SAYA setuju dengan peguam Datuk Ambiga yang namanya disebut oleh pihak pembela dalam saman Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang terhadap Sarawak Report supaya biarkan mahkamah di England menguruskan perkara itu dulu.
     
Peri nama Ambiga disebut dalam perbicaraan itu telah jadi isu ribut dalam negara, menuntut supaya dia membuat penjelasan.
     
Ramai yang mengambil kesempatan untuk menyusahkan Ambiga.
     
Saya kira tidak bijak orang di luar mahkamah campur tangan dan urusan perbicaraan itu sebelum mahkamah menyelesaikan tugasnya. Kiranya orang di luar PAS mengambil kesempatan untuk memanaskan masalah Ambiga itu, lantak merekalah, tetapi orang PAS sepatutnya diam dulu dan biarkan mahkamah menguruskan perkara itu.
     
Kita  mesti menerima hakikat mana-mana nama yang disebut dalam sesuatu perbicaraan, belumlah sah kesnya sebagai yang disebutkan itu. Ia mungkin betul dan mungkin tidak betul. Biarlah mahkamah menggunakan kearifannya menentukan perkara itu.
     
Kalau Ambiga merasa dirinya telah difitnah, maka dia tentu akan bertindak mengikut saluran yang betul bagi membersihkan dirinya.
     
Peguam kedua pihak tentu tidak membiarkan Ambiga lepas begitu saja kerana  dia sekarang sudah boleh dijadikan saksi  dan mereka tentunya mahu menang dalam perbicaraan, maka mereka boleh mengambil kira penampilannya membantu kemenangan masing-masing.
     
PAS tidak ada sebarang kerugian apabila nama Ambiga disebut. Kiranya betul dia jadi sumber/punca laporan Sarawak Report itu, maka kita bertambah dekat dengan pihak yang memulakan perkara itu.
     
Peguambela yang mahukan kesnya menang tentu akan akan mengguna semua sumber bagi membuktikan laporan Sarawak Report itu berasas.
     
Maka kita sekarang sudah bertambah dekat dengan apa yang dicari kiranya pembelaan pengarang itu betul. Peguam tentu akan dapatkan daripada Ambiga siapa yang memberitahunya.
    
Apapun Ambiga jika boleh jadi saksi tentu sebagai peguam akan memberi kerjasama kepada mahkamah, betul atau tidak betul dia berkata begitu kepada pengarang media itu. Jika dia menafikannya, maka ia akan jadi masalah antaranya dengan pengarang itu.
    
Biarkanlah mereka menyelesaikan masalah mereka. PAS tiada rugi apa-apa, sebaliknya dapat menonton apa hendak jadi atas perkara itu.
     
PAS tidak perlu berprasangka dengan Ambiaga. Kena gayanya dia membantu PAS bagi mengetahui siapa yang memberitahunya? Jika dia yang mereka perkara itu, maka Sarawak Reportlah yang akan menghadapinya pula. PAS tidak perlu susah dengan Ambiga. Soal utama bagi PAS sekarang ialah mahu membuktikan Sarawak Report memfitnahnya dan bagaimana dia dapat cerita itu?

Kita pula hendak  tahu sumbernya. Sekutu-sekutu PAS sesama Pakatan Rakyat dulukah? Atau DAP kah. Atau Umno sendiri? Atau mungkin orang PAS sendiri khususnya yang lari parti itu. Orang PAS yang setianya tidak berbelah bagi kepada jemaah tidak akan khianat pada partinya.
    
Dan mungkin juga yang kencang membalun Ambiga atas sebutan di mahkamah England itu yang memberitahu demikian kepada Ambiga dan gelabah kalau Ambiga dengan bukti cukup memberitahu melalui saluran betul dialah sumbernya.
      
Jika PAS sabar dan diikuti dengan solat hajat, Amiga boleh jadi kawan dalam mencari kebenaran dan keadilan semasa menghadapi saman yang difailkannya itu. – HARAKAHDAILY 3/11/2017

SEORANG kawan menelefon saya suruh baca sebuah akhbar Inggeris. Payah mencari akhbar itu, tapi akhirnya dapat juga.

Ia penuh dengan laporan tentang budak saudagar Jho Low dan 1MDB yang dikatakan menipu duit kerajaan berbilion-bilion.

Subki 2Itulah kali pertama saya mengetahui Jho Low dan 1MDB. Saya tidak ingat sudah berapa lama. Tapi orang yang menelefon saya itu sudah lama mati.

Lepas itu kecohlah alam ini dengan apa yang dirasakan rompakan ke atas khaznah negara dan ibu segala skandal buat negara.

Gerangan apa ia dikatakan skandal? Kerana Perdana Menteri Najib bertanggungjawab penuh atas 1MDB dan 1MDB itu syarikat Kementerian Kewangan hingga Menteri Kewangan Kedua masa itu Dato Hanazlah tidak ia ditubuhkan dan apa operasinya.

Demikianlah lamanya si Jho Low dikatakan penyangak dan mungkin lebih terror penyangak mata wang dunia George Soros yang meruntuhkan sistem kewangan Malaysia semasa pentadbiran Dr. Mahahir dulu.

Sejak itu si Jho dihebohkan sebagai penyangak dan PM Najib dilibatkan sebagai penanggungjawab. Apa orang kata tentang penyangat itu dan apa yang disyak hubungan PM Najib dengannya, Perdana Menteri diam dan buat dak saja.

Negara kita ini bagai hendak runtuh atas gema rompakan itu. PM Najib buat tahu saja.

Boleh dikira tiada tohmahan dan sangka buruk yang lebih buat Malaysia selain kejadian itu.

Lazimnya apa jua fitnah jauh kecilnya dari 1MDB dan Jho Low yang dikaitkan itu, secepat kilat pemimpin yang dikaitkan akan melenting, bukan saja marah akan fitnah itu bertindak segera bertindak bagi membersihkan nama baik dan maruah kerajaan yang dipimpinnya.

Tetapi Najib seolah-olah menunjukkan sabarnya, diam, tenang macam mengalahkan sabar Nabi Ayub. Sekalian nabi dan rasul itu tinggi sabarnya, tetapi sabar Nabi Ayub lebih dari yang lain. Dekat macam itu sabarnya Najib.

Bukan pembangkang yang menjalankan tanggungjawabnya peka dan riuh atas petaka itu, bahkan kerajaan Obama ikut terharu justeru yang dikatakan jenayah itu dikatakan berlaku di kedaulatan Amerika juga.

Kerajaan tubuhkan badan siasatan khas diketuai oleh Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail. Lain-lain ahlinya Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim, Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Seekor pun sudah tiada di jawatan masing-masing.

Najib terus tercegat macam patung berhala dibina di lapangan, begitulah dia tidak kisah ditimpa hujan lebat dan panah terik matahari.

Setelah bertahun-tahun alam gempita dengan puaka 1MDB dan orang yang disyaki penyangak tadi, setengah dari yang peka mari belaka, maka berkatalah kerajaan Najib, sebenarnya Jho Low tak apa-apa.

Orang kata saja dia begitu dan begini. Dia seolah-olah diburuk-burukkan. Najib, kerajaannya dan ssitem di bawah pemerintahannya kata bedebah itu bersih. Jika bayi adalah brsih, dia lebih bersih dari bayi. Jika salji iu putih ia lebih putih dari salji.

Nyata bodohnya semua. Hingga Jabatan Kehakiman Amerika pun dirasakan bodoh juga.

Semuanya diajar. Mati itu benar. Soal Munkar Nakir itu benar. Syurga itu benar dan neraka itu benar. Tiba-tiba semuanya dikatakan tidak benar. Tidakkah gila sekalian dengannya.

Mungkin begitulah reaksi semua bila Jho Low dikatakan bersih.

Adakah Perdana Menteri kita itu orang betul atau patung kaku ditimpa hujan dan dijemuri panas terik dan teruk? – HARAKAHDAILY 31/10/2017

BERKATA setiap pemimpin UMNO, PM Najib, Zahid Hamidi dan lain-lain UMNO mesti menang PRU14 demi menjamin masa depan anak cucu orang Melayu.

Ertinya orang Melayu sudah tidak selamat sekalipun UMNO sudah berkuasa sejak 28 Julai 1955.

Kalah kalahlah UMNO habis mampuslah orang Islam dan orang Melayu.

Itulah yang cakap dalam setiap kempen pilihan rayanya. Bahkan sebelum ditubuhkan UMNO setiap pembesar yang menyokong Dato Onn Jaafar berarak ke setiap istana dan berkumpul di bandar-bandar seluruh Semenanjung Malayan Union mesti ditentang demi menyelamatkan bangsa Melayu.

Maka mampuslah Malayan Union gara-gara unjuk rasa sekalian si penunjuk rasa itu. Orang-orang inilah yang menubuhkan UMNO. Sesudah tiada Dato Onn dan orang-orang yang penting yang menubuhkan UMNO, UMNO berubah kepada perjuangan kemerdekaan.

Antaranya juga demi menjamin masa depan anak cucu orang Melayu. Dapatlah ia membentuk kerajaan sendiri tahun 1955 dan kemerdekaan tahun 1957. Mari PRU pertama tahun 1959, ia kalah di Terengganu dan Kelantan tetapi dengan kempen demi menjaga masa depan anak cucu orang Melayu ia menang besar di lain-lain negeri Parlimen.

Mengapa agaknya ia kalah di Terengganu dan Kelantan? Agaknya mereka tidak percaya janji kempennya itu?

Setiap kali PRU UMNO berjanji untuk menyelamat dan menjamim masa depan anak cucu orang Melayu. Bermati-matianlah orang Melayu menyokongnya dengan harapan selamat masa depan anak cucunya, kecuali orang Melayu Kelantan yang tidak yakin UMNO cukup jantan untuk membela masa dengan orang Melayu.

Sekarang menjelang PRU14 setelah beberapa pemimpin UMNO yang tidak mabuk dedak meninggalkan UMNO, jika PAS terus tidak bulo’ dengan UMNO seperti yang al-Marhum Ustaz Fadzil Noor pernah kata, maka seakan-akan UMNO jadi telur di hujung tanduk.

Berkata lagi pemimpin-pemimpin UMNO, UMNO mesti menang lagi kali ini, tidak tidak, habislah masa depan anak cucu orang Melayu!

Mengapa UMNO bercakap begitu? Teruk benarkah orang Melayu jika UMNO kalah kali ini akan hilang Melayu di dunia? Hang Tuah pun nescaya tidak diingat lagi.

Mungkin UMNO berkata betul. Betul Melayu sudah tiba ajak seperti bangsa Babilon yang sudah tidak ada dan Kurdistan yang ada nama tapi tiada wilayah.

Kalau gerangan itu diberi UMNO menang lagi dan ia berkuasa lagi, apa jaminan ia mampu dan tahu menyelamatkan masa depan anak cucu Melayu?

Ia sudah dibagi kuasa sejak tahun 1955, orang Melayu tidaklah terancam sangat masa itu. Calon UMNO di Pulau Pinang, al-Marum SM Zainal Abidin menang PRU tahun itu. Betul Melayu berdaulat jika terus dijajah. Tetapi sebaik saja Inggeris cau sudah berdaulat.

Meskipun Malaya dipaksa jadi bangsa majmuk, tetapi kehadiran bukan Melayu ketika itu samalah seperti kehadiran Bani Israil di Mesir di zaman Firaun, tidak mengancam bangsa Kibti, bumiputera Mesir.

Ertinya memberi mandat kepada UMNO, seperti memberi bunga kepada beruk. Beri kuasa lagi, tak beri kuasa lagi, tiada masa depan anak cucu Melayu.

Tetapi kalau beri kuasa itu kepada PAS, Insya Allah, Allah beri taufik kepadad orang beriman dan taqwa untuk menyelamatkan masa depan anak cucu orang Islam dan jaminan aman bagi anak cucu masyarakat majmuk.

Allah berjanji siapa yang berpandu kepada al-Quran dan sunnah nescaya diberi petunjuk. Kata Syed Qutub, sistem tidak Islami ialah jahiliyah sekalipun watannya Islam. Jahiliyah tetap tidak diberi petunjuk.

Undi PAS, tolak UMNO. – HARAKAHDAILY 27/10/2017

SYAIKH Zamihan Mohd Zain, ketua persatuan Ahli Sunnah Wal Jamaah telah ditarik tauliah mengajaar di surau dan masjid, setakat ini untuk Negeri Selangor dan Johor ‘ala kulihallah justeru ceramahnya menimbulkan kemurkaan.
      
Subki 2Tanggapan saya Syaikh Zamihan mungkin seorang bahasa Kelantan gedebe dari segi sikap/pendirian dalam agama. Seperti pernah ada orang menyebut pada saya betapa al-Marhum TG Nik Aziz Nik Mat dikira ulama gedebe dalam pegangan agamanya.
      
Mungkin sebelum dunia mengenali Daesh dan IS, pendiriannya itu boleh dikira ekstremis. Tetapi tidaklah sampai macam Daesh dan IS. Tidak segan dan silu menyatakan pandangannya, tiada takut sesiapa selain dari Allah.
     
Macam Saidina Umar al-Khatab, setelah memeluk Islam dimakluminya yang mutlak ditakuti hanya Allah. Harimau, Malikat Maut, samseng Quraisy dan Maharaja Rom tak digeruninya. Ketika lain-lain assabiqun takut berdakwah berterangan di Baitullah, beliau seorang diri tampil menyeru orang kepada Islam. Semangat itu dipercayai ada pada Syaikh itu.
     
Itulah cara seorang Islam, ulama dan pahlawan pula. Maka orang kurang pengetahuan agama jangan pandang sebelah mata ilmunya. Ramai yang mengira keperluan tauliah merendahkan ilmu mereka. Al-Marhum bapa saya enggan memohon tauliah. Kerana rakan-rakannya mufti, kadhi besar Perak, mereka panggilnya ke pejabat agama, mereka beri tauliah tanpa rintihan.
     
Tuan Zamihan tiada ego tentang tauliah. Beliau menerima tauliah adalah keperluan dan penting untuk berkuliah di masjid dan surau bagi mengelakkan orang mengajar ilmu sesat.
     
Tauliah adalah urusan pentadbiran boleh dibatalkan atas sebab-sebab tertentu. Mungkin wajar tauliahnya dibatalkan. Jika telah disabitkan beliau melanggar syarat-syarat dan pantang larang, tidak apa yang wajar dibantah.
      
Jika beliau sudah diberi layanan keadilan sepenuhnya, maka tidak berbangkit soal pembelaannya.
     
Negara kita ada sistem undang-undangnya yang terkini, tidak seperti undang-undang zaman Hang Tuah dulu. Ketika itu apabila ada yang mengatakan Hang Tuah itu begitu dan begini, Raja Melaka tidak perlu tanya saksi dan tidak minta Hang Tuah membela diri, maka dia terus dihukum sekalipun dia seorang Laksamana, satu kedudukan tinggi di sisi istana.
      
Zamihan adalah seorang ulama. Ilmunya melayakkan diberi tauliah. Ilmu seorang ulama amat diperlukan oleh semua orang selagi ia tidak menyampai ilmu salah. Jika beliau telah terbabas, maka tindakan disiplin boleh dikenakan.
      
Apa-apa kesalahannya wajar ditegur supaya kesilapan itu boleh dibetulkan dan ia tidak diulangi. Jika semua teguran tidak diindahkan, ia keras kepala juga, tidak cara melainkan mengenakan tindakan disiplin.
     
Sebelum tindakan diambil, seseorang yang dituduh mesti diberi ruang dan peluang membela diri. Tiada adil mana-mana mahkamah tidak memanggil yang didakwa membela diri.
     
Mahkamah hanya berkuasa tidak memanggil yang dituduh membela diri kerana mengira dia tidak bersalah.
      
Tauliah mengajar adalah isu dalam pentadbiran Islam. Perkara dalam Islam sebagai agama yang adil perlu bertindak lebih adil dari lain-lain keadilan dunia dan ciptaan manusia.
      
Saya tidak melihat beliau lebih besar dan istimewa dari orang lain, tetapi hukuman tanpa peluang padanya membela diri adalah satu kemalangan bagi keadilan. Saya tidak mahu kata ia satu kezaliman, tapi apa bahasa yang boleh digunakan bila hak pembelaan diri tidak diberi? - HARAKAHDAILY 26/10/2017
     
    

LEBIH dari sekali Tok Guru Haji Abdul Hadi Awang menyeru Dr. Mahathir supaya bertaubat dalam masa beberapa bulan belakangan ini.

Pertama setelah Mahathir dikatakan tidak dapat memberi jawapan yang memuaskan orang yang bertanya tentang isu Memali dalam majlis terbuka Bersatu dia ditanya dan dia jawab semua.

Hal itu rebut dan Tok Guru saran dia taubat tentunya tentang peristiwa Memali itu. Dan yang terbaru disarankan pula taubat atas kesilapan pentadbiran yang panjang tanpa memperincikan kelemahannya.

Tok Guru tentulah tidak bersih dari sebarang dosa tetapi sebagai ulama tentulah beliau segera taubat sebaik saja sedar akan kesilapannya dan sama ada beliau sedar atau tidak kesilapannya, orang Islam diajar supaya sentiasa taubat.

Apabila Mahathir disaran taubat, tidaklah bererti lain-lain pemimpin dan perdana menteri sebelum dan selepasnya tidak perlu taubat. Mahathir disaran taubat kerana dia sedang lantang semua di gelanggang politik terbuka. Kit Siang dan Anwar Ibrahim tidak di saat ini patut menegurnya kerana mereka sudah sebaris di pentas yang satu.

Apakah seruan Tok Guru itu dikira tidak patut atau satu kesalahan pula?

Apapun bunyinya saja macam bom meletup tetapi Tok Guru membuat nasihat yang biasa. Sekalipun Mahathir itu orang politik terbilang tetapi dia adalah orang Islam dan Islam itu adalah agama nasihat, wajar seorang Islam itu dinasihat termasuk menyeru taubat baik dia salah atau tidak.

Semuanya patut terbuka dan positif atas ingatan taubat. Mahathir tidak wajar melihatnya sebagai satu tempelak tetapi ambillah sebagai satu nasihat, jika dia terasa dia ada kesalahan, ini adalah peluang untuk mengaku dan taubat. Jika dia rasa dia tidak salah dan tidak silap, bertaubat juga, bahkan mendapat pahala besar jika ia diterima Allah.

Dan Allah berjanji sedia menerima taubat dan mengampun kesalahan hambaNya yang taubat dan minta ampun atas sesiapa saja yang dikehendakiNya.

Memandangkan maksiat Namrud dan Firaun adalah begitu besar, bahkan Firaun mengaku dirinya tuhan, satu maksiat yang iblis tak sanggup lakukan, eloknya tidak perlu Nabi Ibrahim dan Nabi Musa menemui mereka mintanya berhenti menentang Allah dan menerima Allah sebagai Tuhan Yang Esa.

Kedurjanaan mereka itu eloklah diperonyokkan ke neraka saja, tetapi Allah sunnahkan Nabi-NabiNya menyampai amaran kepada manusia jembalang itu.

Wajar mereka didakwah dulu. Jika mereka memilih melawan juga, ia adalah masalah mereka. Ingatan dan nasihat itu patut disampaikan kepada semua, dan Tok Guru sebagai Tok Guru telah menjalankan dakwahnya menasihatkan Mahahir bertaubat.

Mahathir pula boleh dikira bertuah, kerana ada orang yang sedia mengingatkannya supaya bertaubat dan dengan bertaubat itu jika diperkenan Allah, nescaya menjadikan Mahathir orang yang bahagia di dunia dan bahagia di akhirat.

Mungkin Tun Razak dan Tun Hussein Onn tidak sebertuah Mahahir. Tidak kira ketahui ada orang yang mengingat mereka supaya bertaubat secara terbuka. Tiada orang yang berani menyampaikan seperti yang dibuat oleh Tok Guru kepada Mahathir itu.

Taubat amat senang dibuat. Teringat saja ada melakukan dosa, terus bertaubat saja, tak perlu di tikar sembahyang saja. Masa hendak tidur, masa bersukan. Atas dosa-dosa yang biasa, tak perlu diketahui orang dan tak perlu menjerit. Allah mendengar sekalipun berbisik.

Tetapi dosa politik yang melibat rakyat dan negara taubat itu dibuat di khalayak umum. Ini tidak diketahui Mahathir pernah buat. – HARAKAHDAILY 24/10/2017

ANTARA istilah syarak yang diperkenalkan politik dan pentadbiran Perdana Menteri Najib ialah Maqasid Syariah selain dari wasatiyah.
      
Kira-kira ia termasuk dalam rangka transformasi yang pentadbiran itu mahu adakan dari aspek keagaman iaitu Islam.
      
SubkyLatifDari mula disebut ia sekadar mampu didengar, hanya lepas sambutan ulang tahun kemerdekaan ia baru diiklan di TV. Rukun maqasid yang lima itu ialah menjaga agama, menjaga nyawa, menjaga akal, menjaga keluarga/keturunan dan menjaga harta.
       
Inilah yang menyebabkan Islam cepat berkembang bermula dari pembentukan Negara Islam Madinah sebaik saja hijrah Rasul dan tiada lagi yang layak menerima zakat di bawah pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz hingga khalifah terpaksa mencari apa hendak digunakan dengan pungutan zakat yang bertimbun-timbun justeru kemiskinan berjaya dibasmi.
      
Ia adalah maqasid terlaksana sepenuhnya.
      
Kita hanya mampu mendengar maqasid syariah dan kegemilangan Umar Abdul Aziz saja. Tetapi tidak dapat menghirup nikmatnya kerana nikmat itu tiada di sekitar kita.
     
Sejak maqasid disebut adakah agama/aqidah Islam terjaga? Atau sekurang-kurangnya reda?
     
Ajaran sesat menjadi-jadi. Dari orang Islam ada Ayah Pin memimpin kerajaan dari langit, ada nabi Melayu, kerunthan akhlak dan penyaki sosial menjadi-jadi bukan saja di kalangan bukan Islam tetapi di kalangan Islam.
      
Umat diserang anti hadis dan ancaman Islam liberal dan plural. Islam ada tetapi tak dapat menjaga orang murtad dan bermaksiat. Ia tanda agama dan akidah tak terjaga.
     
Adakah nyawa rakyat dan pelancong terjaga? Hari-hari kita baca berita orang terbunuh kerana dibunuh dan kecelakaan jalan raya. Nyawa melayang kerana jenayah dan melayang kerana keselamatan tak terkawal. Bukan nyawa rakyat tak selamat, pekerja asing juga tak selamat sesama pekerja asing.
     
Banyak kejadian pelancong diculik. Nyawa berisiko jika tebusan tak tertunai. Bukan nyawa saja tak selamat, mayat pun tak selamat hingga diletup berkecai. Anak bunuh ibu/bapa dan cucu bunuh nenek benda biasa sekarang.
      
Adakah sistem kita menjamin keselamatan otak?
      
Minum arak tidak menjadi kesalahan. Arak berlesen boleh dapat di pasaraan terbuka. Bukan saja ia boleh diedar dan dijual, ia boleh dikilang. Maqasid bukan sekadar hendak menjaga otak orang Islam. Otak semua orang perlu dijaga.
      
Otak yang dibinasakan oleh dadah tidak mampu dikawal. Sekarang ia mula masuk ke sekolah. Bukan arak dan dadah yang merosakkan otak, fikiran yang menysatkan manusia juga banyak mencelarukan otak orang Islam hingga kesatuan fikrah tidak wujdu di kalangan sesama Islam sesama mazhab yang jadi anutan raja-raja bercelaru.
      
Adapun kesucian keluarga dan keturunan yang jadi kebanggaan umat Islam sejak Islam tiba ke Melaka tahun 1409 terancam oleh pergaulan bebas dan keruntuhan akhlak yang melanda sekarang. Bilangan anak tak sah status meningkat setiap masa.
      
Mungkin peratusnya kurang dari 0.09 peratus tetapi maqasid mahu ia tiada lansung. Kita tak mahu sekalipun dua tiga orang, tetapi apabila sudah tak terbilang, ia tanda keturunan yang rosak. Nak lari dari ibu/bapa dan ibu/bapa tidak dapat mengenakan peraturan kepada anak dan cucu, bukti rukun keluar dan keturunan tidak terjaga.
      
Yang terakhir harta. Yang dikehendaki adalah harta diperoleh secara sah baik dari faraid dan hasil dari usaha masing-masing. Harta yang tidak bersih lagi haram bukan kemahuan maqasid. Dan apa jaminan harta selamat?
     
Ia tidak sekadar diancam perompak dan pencuri, bahkan terdedah kepada rempit di jalan-jalan. Tidak dipastikan siapa antara kita penyangak yang boleh menukar milik akaun bank dan gedung-gedung perniagaan.  Bukan sekadar harta individu penyangak rompak. Pemimpin dan menteri jadi penyangat harta kerajaan.
      
Banyaknya tangkapan oleh SPRM akhir-akhir ini adalah kerana maqasid syariah sekadar jadi cerita yang menyedapkan telinga, tetapi tiada yang hendak menjalankannya.
     
Ia adalah gara-gara fitnah memerangi syariah dalam semua sudut dan dari  semua sudut, hingga yang mewar-warkan maqasid itu masih jadi sebahagian dari tok pawang memecah timba.
     
Bolehkah maqasid berkesan dalam masyarakat yang tidak mengiktiraf hudud dan bagaimana ia hendak dikuat kuasa jika hudud tidak ada? - HARAKAHDAILY 19/10/2017

DATUK Hamidah Osman yang baru meninggakan Naib Presiden Bersatu sudah ada banyak pengalaman dalam Umno dan sediki sebanyak dalam Bersatu.

Umno sudah tidak hendak dia dan dia pun sudah tidak hendak UMNO. Sekarang dia sudah tidak hendak Bersatu. Apa masalahnya dengan UMNO dan Bersatu tidak usahlah dipanjangkan.

Apakah dia masih hendak berjuang atau bersara dari politik bergerak pula dalam NGO?

Jika darahnya pekat politik boleh memilih PAS sebagai wadah membela agama, bangsa dan tanah air yang membela diri dan keluarga.

Mungkin Dato Hamidah boleh mencontohi Saidina Salman al-Parisi, seorang yang mencari Tuhan mencuba dalam beberapa agama antaranya agama langit. Tak bertemu Tuhan di situ. Dia bertemu Tuhan dalam Islam.

Hamidah sudah tidak serasi dengan UMNO dan Bersatu, dan keserasian itu mungkin ada dalam PAS.

Perjuangan itu manis. Bagi orang Islam perjuangan yang manis itu ada dalam PAS. Perjuangannya tidak sekadar kesejahteraan di dunia, tetapi demi kesejahteraan di dunia dan akhirat. Kesejahteraan itu terletak atas kekayaan kebendaan, mewah makan, pakaian dan berbelanja. Bilal bin Rabah dan Salman al-Parisi tidak kaya, pernah disiksa, tetapi mereka dan keluarga sejahtera, terjamin masa depannya di akhirat.

Berjuang dalam PAS, seperti beribadat dalam Islam, tidak dijamin syurga. Bergantung perjuangan dan solat itu ikhlas kerana Allah. Tiada Islam dan tiada solat, tertutup pintu syurga. Syurga adalah untuk pejuang yang ikhlas.

Perjuangan itu manis seperti manisnya Islam. Manis Islam itu lebih dimaknakan oleh perjuangannya dan oleh umatnya. Di sinilah PAS mencari manis di dunia dan manis di akhirat.

Semuanya mencari manis, tetapi manis hawa nafsu membawa kencing manis. Manis iman dan taqwa membawa kita, umat dan dunia sejahtera di sini dan sejahtera di sana.

PAS itu terbuka kepada untuk orang Islam dan memberi tumpang kepada bukan Islam. Sebagai agama Islam menjanjikan sejahtera di sana untuk Islam saja. Tapi sejahtera di dunia boleh dikongsi bersama dengan bukan Islam. Dan bukan Islam yang bersama PAS akan terasa manisnya perjuangannya.

Yang tidak bersama PAS tidak tahu dan tidak terasa manisnya PAS. Nak tahu manisnya madu PAS sertailah PAS. PAS itu bukan semua PAS dari asal. Ia terdiri dari yang asal dan dari bekas UMNO dll. Jika tiada UMNO yang meninggalkan parti, tidaklah PAS seramai yang ada. Majoritinya tidak mahu lagi kembali kepada UMNO dan antara yang memperkasakan PAS itu adalah bekas ahli-ahli UMNO.

Adalah benar TS Muhamad Mohd Taib masuk PAS sebenar dan pulang semula ke gagang. Ia adalah yang terpinggir yang tidak bertemu dan merasa manis PAS itu. Rata-rata terasa madu itu manis, tetapi takdir dia merasa madu itu pahit.

Bergantunglah bagaimana seseorang itu dapat menyelesaikan diri dan perjuangannya dengan PAS. Kita tahu Islam itu indah, rahmat bagi sekalian alam. Jauhlah sempurnanya Islam itu dari PAS. Tetapi ramai juga yang sudah Islam keluar Islam. Sebaik wafat baginda Rasul, Saidina Abu Bakr Siddiq memerangi yang murtad. Bahkan murtad semasa Nabi pun ada.

Jika Islam yang syumul ditinggalkan, tiada apa kalau PAS ditinggalkan!

Tetapi ia sekarang menunggu Hamidah. Hakikatnya jadi PAS adalah pilihan Allah. Ramai yang lulus Azhar Allah tak pilih jadi PAS. Tapi jangan salahkan takdir tak masuk PAS. – HARAKAHDAILY 18/10/2017

APA jua yang menyelubungi politik dan kesihatan DS Anwar Ibrahim, Ketua Umum Pakatan Harapan, beliau masih dikira calon Perdana Menteri atau Perdana Menteri menunggu.

Sama ada tinjauan rambang dibuat atau tidak di kalangan pengundi Melayu dan Cina, sejak lebih dua dekad lalu Anwar adalah calon Perdana Menteri. Baik dia sebagai Timbalan Perdana Menteri mahupun selepas digugurkan, dia tetap dilihat calon tetap Perdana Menteri.

Adapun yang jadi Perdana Menteri menggantikan Dr Mahathir dan selepasnya, tidak pernah dilihat sebagai calon disebabkan Anwar ada di situ.

Kedua-dua Tun Abdullah Badawi dan Najib menjadi Perdana Menteri bukan disebabkan mereka calon yang disediakan atau yang membina diri dari awal untuk jadi Perdana Menteri, tetapi semasa jawatan itu kosong, Anwar terhalang hadir di tempat penobatan PM itu.

Kira-kira Raja Muda atau Tengku Mahkota yang disediakan untuk naik takta, pada saat nobat diadakan yang lain yang dinobatkan.

Justeru, Anwar dilahirkan dengan wibawa Perdana Menteri, masa belum berpolitik lagi dia sudah dirasakan calon Perdana Menteri. Maka setiap yang menjadi Perdana Menteri, tidak rasa selesa jadi Perdana Menteri kerana calon Perdana Menteri itu berada di luar.

Dr. Mahathir yang beroleh peranan boleh menjadikannya Perdana Menteri dan boleh menghalangnya jadi Perdana Menteri telah menggunakan kuasa yang ada padanya hendak menjadikan Perdana Menteri atau tidak. Seperti Namruz, Raja Babilon zaman Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim bersabda, Tuhannya mematikan siapa yang dikehendakiNya dan menghidupkan siapa yang dikehendakiNya. Namruz pun berkata dia pun macam tuhan itu. Dibunuhnya siapa yang dikehendakinya, dan tidak dibunuhnya siapa yang dikehendakinya.

Melihat Anwar boleh menyusahkannya untuk menjadi Perdana Menteri dan bila menjadi Perdana Menteri, maka tidak dibiarkannya Anwar di luar UMNO. Dijadikannya Anwar UMNO dengan andaian akan menggantikannya. Jika Anwar ada disebelahkan boleh Anwar dihalang jadi PM.

Tapi kalau Anwar berpolitik di luar UMNO, payah menyekatnya jadi PM jika itu yang ditentukan oleh pengundi.

Dengan potensi dia dikatakan akan memimpin PAS selepas Dato Asri dan Dato Asri lebih awal melepaskan pimpinan itu, maka dia boleh jadi saingan Mahathir untuk jadi PM. Ketika itu Anwar tidak saja dipandang tinggi oleh orang Islam, tetapi dilihat tinggi juga oleh bukan Islam. Ketika PAS dikatakan tidak disokong oleh pengundi bukan Melayu, jangan pandang kecil upayanya untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu kepada PAS.

Jika dia hendak jadi PM dari PAS, dia mungkin dari Mahathir atau boleh memendekkan tempoh PM Mahathir supaya tidak sampai 22 tahun.

Mungkin dia sudah jadi PM tanpa perlu jadi TPM kepada Mahathir. Kerana dia memilih jalan lain ke Putrajaya dan tertangguh MO1 itu lebih 20 tahun.

Jika dia tidak pilih UMNO dan tidak bersekutu dengan Mahathir, sekarang kita tidak bercakap tentang Anwar calon PM, tetapi sekarang kita bercakap bila dia hendak berundur dan siapa gantinya bila dia berundur?

Sekarang dia masih calon lagi. Ada harapankah? Bergantung pada kesihatannya. Jika Harapan naik harapan ada, tetapi tunggu idah Sungai Buluh batal. Apa Mahathir fikir masa itu?

Bersangka baik pada Mahathir. Keutamaannya melepaskan Malaysia dari belenggu Najib dan UMNO. Dia mungkin tidak mengulang kesilapan lampau. Huru-hara sekarang kerana menyekat Anwar jadi PM. Mungkin Anwar tidak disekat lagi selepas 30 tahun tersekat. – HARAKAHDAILY 17/10/2017

SEKALIPUN himpunan aman Harapan di Padang Timur Petaling Jaya bukan dari kumpulan yang saya sokong tapi saya tidak pernah menentang rapat seperti itu yang tujuannya adalah untuk menyedarkan kerajaan dan pemimpinnya supaya tidak menzalimi rakyat, negara, agama dan demokrasi.
     
Sesuai dengan roh agama/Islam, perlembagaan, piagam Bangsa-Bangsa Bersatu bagi memastikan kebebasan bersuara dan menyampaikan pendapat tidak dibunuh.
      
Meskipun penganjuran itu berdepan bermacam rintangan, hingga akhir tidak mendapat izin polis, bahkan polis mengharamkannya, tetapi ia mendapat izin kerajaan tempatan. Keadaan itu menjadikan unjuk rasa pimpinan bersama Anwar-Mahathir itu separuh haram dan separuh halal. Yang haram separuh dan halal separuh menjadikan ia harus. Harus buat boleh tak buat pun boleh.
      
Polis berkeras tak membenarkannya dengan amaran boleh bertindak. Himpunan Harapan berkeras mengadakan juga apa sekalipun terjadi.
     
Ia diadakan dan polis tidak menghalangnya. Sambutan baik. Dengan segala amaran dan ugutan kehadiran ramai ada yang menyebut mencecah 20/30 ribu dari semua pelosok. Ia tidak diserta PAS. Kalau PAS sama bergandalah kejayaannya.
      
Subki 2Saya setuju dengan penganjur Mat Sabu, ia bukan bagi menyaingi Fastaqim di ulu negeri, tetapi adalah bagi menyatakan Sayang Malaysia dan benci kleptokrasi. Bukan sikit orang percaya kezaliman bermaharajalela.
      
Ia berjaya dan Harapan berhak diberi syabas.
      
Kejayaan utama bukan kerana dapat mengumpulkan ramai dalam waktu yang singkat, tetapi dapat mengharungi larangan polis dan dapat membuktikan himpunan aman boleh diadakan jika tidak provokasi dari siapa saja.
      
Teori ia mengacau lalu lintas dan ketenteraman tidak berlaku.
       
Yang mengganggu perhimpunan selama ini rupanya adalah justeru provokasi. Bukan saja polis tidak mengganggu, Datuk Si Jamal Yunos tak nampak.
       
Apa yang menyebabkan tidak menghantar pencegahan sedang sehari sebelum polis terus memberi amaran. Polis bukan main-main membuat amaran. Jika polis bermain dengan amaran, maka orang payah hendak memastikan mana amaran main dan mana amaran sungguh?
      
Saya percaya polis tidak main, tetapi mulai ramai orang tidak peduli amaran polis. Suhu di kalangan orang marah kepada kerajaan adalah tinggi.
     
Sepatutnya apabila kerajaan tempatan memberi izin, polis membantah terbuka. Kena tinjau suasana umum, betapa unjuk rasa itu ada asas atau sengaja hendak menimbulkan kekacauan?
      
Dalam suasana rakyat semua agama dan semua kaum separuh puasa setiap hari kerana kos hidup melompat tinggi dan cukai sekeliling pinggang. Tidak cukup duit untuk membeli makanan dan semua keperluan jika tidak menipu, mencuri dan menyamun.
       
Menipu, rasuah, merompak/merempit adalah berdosa, mengadakan himpunan tidak berdosa, menentang larangan polis yang belum tentu berdosa adalah harus dari melanggar hukum Allah yang berdosa.
       
Larapan polis sudah tidak dihormai. Orang tak terima arahan polis. Apa polis hendak buat sekarang? Himpunan tidak menimbul kekacauan.
     
Dugaan huru-hara tidak berlaku. Seperti yang selalu diingatkan sebelum ini, polis beri kerjasama selaraskan lalu lintas.
      
Apapun yang terkawal itu memberi kesedaran baru, janganlah sensitif sangat atas unjuk rasa aman.
      
Negara kita berjaya selama ini kerana pembangkang bertanggungjawab. Pembangunan lancar atas kerjasama pembangkang. Yang jadi masalah sekarang ialah kita ada kerajaan yang tidak bertanggungjawab.
      
Tanggungjawab semua buka sekadar hendak menggantkan kerajaan kleptokrasi, tetapi mahu menggantikannya dengan kerajaan yang mendapat keredhaan Allah. Yang tahu mencari keredhaan itu ialah yang mengutarakan budaya politik matang dan sejahtera itu Gagasan Sejahtera. - HARAKAHDAILY 16/10/2017

TAK usah berangan jika ada orang UMNO dan mungkin orang PAS inginkan kedua parti itu bergabung dalam PRU14 yang sudah dekat itu. Ia payah dan tak mungkin terjadi. 

Bagi yang bimbang baik UMNO dan PAS, baik DAP dan sekutunya Pakatan Harapan, PAS akan bersama UMNO dalam PRU nanti, tak usah bimbanglah! Ia payah terjadi dan tidak akan terjadi.

Bukan kerana PAS itu keli dan UMNO itu sembilang – serupa tapi tak sama. Bukan kerana banyak yang tidak disetujui, bukan kerana kafir mengkafir, bukan kerana perjuangan tidak sama dan sistem tak serupa.

Atas satu dua sebab saja ia tidak akan berlaku.

UMNO mungkin merasakan ia masih boleh menang lagi menghadapi ancaman Pakatan Harapan dalam persaingan tiga penjuru yang PAS satu daripadanya, tetapi menang yang berisiko; menang tipis. Tak kena gaya ia kalah tipis.

Maka bagi mengelakkan risiko itu ia suka sangat kiranya PAS boleh diajak berkawan sekali lagi seperti yang bapa Najib, Tun Razak buat tahun 1974 dulu, pertama kali bertanding atas Barisan Nasional dengan simbol Dacing menggantikan Kapal Layar.

Ramai menang tanpa bertanding pada hari penamaan calon. PAS pun ada yang menang tanpa bertanding. BN menang selesa dengan majoriti dua pertiga. Setelah dua kali hilang majoriti dua pertiga, janganlah ia berulang kali ketiga.

Jika PAS dapat diumpan mungkin kemenangan tahun 1974 itu berulang.

PAS mungkin mahu kiranya semua calonnya di Parlimen dan DUN menang dan boleh membentuk kerajaan bersama. Daripada ia tidak dapat apa-apa lagi di Selangor dan kedudukan di Kelantan pun tak tentu terjamin, keghairahan tinggi Tan Sri Annuar Musa itu adalah menarik.

Tetapi mahukah PAS? Bukan soal PAS mahu dan tidak mahu. UMNO itu sendiri mahukah?

Mahukah PAS dikongsi kuasanya di Kelantan? UMNO tentu faham masalah ini. Dan mahukah UMNO jadi penyokong kerajaan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan lain-lain termasuk di Selangor?

Soal PAS setuju atau tidak setuju jadi perkara kedua. Setujukah UMNO memberi separuh dari kerusi Parlimen kepada PAS? UMNO mahu sangat PAS bersamanya kali ini. Tetapi siapa dalam UMNO yang sedia melepaskan kawasannya kepada PAS. PAS mungkin tidak minta Pekan, tapi PAS mahu Bera. PAS tak minta Bagan Datoh, tapi ia mahu Pasir Salak.

Kerana sudah jadi adik beradik dari rumpun DNA yang sama patutlah Menteri Besar sama banyak. Setujukah Noh Omar beri PAS jadi MB Selangor? MB Kedah datang semula ke pusat kerana MB Kedah dibagi kepada PAS?

Katakanlah demi perpaduan umat yang dituntut oleh semua 98 peratus sudah UMNO dan PAS setujui, tapi yang sangkut pada UMNO ialah hendak memberi separuh kerusi ditanding PAS.

Tentu UMNO kira tak aci PAS tuntut mahu sebegitu banyak kerusi. Tak boleh kata PAS tak aci. Satu dari syarat perpaduan iu adalah bagi memperkasakan Islam. Jaminan Islam diperkasakan mesti adanya penyertaan PAS yang kuat dalam kerajaan dan menentukan transformasi perubahan sistem berjalan. Jika PAS ada dua tiga kerat saja samalah seperti PAS bersama Tun Razak dulu.

Najib pun seperti Raja Melaka meminang Puteri Gunung Ledang dulu. Semua syarat pinangan disetuju. Yang tak disetujui setitik darah putera baginda.

Jangan bimbang. UMNO tak akan serah kerusi pada PAS. – HARAKAHDAILY 15/10/2017

BILA Datuk Jamal Yunus, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar atas nama NGO yang dipimpinnya brsama sekumpulan pengikutnya mengetuk pecah dengn tukul besi beberapa kotak arak di depan bangunan SUK Shah Alam teringat saya peri sahabat-sahabat Rasulullah SAW memecah tampayan arak kepunyaan mereka di ruman masing-masing.

Sebelumnya belum turun ayat mengharamkan arak. Sekalian jahiliyah Mekah dan Assabiqun, orang-orang yang awal memeluk Islam menyimpan bertempayan-tempayan arak di rumah masing-masing. Bila mereka mengadakan pesta minum arak tidak guna botol seperti jahiliyah sekarang. Mereka bawa tempayan. Mereka cedok dengan gayung.

Bahkan kalau tiada pesta, semasa santai di rumah masing-masing mereka tonggang gayung arak itu.

Apabila Rasulullah SAW sampaikan perintah Allah, arak diharamkan, setitik pun tak boleh diminum lagi, sekalian sahabat yang mabuk dan yang tidak mabuk tergesa-gesa pulang ke rumah masing-masing, mereka ambil kapak, tukul besi dan beliung memalu tempayan masing-masing.

SubkyLatifApabila Jamal membawa berkotak-kotak botol arak ke pekarangan bangunan SUK mengetuk semua botol itu, mungkin dia hendak mengulangi tindakan sahabat-sahabat di Mekah dulu. Walaupun tindakannya itu dikira samseng, saya tidak berhajat untuk mengutuknya.

Kerana dia dengan caranya sendri hendak mencegah bahan-bahan maksiat yang menjadi ibu kepada semua maksiat. Saya sendiri tiada keupayaan dan tiada keberanian bertindak sepertinya, maka saya tak kata apa-apa orang mahu membanterasnya sedang sistem yang ada tidak cenderung untuk memerangi arak.

Jika kita ibaratkan arak itu seperti dadah. Jika kerajaan Latin Amerika teragak-agak untuk membanteras kilang dan saudagar memproses dadah, tiba-tiba Datuk Jamal Yunus tampil memecah guni-guni dadah, apakah dunia kutuk dia?

Adapun arak dan pusat-pusat judi, baik haram dan tidak berlesen adalah benda yang sistem tidak peka dan peduli sejak mula merdeka lagi. Atas apa sebab kerajaan dan jenteranya segan memeranginya. Bila sistem tidak kisah, tauke judi dan tauke arak pun mua.

Bukan sekadar di Selangor di merata-rata pusat maksiat. Sejak bila Jamal dan pengikutnya ada kesedaran untuk jadi macam Robin Hood menyerang pust-pusat maksiat itu? Adakah sejak semua tidak tahu untuk mengambil Selangor dari Azmin Ali melalui saluran perlembagaan dan politik demokrasi?

Cara untuk memberikan Selangor kepada BN semula ia menyerang pusat dan sumber kelemahan yang kerajaan Selangor tak dapat kawal semua. Seperti tidak bertegas dengan judi tak berlesesn dan tidak garang tentang pesta arak.

Di Kuiala Lumpur ini adakah sudah jadi macam Mekah bersih dari kelemahan itu? Jamal jangan pilih bergiat di Selangor dan menumpukan kepada kelemahan yang ada dalam kerajaan Azmin saja. Dia sepatutnya bersifat nasional.

Jangan sekadar tengok judi-judi tak berlesen di Sekinchan atau Kajang saja. Ibu segala judi ada di Genting Highland. Arak boleh dicedok dengan gayung. Gunakan apa jua cara yang patut perangi judi peringkat tinggi itu. Bukan judi kecil yang melibatkan orang berpendapatan kecil patut dibiarkan. Di samping memerangi judi-judi kecil itu, gempur juga judi besar yang mempengaruh negara jadi pemaju judi.

Banyak kilang arak di negara ini. Jamal patut bawa tempayan depan kilang arak, pukul tempayan di situ. Lepas itu baru pergi ke bangunan SUK.

Kalau tumpu Selangor saja, jihadnya tak menjadi. Kalau Jamal dipenjara kerana gempur kilang arak dan pusat judi besar baru berbaloi dari ditahan kerana anti Azmin. – HARAKAHDAILY 14/10/2017

PAS tidak perlu marah, bahkan wajar berterima kasih kepada Exco DAP Selangor, Datuk Teng Chang Kim yang mencabarnya jangan sibuk tentang anjuran festival arak di luar Kelantan bahkan jagalah Kelantan baik-baik.
      
Tidak perlu kata pula DAP yang ghairah meluluskan permit Makanan Jerman yang tidak mengecuali arak di Kelang dengan mengatanya begitu dan begini.
      
PAS boleh memberi ucapan terima kasih setingginya pada DAP kerana cabaran Chang Kim mengiktiraf PAS saja parti politik yang lantang di negara ini membantah pesta minuman setan itu. Parti lain yang dipimpin oleh orang Islam dan penuh dengan anggota Islam tiada dasar jelas tentang arak termasuklah pestanya yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tolak permohonan permitnya.
     
Sekalipun Exco DAP itu akur dengan pandangan polis festival itu ditangguhkan, bukan atas kerelaan partinya, tetapi telah tercatit bahawa ia adalah pro dan penyokong kuat penganjuran maksiat itu. Jika ada orang Islam mengundinya apa lagi menjadi calonnya selepas ini maka mereka telah berkongsi dosa atas dasar pro araknya.
     
Dosa arak adalah besar, tidak padan dengan pahala menetang rasuah dan anti penyelewengan yang diperjuangkannya. Menentang rasuah dan semua anti politik mungkar adalah mulia, tetapi dosa maksiat arak memadamkan pahala yang lain. Maka dengan dasar liberal araknya menjauhkan lagi umat Islam daripada menyokongnya.
     
Apapun niat menganjur makanan Jerman yang mempromosikan arak itu belum berdosa. Dosa dikira apabila maksiat itu dilaksanakan. Apabila ia ditangguhkan, dosa tadi tertangguh sama. Dosa yang ada ialah dosa dasar tentang arak.
      
Berbeza dengan PAS. Menentang festival itu satu ciri jihad. Sekadar niat saja sudah dikira pahala. Apabila ia bangun menentang dapat pahala penuh. Apabila ia tidak dapat diadakan di Kuala Lumpur dan ditangguhkan pula di Kelang, bertambah lagi pahalanya.
      
Dan penolakan permit di Kuala Lumpur itupun bukanlah ia dasarnya yang jelas, tetapi menjelang PRU 14 ini akan ada yang tidak mengundinya. Kemungkinan mereka mengundi PAS. Takut undi direbut PAS ditolak permit.
      
Jika selepas PRU nanti PAS dapat menentukan pembentukan kerajaan nescaya bertempiklah syaitan, tidak akan ada pesta arak di mana-mana.
     
Tempelak Chang Kim atas PAS adalah mengiktiraf, PAS saja yang ada dasar menentang arak kerana Allah.
     
Dasar PAS tidak sekadar beribadat demi menyelamatkan umat Islam daripada bencana arak, tetapi adalah juga untuk menyelamatkan seluruh rakyat termasuk penyokong DAP supaya bebas daripada keburukan arak, sama seperti bebasnya semua daripada petaka  dadah dan rasuah.
     
Maka Chang Kim/DAP marah atas takwil PAS, tapi marahnya itu menguntungkan PAS betapa ia ke depan daripada lain-lain pertubuhan menentang ibu segala maksiat.
     
Chang Kim telah tolong mempromosikan PAS. PAS boleh marah DAP atas lain-lain politiknya, tetapi dalam isu arak DAP telah mengikitraf peranan PAS. Maka PAS jangan takut kepada celaan orang-orang yang mencela.
      
Mungkin Chang Kim hendak menghalang penyokong DAP daripada memberi undi kepada PAS, tetapi undi itu di tangan Allah. Selagi orang PAS mempunyai hubungan yang terus dengan Allah, tahulah Allah bagaimana hendak menolong PAS.
      
Tidak bolehkah kita berterima kasih pada Chang Kim atas pengiktirafannya? Dan dia pula selepas mencabar PAS itu tidak dapat meneruskan festival yang sudah diberi permit. Tidakkah ia gara-gara kesan ghaib daripada bantahannya kerana Allah.
     
Syabas Chang Kim. Ada jasamu pada PAS! – HARAKAHDAILY 6/10/2017