PENDIDIKAN merupakan nadi kebangkitan ummah dan ia mendapat perhatian besar para ulama sejak zaman-berzaman dalam membangunkan tamadun manusia. Dalam konteks Melayu sebagai bangsa yang dijajah pada abad ke-20, terutama selepas jatuhnya Khilafah Othmaniyah, maka institusi pendidikan Islamlah yang dijadikan benteng untuk membina semula kekuatan. Melanjutkan peranan institusi pendidikan pondok yang muncul semenjak abad ke-17 di Tanah Melayu, sistem pendidikan pondok mula mendapat tempat pada abad ke-20. Bermula dengan penubuhan Madrasah al-Masriyah di Bukit Mertajam pada 1906 dan Madrasah al-Iqbal di Singapura pada 1908, sistem pendidikan madrasah mula menjadi dominan selepas Perang Dunia Kedua.
 
Persoalan berkait dengan pembangunan dan masa depan sekolah-sekolah agama rakyat atau madrasah menjadi topik penting dalam perjuangan para ulama, terutama untuk menyediakan pendidikan agama yang berkesan dan berkualiti kepada generasi baru umat Islam. Selepas Perang Dunia Kedua, tidak ada sebarang organisasi khusus yang memperjuangkan nasib pendidikan Islam, walaupun telah wujud beberapa organisasi seperti Jabhah ad-Diiniyah al-Islamiyah Kelantan, Jam’iyatul Dakwah al-Islamiyah Singapura dan Persatuan Ulamak Kedah. Isu pendidikan Islam ini hanya mula diperkatakan apabila para ulama menubuhkan Majlis Tertinggi Agama Malaya (MATA) di Gunung Semanggol pada 24 Mac 1947 dengan diketuai oleh Sheikh Hussein ar-Rafik, guru Madrasah al-Mashoor.
 
Dalam persidangan MATA yang kedua di Madrasah al-Akhlak as-Salam, Guar Chempedak pada 12-13 Julai 1947, telah ditubuhkan 14 buah jabatan di bawah MATA, termasuk Jabatan Pelajaran, selain turut membincangan rancangan menubuhkan sekolah tinggi (universiti) Islam di Tanah Melayu dan mewujudkan derma pelajaran (biasiswa). MATA juga turut menekanan kepentingan membangunkan sekolah-sekolah agama “demi perlunya pendidikan untuk perjuangan.” Dalam bulan Ogos 1947, sebuah badan yang dinamakan Badan Kebajikan dan Pelajaran telah ditubuhkan oleh MATA dengan diketuai oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir dan dibantu oleh Ustaz Abdul Rab at-Tamimi. Badan ini bertujuan untuk menganjurkan satu kongres pendidikan di Maktab Mahmud, Alor Setar pada 1-2 September 1947 “untuk memajukan bangsa melalui pembinaan sekolah tinggi…”
 
Dalam kongres ini yang dihadiri oleh 300 orang ulama dan tokoh pendidikan ini, sembilan resolusi telah diluluskan termasuk menubuhkan Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR), menerbitkan buku-buku pelajaran, memperbanyakkan sekolah agama rakyat, mewujudkan derma pelajaran, menyamatarafkan silibus pendidikan, menghidupkan semula sekolah agama yang ditutup, membantahkan sekatan politik di sekolah, membantah kewujudan tauliah untuk menyekat gerakan dakwah dan menerbitkan akhbar-akhbar. LEPIR sendiri mewujudkan beberapa biro iaitu Badan Pentadbiran Pelajaran dan Pendidikan, Badan Propaganda, Badan Peperiksaan, Badan Kewangan dan Badan Hal Ehwal Am untuk menjalankan aktivitinya. Pada 15 November 1947, satu persidangan untuk menubuhkan LEPIR secara rasmi diadakan di Maahad Il Ihya as-Syariff, Gunung Semanggol dengan Ustaz Abdul Rab at-Tamimi sebagai pengerusinya dan Ustaz Harun Fahmi sebagai setiausaha.
 
LEPIR kemudiannya berjaya menubuhkan Pusat Pentadbiran Sekolah-sekolah Rakyat yang bertujuan menjadi payung kepada semua sekolah agama rakyat bagi mewujudkan keselarasan organisasi, pendidikan dan kurikulum. Bekas Mudir Madrasah Darul Ulum, Makkah, Sheikh Zubir Ahmad al-Filfulani dilantik sebagai pengelola pusat ini, manakala Pengerusi LEPIR, Ustaz Abdul Rab at-Tamimi menjadi nazirnya. Pergerakan aktif LEPIR yang menyatukan sekolah-sekolah agama rakyat ini bukan sahaja mendapat sokongan padu para ulama dan institusi pendidikan Islam, tetapi turut menggugat kedudukan Umno sehingga memaksa mereka menubuhkan Derma Pelajaran Umno dan mencadangkan penubuhan Universiti Malaya di Kuala Lumpur.
 
Dalam persidangan besar yang diadakan di Gunung Semanggol pada 13-16 Mac 1948, para ulama telah memberikan fokus kepada tiga isu utama iaitu penubuhan universiti Islam, penubuhan parti Islam dan pengendalian syarikat-syarikat perniagaan Melayu. Pada 14 Mac 1948, Persidangan MATA telah berjaya menubuhkan Hizbul Muslimin sebagai parti Islam yang pertama, sedangkan Persidangan PEPERMAS pada 15 Mac 1948, telah diputuskan penubuhan Bank Kebangsaan Melayu dan Hari Menguntum, makala Persidangan LEPIR pada 16 Mac 1948 pula bersetuju menubuhkan sebuah universiti rakyat yang dikenali sebagai Universiti Hang Tuah yang dipengerusikan oleh Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Abdul Rab at-Tamimi sebagai setiausahanya. LEPIR kemudiannya berjaya menggabungkan 70 buah Sekolah Agama Rakyat di bawahnya. 
 
Selepas Persidangan LEPIR ini, badan pendidikan rakyat yang dipimpin oleh Ustaz Abdul Rab at-Tamimi telah mengatur pertemuan dengan Persatuan Il Ihya Assyariff untuk menyusun perkara derma pelajaran dan kekurangan guru, sebelum mereka menyusun penubuhan Kuliah al-Muallimin untuk melatih guru-guru yang dirancang untuk dimulakan pada Ogos 1948. LEPIR juga memperkenalkan mata-mata pelajaran baru dalam bidang kejiwaan (psikologi), pentadbiran, bahasa asing, matematik dan lain-lain. Namun begitu, penggubalan Ordinan Darurat 1948 telah melumpuhkan pergerakan LEPIR apabila pemimpin utama mereka, Ustaz Abdul Rab at-Tamimi dan Ustaz Abu Bakar al-Baqir ditahan di bawah ordinan ini pada Ogos 1948.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
11 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 20/1/2018

PERGERAKAN politik Islam di Sarawak agak ketinggalan berbanding dengan negeri lain kerana demografinya yang agak berbeza, terutama setelah diperintah oleh Raja Brooke selama 105 tahun (1841-1946), walaupun sebelumnya Sarawak adalah merupakan wilayah Kesultanan Brunei. Dengan populasi umat Islam sekitar 30 peratus ketika Sarawak mencapai kemerdekaan pada 1963, kemunculan tokoh ulama besar seperti Sheikh Othman Abdul Wahab Sarawak (m. 1921) atau tokoh pejuang seperti Datu Patinggi Abang Ali Abang Amir (m. 1844) dan Rosli Dhobi (m. 1950), ia tidak mampu memberikan dampak terhadap pergerakan Islam di wilayah Borneo itu.
 
Pada era 1940-an, telah muncul pergerakan politik Melayu di Sarawak dengan penubuhan Pergerakan Pemuda Melayu (PPM) dan Barisan Pemuda Sarawak (Barip Sarawak), sebelum mereka menubuhkan Parti Negara Sarawak (Panas) pada 1960 dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) pada 1961. Panas yang ditubuhkan oleh Datuk Bandar Abang Mustapha adalah bertujuan untuk membela kaum Bumiputera Sarawak, khususnya orang Melayu, manakala Barjasa pula tertubuh kerana ketidakpuasan hati orang Melayu dan Melanau terhadap Panas dengan dipimpin oleh Tuanku Bujang Tuanku Osman. 
 
Kebanyakkan tokoh agama di Sarawak pada dekad 1960-an seperti Haji Suut Tahir, Ustaz Mohamad Mortadza Haji Daud, Ustaz Abdul Kadir Hassan dan Haji Busrah yang berpengaruh di kalangan umat Islam menganggotai Barjasa. Tokoh intelektual Islam seperti Haji Abdul Rahman bersama anak saudaranya, Abdul Mahmud juga turut mendukung perjuangan Barjasa. Dalam bulan Oktober 1962, untuk menyatukan semua parti politik di Sarawak dalam menghadapi rancangan penubuhan Malayasia, sebuah badan politik, Barisan Bersatu Sarawak (Perikatan) telah ditubuhkan dengan dianggotai oleh lima parti termasuk Panas dan Barjasa, selain Parti Persaka Anak Sarawak (Pesaka), Sarawak National Party (SNAP) dan Persatuan Cina Sarawak (SAC). Mereka kemudiannya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Sarawak 1963.
 
Krisis politik Sarawak yang tercetus akibat isu Ketua Menteri, Stephen Kalong Ningkan pada 1965-1966, parti-parti Barjasa, Panas dan Pesaka telah bergabung membentuk Perikatan Peribumi pada hujung tahun 1966. Ketika Abdul Rahman Yaakub mengetuai Jawatankuasa Tindakan Negeri Sarawak akibat darurat 13 Mei 1969, dan kaum Bumiputera Islam dalam Panas dan Barjasa berhasil disatukan di bawah parti Bumiputera dan memulakan pengaruh politik Islam ke atas Sarawak dengan Abdul Rahman Yaakub menjadi Ketua Menteri mulai 1970, setelah menjadi Menteri Persekutuan mulai 1963 dan bertanggungjawab terhadap penyatuan politik Bumiputera Islam. Pada 1974, Bumiputera telah bergabung dengan Pesaka membentuk Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sebelum muncul serpihan parti Melayu, Parti Rakyat Jati Sarawak (Pajar) pada 1978.
 
Salah satu kesan terbesar akibat penyatuan politik Islam di Sarawak ini ialah penubuhan Angkatan Nahdatul Islam Bersatu (BINA) yang ditubuhkan pada 19 Mei 1968. Abdul Rahman Yaakub dilantik sebagai Presiden, Ustaz Anis Abot sebagai Setiausaha dan Abdul Taib Mahmud sebagai Bendahari. Sebagai sebuah organisasi agama, BINA telah menganjurkan program-program dakwah, aktiviti keagamaan dan mengajak kepada penyatuan politik umat Islam. Penubuhan BINA ini dikatakan salah satu program persiapan pimpinan Bumiputera Islam dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Sarawak 1970. Dalam pilihan raya tersebut, Bumiputera telah berjaya memenangi 12 daripada 48 kerusi DUN dan dapat membentuk kerajaan campuran di negeri tersebut.    
 
Peranan yang dimainkan oleh BINA, khususnya terhadap perkembangan dakwah Islam di Sarawak adalah seperti peranan USIA di Sabah pada zaman Tun Datu Mustapha Datu Harun. BINA yang kemudiannya dikenali sebagai Harakah Islamiyah (HIKMAH) mulai 1994 telah berjaya meng-Islamkan seramai 2,236 orang antara 1973 hingga 1980, selain membantu Ketua Menteri, Datuk Abdul Rahman Yaakub mengukuhkan kedudukan Islam di Sarawak termasuk penamaan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam dan pembentukan Mahkamah Syariah di Sarawak dalam tahun 1970-an. Perkembangan ini telah membantu peningkatan kesedaran Islam di Sarawak sehingga akhirnya PAS dapat mengembangkan sayapnya dengan menubuhkan PAS Kawasan Bintulu pada 1985 dan PAS Sarawak pada 1996.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
10 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 19/1/2018

ADAKAH anda jasawan PAS yang sudah berusia 60 tahun ke atas? Sebagai ahli PAS yang tentunya banyak menabur jasa, maka anda layak menjadi anggota Sidang Assabiqun, wadah bongsu yang PAS tubuhkan bagi menjaga kepentingan warga emasnya pernah berjasa itu.

Warga kanan PAS berjasa ini Assabiqun nobatkan mereka sebagai jasawan PAS dan layak menjadi kerabat Sidang Assabiqun. Jasawan yang berusia 60 tahun ke atas dalam senarai daftar keahlian PAS yang sejuta orang yang tidak diketahui lari dari parti adalah seramai 384,459 orang.

Di Kedah sahaja terdapat seramai 93,297, Kelantan seramai 66,162 diikuti Perak 50,784 orang. Jasawan ini meliputi hampir 40 peratus ahli parti. Umumnya yang dibangsakan sebagai Assabiqun ini ialah yang tidak lagi memegang jawatan dan tidak terdaya menjadi aktivis yang aktif disebabkan oleh faktor usia dan kesihatan.

Yang tidak cergas ini ada juga yang lebih muda. Yang terusia 55 tahun ke atas. Mereka mencintai PAS dan PAS mencintai mereka tetapi tidak lagi memegang jawatan. Maka layaklah dikategorikan sebagai Assabiqun. Bahkan yang lebih muda yang berusia pertengahan disebabkan diserang penyakit, atau eksiden terpaksa dijaga isteri, maka mereka tidak dapat bergerak lagi, layak mendapat manfaat dari penubuhan Assabiqun itu.

Jika mereka menganggotai Assaiqun, maka sekaliannya mencecah 50 peratus dari keahlian PAS. Paling istimewa dari jasawan itu mereka telah lama menjadi ahli – dari muda dengan berbagai aktiviti. Yang kedua baru menyertai PAS selepas bersara dari khidmat kerajaan tetapi usianya dalam lingkungan usia Assabiqun. Mereka mahu berjasa kepada PAS, sekalipun tempoh bergiatnya singkat, maka mereka juga jasawan seperi Mufti (Bersara) Kedah yang baru mengisyiharkan menyertai PAS. Yang ketika ialah warga muda yang uzur tadi.

Sesudah tidak lagi dalam arus aktif, antaranya tertinggal dalam arus perdana. Ia boleh menjauhkan meraka dari PAS. Ada yang terbiar, ada yang rasa mereka dilupa dan tidak diperlukan lagi, dan ada pula yang membawa diri dan tidak melihat PAS positif lagi. Bila dalam yang lara ini, mereka boleh putus dari jamaah. Keadaan demikian mereka mudah disambar lang buana.

Mereka adalah jasawan yang perlu diberi perhatian dan dihargai. Pihak yang tahu dan mahu mengenang jasa dan memuliakan orang lama adalah golongan orang mulia dan mereka dekat di sisi Allah.

Jasawan ini mesti didekati dari semasa ke semasa supaya mereka merasa mereka disayangi dan dihargi. Bila tiada banyak kerja dalam parti kunjungi mereka. PAS adalah orang banyak kerja, cari kelapangan di tengah kerja itu menziarahi dan mendapatkan pandangan mereka tentang sumbangan PAS dalam politik sekarang.

Mereka kaya pengalaman, mereka mengongsi pengalaman mereka.

Mungkin PAS terlepas pandang akan keberadaan mereka, lalu membiarkan mereka dengan keadaan mereka saja.

Maka PAS menyedari akan tanggungjawab terhadap pejuang-pejuang awal lagi jasawan itu, maka diwujudkan wadah bongsu Assabaqun bagi merai dan mempedulikan mereka.

Menjelang pilihan raya yang di ambang ini adakah semuanya menjadi pengundi. Assabiqun perlu mengambil tahu, tetapi Assabiqun yang baru beberapa pun adalah rata-rata bertongkat. Maka semua unit dalam PAS mesti membantu Assabiqun mengesan orang yang 300,000 itu.

Jika tidak semua jadi pengundi, jangan semua tidak mendaftar jadi pengundi. Buatlah apa yang terdaya dalam waktu yang singkat, tetapi mereka mengisi borang keanggotaan Assabiqun secara percuma supaya mereka bermanfaat kepada Assabiqun dan Assabiqun bermanfaat kepada mereka. – HARAKAHDAILY 18/1/2018

SYABAS buat Tan Sri Shahrir Samad dan tahniah buat Felda kerana dapat balik tanah di Jalan Semarak tanpa membayar sesen tebus milik.

Syarikat yang beroleh milik secara tersembunyi itu memulangkan balik tanah itu bunyi tanpa mengambil apa-apa bayaran dari Felda.

Cara mana syarikat itu mendapatkan hak milik belum didedahkan kepada umum.

Apakah ia menggunakan kepintarannya mendapatkan hak milik dari pihak yang berkuasa atas Felda atau ia disuruh beli oleh Felda belum terbongkar. Dan lambat laun ia akan dibongkar jua kelak.

Bukanlah mudah tuan punya tanah untuk mendapatkan semula hak milik yang sudah terlepas baik pindah milik itu dulu dilakukan secara halal atau tidak.

Tuan tanah terpaksa menggunakan proses undang-undang. Kena buktikan dulu ia dibuat secara tidak sah. Pembeli pula mesti membuktikan ia diperolehnya secara sah. Kes sebesar itu sekalipun akhir akan dipulangkan kepada tuan asal, akan mengambil masa yang lama dan Felda mungkin terpaksa menggunakan perbelanjaan yang banyak.

Syarikat terlibat tentunya tidak dapat hak milik itu sescara percuma. Tentulah berbayar sama ada membelinya secara sah atau tidak. Dan Felda dikatakan tidak dapat sesen pun atas tanah yang orang lain jual itu.

Alaska asalnya wilayah dalam kedaulatan Rusia. Ia telah dijual kepada Amerika dan kini berada dalam kedaulatan Amerika. Wilayah itu adalah kepunyaan rakyat Rusia. Bangsawannya telah menjualnya kepada negara asing tentunya tidak diredha oleh rakyatnya.

Sekalipun rakyat sebagai tuan punya wilayah tidak setuju, Tzar yang yang dipinjamkan kuasa oleh rakyat tidak dapat berbuat apa untuk mendapatkan balik wilayah itu. Rakyat bagi kuasa untuk mentadbir dan menjaga kedaulatannya, bukan memberi kuasa untuk menjualnya. Kerana penjualan iu sah, bangsa Rusia tidak dapat balik wilayah itu.

Akan tetapi Felda dengan mudah dapat balik tanahnya dipercayai bukan pemidahan milik sah atau tidak sah, rakyat bangun serentak menuntut balik tanahnya.

Raja Felda, Sang Najib boleh payah jika hak milik Felda iu tidak dipulangkan. Kuasa politiklah yang memungkin tanah Felda itu dapat balik secara percuma.

Seperti King’s House, kediaman rasmi Pesuruhjaya British di Kuala Lumpur. Ia dikenali sebagai Carkausa adalah hadiah Tunku Abdul Rahman Putra kepada British atas jasanya memberi kemerdekaan begitu mudah kepada Tanah Melayu. Secara tekniknya hadiah itu sah, Anwar Ibrahim yang baru jadi Ketua Pemuda UMNO tidak setuju harta rakyat disedekah kepada penjajah British.

Pemuda UMNO menuntut kedaulatan atas bangun dan hartanah bangsa. Dari segi undang-undang hadiah itu sah tetapi British tidak mahu hubungan diplomasi terjejas, Ia menyerahkan balik hartanah itu.

Shahrir yang diberi kuasa untuk membersihkan segala kekusutan dalam Felda, terserempak dengan kejadian tanah Felda di Jalan Semarak sudah lebuh, hak milik sudah diambil oleh orang lain.

Semua terkejut atas kecurian hak milik itu. Didedahkannya kepada media, ia hendak balik tanah. Dia tidak sebut akan tindakan yang hendak diambil kecuali berfakta, Felda hendak balik hah miliknya tanpa sebarang bayaran.

Segeralah tuntutan Shahrir itu tular.

Ia dipercayai menusuk kalbu syarikat yang mengambil milik Felda itu. Ia pun susah menghadapi asap marah orang ramai ataas kejadian itu. Maka dipulangnya tanah sekalipun ia terelepas peluang memiliki harta bernilai 270 juta.

Bila tanah dipulangkan, tuan kompeni itu tentu tidak ditanya lagi di kubur bila dia mati kelak. – HARAKAHDAILY 17/1/2018

PELAKSANAAN undang-undang syariat merupakan salah satu ciri penting negara Islam, termasuk kerajaan-kerajaan Islam yang wujud di Alam Melayu. Semenjak berdirinya Kerajaan Islam Perlak pada tahun 840 Masehi sehingga lawatan Marco Polo di Samudera Pasai pada 1292, telah dicatatkan bahawa undang-undang syariat telah dikuatkuasakan di negeri-negeri tersebut. Sedangkan di Tanah Melayu, Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 adalah bukti artifak mengenai pelaksanaan syariat. Di Kelantan dan Kedah, kerajaan Islam dikatakan wujud seawal abad ke-12, manakala Hukum Kanun Melaka menjadi antara undang-undang Islam terlengkap yang pernah dilaksanakan di Tanah Melayu.
 
Hukum Kanun Melaka dikatakan memberi pengaruh yang besar terhadap Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Pahang dan juga Undang-undang Kedah. Undang-undang Kedah yang bertarikh 1650 mempunyai beberapa teks undang-undang meliputi Undang-undang Pelabuhan, Undang-undang Seri Paduka Tuan, Hukum Kanun Datuk Kota Setar, Cara Membuat Bunga Emas dan Undang-undang Hijrah Seribu Seratus Sembilan Puluh Sembilan. Undang-undang Kedah dikatakan ditulis dengan bersumberkan Undang-undang Melaka, tetapi ia lebih teratur. R.O Winsted yang menterjemahkan undang-undang ini ke bahasa Inggeris dalam JMBRAS VI: 1928 mencatatkannya sebagai “The Kedah Laws.”
 
Berbanding dengan Undang-undang Pelabuhan yang membicarakan tentang peraturan pelabuhan dan perdagangan termasuk soal cukai kepala pendatang asing, cukai pelabuhan, cukai timah, cukai hamba, piawaian sukat timbang, keamanan pelabuhan serta misi dan duta asing yang termasuk dalam undang-undang sivil Islam; Undang-undang Seri Paduka Tuan pula membicarakan keberlakuan undang-undang jenayah syariat di negeri Kedah. Manakala Hukum Kanun Datuk Kota Setar memperkatakan tentang perilaku raja-raja dan larangan menderhaka, dan Cara-cara Membuat Bunga Emas menghuraikan tentang pembuatan bunga emas dan bunga perak untuk dihantar ke Siam sebagai ufti. Undang-undang Hijrah Seribu Seratus Sembilan Puluh Sembilan yang menyerupai Hukum Kanun Melaka dan Undang-undang Laut Melaka melibatkan peraturan adat istiadat, hukum jenayah, hukum keluarga, hukum sukat timbang dan hukum berwakil. 
 
Undang-undang Seri Paduka Tuan yang mengandungi 16 fasal memperkatakan hukum orang mencuri, menyamun, menyabung, makan madat, berjudi, menyembah berhala, minum arak dan tuak serta perbuatan haram di sisi Islam; tanggungjawab ketua kampung untuk mengawasi orang tidak berpuasa dan tidak solat Jumaat yang boleh dikenakan takzir; pembazaran zakat pertanian; jual beli dan penjagaan haiwan ternakan; dan juga masalah tanah (ihya ul-mawat). Adapun sebahagian undang-undang jenayah dan sivil Islam terdapat juga di dalam Undang-undang Hijrah Seribu Seratus Sembilan Puluh Sembilan iaitu hukum jenayah terhadap perbuatan mencuri, merompak, membunuh, mengamuk, mengganggu isteri dan tunang orang, berhutang, memfitnah dan menuduh orang. Undang-undang ini turut mempunyai undang-undang keterangan mengikut hukum Islam.
 
Pelaksanaan Undang-undang Kedah semenjak tahun 1650 ini membuktikan undang-undang syariat telah berkuat kuasa dalam semua aspek kehidupan umat Islam di negara ini, termasuk undang-undang jenayah syariat. Kesalahan-kesalahan jenayah hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), meminum minuman keras (syarab), mengamuk (bughah), bersekedudukan (zina) dan menuduh orang berzina (qazaf), termasuk kesalahan membunuh (qisas) adalah merupakan undang-undang yang telah terpakai sejak sekian lama di Tanah Melayu. Misalnya, dalam Undang-undang Kedah dicatatkan, “Adapun hukum orang yang mencuri titah itu dibunuh atau dibelah lidahnya atau dikupas kulit kepalanya dan suatu hukum dipotong tangannya.”
 
Lebih menarik lagi, Undang-undang Kedah dalam mencatatkan peraturan-peraturan yang berkait dengan kesalahan jenayah, qisas dan takzir, dinyatakan pandangan al-Quran atau hukum Allah tentang hukum yang berkaitan tersebut. Dalam bab zina misalnya, ia mencatatkan, “Adapun hukum Allah Taala, jika ia muhsan itu direjam.” Kewujudan Undang-undang Kedah sejak abad ke-17 ini menunjukkan bahawa perjuangan PAS untuk menegakkan undang-undang syariat melalui pindaan Akta 355 dan juga Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 2015 adalah bukan perkara baru, tetapi mengembalikan semula undang-undang yang telah dicabul oleh penjajah setelah negara ini jatuh ke tangan mereka secara berperingkat semenjak jatuhnya Melaka pada 1511.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
9 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 16/1/2018
 

PELAKSANAAN Sukatan Tarbiyah PAS 1982 sebagai aplikasi kepada program tarbiyah haraki oleh Lajnah Tarbiyah PAS Pusat telah mengenal pasti teks-teks rujukan untuk digunakan dalam program-program tarbiyah PAS. Tujuan utama penggunaan teks rujukan ini adalah untuk menyelaraskan pemikiran dan tindakan ahli-ahli PAS dalam menggerakkan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Salah seorang tokoh murabbi gerakan Islam antarabangsa yang menjadi rujukan ialah Sheikh Dr Fathi Yakan iaitu pemimpin Ikhwanul Muslimin Lubnan. Antara karya beliau yang terkenal ialah Qawarib an-Najah fi Hayah ad-Du’ah atau Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah.
 
PAS telah memilih untuk menjadikan karya terkenal Dr Fathi Yakan ini sebagai teks tarbiyahnya, khusus untuk tujuan pembinaan syakhsiah ahli-ahli sebagai pendakwah. Sebagai pendakwah, ahli-ahli dan pemimpin PAS perlu mempunyai kekuatan dalaman melalui pengukuhan iman kepada Allah dan mengenali musuh-musuhnya dari kalangan orang-orang kafir dan munafik, sedangkan iman itu mempunyai ciri-cirinya yang disebutkan oleh al-Quran, sekali gus menghendakkan setiap pendakwah mempunyai amalan-amalan yang melibatkan hubungan dengan Allah dan juga manusia. Pemilihan buku ini sebagai teks tarbiyah dapat menjawab persoalan-persoalan yang berlegar di sekitar pendakwah.
 
Buku Bahtera Penyelamat yang diterbitkan pertama kali di Malaysia oleh Dewan Pustaka Fajar, Shah Alam pada 1985 telah diterjemahkan oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Dr Zawawi Ali, di mana ia mengandungi empat bahagian utama. Bahagian pertama membahaskan tentang rintangan yang dihadapi dalam kehidupan pendakwah, manakala bahagian kedua membahaskan tujuh ciri keimanan yang mesti dimiliki oleh pendakwah. Dalam menghadapi cabaran dakwah, bahagian ketiga menjelaskan bekalan-bekalan yang mesti disediakan oleh pendakwah, sedangkan pada bahagian kelima di jelaskan dayung yang menjadi penyelamat dalam perjuangan seseorang pendakwah. 
 
“Keistimewaan golongan ini (pendakwah) tentunya kerana ketinggian dan keikhlasan amal-amal kerohanian yang membasahi kehidupan angkatan muharrik Islam yang seluruh keupayaannya dan jiwa raga mereka dinafkahkan ke jalan Allah,” demikian ulasan Ustaz Ya’qub Muhammad Hussin, pemilik Dewan Pustaka Fajar ketika mengulas yang hasil yang hendak dibina terhadap golongan pendakwah melalui buku ini. Dengan harapan dan sasaran yang begitu tinggi inilah, PAS telah menjadikan buku Bahtera Penyelamat ini sebagai salah satu sumber rujukan tarbiyah dalam pembentukan ahli-ahlinya, dan ia telah digunakan oleh PAS dalam program tarbiyahnya semenjak pertengahan 1980-an.
 
Sheikh Dr Fathi Yakan, penulis buku ini merupakan seorang pemimpin Ikhwanul Muslimin Lubnan yang dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Utara Lubnan dan meninggal dunia pada 13 Jun 2009. Beliau yang berkelulusan kedoktoran falsafah dalam bidang pengajian Islam telah memimpin Front Amal Islam, iaitu sebuah cabang Ikhwanul Muslimin dan menghasil lebih 35 buah karya berkait pembentukan gerakan Islam, selain menubuhkan sebuah universiti, Jami’ah al-Jinan bersama isterinya, Dr Muna Haddad. Pada 1992, beliau menduduki kerusi Parlimen Jordan sebagai strategi dakwah silmiyah. Dalam sejarah gerakan Islam, pada 1964, Dr Fathi Yakan bersama Dr Faisal Maulawi telah menubuhkan al-Jamah al-Islamiyah, sebelum menubuhkan Jabhat al-Amal al-Isalami (Front Amal Islam) pada 2006.
 
Ulasan dan huraian Dr Fathi Yakan terhadap kehidupan pendakwah dalam buku ini menjadi begitu berkesan kerana ia bukan semata-mata bertolak dari keilmuan yang dimiliki oleh beliau yang begitu mendalam, tetapi juga oleh pengalaman dan penglibatan beliau dalam amal Islami sehingga beliau sangat dihormati sebagai tokoh gerakan Islam yang berwibawa pada abad ke-20. PAS sendiri, selain buku Bahtera Penyelamat, turut menjadikan beberapa karya beliau yang lain seperti Maza Yakni Intima’i lil Islam, Mutasaqitun Ala Tariq ad-Dakwah, Abjadiyat at-Tasawur al-Haraki lil Amal Islam, Kaifa Nad’u ila al-Islam dan lain-lain.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
8 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 15/1/2018

SEMENJAK berlakunya perubahan politik selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, negeri-negeri Melayu mula mengadakan Pilihan Raya Umum peringkat negeri secara berasingan bermula di Perlis dan Kedah pada 20 Mei 1959, dan berakhir di negeri Pahang pada 27 Jun 1959. Negeri Terengganu adalah negeri yang pertama di Pantai Timur mengadakan Pilihan Raya Umum Negeri iaitu pada 20 Jun 1959, sebelum Pilihan Raya Umum Persekutuan diadakan pada 19 Ogos 1959. Kemenangan ini juga menjadi sejarah kerana inilah kemenangan pertama gerakan Islam di seluruh dunia dalam sistem demokrasi sejak kejatuhan Khilafah Othmaniyah pada 1924.
 
PAS yang pertama kali menyertai Pilihan Raya Umum di Terengganu telah melakukan kejutan apabila berjaya menewaskan Perikatan dan Parti Negara dengan memperolehi 13 daripada 24 kerusi DUN yang dipertandingkan. PAS tidak menyertai Pilihan Raya Negeri Terengganu pada 29 Oktober 1954, kerana PAS Terengganu hanya ditubuhkan pada 6 Julai 1956. Ketika menyertai Pilihan Raya Umum ini, usia PAS Terengganu baru mencecah tiga tahun.
 
Hari penamaan calon diadakan pada 16 Mei 1959, di mana PAS Terengganu telah berjaya menghantar calon untuk bertanding di kesemua 24 kerusi DUN yang dipertandingkan. Berikut adalah kerusi-kerusi DUN yang disertai oleh PAS iaitu Kuala Besut, Kg Raja, Ulu Besut, Besut Tengah, Setiu, Jeram, Langkap, Kuala Nerus, Batu Rakit, Kuala Terengganu Tengah, Batu Buruk, Bandar, Ladang, Bukit Besar, Binjai, Ulu Terengganu Timur, Ulu Terengganu Barat, Marang, Sura, Ulu Dungun, Paka Kerteh, Kemaman Utara, Chukai dan Kemaman Selatan.
 
Sebelum pilihan raya ini berlangsung, PAS telah mempunyai seorang wakil di Majlis Undangan Negeri Terengganu apabila Ahli Majlis Undangan Negeri Terengganu Kawasan Marang, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar menyertai PAS dari Perikatan selepas tidak berpuas hati dengan Umno dalam rundingan kemerdekaan pada 1957. Dalam Pilihan Raya Umum Negeri Terengganu 1959 ini, Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar sekali lagi bertanding dengan mewakili PAS dan dapat mempertahankan kerusi tersebut. Calon-calon PAS yang berjaya dalam pilihan raya ini ialah Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut), Mohd Sanari Yunus (Kg Raja), Ustaz Hussin Jusoh (Ulu Besut), Mohamad Ismail (Besut Tengah), Mohd Daud Abdul Samad (Setiu), Ustaz Ahmad Azzam Mohd Hanafiah (Jeram), Tuan Guru Haji Abdul Kadir Muhammad (Kuala Terengganu Tengah), Tuan Guru Haji Syafie Long (Binjai), Ismail Yusof (Ulu Terengganu Timur), Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat), Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang), Abu Bakar Mohd Salleh (Sura) dan Ustaz Omar Shukri Embong (Ulu Dungun).
 
Sedangkan calon-calon PAS yang tewas pula ialah Mohd Rashid Su (Batu Rakit), Tuan Guru Haji Abbas Mohamad (Kuala Nerus), Ngah Awang (Langkap), Su Mahmud Dato’ Amar (Batu Buruk), Mohamad Chik (Bandar), Da Abdul Jalil Awang (Ladang), Syed Ahmad Khalid (Bukit Besar), Ahmad Mahmood (Paka Kerteh), Abdul Rahman Salleh (Kemaman Utara), Wan Ngah Abdul Rahman (Chukai) dan Syed Noh Alwee (Kemaman Utara). Perikatan telah memprolehi tujuh kerusi dan Parti Negara memenangi empat kerusi di 11 DUN yang PAS tewas ini.
 
Hasil daripada kemenangan yang dicapai oleh PAS dalam Pilihan Raya Umum Negeri Terengganu pada 20 Jun 1959 ini, PAS telah membentuk kerajaan yang diketuai oleh Mohd Daud Abdul Samad (Setiu) sebagai Menteri Besar Terengganu. Walau bagaimanapun, akibat krisis kepemimpinan yang berlaku, Kerajaan PAS Terengganu telah tumbang dalam undi tidak percaya pada 30 Oktober 1961. Dalam krisis kepemimpinan ini, Ustaz Ahmad Azzam Mohd Hanafiah (Jeram) dan Ustaz Mohd Taib Sabri Abu Bakar (Marang) yang masing-masing merupakan Exco Kerajaan Negeri dan Speaker DUN telah bertindak keluar PAS, manakala ADUN Parti Negara, Ismail Abbas (Langkap) pula bertindak menyertai PAS. 
 
Ustaz Ahmad Azzam Mohd Hanifah yang menyertai semula PAS sebelum usul undi tidak percaya tersebut telah bertindak untuk berkecuali dalam pengundian bersama Ustaz Hussin Jusoh (Ulu Besut) dan Mohamad Ismail (Besut Tengah), sedangkan Tuan Guru Haji Wan Said Mohd Noor (Kuala Besut) dan Tuan Guru Haji Abdul Kadir Mohamad (Kuala Terengganu Tengah) tidak hadir kerana diculik oleh agen Umno di Kuala Lumpur. Seorang lagi ADUN PAS, Omar Abdul Rahman (Ulu Terengganu Barat) diperintahkan keluar Dewan. Selepas undi tidak percaya ini, PAS telah memecat keahlian tiga ADUN yang berkecuali tersebut kerana mengkhianati parti, sedangkan dua ADUN yang diculik mengisytiharkan penyertaan mereka dalam Umno kemudiannya.
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
7 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 14/1/2018

PERGOLAKAN politik umat Islam di seluruh dunia pada akhir abad ke-19 adalah difaktorkan oleh kemunduran berfikir setelah dijajah oleh kuasa Barat. Umat Islam bukan sahaja terkebelakang dalam dunia ilmu, tetapi juga telah mengalami kelumpuhan pengaruh politik yang menggoncang kekhalifahan. Menangani permasalahan ini, para ulama telah mengambil langkah "membangunkan semula umat yang sedang tidur" dengan mengejutkan pemikiran mereka melalui penerbitan majalah reformis Islam. Salah sebuah majalah reformis Islam yang terpenting di Nusantara ialah al-Imam yang ditubuhkan di Singapura pada 1906.
 
Menurut Hamka, pengasas al-Imam, Syed Mohamad Salim al-Khalali menjelaskan tujuan ia ditubuhkan adalah kerana dirinya merasa terpanggil untuk membangunkan bangsa dan kaumnya dari lena ketiduran dan kemalasan yang telah menyerang sejak bertahun-tahun. Maka, atas asas ini, edisi pertama al-Imam menggariskan tujuannya , iatu “... bertujuan untuk mengingatkan mereka yang telah lupa, membangkitkan mereka yang sedang tertidur, membimbing mereka yang tersesat dan memberikan suara kepada mereka yang berbicara dengan kebijaksanaan (hikmah).” Atas asas untuk menggerakkan kesedaran umat inilah, maka edisi pertama al-Imam berjaya diteritkan pada Julai 1906 (Jamadil Akhir 1304), dengan dicetak oleh Matbaah Melayu Tanjung Pagar, Singapura dalam tulisan Jawi.
 
Tokoh utama yang membangunkan al-Imam ialah para reformer Islam iaitu Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Mohamad Salim al-Khalali, Syed Mohamad bin Aqil, Sheikh Abbas Taha dan Abdullah Abdul Rahman. Syed Mohamad Salim al-Khalali bertindak sebagai mudir (director), sedang majalah al-Manar yang diterbitkan di Mesir oleh Sheikh Mohamad Abduh menjadi inspirasi utamanya. Abdullah Abdul Rahman dikatakan tokoh yang mendatangkan al-Manar ke Singapura untuk dijadikan rujukan. Sedangkan Syed Sheikh al-Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Sheikh Abbas Taha dan Syed Mohamad Aqil adalah penulis-penulis yang progresif di sebalik penerbitan majalah ini.
 
Ramai pengkaji mendakwa majalah al-Imam adalah majalah Islam yang pertama di Nusantara yang bukan sahaja berasaskan Islam, tetapi turut membawa agenda pembaharuan pemikiran rakyat. Majalah al-Imam mempunyai rangkaian wakil sehingga ke Maninjau, Padang Panjang dan Betawi, selain Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu pada peringkat awal penubuhannya. Prof William Roof menganggap kemunculan al-Imam pada 1906 adalah permulaan kesedaran nasionalisme bagi orang Melayu di negara ini. Majalah ini dikatakan metamorfosis kepada majalah Urwatul Wustqa yang diterbitkan oleh Syed Jamaluddin al-Afghani dan Sheikh Mohamad Abduh di Paris pada 1884 serta majalah al-Manar yang diterbitkan di Kaherah oleh Syed Mohamad Rashid Redha pada1897. Bahkan menurut Hamka, al-Imam mengambil haluan al-Manar dari segi kandungan dan objektif pembaharuannya.
 
Majalah al-Imam telah bertahan penerbitannya sehingga awal 1909, di mana penerbitannya terpaksa dihentikan atas faktor-faktor kewangan. Walaupun hayatnya tidak panjang, tetapi al-Imam selaku akhbar Islam yang pertama di Nusantara dan membawa agenda reformasi agama, ia telah berjaya menggerakkan kesedaran agama dan politik di kalangan umat Islam di seluruh Nusantara, kerana edarannya yang berkembang di Sumatera, Jawa dan Semenanjung Tanah Melayu. Selepas al-Imam terkubur pada 1909, muncul pula akhbar-akhbar baru yang mendukung pemikiran reformis seperti al-Munir (1911), al-Akhbar (1913), al-Munir al-Manar (1918) dan lain-lain di Sumatera; sedangkan di Tanah Melayu telah terbit Idaran Zaman (1925), al-Ikhwan (1926), Saudara (1928), Warta Malaya (1931), Majlis (1931) dan lain-lain.
 
Kesan daripada pemikiran pembaharuan Islam yang dibawa oleh al-Imam bukan sahaja membawa kepada kemunculan majalah-majalah reformis di Tanah Melayu, tetapi telah memunculkan madrasah-madrasah bermula dengan Madrasah al-Iqbal yang ditubuhkan oleh Syed Sheikh al-Hadi di Singapura pada 1908, sebelum ia berkembangan di Melaka, Kelantan dan Pulau Pinang. Dari aspek yang lain, akhbar Saudara pula berjaya menubuhkan kelab pembacanya, Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM),  iaitu pertubuhan separa politik bertaraf nasional yang pertama di Malaya pada 1934. Kemunculan al-Imam pada 1906 bukan sahaja memulakan akhbar Islam di Nusantara, tetapi turut memacu pertumbuhan sistem pendidikan madrasah dan penubuhan organisasi Islam bertaraf nasional.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
6 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 13/1/2018
 

APAKAH Brother Anwar Ibrahim akan jadi Perdana Menteri selepas ini bukan suatu yang mustahil.

Seorang warga Malaysia dibenarkan oleh perlembagaan bercita-cita menjadi Perdana Menteri seperti tidak salah teringin kahwin dengan Siti Nurhaliza. Jadi atau tidak jadi perkara kedua. Semua boleh berhajat jadi PM.

Tetapi yang ditunggu oleh dan hendak ditengok oleh semua jadi jugakah akhirnya Anwar jadi Perdana Menteri menggantikan Dr. Mahathir? Untuk Anwar jadi PM tidak pelik, tetapi menggantikan Mahathir jadi Perdana Menteri adalah ajaib.

Dalam pusingan pertama dulu Anwar sudah sepatutnya jadi ganti Dr. Mahathir bila Mahathir hendak berundur.

Dia sudah berada di tempat yang selesa. Bukan saja dia TPM, bahkan Timbalan Presiden UMNO yang sudah memangku jawatan Perdana Menteri semasa Mahathir bercuti dua bulan. Walaupun sebelum ada beberapa Timbalan Perdana Menteri tidak jadi Perdana Menteri, dengan wibawanya yang boleh menggerhanakan Mahathir dialah yang sepatutnya menggantikan Mahathir.

Tetapi dia tidak jadi disebabkan Mahathir ada pilihan lain. Boleh juga ganti Mahathir kiranya dia berjaya melawan Mahathir atas sokongan ramai. Tetapi Mahathir sememangnya licin, dia tutup semua peluang bagi mengalahkannya.

Bila Mahathir bersara orang lain yang menggantikannya. Peluang Anwar jadi Perdana Menteri tidak pernah tertutup, tetapi bukan menggantikan Mahathir, sebaliknya menggantikan orang yang menggantikan Mahathir.

Untuk jadi pengganti Mahathir dikira sudah tutup buku. Sudah dua Perdana Menteri lepas Mahathir, belum juga Awnar dapat jadi Perdana Menteri.

Dengan permusuhan yang dikira payah ada damainya, dan Perdana Menteri semasa mengukuhkan kedudukannya dengan macam strategi menghalang Anwar mencabarnya, mulai payah orang memikirkan Anwar akan jadi Perdana Menteri sebelum mati sekalipun demokrasi tidak menutup peluangnya.

Tiba-tiba berlaku keajaiban. Ketika Anwar berjuang dari dalam penjara yang peluangnya dirasakan tipis, Mahathir amat marahkan PM Najib. Dia keluar UMNO kali kedua, kali ketiga jika dikira pernah dipecat sekali. TPM Muhyiddin Yassin pula digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Secara sistematik jawatan Timbalan Presiden UMNO tidak dipegangnya, mereka tubuh parti baru dan Mahathir tidak segan-segan berjumpa Anwar di mahkamah dan akhirnya mereka berdua semula.

Anwar di penjara, Mahathir di luar penjara. Mahahir dan partinya Bersatu diterima jadi kerabat Harapan. Anwar kekal sebagai calon PM Harapan dengan jawatannya sebagai Ketua Umum PKR. Sebelum dipenjara sekali lagi Presiden PKR kekal Dr. Wan Azizah, isterinya. Semasa di penjara Wan Azizah juga Presiden.

Bila Mahathir jadi kerabat Harapan, tanpa bantahan Anwar, Mahathir diterima sebagai orang yang memimpin Harapan di luar penjara dan Anwar memimpin sama dari penjara.

Yang terakhir Mahathir dan Anwar setuju Anwar jadi Ketua Umum Harapan, Mahathir jadi pengerusi, semua empat ketua parti komponan jadi timbalan presiden. Terbaru Harapan setuju jadikan Mahathir calon Perdana Menteri dan Wan Azizah calon Timbalan Perdana Menteri.

Mahathir setuju jadi Perdana Menteri sementara, menguruskan membebaskan Anwar dari masalah undang-undang. Bila semuanya selesasi Mahathir serahkan Anwar jadi Perdana Menteri.

Jika berlakulah apa yang dirancang itu, maka bagi pusingan kedua jadi juga Anwar menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Peluang pertama dulu tidak menjadi. Nampaknya terbuka peluang kedua bagi Anwar menggantikan Mahathir dan Mahathir dapat juga peluang menjadikan Anwar sebagai penggantinya.

Bukan soal kita seronok dan hendak menyambut kemungkinan itu, tetapi menunggu berlakukah keajaiban yang tidak pernah diduga itu? – HARAKAHDAILY 11/1/2018

TELAH saya tulis sebelum ini, tidaklah PAS selesa bila dipuji dan disangka baik oleh Perdana Menteri Najib.
      
Lebih selesa ia jika seteru politiknya terus menerus mengutuknya seperti istiqamahnya Dr. Mahathir bersangka buruk pada parti itu.
      
Demikianlah adanya UMNO itu selamanya tidak merasa senang dengan PAS. Mungkin orang PAS tidak pernah seronok dengan segala caci maki UMNO padanya selama ini. Tiada apa yang PAS buat itu ada eloknya.
      
Tetapi itu adalah lebih baik bagi PAS.
      
Seperti yang selalu pimpinan PAS dari dulu pesan kepada penyokongnya, jangan gembira bila dipuji musuh! Musuh itu sifatnya tidak pernah selesa dengan musuhnya. Bila musuh kata kita baik, maka perkara pertama yang perlu diperhatikan mengapa ia dipuji musuh?
      
Kita kena kaji kemungkinan adanya yang tidak betul dari kita bila dipuji musuh. Tidak baiknya jadi persepsi pertama. Kebaikannya jadi perkara kedua.
     
Dua kali Najib dalam masa dua bulan ini memuji PAS. Pertama dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung UMNO yang lalu. Ketika dia mengecam pembangkang diselitkannya sebaris pujiannya kepada PAS. Dalam mesej tahun barunya pula diulangi kematangan politik PAS itu baik baginya dan baik bagi negara.
     
Padanya pembangkang lain itu tidak guna semuanya.
      
Budaya politik matang dan sejahtera yang PAS layari sekarang memanglah suatu yang baik tetapi bila dipuji Najib menyebabkan ia boleh tidak seronok. Yang PAS mahu ia digemari oleh sekalian rakyat dan rakyat menyokongnya.
      
Telah saya sangka bila PAS dipuji Najib, maka bertambah sangkalah ia dicurigai oleh musuhnya yang lain. Memang selepas ia bersendirian ia dipelupuh bekas sekutunya dalam PRU13 dulu dan pelarian PAS. Bila Najib pula puji bertambahlah celaan mereka.
      
PAS tidak minta Najib memujinya. Bukan salah PAS bila dipuji Najib. Sepatutnya Najiblah yang disalahkan kerana pujiannya yang dua kali mnyebabkan seteru PAS yang lain bertambah marah kepadanya.
      
PAS tidak marah pada yang lain bila mereka marah PAS dan tidak boleh kecil hati dengan Najib bila pujian Najib itu menyusahkan PAS. Pada PAS, Najib kekal berkuasa tidak menguntungkan PAS dan rakyat dan Najib dikalahkan oleh Harapan pun tidak menguntungkan PAS dan rakyat.
     
Pertukaran hanya orang tapi sistemnya sama. Islam tidak dapat apa jua.
     
Apa yang PAS buat seperti Nabi Musa, tidak boleh tukar Firaun tetapi seru Firaun tukar sistem. Jika Firaun setuju, Firaun kekal berkuasa tetapi Nabi Musa berperanan dalam kerajaan. Bila Firaun  enggan, Firaun akan temui natijahnya.
     
Sebelum itu di Mesir juga Nabi Yusuf berdepan dengan pentadbiran al-Aziz sebagai wazirnya yang isterinya, Zulaikha berperanan. Nabi Yusuf memilih dipenjara. Dari sana Nabi Yusuf ke Istana, tidak menukar Firaunnya, Raja Rayyan yang di bawah pemerintahannya baginda dipenjara.
     
Tetapi Nabi Yusuf tidak menggulingkan Raja Rayyan. Raja kekal, pentadbiran diserah kepada Nabi Yusuf. Firaun masa itu kekal tapi sistem bertukar.
      
Jika Najib tidak dapat ditukar, tetapi rela sistem ditukar, ia adalah pilihan matang. Dengan PAS boleh dapat antara 40 dan 80 kerusi saja, Najib tak boleh dibuang, Harapan tidak dapat dinafikan, pilihan PAS ialah siapa sedia tukar sistem dengan PAS sebagai penentu?
    
Terbaik bagi Firaun tukar sistem dengan Nabi Musa berperanan. Raja Rayyan setuju tukar dengan  Nabi Yusuf berperanan. Jika Najib jadi Raja Rayyan, Islam berperanan, itulah yang terbaik. – HARAKAHDAILY 6/1/2018

PERUBAHAN politik dunia ekoran kejatuhan Khilafah Othmaniyah pada 3 Mac 1924 telah membentuk kesedaran ulama untuk membincangkan mengenai kepentingan politik, pemerintahan dan kenegaraan dalam sistem hidup umat Islam. Fahaman sekular yang melanda umat Islam akibat penjajahan Barat telah memyebabkan mereka memandang serong kepada sistem politik Islam, bahkan menganggap politik bukan sebahagian daripada agama. Menghadapi penularan fahaman sesat inilah, para ulama Melayu mula menuliskan tentang pemikiran politik Islam.
 
Di kalangan ulamak Tanah Melayu, yang terawal memperkatakan tentang politik Islam selepas jatuhnya kekhalifahan ialah Tuan Hussin Kedah melalui karyanya, "Taslih Buldan" pada 1936, diikuti oleh Maulana Abdullah Noh dengan "Semangat Perajurit-perajurit Muslimin" pada 1947. Selepas Perang Dunia Kedua, Ustaz Zulkifli Mohamad telah menghasilkan karyanya, "Masyarakat dan Syariat" pada 1954, manakala Dr Burhanuddin al-Helmy menghasilkan "Agama dan Politik" dalam tahun yang sama, sebelum Sheikh Abdul Qadir al-Mandili menuliskan "Islam: Agama dan Kedaulatan" pada 1959, serta "Tatanegara Islam," karya Ustaz Budiman Radhi terbitan 1963. Perkembangan ini banyak didorong oleh kesedaran para ulamak tentang kegelinciran pemikiran umat berkait dengan politik dan kenegaraan.
 
Kemerdekaan yang dicapai pada 31 Ogos 1957 adalah "kemerdekaan yang kosong" menurut pendapat Dr Burhanuddin al-Helmy kerana perjuangan PAS untuk memartabatkan Islam di atas kemerdekaan telah digagalkan oleh pemikiran kebangsaan sekular Umno. Para ulama PAS selain Dr Burhanuddin al-Helmy dan Ustaz Zulkifli Mohamad, termasuklah Sheikh Abdul Qadir al-Mandili dan Ustaz Budiman Radhi mula membahaskan secara akademik tentang hakikat kenegaraan dan pemerintahan menurut kaca mata Islam. Atas sebab inilah, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili menghasilkan beberapa karya lain seperti "Pendirian Agama Islam Daripada Kaum Feudal dan Kapitalisme dan Sosialis dan Komunisme;" "Menakutkan Daripada Memasukkan Kanak-kanak ke Dalam Sekolah Bangsa Kafir;" dan "Kebagusan Undang-undang Allah dan Kecelaan Undang-undang Ciptaan Manusia."
 
Sheikh Abdul Qadir Abdul Mutalib al-Mandili (1910-1965) adalah seorang ulamak yang berasal dari Tanapuli Selatan, Sumatera. Beliau yang berketurunan Mandailing ini telah mendapat pendidikan Belanda di Tanapuli sebelum berhijrah ke Tanah Melayu dan belajar agama di beberapa pondok di Kedah antara 1924-1936. Salah seorang guru beliau ialah Sheikh Wan Ibrahim Abdul Qadir (Pak Chu Him Gajah Mati), sebelum berguru dengan Sheikh Wan Ismail Abdul Qadir (Pak Da Eil) dan ulamak-ulamak lain di Mekah sejak 1936. Setelah itu beliau menjadi guru di Masjidil Haram dan berjaya menghasilkan 24 buah kitab berbahasa Melayu dan Arab dalam pelbagai bidang. Karya beliau yang paling terkenal ialah Penawar Bagi Hati, kitab tasawuf yang masih digunakan di masjid-masjid institutsi pendidikan Islam di seluruh Nusantara. Beliau dikatakan memainkan peranan utama terhadap penubuhan PAS Cawangan Mekah pada 1954.
 
Selain bidang ilmu tasawuf dan fiqh ibadat, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili juga telah berjaya menghasilkan kitab fiqh siyasah, "Islam: Agama dan Kedaulatan" yang dicetak kali kedua untuk Tanah Melayu pada 1959 oleh The United Press, Pulau Pinang hasil susunan semula oleh Pak Chu Him. Sheikh Abdul Qadir al-Mandili dalam kata pengantarnya menyebutkan bahawa buku ini ditulis sebagai "hadiah kepada saudara-saudara yang berjuang di lapangan agama Islam." Ia merupakan respon beliau terhadap kegagalan menjadikan Tanah Melayu sebagai negara Islam sesudah kemerdekaannya, selain mengulas isu-isu berkait hukum kerjasama dengan orang bukan Islam, masalah loteri Umno, hukum menyokong selain daripada parti Islam dan sebagainya.
 
Kitab "Islam: Agama dan Kedaulatan" ini telah menghuraikan tentang pemerintahan Islam, menghukum sebagai tabiat Islam, sifat-sifat kerajaan Islam, tanggungjawab kerajaan melaksanakan hukum Allah, musyawarah dalam pemerintahan, kekhalifahan dan hukum berkongsi dengan orang kafir dalam memerintah negara. Di bahagian akhir kitab ini, Sheikh Abdul Qadir al-Mandili telah menjawab isu-isu yang berbangkit di Tanah Melayu berkait politik dan undang-undang Islam. Walau bagaimanapun, ketika tercetusnya isu takfir pada tahun 1963, Kerajaan Perikatan dikatakan telah bertindak mengharam kitab ini kerana kandungannya dikatakan merugikan politik Umno.
 
 
MOHD FADLI GHANI
Head, House of Resources
Pusat Penyelidikan PAS
5 Januari 2018 - HARAKAHDAILY 5/1/2018
 
 

TIDAKLAH Guan Eng dan DAP itu tahu Islam, siyasah syariyah apa lagi fikah politiknya. Jauh sekali dia alim dan arif tentangnya.

Tapi dia dengan kekurangan dan kejahilannya itu sanggup tempelak dan berani kata PAS, golongan yang paling arif dengan siyasah Islami sebagai sesat.

Sesat itu bukan sekadar tidak jumpa jalan yang dicari, tetapi apabila ia pakai dalam kehidupan orang beragama, sesat itu adalah ajaran dan amalan yanag menyimpang dari manhaj dan tasawur Allah/Islami.

Yang terbabas dari Islam itu dinamakan ajaran sesat. Tidak ajaran dan amalan selain dari Islam dan penggunakan kalimah itu dikata ajaran sesat. Salah guna senjata nuklear disebut ajaran sains/teknologi sesat atau pelajaran akademik yang tidak betul dikatakan ajaran sesat.

Pelancaran roket ke bulan mungkin tersasar tetapi orang tidak kata ia hasil penemuan sesat. Selain dari dipakai terhadap ajaran Islam yang menyeleweng ia diguna pada peribahasa peluru sesat.

Ajaran sesat adalah manhaj jahiliyah. Pengamal jahiliyah adalah isi neraka. Mengatakan PAS sesat adalah membangsakan politik yang PAS ambil sekarang bakal menjadi isi neraka.

Inilah logik dan sifir atas politik sesat PAS itu sedang tindakan dan fikiran politik yang PAS ambil dan amal adalah berpaksi kepada Islam yang difahaminya.

Apa yang memberanikan Guan Eng berkata terhadap kepercayaan umum golongan Islam di negara ini adalah fitnah besar yang terbit dari tidak menjadikan Islam sebagai pakaian kemerdekaan yang Tunku Abdul Rahman Putra dan UMNO asaskan tahun 1957 dulu.

Sebelum merdeka tiada pemastautin di luar Islam berani kata golongan Islam tertentu sesat. Mufti dan jabatan agama sahaja yang menentukan sesuatu itu sesat. Hasil fitnah tidak menjadikan Islam sebagai pakaian hidup bernegara, maka orang boleh kata sesat kepada orang Islam.

Jika Tunku dan Tun Razak datang semula ke Malaysia sekarang, mereka adalah orang yang paling tidak seronok dengan fitnah yang ditinggalkan dulu.

Sekalipun Guan Eng tidak kata pada orang Islam lain, dia tuju pada PAS sekarang yang TG Nik Aziz dan Ustaz Fadzil Noor sudah lama meninggalkannya, tetapi dia berani kata pada golongan Islam yang paling berpengaruh dalam negara ini.

Sekalipun ketua agama itu raja-raja dan para mufti penentu tunggal fatwa rasmi, tetapi pengaruh Islam yang dibawa PAS adalah merata dan menyeluruh, disegani dan dihoramti.

Mungkin umumnya ada yang tidak melihat apa yang Guan Eng kata itu mencabar alam Islam itu secara totok, malah banyak cabaran yang melanda Islam secara pokok tidak banyak yang dapat ditangkis oleh umat Islam, maka tidak banyak tohmah Guan Eng dirasa berkesan oleh semua.

Islam yang berdaulat itu ibarat yang dikata cubit paha kiri peha kanan terasa sakit. Umat yang peka itu mesti rasa tersinggung apabila sesuatu yang menyinggungnya. Adapun keadaan yang ada, umat Islam itu sudah jadi anggota yang kebas. Paha kiri yang dicubit tidak rasa sakit oleh paha kanan kerana paha kanan itu kebas.

Oleh kerana PAS itu adalah politik untuk sebahagian umat saja, maka yang lain tidak rasa tercabar bila PAS dikata sesat. Tetapi adakah orang Islam yang bersama Guan Eng tak terasa apa, bahkan seronok dengan tohmahnya. Khususnya orang yang pernah jadi makmum solat berimamkan PAS? Fitnah gagah tikus bila kucing tidak bergigi. – HARAKAHDAILY 5/1/2018