MyAqsa: Ulama pengganti umara sebagai ulil amri

Fikrah
Typography
TAHNIAH Malaysia! Satu pendekatan yang baik diambil apabila menjadi tuan rumah kepada persidangan ulama Islam dalam menyelesaikan isu al-Aqsa. Satu pendekatan baharu dan baik untuk masa depan Islam. Sebelum ini, persidangan yang dianjurkan hanyalah di perbatasan pemimpin politik sahaja. Walaubagaimanapun, hasilnya sangat mengecewakan.
 
Ulama sebagai Ulil Amri
 
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ
"Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada 'Ulil-Amri' dari kalangan kamu."
 
Menerusi ayat ini, Allah menekankan pihak ketiga yang perlu ditaati adalah Ulil Amri. Namun ketaatan kepada mereka tidak mutlak, tetapi terikat dengan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya. Mengenai Ulil Amri, para ulama menafsirkan mereka adalah pengganti peranan Rasul, terdiri dua golongan iaitu Ulama dan Umara. Umara adalah pemimpin politik manakala Ulama adalah pemimpin spiritual. Kedudukan kedua-dua mereka sepatutnya sama tinggi dan bersifat check and balance. Kedua-duanya mesti memimpin umat dengan berpandukan syariat Islam.
 
Umara tidak boleh diharap
 
Hari ini kita melihat kepincangan Umara dalam menyelesaikan isu Palestin. OIC lesu tanpa mampu berbuat apa-apa. Begitu juga Liga Arab. Paling menyedihkan, ketika Riyadh Summit yang diadakan di Saudi tahun lepas bersama 57 pemimpin negara Islam bersama Presiden US Donald Trump, kesemuanya membahaskan masalah umat Islam dari pandangan US iaitu ancaman Iran. Tidak ada satu pun perbahasan mengenai ancaman Zionis Yahudi.
 
Saudi membawa suara US dalam menawarkan wilayah Abu Dis kepada penduduk Palestin sebagai ganti kepada Baitulmaqdis yang akan dijadikan ibu negara Israel. Mesir pula didedahkan ada mencadang Ramallah sebagai ganti Baitulmaqdis. Negara-negara lain walaupun tidak bersetuju, tetapi tidak memiliki apa-apa tindakan politik terhadap Israel. Malah Turki yang mengugut untuk memutuskan hubungan dengan Israel jika Trump mengisytiharkan Baitulmaqdis milik Israel, kini senyap seribu bahasa.
 
Al-Quds Aulawiyatul 'Asr
 
Umara sudah tidak boleh diharapkan. Kini umat perlu berpaut pada institusi Ulama dalam menguruskan isu Palestin. Ulama juga perlu berperanan pro-aktif dan berani. Mereka mesti meletakkan aulawiyat menyatukan umat dalam isu al-Quds, bukan memecah belahkan dengan isu-isu khilafiah yang tidak berkesudahan.
 
Isu al-Quds adalah isu yang disepakati semua Ulama Islam baik Timur dan Barat. Kerana paksi isu ini adalah al-Quran dan Sunnah. Justeru ia wajar menjadi perkara utama yang ditumpukan oleh semua Ulama tanpa mengira aliran. Kisah Rasulullah S.A.W mengimami solat seluruh Nabi dan Rasul di Masjidil Aqsa memberi isyarat bahawa al-Aqsa adalah lambang penyatuan.
 
Alihkan ke tepi dahulu percanggahan aliran. Musuh sedang bersatu menghancurkan Islam tanpa mengira mazhab, aliran atau bangsa. Yang ekstrim, yang bidaah, yang tasaahul, semuanya diletakkan dalam bakul bernama Islam. Lalu kenapa kita tidak boleh bersatu atas tujuan yang sama? Kenapa perlu berpaut dengan kuffar kiri dan kanan, dan menjadikan sesama Islam sebagai musuh yang perlu diperangi?
 
Ulama wajib ditaati
 
Peranan ini perlu dimainkan Ulama. Tidak ada orang lain yang lebih layak. Tidak ada orang yang lebih bertanggungjawab. Himpunan MyAqsa adalah satu langkah awal yang baik. Tetapi tidak boleh terhenti setakat ini. Bukan sekadar suara kecaman terhadap US dan Zionis yang mahu didengar. Tapi langkah susulan yang lebih strategik sehingga dapat menyelamatkan al-Aqsa.
 
Umat Islam pula perlu menyedari kewajipan mereka taat kepada Ulama adalah sama sebagaimana kewajipan mereka taat kepada Umara. Walaupun Ulama tidak ada sebarang jawatan tinggi, suara mereka tetap perlu dipatuhi. Malah jika Umara berpandangan bercanggah dengan nas dan Ulama pula berpandangan selari dengan nas, wajib umat Islam menentang Umara dan bersama dengan Ulama!
 
Yang menjadi masalah kepada umat Islam adalah ulama sendiri yang tidak bersatu. Ada ulama yang tidak mahu bersama aspirasi ulama lain, menjadikan pengikut turut berpecah. Sebilangan Ulama menjadi punca perpecahan!
 
Ulama agen penyatu
 
Dalam saat-saat genting ini, Ulama seharusnya mengenepikan ego dan merujuk kembali aulawiyat semasa. Aliran pondok, aliran Timur Tengah, aliran Universiti Tempatan, aliran salaf mahupun khalaf, bahkan aliran sunni serta syiah perlu meletakkan ditepi perbezaan kerana kita ada misi yang sangat besar untuk ditangani.
 
Ikuti resam bagaimana Salahuddin al-Ayyubi menyatukan umat sebelum membebaskan al-Quds. Beliau menyatukan dahulu antara Abbasiyah dan Fatimiyyah. Isu-isu perbezaan antara umat Islam dari sudut perbezaan Sunni dan Syiah tidak ditangani secara perang, sebaliknya secara perbahasan ilmu. Akhirnya, Baitumaqdis berjaya dibebaskan dan ajaran sesat Syiah tenggelam dengan harmoni di Mesir dan Afrika Utara.
 
Insafi Firman Allah S.W.T yang menyempurnakan perintah mentaati Ulil Amri dalam ayat terdahulu:
فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
"Dan jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."
[An-Nisa':59]
 
Perpecahan punca kekalahan
 
Kenapa hari ini Islam berada di pihak yang kalah? Allah telah menjawab persoalan ini sejak lama dahulu. Puncanya adalah sikap kita yang melayan perpecahan. Firman Allah S.W.T:
وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan kalah dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar."
[Al-Anfal:46]
 
11 Jumadal Ula 1439
28 Januari 2018
 
ALANG IBN SHUKRIMUN - HARAKAHDAILY 28/1/2018