USAHA ROS menghalang DAP bertanding dalam PRU13 digagalkan oleh PAS.
     
PAS menyerahkan surat tauliah calon yang ditandatangani oleh Setiasuaha Agung kepada DAP untuk bertanding atas nama PAS dalam PRU13 di mana-mana saja yang Pakatan Rakyat diperuntukkan kepada DAP.
     
Syarat dikenakan oleh ROS kerana DAP dikatakan tidak memenuhi syarat arahan mengadakan semula pemilihan Jawatan Kuasa Pusatnya.
      
Mungkin kerana Barisan Nasional yang berkuasa masa itu tidak mahu melihat ramai calon PAS menang di sana sini termasuk di bandar-bandar, maka sekatan itu tidak diteruskan. DAP dibenarkan bertanding dan menggunakan simbol Roketnya.
      
Untuk PRU14 ini ROS mengugut untuk menyekatnya semula jika ROS dan DAP gagal menyelesaikan isu pemilihan semula Jawatan Kuasa Pusat DAP itu.
      
DAP sudah berkerat rotan dengan PAS. Tidak mungkin DAP dalam meminjam lambang Bulan Penuh Purnama PAS itu.
      
Kata ROS, kalau tuntutan ROS itu tidak dipenuhi, ROS tidak akan layan  surat tauliah calon yan ditandangi oleh partinya.
      
Adakah usaha ROS menyekat calon DAP itu akan beerjaya?
      
ROS boleh buat syarat dan DAP  tidak dapat bertanding. Tetapi calon DAP tidak akan dapat disekat menyertai PRU13 itu.
      
Mungkin tidak calon yang memakai lambang Roket, tetapi Pakatan Harapan sudahpun bersetuju pada dasarnya untuk menggunakan satu lambang baru untuk semua parti. Tiada lagi yang bertanding atas nama DAP, PKR dan lain-lain.  Semuanya atas nama Pakatan Harapan dan tauliah akan Setiausaha Pakatan Harapan.
      
Apa lambangnya tidak diketahui, tetapi dengan syarat yang dikenakan oleh ROS kepada DAP dipercayai akan menyegerakan Pakatan Rakyat simbol bersama itu.
      
Tiada dalih bagi ROS untuk menyekat pendaftaran simbol baru itu.
      
Jika pendaftaran DAP ditamatkan oleh ROS sekalipun tetap organ yang dinamakan oleh Lim Kit Siang sebagai calonnya bertanding juga atas nama Pakatan Harapan dengan lambang yang baru itu.
      
Jika ROS mahu menggunakan syarat DAP mesti memenuhi tuntutannya jika hendak bertanding atas nama partinya, maka perlu memenuhi syarat yang dibuat itu kerana  DAP tidak bertanding atas nama partinya kali ini.
      
Krisis atas ROS dengan DAP tidak mungkin diselesaikan dengan taktik tidak membenarkannya bertanding atas nama  DAP. Mereka akan cari formula lain bagi menyelesaikannya.
     
Isu itu sudah berlarutan lama. ROS belum berpuas hati dengan respons DAP selama ini. Apa yang menyebabkan ROS begitu payah untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya dari DAP? Tentulah kedua-duanya berdegil dengan prinsip masing-masing.
      
Apa jadi jika kedua-duanya terus bertelagah?
      
Apakah akhirnya ROS akan membatalkan pendaftaran DAP?
      
Jika ia dibatalkan, bukanlah pengalaman yang bertama bagi parti itu. Ia mulanya adalah sebahagian dari PAP yang berpusat di Singapura. Apabila Singapura tidak lagi menjadi sebahagian dari Malaysia, maka ia tidak lagi  boleh menjadi sebahagian dari parti yang didaftarkan di Singapura. Ia pun didaftarkan sebagai DAP.
      
Kalau ia diharamkan ia boleh beri nama baru. Bila diharamkan mungkin ada masalah unuk mendapatkan balik esetnya dari kerajaan. Biasanya di mana-mana bila parti diharamkan, esetnya diambil oleh kerajaan. Malaysia pernah mengharamkan Umno, kerana kerajaan yang mengharamkannya Umno juga, tiada masalah bagi Umno mendapatkan hartanya semula.
      
Tentunya kebuntuan ROS-DAP tidak sampai ke situ.
      
Tetapi mengapa isu pertikaian tentang pemilihan pimpinan pusat DAP itu jadi panas     semula menjelang pilihan raya? Tidak PRU ia senyap. - HARAKAHDAILY 17/7/2017

DR MAHATHIR yang  sudahpun diancam dengan pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja atas kerugian Bank Negara semasa pentadirannya dulu, diberi kata dua pula oleh para pembesar PM. Najib dalam Umno.
      
Diam atau pekungnya didedah!
      
Persepsi kebanyakannya sejak dia masih berkuasa lagi, tidaklah seorang yang bersih  sangat. Dia tidak maksum. Ada cacat celanya. Sedang kerajaan dalam semua masa, dan Perdana Menteri dalam semua masa dituntut bersihnya.
       
Kita tidak mahu kata Dr. Mahathir Perdana Menteri yang bersih. Sebagai Perdana Menteri sebelum ditanya malaikat di akhirat nanti apa yang dibuatnya tentang pimpinannya, maka negara dan rakyat boleh tanya tentang pimpinannya seperti yang baru saja Korea Selatan lakukan kepada Presidennya yang  baru dilucutkan.
      
Dia sedang diadili. Maka Dr. Mahathir sedang diancam untuk disiasat atas peranannya menggalakkan Bank Negara berniaga matawang asing.
      
Dan sekarang ada kata dua pula untuknya; diam atau semua pekungnya akan didedahkan.
       
Jika dia seorang yang curang, dia wajar diadili.  Islam sendiri dalam menguatkuasakan undang-undang yang semuanya faham ia syariah, seperti sabda Nabi SAW yang bermaksud, jika Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya baginda akan kerat tanganya.
       
Dalam menegak dan melaksanakan keadilan dan kebenaran, puteri Nabi sendiri  tidak dikecualikan. Anak Saidina Umar al-Khatab dijatuhkan hukuman sebat/rejam oleh Khalifah itu  sendiri.
      
Ia adalah demi keadilan dan kebenaran, tiada pilih kasih dan pilihan.
      
Dr. Mahathir tidaklah dikecualikan. Tetapi apakah yang dihadapkan kepadanya sekarang demi keadilan dan kebenaran?
     
Apabila kata dua diberi kepadanya supaya tutup mulut atau pekungnya akan didedah, maka ada unsur tidak kerana keadilan dan kebenaran. Kalau dia diam, maka pekungnya jika ada akan didiamkan. Jika dia bising, maka dia akan didakwa dan dihukum.
     
Sekalipun menghukum pejenayah itu adalah melaksanakan keadilan, tetapi menghukumnya kerana marah sudah tidak melakukan keadilan.
      
Saidina Ali bin Abu Talib dalam pergelutan dengan musuh, telah menewaskan musuh itu. Hukuman bagi musuh yang ditewaskannya itu ialah bunuh di tempat kejadian dan di masa kejadian itu. Ketika beliau mengangkat pedang untuk memenggalnya, musuh itu meludah mukanya.
     
Saidina Alipun bangun  dan tidak jadi memenggalnya. Dibebaskannya musuh itu.
     
Bertanya musuh itu kepadanya, mengapa tidak membunuhnya sedang tiada halangan baginya memancungnya?
      
Jika musuh itu tidak meludah mukanya, nescaya dia sudah tentu dibunuhnya. Demi keadilan. Tetapi kerana mukanya diludah, jika Saidina Ali bunuh dia, maka bunuh itu bukan kerana keadilan dan kebenaran, tetapi kerana marah. Menghkum kerana marah atau balas dendam, tidak dinamai menjalan keadilan bahkan bahkan ia satu kezaliman.
      
Musuh tadi jika tidak silap ialah Yahudi. Justeru terpesonanya keadilan Saidina Ali tegakkan, dia pun menerima Islam.
     
Perhatian sekarang adakah tindakan yang bakal dikenakan kepada Mahathir itu demi menegakkan keadilan dan kebenaran, atau ia justeru marah dan peras ugut kepada Mahathir. Kata dua itu adalah satu peras ugut. Jika lepas ini Mahathir membisu, dia dilepaskan. Jika dia terus bercakap, maka dia akan diaibkan.
     
Jika sebelum Mahathir mengata itu dan ini kepada PM Najib, mentribunalnya ada demi keadilan. Tetapi kerana marahkan dia menuduh macm-macam kepada Najib, bukan keadilan sebenarnya lagi. Apa lagi dengan kata dua itu, melahirnya yang tidak adil.
      
Ia jadi adil semula jika Najib juga ditribunal. Maka kedua-duanya mesti ditribunal. - HARAKAHDAILY 13/7/2017

SAMA ada Pakatan Rakyat masih wujud di Selangor atau tidak, tiada yang menghalang kerajaan Selangor tidak boleh menjalankan tanggungjawab dan pentadbiran hariannya.
      
Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali masih mendapat sokongan majoriti ADUN partinya adalah minoriti di kalangan parti-parti yang menyokong kerajaan.
      
Sekalipun mengamat politik mengira Pakatan Rakyat sudah tidak wujud, antara sesama parti – PAS, PKR dan DAP - sudah tidak sama mimpi lagi, masing-masing memikirkan apa yang masing-masing boleh capai selepas PRU nanti, semua perbezaan tidak menggugat kerajaan Selangor untuk terus mentadbir hingga DUN dalam PRU14 nanti yang dijangka tidak lama lagi tetapi tidaklah sudah dekat sangat.
      
Apakah Azmin dan parti ada moral atau tidak dan PAS bermaruah atau tidak,  demikian juga DAP, ia tidak jadi penentukan kerajaan Selangor sekarang patut bubar atau tidak.
      
Semua komen yang mengira sekalian yang memerintah Selangor yang dikatakan sudah tiada taring dan tidak mampu menjamin masa depan Selangor dan rakyat selepas ini, tidak lebih dari pandangan ilmiah dan perbincangan dalam bilik kuliah.
      
Azmin, partinya PKR, PAS dan DAP sendiri tidak memikirkan lagi unuk mengekalkan dan menyambung kerajaan yang ada. Yang ada sekarang adalah sementara PRU14 belum diadakan.
      
Jika PM Najib hendak melanjutkan kerajaan yang  ada hingga beberapa  tahun lagi pun, maka kerajaan Slangor yang ada sedia bertahan dalam keadaan yang ada sekarang.
      
Yang penting bagi  sebuah kerajaan dalam masyarakat demokrkasi ialah kerajaan boleh berfungsi dan kepentingan rakyat tidak tersekat.
      
Mungkin PAS dan PKR bimbang dengan keadaan selepas PRU disebabkan perpecahan PKR dan keadaan politik yang tidak menentu  selepas ini, tetapi DAP dirasakan tidak  bimbang untuk mengekalkan kekuatannya yang ada, dan semuanya tidak berani memperkecilkan keupayaan lebih menyerlah. DAP dalam keadaan demikian, tidak mendesak Azmin dan PKR menolak PAS dalam tempoh sekarang.
      
Mungin semuanya mahu mendenda PAS apabila ia berpisah dengan DAP. Tetapi memandangkan PRU sudah tidak lama lagi dan kerajaan boleh berjalan, maka menunggu PRU14 itu adalah langkah yang bijak.
       
Yang penting bagi sebuah kerajaan yang berkuasa mempunyai sebuah parti yang kuat dan ada majoriti, ialah bagi memastikan kerajaan mendapat sokongan majoriti. Kerajan campuran dan krajaan minoriti biasanya tidak stabil dan goyang. Payah bertahan lama.
      
Tapi Selangor di bawah Azmin sekalipun parti-parti yang mendapat mandat dalam PRU13 dulu sudah tiada pakatan politik lagi bekas kedua ADUN Pakatan Rakyat dulu boleh duduk bersama dalam kerajaan dan tiada halangan unuk melulus bajet dan rang undang-undang yang kerajaan bentang.
      
Sudah dua tahun Pakatan Rakyat ditawakuf, belum ada bajet yang ditolak dan belum ada undi tidak percaya kepada kerajaan dan Menteri Besar dikemukakan.
       
Di luar kerajaan semua parti itu bersiap untuk menumbangkan antara satu sama lain. Tetapi dalam kerajaan ADUN dari berbagai parti itu tidak sama seperti di luar kerajaan.
       
Maka kalau Menteri Besar dan kerajaan sudah tidak bermasalah untuk meneruskan pentadbiran, tiada keperluan Azmin berhenti dan kerajaan dibubarkan. Tukang komen dari semua universiti tiada kuasa dan tidak berupaya untuk menyuruhkan kerajaan bubar dan MB meletak jawatan.
      
Hanya ADUN dapat menentukan nasib MB dan kerajaan. Apabila ADUN tidak ada apa-apa, apa yang hendak disusahkan sementara menunggu PRU? - HARAKAHDAILY 12/7/2017

SIAPAKAH agaknya paling gembira dengan reaksi Umno atas dakwaan DOJ – Jabatan Keadilan Amerika dan Amerika terhadap gelora yang dialami 1MDB?
     
Tentulah Myanmar. Kerajaannya dan rakyatnya yang bersama gerakan sami Buddha di negara itu.
      
Apa yang mereka suka sangat dengan Umno itu?
      
Justeru rata-rata pemimpin tinggi Umno dan orang yang tergila-gila dengan Umno mengira dakwaan DOJ yang sedang mengambil tindakan untang-undang terhadap orang-orang yang dipercayainya berbelanja mewah di Amerika dengan menggunakan duit yang dikatakan dilarikan daripada 1MDB.
       
Lebih lagi DOJ mengaitkan apa yang dipanggilnya MO1 – pegawai nombor satu Malaysia – ada peranan dalam angkara itu. MO1 itu disahkan oleh Datuk Abdul Rahman Dahalan, menteri di Jabatan Perdana Menteri ialah Perdana Menteri sendiri.
       
MO1 DOJ Malaysia dan rata-rata pemimpin Umno mengira tindakan DOJ tidak berasas sambil menempelak Amerika campur tangan  dengan urusan dan politik Malaysia.
      
Maka serentak semuanya menyelar apa yang dikatakan campur tangan asing dan menggesa sekaliannya menentang campur tangan asing itu.
      
Campur tangan asing boleh menjejaskan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Paling ketara campur tangan asing ia konfrantasi Sukarno dulu. DOJ ini mungkin yang kedua.
      
Habis, bagaimana Myanmar boleh suka isu DOJ atas gelora 1MDB itu? Kerana yang mengaitkan DOJ dikatakan campur tangan atas kedaulatan Malaysia dan kerajaannya.
      
Myanmar adalah menolak sikap dunia termasuk Malaysia atas penindasan kerajaan dan majoriti rakyatnya terhadap umat Islam Rohingya. Hak kerakyatan Rohingya dinafikan, kampung mereka dikepung, dibakar, dibunuh, diusir dan lain-lain.
       
Malaysia adalah antara pihak yang lantang agar PBB, OIC dan ASEAN campur tangan atas penyembelihan dan pengusiran Rohingya itu. Malah Malaysia mengirim kapal keamanan membawa makanan dan bantuan ke Myanmar untuk Rohingya yang ditindas.
       
Tindakan Malaysaia dan rakyatnya itu ditentang oleh kerajaan dan gerakan sami Buddha, bahkan rombongan keamanan itu disekat. Semua tindakan kemanusiaan Malaysia dan pejuang kebebasan-kemanusiaan dunia itu dikira oleh mereka satu campur tangan asing terhadap kebebasan dan kemerdekaan Myanmar.
      
Malaysia, umat Islam dan pejuang keamanan dunia pernah memainkan peranan penting membantu perjuangan kebebasan pimpinan nyonya Myanmar daripada belenggu dan penindasan junta tentera yang berpuluhan tahun itu.
       
Tindakan dunia itu termasuk orang Malaysia telah membantu pimpinan nyonyanya membebaskan Myanmar daripada penindasan tentera. Sekarang tindakan sama yang diberi terhadap Rohingya itu mereka kira sebagai satu campur tangan yang tidak dikehendaki kerana ia kononnya mencampuri urusan kemerdekaan dan kedaulatannya.
       
Malaysia adalah paling aktif membela Rohingya itu. Tindakan Malaysia itu ditentang Myanmar kerana campur tangan asing.
      
Sedang mereka menempelak Malaysia campur tangan dalam urusan Myanmar, maka Umno dan  MO1-nya berhadapan dengan dakwaan DOJ. Tindakan DOJ itu adalah untuk mendapatkan kembali duit yang dilarikan dan telah dibancuh di Amerika. DOJ mahu memulangkan duit kepada Malaysia.
      
Umno kata, ia adalah percubaan campurtangan Amerika atas politik dan kemerdekaan Malaysia. Yang Umno dan apa yang dikatakan MO1 tohmah DOJ dan Amerika itu samalah dengan tohmah yang pimpinan nyonyanya, kerajaan dan orang Myanmar terhadap Malaysia.
      
Myanmar mendakwa menolak campur tangan asing atas kedaulatannya. Umno pun tolak apa yang didakwanya DOJ  campur tangan urusan Malaysia.
     
Nampaknya sama saja MO1 dan nyonya, Umno dan regim Myanmar. Sama-sama menggunakan campur tangan asing bagi menolak seruan keadilan/kebenaran. – HARAKAHDAILY 10/7/2017

JUSTERU Datuk Azmin Ali ingin bertanding di Pekan demi berdepan dengan Perdana Menteri Najib, maka Tan Sri Noh Omar mencabarnya datang menentangnya di Tanjung Karang.
       
Suatu yang saya kira tidak akan dilayan oleh Azmin, justeru keinginannya adalah untuk mencabar Najib. Kecuali kalau Najib mahu ke Tanjung Karang. Sekadar untuk menghadapi Noh di Tanjung Karang, PKR akan hantar orang lain.
       
Tetapi yang amat geramkan Azmin sekarang ialah Noh. Tiada sah politik Noh barang satu hari jika dia tidak menyasarkan Azmin.
       
Sasaran Noh terhadap Azmin bukan terhadap kerusi Parlimennya, tetapi adalah Menteri Besar Selangornya. Noh tidak peduli sangat Azmin sebagai ahli Parlimen, kerana pada sifir politiknya Azmin tidak bisa sangat sebagai MP dalam pemerintahan pusat yang dikuasai oleh Barisan Nasional.
      
Jikapun Azmin kalah dengannya di kerusi ParlimnTanjung Karang tapi menang di mana-mana DUN yang Pakatan Harapan menguasai Selangor, maka Azmin akan jaadi Menteri Besar saja.
      
Maka keutamaan Noh ialah melenyapkan politik Azmin di Negeri Selangor. Itulah kerja besar Noh yang Najib beri sekarang.
      
Noh dipercayai tidak suka ke DUN.  Sekalipun dia boleh pilih mana-mana DUN yang UMNO boleh menang dan dia boleh menang, tetapi dengan kerajaan Selangor masih pada PKR/Pakatan Harapan, Noh akan jadi Ketua Pembangkang saja. Noh lebih mahu jadi menteri kerajaan pusat dari menjadi pmbangkang di  Selangor.
      
Azmin  dengan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden PKR tidak direstui PKR bertanding di DUN yang tidak cerah baginya. Maka dia tidak akan ke Tanjung Karang sebaliknya akan pilih DUN yang terjamin kemenangannya.
      
Persepsi pegawai kerajaan Selangor tidak mengira Noh calon MB yang terbaik buat BN. UMNO dikatakan sedang mencari seorang calon MB yang boleh membawa kemenangan kepada BN.  Tetapi setakat ini Noh saja terserlah di kalangan UMNO dan kalau adapun orang UMNO yang partinya boleh kerah untuk mencabar Azmin hanya Noh. Yang masyhur selain Noh ialah Datuk Jamal Yunus. Masa dia ditugaskan mencabar Azmin.
       
Maka peranan Noh sekarang ialah mengeluarkan Azmin dari politik Selangor. Maka Noh jangan tunggu Azmin datang ke Tanjung Karang tapi Noh mesti kejar di mana saja Azmin bertanding sekalipun di kubu kuat Azmin.
        
Jangan suruh orang lain menandingi Azmin. Noh sendiri mesti mempertaruh nasibnya mengejar DUN mana Azmin bertanding. Jangan buru Parlimen mana Azmin pilih. Cari DUN mana pilihan Azmin. Kemenangan Azmin di Parlimen, pada Noh dan UMNO tidak jadi strategi utama UMNO Selangor dan Noh, tetapi keutamaannya ialah Azmin kalah di DUN.
      
Jika Azmin kalah kepada Noh di DUN barulah Noh jadi anak jantan, tapi  kalau Azmin kalah pada Noh di Parlimen Tanjung Karang, tapi tak jadi  MB Selangor, tidaklah  sama dengan Noh sendiri menjadi Menteri Besarnya.
       
Kalau Noh jadi ADUN dan Azmin tidak lagi jaadi Menteeri Besar, orang PKR lain jadi MB, maka lebih senang Noh sebagai ketua pembangkang tonyoh kerajaan Pakatan.
      
Jika Noh mahu hebat dan menjadikan UMNO Selangor lebih hebat dalam politik PRU14 nantu, Noh jangan  tunggu Azmin ke Tanjung Karang tapi buru Azmin di mana saja sekalipun Noh tumbang kepada Azmin.
     
Saya tidak kata siapa lebih kuat. Tapi itu saja caranya Noh dapat berdepan dengan Azmin. Bagi saya biar Noh kalah. - HARAKAHDAILY 9/7/2017

BERTUAHNYA sekitar 5,711 orang sejak tahun 2011 dapat menunaikan fardu haji atas tajaan 1MDB dan dipercayai. Agaknya tidak termasuk musim haji ini.
     
Hitung panjang dalam masa enam musim haji yang lalu sekitar 952 dapat jadi haji 1MDB. Untuk itu 1MDB telah berbelanja sebanyak RM56 juta.
      
Peruntukan itu dikira besar tetapi dibandingkan dengan duit 1MDB yang lesap, ia sekitar beberapa peratus saja. Ibarat nasi yang tersangkut di gigi.
       
Bergeliga otak pentadbir 1MDB berjaya membantu umat Islam sewajarnya ialah mereka yang tidak mampu atau yang belum cukup simpanan di Tabung Haji berpeluang menunaikan rukun Islam itu.
       
Jika semua badan GLC dapat mengikut kemurahan hati 1MDB itu nescaya lebih ramai umat Malaysia yang bertuah. Mungkin KWSP, PNB, Amanah Raya, TNB, PKNS, Bank Negara, Bank Rakyat dan lain-lain dapat mencontohi 1MDB menaja jika tidak sampai 200 setahun, sekurang-kurangnya 100 setahun pun amat digalakkan.
       
Ketika PAS memerintah Terengganu antara tahun 1999 – 2004 ia menyewa hotel di Mekah, menganjurkan pemergian haji, kerana penganjuran di bawah TDM, badan perladangan sawit kerajaan, ramai pekerja TDM yang lama berkhidmat dihantar naik  haji percuma. Ia tutup selepas BN mengambil semula kuasa.
       
Memandangkan 1MDB adalah syarikat pelaburan kementerian kewangan yang dipercayai melesapkan berguni-guni duitnya, maka apa agaknya pandangan panel syariyah badan itu jika ia ada panel syariyahnya?
       
Jika orang naik haji dengan duit loteri dipercayai sah haji, tetapi yang terpilih ke Mekah itu tidak ada curang dengan tadbir 1MDB, kerana yang berangkara ia 1MDB sendiri. Mungkin tidak timbul sah atau tidaknya. Dengan duit apa orang bertuah itu naik haji usah ditanya. Cuma ia dapat haji mabrur atau tidak mungkin berbangkit. Jika yang naik haji secara sah pun belum tentu dapat mabrur, yang punca membiayai mereka yang ditakwil itu mungkin baliknya dengan Haji 1MDB saja.
       
Moga-moga mereka  dapat haji mabrur, tetapi yang nyata bagi orang bertuah itu ialah Haji 1MDB.
       
Sekalipun 1MDB mengeluarkan peruntukan RM56 juta, tetapi ia tidak dapat membasuh debu dan daki yang dihadapinya.
      
Dalam tahun 70-an ada seorang perompak di Kuala Lumpur bernama Botak Chin. Hasil rompakannya dicurahkanya kepada kaum gelandangan. Sekalipun dia membuat kebajikan besar tetapi dia tetap diburu kerana jenayahnya. Robin Hood Malaysia itu akhirnya dibunuh.
       
Robin Hood terkenal penyamun yang menggunakan hasil  rompakannaya bagi membela golongan yang tidak  berada, tetapi undang-undang tidak dapat memihak kepadanya.
       
Sekalipun berjuta dan berbilion diperuntukan 1MDB untuk ribuan haji, tetapi ia tidak dapat menutup angkara lesapnya duit yang diambil daripada kerajaan itu.
       
Nawaitu 1MDB itu justeru apa?
       
Lillahkah atau bagi menghalalkan rompakannya?
       
Yang berkebajikan dan berpahala ialah yang dibuat kerana Allah. Sebarang yang kerana Allah itu mestilah sumbernya bersih. Jika berniat seperti Robin Hood tidak dapat diterima bersih nawaitunya, apa lagilah kalau rompakan bernawaitu seperti Ali  Baba dengan 40 penyamun.
       
Memang dalam dunia ini ada orang menggunakan duit syarikat atas nama agama, tapi ia sebagai perisai bagi mengelabu pandangan orang ramai.
       
1MDB mungkin selepas ini mengadakan alumni haji-haji 1MDB dan setiap haji itu tidak percaya duit 1MDB dirompak. Untuk lebih glamor, haji yang bertuah itu jadi Haji Robin Hood. – HARAKAHDAILY 3/7/2017

LUMAT saya dibalun oleh orang-orang yang kasihkan PAS dan yang mahu menjauhkannya dari PAS kerana saya berpandangan elok dan berkata elok tentang Mahfuz sebagai dia aktivis dan pemimpin PAS yang terkenal.
      
Saya berkata elok tentngnya dan mengiranya ada kelebihan dalam hal-hal tertentu dibanding dengan orang-orang PAS lain, bukanlah saya menghampaskan sekalian orang PAS. Orang PAS itu sepanjang zaman adalah elok belaka kerana mereka menolak tawaran kemewahan demi menegakkan kedaulatan Islam yang suci.
      
Ada yang mati dan cedera kerana mempertahankan PAS yang memperjuuangkan Islam. Mereka itu tentulah ada kelebihannya dari orang PAS bertaraf pemimpin yang tidak sehelaipun bulu roma gugur kerana berjuang dalam PAS. Tidaklah yang tidak gugur bulu roma itu rendah dari yang mati dan cedera itu. Masing-masing ada peranan dan ada kelebihan.
      
Jika kita membincang topik ulama, maka kita kena kata elok tentangnya. Tidaklah bererti yang profesional itu leceh dan rendah dari yang lain. Bila kita mengulas tentang pemacak bendera PAS di puncak bukit yang tinggi tidak bererti geng ustaz tak berguna langsung.
       
Sekalipun TG Nik Abdul Aziz dan Ustaz Fadzil Noor itu antara pemimpin PAS yang hebat, tetapi ada kelebihan Mahfuz mengatasi kedua-duanya. Bila disebut umum begitu, tidak Mahfuz itu menyamai kepimpinan mereka.
       
Saya iktiraf Mahfuz sebagai orang yang ada peranan dan jasa dalam parti. Dengan latar belakang pendidikannya yang sederhana, dia dapat buat lebih baik dari sesetengah yang berpendidikan tinggi. Ustaz Fadzil yang memiliki sarjana muda di Azhar, tetapi yang ada PhD di Mesir dan Eropah menghormati padangannya.
       
Mahfuz masih ahli PAS dan masih sayangkan PAS. Dia belum jadi seperti lain-lain pemimpin PAS yang meninggalkan PAS. Dia sedang melalui satu tempoh berkabung. Dalam tempoh ini dia jadi seperti seorang ibu yang kasihkan anak tetapi lebih suka menyusukan kera dari anak sendiri.
       
Saya suka kepadanya kerana kelincahan politiknya. PAS akan beruntung jika ramai yang sepertinya. Dia ada jasa dalam parti. Kita wajar akui baktinya. Jika Allah mencatit pahala yang cuma sebesar zarah, maka saya kira bakti Mahfuz itu tidaklah sekadar sebesar zarah saja. Demikian juga rakan-rakan yang meninggalkan PAS sepeerti Salahudin Ayub dan Mohamad Sabu dan lain-lain. Saya terus terkenang akan kebaikannya dulu.
      
Saya amat sayangkan mereka selaras dengan sayangnya saya kepada PAS dan ahli-ahli PAS yang terus istiqamah. Jika boleh saya mahu mereka kembali kepada PAS sebelum PRU14 atau sebelum mati. Biarlah semuanya mati dalam PAS.
      
Jika boleh saya mahu jadi berhati hati halus seperti Nabi Ibrahim. Amat kasih baginda kepada semua termasuk kepada bapanya, pengukir berhala. Didoakannya ayahnya mendapat keampunan, tetapi dilarang Allah, tak boleh mendoakan orang kafir.
      
Nabi Muhammad SAW sebelum wafat membisikkan ‘Ummati! Ummati!’ Demi sayangnya kepada umatnya. Umatnya itu bukanlah Islam saja. Yang tidak berimanpun umatnya juga. Antara umatnya melakukan berbagai karenah. Sekalipun mereka tidak mengikut kehendaknya dan jalannya, baginda sayangkan umatnya.
       
Saya moga-moga dapat mengikut sunnah itu, sayangkan orang-orang PAS, yang menjauhkan diri dan keluar dari PAS, yang belum masuk PAS seperti orang Umno. PAS tidak rugi jika semua bersama PAS dalam PRU14 nanti, kerana PAS sudah ada gagasan iaitu PAS Untuk Semua tentulah termasuk Mahfuz. - HARAKAHDAILY 30/6/2017

JIKA Jabatan Kehakiman Amerika tiada asas untuk bertindak undang-undang ke atas orang-orang yang disyak penyangak mencuri duit 1MDB seperti yang disarankan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, maka reaksi Datuk Mahfuz Omar saja  DOJ – Jabatan Kehakiman Amerika.
      
Untuk kali ketiga dalam setahun ini DOJ mentohmah Pegawai Nombor Satu Malaysia terbabit dengan orang-orang yang disyaki penyangak mencuri duit 1MDB membeli barang-barang bernilai berbilion.
     
Kerana yang dikatakan jenayah itu dilakukan di Amerika, maka tindakan undang-undang sudah pun dibuat di mahkamah California.
      
Peguam Negara meremahkan tindakan DOJ itu, Pegawai Nombor Satu yang dimaksudkan dipercayai Perdana Menteri Najib walaupun namanya tidak disebut. Berita yang mengiring sikap Peguam Negara itu seperti yang dimuatkan oleh akhbar tabloid Shah Alam kira-kira tidak ada bukti kuat.
      
Tiada bukti kuat boleh ditafsirkan tiada asas untuk duit membeli semua harta/khazanah itu dari duit yang dicuri dari 1MDB. Tetapi  tiada bukti kuat itu boleh juga dikira bukan tiada bukti langsung tetapi semua bukti yang ada lemah belaka.
      
Bukti ada tapi tak kuat. Biasanya bukti yang tidak kuat, pihak berkuasa undang-undang tidak mengambil tindakan. Bagi kes yang tidak cukup bukti, jika didakwa juga mahkamah lazimnya membuang kes itu. Kadang-kadang yang dituduh itu betul sebagai yang diuduh, tetapi buktinya tidak kuat, mahkamah tidak dapat mensabitkan yang dituduh.
       
Banyak kes yang dirasakan ada asastapi atas sebab-sebab teknikal, ia ditolak.
       
Dengan saranan Peguam Negara itu Pegawai Nombor Malaysia dan orang-oang yang membeli kekayaan Qarun dikatakan tidak memberinya dari wang yang dicuri dari 1MDB.
       
Jika demikian kedudukannya, maka reaksi Mahfuz ialah Peguam Negara saman DOJ supaya nama 1MDB dan Pegawai Nombor Satu dapat dibersihkan.
      
Kata Mahfuz itu betul. Jika ia tidak disaman dan nama baik negara tidak dibersihkan, maka Malaysia dan rakyat sentiasa tertekan. Kita sekalian, rakyat yang tidak berdosa ini, rasa malu yang tidak terhingga, terus menerus dilihat sebagai bangsa yang tidak bermaruah justeru pemimpinnya dan kerajaannya dikira mengisap darah rakyat.
      
Bangsa yang ditindas oleh raja dan pemimpinnya, yang dijajah seperti kita sebelum merdeka dulu, atau diusir dari tanah airnya seperti Palestin atau dijadikan hamba abdi seperti kaum Bani Israil di bawah Firaun adalah dilihat rendah dan bangsat oleh bangsa-bangsa yang berdaulat.
       
Bangsa yang ditindas itu tidak salah yang kejamnya ialah yang menindas dan mengabdikan mereka.
      
Bangsa Malaysia tidak mahu dilihat sebagai bangsa Afrika yang dijadikan hamba oleh Amerika, maka kerajaan kena buat apa yang disaran oleh Mahfuz, saman DOJ.
      
Itulah pintarnya berfikir Mahfuz. Memang dia banyak memberikan pandangan yang bernas dan bernilai politik yang tinggi sepanjang dia berpoliik dalam PAS dan selepas menjauhkan diri dari PAS politiknya dan komennya bertaraf tinggi.
      
Memang bertuahlah PAS beroleh seorang yang bermula dari akar umbi dan dari latar belakang pendidikan yang sederhana, berjaya memanjat pucak politik yang terbilang.
     
Kiranya dia istiqamah dengan PAS, bukan saja dia untung, PAS pun untung. Saya kata dia mengatasi kepintaran ramai rakan-rakannya dalam PAS.
      
Kiranya dia rapat balik dengan PAS untungnya lebih dari untung PAS. Haji Ahmad Fuad silap meninggalkan PAS. Dato Mohd Nasir tinggalkan PAS, tapi dia buat parti yang dirasanya Islam. Dato Asri tinggal PAS buat parti Islam lain.    

Tapi Mahffuz lebih silap, hendak bersama siapa. Kepintarannya amat berguna jika disumbang semula dalam PAS. - HARAKAHDAILY 22/6/2017

MEMANG dikira ajaib mengenangkan budak-budak Armada parti Bersatu yang ada jawatan dalam parti mengugut keluar parti jika dua pimpinan utamanya – Tun Dr Mahathir, pengerusi dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presidan – gagal memberi penjelasan terhadap tular yang diviruskan kepada mereka.
       
Kedua-duanya diserang dikatakan tidak bersih semasa menjadi Perdana Menteri dan tidak berperangai baik semasa memerintah Johor. Ia adalah virus bagi politik dan orang politik. Dijelas susah dan tidak dijelas pun susah.
      
Ia adalah perangkap musuh seperti yang ulas oleh Ketua Penerangan Bersatu, Kamarudin Mohd Nor dan mengapa ahli parti melayannya dalam publik pula. Orang parti tegas seboleh-bolehnya mempertahankan atau tidak melayan. Jika ia tohmah sekalipun, bila dilayan seperti memberi penjelasan, belum tentu penjelasan memuaskan. Akan kencang lagi fitnahnya.
       
Ia adalah masalah bagi orang politik yang sudah tidak berkuasa cuba membongkar keburukan orang yang sedang berkuasa. Mahathir dan Muhyiddin sudah tidak berkuasa lagi. Semasa berkuasa segala yanag disoksekkan akan dihampaskan saja. Isunya akan dialihkan dan ia mati begitu saja.
     
PM Najib tidak sekadar dihadapkan dengan tular tetapi dakwaan demi dakwaan yang berat-berat termasuk pendedahan oleh kerajaan Amerika, oleh perundangan Perancis, Switzerland dan lain-lain. Kerana ia terhadap orang yang berkuasa, ada kekebalan melindunginya. Mahathir pun tahu dia pernah merasa kekebalan.
        
Tetapi sesudah tidak berkuasa, sekalipun namanya besar dan kulitnya tebal, kerana tidak kebal, maka tular  mengenainya menyebabkan budak-budak Armadanya mencabarnya supaya melayan apa ditularkan. Jika tidak dibersihkan semua dakwaan itu mereka mengugut keluar parti.
       
Sekalian budak-budak yang berjaya dipolitikkan dan tegar politik, baik betul atau tidak, mereka akan pertahankan apa jua yang dikatakan terhadap Najib. Mat Over akan tampar. Budak di Kluang usir orang DAP yang mengedarkan sesuatu di pasar.  Datuk Jamal Yunus akan hantar sekuadnya terhadap siapa saja yang kata bukan-bukan pada Najib.
      
Budak muda DAP akan buat macam-macam kalau ada yang mengancam Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Budak-budak muda PKR akan penuh jalan raya apabila DS Anwar Ibrahim dipenjara atas tohmah yang memalukan. Mereka pertahan dia sekalipun mahkamah memutuskan sesuatu terhadapnya.
      
Ia adalah disebabkan oleh budak-budak politik itu sudah dipolitikkan dan mereka pun ada politiknya. Anwar sendiri jenuh menghadapi budak-budak politik jadian. Tetapi budak Anwar itu ramai, sekalipun yang pergi ramai, yang tinggal pun ramai juga.
       
Adapun budak-budak Armada ada juga tegarnya seperti Tuan Syed yang jadi ketuanya. Tetapi ada juga beberapa orang tak tahan dengan apa yang dikatakan terhadap Mahathir dan Muhyiddin, lalu mereka mengugut keluar parti kalau tohmah tidak dibersihkan.
      
Mengapa jadi begitu? Antara masalahnya ialah mereka anak muda yang tidak terlibat dengan politik tetapi ada kecenderungan mahu diwujudkan politik yang bersih. Bersatu pun dirancang bagi membersihkan politik dan kerajaan yang sudah kucar kacir.
       
Atas cenderung kepada yang bersih itu mereka bersama menubuhkan parti itu. Pengalaman politiknya belum ada. Latihan politik kosong. Ideologi politik pun tidak diketahui. Yang diketahui ialah mereka mewakili anak muda yang tidak terikat, mahu dan cenderung supaya diwujud iklim politik yang bersih.
      
Bila mereka masuk ke dunia politik dengan pengalaman kosong, mereka disogokkan dengan yang mengelirukan tentang kebersihan berpolitik. Mereka hendakkan penjelasan. Maka naik darah mereka.
      
Kerajaan kira-kira ada menyimpan apa dikira rahsia orang politik. Betul atau tidak, bila ditularkan orang pun keliru. Tapi kalau berkuasa, rahsia itu dikunci. Bila hilang kuasa, kalau ganggu kerajaan rahsia pun meleleh. – HARAKAHDAILY 18/6/2017

CUKAI pelancongan yang melibatkan rumah penginapan antara RM2.50 hinga RM20 semalam ikut bintang mulai Julai ini adalah tambahan penindasan bagi negara kita sudah banyak percukaian ini.
      
Sebelum GST – cukai barangan dan perkhidmatan – dilaksanakan rakyat sudah banyak dibebankan oleh segala macam cukai.
       
Apabila GST dilaksanakan dua tahun lalu ia adalah penindasan yang amat ketara yang terpaksa diderita oleh sekalian sang pengguna.
       
Kebaikan GST satu saja. Berbilion cukai dapat dikumpulkan dalam sistem itu saja bagi membantu negara menghadapi kesempitan dan kekeringan dananya untuk membolehkan negara bergerak.
      
Jika tidak ada cukai itu negara dan kerajaan boleh mati. Tetapi apa yang menyebabkan negara boleh mati sedang ia banyak hasil asli atau bahan mentah. Semua tahu sumber asli tidak cukup dan boleh habis. Itulah pemimpin yang berotak dan diberi amanah merancang pembangunan dan mencipta berbagai  teknologi dunia kita hidup.
      
Dengan pembangunan sudah dimulai sejak merdeka dan bermacam teknologi yang dicipta sendiri dan ditiru dari rantau asing, sepatutnya negara sentiasa cukup untuk semua keperluan penduduk, tidak perlu diseluk duit daripada saku rakyat untuk menampung kekeringan dan kekosongan perbendaharaan dan dana negara.
      
Hanya kerajaan yang dipimpin oleh yang tidak berotak dan bermewah dengan kekayaan negara, berbelanja lebih besar daripada pendapatan, maka jalan keluar yang senang tindas rakyat dengan mengadakan berbagai cukai.
      
Rakyat sudah tidak dapat bangun dengan beban GST, sekarang direka satu penindasan baru, cukai pelancongan. Pengusaha pelancongan tentulah terbeban dengannya. Tetapi pengusaha akan menyerahkan beban itu kepada pengguna, kerana ia sudah pun dibenarkan oleh cukai baru itu.
        
Pelancongan tidak bergantung kepada yang datang dari luar saja. Kita mahu mengubah cara hidup rakyat supaya menjadi pelancong domestik. Biar rakyat merasa hidup seperti rakyat negara maju dan terbuka, melancong sambil bersehat di pusat-pusat pelancongan.
      
Kian ramai sekarang rakyat bercuti bersama keluarga di pusat pelancongan yang disediakan. Yang ramai itu adalah sebahagian kecil daripada rakyat awam. Yang lain masih tidak mampu membawa keluarga berehat dan berkelah. Bagi mereka ia kehidupan mewah sekalipun harga penginapan dirasa rendah.
      
Industri tidak hidup atas bilik dan desa inap, tetapi ia hidup atas segala macam perkhidmatan dan perniagaan. Atas selera berbagai hidangan yang disediakan. Peserta umrah masuk percuma ke pasar kurma. Boleh rasa berbagai jenis dan spesies kurma percuma, masing-masing akan membeli dengan harga yang berpatutan.
        
Bagi membolehkan orang awam berpendapatan sederhana merasa hidup sedap seperti yang dirasa oleh anak-anak raja dan orang bangsawan yang sejak sekian lama pelancong dalam dan luar negera, maka jangan bebankan mereka dengan berbagai cukai tmbahan, kerana kedatangan mereka menginap di hotel rendah cukai atau bebas cukai, akan menghidupkan satu-satu pusat pelancongan.
      
Tuan hotel tidak kaya dengan sewa bilik yang tinggi tapi pelanggan berbelanja di hotel menjadikan mereka kaya. Kerajaan telah beroleh berbagai cukai daripada berbagai kegiatan, maka mengapa tumpang tindas pelancong dengan mencukai bilik/rumah yang mereka sewa?
      
Orang balik kampong kerana perayaan atau kahwin, tidak lagi menginap di rumah orang tua dan keluarga. Rumah orang tidak muat dengan cucu yang  ramai. Maka mereka tidur di hotel atau desa inap. Kita galakkan orang balik kampong. Maka dengan cukai itu kita tindas orang yang balik kampong. Demikianlah negara kaya cukai mengintai setiap sudut menindas rakyat. – HARAKAHDAILY 16/6/2017

SIAPAKAH Tan Sri Isa Samad yang sejak sekian lama menjadikan Felda bergelora dan sekarang mengelorakan syarikat bursanya FGV?
     
Dia adalah orang berkemungkinan menjadi Timbalan Perdana Menteri sekarang dan ketika Perdana Menteri Najib diasak kiri dan kanan sejak mengambil alih kuasa, dialah calon yang berpotensi menggantikan Najib sebagai Perdana Menteri.
      
Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat sebagai pencabar utama Najib sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri tahun 2009 mungkin tidak jadi orang Umno yang terpenting selepas Najib. Muhyiddin jadi pencabar utama Najib ialah setelah Perdana Menteri/Presiden Umno Tun Abdullah Badawi menggantung keanggotaan Umno Tan Sri Isa Samad dan sekali  gus melucutkan jawatan kabinetnya  sebagai Menteri Wilayah Persekutuan.
      
Semuanya terkejut apabila Pak Lah dalam pemilih pertamanya menjadi  Presiden Umno, Tan Sri Isa Samad muncul sebagai Naib Presiden yang pertama. Tan Sri Mohamad Mohd Taib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin jadi Naib Presiden kedua dan ketiga.
      
Isa sebelum itu belum ada pengalaman dalam politik nasional sebagai menteri pusat dan barisan  utama pimpinan Umno. Dia selamanya adalah Mentri Besar Negeri Sembilan yang dalam pemilihan Umno tersenarai dalam majlis tertinggi saja.
      
Jawatan pertamanya dalam kabinet ialah Menteri Wilayah Persekutuan macam Engku Adnan Mansor sekarang. Bukan jadi menteri yang memberi peluang menjelajah ke seluruh negara yang membolehkannya dengan mudah menemui perwakilan Umno di merata-rata.
       
Perwakilan Umno Wilayah Persekutuan berapa orang sangat. Tetapi dia dapat meninggalkan pemimpin Umno Selangor dan Johor yang banyak bahagian.
       
Maka ada ulasan sinis atas kemenangannya itu, dengan kedudukan orang nombor tiga dalam parti, dia akan jadi Timbalan Perdana Menteri jika berlaku sesuatu kepada Perdana Menteri Abdullah Badawi dan Timbalan Presiden Najib dan akan jadi Perdana Menteri jika berlaku sesuatu kepada kedua-dua yang diatasnya itu.
       
Dengan pengalamannya yang terhad dalam politik nasional dan kerajaan pusat, maka macam mana dia hendak menjadi Perdana Menteri.
      
Orang yang hendak menjadi Perdana Menteri itu mestilah orang yang ada pengalaman luas dalam politik dalam dan luar negera. Seperti Dr. Mahathir telah dikenal oleh semua di Malaysia dan di Washington. Tun Abdullah Badawi menjadi menteri luar yang menjelajah banyak negara di dunia. Najib pula menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Pelajaran beberapa tahun.
      
Isa Samad? Jelebu dan Rembau saja!
       
Tetapi dia sudah berjaya meraih undi terbanyak sebagai Naib Presiden Umno. Terkejut semua. Bagaimana dia dapat undi terbesar?
      
Menjadi kecoh Umno.
      
Membeli undi dan rasuh politik dan politik wang bukan perkara baru dalam Umno. Mungkin Tunku Abdul Rahman Putra saja yang tak terlibat dengan politik duit kerana dia pun tidak berduit. Yang lain tak bersih belaka.
      
Tahun demi tahun perhimpunan dan pemilihan Umno semua bercakap tentang membanteras politik wang, tetapi politik wang terus menerus menjalar hingga ke akar umbi.
      
Oleh sebab pentadbiran Pak Lah melancar transformasi membendung rasuah, menukar Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia – SPRM, maka banyak sangat aduan tentang politik wang dalam pemilihan Umno itu.
      
Sebagai Presiden Umno, Tun Abdullah mengarahkan supaya semua aduan disiasat. Maka hasilnya Isa Samad didapati melanggar pantang larang rasuah politik. Bukan saja jawatan Naib Presidennya dilucutkan, keanggotaan Umno digantung  banyak  tahun.
       
Di bawah pimpinan Tun Abdullah ada juga orang Umno dipecat seumur hidup. Tidak boleh kembali dalam Umno hingga mati.
       
Tetapi Isa berdiam diri dan menerima keputusan itu. Dia tak burukkan Umno dan tidak kempen jatuhkan Tun Abdullah setakat yang diketahui. Yang jaja gulingkan Pak Lah ialah orang lain.
       
Isa yang sudah tidak ada kedudukan dalam Umno dan Umno pandang tidak elok lagi kepadanya, dia boleh cakap macam-macam tentang kelemahan Umno terutamanya Presidennya Pak Lah. Kerana dia  sudah tidak ada apa-apa kepentingan lagi dengan Umno, Umno tak boleh kata apa-apa kepadanya kerana dia bukan lagi orang Umno.
       
Bagusnya Umno, ia selesaikan kes Isa Samad itu dalam partinya saja. Ia tidak  panjang kes Isa itu kepada  SPRM.
      
Isa diam seribu bahasa dan bila Najib naik, Isa pun balik ke dalam Umno. Dia cuba juga untuk jadi naib semula, tetapi kerana Umno itu ditinggalkan lama, payahlah bagi sesiapa untuk kembali ke tampuk kuasa.
      
Cuma dia kacau Najib semasa hendak mengadakan pilihan kecil di Dun dalam kawasan Port Dickson. Ada kakinya mencalonkannya. Kiranya Najib tolak pencalonannya, dia ugut akan kacau Umno. Tapi bila diterima dia jadi calon dan dia menang, dia boleh kacau pula Menteri Besar Negeri Sembilan. Memang MB itu sudah gelabah, Najib bagi dia jadi Pengerusi Felda supaya tidak ganggu politik Umno Negeri Sembilan.
      
Dia tidak kacau Umno Negeri Sembilan tetapi  sejak dia masuk telah menggelorakan Felda.
       
Felda itu tidaklah tenang selama-lamanya. Sejak Najib yang menjadi waris kepada pelopor Felda, Tun Razak, maka Najib jadi macam raja di Felda. Dia berkuasa penuh di situ macam berkuasanya saja di negeri masing-masing. Banyak juga takwil tetap raja mana oleh ditakwil.
      
Bila Isa masuk ke situ, dia pun macam raja juga. Cakapnya adalah undang-undang. Najib bagi kuasa penuh kepadanya.
       
Koperasi peneroka pun dia nak campur sama. Koperasi adalah untuk ahlinya. Dia dikatakan bukan ahli koperasi. Dia dikatakan mahu jadi ahli lembaganya juga.
      
Isu besar di Felda itu ialah tentang FGV yang bila disenaraikan dalam bursa saham, Felda seluruhnya jadi sandaran. Seperti membuang duit yang kata Felda boleh tergadai. Entahlah, tapi pihak yang membeli sahamnya semua terasa seperti membuang  duit ke laut.
       
Akhirnya Najib yang banyak masalah di luar Felda, mungkin payah pertahan Isa, digantikannya Pengerusi Felda dengan Tan Sri Shahrir Samad. Tetapi Shahrir tak mahu jadikan FGV sebahagian dari tanggungjawabnya. FGV bagi pada Isa.
       
Sekarang FGV sudah tsunami. SPRM pun sudah datang. Tsunami lebih teruk dari gelora.
       
Jika Pak Lah tidak bertindak terhadapnya dulu, dengan kemahiran memerintah Negeri Sembilan dan jadi sekejap Menteri Wilayah dan lepas itu menggelorakan Felda, tentu dia boleh adun Umno dan kerajaan bersama Najib. Bila Pak Lah berundur, Najib naik, Naib Pertama pun naik sama.
       
Mungkin sekarang dia Timbalan Perdana Menteri. Bila dia tidak bersama Najib dalam kerajaan, dia dapat bersama Najib dalam Felda.
      
Apa jadi kalau Perdana Menterinya Najib dan Timbalan Perdana Menterinya Isa Samad? Malaysia nescaya jadi macam Felda dan FGV. – HARAKAHDAILY 13/6/2017

PECAH lagi syarikat kerabat Felda apabila FGV bergolak antara Pengerusinya Tan Sri Isa Samad dan Presidan/Ketua Pegawai Ekskutif Kumpulannya, Datuk Zakaria Ahmad yang dilantik di situ setahun lalu.
      
Yang jadi pecah itu teruk sekarang TS Isa menggantung Datuk Zakaria daripada jawatannya bagi tempoh yang tidak ditentukan bagi membolehkan dia disiasat. Datuk Zakaria enggan melepaskan jawatan dan TS Isa enggan meninggalkan FGV.
       
Apakah mencutikan Datuk Zakaria akan menyelesaikan masalah dan beban yang melanda FGV? Rasanya tidak dan ia menjadikan Felda dan FGV bertambah payah.
      
Selagi TS Isa di situ, menyelesaikan beban FGV samalah payahnya menyelesaikan masalah yang menimpa 1MDB. Selagi Najib Perdana Menteri 1MDB amat payah diselesaikan. Apa juga yang diusahakan tidak akan berjaya selagi Najib di situ.
      
Isa yang selagi dikehendak Najib akan kekal di situ, maka FGV akan hidup seperti hidupnya 1MDB.
      
Hanya MARA setakat ini lebih senang diselesaikan kerana ia mencutikan Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa. MARA tidaklah sesusah dan sekusut FGV dan 1MDB. Tetapi payah juga menyiasatnya jika Pengerusinya tidak dicutikan.
      
Anuar Musa tidaklah sekebal Isa Samad, tetapi Anuar adalah perisai baru Najib menghadapi ribut yang melandanya dalam politik parti dan kerajaan.
      
Najib kekurangan panglima dalam Umno untuk mempertahannya. Panglimanya yang lain tidak dapat membantu Najib terutama selepas ketiadaan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menjadikan Anuar sebagai Ketua Penerangan Umno nampak dapat memberi nafas kepada Najib dan Umno.
     
Tidaklah Najib bergantung pada TPM Datuk Seri Zahid Hamidi saja. Setiausaha Agung, Tengku Adnan Mansor tidak mampu memberi bantuan yanag diperlukan Najib dibandingkan dengan Zahid. Dengan menjadikan Anuar panglima baru boleh meringankan penggantungan kepada Zahid.
      
Dengan kedudukan demikian Anuar bertambah penting di MARA. Sebelum ini Anuar mulai dilihat seorang Umno yang terbiar di Kelantan. Umno jenuh sejak dari zaman Mahathir mencari orang yang menghidupkan Umno Kelantan. Umno gantikan dia dengan Datuk Mustapa Mohamed dan Awang Adek.
      
Anuar memang lebih pintar daripada Mustapa dan Awang Adek, tetapi susah menyaingi PAS. Bakat kepintaran Anuar membela Najib terutama setelah Dr. Mahathir menjadi penyerang Umno yang hebat. Apabila Anuar dijadikan orang penting baru yang mungkin lebih layak mengambil tempat Tengku Adnan sebagai Setiasuaha Agung Umno. Dia boleh jadi penglima yang baik.
      
Maka payah digugat dia di MARA kerana dia orang kuat Najib yang baru. Tetapi MARA lebih bernasib baik ketika dilanda masalah yang menyebabkan penyiasatan mesti dilakukan, orang MARA mencutikannya dulu. Maka masalah di MARA tidaklah sesusah FGV dan 1MDB.
       
Jika betul Annuar jadi panglima penting Najib, maka Najib mungkin tidak akan biarkan Annuar dengan masalah yang dihadapi sekarang.
        
Datuk Zakaria tidak dapat buat pada TS Isa seperti yang MARA dapat buat pada Anuar. Jika Zakaria dapat mengaruhi lembaga pengarah FGV cutikan Isa maka masalah di FGV mungkin tidak sepayah hendak menyelesaikan 1MDB.
       
Jika TS Isa tidak lagi jadi panglima kepada  Najib, maka ada payahnya bagi Najib untuk terus menjadi raja yang tidak boleh diusik di Felda.
      
Apapun perkembangan terbaru dalam FGV tetap menjadikan PM Najib dapat tambahan beban. Dia sedang berhempas pulas menangkis serangan atas kes 1MDB, sekarang pecah pula satu yang diibaratkan sebagai sarang tebuan daripada FGV. Malang timpa bertimpa. – HARAKAHDAILY 8/6/2017