KETIKA rencana ini tersiar mungkin Perdana Menteri Najib dan/atau peguam Tan Sri Shafie Abdullah telah membuat penjelasan atas dakwaan Sarawak Report berkenaan duit RM9.5 juta dari SRC International dikatakan disalurkan PM ke akaun peribadi peguam itu.
      
Sebagaimana semua siaran media bukanlah sahih seperti al-Quran, maka dakwaan Sarawak Report perlu diteliti sah atau tidaknya duit yang ada kaitnya dengan 1MDB itu.

Sebagaimana PAS terpaksa menyamannya kerana siarannya mengatakan ia menerima habuan 90 juta dari UMNO/Najib, PM Najib dan Tan Sri Shafie juga perlu membersihkan diri dari fitnah itu.
     
Seperti lain-lain fitnah yang banyak dihadapkan kepada Najib melibatkan 1MDB dan bukan 1MDB, laporan Sarawak Report itu menambah lagi beban dan tohmah Perdana Menteri yang memekungkan dirinya, UMNO dan kerajaan. Semua yang dilemparkan kepadanya sejak sebelum jadi Pedana Meneri dan bertimbun-timbun lagi setelah jadi Perdana Menteri telah dilonggok dan diperap di bawah tikar mengkuang. Tikar mengkuang tidak kalis reput. Setakat belum reput ini baunya dapat dibendung.
       
Ia tidak selama-lama terbendung. Mungkin selama PM Najib masih PM dan Presiden UMNO. Jika dibersihkan semasa berkuasa ini, pekungnya akan lebih tak terhidu dengan bau Dr. Mahathir yang pro Najib mulai dedahkan sekarang.
      
Najib setakat ini seolah kebal dan kalis tohmah. Seolah-olah tidak tikaman selagi berkuasa. Tetapi ia sudah membebankan UMNO dan kerajaan.
      
Tidak pernah maruah dan keperkasaan UMNO begitu rendah seperti sekarang. Dan kepercayaan sesama sendiri amat goyang. Kata Annuar Musa, kantung Persatuan Bola Kelantan  sekarang kering. Kantung kerajaan persekutuan sekarang lagi kering. Tidak pernah ia sekering seperti di bawah pentadbiran Najib ini.
      
Pacal-pacal UMNO kata ia kukuh dan kian kental. Gara-gara 1MDB dan dan lambakan tohmah itu menyebab ketahanan dan maruah UMNO dan ahli-ahli amat rendah. Gara-garanya  TS Muhyiddin Yassin terusir dari UMNO. Cemperanyalah  mendorongnya memecat Muhyiddin.
      
Jangan kata Muhyiddin dan Dr. Mahathir berduaan saja. Mereka menarik ahli-ahli UMNO menubuhkan parti baru. Jika sepuluh peratus saja UMNO mengikut 3M – Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz, maka UMNO sudah  sumpik. Yang menyokong dan simpati kepada Muhyidin dari dalam jangan diremehkan.
      
Gara-gara pembawaan Najib sebagai pimpinan UMNO telah menjadikan UMNO tidak sepadat masa ia ditinggalkan Dr. Maahthir dan tidak juga sepadu ia di bawah Tun Abdullah Badawi. Mungkin ahli UMNO bertambah, tetapi beban yang UMNO hadapi yang dibuat Najib, menjadikan UMNO seperti pinggan retak seribu. Ia boleh diguna tetapi retak boleh membawa pecah.
      
Apa yang menjadikannya begitu? Beban yang semuanya ditudung dengan tikar mengkuang.  UMNO banyak celanya pada pembangkang. Tetapi ia keramat pada UMNO. Keramatnya adalah UMNOnya, tetapi pemimpinnya tidak keramat istimewa PM Najib. Kecuali yang sebelum Najib yang keramat hidup.
      
Antara sayang UMNO dan sayang Najib tidak sama. UMNO mungkin sayangkan UMNO tetapi beban demi beban yang Najib lambakkan kepada UMNO menjadikan UMNO terbeban yang ahli UMNO tak terpikul. Bila UMNO dipenuhi beban, bila ia hendadk membela Melayu, rakyat dan   negara?
      
Jika UMNO itu  cintakan, dengan saau demi satu kerenah menimpa Najib, UMNO hendak ditunggu apa lagi dengan Najib. Peguam Shafie Abdullah adalah peguam Najib yang belum tentu peguam UMNO. - HARAKAHDAILY 7/6/2017
      
      
     

SAYA sentiasa membantah pengedaran arak dalam penerbangan MAS, tetapi saya menggunakannya ke mana-mana juga.
       
Tetapi apabila menteri memberitahu setiap tiket MAS yang dibeli memasukkan peruntukan arak kepada penumpang yang memesan arak dalam penerbangan, maka bertambah dengan amalan MAS itu.
      
Saya pernah lebih dari sekali menulis supaya dihentikan mengenakan caj arak atas tiket yang dijual. Tetapi setelah menteri Islam menjelaskan, pengedaran arak percuma diteruskan dan mengenakan caj arak atas tiket tidak dihentikan, maka saya membuat keputusan mengharamkan penggunaan MAS dalam setiap penerbangan termasuk penerbangan domistik yang singkat yang tidak menghidangkan arak.
       
Sudah lebih tiga tahun saya haramkan untuk diri saya dan sekalian anak-anak saya menggunakan perkhidmatan MAS.
       
Apabila ada kekecohan dan gangguan seorang penumpang masuk dalam penerbangan dari Australia ke Kuala Lumpur hingga penerbangan berpatah balik ka Australia dan banyak masalah dihadapi penumpang, maka saya bertambah insaf dan pilu atas amalan MAS dan kerajaan/sistem yang mengizinkan arak diedarkan.
       
Saya mnyokong semua seruan agar MAS menghentikan pemberian arak percuma dan menghentikan mengenakan caj arak kepada pembeli tiket.
       
Amat malang bagi saya dan pengguna Islam yang benci arak tetapi duitnya diambil bagi memuaskan nafsu kaki botol dalam penerbangannya. Bagi saya MAS telah menzalimi penumpangnya yang menentang arak dan mereka juga menzalimi kaki botol dengan menggalakkan mereka terus mentedarah air syaitan itu.
      
Kerajaan pilihan rakyat telah mengkhianati pengundi yang mengundinya, kemudian dengan mandat orang tidak mahu arak itu memberi arak kepada penumpangnya.
      
Sejak tiga tahun lalu saya guna khidmat bukan MAS ke mana-mana saja dalam negeri. Dalam tempoh itu saya tidak keluar negeri kecuali umrah yang menggunakan penerbangan Saudi.
      
Anak, menantu dan cucu hendak balik dari England memberitahu saya ada tawaran murah penerbangan MAS. Banyak murahnya daripada penerbangan lain. Bolehkah mereka guna MAS? Menggunakan MAS masa itu lebih selesa.
      
Saya haramkan mereka guna MAS. Pijak tangga pesawat MAS pun jangan. Masing-masing tak guna MAS lagi.
      
Saya diberitahu, penerbangan lain yang digunakan itu mengedar arak juga dan mengenakan caj arak pada tiket. Apa kita hendak buat? Penerbangan Timur Tengah pun sama. Kita tidak dapat halang kerana terpaksa gunakan penerbangannya.
       
Tapi MAS negara kita punya. Kita ada hak membantah. Kalau ramai orang Malaysia tak guna MAS, kita yakin MAS boleh ditundukkan.
        
Memang sekarang kerajaan Malaysia dan MAS sendiri tidak dapat dihalang hawa nafsunya. Jika kita tidak ramai bertindak, nescaya berterusan kita tanggung hawa nafsu syaitan itu.
      
Maka saya dengan kejadian terbaharu dalam penerbangan MAS balik dari Australia itu mengajak semua orang jangan guna MAS ke mana-mana saja hinggalah MAS menghentikan maksiatnya.
      
Jika tindakan ini menyebabkan MAS taubat, maka kita dapat jadikan penerbangan kita patuh  syariah. Apabila ada penerbangan patuh syariah, orang Islam cari penerbangan patuh syariah, nescaya  akan bertambah penerbangan patuh  syariah.
      
Orang tak boleh kata kita tidak nasionalis tak guna MAS. Dari jadi nasionalis redha maksiat dan menyakitkan hati, biarlah saya jadi nasionalis sepat, tak guna penerbangan emas sendiri, asal tak sakit hati.
      
Ada anak-anak hendak ke England dalam waktu terdekat. MAS ada tawaran murah. Jangan guna MAS, kerana  takut disambar api neraka! Mungkin ia jihad yang kecil. – HARAKAHDAILY 5/6/2017

TENTUNYA umat Islam di seluruh dunia khususnya bangsa Aceh bersyukur dan bangga justeru sekonyong-konyong berlaksa-laksa umat di Banda Aceh turun menunaikan  tarawih malam pertama Ramadan di  Masjid Raya Baiturrahman.
      
Apa yang mendorong masjid itu dilimpahi manusia malam itu hingga orang Aceh tempatan tidak percaya ia boleh berlaku begitu makmur?
      
Aceh itu belasan tahun lalu disapu tsunami ratusan ribu penduduknya terbunuh, bilangan teramai di dunia jadi mangsa sekelip mata. Puluhan laksa juga terbunuh belasan tahun lalu dalam perang Aceh Merdeka menentang kerajaan Indonesia untuk memperkasa wilayah otonomi Islamnya demi mendaulatkan syariat di wilayah itu.
       
Kerajaan Jakarta tunduk atas kebangkitan umat Aceh, Aceh Merdeka sekalipun tidak terpisah daripada Indonesia, tetapi ia dapat Merdeka melaksanakan syariah semampu yang upaya dicapainya.
       
Setelah ia mencapai kedamaian dan mula melaksanakan syariat, maka tahun ini dunia dikejutkan pekarangan Masjid Raya Baiturrahman, satu-satunya bangunan yang tidak  disapu tsunami, raksasa sujud tarawih hingga ke padang rumput di luar masjid.
      
Memang sebelumnya masjid itu sudah sesak, ia dibanjiri setiap solat Idil Fitri dan Idil Adha, tetapi bagi tarawih malam pertama itu adalah luar biasa.
     
Tahniah buat umat Islam khususnya di Aceh justeru makmurnya Masjid Raya itu, tidak lain yang terjadi itu adalah rahmat Allah kerana ia adalah satu-satunya wilayah di Indonesia mendaulatkan syariah, dan yang ketiga di Nusantara menegakkan peraturan Islam selepas Brunei Darussalam dan Kelantan.
      
Sekalipun Kelantan lebih dulu tiga dekad ini mengumumkan menjadi wilayah serambi Mekah tetapi ia belum jadi wilayah merdeka untuk jadi wilayah syariat terhalang oleh peraturan Parlimen. Sekalipun kerajaan Kelantan berhempas pulas memartabatkan Islam setakat  yang ia boleh, tetapi statusnya kerajaan pro-Islam terus tergantung kerana ia boleh diubah oleh demokrasi yang terpakai di Malaysia.
       
Jika kerajaan Kelantan kalah dalam PRU 14 nanti lambat lagi Kelantan untuk menjadi seperti Aceh. Adapun bandar Seri Begawan kita sama-sama doa dan beri harapan, kerana Rajanya sedang menebas semak-semak bagi menjadikannya benar-benar wilayah Darussalam.
      
Apa yang menggemparkan Masjid Raya Baiturrahman itu kali ini? Ia adalah rahmat dari Allah setelah wilayah itu melaksanakan syariat setakat yang dimampunya.
     
Allah janjikan sepuluh siang dan malam pertama dalam bulan Ramadan dengan anugerah rahmat. Rahmat itu kadang-kadang tidak dapat dirasa dan dilihat, tetapi yang dunia saksikan pada tarawih pertama di masjid itu adalah rahmat awal bagi Ramadan bagi umat Aceh. Rahmat di Banda Aceh itu tentunya melimpah sama ke lain-lain wilayah di daerah istimewa itu.
       
Apa rahmatnya dengan laksa turun terawih malam itu?  Rahmat yang senang kita nampak, jika seorang yang hadir itu menghulur seorang 10 Rupiah, berapa guni masjid itu dapat kumpulkan bagi memakmurkan masjid itu. 10 rupiah adalah seperti lima sen saja. Orang tidak berderma lima sen tetapi paling kecil seringgit.  
       
Moga-moga sebulan penuh mereka terawih begitu bagi memenuhi ujian kemakmurannya. Jika umat Aceh terus bersyukur  atas limphan rahmat setakat ini, Islam Aceh akan terus makmur.
      
Bumi Aceh kaya. Rakyatnya miskin kebendaan dan kaya hati. Dengan memulai pembangunan syariah, ia akan maju. Ramai rakyatnya mencari rezeki ke Malaysia, dan dengan pembangunan syariahnya, giliran orang di luar Aceh pula bertumpu ke Aceh bagi meraih nikmat rohani sesudah rahmat yang Allah janji itu disambut oleh sekalian.
      
Saya cemburu tidak jadi orang Aceh. – HARAKAHDAILY 31/5/2017

ORANG kanan kerajaan Terengganu yang mengembara ke Aceh bagitahu pembesar dan orang Aceh hudud tak boleh dibuat di Terengganu.
       
Menteri Besarnya pula masa yang sama beritahu orang Terengganu dan lain-lain tak boleh buat hudud di Terengganu.
     
Enakmen mengenainya sudah ada sejak tahun 2001 tapi ia tidak boleh dibuat. Bermacam-mcam alasan diberi mengapaTerengganu tidak boleh laksanakan hudud. Dikatakan bukan mereka tidak mahu tetapi ia tidak boleh dibuat.
     
Semua mafhum akan halangan itu.
     
Apa yang menarik ialah memberitahu orang Aceh yang sudah menguatkuasakan peraturan itu dan memberitahu orang Terengganu akan tidak boleh ia dikuatkuasakan, dibimbangi takut disabitkan ia memberitahu Allah undang-undangNya tidak boleh dibuat?
       
Memberitahu orang Aceh betapa undang-undang sudah ada tetapi tidak boleh jalan adalah maklumat yang benar. Juga yang MBnya bagitahu itu adalah hal yang benar. Sekalipun semuanya benar, takut ia semata-mata satu dalih. Berdalih sesama manusia mungkin kadang-kadang tak mengapa. Tetapi takut ia dikira sebagai memberitahu Allah, barang yang dijauhkan!
      
Semua boleh beritahu rakyat dan boleh bagitahu Raja apa yang rakyat mahu dan apa yang Raja perintah tidak boleh dibuat ats apa jua sebab.
      
Tetapi bolehkah hamba Allah bagitahu Allah perintahNya tidak boleh dibuat?
      
Tiada kejadian sejak Allah cipta makhluk yang berbgai-bagai pernah memberitahu Allah kehendakNya ditakwil kecuali sekali oleh para malaikat dan sekali oleh iblis.
     
Mengikut kata sseorang Tok Guru, iblis satu dari sepsis jin 80,000 tahun lebih dulu dari penciptaan Adam. Iblis sendiri telah 80,000 tahun beribadat kepada Allah. Tidak disebutnya 80 ribu tahun itu tahun di akhirat atau tahun di dunia. Tahun akhirat jauh lebih  panjang dari tahun di bumi.
      
Iblis mengira mencipta Adam bagi dijadikan khalifah di bumi tidak patut. Alasan awalnya ialah mansia dijadikan dari tanah sedang dia api. Silap cakap itu dicap Allah sebagai laknat. Terus ia tidak taubat.
      
Malaikat pula bertanya bagaimana sifat manusia yang berbunuh sama sendiri dan melakukan kerosakan di bumi hendak dijadikan khalifah. Jawab Allah yang bermaksud, Aku lebih tahu. Malaikat  sekalian mohon ampun.
      
Apabila Tuhan hendak jadikan manusia sebagai khalifah, Yang Maha Tahu itu adalah lebih tahu malaikat. Kewajipan malaikat hanya menerima tanpa takwil akan apa juga yang Allah tentukan.
     
Apabila Allah peraturankan hudud adalah undang-undang untuk manusia dan jin di bumi, bukan Allah tidak tahu akan halangan dan kepayahan, tetapi Allah lebih tahu dari manusia betapa adilnya ia untuk semua yang bernyawa dan tidak bernyawa.
       
Hukum itu sudah disyariatkan kepada Yahudi dan Nasrani. Mereka ingkari. Nabi Muhammad SAW tahu akan masalah dan kepayahannya, tetapi Nabi dan sekalian sahabatnya berlengah untuk menguatkuasakannya sedang masyarak Madinah adalah majmuk seperti Malaysia juga.
         
Baginda terima syariat itu dan minta pertolongan Allah menghadapi segala rintangannya.
        
Terengganu dengar dan taat dulu, buat apa yang patut dibuat tanpa mengatakan ia tidak boleh dibuat. TG Nik Aziz dan Kelantan buat dulu apa yang boleh dibuat, tidak sekali-kali ia dikatakan tidak boleh.

Sekalipun ia belum dilaksana di Kelantan mereka beritahu dunia ia tidak boleh kerana takut berkata begitu sebagai memberitahu Allah ia tidak boleh.

Kalau Malaysia boleh mengapa Terengganu tidak boleh dan apa  Terengganu buat supaya ia boleh? - HARAKAHDAILY 31/5/2017   

SEKALIANNYA sewajar dukacita dengan politik yang menimpa Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Tamrin Ghafar yang lama lebih dulu kecewa dari Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang partinya UMNO.
       
Tiga tahun dulu mereka meninggalkan UMNO dari Muhyiddin.
        
Kedua-duanya menyertai PAS ketika PAS memulakan kempen PAS Ganti UMNO. Mereka meninggalkan UMNO adalah pilihan yang betul dan menyertai PAS pun adalah pilihan yang betul.
       
Pilihan mereka positif. Malangnya masa mereka menyertai PAS adalah masa yang tidak betul. Mereka menyertai PAS pada masa gelombang begitu kencang dalam PAS untuk melucutkan kepimpinan ulama oleh golongan tertentu dalam PAS.
        
Masa meninggalkan UMNO itu betul. Masa menyertai PAS dilihat tidak betul. Mereka meninggalkan parti yang bergelora dan masuk pula parti yang pengikutnya bergelora. Peluang tidak banyak bagi mereka untuk mengetahui dan memahami perjuangan PAS dari pimpinan PAS dan pimpinan dan penyokong PAS pula tidak cukup masa untuk memberikan perhatian kerana masing-masing sibuk menghadapi gelora yang melanda PAS masa itu.
      
Amat malang mereka terperangkap dalam gelora itu dan PAS tidak sempat menyelamatkan mereka  dari dibawa arus yang deras.
      
Tamrin dan Muhammad dengan dukacitanya meninggalkan PAS dengan membawa pergi pengalaman yang mereka rasa pahit dan sempat menghirup kemanisan PAS dalam tepoh yang singkat bersama PAS itu.
      
Boleh dikira mereka meninggalkan parti barunya dalam tempoh berbulan madu.
       
Tamrin telah memberi sumbangan yang bererti sebaik menyertai PAS. Hampirr setiap malam dalam tempoh berbulan madu itu dia menjelajah ke seluruh rantau memberi ceramah betapa riangnya dia dapat bersama PAS. Demikian juga Tan Sri yang menyertainya kemudian.
       
Mereka datang atas kehendak sendiri setelah merasakan ia adalah parti alternatif kepada UMNO, tetapi dalam kegiatan singkatnya dalam PAS itu mereka banyak diiring oleh orang yang hendak mengambil alih pimpinan ulama dari PAS.
       
Maka mereka lebih terdedah dengan kisah apa yang katakan kelemahan dan kepincangan pimpinan PAS. Kerana arus perdana PAS lebih menumpukan gelora yang melanda PAS, maka ia terlepas pandang tentang layanan kemasukan dua orang UMNO yang penting itu.
       
Kempen PAS Ganti UMNO adalah program yang baik tetapi ia ada kelemahan tidak dapat mengawal ikan yang masuk bubu boleh terlepas dari bubu.
      
Lalu kedua-duanya keluar PAS. Tamrin mendiam diri seribu bahasa. Tan Sri Muhammad dikatakan menghadiri perjumpaan grup yang hendak menggulingkan pimpinan ulama yang merancang menubuhkan parti progresif Islam.
 
Muhammad cuma hadir. Dia tidak bersama mereka sebaliknya menyertai PKR sedang ia bukan pilihan pertamanya setelah meninggalkan UMNO.
      
Masa mereka masuk PAS, PAS terperangkap dengan politik Langkah Kajang bagi menggantikan Menteri Besar Selangor. Dan kemudian terperangkap pula dengan isu kepimpinan ulama. Setelah berada dalam PKR, Tan Sri terperangkap pula dengan gara-gara pecah tahaluf siyasi yang boleh menggerhanakan pembangkang.
       
Apa yang menimpa kedua Tamrin dan Muhammad boleh mengganggu projek PAS Ganti UMNO. Kecenderungan orang UMNO menyertai PAS tergencat sementara gara-gara yang mula masuk PAS keluar pula dari PAS.
       
Saya pilu dengan tragedi Tamrin dan TS Muhammad itu. Menyertai PAS ada ujian. Mereka diuji ketika PAS belum sebati dengan mereka. Jika yang sebati seperti Salahudin Ayub pun cicir, apa lagi yang belum sebati. Tetapi tidak salah kembali kepada pilihan yang yang betul tadi. - HARAKAHDAILY 25/5/2017
     

SAYA telah tanya kononnya ada pembesar PAS dikatakan berkata, PAS tidak bertanding di mana UMNO bertanding.
      
Yang bertanya itu berang akan konon itu justeru sayangnya dan cinta tak berbelah baginya pada PAS.
       
Jelas saya ia konon yang karut.
      
Subki 1Yang bertanya amat tidak gembira kerana konon itu ditularkan. Dengan konon dia percaya dan amat marah pada PAS. Dengan tular itu, ayahnya dan saudara mananya yang bersama PAS sejak usia masing-masing boleh berpolitik dikatakan sudah ikut rakan-rakan PASnya yang mengadakan parti sendiri.
      
Dia tidak ikut ayahnya tetapi menggantung penyertaannya dalam politik.
       
Saya kata orang PAS tidak berkata begitu dan tidak percaya orang PAS akan kata begitu apa lagilah pembesarnya.
       
Dikatanya, Mursyidul Am (TG Hashim Jasin) pun kata begitu. Lagilah saya tidak percaya. Ia adalah berita palsu dan diputar belit. Ia sah konon dan konon itupun palsu. Jika ia sudah ditular, itulah tular palsu.
      
Ia cakap yang tidak dasar PAS.
       
Bukan sekadar strategi PAS bertanding di mana UMNO bertanding, bahkan menjadi dasar menandingi UMNO di mana-mana saja. Malah di tempat yang UMNO tidak berani bertandingpun PAS sedia bertanding.
      
PAS sudahpun menularkan sekurang-kurangnya akan meletak 80 calan Parlimen dalam PRU14 nanti. 80 itu minimum.
      
Di mana 80 calon itu hendak PAS letak jika bukan di kawasan yang ditandingi UMNO? Adakah betul propagandanya 80 calon itu bertanding dengan DAP saja di bandar-bandar besar seperti Ipoh, Batu Gajah, KualaLumpur, Pulau Pinang dan lain-lain?
       
Kalau pun demi propaganda, biarlah msuk akal.
       
80 yang disebut PAS itu tentulah ahlinya – yang Islam dan Melayu. PAS mara atas semangat Gagasan Sejahteranya ada rakan-rakan Islamnya – Dewan Himpunan Penyokong PAS, Ikatan dan NGO. Tidak mustahil semua kerusi di Semenanjung, bahkan di Sabah dan Sarawak nescaya mereka penuhi.
       
Maka pada dasarnya mana-mana kawasan yang Barisan Nasional bagi pada UMNO, nescaya UMNO akan jumpalah PAS di situ.
      
MCA yang mengira hak istimewanya di kawasan yang UMNO benarkan ia bertanding selama ini sejak ia rampas DAP beberapa PRU dulu mulai sedia menganugerahkannya kepada UMNO. DUN Sekincan di Selangor misalnya, MCA tidak harap lagi. Jika UMNO hendak, ambillah.
       
Sama ada UMNO ambil atau tidak, PJ PAS Selangor, Ustaz Sallehen Mukhyi tetap sediakan calonnya.
       
Maka tular yang banyak itu adalah guna mengelirukan semua rakyat supaya membenci PAS, lebih bencinya dari UMNO dan DAP.
      
Ia sebahagian dari usaha melumpuhkan PAS. Biar orang PAS yang sudah dikelirukan kononnya ia bersekongkol dengan UMNO akan meninggalkan PAS dan rakyat yang menyokong PAS selama ini mencari calon lain dalam PRU.
       
Kita tidak dapat menghalang menularnya tular, tetapi orang PAS jangan mudah terperangkap dengan dakyah yang melanda itu.
      
PAS adalah satu dari banyak calon yang akan menandingi UMNO. Pembangkang yang banyak itu akan mengagih kawasan untuk melawan UMNO. PAS tidak perlu agih. Ia calon tetap berdepan dengan BN. - HARAKAHDAILY 24/5/2017

SELURUHNYA bersyukur kepada Allah dan lapang dada mendengar pembedahan pintas jantung ke atas Tok Guru Haji Abdul Awang berjaya dan seluruhnya berdoa moga-moga dari semasa ke semasa proses pemulihan bertambah dan pulih seperti sedia kala dengan izin Allah.
        
Sekalian kemajuan rawatan jantung seperti yang dijalani oleh beliau bertambah maju dari semasa ke semasa, berjaya lebih banyak daripada tidak berjayaa, bahkan yang tidak berjaya mulai jadi kes yang terpinggir, tetapi semuanya cemas dan gugup apabila seseorang terpaksa melalui rawatan seperti itu.
        
Kita tidak tahu apa perasaan orang yang menjalani rawatan itu, tetapi semua yang mendengar dan menunggu orang yang dikasihi menjalani rawatan itu amatlah cemas dan teruji.
       
Sekalipun kes yang tidak berjaya bertambah kecil sekarang, pembedahan seperti itu memang berisiko. Risiko menjalani rawatan seperti itu mungkin kurang risikonya dengan tidak menjalani rawatan itu atau menangguhkan rawatannya. Dirawat risiko, tidak dirawat lagi risiko.
       
Maka Allah memberi pilihan, memilih yang kurang risiko adalah yang terbaik. Ternyata yang berani dan tabah menerima ujian berjaya meneruskan usia dan berbakti kepada kepada semua. Tetapi yang tidak berani menempuh ujian, tidak dapat dipastikan usianya dapat dilanjutkan.
       
Pintasan jantung memang berisiko. Bagi setiap doktor mereka berpegang pada prinsip, jika satu-satu rawatan yang  tinggal bagi seorang pesakit ialah membedahnya, sekalipun dengan membedahnya itu ia tidak dapat diselamatkan, ia tetap dibedah dan doktor tidak teragak-agak membedahnya.
       
Berita beliau hendak menjalani pintasan jantung itu disampaikan sendiri kepada saya dalam pertemuan kami kurang dari dua minit semasa Muktamar di Kota Sarang Semut yang lalu.
      
Ada perkara lain yang saya hendak cakap kepadanya. Biasalah setiap orang apabila berjumpa bertanyakan tentang  kesihatan. Saya tanya tentang kesihatannya, terus diberitahunya beliau akan menjalani pintasan jantung lepas muktamar ini. Berdegup juga hati mendengarnya. Tetapi saya tunjukkan senyum sebagai isyarat ia kini sudah kurang risiko dengan izin Allah kecuali Allah menentukan sebaliknya.
      
Insya-Allah, kata saya, ia moga-moga selamat.
       
Ujarnya, doakan ana selamat!
       
Saya ulangi, Insya-Allah anta selamat.
       
Memang saya nampak wajah keuzurannya. Memang dalam masa beberapa tahun terakhir ini beliau uzur, berulang alik antara tinggal di wad dan di rumahnya. Selalunya saya mendengar berita uzurnya saja dari  jauh. Tetapi inilah pertama kali saya bertemu dengannya dalam masa lebih dari setahun. Memang banyak perbezaannya.
      
Sekalipun saya acap menerima berita uzurnya, tetapi beliau tetapi ligat berpusing seperti gasing berada di mana-mana saja  di pentas politik  seolah-olah sihat seperti orang yang tidak pernah sakit. Seolah-olah lebih banyak masa di luar rumah daripada di rumah.
      
Mengetahui beliau hendak menjalani pintasan jantung, lupa segala yang hendak ditanya, orang lain pun ramai, maka masa kurang  dari dua minit itu kami bercakap tentang pembedahannya saja.
     
Pagi esoknya beliau akan menyampaikan ucapan dasar. Saya tidak mengganggu dengan pertanyaan lain. Orang uzur jangan diganggu sangat.
     
Saya bimbang bagaimana beliau hendak menyampaikan ucapan dasar esok? Cukup tenaga dan kudratkah?
     
Esoknya beliau berdiri di hadapan beribu orang, tidak nampak macam orang sakit. Cukup satu jam beliau membentangkan ucapan dasar dengan penuh semangat. Begitulah pemimpin sekalipun uzur, apabila di depan pembesar suara, lupa akan keuzurannya.
     
Sekarang beliau lepas ujian pertama. Insya-Allah apabila ujian pertama selamat, beliau akan segara ke tengah gelanggang semua mudah-mudahan. – HARAKAHDAILY 23/5/2017

JUSTERU ketegasan saya mempertahankan PAS dan pemimpin semasanya atas isu-isu yang ditular, maka ada netizen menyifatkan saya  lembu  tua.
       
Saya pun cermin diri untuk menentukan betulkah saya macam lembu tua? Di cermin itu saya hanya dapat lihat saya macam saya. Orang lain yang boleh melihat apakah saya macam saya juga atau betul macam lembu tua.
      
Dengannya saya berpeluang memuhasabah diri. Betapa semua oang tidak terlepas daripada perhatian orang dan reaksi orang.
      
Jika menyifatkan saya sebagai lembu tua, maka lembu tua yang jantan cukup umur dijadikan binatang korban dan akikah. Orang beriman yang beramal demikian dijanjikan ganjaran dengan ibadat itu. Maka lembu demikian lebih bernilai di sisi Allah daripada Firaun dan Haman yang menentang Allah dan lain-lain orang yang tak berotak.
      
Jika mengata orang lembu baik muda atau tua disabitkan suatu yang tidak baik, maka yang mengatakan berdosa dan yang kena kata itu dapat pahala.
      
Apa hikmah orang yang kena kata dapat pahala? Supaya dia tidak berang dan tidak hilang akal atas yang menimpanya. Dia terus tenang dengannya kerana dia dapat pahala.
      
Kira-kira ia pahala dapat terpijak. Dia tidak beramal tapi dapat pahala percuma.
      
Jika saya dapat pahala secara demikian saya bersyukur kerana ia anugerah Allah. Tetapi kita tidak boleh bergantung pahala daripada ibadat yang kita tidak buat. Yang terbaik ia pahala daripada  amal soleh kita. Mulianya orang-orang beriman ialah banyak amal solehnya.
      
Jika orang kata kita lembu sedang kita tidak patut dikatakan begitu, kita dijanjikan satu pahala dan yang mengata dapat dosa.
      
Sekarang moga-moga diperkenankan saya dapat pahala. Kerana pahala itu bukan dari yang saya kerjakan, ia hanya dapat akibat dosa orang lain kepada kita, maka kita beroleh pahala daripada dosanya. Tidakkah itu satu sumbangannya kepada saya sedang sumbangan itu membinasakannya?
      
Kerana perbuatannya saya dapat pahala, maka dengan segala senang hati saya maafkan dia atas dosa yang disabitkan ke atasnya. Lalu terlepaslah dia dari dosanya kerana ia saya maafkan.
      
Saya teringat atas satu hadis seorang sahabat yang menuju masuk ke majlis perkumpulan baginda. Baginda memberitahu mereka yang datang itu adalah ahli syurga. Lebih dari sekali kejadian itu berlaku. Maka seorang sahabat minta dari orang itu untuk bermalam di rumahnya supaya dia dapat mengetahui apakah ibadatnya.
       
Tiga hari sahabat itu menginap di rumah ahli syurga itu. Tidak didapatinya sahabat itu melakukan ibadat yang istimewa. Dia tidak bangun qiamulil. Lalu dia bertanya sahabat itu apa amalannya hingga Nabi beritahu dia ahli  syurga. Dia kata dia tidak ada ibadat yang istimewa.
      
Mesti ada sesuatu yang dilakukannya. Maka yang dia ingat jika ia dikira ibadatnya, antaranya sikapnya menjaga hubungan baik dengan  semua orang – tidak memutuskan hubungan. Dan mengampun semua dosa orang terhadapnya.
     
Rupanya mengampun dosa orang pada kita besar pahalanya.
     
Dengan ini saya ampunkan dosa orang yang mengata saya lembu tua. Dia kata saya lembu tua, saya dapat satu pahala. Apabila saya ampunkan dosanya saya dapat satu pahala lagi. Maka saya dapat  dua pahala daripada netizen itu.
      
Maka saya tidak marah akan katanya pada saya itu sebab dia memberi saya peluang dapat dua pahala. – HARAKAHDAILY 18/5/2017

SEPATUTNYA saya tarik perhatian kerajaan yang diperintah PAS dan kerajaan Selangor yang PAS sebahagian dari kerajaan apatah lagi Datuk Iskandar Samad, Naib Presiden PAS jadi exco perumahannya.
      
Iaitu meletakkan konsep seni bina Islam dalam perancangan pembangunan perumahan, taman perumahan dan perancangan Bandar.
     
Biar semua perancangan itu dengan kehidupan seharian masyarakat Islam yang tidak dirasakan bermasalah bagi sekalian komuniti masyarakat majmuk.
     
Justeru Tan Sri Noh Omar adalah menteri pusat yang menjaga dasar perumahan dan pembangunan bandar seluruhnya, adalah wajar dia memikirkannya sebelum mengambil kuasa pemerintahan bila-bila masa saja selepas ini.
      
Jangan tunggu PAS berkuasa baru difikirkan. Siapa jua yang berkuasa patut melaksanakannya.
      
Konsep seni bina Islam itu bukanlah pada kubah bangunannya, tetapi susunan aturnya selesa  untuk umat beribadat dan dapat menghindarkan dosa.
      
Saya terfikir mengenainya kerana semasa berada di Australia dapurnya sebelah ruang tamu, suri rumah masak depan tamu yang bukan muhrim. Manakala selama 11 hari saya jadi tetamu satu keluarga Turki di Istanbul, apartmennya yang ada satu pintu saja, saya jarang jumpa isteri dan anak perempuannya, orang laki-laki yang datang ke rumah orang perempuan tak nampak,  dan orang perempuan yang datang, orang laki-laki tak jumpa.
       
Pintunya satu tetapi orang dalam rumah itu terhindar dari dosa yang tak sengaja. Ia justeru susun ruang dan biliknya yang sempurna.
      
Dengan pengalaman di Ausralia dan Turki itu, indahnya jika masyarakat Islam mendiami rumah yang selesa dalam kehidupan sehariannya.
     
Rumah selesa Islam itu dapurnya mesti tidak mendedahkan pemasak yang jantina  tidak terdedah kepada tetamu dari lain jantina, mestilah rumah yang satu pintu dan satu bilik air tidak mudah bertembung dengan yang tidak sejantina yang bukan keluarganya.
      
Sebagai yang sudah difahami ada bilik tidur bagi bapa/emak, bilik asing bagi anak laki-laki dan anak perempuan. Ada bilik bagi tetamu lengkap dengan bilik air.
      
Dipastikan kiblat tepat ke dinding, tidak menyerong ke kanan atau ke kiri. Pembuat pelan mesti tahu kiblat yang tepat supaya jimat ruang berjemaah dan supaya tetamu solat tepat arah kiblat. Ada bilik air yang tetamu tidak pergi ke dapur dan terserempak orang bukan muhrim tak menutup aurat dalam rumah.
       
Tandas tidak mengadap dan membelakang kiblat. Ia disusun kemudahan orang mencangkung semasa buang air, demi kesihatan sebelah kaki tinggi dari yang lain. Dapatkan nasihat ahli fekah kaki mana yang mesti tinggi.

Bagi rumah mewah yang tak mahu jenazah dimandikan di masjid sediakan ruang selesa untuk mandi mayat dan mengkafannya.
       
Perancang bandar dan taman perumahan rancang tong sampah letak di belakang rumah, ada lorong mudah bagi lori pengangkut sampah. Ada yang kata tong sampah di depan rumah adalah cara Yahudi. Cara Islam elok di belakang.
      
Biar taman perumahan baru dan perancang bandar yang baru dirancang lorong sesuai dengan kiblat supaya setiap rumah tepat kiblat ke dinding.
      
Sekalipun Mekah dan Madinah tidak ikut susun itu, yang baru dirancang di mana saja biarlah ikut konsep selesa dengan Islam dan bukan Islam tidak tersinggung.
     
Biar sekalian jurubina tahu peraturan itu dan jadikan ia syarat lulus bagi layak pakai.
     
Apabila konsep seni bina ini dapat dilaksana, rumah masing-masing membawa barakah bagi mencapai matlamat masyarakat matang dan sejahera. – HARAKAHDAILY 15/5/2017

PAS menjadi tarikan pesona terbesar bagi peminat politik negara ini serta terus menerus menjadi objek perbincangan samada pada sisi putih atau hitam. Ahli-ahli PAS dan masyarakat awam juga seperti tertunjal-tunjal akal untuk mengenali siapakah dan apakah latar belakang pimpinan PAS. Cukupkah dengan sekadar menggalang gelaran akademik dan status sosial untuk memimpin sebuah pertubuhan massa bernuansa Islam ini? Adakah mereka mempunyai latar belakang yang mapan dan piawai untuk mentarjih perjalanan gerakan Islam ini?.

Ustaz Nik Mohamad Abduh, antara tokoh PAS yang popular, bukan sekadar mewarisi watak ayahandanya, namun bekas pelajar Maahad Muhammadi yang pendiam ini juga mewarisi minat ayahandanya. Ulat buku ini pada asalnya meminati bidang perubatan namun almarhum Tuan Guru mahukan anakandanya menjadi ulama besar dan mewarisi perjuangan Islam. Beliau dihantar belajar ke Deoband dan Mesir.

Nik Abduh, pulang ke Kelantan dan menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Pengkalan Chepa dalam tempoh yang panjang dan juga Timbalan Ketua DPP Kelantan. Nik Abduh mengalahkan Datuk Ibrahim Ali dalam PRU ke-13 di konstitusi Pasir Mas. Beliau ialah penulis yang prolifik dan juga  kontroversi kepada pembenci-pembenci PAS.

Datuk Mohd Amar ialah Naib Presiden PAS yang gemar berkain pelekat, mantan Pensyarah Kanan UIA itu yang juga Koordinator Kursus di Jabatan Ilmu Wahyu Pusat Matrikulasi UIA. Beliau daripada darah keturunan ulama pejuang iaitu Tok Ayah Kedah,  manakala ayahanda, Ustaz Nik Abdullah Nik Arsyad telah mendekam dalam tahanan ISA semasa beliau berumur empat tahun. Meminati politik kerana pergulatan hidup bapanya dalam politik turut diwarisi kepada Nik Amar yang cergas dalam persatuan semenjak zaman sekolah. Di kampus, beliau terlibat dengan PMUKM, juga memimpin Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM. Datuk Mohd Amar juga menyertai PALAPES di kampus dan ini banyak membentuk disiplin beliau dalam perjuangan Islam.

Semasa berada di pemukiman ilmu di negara penjajah, beliau aktif dalam Persatuan Masyarakat Melayu Birmingham. Beliau pernah menjadi Exco Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan serta Exco Dewan Pemuda PAS Pusat. Menjadi Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pada tahun 1995 dan seterusnya melepaskan kerusi Parlimen untuk bertanding di DUN Pachor. Beliau telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Besar Kelantan dan sering menjadi "punching bag"  pembenci-pembenci PAS.

Dr Azman Ibrahim, anak jati Terengganu ini merupakan mantan Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Iraq. Beliau merupakan mantan pegawai pergigian di Kementerian Kesihatan Malaysia dan mantan Pensyarah Pelatih di USM. Dalam parti, beliau pernah memikul amanah sebagai Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi, Timbalan Yang Dipertua PAS Setiu, AJK Perhubungan dan Ketua Lujnah Kebajikan PAS Terengganu dan Pengarah Jabatan Kecemasan dan Pengurusan Bencana Terengganu yang bertanggungjawab mengendalikan operasi banjir di Terengganu.

Dr Azman merupakan calon PAS di Dun Jabi dalam PRU 2008 dan 2013. Beliau pernah memimpin NGO i-BANTAH untuk menangani isu kolam udang i-SHARP di Setiu dan sekarang merupakan Pengerusi NGO Media, Kumpulan Aktivis Media Independen. Beliau juga terlibat dalam dunia penulisan dengan menghasilkan empat buah buku beliau, Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat, Solat dan Sains, Air Mata Kassala dan Travelog 2, Epilog Seorang Doktor Gigi Pendakwah dan Ahli Politik, di samping bergiat aktif sebagai pendakwah dan penceramah motivasi. Beliau turut terlibat dalam misi kemanusian peringkat antarabangsa di Mindanao, Sudan dan Sempadan Jordan-Syria.

Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi, antara tokoh PAS Kedah yang berjaya yang obses dengan dunia pendidikan Islam. Beliau anak kepada ilmuwan Islam di Kedah pernah berkhidmat sebagai Pengetua sekolah Agama Rakyat daripada tahun 2000 sehingga tahun 2015. Di antara individu yang berusaha mewujudkan Majlis Guru Besar Sekolah Rendah Islam Negeri Kedah (MERSIK) dan diberi amanah sebagai Setiausaha, di samping pernah menjawat jawatan setiausaha di dalam Majlis Pengetua Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah.

Beliau merupakan Setiausaha MTD Tanjung Dawai bagi dua penggal. Pengarah DUN sepenggal, begitu juga Pengarah JPRK Merbok. Pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Ulamak Kedah sebelum dipilih sebagai Ketua Dewan Ulamak Kedah. Pernah dilantik pemegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya III sesi 2013-2015 sebelum ke jawatan Pesuruhjaya Negeri Kedah. Beliau juga merupakan Calon PRU13 DUN Tanjung Dawai.

Dr Halimah Ali yang berketurunan Cina merupakan penasihat International Islamic Academy of Life Sciences and Biotechnology. Beliau yang juga mantan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Kerajaan Selangor juga merupakan pengasas Jejak Ilmuwan Selangor, di samping menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, yang mana perbadanan ini merupakan perbadanan perpustakaan terbaik di seluruh negara.  Dr Halimah yang juga merupakan aktivis bantuan kemanusiaan tanpa sempadan merupakan Chairman Founder Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) dan beliau merupakan pengasas Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS).

Bekas pimpinan pelajar Universiti di Australia ini merupakan Pengasas Quranik Botanical Garden SRA dan SRI Farabi.  Beliau yang meminati kerja-kerja kesukarelawan ini merupakan pengasas Briged Amal Selangor dan Pasukan Bomba Sukarelawan Selat Klang. Dalam NGO,  Dr Halimah diamanahkan sebagai Ketua Amalnita Malaysia yang telah banyak keluar negara melakukan misi-misi bantuan kemanusiaan. Beliau yang terkenal sebagai seorang tokoh pimpinan muslimat merupakan Pengasas GeMS iaitu Generasi Idaman Selangor dan jawatankuasa induk menangani gejala sosial Selangor.

Kamaruzaman Mohamad dilahirkan di Rantau Panjang, Kelantan. Beliau merupakan aktivis pelajar kampus di mana pernah mewakili Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPM) selama tiga tahun pada tahun 1994-1997. Anak muda kelahiran Kelantan ini merupakan Timbalan Presiden Persatuan Silat Gayong UPM dan telah mewakili UPM dalam Silat Seni dan Silat Olahraga, dan pernah mendapat tempat kedua dalam Silat Olahraga di Pertandingan antara universiti-universiti Malaysia. Kamaruzaman pernah terlibat dalam bantahan Akta Pengkorporatan Universiti dan juga membantah Kriket Israel pada April 1997.

Mantan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan mantan Ketua Pemuda PAS Lembah Pantai ini,  adalah antara penggerak dalam semua bantahan awam mega seperti BERSIH 1, BERSIH 2 dan BERSIH 3. Begitu juga perhimpunan anti TPPA, perhimpunan membantah DLP, perhimpunan membantah ISA, dan perhimpunan membantah kenaikan harga minyak dan GST. Ini juga menyebabkan beliau sentiasa berdepan dengan pihak keselamatan dan beberapa kali telah dilokapakan akibat himpunan bantahan awam di negara ini.  Kamaruzaman adalah Pegawai Khas Presiden PAS sejak 2013 dan beliau merupakan Timbalan Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan 2013-2017.

Datuk Dr. Mohamed Fadzli Datuk Hassan merupakan Pensyarah di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM. Beliau merupakan Penolong Profesor Undang-undang Ahmad Ibrahim daripada tahun 2002-2008. Anak kepada mantan pimpinan PAS iaitu Ustaz Hassan ini merupakan Penolong Pengarah di Pusat Undang-undang Harun M. Hashim, UIAM semenjak tahun 2004-2008. Beliau juga merupakan Penasihat Syariah, Standard Charted Bank 2005-2008 dan sekarang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Temangan 2008 sehingga kini.  Beliau juga dilantik menjadi Exco Kerajaan Negeri Kelantan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat semenjak tahun 2008 sehingga kini.

Semasa belajar di kampus UIAM, beliau adalah Amir Jamaah dan merupakan Presiden Hizbi United Kingdom dan Eire pada tahun 1999-2001 (sebuah persatuan pelajar Islam terkemuka di United Kingdom). Beliau merupakan Pengerusi Forum Malaysia United Kingdom dan Eire 1999-2001 (FMUKE merupakan sebuah persatuan induk yang dianggotai oleh lebih dari 20 buah persatuan pelajar Malaysia di United Kingdom dan Ireland), juga Pengerusi Gabungan Pelajar Islam Malaysia Sedunia 2000-2001 (GPIMS – Sebuah gerakan pelajar yang menggabungkan persatuan-persatuan pelajar dari United Kingdom, United States of America, Timur Tengah, Pakistan, India, Indonesia dan Jepun). Beliau pernah menjadi Ahli Lembaga Pengarah Pusat Strategik PAS dan memegang jawatan sebagai Penolong Setiausaha Kerja Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat. Beliau juga pernah menjadi AJK Institut Latihan dan Kepimpinan PAS Pusat (ILHAM) dan diamanahkan memegang jawatan sebagai Timbalan Pengarah ILHAM.

Berlatarbelakangkan  pendidikan beliau dalam undang-undang Syariah,  beliau telah dipilih sebagai salah seorang Konsultan Syariah kepada institusi perbankan dan jabatan kerajaan, juga menjadi Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM dan seterusnya memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi II PERKIM Negeri Kelantan. Alumni Kolej Islam Kelang (KIK)  ini juga kini dipertanggungjawabkan  untuk memikul pelbagai amanah dalam kepimpinan PAS antaranya sebagai Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Machang, Ketua Penerangan PAS Kelantan, YDP PAS Kawasan Machang, dan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri Kelantan.

Ustaz Misbahul Munir Masduki ialah mantan Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya. Tokoh PAS Perak ini mantan Naib Ketua Pemuda PAS Perak serta mantan Ketua Pemuda PAS Perak. Pernah menjadi Johan Debat Antara Guru Peringkat Kebangsaan selama dua tahun berturut-turut.

Misbah dianugerahi anugerah guru cemerlang pada tahun 1999 serta menjawat pelbagai jawatan dalam parti semasa masih menjadi penjawat awam. Antaranya Ketua Pemuda Bagan Dato, YDP PAS kawasan Bagan Dato serta pernah tiga kali bertanding di DUN Rungkup. Anak Jawa ini juga aktif dalam gerakerja dakwah dan misi bantuan kemanusiaan, pernah menjadi setiausaha Politik Menteri Besar Perak pada tahun 2008 apabila PAS bersama rakan politiknya berjaya menawan negeri tersebut.

Dr Shamsuri Mokhtar merupakan Pengarah Pilihanraya PAS Pusat yang baru merupakan anak kelahiran Besut. Beliau mula mengunjungi kuliah pengajian Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Rusila dan Ust Awang Jidin (Tukul Besi) di Batu 6, sejak dari berada di Tingkatan Satu semasa bersekolah di sebuah sekolah asrama penuh yang berhampiran pada zaman kehangatan ceramah dan kuliah, era tahun 1983 - 1987. Beliau memulakan pengajian Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanik dan Bahan di UKM pada sesi 1989/90 dan menjadi Exco PMUKM Sesi 1990/91 di era Islam Penyelamat Ummah menjadi peneraju PMUKM, di mana beliau menang tanpa bertanding pilihan raya kampus untuk kerusi fakulti.

Beliau pernah menjadi SU Cawangan Changkat Batu Gajah (Perak) sekitar tahun 1994 ketika bekerja di USM Cawangan Tronoh pada masa itu. Beliau seterusnya menyambung pengajian ke Leeds, England pada Oktober 1995 dalam peringkat Masters in Combustion and Energy, dan tamat PhD dalam kajian "High Altitude Aero-engine Ignition and Combustion" di universiti yang sama pada tahun 2001. Kajian PhD itu juga antara lainnya sebahagian dari kajian besar bersama Rolls Royce Plc. yang juga pengeluar enjin kapal terbang terkemuka dunia. Sepanjang berada di UK, Dr Shamsuri pernah menjadi Timbalan Presiden al-Hizbul Islami UK & Eire, dan Ketua Komuniti Melayu Leeds.

Beliau pulang ke tanahair pada tahun 2001, dan kemudiannya bertugas di sebuah IPTA sehingga akhirnya beliau tekad melepaskan jawatan pada tahun 2009 sebagai Professor Madya untuk berkhidmat sepenuh masa sebagai Setiausaha Politik Presiden PAS. Sepanjang dalam perkhidmatan di universiti, Dr Shamsuri pernah menjadi Pengerusi Jemaah Dekan Aeroangkasa IPTA Malaysia, Penasihat Bidang Aeroangkasa kepada Menteri Pengajian Tinggi dan Ketua Pengarah Pengajian Tinggi pada tahun 2006-2007.

Beliau pernah mengetuai delegasi Kementerian dan IPTA untuk mengadakan perbincangan teknikal di China - Korea - Jepun iaitu dengan China National Space Agency, Korean Space Agency dan Japan Aerospace Exploration Agency. Beliau juga pernah mewakili negara ke Persidangan Teknikal Teknologi Aeroangkasa anjuran National Aeronautics and Space Administration (NASA) di Washington sekitar 2006.

Akhirnya pada awal tahun 2009 beliau melepaskan jawatan akademik di IPTA. Bermula pada tahun 2001 sehingga beberapa tahun kemudiannya, Dr Shamsuri dilantik menjadi Ketua Modul, Ahli Lembaga ILHAM di bawah Lajnah Tarbiyah PAS Pusat, di samping sebagai salah seorang tenaga Think Tank Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Beliau juga turut diundang memberikan ulasan semasa berlaku tragedi MH370 & MH17, di dalam Astro Awani, TV1, TV Hijrah, TV2 dan Radio IKIM. – HARAKAHDAILY 14/5/2017

DATUK Hishammuddin Hussein, Naib Presiden Umno mempunyai hak dan sebab mendakwa apa yang dikatakannya kebijaksanaan memimpin parti itu sejak zaman datuknya Dato’ Onn Jaafar lagi, tapi dia mugkin tidak cerdik menempelak pimpinan pembangkang yang rata-rata mempertikai kebijaksanaaan Umno itu termasuk apa yang datuknya kata tentang Umno dan pemimpin-pemimpinnya.
   
Hisham secara borong merasakan apa yang pembangkang dari semasa ke semasa buat itu adalah tidak bijaksana.
      
Dia mungkin betul tetapi dia tidak dapat kecualikan datuknya dan dia mungkin tidak tumpangkan datuknya dalam kebijaksanaan pemimpin Umno semasa memimpin Umno dulu.
      
Mungkin datuknya bijaksana semasa menubuh dan memimpin Umno. Kalau pimpinannya juga bijaksana, mengapa dia tinggalkan parti yang ditubuhkannya dan membentuk dua parti dalam masa yang berbeza menentang Umno hingga mati? Mula-mulanya IMP – Parti Kemerdekaan Malaya – dan Parti Negara.
      
Jika datuknya bijaksana dia tidak tinggalkan Umno yang dikatakan bijaksana itu. Adakah  bijaksananya semasa memimpin Umno dan apabila meninggalkan Umno bagi jadi pembangkang, maka datuknya sudah tidak bijaksana lagi?
      
Dato’ Onn tentu tidak setuju dia dikatakan tidak bijaksana meninggalkan Umno dan tidak bijaksana menentang Umno hingga ke akhir hayatnya.
       
Hisham jangan kata pembangkang yang membangkang Umno serba serbi itu tidak bijaksana kerana ia menempelak datuknya sama. Dia tidak boleh kecualikan datuknya saja. Semasa memimpin Umno  dia bijaksana dan semasa menentang Umno juga dia bijaksana.
      
Selepas dia meninggalkan Umno, tidak ada apa yang Umno buat itu betul. Tidak sama langsung dengan PAS dan TG Haji Abdul Hadi sekarang yang mengaku betul apabila pimpinan Umno buat betul dan mengata tidak betul apabila mereka tidak bijaksana, dan tidak bijaksananya lebih banyak daripada bijaksana.
      
Umno tetapkan tarikh kemeerdekaan 31 Ogos 1957. Dato’ Onn kata terlalu cepat, patut dilambatkan sikit. Kedudukan orang Melayu selepas merdeka yang Umno kata terjamin, Dato’ Onn kata tak terjamin. Rangka Perlembagaan yang digubal oleh Suruhanjaya Reid dikatakan terbaik oleh Umno, Dato’ Onn kira hampas. Kemerdekaan yang dicapai itu terbaik bagi Umno, Dato’ Onn kata kosong.
      
Panitia sambutan kemerdekaan memberi 150 pas menyaksikan penyerahan kemerdekaan daripada British kepada Tunku Abdul Rahman Putra di Stadium Merdeka kepada setiap parti pembangkang, Dato’ Onn pulangkan balik semua pas itu. Dia tidak iktiraf kebijaksanaan kemerdekaan yang dianugerah British itu.
       
Bolehlah dikira legasi Dato’ Onn ialah apa yang dilakukannya selepas meninggalkan Umno. Macam-macam orang Umno tempelak Dato’ Onn setelah dia menenetang Umno.
     
Boleh dikira setiap orang Umno itu menyampah kepada Dato’ Onn. Yang terus baik dengan Dato’ Onn masa itu, kata Tunku kepada saya ialah Tun Razak. Ketika Umno memutuskan sekalian pimpinan Umno meninggalkan jawatan kerajaan yang pimpinannya. Sekalian pemimpin Umno meletak jawatan. Yang tidak meletak jawatan, kekal sebagai Setiausaha Kerajaan Pahang  ialah Tun Razak.
      
Kata Tunku, ‘…. Dia dok baik dengan Dato’ Onn. Sebelah kakinya bersama saya, sebelah lagi bersama Dato’ Onn.
       
Tiada kajian tentang sikap Kapten Hussein Onn selepas ayahnya menentang Umno. Yang sah, dia hilang daripada Umno. Apabila semua peguam Melayu menandatangan memorandum menentang Akta Bahasa 152, Kapten Hussein menandatangan sama. Dalam PRU 1969 dia jadi calon Perikatan.
      
Ada waris Dato’ Onn tidak senang kerana mereka sayangkan Dato’ Onn. Legasinya tidak hormatinya. – HARAKAHDAILY 13/5/2017

KEPUTUSAN sebelah pihak PAS memutuskan tahaluf dengan PKR yang Muktamar 63 parti itu di Kota Sarang Semut 30 April lalu lihat hukumnya harus.
       
Muktamar sebagai pembuat dasar tertinggi dalam parti adalah  wajib. Tidak dapat tiada mesti dijalankan tetapi muktamar itu pula menyerahkan muktamadnya kepada Majlis Syura Ulamak.
       
MSU tentunya tidak akan melanggar keputusan muktamar. Tidak salah MSU membuat keputusan lain kerana muktamar telah memberi  kepercayaan kepadanya. Ia boleh buat keputusan lain – tolak, terima atau tawakuf.
      
Apabila ia diserahkan kepada MSU, selagi MSU belum membuat keputusan, maka logik hukumnya ia sudah jadi harus. Sesuatu yang harus tidak mestinya dilaksanakan. Ia boleh laksana dan boleh tidak laksana. Ia boleh tangguhkan kepada suatu masa yang difikirkan sesuai. Apa jua yang MSU putuskan adalah sesuai dengan mandat yang muktamar beri kepadanya.
      
Semasa Muktamar membuat keputusan itu ia tidak menyatakan berkuatkuasa serta merta. Tidak ada tempoh dinyatakan bila ia dimulakan.
      
Ketika rencana ini dibuat, MSU belum mengadakan mesyuarat. Ketika ia tersiar mungkin keputusan sudah dibuat. Sebelum MSU membuat keputusan, maka tidak wajar mana-mana pihak mendahuluinya. Berilah kepada kebijaksasnaan TG Hashim Jasin, Mursyidul Am membuat apa yang terbaik untuk parti itu. TG Presiden dan Ketua Dewan Ulamak pun tidak mengenakan tekanan kepadanya.
     
Membatalkan tahaluf dengan PKR itu tidak sama dengan membatalkannya dengan DAP. Dengan DAP tiada perbahasan dan pelaksanannya dibuat serta mereta. Dengan PKR dibentangkan kepada Muktamar dan perwakilian diminta mengundi sekalipun Pengerusi Tetap tidak bertanya siapa yang menentang.
      
Yang muktamar putuskan itu adalah keputusan politik. Sifir politik tidak seperti sifir matematik. Sifir matematik dua campur dua jadi empat. Sifir politik, dua campur dua belum tentu empat. Ia boleh jadi lima atau tiga.
      
Sebagai keputusan politik, kerana ia dalam rangka berpolitik matang demi kesejahteraan semua, ia  tidak memberi tarikh akhir kepada tahaluf itu. Ia boleh dilaksanakan sekarang dan boleh dilaksanakan bila-bila masa sebelum Dun dan Parlimen dibubarkan.
      
Setakat ini sama ada  MSU membuat keputusan atau tidak membuat  keputusan,  tamat tahaluf itu adalah bermula dalam PRU14 nanti.
      
Jika ia cenderung untuk mengakhirinya pada PRU itu, ia adalah untuk memberi peluang kepada PKR membuat persediaan untuk menghadapi PRU itu tanpa PAS. PAS tidak letakkan PKR dalam keadaan terperangkap. Ia diberi masa yang  cukup untuk membuat apa yang terbaik untuknya dan apa yang terbaik untuk  rakyat Selangor sebelum Dun dibubarkan.
      
Kerana Datuk Azmin Ali itu jadi Menteri Besar adalah politik PAS yang semua orang tidak faham masa itu dan sekarang, maka PAS tidak mahu susahkan Menteri Besar yang ia turut naikkan.
       
Jika Azmin gantikan mana-mana Exco PAS dengan parti lain dalam kerabat Pakatan Harapannya, maka bermulalah pelaksanaan Muktamar itu serta merta. Jika PKR tolak PAS daripada kerajaan Selangor sekarang, maka boleh dikira yang memutuskan tahaluf itu adalah PKR, bukan keputusan muktamad dari Muktamar PAS.
      
Azmin banyak membuat reaksi politik yang bijak dan tidak membenci PAS. Dan PJ PAS Selangor yang baru YB Sallehen Mukhyi berdiplomasi seadanya mahu terus menghulur tangan kepada PKR Selangor bagi memelihara kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat pada PRU 13 dulu.
      
Banyaklah yang meracau dengan politik matang dan sejahtera PAS dengan keputusan harusnya itu. – HARAKAHDAILY 11/5/2017