripada petunjuk Allah. 
 
Rasulullah S.A.W berhijrah ke Madinah bagi menegakkan negara yang mendaulatkan Islam. Apabila berlaku kewafatan Baginda S.A.W setelah Al-Quran disempurnakan, maka para Sahabat R.A dan pengikutnya yang setia berhimpun, sehingga sebahagian besarnya tidak menyertai upacara pengebumian Baginda S.A.W. Mereka mengemukakan tiga calon, akhirnya dipilih Saidina Abu Bakar R.A. iaitu calon paling layak yang berilmu dan berakhlak daripada Qabilah Quraisy, kaum yang mendominasi masyarakat majmuk pada zamannya. 
 
Kehadiran mereka dalam perhimpunan memilih khalifah itu adalah pilihan raya umum yang kewajipannya sehingga lebih penting daripada pengebumian jasad Rasulullah S.A.W yang sangat mulia. Para ulama tafsir, hadis dan feqh menegaskan bahawa perkara ini menjadi wajib berdasarkan nas Al-Quran, Hadis Mutawatir, Ijma’ ulama, para Sahabat dan Tabien. 
 
Pada awalnya ilmu politik Islam menjadi sebahagian daripada ilmu feqh, kemudiannya diasingkan dalam kitab dan pengajian yang khusus. Al-Mawardi, Abu Yaala dan Imam Al-Haramain mengarang kitab yang khusus. Imam Al-Ghazali meletakknya dalam bab aqidah. Adapun Sheikh Daud al-Fathani, pengarang kitab jawi meletakkan dalam Kitab Musolli.  
 
Adapun teori yang memisahkan politik daripada agama berasal daripada ajaran yang sesat daripada ajaran Allah yang diamanahkan kepada para Rasul A.S. Fahaman yang salah ini disebut dalam kitab Injil yang telah dipesongkan. Di antaranya disebut:
 
“Render to Caesar the things that are Caesar’s and to God the things that are God’s” (Huraiannya dalam Injil Mark 12; 13-17) (Berikanlah kepada Kaisar apa yang wajib kamu berikan kepada Kaisar dan kepada Tuhan apa yang wajib kamu berikan kepada Tuhan). Mereka memisahkan hukum kenegaraan dan undang-undang yang ada di dalam Taurat yang diwajibkan juga beriman kepadanya, kerana Isa A.S diutuskan kepada Bani Israel yang telah berpegang kepada Kitab Taurat. 
 
Kesesatan berlaku apabila sebahagian besar Bani Israel tidak beriman kepada kerasulan Nabi Isa A.S dan apabila ajaran Injil dibawa kepada umat lain dengan cara yang tidak sempurna. Firman Allah: 
وَيُعَلِّمُهُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَالتَّوْرَاةَ وَالْإِنْجِيلَ٤٨ وَرَسُولًا إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ أَنِّي قَدْ جِئْتُكُمْ بِآيَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ أَنِّي أَخْلُقُ لَكُمْ مِنَ الطِّينِ كَهَيْئَةِ الطَّيْرِ فَأَنْفُخُ فِيهِ فَيَكُونُ طَيْرًا بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُبْرِئُ الْأَكْمَهَ وَالْأَبْرَصَ وَأُحْيِي الْمَوْتَى بِإِذْنِ اللَّهِ وَأُنَبِّئُكُمْ بِمَا تَأْكُلُونَ وَمَا تَدَّخِرُونَ فِي بُيُوتِكُمْ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَةً لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ٤٩
[آل عمران: 48-49]
“Dan Allah akan mengajarnya (Isa A.S) ilmu Kitab, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan Kitab-kitab Taurat dan Injil. (48) Dan (akan melantiknya (Isa A.S.) menjadi  Rasul kepada Bani Israel, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya Aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari Tuhan kamu, iaitu Aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian Aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) Dengan izin Allah; dan juga Aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan Aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan Aku juga boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman. (49)
(Surah Ali-Imran: 48-49)
 
Fahaman yang salah selepas ajaran Nabi Isa A.S dibawa pula oleh penjajah ke negara kita, supaya meninggalkan ajaran Islam yang wajib diimani dan ditegakkan syariat-Nya, dan membiarkan penjajah itu memerintah negara dengan cara mereka. 
 
Para orientalis yang masuk ke dalam masyarakat Islam ditugaskan supaya membawa ajaran salah ini ke dalam masyarakat Islam. Di antaranya nama yang tersohor di rantau ini, Snouck Hurgronje (Orientalis asal Belanda), yang menegaskan usaha yang mesti dilakukan oleh penjajah barat terhadap Islam ialah menjauhkan penganutnya daripada Islam, secara khususnya ajaran politik. Tujuannya supaya membiarkan ajaran penjajah terus menakluk umat Islam. 
 
Maka seruan ke arah memulau pilihan raya atau undi rosak adalah sebahagian daripada agendanya, supaya kuasa politik umat Islam dilemahkan atau diserahkan kepada pihak lain, sama ada memilih bukan Islam atau memberi peluang kepada pihak lain menguasai negara melalui pilihan raya. Ini berlaku apabila beranggapan politik tidak penting atau dikatakan sebagai amalan kotor yang mesti ditinggalkan oleh umat Islam. 
 
Para ulama Islam yang muktabar termasuk Imam Al-Ghazali yang banyak menulis kitab Tasawuf yang dikira tidak peduli politik, tetapi menegaskan di dalam kitab Aqidah:
 
الدين أس والسلطان حارس، وما أس له فمهدوم وما لا حارس له فضائع
(الاقتصاد في الاعتقاد)
 
“Al-Din (Islam) adalah asasnya, kuasa pemerintahan (politik) adalah pengawasnya. Apa yang tidak ada asasnya menjadi runtuh (binasa) dan apa yang tidak ada pengawas menjadi hilang”
(Iqtisad Fi I’tiqad)
 
Ini menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan urusan politik adalah meruntuhkan agamanya dan menghilangkan kewibawaan umatnya serta meninggalkan syariat Allah. Walaupun alasannya kerana tidak bersetuju dengan amalan pilihan raya hari ini yang disalah fahamkan sehingga dikira tidak ada dalam urusan agama Islam. Inilah bahaya yang telah diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W:
لينقضن عرى الإسلام عروة عروة، فكلما انتقضت عروة تثبث الناس بالتي تليها، فأولهن نقضا الحكم وآخرهن الصلاة
(المسند إمام أحمد بن حنبل)
“Demi sesungguhnya akan dirungkai ikatan ajaran Islam yang kukuh, satu demi satu. Setiap satu simpulan itu dirungkai, nescaya manusia berselerak terpaksa berpegang kepada simpulan yang masih ada berikutnya. Pertama-tama dirungkai ialah hukum hakam dan yang terakhir ialah solat”
(Musnad Imam Ahmad bin Hanbal)
 
Semua para Rasul A.S diperintah bertemu dengan pihak pemerintah pada zaman masing-masing walaupun tidak ada pilihan raya di zamannya, dengan bersikap positif terhadap kebaikan dan menentang kemungkaran secara berhadapan, bukannya pemulauan atau mengasingkan diri daripada masyarakat atau melarikan diri daripada kewajipan berpolitik. 
 
Pilihan raya adalah alat bagi memilih pemimpin yang wajib dalam kehidupan bermasyarakat dan menjadi sebahagian daripada syariat Islam, sama ada mewakilinya menjadi pemerintah secara langsung atau mewakili dalam kewajipan amar maaruf dan nahi mungkar yang menjadi teras kepada jati diri umat Islam dan manusia seluruhnya yang wajib dipimpin oleh umat Islam. Allah telah mewajibkan adanya kumpulan dalam kalangan umat Islam yang melaksanakannya. Firman Allah:
 
وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ  وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ١٠٤
[آل عمران: 104]
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan Amar makruf dan Nahi Munkar (menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”
(Surah Ali-Imran: 104)
 
Allah telah melaknat kaum Bani Israel apabila tidak menunaikan kewajipan ini melalui firman-Nya:
لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَى لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ  ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ٧٨ كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ  لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ٧٩
[المائدة: 78-79]
 
“Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampau batas. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (79)
(Surah Al-Maidah: 78-79)
 
Dalam Feqah Muamalah Politik, Islam mendahulukan cara aman dan damai, menarik sebanyak mungkin dalam dakwah yang dilindungi oleh negara, dan membuktikan Islam itu adil terhadap semua, maka konsep demokrasi adalah paling tepat. Kebetulannya pula pembaharuan demokrasi barat adalah dipengaruhi oleh Feqah Politik Islam, hasil kajian para orientalis yang menciplak ajaran Islam, walaupun tidak sempurna. 
 
Adapun kelemahan dan salah lakunya pula hendaklah dibetulkan, bukannya membatalkannya atau dipulaukan. Di mana tindakan pemulauan atau merosak kertas undi adalah menempah kepada keburukan yang lebih besar mudaratnya, apabila melakukan pilihan lebih besar mudaratnya kepada negara dan umat. Laksana kebodohan terhadap seorang yang memilih perjalanan meredah hutan rimba yang sukar dan berbahaya kerana tidak bersetuju dengan jalan raya yang tidak diturap dengan sempurna. 
 
Para ulama Islam dalam huraian Maqasid Syariah menegaskan:
ما لا يدرك كله لا يترك كله
“Apa yang tidak didapati semuanya tidak boleh ditinggalkan semuanya”
 
Dan menegaskan kaedah:
ارتكاب أخف الضررين
“Mengambil kemudaratan yang lebih ringan di kalangan adanya dua yang memberi mudarat”
 
Memulau pilihan raya atau merosak undi bermakna jumud dan tidak bersedia membuat perubahan politik kepada yang lebih baik kalau memerintah atau berpeluang menjadi pembangkang yang menasihat yang menjadi jihad paling afdal kebajikannya kepada rakyat dan negara. 
 
Memulau pilihan raya juga mendedahkan kepada pilihan yang merosakkan negara dan rakyat, sama ada secara bersendiri atau mengundang campur tangan asing yang menjajah semula. 
 
Haram bagi umat Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi kerana menarik diri daripada menjadi teras kepimpinan umat yang wajib demi menegakkan Islam dalam pemerintahan negara. Inilah ketetapan Allah:
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ  وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَهُمْ  مِنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ١١٠
[آل عمران: 110]
 
“Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang maaruf (baik dan berkebajikan) dan melarang daripada segala perkara yang mungkar (salah, buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).”
(Surah Ali-Imran: 110)
 
Kalangan umat Islam yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar. Perkara inilah yang sangat dikehendaki oleh musuh Islam di dalam negara atau di luar negara. Maka kalangan yang melaksanakan kempen memulau pilihan raya sama ada kerana bodoh dan jahilnya atau kesediaannya menjadi alat bagi memberi laluan mudah kepada musuh Islam dan musuh negara. 
 
“Sejahtera Bersama Islam”
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
 
Bertarikh: 17 Jamadil Awal 1439 / 3 Februari 2018 - HARAKAHDAILY 3/1/2018

SEGALA puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, selawat dan salam kepada Rasulullah S.A.W, penutup sekalian para Nabi dan Rasul, imam bagi orang yang bertaqwa dan ketua kepada penyeru para mujahidin, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda S.A.W, para Sahabat, Tabi’in sehingga ke Hari Kiamat nanti.
 
Baitul Maqdis adalah ibu negara Islam Palestin, tidak ada tawar-menawar dan tidak sesekali berundur. Baitul Maqdis adalah isu agama Islam sebelum menjadi isu negara dan bangsa. Di sinilah kiblat pertama dan tempat suci ketiga, tanah kelahiran para Nabi, tempat perjalanan Isra’ Rasulullah S.A.W, dan juga permulaan Mi’raj Baginda S.A.W sebagai tetamu Allah S.W.T. Tanah suci ini telah dihidupkan oleh Nabi Ibrahim A.S. 
 
Firman Allah SWT: 
﴿مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ٦٧﴾
[آل عمران: 67] 
 
“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang Musyrik (67)” 
[Al-i'Imran: 67]
 
Walaupun semua agama mengiktiraf dan memberi penghormatan ke atas Nabi Ibrahim A.S dengan bahasa yang berbeza, sama ada mereka daripada kalangan ahli kitab atau selainnya, maka Nabi Ibrahim A.S. adalah bapa kepada sekalian para Nabi. 
 
Firman Allah:
﴿وَمَنْ يَرْغَبُ عَنْ مِلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَنْ سَفِهَ نَفْسَهُ  وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا  وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ١٣٠ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ  قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ١٣١ وَوَصَّى بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ١٣٢ أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَهَكَ وَإِلَهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ١٣٣ تِلْكَ أُمَّةٌ قَدْ خَلَتْ  لَهَا مَا كَسَبَتْ وَلَكُمْ مَا كَسَبْتُمْ  وَلَا تُسْأَلُونَ عَمَّا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٣٤﴾
[البقرة: 130-134]
 
“Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain daripada orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi Nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada Hari Akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya) (130) (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam"(131) Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam"(132) (Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: "Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?" Mereka menjawab: "Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepada-Nyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)"(133) Mereka itu adalah satu umat yang telah lalu sejarahnya; bagi mereka (balasan) apa yang mereka telah usahakan, dan bagi kamu pula (balasan) apa yang kamu usahakan; dan kamu tidak akan ditanya (atau dipertanggungjawabkan) tentang apa yang telah mereka lakukan(134)” 
[Al-Baqarah: 130-134]
 
Kita beriman bahawa Palestin adalah bumi Islam dan umat Islam dan bukan untuk orang Arab semata-mata, bahkan jauh sama sekali untuk orang Yahudi yang dimurkai di atas apa yang mereka lakukan dan apa yang telah mereka usahakan.
 
Langkah menjadikan Baitul Maqdis milik Yahudi, bahkan ke atas Palestin seluruhnya adalah pengkhianatan yang besar terhadap para Nabi, termasuk para Nabi daripada keturunan Bani Israel. Umat Islam tidak seharusnya mengiktiraf pengkhianatan dan kezaliman rejim Zionis Yahudi. Mereka adalah golongan yang mengkhianati para Nabi dan Rasul.
 
Inilah yang Allah SWT firmankan kepada mereka:
﴿ أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ٨٧﴾
[البقرة: 87]
“Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?(87)” 
[Al-Baqarah: 87]
 
Propaganda Freemason dan Zionis untuk menubuhkan sebuah negara Nabi Daud dan Nabi Sulaiman A.S adalah satu penipuan, kerana negara Islam ini tertegak di atas manhaj Taurat dan kenabian. Mereka tidak beramal dengan kitab Taurat, bahkan menyelewengkannya dan menukarkannya, serta beriman dengan sebahagiannya dan kufur pula dengan sebahagiannya. 
 
Allah menceritakan kisah mereka:
﴿ أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ  فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا  وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ  وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ٨٥ أُولَئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الْحَيَاةَ الدُّنْيَا بِالْآخِرَةِ  فَلَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ الْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنْصَرُونَ٨٦﴾
[البقرة: 85-86]
 
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada Hari Kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan (85) Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan (86)”
[Al-Baqarah: 85-86]
 
Allah mengumpamakan mereka seperti keldai: 
﴿مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا  بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ  وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ٥﴾
[الجمعة: 5]
 
“(Sifat-sifat Nabi Muhammad itu telahpun diterangkan dalam Kitab Taurat tetapi orang-orang Yahudi tidak juga mempercayainya, maka) bandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela Kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim(5)”
[Al-Jumu'ah: 5]
 
Negara-negara Islam dan majoriti negara lain tidak sepatutnya berpihak kepada ‘keldai’ ini, termasuklah negara-negara yang besar dan maju. Celakalah ke atas mereka yang menjadi seperti Zionis daripada bangsa kita dan bertutur dengan bahasa kita yang berusaha untuk menggunakan politik normalisasi (memberi pengiktirafan terbuka kepada Zionis Israel, mengakui kewujudannya dan menjalankan hubungan secara rasmi mahupun tidak dengan Israel). 
 
Begitulah cara nenek moyang mereka memasuki bumi Palestin atas nama hijrah dan jihad. Sedangkan kemasukan mereka selepas sesat di padang pasir selama 40 tahun adalah kerana keengganan mereka untuk berjihad di jalan Allah S.W.T. Bahkan mereka mempermainkan perintah Allah S.W.T:
﴿وَإِذْ قُلْنَا ادْخُلُوا هَذِهِ الْقَرْيَةَ فَكُلُوا مِنْهَا حَيْثُ شِئْتُمْ رَغَدًا وَادْخُلُوا الْبَابَ سُجَّدًا وَقُولُوا حِطَّةٌ نَغْفِرْ لَكُمْ خَطَايَاكُمْ  وَسَنَزِيدُ الْمُحْسِنِينَ٥٨ فَبَدَّلَ الَّذِينَ ظَلَمُوا قَوْلًا غَيْرَ الَّذِي قِيلَ لَهُمْ فَأَنْزَلْنَا عَلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا رِجْزًا مِنَ السَّمَاءِ بِمَا كَانُوا يَفْسُقُونَ٥٩﴾
[البقرة: 58-59] 
 
“Dan (kenangkanlah) ketika Kami berfirman: "Masuklah kamu ke bandar ini, kemudian makanlah dari benda-benda yang ada di dalamnya dengan sepuas-puasnya, apa sahaja yang kamu sukai. Dan masuklah kamu melalui pintunya dengan tunduk (merendah diri); dan (mintalah ampun dengan) berkata: 'Ya Allah ampunilah dosa kami '; supaya kami ampunkan kesalahan-kesalahan kamu, dan Kami akan tambah pula pahala orang-orang yang berbuat baik"(58) Kemudian orang-orang yang zalim (penderhaka) itu mengubah perkataan (perintah kami) yang dikatakan kepada mereka dengan melakukan sebaliknya; maka Kami turunkan ke atas orang-orang yang zalim itu bala bencana dari langit, dengan sebab mereka sentiasa berlaku fasik (menderhaka) (59)” 
[Al-Baqarah: 58-59]
  
نحن قوم أعزنا الله بالإسلام فمهما نبتغي العز بغير ما أعزنا الله أذلنا الله 
“Kita adalah umat yang diberikan kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain dari Islam, nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.”
 
Seterusnya kesetiaan kepada Pakatan Salib hari ini dan selepas pelaksanaan Deklarasi Balfour serta pembahagian negara-negara Islam melalui Perjanjian Sykes-Picot terhadap mereka yang tidak mempunyai hak selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah di tangan kita sendiri di atas nama Revolusi Agung Arab.
 
Di samping itu, isu Baitul Maqdis Timur dimainkan adalah untuk memperkecilkan isu yang besar selepas mereka mengikut dasar politik normalisasi ini sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga akhirnya terjerumus ke dalam lubang dhob (perangkap Zionis Israel). Ia secara beransur-ansur dipinggirkan daripada isu agama Islam dan kemudian menjadi isu kaum dan nasionalisme Arab, kemudian menjadi isu rakyat Palestin, dan menjadi isu tanah yang berlaku sebelum perang 1967, diikuti pula dengan Persidangan Oslo dan Persidangan Madrid, kemudiannya penyelesaian dua negara, seterusnya dibelah menjadi Baitul Maqdis Timur, dan akhirnya apa yang dinamakan sebagai perjanjian abad ini.
 
Rakyat Palestin telah membantah sekeras-kerasnya, begitu juga umat Islam di seluruh dunia juga menolak perkara ini kecuali mereka yang menyimpang dan mereka ini seakan tidak wujud. Dan ia mengingatkan saya tentang apa yang dikatakan oleh Yasser Arafat Abu Ammar rahimahullah ketika mana Ismail Jan, mantan Menteri Luar Turki datang menawarkan cadangan supaya menyerahkan Baitul Maqdis kepada Yahudi dengan menubuhkan kerajaan baru Palestin dan dibayar sejumlah besar wang. Beliau berkata sambil tersenyum: 
 
“Saya terima dengan syarat anda melaksanakan undian cadangan tersebut di Turki. Adakah rakyat Turki yang beragama Islam akan menerimanya atau tidak?”
 
Lalu Menteri itu pergi dengan keadaan malu. Sepertimana keluarnya Theodore Herzl, seorang Zionis juga dalam keadaan malu, apabila tawarannya ditolak oleh Sultan Abdul Hamid rahimahullah, Khalifah Turki Uthmaniyyah. Akan  tetapi perjanjian baru bagi orang Arab hari ini adalah menyeleweng.
 
Maka pada hari ini kita berhimpun di bahagian Timur yang paling hujung, iaitu bahagian paling jauh dari dunia Islam. Sesungguhnya kesatuan kita ini merapatkan ikatan persaudaraan (ukhuwwah) atas dasar keimanan dan menjadikan satu barisan sama pada benteng yang sama. Hal ini kerana tidak ada perbezaan di antara barisan yang pelbagai, mahupun yang berbilang-bilang ini, dari Baitul Maqdis sehingga penghujung Timur mahupun penghujung Barat, dan dari Mauritania ke Indonesia dan Malaysia, kerana kita bersepakat bahawa Baitul Maqdis adalah milik kita.
 
Biarkan Yahudi tahu bahawa rumah-rumah mereka hanyalah seperti rumah labah-labah, meskipun disokong oleh kuasa-kuasa besar yang mempunyai kuasa veto di dalam Majlis Keamanan PBB, yang menyekat keamanan ke atas saudara-saudara kita di Palestin, dan Kerajaan-kerajaan yang disusun oleh rejim Zionis untuk memberikan perlindungan ke atas Israel sehingga berusaha untuk meluluskan permit persenjataan daripada senjata yang paling kecil kepada senjata yang besar seperti senjata pemusnah yang diharamkan di peringkat antarabangsa. Akan tetapi senjata-senjata itu akan musnah berdepan gerakan intifadhah, kanak-kanak bersenjatakan batu dan barisan Islam yang lahir daripada kebangkitan Islam yang diberkati.
 
Kita telah melihat kebangkitan umat Islam di seluruh dunia, di negara-negara Islam, masyarakat minoriti Islam di pelbagai benua, dari sebuh lautan ke lautan yang lain, dan dari satu ceruk hingga satu ceruk yang lain. 
 
Persidangan kita pada hari ini di Malaysia, adalah sebahagian yang tidak dapat dipisahkan darinya. Saya mengalu-alukan kehadiran kalian semua ke Asia Tenggara, bumi yang mempunyai jutaan umat Islam. Oleh kerana itu, barisan kita kepala dan sayapnya di Baitul Maqdis, dan anggota tubuhnya berada dari Timur ke Barat.
 
Saya mengucapkan jutaan terima kasih di atas penyertaan pihak kerajaan, Perdana Menteri, menteri-menteri, para pegawai, pihak keselamatan, organisasi-organisasi, persatuan-persatuan, para ilmuan dan para ulamak, serta hadirin sekalian.
 
Kami bermohon kepada Allah S.W.T agar menjadikan perhimpunan kita sebagai satu ikatan di jalan Allah S.W.T, yang lebih baik daripada dunia dan seisinya. Segala pujian kepada Allah, Tuhan sekalian alam.
 
“Al-Quds Identiti Ummah”
 
“Sejahtera Bersama Islam” 
 
ABDUL HADI AWANG
Timbalan Presiden Kesatuan Ulamak Islam Sedunia
Presiden PAS
 
(Teks ini adalah terjemahan ucapan perasmian Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sempena Majlis Perasmian Persidangan Meja Bulat MyAqsa Ulama Sedunia Mengenai Baitul Maqdis pada 27-28 Januari 2018 di Pullman Putrajaya Lakeside. Disediakan oleh Pejabat Presiden PAS) - HARAKAHDAILY 30/1/2018