Muafakat PH hanya untungkan elit politik tertentu

All
Typography
PEMBAHAGIAN kerusi Parlimen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 memperlihatkan dominasi kelompok elit politik licik dan cerdik yang pantas mengambil peluang menguasai PH. Dalam hal ini, yang paling banyak mendapat laba dan keuntungan adalah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan masing-masing mendapat kerusi paling banyak. PPBM dijangka bertanding 52 buah kerusi manakala PKR mendapat 51 buah kerusi. DAP pula mendapat bahagiannya dengan 35 kerusi sementara Parti Amanah Negara (PAN) pula hanya mendapat 27 buah kerusi.
 
Lebih menakjubkan, PPBM mendapat bakal calon Perdana Menteri (PM) dengan Tun Dr Mahathir Mohamad diangkat sebagai calon PM jika mereka menang sementara Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dari PKR akan menjadi Timbalan Perdana Menteri. Agak melucukan dan begitu menghairankan, parti serpihan yang dibentuk belum sampai dua tahun boleh mendapat tempat sebegitu tinggi sedangkan parti yang lebih kurang sebaya, PAN hanya mendapat 27 buah kerusi Parlimen dan tidak dijanjikan apa-apa kedudukan tertinggi.
 
Bagi PH, inilah muafakat terbaik dengan dominasi daripada dua bekas parti serpihan Umno ini. Muafakat bagi mereka, jika mereka mendapat tempat tertinggi dan kedudukan kepimpinan tertinggi. Dinamakan muafakat jika yang berhak mendapat kata putus, kuasa veto dan hierarki tertinggi adalah pemimpin elit kelompok mereka. Tidak menjadi muafakat, jika calon PM dan TPM diambil dari kalangan pemimpin muda yang bukan dari kelompok mereka manakala kerusi yang mereka dapat diagih secara adil dan saksama. Barulah ini semangat muafakat dan setiakawan, kerana orang lain akan setia dalam persahabatan dengan mereka, sedangkan mereka tidak pernah setia dalam berkawan.
 
Benarlah kata orang, politik bukan soal kejujuran dan ketulusan. Politik adalah sejauh mana golongan yang bijak mengambil kesempatan dengan mempergunakan orang lain demi kepentingan diri sendiri. Konsensus yang mereka tunjangi tersingkap hanya retorik demi meraih sokongan rakyat terbanyak. Ia hanyalah slogan kosong kerana perjuangan hanya berteras nafsu untuk kepentingan peribadi. Awal-awal lagi konsensus yang diperlihatkan hanya menguntungan satu dua orang tertentu dan kelompok tertentu. Hasilnya satu dua hari ini, muncul rasa tidak puas hati di mana-mana yang boleh melahirkan sabotaj dan pengkhianatan. Konsensus mereka umpama sarang labah-labah, sangat rapuh dan hanya bertahan menunggu masa untuk roboh. 
 
PAS pernah berhadapan dengan suasana sebegitu dan dibuli dengan sedemikian rupa oleh Pakatan Rakyat. Atas jentera PAS, dana dan sokongan, pengaruh, pentas dan strategi PAS mereka bertanding dan menang tetapi diakhirnya PAS juga yang tersingkir dan dipinggirkan. PAS yang perlu beralah ke tepi, sedangkan mereka duduk ditengah-tengah, dijulang dan diangkat sebagai pemimpin besar. PAS umpama anak tiri yang dibuli dan didera, sedangkan mereka yang menumpang kerusi dan rumah yang dibina atas inisiatif PAS.
 
Hari ini, parti serpihan PAS yang ditubuhkan atas kekecewaan, PAN merasai apa yang pernah kami lalui dahulu. Tetapi, mereka lupa dan tidak pernah serik ditipu, ditindas dan dijanjikan dengan pelbagai kata-kata manis yang indah di halwa telinga. Mereka seperti terpukau dengan janji setinggi langit dengan pelbagai jawatan penting dan menarik, tetapi yang akhirnya semua kedudukan itu golongan tertentu pula yang boloti. Sejarah bakal mengulangi episod ini, kerana golongan yang dahagakan kuasa dan tamakkan pangkat akan mencetak judul dan kisah yang sama dalam landskap politik negara.
 
Kini hikmahnya PAS keluar dari Pakatan Rakyat semakin terserlah. PAS semakin mantap bersama Gagasan Sejahtera yang lebih mapan, berprinsip dan diterima rakyat. Langkah PAS juga semakin gagah dengan sokongan golongan sivil, NGO dan masyarakat terbanyak. Suara PAS ada di mana-mana, dari mimbar masjid, corong radio, suara hak asasi, nilai kemasyarakatan, perjuangan membela kemanusiaan dan lain-lain yang diwakili oleh rakyat yang dambakan kebenaran dan ketulusan. 
 
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat - HARAKAHDAILY 9/1/2018