Masjid Al-Aqsa dan kelemahan dunia Arab

Presiden
Typography

SESUNGGUHNYA Allah telah berfirman di dalam Al-Quran:

سُبۡحَٰنَ ٱلَّذِيٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلٗا مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِي بَٰرَكۡنَا حَوۡلَهُۥ لِنُرِيَهُۥ مِنۡ ءَايَٰتِنَآۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلۡبَصِيرُ ١ الإسراء

“Maha Suci Allah, yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad S.A.W) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk Kami memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Isra’: 1)

Rasulullah S.A.W juga bersabda:

"لَا تُشَدُّ اَلرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلَاثَةِ مَسَاجِدَ: اَلْمَسْجِدِ اَلْحَرَامِ، وَمَسْجِدِي هَذَا، وَالْمَسْجِدِ اَلْأَقْصَى" (مُتَّفَقٌ عَلَيْهِ) بلوغ المرام من أدلة الأحكام (ص: 194)

“Tidaklah secara bersunguh-sungguh melakukan lawatan melainkan kepada tiga Masjid: Masjidil Haram (Makkah), Masjidku (Madinah) dan Masjid Al-Aqsa (di Baitul Maqdis)”  
 
tgdoaBegitulah digambarkan kemuliaan Masjid Al-Aqsa bagi umat Islam, kerana Allah telah memilihnya menjadi tempat terakhir peristiwa Isra’ dan bermulanya Mi’raj; iaitu peristiwa Rasulullah S.A.W. dijemput menjadi tetamu Allah di malam paling bersejarah kepada seluruh alam.

Palestin dibuka oleh Nabi Ibrahim A.S yang menjadi tempat kelahiran ramai kalangan para anbia’ A.S. dan kiblat pertama bagi umat Islam.

Maka Baitul Maqdis dan terletaknya Masjid Al-Aqsa merupakan tanah suci bagi umat Islam, namun tidak menghalang penganut agama lain berkunjung mengikut kepercayaan mereka.   

Umat Islam dan penganut agama para Rasul A.S. paling berhak memerintah dan menjaganya. Hakikat ini berlaku apabila Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A. mengarahkan tentera Islam membebaskannya daripada penjajahan Rom, bagi menunaikan perintah Allah:

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠

“Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”. (Surah al-Hajj: 40)

Paderi besar Baitul Maqdis menjemput Khalifah Umar bin Al-Khattab R.A. supaya menyaksikan upacara perjanjian penyerahannya yang telah memberi hak beragama yang sangat dipersetujui oleh penganut agama lain. Khalifah Umar juga memakmurkan semula Masjid Al-Aqsa yang dibiarkan.   

Umat Islam adalah pemegang amanah memerintah Baitul Maqdis dan bersamanya Masjid Al-Aqsa.

Namun apabila berlakunya pengkhianatan terhadap amanahnya, menyebabkan ditakluk oleh pihak yang lain dan berlakulah pencabulan terhadap satu sama lain sejak zaman berzaman, khusus terhadap yang tidak seagama dengannya.

Hanya pemerintahan Islam yang dapat memberi hak dan keamanan kepada semua pihak mengikut hukum Islam.

Dalam sejarahnya yang diketahui umum, Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa pernah ditakluk oleh bala tentera Salib yang bermandi darah. Sehinggalah hampir seratus tahun di bawah kawalan mereka, Sultan Salahuddin Al-Ayyubi daripada bangsa Kurdish berjaya membebaskannya setelah menyatukan umat dan berjihad di atas nama Islam.

Kini Baitul Maqdis dan bersamanya Masjid Al-Aqsa ditakluk oleh kumpulan Zionis Yahudi yang berjuang menegakkan negara Yahudi Israel untuk mengembalikan semula kerajaan Nabi Sulaiman A.S. atas asas cerita karut Israiliyyat dan dengan matlamat mengukuhkan Freemason dan Zionis sekali gus, walaupun kalangan mazhab Ortodok sendiri menentangnya kerana membahayakan bangsa Yahudi.  

Kini mereka berjaya menubuhkan negara haram Israel dengan penipuan melalui Perjanjian Balfour 1917 dan Perjanjian Sykes-Picot 1916. Setelah berjaya memecahbelahkan umat Islam di atas perbezaan kaum dan mazhab, mereka berjaya menubuhkan negara-negara mengikut peta yang dilakarkan oleh mereka, dan dibahagikan di kalangan mereka yang bersama-sama menjatuhkan kerajaan Uthmaniyah yang sedang lemah ketika itu.  

Peristiwa lama telah berlalu, walaupun kebanyakan negara dikatakan telah mencapai kemerdekaan daripada penjajah barat, namun masih diikat dengan berbagai-bagai perjanjian politik, ekonomi dan ketenteraan.  

Sepatutnya negara umat Islam khususnya negara Arab berjaya membina kedaulatan negara yang telah merdeka sepenuhnya, malangnya kita menyaksikan khususnya negara Arab yang menjadi benteng kepada Dunia Islam, masih lagi meneguhkan ikatan lama dengan kuasa penjajah itu. Sepatutnya isu Masjid Al-Aqsa menjadi simbol kesedaran umat yang menyatukan mereka.

Betapa seluruh dunia dapat menyaksikan kebangkitan semula rakyat Palestin khususnya di sekeliling Masjid Al-Aqsa. Mereka bangkit menghadapi kesombongan Israel yang melakukan ancaman terbuka ke atas Masjid Al-Aqsa dengan tujuan merobohkannya. Di bawahnya sudah banyak digalikan terowong dengan tujuan untuk merobohkan Masjid Al-Aqsa dan mendirikan di atas runtuhannya Kuil Yahudi yang dinamakan Haikal Sulaiman.

Pihak media memaparkan rakyat Palestin sedang berduyun-duyun pergi berhimpun di Masjid Al-Aqsa untuk beriktikaf di akhir Ramadan. Israel pula melakukan berbagai-bagai sekatan di sekeliling Masjid Al-Aqsa, disamping membenarkan pelampau Yahudi mencabulinya sehingga boleh mencetuskan ketegangan.  

Malangnya, negara Arab sedang berkrisis sesama jiran dan bertelagah di antara berbagai pihak kerana perbezaan kabilah dan mazhab. Terakhir pula, negara Arab menjemput Perdana Menteri British, kemudian diikuti Presiden Amerika dalam Sidang Kemuncak Negara Arab dan membentuk gagasan menentang keganasan yang ditujukan terhadap negara jiran mereka.  Bukannya keganasan Israel tetapi keganasan dalam bangsa dan umat sendiri dengan sebab-sebab yang sengaja diwujudkan.   

Mereka sanggup berbelanja besar menghabiskan duit kerana berperang di Syria, Iraq, Yaman, Libya dan lain-lain. Mereka juga sedang membeli senjata untuk berperang dengan Iran, Qatar dan siapa sahaja dengan melupai Israel yang mencecah hidung mereka. Senjata yang dijual kepada Arab tidak mampu menentang Israel yang bekalan senjatanya lebih besar dan canggih. Begitulah juga dengan hasil minyak digunakan untuk membeli senjata bagi menjana ekonomi negara Barat yang diberi wala’ kepadanya.

Adapun kewajipan membebaskan Masjid Al-Aqsa mula diperkecilkan dalam senarai keutamaan mereka. Paling buruk lagi adalah tindakan bermusuh dengan kumpulan Islam yang berjihad di Palestin dan secara terbuka atau senyap mengadakan hubungan persahabatan dengan negara haram Israel. Perbelanjaan persenjataan mengatasi keperluan yang lain khususnya keperluan rakyat.

Maka berlakulah apa yang didendangkan dalam Peribahasa Melayu:

Ayam di kepuk mati kelaparan,
Itik di air mati kehausan.

Anak di riba dibiarkan,
Kera dihutan disusukan.

Mereka rela membunuh sesama umat dan jiran. Sedangkan masalah Masjid Al-Aqsa terus dipinggirkan daripada amanah yang wajib ditunaikan.

Rasulullah S.A.W. telah memberi amaran kepada mereka yang mengecewakan Baitul Maqdis dengan sabdanya:

"لا تزال طائفة من أمتي على الدين ظاهرين لعدوهم قاهرين لا يضرهم من خالفهم الا ما أصابهم من لاواء حتى ياتيهم أمر الله وهم كذلك قالوا يا رسول الله وأين هم قال ببيت المقدس وأكناف بيت المقدس" (مسند أحمد لأحمد بن حنبل: 9/ 43)

“Terus-menerus masih ada kalangan umatku, golongan yang terus berpegang dengan agamanya (Islam), mereka terbuka menentang musuh dengan gagah perkasa, tidak boleh dimudaratkan (sehingga mereka berhenti) dengannya, melainkan mereka menghadapi kesusahan yang menimpa mereka. Sehingga datangnya keputusan Allah, namun mereka terus tidak berganjak dalam keadaan begitu. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Di manakah mereka?” Sabdanya: “Mereka berada di Baitul Maqdis dan di sekitar Baitul Maqdis”.  

Akhirnya menunjukkan bahawa mereka yang mengecewakan Baitul Maqdis dan Masjid Al-Aqsa akan kecundang bersama harta dan takhtanya. Mereka yang teguh beristiqamah bersama Islam walaupun digelar pengganas dan apa sahaja akan mencapai kemenangan.

“Sejahtera Bersama Islam”

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Ramadhan 1438H / 19 Jun 2017M - HARAKAHDAILY 19/6/2017