Jabatan Amal lancarkan perjalanan Fastaqim 2.3 Pahang

Berita
Typography
KUALA KRAU: Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang antara entiti penting PAS yang menjadi pelengkap disebalik kelancaran Himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Pahang, Fastaqim 2.3 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini kelmarin.
 
Seramai 60 anggota bertugas dipimpin sendiri oleh Pengarah Jabatan Amal Malaysia Negeri Pahang, Ustaz Shaharuddin Ahmad,  melaksanakan pelbagai rutin mengikut kor masing-masing seawal jam 8 pagi dan selesai hingga semua pimpinan dan peserta bersurai dari tapak himpunan.
 
Mereka telah mengadakan kawalan trafik dan lalu lintas, selain lengkap dengan persiapan untuk khidmat rawatan, serta ambulan sebagai siap siaga sebarang kecemasan, termasuk melakukan pemantauan keselamatan pimpinan.
 
Sistematik tenaga kerja sukarela pasukan tersebut diatur menerusi penjadualan tugas yang dibahagi secara giliran, sekali gus menyaksikan anggota uniform meroon itu setia sepanjang melaksanakan khidmat mereka.
 
Jabatan Amal yang ditubuhkan di bawah Dewan Pemuda PAS kini giat meluaskan skop tugasnya mencakupi pelbagai aspek terutama melibatkan kebajikan dan sosial dalam merealisasikan agenda memasyarakatkan PAS. - HARAKAHDAILY 22/1/2018