Himpunan 12,000 jentera PAS Kedah

All
Typography

SEMUA petugas dan jentera pilihan raya seluruh Kedah termasuk dewan ulama, pemuda dan muslimat dijangka akan berkampung di Kompleks PAS Kedah pada 28 Oktober ini untuk menjayakan Program Himpunan 12K Jentera Pilihan Raya PAS Kedah.

Program yang akan dimulakan pada pukul 6 petang itu akan dimulakan dengan solat maghrib berjemaah, diikuti solat hajat dan munajat perdana yang akan dikendalikan oleh Dewan Ulama PAS Kedah.

Sebelum itu seawal 6.00 petang, konvoi motosikal di bawah selian Dewan Pemuda PAS Kedah akan tiba di perkarangan kompleks berkenaan untuk memeriahkan lagi sambutan tersebut.

Acara kemuncak pada malam itu akan menyaksikan bacaan ikrar yang akan diketuai oleh Pengarah Pilihanraya PAS Kedah, Ustaz Azizan Hamzah manakala tetamu kehormat pada malam itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man akan dibawa untuk pemeriksaan pembarisan Kontijen 36 MTD seluruh Kedah.

Seperkara yang istimewa pada malam berkenaan iaitu akan diadakan cabutan bertuah iaitu hadiah utamanya merupakan pakej umrah tajaan Zuhud Holiday Sdn Bhd, 10 baucer Umrah bernilai RM500, kepingan emas tajaan GSG Gold, 5 hand free car kit dari Hijau.FM serta hadiah-hadiah bernilai yang lain.

Antara yang akan berucap pada malam bersejarah itu termasuklah Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Sementara itu Gimik Pelancaran Jentera Pilihanraya PAS Kedah dijangka akan disempurnakan oleh Tuan Ibrahim Tuan Man. – HARAKAHDAILY 26/10/2017