UMNO dengan tiga juta ahlinya yang dilihat padat menjelang PRU14 tidak siapa dapat menduga ia boleh diumbang-ambingkan dalam waktu yang terdekat. Demikian juga tidak siapa dapat meremehkan PKI – Partai Komunis Indonesia – yang anggotanya dua juta – disokong pula oleh Presiden Sukarno boleh diapa-apakan sebelum kegagalannya merampas kuasa yang dinamakannya Gestapu (Gerakan September Tiga Puluh), 1965.

Kegagalan Gestapu itu menjadikan dua juta ahli PKI itu hancur tidak berbenih hingga hari ini.

Umno nampak padat itu seolah-olah lompang di dalam. Berikut kekalahan yang tidak disangka ramai malam 10 Mei lalu, tiga juta ahlinya termangu-mangu, hilang taring dan melutut kepada kehendak demokrasi.

Ada suara terpinggir dari mereka menuntut Najib berundur justeru menerima tanggungjawab atas kekalahan pertama kali itu. Sebelum suara itu merebak seperti reaksi umum terhadap suara seorang kanak-kanak yang bertanya mengapa Raja tidak berbaju dalam cerita rakyat Raja Berbaju Baru, maka Najib melepaskan jawatan Presidennya.

Jika Najib tidak cepat berundur mungkin ruap panas hati Umno meletup. Najib tinggalkan Umno kepada Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein bagi menyempurnakan Perhimpunan Agung Umno Jun 30 ini. Tidak tahan dengan ujian itu Hishammudin tinggalkan Zahid seorang diri.

Justeru Majlis Tertinggi Umno bubar berikutan pemilihan pimpinan pada Jun 30 ini, semua ahli Umno bangun memburukkan amalan dan tradisi kepimpinan lamanya kecuali yang di Pekan, buruk baik mereka bersama Najib seperti setianya Hang Tuah kepada Raja Melaka.

Tidak pernah jawatan Presiden itu dicabar kecuali ia kosong dalam dua sejarah. Pertama ketika ia dikosongkan oleh Dato Onn. Tunku Abdul Rahman Putra dan Haji Ahmad Fuad bertanding. Ada yang kata calon ketiga Mustapa Hussein dari Larut-Matang. Sejarah kedua berikutan kematian Tun Razak. Pemangku Presiden Perdana Menteri Hussein Onn dicabar oleh Haji Sulaiman Palestin.

Tiada yang berani mencabar pemimpin kecuali Sulaiman Palestin. Sama tidak beraninya orang menegur Najib termasuk Khairy Jamaluddin. Semuanya takut jadi macam TS Muhyiddin Yassin.

Sesudah Umno tidak berketua, Zahid yang digerun semasa Najib berkuasa dan diamanah Najib sebagai warisan pertamanya memimpin parti tidak dipeduli lagi oleh setengah Umno. Enam orang mencabar Zahid dan yang popularnya Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaludin.

Kebanyakan ahli berbagai lapisan menyalah dan memburukkan pimpinan selama ini. Kerana Najib melepaskan diri dari awal, Zahid yang setia itulah memikul luahan semua terhadap Umno selama ini. Ku Li tawar diri jadi calon Presiden dari zaman Mahathir hingga zaman Abdullah Badawi setiap kali ada pemilihan. Tetapi tidak pernah tawar diri semasa Najib. Sesudah tinggal Zahid dan dipercayai selepas istikharah, dia jadi calon.

Khairy melepaskan diri dari belenggu yang ditinggalkan Najib, menggunakan politik beri laluan kepada anak muda untuk memenangi pertandingan Presiden itu. Politik anak muda ini mendominasi seruan semua parti politik dalam PRU14.

Khairy tinggalkan TN50, tumpu isu anak muda. Zahid tiada pilihan bergantung kepada siapakah agaknya yang masih setia kepada Najib. Satu cara mudah menang ialah memburukkan Najib, tetapi Zahid tidak mampu memburukkan Najib. Jika dia memburukkan Najib, seperti memburukkan diri sendiri.

Selepas Umno dan Najib tumpas ini, semua oang Umno bangun. Mana-mana ketua bahagian pertahankan jawatan dicabar. Shahidan Kassim dan Noh Omar kiranya masih kekal, belum tentu selamat tiga tahun lagi.

Umno kini berada di ambang revolusi dalaman. – HARAKAHDAILY 24/6/2018

PROFESOR Datuk Murad Merican dari USM dalam tulisannya di Sinar Harian menyarankan Pulau Pinang dikenang dengan sejarahnya yang sudah bermula seawal tahun 1734 lagi berdasarkan Masjid Jamek Batu Uban dibina tahun itu, 52 tahun sebelum British mengambil kuasanya dari Kedah tahun 1786.

Subki 1Sudah ada tamadun Melayu/Islam di pulau itu masa itu. Jika tidak masakan boleh dibina di situ masa itu?

Jika nama Dr. Lim Chong Eu dan Karpal Singh boleh diabadikan bagi jalan dan lokasi tertentu, tanyanya, mengapa nama orang awal mendiaminya seperti Haji Muhammad Saleh @ Nakoda Nan Intan dan lain-lain sebelum kedatangan Kaptan Francis Light ke situ.

Lalu Prof Datuk Murad mencadangkan nama Bandar Georgetown dikembalikan kepada nama asalnya Tanjung atau Tanjung Penaga. Bukan demi menafikan kewujudan majoriti besar penduduk Cina di negeri itu sekarang tetapi semata-mata sebagai pengiktirafan sejarah seperti yang diinginkan oleh UNESCO.

Sebaik merdeka kita ubah kota yang memakai nama penjajah kepada nama tempatan seperti Port Swettenham kepada Pelabuhan Klang dan Jeselton kepada Kota Kinabalu dan lain-lain. Maka Dr.Murad suka Tanjung digantikan bagi Georgetown kerana nama asal sejarahnya.

Saranan beliau bukan yang pertama. Kami dari Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan Pulau Pinang sudah cadangkan nama itu tahun 1965. Haji Sulaiman Palestin, Speaker Pulau Pinang dalam kenyataan medianya mencadangkan agar tahun 1966 dijadikan tahun peralihan penggunaan bahasa kebangsaan sebelum ia dirasmikan tahun 1967 seperti yang disetujui oleh perlembagaan iaitu Bahasa Melayu akan jadi bahasa rasmi sepuluh tahun selepas merdeka.

Rang usul itu dibentangkan di Dun Pulau Pinang oleh Adun Ismail Hashim dari Sungai Dua, Bayan Lepas dan diluluskan.

Menjelang pembentangan itu beberapa orang peminat bahasa diketuai oleh Cikgu Mohd Nor, mantan Yang Dipertua Agung Kesatuan Guru-Guru Melayu Semenanjung dan mantan Ahli Majlis Tertinggi Umno menubuhkan badan ad-hoc Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan Pulau Pinang. Saya jadi ahli. Anggota lain ialah Harun Hasan, wartawan kanan Utusan Melayu di Pulau Pinang dan setiausahanya Zakri Abadi. Beberapa yang lain saya tidak ingat.

Antara yang kami putuskan ialah menamakan semula Bandaraya Pulau Pinang kepada Tanjung. Sekalipun British menamakan bandar itu Georgetown, nama Raja Inggeris masa Pulau Pinang diambil tetapi semua orang memanggilnya Tanjung. Penduduk Cina yang mulai ramai itu sendiri menyebutnya Tanjung. Pejabat kerajaan saja memakai Georgetown.

Apabila Pulau Pinann diisytiharkan bandaraya sebelun merdeka ia dipanggil Bandaraya Pulau Pinang. Saya tidak ingat ia dipanggil Bandaraya Georgetown. Semua Datuk Bandar yang dipilih dipanggil Datuk Bandar Pulau Pinang. Pilihan raya ahli majlis bandaraya pulau diketahui dengan pilihan raya Majlis Bandaraya Pulau Pinang.

Bila kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Wong Pau Nee mengambil alih kuasa Majlis Bandaraya untuk ditadbir oleh kerajaan negeri iaitu disebut Dewan Bandaraya Pulau Pinang. Georgetown tidak diguna langsung.

Saya tidak tahu apa Cikgu Mohd Nor buat atas keputusan menamakan semula sebagai Tanjung kerana saya pindah ke Kuala Lumpur. Demikian juga Harun Hasan dan Zakri Abadi. Adakah Tan Sri Yusuf Latif Setiausaha Politik Ketua Menteri masa itu tahu hal itu?

Apabila Gerakan mengambil alih kerajaan Pulau Pinang, Lim Chong Eu sebagai Ketua Menteri dan Haji Ahmad Badawi, Timbalan Ketua Menteri, Bandaraya Pulau Pinang jadi Georgetown semula. Tanjung tidak diketahui lagi. – HARAKAHDAILY 22/6/2018

BIASANYA Hari Raya Aidilfitri kedua saya sekeluarga berhari raya di kampung barang dua tiga hari. Tetapi tahun ini hari kedua itu kami ke Pahang kebetulan ipar yang paling kanan tinggal di Kuantan.

Di samping mahu berhari raya bersama keluarganya, saya memilih Pahang kali ini ialah untuk berhari raya di negeri yang masih diperintah Umno. Di situ saja di samping sebuah negeri lagi iaitu Perlis dimenangi Umno /BN dalam PRU14 lalu.

60 tahun negara ini dan kebanyakan negerinya diperintah Umno/BN kecuali Kelantan dan Pulau Pinang. Pada PRU kali ini seminggu sebelum puasa habis berguguran kecuali di Pahang dan Perlis saja, dua negeri yang paling rendah pendapatannya mengikut suasana ekonomi sekarang.

Dulu ia bersama Terengganu dan Sarawak sebagai negeri termiskin tetapi Terengganu dan Sarawak negeri yang berminyak yang jika ditunaikan royaltinya 5 peratus nescaya jadi negeri yang berada dan jika ditunaikan manifesto Harapan hendak memberi 15 peratus royalti maka lebih makmurlah ia.

Akan tetapi Pahang yang dipercayai jutaan tahun dulu antara wilayah bergunung berapi kerana tanah sekeliling Beserah adalah jenis tanah yang ada gunung berapi. Maka hidup Pahang selepas merdeka ditampung oleh pemerintahan bapa angkatnya Barisan Nasional yang berkuasa di pusat.

Tetapi sekarang bapa angkat itu sudah kalah di pusat dan negeri-negeri lain selain dari Pahang dan Perlis. Dan jika Harapan pula jadi macam BN selama 60 tahun lalu menganak tiri kerajaan bukan BN seperti yang dialami Kelantan dan Terengganu 1999-2004, maka nescaya mengemislah Pahang kecuali Adun Umno itu beramai-ramai meninggalkan Umno dan masuk Harapan.

Suasana sekarang sudah tiada BN lagi. Yang tinggal adalah Umno dan Pahang sekarang adalah negeri terakhir Umno. Umno pula nasibnya lebih teruk dari PAS. Umno dan PAS sama-sasma dapat dua kerajaan negeri, tapi negeri yang dapat dua-duanya berminyak. Pahang dan Perlis terpaksa ikat perut.

Maka eloklah beraya di Pahang untuk melihat keadaan di Pahang dan kebarangkalian kali terakhir untuk Umno. Masa depan belum tentu ada lagi. Selama ini kita diperintah Umno. Apabila Umno yang tinggal di Pahang saja, untuk menghilangkan gian dedak Umno itu kami beraya di Pahang sebelum ia tiada lagi.

Oleh kerana negeri itu saja yang Umno masih berkuasa tidak terasa berbeza sangat. Di Pahang saja yang ada hari terbuka yang tuan rumahnya kerajaan Umno. Di negeri lain hari terbuka dituanrumahkan oleh kerajaan Harapan dan PAS. Bagi Umno di mana saja yang hendak hadir ke rumah terbuka anjuran Umno kena pergi ke Pahang saja. Sekalipun di Kedah dan Perak kerajaan Harapan masih macam telur di hujung tanduk, tapi Umno bukan jadi tuan rumah terbuka di Ipoh dan Alor Setar.

Rakyat Pahang tidak terasa sangat kerana hari rumah terbuka masih besama dengan Menteri Besar Umno dan MB Umno boleh memberi duit raya kepada kanak-kanak. Cuma Menteri Besar lama Datuk Seri Adnan Yaakob tidak ke depan lagi. Dia ke tepi sikit. Tidak bersalam dengannya. Semua orang hendak bersalam dengan Menteri Besar dan exco baru.

Tapi Tok Nan masih bersama, cuma dia di tepi seperti orang lain yang ramai itu.

Orang berhari raya di Pekan masih beduyun-duyun ke rumah terbuka Datuk Najib. Macam masa Perdana Menteri juga. Diapun tidak hendak ke mana lagi. Dua tiga hari berada di Pekan. – HARAKAHDAILY 21/6/2018

KETIKA rencana ini ditulis, sudah dua minggu polis masih belum selesai mengira harta yang dirampas dari Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Najib.

Bukan seorang dua polis membilang, bahkan sepasukan, masih meneruskan mengira duit tunai dan nilai lain harta. Demikian banyaknya harta Rosmah yang dirampas.

Banyaknya harta itu, jika ia adalah hasil sepencarian antara Rosmah dan suaminya, Najib nescaya boleh melambatkan mereka masuk syurga. Terpaksa menunggu di pintu syurga kerana semuanya diaudit dulu, dari mana ia didapati dan cara ia dibelanjakan.

Saya tidak kata harta itu haram. Katakanlah ia hartanya yang sah, tetapi begitulah syarat untuk mauk syurga, semuanya diaudit dulu sebelum dibenarkan masuk syurga.

Saya teringat kisah yang disebutkan oleh seorang Tok Guru dalam kuliahnya di masjid, betapa Nabi S ulaiman terpaksa menunggu selama 40 tahun justeru audit atas hartanya baru selesai.

Nabi adalah maksum. Kalis dosa. Tetapi baginda adalah Raja sealam dunia, maka kekayaannya tidak terkira. Tentulah Nabi itu mendapatkan semua harta secara sah. Nabi dipelihara Allah dari melakukan kesalahan. Tidak diragukan lagi semuanya ahli syurga. Boleh dimasukkan ke syurga tanpa hisab.

Tetapi itu peraturan hendak masuk syurga, semua harta itu diaudit dulu. Hatta Nabi Sulaiman sendiri terpaksa menunggu 40 tahun.

Itulah untungnya orang miskin yang soleh seperti Abu Zar al-Ghafiri yang tidak meninggalkan sebarang, sebaik masuk ke Mahkamah Rabbul Jalil, tiada hartanya yang hendak ditimbang kecualilah lain-lain dosa, maka tidak perlu menunggu lama di pintu syurga. Demikianlah senang orang miskin di dunia untuk masuk ke syurga.

Tetapi orang kaya, sekalipun semua harta diperoleh secara halal terpaksa jenuh menunggu di pintu syurga. Sedang syurga oleh semua tidak mahu menunggu dan bertangguh-tangguh. Jika boleh masa itu juga sekaliannya mahu masuk syurga.

Apakah orang kaya yang dijamin syurga terpaksa bersabar kerana syurga tidak lari daripadanya? Bersabar itu bagi orang di dunia. Lagi tinggi sabarnya lagi besar pahalanya. Tempat membuat pahala adalah di dunia. Di akhirat bukan tempat membuat pahala. Maka semuanya tidak sabar untuk masuk syurga.

Jika Nabi Sulaiman yang tidak diragukan caranya mendapatkan kekayaan terpaksa menunggu 40 tahun, maka apa yang dapat hendak dibayang bagi kita orang awam yang ada sedikit harta dan apa lagi dengan yang sekaya Rosmah itu. Tidak dapat hendak diagak berapa lama audit di Mahkamah Rabbul Jalil itu ditunggu.

Sedang harta yang kita ada itu tidak dapat kita tentukan sah dan batalnya. Sedang yang bersih seperti Nabi Sulaiman terpaksa menunggu tiap-tiap hartayang dimilikinya, auditnya tentulah tidak payah sangat. Tetapi kita orang awam ini diagak banyak sangkut-sangkutnya.

Harta kita tidak setanding dengan harta Nabi Sulaiman. Mungkin tidak perlu menunggu 40 tahun, tetapi percayalah akan menunggu lama juga sesuai dengan jumlah harta yang dimiliki.

Dan bagi harta terkumpul dalam simpanan Rosmah, polis dengan pasukannya mengambil masa berminggu untuk membilangnya, maka berapa belas tahun pasangan Najib dan Rosmah terpaksa menunggu di luar syurga.

Apa yang kita sebut ini adalah atas harta-harta yang sah bersih. Tak termasuk yang didapati secara tidak sah.

Apabila polis mengambil masa yang lama untuk mengira duit yang dirampas, maka lama mana pula terpaksa menunggu audit di Mahkamah Allah itu? – HARAKAHDAILY 13/6/2018

 

SAYA mengikuti beberapa siaran TV Waibi setelah dilantik menjadi Menteri Pengangkutan. Saya dapati Waibi amat fasih dan petah dengan bahasa dan isu di Kementerian Pengangkutan.

Pandangan awal saya, saya tertarik dengan isu yang dekat dengan hati rakyat yang anda sarankan, moga-moga dapat menyelesaikan beberapa maslah yang kalut selama ini.

Harapan saya dari sikap terbuka itu, Waibi dapat menyelesaikan dasar laknat MAS, syarikat penerbangan negara yang menghidang arak percuma atas permintaan penumpang dalam penerbangan sejak ia diasaskan. Kenyataan yang kerajaan buat di Parlimen adalah tegas ia tidak akan dibatalkan.

Lebih membelenggu rakyat timbalan menteri kerajaan yang ditolak rakyat itu dalam kenyataannya di Parlimen memaklumkan setiap tiket yang ditempah penumpang telah dimasukkan peruntukan arak yang disajikan tidak kira penumpang meneguknya atau tidak.

Tidak kira arak itu menjadi budaya kepada setengah manusia yang beragama dan tidak seperti komunis dan tidak mengaku wujudnya Tuhan, tetapi bagi Islam arak adalah bahan yang dilaknat. Segala yang dilaknat Allah itu tempat kembalinya dalam neraka.

Antara makhluk yang dilaksana itu ialah iblis, penganut agama Yahudi dan sesiapa saja yang terlibat dengan pengedaran arak.

Yang terlaknat bersabit dengan arak bukan sekadar kaki botol, bahkan meliputi siapa saja yagn terlibat dalam urusannya bermula dengan kebun yang menanam bahan yang boleh menghasilkan arak dengan tujuan untuk membuat arak.

Tidak dilaknat pekebun anggur dan kurma sebagai bahan makanan, tetapi bila kebun itu bagi menyediakan bahan arak, laknatlah pekebun itu. Dan siapa yang terlibat dengan proses penghasilannya adalah warga laknat belaka termasuk mengambil upah memasukkan ke dalam lori.

Bukan sekadar penyediaan arak dalam penerbangan MAS dilaknat, pramugari yang mengedarkannya kepada penumpang juga laknat tidak kira dia rela atau tidak rela. Bukan sekadar pembuat dasar membenarkan arak diedarkan dalam MAS, pesawat yang membawa arak itu sendiri jadi barang yang dilaknat.

Sesiapa yang menaiki pesawat yanag dilaknat, sama ada dia tahu atau tidak tahu, sesungguhnya dia sudah berada dalam risiko benda-benda yang dilaknat.

Risiko bagi yang tidak tahu itu boleh diibaratkan seperti seorang yang diupah membawa dadah ke satu destinasi sedang dia tidak tahu apa yang dibawanya, apabila ditahan polis atau kastam, dia terpaksa menerima hukuman risiko itu.

Jika kita sudah terima tempat kembali makhluk yang dilaknat itu adalah neraka, maka kita sudah boleh agak betapa pesawat MAS ke Beijing yang hilang beberapa tahun lalu dan tidak dapat dikesan di Samudera Hindi, kerana tentunya ia ada arak dalam pesawat itu, nescaya ia boleh ditemui di neraka nanti.

Saya tidak kata semua penumpang dalam pesawat yang hilang itu adalah ahli nereka, kerana Allah adalah Maha Pengampun, tetapi pesawat yang memuat sekalipun seliter arak, tempat kembalinya di neraka.

Kita jangan sangka kesan bahan laknat itu orang Islam saja, bukan Islam tidak terlibat. Iblis sebagai makhluk maksiat dan kafir di dunia, adalah ahli neraka kekal kerana dosa laknatnya itu.

Mendiang Nehru, Dag Hammarsjold, SU Agung PBB kedua dan Lee Kuan Yew adalah non-alkoholik, maka menteri DAP yang Kuan Yew adalah ikonnya boleh hormati non-alkoholiknya dengan mengharamkan arak dari MAS tidak kira SIA mengedarkan arak atau tidak.

Loke boleh jadi penjunjung perlembagaan Malaysia yang Islam adalah agama rasminya membuang arak dari MAS supaya semua terkeluar dari senarai laknat Allah. – HARAKAHDAILY 11/6/2018

DOL Keropok adalah watak penting yang pernah menjadi pimpinan penting semasa dalam PAS dan selepas keluar dari PAS menjadi jurucakap lawan mengenai PAS.

Ada dua Dol Keropok yang seakan-akan sama wataknya dalam sepanjang sejarah PAS.

Mula-mulanya disangka satu watak itu saja yang terjadi kira-kira selepas tahun 1964 dulu. Rupanya menjelang patahnya kuasa Barisan Nasional ada juga watak itu lagi. Peranannya dalam politik lebih kurang sama.

Dol Keropok yang pertama boleh dikira orang penting mempromosikan PAS selepas tertubuhnya Parti Islam Se-Tanah Melayu itu. Dia pernah menjadi pentadbir utama parti itu dan pernah juga mengepalai jentera publisitinya yang penting.

Memang dia orang penting yang berjasa yang dikenal oleh semua dan disegani oleh semua. Hebatnya perjuangannya hingga terpilih menjadi anggota Parliman PAS dalam PRU tahun 1959.

Dalam PRU pertama sebelum merdeka dia sudah menjaadi seorang dari sebelas calon parti itu. Semua tahu seorang saja calon PAS menang iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husein di Kerian.

Tahun 1959 dia dicalonkan lagi. Masa itu PRU tidak serentak. Pilihan raya Negeri-Negeri dulu. Selepas itu baru PRU pusat. Keputusan PRN itu PAS berjaya di Pantai Timur saja. Beberapa orang penting dari Pantai Barat diletakkan di Kelantan dan Terengganu termasuklah Dol Keropok. Ini mencerminkan pentingnya Dol Keropok dalam PAS. PAS dari Pantai Barat diterima jadi calon di Pantai Timur dan dia menang.

Dia seorang diri pembahas rang undang-undang pembentukan Malaysia.

Lepas itu dia keluar PAS dan Umno terima pula jadi calon Perikatan. Nasib memihak kepadanya.

Sebagai MP Perikatan kerjanya mengganti Umno mentakwil PAS baik dalam Dewan Rakyat dan di luar dewan. Senanglah Tunku Abdul Rahman Putra sebagai Perdana Menteri dan timbalannya Tun Razak kerana kerja utamanya seolah-olah mempertikai hujah MP PAS.

Boleh dikira penyokong Perikatan yang penting di Parlimen menghujah buah fikiran MP PAS.

Hingga Dato’ Asri Muda sebagai seorang MP PAS pernah menyindir, betapa Yang Berhormat itu adalah jurucakap kerajaan tentang PAS.

Setelah lama Dol Keropok tiada ada lagi orang penting PAS jadi Dol Keropok yang baru, macam patah tumbuh hilang berganti. Watak kedua ini pun penting dalam PAS. Seperti Dol Keropok yang pertama, memilih sendiri untuk berada di luar PAS.

Tidak dipastikan Dol Keropok pertama mengira dia menyambung perjuangan Islam melalui wadah lain, tetapi watak kedua Dol Keropok meletak keutamaan kepda perkhidmatan kepada rakyat.

Oleh kerana Umno sudah hilang peranan selepas PRU14 tiada apalah sejarah Umno untuk diperkata. Yang ada sebagai penyokong kerajaan baru pula untuk dijawab ialah PAS juga.Kebetulan PAS jadi pembangkang juga baik dalam kerajaan lama mahupun kerajaan baru.

Bila PAS buka mulut Dol Keropak baru pun komen. Jurucakap lawan terhadap hal ehwal PAS juga.

Hari-hari akhir Dol Keropok suka kalau dapat bercakap selalu dengan al-marhum Ustaz Hassan Shukri, orang penting PAS yang mati dalam PAS. Dia dikatakan lebih senang berkongsi pandangan dengan rakan PAS lamanya.

Watak kedua baru dalam pengalamannya. Allah saja tahu masa depannya. – HARAKAHDAILY 10/6/2018

TIADA apa yang hendak dikesalkan dengan pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baru yang tentunya sudah dimusyawarahkan oleh Top Enam pimpinan Pakatan Harapan.

Tiada Perdana Menteri Mahathir memandai memutuskannya sendiri menamakan Peguam Negara bukan Melayu/Islam melainkan dirundingkan sesama Top Enam itu dengan harapan tiadalah ia jadi Top Enam Jahanam, imbasan satu jodol wayang Enam Jahanam yang menarik satu masa dulu.

Tiada apa yang hendak dikatakan kerana semuanya tidak bercanggah dengan perlembagaan. Jika orang Melayu dukalara hanya terhadap perlembagaan yang terlepas pandang rasa hati orang Islam. Jika hendak marah dan kesal, marahlah kepada perlembagaan yang disetujui oleh Tunku Abdul Raman dan Tun Razak yang mengepalai rombongan rundingan kemerdekaan di London menjelang kemerdekaan dulu.

Dr. Burhanuddin al-Helmy pemimpin PAS masa itu minta ditangguhkan dulu kemerdekaan itu kerana syarat yang British beri menjadikan ia merdeka separuh masak. Dato Onn sependapat dengan Dr. Burhanuddin. Ada kelemahan pada perlembagaan itu.

Orang Melayu – raja-raja dan rakyatnya – sentiasa bersangka baik kepada semua. Tiada syak dan ragu atas syarat kemerdekaan dan perlembagaan gubalan Inggeris itu. Dari dulu hingga sekarang sekaliannya bersangka baik bahawa perlembagaan dan pengemudinya menjamin kedaulatan, keselamatan, Negara, Melayu, Islam, rakyat dan lain-lain.

Tetapi banyak cerita orang Melayu tertipu. Yang masyhur, rombongan pelayar perang Portugis dikatakan bertemu dengan Raja Melaka minta membeli tanah sebesar belulang lembu di kawasan strategik dengan harga yang luar biasa tingginya. Tidak dipastikan cerita itu benar tapi orang Melayu tahu cerita itu. Moralnya ia adalah satu sindiran kepada bangsa Melayu.

Raja setuju kerana tanah sebesar belulang lembu tidak sebarang kesan. Tetapi Peringgi menjadikan belulang itu tali yang apabila disambung ia menjadi kawasan yang luas. Ia jadi tapak kubu Peringgi menyerang Melaka. Raja dan rakyat tak terkata-kata. Melaka ditawan.

Jaminan Inggeris, Tunku dan Tun Razak tentang perlembagaan itu mungkin dirasai orang ramai kerana kita tidak dapat pastikan penjawat Peguam Negara itu seorang yang peka Islam dan Melayu seperti yang PAS harapkan.

Rakyat gembira kerana baru merayakan pemerintahan BN yang merugikan negara ditumbangkan. Hanya Umno yang terkedu akan kekalahannya. Kini ia terkedu kali kedua kerana pelantikan Peguam Negara yang baru itu. Kebanyakan orng Melayu terkedu sama.

Terkedu itu terkejut. Masing-masing terkejut krana perlembagaan tidak menjadikannya hak istimewa orang Melayu. Bukan semua jaminan orang Melayu itu mesti disebut dalam perlembagaan. Tetapi pemimpin mesti peka apa rakyat majoriti mahu dan tak mahu. Apa yan tiada dalam perlembagaan, pemimpin yang ada wawasan melengkapkan keperluan yang tidak termsuk dalam perlembagaan asal tidak dibuat kerana kezaliman.

Mereka jangan ambil kesempatan atas kekurangan perlembagaan meletak rakyat kecil hati dan jatuh semangat. Kecil hati itu tidak dapat diubat dengan mandi bung atau mandi dengan air dari tujuh kolah masjid.

Orang Melayu yang diasak oleh Umno dengan sikap anti Malaysian Malaysia masih dibelenggu oleh fobia itu. Tidak ganjil bagi DAP meneruskan cita-citanya. Tapi Top Enam Pakatan Harapan seolah-olah memulakan pengisian Malaysian Malaysia itu.

Tommy Thomas seorang pakar undang-undang berwibawa, tetapi rakyat akar umbi mahu penjawat penting dapat menambah motivasi dan inovasi, maju dan membangun. Bagi Islam, Islam itulah sumber motivasinya. Jika tidak percaya tanya DS Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 9/6/2018

SETELAH mendapat pengampunan dan bebas di bawah langit terbuka DS Anwar Ibrahim mengadap Orang-Orang Bergelar di istana-istana.

Saya tengok dalam TV Anwar cium tangan orang bergelar. Saya senyum sendirian.

Lebih 30 tahun lalu semasa Anwar berpolitik non-partisan dia pernah kritik gambar pemimpin saya kerana membongkok kepada seorang bergelar di negara di atas angina.

Ini bukan cara pemimpin Islam, katanya. Saya senyum mendengarnya seperti saya senyum melihatnya mencium tangan seorang bergelar.

Saya tidak tahu adab seorang pemimpin, khususnya pemimpin Islam mengadap orang bergelar. Saya tidak tahu bagaimana Jaafar bin Abu Talib, muhajirin di Habsyah bila dipanggil Najasyi yang masih jahiliyah Nasrani. Adakah dia bersalam saja? Atau berdiri tegak tidak membongkok? Atau membongkok juga macam pemimpin yang dikritiknya?

Nabi SAW banyak menghantar utus sahabat menemui raja-raja jahiliyah menyeru mereka menerima Islam. Cara mana mereka berdepan dengan pembesar asing itu?

Sepanjang Tunku Abdul Rahman Putra menjadi Perdana Menteri saya tidak melihatnya mengangkat sembah raja-raja yang ditemui. Dia tunduk membongkok saja. Mungkin dia pun anak raja juga.Tun Razak pun tidak menyembah. Membongkok saja.

Saya melihat video TG Nik Aziz mengangkat sumpah jadi Menteri Besar Kelantan. Lazimnya pembesar istana mengadakan raptai bagi acara seperti itu.

Tun Datu Mustapa, Ketua Menteri Sabah dulu memberitahu saya, ulama memahamkan kepadanya mengkat dua tangan menyembah orang bergelar tdak dibenarkan Islam. Dia minta Tun Razak memaklumkan kepada sekalian raja. Tun Razak enggan tetapi ayuh kiranya Tun Mustapa sanggup.

Tun Mustapa sanggup. Katanya, mula-mula dia mengadap al-Marhum Sultan Pahang. Baginda tiada masalah tapi tidak sedia bercakap mengenainya dengan lain-lain raja. Beliau mengadap pula Sultan Selangor. Reaksinya positif.

Lepas itu Tun mengadap Raja Perlis. “Aku kena marah,” terang Tun Mustapa. “Lepas itu aku tidak berani lagi,” ujarnya.

TG Haji Hadi pernah membangkitkan isu semasa menjadi Menteri Besar Terengganu. Istana dikatakan tiada masalah tetapi belum bersedia memulakan perbincangan. Mufi Terangganu ketika berpendapat menyembah tidak berdosa tapi tidak berpahala. Bagi TG Haji Hadi, biarlah semua yang kita lakukan berpahala.

Tetapi mencium tangan orang yang dihormati bukanlah satu isu. Keturunan Arab yang dirasakan dekat dengan adab Islam. Peka bagi yang berpangkat muda mencium tangan yang peringkat tua. Bahkan orang sosialis juga mencium tangan orang tua.

Kata Pak Melan, tak biasa anaknya mencium tangannya. Tetapi katanya tentang seorang sosialis Melayu yang pernah didakwa komunis, setiap kali anaknya dan keluarganya yang berpangkat muda mencium tangannya.

Saya pun serba salah kerana setengah penceramah di masjid mencium tangan saya.

Justeru sekalian yang bertemu Khomeini mencium tangannya, peliklah kalau saya terkecuali. Tapi saya kekal mazhab Syafie.

Tidak jadi isu Anwar cium tangan orang bergelar, tetapi ia lebih ketara dari sekadar membongkok. Membongkok tidak seberat menyembah. Jauh lebih ringan dari mencium tangan.

Kritiknya itu 40 tahun dulu. Masa itu politik non-partisan. 40 tahun kemudian politik reformasi pula. Mungkin cium tangan itu gara-gara reformasi yang sudah 20 tahun sekarang.

Jangan transformati sudahlah! – HARAKAHDAILY 8/6/2018

JIKA pujangga Inggeris yang paling agung sepanjang zaman Wiliam Shakespeare ada di zaman kita di Malaysia apa karya yang dapat dihasilkan tentang komedi politik kartun anak Kutty dan anak Bugis menjelang kempen PRU14 dulu.

Silat anak Kutty dan Bugis itu kini dimenangi oleh anak Kutty walaupun atmosfera politik ketika banyak berkesan kepada anak Kutty yang menyindir gurau Perdana Menteri Najib yang berketurunan Bugis.

Saya tidak berhajat menurunkan apa yang bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad kata tentang anak keturunan Bugis itu dan apa yang sebelumnya puak pro Najib kata tentang keturunan Kutty itu.

Saya telah mengulas betapa tidak sihat dan tidak rasionalnya ditimbul dan didedahkan isu Mahathir yang nama famili nenek moyang di India dulu. Hingga dikatakan salinan kad pengenalan menggunakan nama Kutty itu ditunjukkan sebagai bukti di kalangan tertentu.

Justeri ia satu gurauan yang tidak popular dari golongan puak atasan dalam politik kita, seperti meremahkan baka seseorang, maka terhenti sendiri. Memang memalukan pihak yang menimbulkannya.

Tidak diketahui apa reaksi sekalian berdarah Kutty dan suku sakat sekaum Kutty.

Akan tetapi diam saja bila Mahathir pula tidak lama kemudian mengkomedikan darah Bugis pada pemimpin Malaysia masa itu. Saya tidak ulas justeru reaksi keturunan Bugis dari akar umbi hingga ke istana-istana begitu riuh.

Saya sekadar saksikan saja komedi yang tidak sihat itu. Sikap saya terhadap remeh Mahathir tentang suku Bugis itu sama dengan tidak suka saya bila Kutty dibangkitkan. Diam saya itu kerana tidak mahu menyinggung perasaan orang PAS keturunan Bugis seperti Dr. Daeng Sanusi Mariok.

Istana Johor dan istana Selangor ikut murka atas kejadian itu. Mahathir bukan bukan saja dilihat rendah tetapi menuntut dia minta maaf. Mahathir mana pernah minta maaf secara terbuka. Dan tidak dengar dia minta maaf dan menarik balik gurauannya.

Bising anak-anak Bugis sampai ke peringkat antarabangsa. Naib Presiden Indonesia, Yusuf Kala yang berasal dari Bugis memberitahu wakil Malaysaia dalam sidang kemuncak di Istanbul betapa dia tidak senang dengan gurau Mahathir itu.

Sidang kemuncak itu tidak dihadiri oleh Presiden Indonesia dan tidak juga oleh Perdana Menteri Najib. Tetapi acara yang padat itu sempat juga pemimpin Malaysia yang pro Najib menyebutnya kepada Yusuf Kala.

Mungkin kejadian membayang marahnya penyokong Najib terhadap serangan Mahathir kepada Najib dan marahnya Mahathir terhadap politik dan pimpinan Najib. Mungkin sifat orang marah agaknya begitu. Keturunan orang dimarah dibabitkan sama. Tetapi tidak dapat mengawal marah itu bukan sifat bagi bangsawan dan negarawan.

Orang bawah dan berpendidikan rendah tidak wajar terlanjur sampai begitu.

Tidak diketahui nama Mahathir di sisi orang bergelar negeri-negeri dan sekalian yang tidak senang dengan keturunan Kutty yang meremah keturunan Bugis sekarang. Keturunan Kutty itu menjadi Perdana Menteri semula sekarang.

Anak Bugis iu sudah tidak ada apa-apa lagi sekarang. Masa depannya tidak diketahui. Anak Kutty dapat jadi Perdana Menteri semula. Anak Bugis rasanya tiada akan jadi Perdana Menteri lagi.

Bagaimana orang kata Kutty padanya dan bagaimana pula kedudukan sekalian anak Bugis terhadapnya. Pada Idilfitri ini lupakanlah. Anak Kutty lupakan anak Bugis dan anak Bugis pun lupakan anak Kutty. Anak Kutty dan anak Bugis adalah sebahagian dari anak Malaysia. – HARAKAHDAILY 4/6/2018

MENGAPA tiga Adun BN Johor, belum sempat angkat sumpah, keluar Umno untuk menyertai Bersatu dan di Perak ada yang jadi Adun Bebas?

Mereka menyertai Umno kerana Umno sentiasa menang, bukan kerana ia parti keramat memperjuangkan politik orang Melayu.

Jika masuk Umno untuk menang, maka Umno boleh kalah dan sudah kalah. Yang tiga masuk Umno itu menang, tetapi Umno di negeri Johor kalah. Mereka pun cari parti yang menang. Jika menang iu kalah pula lima tahun nanti dan ditakdirkan PAS pula menang akan masuk PASkah mereka?

Jika masuk Umno kerana ia menang, ia sudah kalah. Jika masuk dulu kerana Allah dia tidak akan kalah. Tidak diketahui yang dalam Umno sekarang kerana apa mereka masuk Umno dan bagaimana apabila Umno kalah ssekarang. Jika masuk Umno bukan kerana Allah, bila ia kalah akan habislah Umno, kalau masuk Umno itu kerana Allah seperti masuk PAS, Umno tidak habis sseperti PAS payah habis.

Kalau masuk Umno kerana Allah dan kalau keluar, keluarlah kerana Allah. Atau kerana masuk Umno bukan kerana Allah, bila ia kalah boleh keluar kerana Allah tetapi bukan kerana hendak masuk Bersatu. Jika Umno ditinggalkan kerana Allah, pilihlah PAS kerana PAS ditubuhkan kerana Allah.

Tetapi ada juga orang masuk PAS bukan kerana Allah, tapi kerana mereka sendiri yang tahu. Al-Marhum Haji Hassan Adli pernah bermasalah dengan PAS hingga terlucut jawatan Ketua Dewan Pemuda yang disandangnya.

Dalam ucapan penangguhannya dia berkata, “Hasan Adli masuk PAS bukan kerana Dr. Burhanuddin. Hasan Adli masuk PAS bukan kerana Zulkifli Mohamad. Hasan Adli masuk PAS kerana Islam.” Bergemuruh sorak dn takbir, Hasan Adli dinobatkan sebagai Panglima Jihad. Belum ada yang lain dari PAS jadi Panglima Jihad kedua.

Masuklah PAS kerana Allah! Kalau masuk PAS kerana Haji Yusof Rawa. Haji Yusof Rawa mati. Bila Yusof Rawa mati, ada anaknya keluar PAS. Masuklah PAS bukan kerana Ustaz Fadzil Noor. Ustaz Fadzil juga mati. Bila dia mati ada anaknya tidak jadi PAS lagi. Ramai yang sangat senang dalam PAS kerana dapat bersama TG Nik Aziz. Tok Guru Nik Aziz juga mati. Bila Tok Guru Nik Aziz mati, anaknya lawan calon PAS di Dun Cempaka, kawasan Tok Guru dulu.

Masuklah PAS kerana Allah seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq bersama Islam. Apabila Rasulullah SAW wafat, Saidina Umar al-Khatab mengangkat pedang berkata, siapa kata Muhammad wafat nescaya lehernya dipenggal.

Maka berkata Saidina Abu Bakar, siapa menyembah Muhammad, Muhammad sudah mati. Siapa menyembah Allah, Allah tidak mati.

Jadilah seperti Saidina Abu Bakar bersama Islam bukan kerana Muhammad SAW tetapi kerana Allah. Jadilah seperti Hassan Adli jadi PAS bukan kerana Dr. Burhanuddin dan Prof. Zulkifli Mohamad tetapi kerana Islam.

Ramai anak-anak pemimpin bersama PAS kerana bapanya pemimpin PAS. Selepas bapanya tiada lagi ramai meninggalkan parti bapa mereka. Mengapa?

Antaranya mereka jadi PAS kerana bapanya. Bila bapanya sudah tidak ada, maka komitmennya pun habis. Hanya yang menyertai PAS kerana Allah kekal dalam PAS setelah perginya sekalian pemimpin PAS tadi.

Berbagai dalih diberi kerana keluar PAS, tetapi sejuta yang menyertai PAS kekal bersama PAS, setengah anak pemimpinnya saja meninggalkan PAS. Sejuta itu kekal bukan kerana dipimpin TG Haji Hadi. Jangan masuk PAS kerana Haji Hadi. Masuklah kerana Islamnya. Haji Hadi akan pergi, PAS tidak pergi. – HARAKAHDAILY 2/6/2018

MENJADI tanda tanya buat mahkamah dan SPRM tidak menyegerakan kes rasuah terhadap Lim Guan Eng hingga Ketua Menteri Pulau Pinang itu sudah jadi Menteri Kewangan sekarang.

Guan Eng sudah didakwa di mahkamah dan DAP pun sudah menyediakan calon ganti Ketua Menteri jika belaku sesuatu yang tidak memihak kepadanya.

SPRM tentulah yakin ia ada hujah kuat untuk mensabitkannya. Ia tidak sekadar main-main atau berjenaka untuk menyusahkan politik pemimpin DAP itu. Kes yang melibat maruah seseorang dan parti politik baik pembangkang atau orang yang tidak digemari kerajaan tidak dijadikan mainan kerana ia melibatkan kerajaan kehidupan rakyat.

Guan Eng sebagai orang politik maka kesnya perlu disegarakan, tidak boleh ambil masa selesa untuk menyelesaikannya. Bila berlama-lamaan kes iu ditangguh menyebabkan rakyat gelisah apakah mereka diperintah orang rasuah atau tidak?

Kita sudah ada pengalaman dengan kes DS Anwar Ibrahim. Sekitar 20 tahun rakyat berteka teki tentang maruahnya, sahihkah atau tidak?

Bila Guan Eng didakwa ia mesti diselesai segera kerana dia adalah calon yang dalam PRU14. Maka ia seboleh-bolehnya diselesaikan sebelum PRU.

Soal BN dan Najib ditohmah berpolitik dengan kes itu tidak berbangkit lagi. Bila seorang politik besar didakwa rasuah tentu menyebabkan ada tohmah politik. Itulah yang kata terhadap kes Dato’ Harun Idris dan Anwar dulu. Betul politik atau tidak, tidak dapat hilang sangkaan orang ia bermotif politik. Tetapi SPRM dan mahkamah atas peranan mengatasi semua prasangka politik. Apa orang sangka adalah masalah lain. Mahkamah dan SPRM bebas jalankan kerjanya.

Kes Guan Eng dikatakan cukup saksi, ada tuan rumah yang disewanya menjual rumah itu dikatakan dengan harga yang murah dari harga pasaran. Payah memikir orang lain boleh dapat harga serendah yang disetujui.

Bagi masyarakat yang peka rasuah kejadian dikatakan berlaku itu menarik perhatian untuk ditakwil, apa lagi Guan Eng dan partinya DAP adalah juara anti rasuah. Ada yang mengira ia seimbas kes Dr. Khir Toyo dulu. Biarlah apa orang kata tapi mahkamah kearifan tak sama mentafsir dan menghakimi yang seimbas. Lain hakim lain tafsirnya. Umumnya mengira apapun keputusan hakim ada arif.

Masa cukup bagi kes itu dibicarakan sebelum PRU. Hakim Raja Azlan Shah tidak teragak-agak menghakimi kes Dato’ Harun yang disayangi ramai masa itu. Kerajaan dan hakim-hakim tidak teragak-agak membicara dan menghakimi kes Anwar yang ditangis ribuan orang.

Tetapi mengapa kes Guan Eng dilambat-lambatkan. Kita bukan hendak melihat Guan Eng dipenjarakan, tetapi kita tidak mahu Guan Eng tergantung-gantung menunggu kesnya. Dia banyak kerja dan jika boleh jangan ia mengganggu tugas dan gerak politiknya.

Jawapan tidak ada.

Dengan dia sudah dijadikan menteri kewangan sekarang, maka lebih memayahkan semuanya untuk mengendalikan perkara itu.

Adakah kesnya akan terus sedang dari sekarang menghadapi tugas besar menyelesaikan kes 1MDB dan pemulihan ekonomi negara yang dikatakan tenat?

Perdana Menteri Mahathir adalah pintar dengan dalih-dalih mengapa ia mesi diteruskan dan mengapa tidak diteruskan. Tiada kisah baginya kerajaan ada moral atau tidak. Tetapi dia yang membersihkan apa yang sangka para penyangkat masa lampau, memulakan kerajaan baru dengan membiarkan menteri kewangan memikul kes rasuah yang tidak selesai.

Apakah pantas mahkamah dan SPRM memeram saja kes itu dan membiarkan Guan Eng mati dengan rasuah yang tidak selesai? – HARAKAHDAILY 1/6/2018

APAKAH sama kerajaan campuran yang PAS-Perikatan yang Tun Razak dan Dato’ Asri cuba tahun 1973 dengan kerajaan perpaduan yang PAS cadangkan negeri-negeri yang tidak cukup majoritii dalam PRU14 pada 9 Mei lalu?

Semua parti yang ada Adun di negeri-negeri tersebut membentuk kerajaan bersama yang tiada pembangkang.

Semua kata cadangan PAS kartun dan satu konsep sempurna mengapa PAS tidak wujudkan itu di negeri yang dikuasainya di Kelantan dan Terengganu.

Pemikir poltik tidak ingat, itulah pemikiran yang ada pada pemimpin PAS dan Perikatan apabila Dato’ Asri dan Tun Razak setuju membentuk kerajaan campuran di Kelantan dan Terengganu tanpa pembangkang tahun 1973. Kira-kira ia tidak terbatas di Kelantan dan Terengganu saja, bahkan konsep itu terpakai di seluruh negara sekalipun PAS tiada Adun di setengah negeri.

Cuma keperluan tahun 1973 itu tidak sama dengan tahun 2018. Tahun 1973 itu PAS punya majoriti yang cukup di Kelantan dan Umno cukup majoriti di Terengganu. Keperluan tidak berbangkit tiada pihak dapat membentuk kerajaan. Sekolah dan guru politik belum membuat kajian akademik mengapa Tun Razak dan Dato’ Asri mewujudkan sistem itu.

Adapun kerajaan perpaduan yang dikenal dengan UG telah lama disaran oleh TG Haji Hadi, maka itu juga yang menimbulkan persepsi PAS hendak masuk Umno/BN. TG tak pernah menarik balik gagasannya sekalipun ada orang PAS tidak bersama PAS dalam PRU14.

Keperluan kerajajan perpaduan itu timbul semua apabila Perak dan Kedah tidak dapat majoriti mudah untuk membentuk dan Adun PAS boleh menentukan kerajaan. Bagi Kelantan dan Terengganu yang PAS punya majoriti besar perkara itu tidak berbangkit dan keperluannya belum difikirkan masa ini.

Yang terdesak ialah Perak dan Kedah tidak boleh membentuk kerajaan. Kedah boleh bentuk kerajaan yang selesa kiranya PAS setuju bentuk kerajaan campuran dengan Harapan. Bagi membentuk kerajaan campuran dengan BN yang ada tiga saja tidak memberi kelebihan kepada Harapan yang ada 18. PAS dan BN 18 juga. Bila seorang jadi Speaker tinggal 17. Siapa jadi kerajaan akan buntu dengan keadaan demikian.

Di situlah PAS boleh jadi kingmaker jika dibentuk kerajaan perpaduan tanpa pembangkang. Siapa hendak jadi Menteri Besar? Boleh dirundingkan. Sebulan seorang atau enam bulan seorang. Atas nama perpaduan, Umno yang tiga saja boleh ada gilirannya.

Bagi Perak dengan Adun Harapan teramai memerlukan sokongan PAS dan BN juga boleh membentuk kerajaan jika disokong tiga Adun PAS. PAS boleh memilih tetapi unjuran terbaik ialah ketiga-tiga parti membentuk kerajaan perpaduan. Jika ia disetujui dan diperkenan oleh istana, Perak boleh menjadi contoh dan perhatian dengan Islam dan demokrasi. Sultan boleh jadi pengaman cara.

Saranan PAS itu terbaik jika tidak sebarang opotunis dari Umno. Oleh kerana Umno sentiasa ada opotunis, cadangan PAS tidak sempat ditimbangkan oleh pari-parti yang terlibat.

Saranan PAS adalah untuk suasana dan masa tertentu. Pada waktu yang singkat ini tiada keperluan untuk menjalannya di negeri yang dikuasainya, pertama ia belum diperlukan dan kedua untuk berkongsi kuasa dengan Umno dengan belenggunya yang tidak terpikul, membebaskan PAS menanggung dosanya yang banyak. Dengan Umno pula tiada berkuasa kecuali dan Kuantan dan Kangar tidaklah bijak PAS menanggung biawak hidup.

Perak dan Kedah keadaannya dharurat. Belenggu Umno ada, tapi negeri itu mesti diselamatkan. – HARAKAHDAILY 30/5/2018