SAYA amat cemas apabla Rafizi Ramli, MP PKR Pandan hendak mendedahkan ada orang penting yang rapat dengan pimpinan PAS dikatakan menerima duit daripada syarkat 1MDB yang menggelorakan politik Umno dan kerajaan sekarang.
       
Apabila didedahkan nanti matilah PAS menghadapi fitnahnya.
        
Siapalah gerangan orang yang dikatakan oleh Rafizi itu.
        
Sedang dilamun susah hati itu saya terbaca berita Pesuruhjaya PAS Perak menziarahi Ustaz Taliban, ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat yang dimasukkan ke Hospital Taiping. Sakitnya tidak diketahui tetapi apabila dimasukkan ke hospital tentulah keadaannya kecemasan.
       
Fikiran saya terus tersentak, jangan-jangan dia orang yang dimaksudkan oleh Rafizi itu.
       
Banyak orang yang segar dan dipercayai sihat tiba-tiba diserang penyakit mengejut seperti pitam, diserang jantung dan lain-lain disebabkan gangguan fikiran. Daya tahan badan tak terdaya melawan serangan gangguan fikiran. Ada yang mati.
       
Serangan Rafizi terhadap PAS itu memang teruk. Jika ia benar alang-alang pak lebai tidak terdaya menghadapinya.
      
Saya tidak tahu daya tahan badan Ustaz Taliban. Dalam keadaan PAS terancam itu, dia saja seorang PAS yang segar, uzur mengejut dan diburu serta merta ke hospital. Sangka saya dialah agaknya yang menerima duit 1MDB itu.
      
Syak saya itu kerana terasa dia banyak duit.
      
Sebelum itu dia diamanahkan oleh PAS Perak menganjurkan makan malam bagi perantau PAS Perak di Kuala Lumpur. Kata Pesuruhjaya PAS Perak, dia diberi masa kurang daripada sebulan untuk mengadakan majlis itu.
      
Saya hadir. Ramai yang hadir antaranya datang khas dari Perak. Saya kira ia amat berjaya dan pujian boleh diberi kepadanya kerana berjaya mengumpulkan ramai anak Perak malam itu.
      
Antara yang menarik perhatian saya ialah cabutan bertuah. Biasalah cabutan bertuah itu diadakan dalam mana-mana majlis.
      
Tetapi bilangan cabutan bertuah yang diadakannya banyak. Hadiahnya pun banyak. Lebih RM500 tiap-tiap satu. Saya anggarkan jumlah untuk cabutan bertuah itu besar juga. Jika jumlah itu diberi kepada derma pilihan raya, tentu ia meringankan.
      
Saya tertanya, dari mana dia dapat yang banyak itu?
      
Biasanya orang yang senang memberi duit yang banyak kepada orang kerana dia senang dapat duit.
      
Saya teringat seorang pembesar USNO dari Sabah kira-kira 40 tahun lalu. Dia ajak saya berbual-bual tentang politik di hotel di Kuala Lumpur. Sebelum kami berpisah dimasukkannya ke poket baju saya sekeping not wang kertas.
       
Banyak mana agaknya? Seribu ringgit!
       
Apa ni Dato? Banyaknya?
       
Ujarnya, Saya senang dapat duit. Saya tidak patut makan seorang. Saya mesti kongsi dengan oang lain.
      
Saya sangka, kalau betul ada orang yang rapat degnan pemimpin PAS menerima duit dari 1MDB, tentulah dia Ustaz Taliban.
      
Apabila Rafizi umumkan namanya, bukan Ustaz Taliban, saya senang hati kerana ia bukan Ustaz Taliban. Tetapi saya telah berdosa kepadanya kerana menyangka yang bukan-bukan terhadapnya. Saya harapkan beribu-ribu ampun daripadanya. Tiada cara terlepas daripada dosa itu kira dia enggan mengampunkan saya.
      
Saya jumpa dia di Muktamar PAS di Kota Sarang Semut. Dia ketawa sakan mendengarnya.
     
Apa sakit anta?
     
Jawabnya, ‘Tak cukup tidur. Ana tiga hari saja di hospital.’
     
Sekarang dia tidak apa-apa. Tapi kena cukup tidur.
     
Saya harap dia ampunkan saya. Besar pahalanya mengampunkan orang lain.
     
Apapun, saya rasa dia banyak duit, bukan dari 1MDB. – HARAKAHDAILY 4/5/2017

MENJELANG detik 10:00 pagi, 2 Syaaban 1438H bersamaan 29 April 2017, hati saya berbunga kesyukuran sebaik Tuan Guru Presiden memulakan ucapan dasar bagi Muktamar Parti Islam Se-Malaysia PAS kali ke-63. Hati saya meratap hiba dengan kurniaan dari Allah SWT dalam liku-liku perjuangan PAS selama 66 tahun.

Mengapa tidaknya? Pertama kali ucapan dasar Tuan Guru Presiden dalam muktamar kali ini telah juga disampaikan dalam bahasa isyarat bagi manfaat sahabat-sahabat OKU pendengaran. Tanpa sebarang pengumuman, dan tanpa hebahan publisiti, takdir Allah menentukan julung-julung kalinya bahasa isyarat mengiringi ucap tama Muktamar kali ke-63.

Apa yang jelas, ia adalah suatu kelangsungan usaha PAS dalam memperkasakan gerak kerja parti bagi keperluan dan manfaat golongan OKU. Golongan OKU pendengaran adalah salah satu dari tujuh katagori OKU yang diiktiraf di Malaysia.

Negara dan dunia memperakui 15% populasi penduduk adalah terdiri dari komuniti OKU. Dalam suasana penduduk Malaysia yang mencecah 32 juta orang, tidak kurang dari 4.5 juta adalah warga OKU.

Sehingga kini sebahagian dari 400,000 OKU yang berdaftar adalah terdiri dari OKU pendengaran. Sebagai sebuah gerakan yang berteraskan Islam, kecaknaan PAS dalam membangunkan komuniti OKU termasuklah dalam usaha mendekatkan komuniti ini kepada keimanan dan ketaqwaan.

Apatah lagi bagi golongan OKU pendengaran, kecacatan yang mereka alami amat sukar dikenalpasti oleh masyarakat umum. Di sebalik fizikal mereka yang tampak sempurna sebenarnya tersembunyi rahsia akan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dengan kurang upaya pendengaran yang ditakdirkan.

Kecacatan yang dialami oleh golongan ini amat sukar dikesan dengan mata kasar. Demikian pula cabaran mereka dalam memahami Islam hanya mereka dan sahabat yang rapat mengerti situasinya. Tidak hairanlah apabila dikatakan golongan ini mendepani cabaran yang cukup unik dalam mempelajari dan memahami Islam itu sendiri.

Menyedari cabaran tersebutlah pihak PAS melalui Sekretariat Prihatin OKU Malaysia dan jaringan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang ada terus mengatur gerak usaha bagi mendekatkan golongan ini kepada syariat. Penampilan bahasa isyarat dalam Muktamar kali ke-63 ini hanyalah usaha kecil peringkat pusat yang sengaja direncanakan agar ia mampu merangsang setiap pendokong parti agar terus mendekatkan diri dengan komuniti OKU pendengaran di tengah-tengah masyarakat.

Buat Tuan Guru Presiden, seloka serangkap ini kami titipkan:

Al-Quran dan sunnah sedaya mampu kami turut,
Ucapan terima kasihmu kami sambut,
Bimbingan mu Tuan Guru kami paut,
Tak akan dilupakan Kota Sarang Semut. – HARAKAHDAILY 29/4/2017

TAHNIAH buat TG Presiden Haji Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man kerana menang tanpa bertanding untuk terus memimpin PAS sekali lagi.
       
Khusus buat Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim. Kemenangan tanpa bertandingnya untuk jawatan itu adalah kali pertama sejak TG Haji Hadi menjadi Presiden lebih 10 tahun lalu.
      
Sejak PAS di bawah konsep kepimpinan ulama awal tahun 80-an dulu, jawatan Presiden tidak dicabar hinggalah sekali tahun 2014 dulu TG Haji Hadi dicabar Ustaz Ahmad Awang. Entah apa kena padanya!
       
Timbalan Presiden, sejak ketiadaan Ustaz Fadzil Noor lebih sepuluh tahun lalu, entah apa kenanya bertanding, hinggalah giliran Tuan Ibrahim, tiada dicabar bagi mempertahankn jawatannya.
     
Tahniah buatnya dan ia petanda baik bagi masa depan pimpinan parti Islam itu. Dan dipercayai pemilihan baru kali ini dengan mereka yang terpilih nanti, adalah permulaan bagi memperkasa kepimpinan ulama yang tercabar beberapa tahun kebelakangan ini dan ia juga wajar mengorak langkah memperkasa rukun jemaah parti itu.
      
Adapun tiga Naib Presiden yang terpaksa bertanding kerana seorang pendatang baru bersetuju bertanding bagi tiga jawatan saja yang ada. Pencabar itu pula bukan orang luar pimpinan tetapi Ketua Penerangan, Ustaz  Nasruddin Tantawi.  Setiausaha Agung, Datuk Takiyuddin Hassan pula mengundur diri. Dan sekitar 40 orang lagi merebut 18 kerusi yang diperuntukkan bagi Ahli Jawatan Kuasa Kerja PAS Pusat.

Sekadar ingatan kepada mereka yang bertanding. Jika tidak terpilih nanti terimalah ketentuan Allah itu dan kebijaksanaan perwakilan yang membuat keputusan. Semua  setuju bahawa Muktamar adalah badan pembuat dasar terpenting parti dan semuanya menerima ia adalah syura yang bijaksana.
      
Maka ingatan kepada yang kalah jangan buat perangai lagi, merajuk daripada parti, minta cuti panjang yang tidak bertempoh, suatu yang tidak pernah dibuat oleh ahli jemaah dan orang politik sejak zaman berzaman.
     
Atau buat perangai menubuhkan parti baru.
    
Jangan merajuk. Ia bukan pembawa orang laki-laki. Lainlah yang merajuk itu orang perempuan. Kalau perempuan itu Muslimat, ia bukan yang wajar bagi jemaah Islam. Dan kalau yan merajuk itu orang tua lagilah huduh rupanya.
      
Menang adalah amanah. Kalah adalah satu kesempatan yang baik terlepas daripada tanggungjawab yang berat. Yang menang bukanlah bererti yang terbaik daripada semua. Mereka dipilih bagi memikul amanah besar, yang jika boleh Saidina Abu Bakar Sidiq dan Saidina Umar al-Khatab suka jika amanah itu diberi kepada orang lain. Yang tidak menang, ada amanah lain untuknya.
     
Yang merajuk dan lari adalah kurang sabar dan lari daripada amanah. Amanah ada di dalam, bukan di luar.
     
Yang menyebab jemaah bercempera sedikit hari lalu, mungkin rukun jemaah  itu terlepas pandang dan tidak diperkasa. Cara mana rukun jemaah itu hendak diperkasakan. Ia boleh dijawab jika kepimpinan ulama dapat diperkasakan.
       
Mungkin mahu membuat contoh yang tidak popular. Syiah demi Syiahnya dapat memperkasa rukun jemaahnya. Pengikutnya tinggi bai’ah dan walaknya kepada pemimpin. Mungkin ia boleh dipelajari.
       
Mempelajari rukun tidak mengapa. Jika kita boleh mempelajari demokrasi daripada Greek dan Rom purba serta Eropah yang berkembang bersama Kristian bagi mencari dasar demokrasi terbaik dan terkini, mengambil rukun jemaah Syiah tidaklah merugikan asal tidak mengambil fiqahnya.
       
Pemilihan baru ini ibarat robohnya Kota Melaka, bersatulah umat seluruh belaka, membangun PAS yang perkasa. – HARAKAHDAILY 26/4/2017

BUKAN semua benda Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz sempat buat dalam tempoh Tok Guru berada di Pejabat MB Kelantan. Apa yang Tok Guru tak sempat buat, maka diteruskan oleh pengganti. Kerana itulah selalu disebut bahawa kepimpinan sekarang adalah mewarisi kepimpinan terdahulu.

Bila Kerajaan Kelantan memperkenalkan sesuatu langkah yang baru, adalah terlalu dangkal untuk kita terus persoal, "Bakpo zaman Tok Guru dulu tak buat?" atau dengan ungkapan "Kalu Tok Guru masih ada, Tok Guru pun tak akan buat gini!"

Sekiranya kerajaan sekarang hanya perlu copy paste dan 'koyok tepek' segala keputusan Tok Guru dulu, maka tak perlulah untuk buat mesyuarat Exco dan segala perancangan negeri yang lain. Sekadar ambil minit mesyuarat zaman Tok Guru dan 'koyok tepek' saja.

Ungkapan "Kalu Tok Guru masih ada..." diulang berkali-kali sebagai modal untuk terus menyerang Kerajaan Kelantan. Sedangkan orang Kelantan kata, "Buah kalu dok leh nak makan."

Kenapa perlu bermain dengan perkataan 'kalu' kemudian membuat andaian sendiri. "Kalu Tok Guru masih ada, dia juga akan masuk PAN." "Kalu Tok Guru masih ada, dia tak akan buat gini." "Kalu Tok Guru masih ada, benda gini tak akan berlaku", "kalu... kalu..."

Hakikatnya Dato' Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob dipilih sebagai Menteri Besar Kelantan ketika Tok Guru masih hidup. Ini adalah realiti dan bukannya 'kalu'. Sebab itu tak ada kedengaran lagi ungkapan, "Kalu Tok Guru masih hidup, tentu dia akan pilih Husam Musa sebagai MB." Bukankah Tok Guru sendiri yang pilih Dato' Ahmad Yaacob untuk meneruskan kesinambungan dasar 'Membangun Bersama Islam'?

Kebun yang ditinggalkan Tok Guru sudah sangat baik. Sepatutnya sama-sama kena jaga supaya hasilnya terus boleh dipetik untuk dinikmati bersama rakyat Kelantan. Pagar kena perkukuhkan supaya tak masuk babi dan haiwan perosak yang lain. Baja pokok jangan lupa supaya pokok terus hidup subur. Ada dahan pokok yang mati dan pohon dedalu, kena cantas buang. Tengok ada keperluan untuk tambah tanam pokok lain, silakan tanam. Jangan pula ada yang bodoh larang, "Zaman Tok Guru dulu tak tanam pun pokok ni!"

Dr Azman Ibrahim
18 April 2017

DALAM masa seminggu, saya dengar dua orang pemberi kuliah maghrib tidak berani hendak memutuskan solat waktu di kerusi yang berlaku di seluruh dunia sejak lebih dua dasawarsa sah atau tidak.
     
Mereka tidak berani mengatakan tidak sah tetapi tidak juga sah.
      
Kedua-duanya bukan tok guru lebai yang bersikap konservatif seperti tok guru pondok yang tak pernah naik kapal terbang dan tidak dapat menerima orang sudah terbang ke bulan.
     
Mereka tok guru muda yang boleh mengembara tanpa  kopiah atau songkok. Tok-tok guru tak bersongkok mudah setuju dengan ketentuan kerajaan tentang dalam soal Islam. Bahkan pernah anak-anak muda berilmu menyokong menggunakan keuntungan loteri kebajikan masyarakat untuk kegunaan Islam.
      
Kedua-duanya diketahui orang terbuka, tetapi mereka tidak dapat menerima amalan solat waktu menggunakan kerusi sekalipun berlangsung di Masjdill Haram di  Mekah dan Masjid Nabwi di Madinah.
     
Seorang pensyarah di UIA dan seorang pedakwah bebas sejak lebih 20 tahun lalu yang beramal mengikut fekah Mazhab Syafie.
      
Kedua-duanya berkata, mereka tidak jumpa dalil amalan itu. Ajaran Islam yang diketahui sejak mula solat itu boleh sambil berdiri atau duduk atau berbaring mengiring atau  tak terdaya sangat terlentang sekalipun mampu menggerakkan mata saja. Dalam apa keadaan pun mesti sembahayang.
       
Tetapi duduk di kerusi – rukuk, sujud, duduk antara dua sujud dan lain-lain tidak pernah dilakukan Nabi, tidak juga oleh sahabat-sahabat.
     
Yang Nabi pernah buat solat sambil duduk. Jika duduk biasa seperti duduk tahiyat tak dapat dilakukan, maka dibolehkan bersila. Kalau bagi sujud itu menaikkan darah dan mungkin pitam, maka boleh sujud isarat tanpa dahi tidak mencecah sejadah/lantai.
      
Atau dengan duduk itu payah bangkit berdiri, tetapi dengan duduk di kerusi  tiada masalah bangkit berdiri.
      
Kata tok guru muda, kalau tak boleh bangkit, teruslah duduk. Jika duduk begitu tak boleh sujud, fekah membenarkan rukuk dan sujud sambil  duduk setakat yang terdaya tanpa dahi mencecah tempat sujud.
      
Ustaz itu kata, ada sahabat solat duduk meletakkan kayu di depannya dan sujud atas kayu itu. Nabi suruh buang kayu itu. Dia guna bantal pula supaya boleh sujud di situ. Nabi perintah buang bantal itu. Sujudlah setakat yang  terdaya sekalipun dahi tak sampai ke lantai. Keadaan macam itu tak perlu dahi tiba ke lantai.
      
Tapi menggunakan kerusi tak ada. Bukan kerusi tidak ada pada zaman itu. Masyarakat Yunani dan Rom yang tamadunnya lebih awal daripada Arab sudah menggunakan bangku. Tentu maklumat itu ada pada baginda Rasul. Tetapi kerusi tidak digunakan.
      
Bagi orang berupaya mencecahkan dahi ke tempat sujud, sujud dahi sampai ke lantai itu penting. Tidak dikira sujud kalau dahi tak sampai ke tempat sujud. Maka ini menentukan sah sujud itu. Jika sujud tidak begitu, maka ia tidak dinamakan sujud.
      
Kedua-dua mereka bimbang solat itu tidak sah sekalipun mereka tidak kata solat atas kerusi itu tidak sah.
     
Isu ini banyak dihujah melalui intenet dan lain-lain. Ada yang mengata sah.
     
Oleh sebab orang berilmu sudah tidak sepakat, bagi memastikan solat kita semua sah, maka JAKIM perlu menganjurkan muzakarah disertai olah ulama fekah membincang setiap sudut dan diikuti Majlis Fatwa memberi panduan, supaya dirasmikan sah solat berkerusi atau tidak sah. Kita tak mahu tunggang-tonggek solat waktu tidak sah. – HARAKAHDAILY 18/4/2017
   

SEJAK beberapa bulan belakangan ini terutama selepas ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Abu Kasim bersara, bersambung-sambung SPRM memohon mahkamah mereman orang-orang yang disuspek rasuah.
       
Ia melibatkan orang daripada pelbagai latar belakang tapi ramainya penjawat awam antaranya yang kanan-kanan. Orang politik yang umumnya tidak dipastikan yang mana satu yang bersih, baru seorang yang dipegang iaitu Exco Johor.
      
Cekupan itu boleh dikatakan tiap-tiap bulan. Payah ada bulan yang tiada cekupan.
      
Ada yang dicekup bersama anak dan  ada yang bersama isteri.
      
Selama ini yang ditular negara kita ini adalah sebuah negara dan masyarakat rasuah. Sejak zaman beberapa Perdana Menteri lagi Malaysia sudah ditularkan dunia rasuah, tetapi kalau ada tindakan setahun satu dan paling banyak dua setahun.
      
Hingga ada yang bertanya darul apa hendak diberi kepada Malaysia. Setiap negeri ada darulnya seperti Darul Makmur bagi Pahang dan Darul Ridhuan bagi Perak. Sejak zaman British lagi setiap negeri memakai status itu sebagai menggambarkan ia wilayah Islam.
      
Bila Darul itu dihidupkan semula maka bertanyalah oang apa darul bagi Malaysia. Secara sinis orang berkata spontan Darul Rasuah (Rasyuah) sebagai satu ingatan dan kritik kepada klik pemerintah betapa berkembang pesat penyakit sosial di samping pesatnya program pembangunan.
       
Sejak sebelum merdeka rasuah itu budaya bagi negara-negara jiran. British yang banyak mengaut hasil mahsul dipunggah ke negaranya menjadikan Malaya tidak dijangkiti wabak itu.
      
Lepas merdeka virus itu menyerap hingga wabak itu seolah budaya bagi serantau dunia sebelah sini.
       
Tetapi ia tidak dibukti oleh penguasa mungkin untuk menyatakan kepada dunia Malaysia tiada kuman itu. Jika ada tindakan rasuah ialah lebih bertujuan politik daripada jenayah itu sendiri seperti yang dikenakan kepada Menteri Besar Datuk Harun Idris di Selangor dan DS Anwar Ibrahim. Datuk Harun dikira ancaman kepada pimpinan. Dia dipenjara.
     
DS Anwar, kes rasuahnya bukan menggelapkan khazanah negara, tapi dikatakan menghalang pegawai kerajaan menjalankan tugas.
      
Dengan tiadanya tindakan terhadap rasuah, maka Malaysia dipersepsikan bebas rasuah sekalipun persepsi ia rasuah adalah kencang.
      
Betapa rasuah itu sudah menyucuk mata, Raja pun dikatakan hendak dirasuah. Ada Raja mendedahkan baginda cuba rasuah. Diserahkannya untuk tindakan SPRM. Itu raja yang berwibawa.  Bahkan tembok-tembok istana mulai rapuh oleh perkasanya anai-anai itu.
       
Justeru  tiada yang percaya ia tidak negara rasuah, tindakan memerangi  rasuah sudah payah dihalang. Maka sekarang SPRM dapat visa bertindak. Ia pun bertindak sekadar yang ia kuasa. Maka tiap minggu ada cekupan dan dikirim ke mahkaman bagi direman.
      
Bila lebat sangat orang dicekup, ia menggambarkan penyakit itu banyak dan mudah dicekup.
      
Jerung politik belum diperangkap. Satu yang kena di Johor itu tidaklah jerung sangat – jerung kecil.
      
Setakat ini SPRM baru ada visa menahan dan merujuknya ke mahkamah. Bicara belum ada. Yang direman dibebaskan dengan ikat jamin besar. Selagi belum bicara dan belum ada yang dihukum, belumlah dikira kita sudah betul-betul memeranginya.
      
Dalam sistem kita sekarang, sudah dijatuhkan hukum pun belum pasti hukuman dijalankan. Yang mahkamah putuskan hukuman mati seperti kes Altantuya, ada yang sempat lari dan yang  tak lari belum diketahui hukuman berjalan. Takut yang menghukum mati dulu dari yang dikenakan hukuman mati.
      
Selagi yang dicekup tidak dibuktikan dihukum, perang terhadap rasuah baru peringkat awal. – HARAKAHDAILY 16/4/2017

SYUKUR RUU 355 dapat dibentangkan oleh Anggora Parlimen Marang TG Haji Abdul Hadi Awang pada  petang Khamis 6 April 2017 setelah menunggu lebih dua tahun.
       
Setiap yang benar itu  sekalipun sepatutnya senang tetapi ia selalu payah.
        
Sesudah begitu payah untuk  membentangkannya, ditangguhkan pula perbahasannya hingga Julai nanti, kira-kira tiga bulan lagi.
       
Mungkin semuanya kecewa ia terpaksa menunggu tiga bulan lagi, sedang lain-lain rang pindaan lazimnya lulus tak sampai sejam. Ada yang MP tak terfikir, tiba-tiba rang dikemukakan dan tak sempat menunggu sepetang ia pun lulus.
       
Akan RUU 355 sudahlah mengambil masa yang lama untuk dapat dibentangkan. Sudah dapat dibentangkan tinggu tiga bulan. Apabila ada yang payah dan berhalangan, oang beriman wajar bersabar menghadapinya. Mereka bersyukur apabila akhirnya dapat dibentang dan apabila sudah dibentangkan ditangguh pula berbulan-bulan, maka mereka bersabar pula.
        
TG Haji Hadi bersabar sekian lama. Berkat kesabaran itu ia pun dapat dibentangkan. Patutnya petang itu dibahas dan diluluskan, tapi ditangguhkan pula. Orang Islam tidak wajar putus asa. Putus asa bukan cara Islam.
       
TG Haji Hadi sejak mula masuk Parlimen tahun 1990 dulu mencuba membawa usul persendirian atas perkara Islam, disenaraikan dalam agenda setiap kali sidang tetapi tidak pernah dapat membentangnya. Sekarang mencuba pula bagi memperkasa mahkamah syariah. Payah juga, akhinya dapat juga. Tapi tak dapat dibahas lagi.
       
Jika percubaan pertama sejak tahun 1990 terus bersabar dan RUU 355 pula bersabar lebih dua tahun, maka bersabar tiga bulan lagi tidaklah lama sangat.
       
TG Nik Aziz sebagai MB Kelantan meluluskan Enakman Kanun Jenayah Syariah 2 awal 1990-an. Tidak dibenar laksana, beliau bersabar seperti katanya, kerana berdepan lampu trafik merah kenderaan tak boleh jalan, tapi enjin tak dimatikan. Apabila lampu hijau jalanlah. Kanun itu dipinda jadi RUU 355, tetapi beliau tidak sempat melihat RUU 355 dibentangkan.
      
Jika 30 tahun sanggup sabar, sabar tiga bulan lagi tidaklah lama. Tapi dalam masa tiga bulan semuanya boleh mati. TG Nik Aziz tak sempat lihat RUU 355 dipinda kerana beliau mati dulu.

Menunggu tiga bulan lagi semua yang lain boleh mati. TG Haji Hadi yang membentang boleh mati. PM dan TPM Zahid boleh mati.  Kit Siang yang sudah hampir 80-an pun bila-bila masa boleh mati. Dr Mahathir yang menunggu di luar Parlimen yang sudah awal 90-an pun sudah masuk usia mati.
      
Allah boleh matikan semuanya serentak. Allah saja mematikan cepat siapa yang dikehendaki dan melambatkan mati siapa yang dikehendakinya.
     
Speaker Tan Sri Pendekar Amin Mulia yang membenarkan ia dibentang dan menangguhkan ia dibahaskan pun boleh mati cepat. Dan bagaimana kalau semuanya mati sebelum ia dibahaskan, maka tidak dapatlah sekaliannya meluluskannya dan Kit Siang pula tak dapat peluang membahaskannya sama ada kekal dengan penentangannya atau dibukakan pintu hatinya seperti Abu Sufian dan Khalid bin Walid beriman sebelum Mekah dibebaskan.
       
Jika semuanya mati nescaya ada pembentang baru, ada speaker baru. Tapi  tidak berpeluamg melihat ia dibahaskan. Orang Islam jika boleh mahu melihat RUU 355 diluluskan, maka tidak dapatlah mereka melihat ia diluluskan.
       
Yang mahu ia lulus tapi tak sempat lihat, tentu Allah sediakan ganjaran yang baik tetapi kalau hutang tak sempat bayar dan tidak dapat taubat sebelum mati, ia mati yang rugi. Kebajikan usah bertangguh! – HARAKAHDAILY 14/4/2017

SEKALUNG tahniah dan setinggi terima kasih kepada sahabat-sahabat yang menyambut kepulangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Haji Awang dalam satu program khusus yang dianjurkan semalam, 10 April 2017, 14 Rajab 1438H. program yang bermula di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu dan berakhir di Masjid Rusila cukup memberi makna bila mana kebanyakan yang menyambut kepulangan Tuan Guru terdiri daripada anak-anak muda.

Dalam usaha kita mendaulatkan Islam di bumi ini, nyatanya cabaran yang perlu kita depani kian mencabar. Meskipun tanah leluhur ini telah bertapak kedaulatan islam suatu ketika dulu, kesan dari agenda penjajah yang secara halus menyingkirkan kekuasaan Islam terpaksa kita hadapi hingga ke saat ini.

Namun dukungan anak-anak muda hari ini telah memberi satu lagi suntikan baru ke arah memperkuat rangka kerja gerakan Islam yang kita dokongi. Memandangkan perjuangan ini sangat panjang, kelangsungan perjuangan dengan penyertaan anak muda menjadi sangat signifikan.

Telah biasa saya tampilkan betapa perjuangan kita dalam mendaulatkan Islam perlu mampu menguasai dewan-dewan perundangan agar kekuasaan Islam mampu menyerlahkan perundangan Islam yang sebenar. Selain menjadikan keberadaan kita dalam dewan-dewan perundangan sebagai medan dakwah, lebih dari itu ia memberi kita keupayaan untuk membentuk system kenegaraan yang benar-benar menepati kehendak syarak.

Bagi menjadikan cita-cita itu suatu realiti, gabungan tenaga kerja pelbagai kepakaran dan peringkat usia amat diperlukan. Di sinilah keberadaan anak-anak muda di medan begitu membanggakan kita.

Pembentangan usul persendirian berkaitan rang undang-undang Akta 355 yang biasa dikenali dengan RUU 355 memberi gambaran kepada kita betapa perlunya kita bersedia mendepani pelbagai senario. Ahli-ahli Yang Berhormat dari kalangan Umno begitu terserlah memberi sokongan kepada pembentangan yang dibuat oleh Yang Berhormat Tuan Guru.

Malang sekali bila mana Umno itu sendiri tidak mampu menguasai parti-parti komponen dalam Barisan Nasional bagi memastikan BN sendiri memulakan langkah memperkasakan agenda yang sangat penting ini. Sebaliknya berlawanan pula di pihak ahli-ahli Yang Berhormat parti-parti pembangkang lain.

Ada yang mencanang betapa mereka parti yang memperjuangkan Islam sebaliknya begitu terserlah bertindak seolah-olah menidakkan keperluan pembentangan usul persendirian yang telah dikemukakan. Mungkin itulah kesesuaian mereka bersama rakan mereka dalam gabungan yang dinamai Pakatan Harapan.

Sikap ahli-ahli Yang Berhormat DAP misalnya yang nyata menghalang usul ini tidaklah diragui lagi. Sememangnya mereka sangat bimbangkan kedaulatan Islam itu dibina melalui dewan-dewan perundangan.

Senario tersebut yang telah sama-sama kita ketahui memerlukan gerak kerja yang teratur bagi memastikan kita mampu mendepaninya secara penuh bijaksana. Dukungan anak-anak muda yang benar-benar memahami aspirasi perjuangan akan menjadi pemangkin kepada kejayaan yang kita impikan pada masa hadapan.

Dalam pada itu, teruslah memberi kepercayaan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan yang diterajui oleh Yang Berhormat Tuan Guru. Ia adalah suatu kewajipan dalam memastikan perjuangan ini terus berada pada landasan yang sesuai dengan kehendak Allah SWT dan Rasul-Nya. Dalam bahtera perjuangan yang besar ini, kepatuhan dan kesetiaan kepada seorang ketua tidak boleh dikompromi bagi memastikan kelancaran perjalanan menuju destinasi yang diredhai. – HARAKAHDAILY 11/4/2017

APABILA mendiang Kim Il Sung berjaya menegakkan negara komunis di Korea Utara ialah bagaimana hendak mempertahankan wilayahnya dengan sistem yang ditegakkannya iaitu negara komunis Korea Utara.
     
Ia mesti memiliki tenaga nuklear sebagai senjata dan sebagai tenaga membangunkan negara yang perkasa dan dihormati.
     
Sekalipun senjata nuklear itu senjata pemusnah yang boleh membunuh ribuan dan jutaan nyawa, tetapi itulah caranya untuk utuh di tengah dunia yang anti komunis dan anti neuklear.
      
Maka Presdien Kim Il Sung membina senjata neuklear. Tentulah senjata yang amat berbahaya itu akan digunakan terhadap bangsa lain dan orang lain. Peninggalannya itu disambung oleh anaknya Kim Sung Il. Dia juga menyediakan senjata itu terhadap siapa saja yang memusuhinya iaitu bangsa lain yang menyerang  atau mengancam negaranya.
       
Tentunya tidak pernah Kim Il Sung memikirkan senjata itu hendak membunuh cucunya atau boleh membunuh cucunya. Kim Sung Il juga tidak pernah berfikir senjata yang disambung bangunkannya dari ayahnya bagi membunuh anaknya dan boleh membunuh anaknya.
      
Tetapi yang terjadi itulah. Senjata nuklear Korea Utara dikira sebagai ancaman yang besar kepada manusia dan dunia. Tidak  banyak diketahui senjatanya sudah ditakuti orang lain. Semuanya bimbang dan takut senjata itu digunakannya. Dari semasa ke semasa ia mengujinya saja. Kecut perut semua terutama jirannya yang terdekat Korea Selatan dan Jepun. Tetapi belum diketahui ada orang bukan Korea sudah mati kerana senjata itu.
      
Tetapi yang diketahui oleh semua sekarang zat kimia yang menjadi sebahagian dari senjata nuklear itu membunuh cucunya yang juga anak kepada anaknya. Korban pertama yang masyhur dari senjata kimia yang dibangunkan oleh Kim Il Sung ialah cucunya sendiri iaitu Kim Jung Nam.
      
Anaknya yang menggantikannya, Kim Jung Il tidak menyangka senjata yang dimajukannya membunuh anaknya dulu sebelum senjata itu memusnahkan dunia dan membunuh orang lain secara besar-besaran.
      
Selepas kedua anak-beranak itu sudah tidak ada, zuriat yang mewarisi mereka Kim Jung-un dari semasa ke semasa terus menguji senjata-senjata yang diciptanya. Di tengah-tengah siri ujian itu, ia menguji sejenis senjata kimia kepada waris Firaun Korea Utara itu. Cucu Jung Il yang juga anak Il Sung menjadi korban ujian itu.
      
Sebelum ia digunakan kepada orang lain, ia telah digunakan terhadap cucu datuknya yang juga anak ayahnya iaitu Kim Jung Nam.
     
Memang senjatanya berkesan dan dalam senyap mangsa mati dalam waktu yang singkat. Atom yang digunakan oleh Amerika di Hiroshima dan Nagasaki didengar letupannya yang amat kuat. Bom-bom yang Rusia gunakan bagi memusnahkan Syria kedengaran dentam dentumnya hingga memekakkan telinga.
      
Tiba-tiba zat nuklear yang digunakan tidak dengar sebarang bunyi. Jung Nam sekonyong-konyang didapai tergolek. Yang kedengaran bukan bunyi senjatanya tetapi laungan dari mangsa minta tolong. Dia tidak dibom dan tidak ditembak, tidak ditikam dan tidak dipukul tetapi mukanya disapu dengan senjata itu.
       
Lazimnya zat kimia/nuklear kena kulit saja cukup untuk melecurkan bangsa. Tetapi ajaibnya senjata peninggalan keluarga Kim Korea Utara ini, tukang sapu muka Jung Nam tak apa-apa. Apa yang wanita upahan itu guna dengan tangannya menyapu mukanya? Yang disapu mukanya mati segera, yang menyapu hingga ini tidak diketahui ada apa-apa kesan.
      
Padankah senjata dibangun Kim belum membunuh orang lain tapi yang jadi mangsa awal cucu/anak sendiri?  - HARAKAHDAILY 10/4/2017

ASSALAMUALAIKUM wrt wbt. Buat sahabat-sahabat yang bakal ke muktamar Parti Islam Se-Malaysia PAS penhujung April ini.

Hampir pasti antara isu yang akan menjadi perhatian para muktamirin termasuklah isu tahaluf dengan PKR, usul persendirian berkaitan RUU 355 dan persediaan mendepani PRU 14.

Sebagai pendokong sebuah badan siasah yang menjadikan Islam sebagai teras perjuangan, sangat saya berharap agar para perwakilan tidak hanya menumpukan hal yang berkaitan di atas semata-mata dengan penumpuan yang berlebihan. Ketengahkanlah peri penyelesaian ke arah kesejahteraan yang sedia ditawarkan PAS dalam keadaan PAS sebagai badan siasah di pihak pembangkang, bahkan kesiapsiagaan PAS sebagai peneraju kerajaan.

Pendekat TGHH betapa Islam sebagai penyelesaian kita perlu dijelmakan agar ia mampu menerjah kefahaman rakyat peri Islam itu suatu kenikmatan dan penyelesaian kepada setiap permasalahan kehidupan.

Pelbagai segmen dalam masyarakat sangat mendambakan perubahan dalam suasana semasa dalam mengimpikan janji-janji Allah dalam Surah an-Nur, ayat 55 yang bermaksud:

“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.”

Tampilkan betapa kalian yang menduduki dan mendokongi barisan hadapan telah siap sedia memikul tanggungjawab dalam menyiapkan PAS sebagai badan siasah peneraju pemerintahan Malaysia kelak.

Buktikanlah dengan Islam, PAS mampu #mensejahterakanrakyat. – HARAKAHDAILY 10/4/2017

BELUM dimuktamatkan tetapi ia sudah dibincangkan oleh Perdana Menteri Najib dengan Presiden Perancis yang melawat Malaysia baru-baru ini iaitu untuk membeli beberapa buah pesawat pejuang Perancis bagi melengkapkan sistem pertahanan kita.
      
Tidak siapa membantah peri perlunya negara memiliki sistem pertahanan yang lengkap dan sempurna. Semua tahu betapa Singapura yang secuit sekangkang kera itu pun telah lama memiliki sistem pertahanan yang kuat, maka kita juga perlu kepada kekuatan yang sepadan, bukan untuk berperang dengan sesiapa tetapi sebuah negara yang berdaulat perlu ada kelengkapan yang secukupnya.
       
Tetapi apa yang menarik bagi semua bila membeli senjata yang lengkap dan tentunya mahal pula dalam suasana fulus negara tidaklah kukuh sangat? Tidak dinafikan keperluan kelengkapan pertahanan yang lengkap, tetapi kita pernah ada hikayat pembelian kapal selam dari Perancis yang luar biasa yang diklasifikasi sebagai skandal negara yang terbesar.
       
Skandal itu mengaitkan pula dengan satu tambahan skandal lagi yang gemanya sama hebat iaitu hikayat pembunuhan dan peletupan mayat nona Altantuya, pengunjung dari Mongolia. Kedua-dua hikayat skandal itu masih tergantung-gantung. Semuanya tidak pernah diselesaikan tetapi statusnya adalah ibarat buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.
      
Hapaknya tidak sekadar menyelubung Malaysia, bahkan Perancis sebagai pengeluar kapal selam itu menyedut sama bau busuknya dan jerebunya sampai ke udara Australia. Kes yang melibatkan Perancis juga masih tergantung, dan Australia yang dimasuki oleh seorang yang dijatuhkan hukuman bunuh kerana hikayat yang membabitkan Altantuya seperti tikus masuk perangkap nampaknya terus berada di perangkap tikus.  
      
Semuanya gara-gara hikayat membeli senjata perang dari Perancis.
       
Semua skandal itu jadi buluh kasap justeru ia berlaku di Malaysia, tanahairku, bukan hikayat dari Korea Selatan. Kalau di Korea Selatan, nescaya tahulah kita Rabu Khamisnya!

Watak yang dilibatkan dalam hikayat itu ialah Perdana Menteri Najib sendiri semasa sebelum jadi Perdana Menteri. Dan sekarang watak yang sama membincangkan pembelian senjata dengan Perancis juga.
      
Presdien Perancis sekarang bukan yang ada semasa hikayat itu berlaku dulu. Tetapi tentulah Presiden sekarang ada maklumat tentangnya. Dia sekarang berbincang dan berurus dengan watak hikayat yang sama.
       
Orang yang ingat akan hikayat itu tentulah tidak menerima pembelian pesawat pejuang itu sebagai keperluan pertahanan saja. Tetapi apakah ia satu hikayat lagi sebagai satu siri dari hikayat dulu.
      
Hikayat dulu disebut sebagai skandal kerana kapal selam itu dibeli secara teknikalnya 500 juta lebih mahal dari harga sepatutnya. Mungkin harga sepatut yang dipersetujui sudah mahal, tetapi dengan 500 juta baksis untuk orang tengah menyebabkan Malaysia dipercayai hangus 500 juta.
      
Maka membeli kelengkapan pertahanan bukan saja justeru pertahanan itu sendiri, bahkan berkemungkinan membeli apa-apa yang mahal jadi satu kaedah orang mencari harta Qarun atas angin.
      
Bagi saudagar mengejar keuntungan besar secara atas angin itu adalah alamnya, tetapi kaki skandal memperniagakan kerajaan dan negara adalah kerja-kerja keji.
       
Mereka yang nipis amanahnya mencari kekurangan pada negara, bukan sekadar bagi memenuhi keperluan, tetapi bagaimana hendak meraih habuan yang sebanyak-banyak.
      
Maka bagi sebuah pemerintahan yang beramanah nipis, sekalipun mengisi keperluan amat mendesak dan justeru amanah yang sejujur-jujurnya, tetapi orang terfikir kerajaan diniagakan. Itulah imej yang semua terpaksa terima.
      

NASIBLAH Pak jadi Presiden Korea Selatan, sebuah negara demokrasi Asia yang terbuka, dibanggakan oleh semua.
       
Bukan senang untuk menjadi Presiden bagi bangsa yang rata-rata rakyatnya tidak kolot, tidak feudal, politik dan ekonominya stabil, taraf kehidupan rakyatnya tinggi dan mendapat kebebasan yang diidam oleh semua.
      
Semua orang berhak bercita-cita unuk menjadi Presiden dan semua boleh mencuba untuk jadi Presiden. Maka Pak bertuah menjadi wanita pertama negaranya menjadi Presiden.
       
Malangnya dia jadi Presiden Korea Selatan. Kalau dia jadi Perdana Menteri Malaysia tidaklah dia berdepan dengan fitnah yang mengaibkan, digulingkan dari jawatan oleh rakyat di luar pilihan raya kerana dikatakan dia terlibat dengan rasuah dari syarikat gergasi negaranya.  
      
Di tengah-tengah penyokong pembangkang yang berhari-hari tidak mahu berundur dari jalan raya selagi Pak tidak berundur, Peguam Negaranya tidak teragak-agak membawa kesnya ke mahkamah     dan hakimnya pula tidak gentar menjatuhkan hukuman, dia memang rasuah dan tidak berhak lagi memegang jawatan Presiden.
       
Sebagai Presiden dia dibawa keluar dari istana Presiden terus menghadapi tindakan mahkamah, dilucutkan jawatannya, ditahan dan bakal dibicarakan yang hukumannya mungkin penjara yang panjang.
      
Kalaulah Pak jadi Perdana Menteri Malaysia yang dipilih rakyat, dengan fitnah yang seberat yang dikenakan kepadanya, tidak menjejaskan kedudukannya, dipercayai dia boleh terus tidur dan berkuasa lagi.
      
Fitnah yang dihadapkan kepadanya sekalipun amat besar bagi Korea Selatan dan lain-lain negara bebas rasuah dan ketirisan, tak jadi kudis Perdana Menteri Malaysia dan rakyat yang memilihnya.
       
Apa yang difitnahkan sebagai skandal pembelian kapal selam Perancis dan pesawat pejuang Rusia, pembunuhan nyonya Mongolia, Altantuya, cincin dikatakan 24 juta dikirim dari New York kepada isteri Perdana Menteri, kemudian dikatakan dipulangkan balik, derma dari istana Saudi RM2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri juga dikatakan dipulangkan balik dan teribut sekarang petaka syarikat pelaburan kementerian kewangan 1MDB yang dituralkan duitnya lesap dan berhutang jika dikumpulkan  lebih berat dari Gunung Uhud.
       
Dibandingkan dengan fitnah Presiden Pak membenarkan rakannya campur tangan dalam pemerintahan, bersubahat dengan skandal rasuah dengan syarikat gergasi negara itu, mungkin ibarat busut dibandingkan Gunung Uhud, tetapi Presiden Korea Selatan terpelanting kerananya, tetapi sehelai uban Perdana Menteri Malaysia tidak gugur. Ubannya bertambah, tapi tak gugur oleh semua fitnah itu.

Tiada terdaya pembangkang mengajak orang berduyun-duyun berundur dari jalan raya mintanya Perdana Menterinya digugurkan sekarang. Bukan Perdana Menteri meninggalkan jawatan. Tetapi Perdana Menteri boleh menggugur orang-orang besar mula memikirkan fitnahnya mungkin ada benarnya.
       
Pak bertuah jadi Presiden negaranya yang berwibawa dan berdaulat, tetapi jadi Presiden di situ tidak seronok. Silap saja bila-bila masa boleh ke penjara. Jadi Peguam Negara dan Hakim seronok. Mereka  boleh buat apa yang Peguam Negara dan Hakim payah buat.
     
Tidak seperti seronoknya jadi Perdana Menteri Malaysia kebal dari sebarang fitnah. Betul-betul macam Raja Melaka bagi rakyat bernama Hang Tuah. Raja tidak salah dan tidak boleh disalahkan. Seronok jadi Perdana Menteri sama seperti seronoknya jadi Raja Melaka.
      
Yang tidak seronok di Malaysia jadi hakim dan Peguam Negara. Tidak bebas buat seperti apa yang hakim dan Peguam Negara Korea Selatan boleh buat. Kesian hakim dan pedakwa kita macam kesian kepada Presiden Pak. – HARAKAHDAILY 8/4/2017