LEPIR penggerak Pendidikan Islam pasca perang

Kolumnis
Typography
PENDIDIKAN merupakan nadi kebangkitan ummah dan ia mendapat perhatian besar para ulama sejak zaman-berzaman dalam membangunkan tamadun manusia. Dalam konteks Melayu sebagai bangsa yang dijajah pada abad ke-20, terutama selepas jatuhnya Khilafah Othmaniyah, maka institusi pendidikan Islamlah yang dijadikan benteng untuk membina semula kekuatan. Melanjutkan peranan institusi pendidikan pondok yang muncul semenjak abad ke-17 di Tanah Melayu, sistem pendidikan pondok mula mendapat tempat pada abad ke-20. Bermula dengan penubuhan Madrasah al-Masriyah di Bukit Mertajam pada 1906 dan Madrasah al-Iqbal di Singapura pada 1908, sistem pendidikan madrasah mula menjadi dominan selepas Perang Dunia Kedua.
 
Persoalan berkait dengan pembangunan dan masa depan sekolah-sekolah agama rakyat atau madrasah menjadi topik penting dalam perjuangan para ulama, terutama untuk menyediakan pendidikan agama yang berkesan dan berkualiti kepada generasi baru umat Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, tidak ada sebarang organisasi khusus yang memperjuangkan nasib pendidikan Islam, walaupun telah wujud beberapa organisasi seperti Jabhah ad-Diiniyah al-Islamiyah Kelantan, Jam’iyatul Dakwah al-Islamiyah Singapura dan Persatuan Ulamak Kedah. Isu pendidikan Islam ini hanya mula diperkatakan apabila para ulama menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) di Gunung Semanggol pada 24 Mac 1947 dengan diketuai oleh Sheikh Hussein ar-Rafik, guru Madrasah al-Mashoor.
 
Dalam persidangan MATA yang kedua di Madrasah al-Akhlak as-Salam, Guar Chempedak pada 12-13 Julai 1947, telah ditubuhkan 14 buah jabatan di bawah MATA, termasuk Jabatan Pelajaran, selain turut membincangan rancangan menubuhkan sekolah tinggi (universiti) Islam di Tanah Melayu dan mewujudkan derma pelajaran (biasiswa). MATA juga turut menekanan kepentingan membangunkan sekolah-sekolah agama “demi perlunya pendidikan untuk perjuangan.” Dalam bulan Ogos 1947, sebuah badan yang dinamakan Badan Kebajikan dan Pelajaran telah ditubuhkan oleh MATA dengan diketuai oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan dibantu oleh Ustaz Abdul Rab at-Tamimi. Badan ini bertujuan untuk menganjurkan satu kongres pendidikan di Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1-2 September 1947 “untuk memajukan bangsa melalui pembinaan sekolah tinggi…”
 
Dalam kongres ini yang dihadiri oleh 300 orang ulama dan tokoh pendidikan ini, sembilan resolusi telah diluluskan termasuk menubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), menerbitkan buku-buku pelajaran, memperbanyakkan sekolah agama rakyat, mewujudkan derma pelajaran, menyamatarafkan silibus pendidikan, menghidupkan semula sekolah agama yang ditutup, membantahkan sekatan politik di sekolah, membantah kewujudan tauliah untuk menyekat gerakan dakwah dan menerbitkan akhbar-akhbar. LEPIR sendiri mewujudkan beberapa biro iaitu Badan Pentadbiran Pelajaran dan Pendidikan, Badan Propaganda, Badan Peperiksaan, Badan Kewangan dan Badan Hal Ehwal Am untuk menjalankan aktivitinya. Pada 15 November 1947, satu persidangan untuk menubuhkan LEPIR secara rasmi diadakan di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol dengan Ustaz Abdul Rab at-Tamimi sebagai pengerusinya dan Ustaz Harun Fahmi sebagai setiausaha.
 
LEPIR kemudiannya berjaya menubuhkan Pusat Pentadbiran Sekolah-sekolah Rakyat yang bertujuan menjadi payung kepada semua sekolah agama rakyat bagi mewujudkan keselarasan organisasi, pendidikan dan kurikulum. Bekas Mudir Madrasah Darul Ulum, Makkah, Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani dilantik sebagai pengelola pusat ini, manakala Pengerusi LEPIR, Ustaz Abdul Rab at-Tamimi menjadi nazirnya. Pergerakan aktif LEPIR yang menyatukan sekolah-sekolah agama rakyat ini bukan sahaja mendapat sokongan padu para ulama dan institusi pendidikan Islam, tetapi turut menggugat kedudukan Umno sehingga memaksa mereka menubuhkan Derma Pelajaran Umno dan mencadangkan penubuhan Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
 
Dalam persidangan besar yang diadakan di Gunung Semanggol pada 13-16 Mac 1948, para ulama telah memberikan fokus kepada tiga isu utama iaitu penubuhan universiti Islam, penubuhan parti Islam dan pengendalian syarikat-syarikat perniagaan Melayu. Pada 14 Mac 1948, Persidangan MATA telah berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin sebagai parti Islam yang pertama, sedangkan Persidangan PEPERMAS pada 15 Mac 1948, telah diputuskan penubuhan Bank Kebangsaan Melayu dan Hari Menguntum, makala Persidangan LEPIR pada 16 Mac 1948 pula bersetuju menubuhkan sebuah universiti rakyat yang dikenali sebagai Universiti Hang Tuah yang dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abdul Rab at-Tamimi sebagai setiausahanya. LEPIR kemudiannya berjaya menggabungkan 70 buah Sekolah Agama Rakyat di bawahnya. 
 
Selepas Persidangan LEPIR ini, badan pendidikan rakyat yang dipimpin oleh Ustaz Abdul Rab at-Tamimi telah mengatur pertemuan dengan Persatuan Il Ihya Assyariff untuk menyusun perkara derma pelajaran dan kekurangan guru, sebelum mereka menyusun penubuhan Kuliah al-Muallimin untuk melatih guru-guru yang dirancang untuk dimulakan pada Ogos 1948. LEPIR juga memperkenalkan mata-mata pelajaran baru dalam bidang kejiwaan (psikologi), pentadbiran, bahasa asing, matematik dan lain-lain. Namun begitu, penggubalan Ordinan Darurat 1948 telah melumpuhkan pergerakan LEPIR apabila pemimpin utama mereka, Ustaz Abdul Rab at-Tamimi dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir ditahan di bawah ordinan ini pada Ogos 1948.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 20/1/2018