KEJAYAAN calon BN, Ramli Mohd Nor dalam PRK Cameron Highlands dari suku Orang Asli mencerahkan taawun PAS-Umno boleh dimulakan sebagai strategi bersama PRU15.

Setakat ini strategi PAS untuk PRK hingga PRU15 ialah satu lawan satu. Ia telah dilaksanakan sepanjang PRK pasca PRU14 dan jerat itu sudah mengena di Cameron Highlands. Formula yang PAS pakai untuk menyokong calon BN ialah Islam memimpin, satu rahmat yang Allah sejak diturunkan ke bumi.

Apakah ia dinyatakan secara terang atau sir tengok hikmatnya. Rasulullah SAW menyebarkan Islam di Mekah secara sir dulu. Hari pertama Umar al-Khatab menerima Islam mahu tidak sir lagi. Ingat beberapa ketika Allah mewahyukan dakwah terbuka.

Semua itu perkembangan zaman Assabiqun – kumpulan pertama mula-mula menerima Islam. Mesej yang baginda dan Assabiqun bawa ialah Islam memimpin. Itulah yang dicapai di Madinah.

Formula yang PAS perkenalkan di muktamar di Terengganu beberapa bulan dulu belum disyaratkan kepada Umno. Dakwah itu dipercayai sudah tiba. Itulah pegangan setiap agama, satu-satunya diterima di sisi Allah. Jangan was-was berpegang dengan formula Allah.

Dr. Asyraf Wajdi mendedahkan analisis Dr. Kamarul Zaman Yusuf dari UUM, jika Umno-PAS bertaawun dalam PRU14 dulu, PH tidak dapat tawan Putrajaya dan Anwar Ibrahim pun tak terampun lagi. Taawun PAS-BN boleh raih 126 kerusi Parlimen, sapu bersih empat negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. Majoriti 2/3 di beberapa negeri seperti Perak, Selangor, Johor dan lain-lain.

Setahun sebelum PRU14, setelah lama tidak bertemu Cikgu Mustafa Ali kami bermotokar jauh. Dia tanya saya kemungkinan PAS-Umno taawun PRU14. Dia yakin jika ada taawun, BN-PAS mungkin boleh tubuh kerajaan 2/3.

Saya terkejut lontaran itu dari Mustafa. Kami bercakap panjang tentang pro dan kontranya.

Saya tidak tolak ia boleh dicapai. Jika taawun ada andaian itu tidak mustahil. PAS mungkin dapat bentuk kerajaan bersama BN. Yang payah bukan memenangi PRU itu, tetapi taawun itu yang payah dicapai.

Risiko tetap ada pada PAS. Jika risiko itu rendah, kalah menang tidak banyak kesan dan untungnya. Lagi tinggi risikonya lagi besar padah atau lebih besar pula untungnya.

Semua percaya tidak susah bagi Najib menerima taawun, mahal dia berkehendak sangat perkiraan itu. Dia dipercayai orang tahu betul-betul tahu isi dan luaran politik kerajaannya.

Yang menghalang taawun itu kiranya disetujui oleh PAS ialah kumpulan Tengku Razaleigh dan Umno Kelantan pimpinan Mustafa Mohamad.

Perpecahan PAS dengan Pakatan Rakyat dan pergolakan dalam PAS sehingga ada yang membentuk parti bagi menggantinya dalam kerjasama pembangkang adalah peluang terbaik bagi Umno untuk menebus kekalahannya 28 tahun di Kelantan.

Pertandingan tiga penjuru dikira PAS tidak dapat mempertahankan kuasanya, maka BN yang dikira gagah lagi akan dapat membentuk kerajaan di Kelantan.

Isi penghalang taawun payah dicapai.

Dan masalah besar yang PAS hadapi ialah taawun pada masa itu akan mengekalkan Najib sebagai Perdana Menteri. Ia adalah perkara payah yang PAS terpaksa pikul.

Jika beberapa perkara itu PAS dapat atasi dan Najib juga dapat atasi, Putrajaya tidak akan terlepas kepada PH dan dengan tiga penjuru itu pun PH tidak tunggu harapan, apa lagilah kalau ada taawun.

Dengan semua kepayahan itu PAS ambil jalan tengah. BN tidak PH pun tidak, seperti barat tidak, timur pun tidak, Islam di tengah. Taawun pilihan terbaik menghadapi PH. – HARAKAHDAILY 2/1/2019

YANG di-Pertuan Agong ke-15 mungkin terfikir, akan tetapi pacal-pacal rakyat seluruhnya tidak terfikir baginda akan turun takhta sepertengah penggal.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah dipercayai tidak terfikir sebelum pengunduran Sultan Muhammad V itu untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh yang terdekat.

Tetapi yang terjadi Pemangku Sultan Pahang dikehendaki Allah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam tempoh menjelang sebulan.

Dan mungkin Sultan Nazrin, Sultan Perak yang menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong dua tahun lalu mungkin akan menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong paling lama dalam sejarah setakat ini. Tetapi itulah aturan Allah.

Sultan Abdullah sekian lama sejak ayahanda baginda gering. Sekalipun baginda waris terdekat takhta Pahang, tidak berbangkit bila baginda akan naik takhta. Teruslah urusan singgahsana selagi ayahanda baginda gering dan selagi tidak ditabalkan naik takhta. Sekalipun turun takhta berlaku di mana-mana tetapi jarang-jarang, tidak siapa di Pahang Sultan Ahmad Shah akan turun takhta segering mana sekalipun.

Tetapi apabila takhta Agong kosong, sedang gilirannya adalah Sultan Pahang, keadaan pula dikira tidak selesa bagi raja yang gering demikian naik takhta, baginda Sultan pun serta merta diumumkankan turun takhta beberapa hari sebelum para sultan memilih pengganti Agong.

Maka Tengku Abdullah naik takhta sekali gus jadi calon Agong yang pertama mengikut giliran. Dalam keadaan biasa Majlis Raja-Raja tidak membuat kejutan menolak sultan dalam gilirannya seperti pada pemilihan Agong pertama.

Ikut kanan raja semasa merdeka ialah Sultan Johor, selepasnya Sultan Pahang. Ketika baru Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Dari maklumat saya masa bersekolah dulu, Al-Marhum Sultan Ibrahim Johor menarik diri. Diketahui semua. Tiada maklumat al-Marhum Sultan Abu Bakar Pahang menarik diri. Tetapi Istana Negara mengumumkan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan jadi Agong yang pertama.

Sekalipun sudah 62 tahun merdeka, tiada yang tahu mengenainya.

Maka Sultan Abdullah beberapa minggu saja naik takhta menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. Daulat Tuanku! Agong sebelumnya bertahun-tahun menunggu giliran dan ada yang tidak sempat jadi Agong.

Bagi yang jahil dengan protokol pemilihan Agong menganggap Sultan Nazrin yang jadi Timbalan dan pernah memangku takhta menjadi Agong yang baru. Tapi dalam keadaan normal giliran baginda sepuluh tahun lagi.

Giliran Perak yang kedua adalah selepas Pahang dan Johor. Sekitar tahun 2029.

Adapun baginda jadi timbalan sebelum ini justeru Pahang dan Johor menolak. Jika Perak juga menolak, ia kembali kepada senarai pertama dulu iaitu Negeri Sembilan.

Jadilah Sultan Nazrin Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Adakah mulahazah sekalian dalam tempoh yang singkat jadi Sultan, al-Sultan jadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Sangkaan semua selepas Sultan Muhammad V, giliran Sultan Nazrin. Biasanya bila takhta Agong kosong timbalanlah yang jadi Agong.

Tetapi sistem yang terpakai, yang mungkin tidak terfikir kita Sultan Nazrin akan jadi Timbalan Agong paling lama dalam sejarah. Semasa Sultan Muhammad V sudah dua tahun lebih baginda jadi timbalan. Semasa giliran baginda tiba selepas Pahang dan Johor ada sepuluh tahun lagi. Kira-kira lebih 12 tahun.

Ia mungkin lama atau mungkin sebentar, tetapi selama 12 tahun ini baginda sentiasa dalam siap siaga terhadap pemerintahan negara dan takhta kerajaan. Justeru itu juga satu perkhidmatan baginda meraih pengalaman semasa muda dan semasa tua. – HARAKAHDAILY 30/1/2019

 

PADA Islam dan Melayu menari beregu laki-laki dan perempuan ada maksiatnya, tetapi tidak termasuk sebagai perkara jenayah yang boleh dihukum oleh tok-tok hakim di mahkamah.

Apa lagilah yang menari itu pengamal undang-undang dalam acara tradisi tahunannya. Hakim itu tukang hukum sekalian penjenayah. Peguam Negara dan pegawai di bawahnya adalah tukang dakwa sekalian kesalahan jenayah.

subkyApabila tok hakim dan tukang dakwa sama-sama menarik di premis dan acara tradisinya, ia adalah petunjuk maksiat tarian itu tidak termasuk dalam kesalahan jenayah.

Nak marah pun tidak boleh kerana sekaliannya adalah ahli yang arif. Tiada siapa boleh mendakwa mereka kecuali mahkamah rakyat, itu pun rakyat berbangsa Islam saja. Bahkan pengamal undang-undang rasmi itu mungkin menggunakan peluang dari kerajaan sekarang yang memberi peluang luas kepada semua mengamalkan kebebasan.

Cengkaman kebebasan itu dilonggarkan bagi pentadbiran kali kedua PM Mahathir dan kali pertama puak-puak pembangkang merasa jadi kerajaan. Dalam alam baru ini, orang yang dulu bersama Islam tetapi sejak bersama sistem baru pemerintahan sekarang, maksiat bagi Islam seperti menari itu dirasa remeh, tak perlu diisukan sangat.

Cuma yang boleh ditakwil para pengamal rasmi undang-undang itu hanya wilayah kita ini bermoralkan Rukun Negara. Itupun tiada yang khusus penari Yang Arif itu disabitkan apa-apa kelemahan moral.

Rukun Negara itu lebih kepada mengawal moral dan hawa nafsu yang bersifat nipis. Jika menari itu termasuk perkara pengaruh hawa nafsu, ia nafsu ringan, bukan nafsu serakah. Ruang lingkup Rukun Negara ini saja boleh diguna sebagai ruang membincang dan mentakwil para yang arif itu.

Rakyat dan negara sesudah kemerdekaannya kian tua, penat dengan isu dan amalan rasuah dan penyelewengan kelas pertama. Amat jijik najis jenayah rasuah dan penyelewengan kuasa itu. Hanya iman tok-tok guru jadi azimat bebas rasuah buat mereka.

Alangkah gembira dan rahmat bagi semua apabila sistem pengumpul rasuah dan penyelewengan itu dapat ditumpaskan dalam PRU pada 9 Mei tahun lalu.

Ia dikira dan tingginya harapan Malaysia baru ini menjadi syurga untuk semua, dijauhkan dari sebarang pengaruh hawa nafsu bentuk baru. Inilah yan semua harapkan dari pimpinan Mahathir sekali lagi ini. Kita tahu dia berdepan dengan menterinya yang kurang kompeten dan penyokong yang darjah dan tanggungjawab moralnya yang tidak seragam.

Yang dilihat nafsu oleh Islam dan Melayu tidak lihat sama oleh yang lain. Bahkan nilai moral dan nafsu baik Islam itu sendiri tidak dilihat sama oleh Mahathir sekalipun dia Islam. Maka dalam suasana semua hendak melepaskan kekangan kebebasan salama ini, semuanya bertindak ikut suka sendiri yang dengan sendirinya ikut hawa nafsu.

Tarian tok-tok hakim amat dan banyak kejadian lain amat menghiris hati setengah rakyat yang benci pada rasuah dan amal buruk pimpinan politik dulu. Semuanya menyambut perubahan bagi diisi dengan yang menyenangkan semua.

Dengan segala perkembangan kerajaan sekarang, yang dilihat buruk dan dibenci dulu seolah-oleh lebih baik dari zaman pembaharuan dan perubahan ini.

Amat malang apabila pembenci keburukan dulu lebih baik dari yang melanda sekarang. Buruk dulu mungkint idak seburuk sekarang. Semuanya tidak membantu Mahathir dan Anwar keluar dari mulut buaya tidak masuk ke mulut naga.

Kita marah rasuah tapi kita masuk mulut naga. Yang tok hakim itu sama seperti rela ditelan naga. – HARAKAHDAILY 28/1/2019

DIRGAHAYU dan tahniah atas ulil amri baru Pahang, moga-moga bertuah rakyat atas sultan barunya.

Gembira kita sekalian atas ulil amri ini justeru penampilan pertama sebagai pemerintah dan ketua agama Islam Pahang beraja perempuankan seorang yang bertudung, sultan pertama sejak merdeka beristerikan seorang yang bertudung.

Penampilan begini membebaskan baginda dari dosa isteri tidak bertudung. Bila baginda bebas dari dosa itu, tentulah baginda dilimpahi pahala. Raja Perempuan pun tidak berdosa bahkan berpahala. Dan sekalian laki-laki yang hadir dalam istiadat pemasyhuran naik takhta itu tidak berdosa termasuklah Tuan Muftinya.

Mufti Pahang bertuah berbanding dengan lain-lain mufti terkena dosa dalam istiadat demikian kerana sekalian Permaisuri tidak menutup aurat.

Pertama kali Mufti dan lain laki-laki terpandang Raja Perempuan tidak bertudung belum berdosa, tetapi pandangan kedua dan seterusnya sangkutlah dosa itu. Setiap kali terpandang banyaklah dosa yang terkumpul. Raja berdosa, Permaisuri berdosa, semua berdosa.

Allah tidak mengecualikan dosa itu atas status masing-masing dalam masyarakat. Tok Guru Nik Abdul Aziz dulu, terkenal zuhudnya, bila bertembung keadaan demikian berdosa juga. Dari aspek ini Sultan Abdullah melepaskan orang lain dari dosa. Besarlah pahala orang yang melepaskan orang lain dari berdosa.

Begitulah layaknya seorang ulil umri. Sebagai ketua agama tidak sekadar sedap jadi ketua agama, tetapi mestilah memelihara tanggungjawab dan hak ketua agama itu. Agama itu bukan untuk orang lain bahkan ia untuk khalifah juga. Jika khalifah kencing berdiri, nescaya pacal kencing berlari.

Daulatnya Islam dan umat Islam apabila ketua agamanya memelihara kewajipannya yang banyak itu. Jadi ketua itu bukanlah senang apa lagi menjadi raja. Dan Sultan Abdullah telah memulakan peranannya dengan baik, dan moga-moga kerja yang terpuji itu membantu baginda menyambung seterusnya dengan kerja yang baik juga.

Tidak semua orang berpeluang menjadi raja dan mungkin ramai yang tidak berpeluang itu mahu menjadi raja jika ada peluang. Tetapi ada juga orang yang sudah jadi raja, kalau boleh tidak mahu jadi raja lagi.

Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V tidak sedia menamakan tempoh penggal lima tahun. Tidak terus jadi Agong lebih selesa bagi baginda. Yang belum jadi Agong menunggu giliran tetapi yang sudah jadi Agong belum tentu jadi Agong kali kedua.

Jadi raja termasuk jadi Agong bukanlah satu kedudukan yang ditunggu atau direbut. Ia adalah satu tanggungjawab dan beban amanah yang besar.

Saidina Abu Bakar as-Sidiq menolak tawaran majlis syura menjadi khalifah yang pertama dengan alasan beliau bukan orang yang terbaik. Jawatan khalifah itu tidak boleh kosong. Mesti ada yang mengisinya. Bukan soal beliau terbaik atau kurang baik, tetapi apabla ditetapkan beliau jadi khalifah, maka tiada wajar baginya menolak.

Khalifah, raja atau ulil amri bukan suatu yang diminta, tetapi suatu yang diamanahkan. Sesiapa yang meminta dirinya menjadi ketua atau tidak akan menolak jika dicadangkan jadi ketua, akan dia adalah orang yang paling tidak layak untuk jadi ketua.

Pahang adalah negeri yang dimasyhurkan dengan Darul Makmur. Jika Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Musta'in Billah Shah yang memulakan penampilan ulil amri yang baik itu moga-moga dapat melimpah keadilan, terkabullah ia sebagai wilayah benar-benar makmur. Moga-moga raja-raja lain tercabar dengan perkembangan di Pahang itu. – HARAKAHDAILY 27/1/2019

SAYA belum sentuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang tidak jadi direbut sama-sama calon India apabila MIC memberi laluan kepada calon BN dari Orang Asli.

Yang saya mahu dari PRK itu ialah peluang menang diberi kepada Orang Asli yang belum pernah menyertai pilihan raya sejak merdeka.

subkyYang menarik saya tentang Cameron Highlands sekarang ialah masanya tiba nama itu digantikan dengan jati Malaysia seperti yang pernah saya cadangkan bagi Port Dickson semasa PRK yang memenangkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dulu.

Nama semula nama tempat itu hatta disempenakan dengan nama Anwar sekalipun. Atau ambil apa nama saja seperti menamakan Port Swettenham dengan Pelabuhan Klang dan Teluk Anson jadi Teluk Intan.

Orang mungkin sangka Tun Mustapa Datu Harun pemimpin Sabah merdeka dulu tidak senasionalis pejuang kemerdekaan dari Semenanjung, tetapi darah nasonalisnya menukar kota yang penjajah namai Jesselton kepada Kota Kinabalu.

Entah apa persepsi Almarhum Sultan Idris Perak pada Teluk Batak, tapak pangkalan TLDM Lumut sekarang lalu baginda namai ia Teluk Batik. Batak adalah satu suku di Sumatera. Ramai suku Batak itu di Semenanjung sebelum merdeka. Tiada yang tahu cucu cicit Batak itu sekarang kerana semuanya jadi Melayu termasuklah nama tempat yang memakai nama Batak tadi dipadamkan.

Tun Mustapa dari pedalaman Sabah boleh memalaysiakan Jesselton sebagai Kota Kinabalu, malulah orang Pulau Pinang mengekalkan Georgetown yang Inggeris namai bagi Bandaraya Pulau Pinang sebagai Georgetown. Sejak sebelum Inggeris datang tempat itu dikenali sebagai Tanjung. Selepas merdeka pun ia dipanggil Tanjung

Sekumpulan orang Pulau Pinang, Cikgu Mohd Nor Ahmad selepas merdeka menuntut Tanjung menggantikan Georgetown. Bila Dr Lim Chong Eu jadi Ketua Menteri dikekalkannya Georgetown.

British yang memerintah Pahang yang ibu negerinya Kuala Lipis menamakan gunung atau bukit itu Cameron Highlands. Hawa dinginnya seperti England itu amat nyaman bagi Orang Putih yang berkampung di Pahang.

Pembesar Melayu yang dijaga dan dididik Inggeris sedap dengan nama yang Orang Putih bagi hingga semuanya lupa nama asal tanah tinggi itu,

Sejak Inggeris campur tangan di Pahang, Cameron Highlands dijadikan tempat peranginan terkenal dan sekarang masih jadi tumpuan pelancong dan tempat rehat pegawai dan saudagar bercuti.

Sekalipun lanskap Malaysia sudah banyak berubah, jauh majunya sejak merdeka, Cameron Highlands juga berkembang, tetapi masih banyak daranya sekali pun ia ikut digondol.

Dengan PRK pada 26 Januari ini bukit itu jadi tumpuan semua. Siapa jua yang menang dan kalah, ia akan sunyi semula berakhirnya PRK. Ia direbut semula pada PRU15 nanti.

Eloknya langkah diambil oleh kerajaan negeri memalaysiakan Cameron Highlands sesuai dengan semangat baharu politik negara sekarang.

Dengan nasionalistik tidak menjadikan Cameron Highlands tambah maju serta merta dan tidak pula mengurangkan roh kemerdekaan yang ada itu. Ia tidak menjadikan kita lebih berwibawa dan tidak juga menjadikan bersemangat penjajah semula.

Tetapi jati diri nasional boleh diserlah.

Apa lagi dengan Sultan barunya, Al-Sultan Abdullah, mungkin mahu menghias Pahang dengan jati diri yang lebih ke depan sesuai pembaharuan yang dicita-cita baginda. Namakan apa saja. Bukit Mat Kilau, Bukit Datuk Bahaman, Gunung Makmur, Tanah Inderagiri dan lain-lain.

Biar Pahang lebih Malaysia baru. - HARAKAHDAILY 24/1/2019

SUDAH 63 tahun lebih merdeka dan Dewan Bahasa dan Pustaka wujud lebih awal, bahasa Melayu dengan ejaan-ejaannya, jawi dan rumi berkembang mengikut kemajuan dan kelajuan pembangunan dan rakyatnya.

Subki 1Bahasa Melayu mengikut asalnya mungkin dipengaruhi bahasa dan kata-kata Sanskrit, Bangala dan suku sakat itu. Terutama zaman Hindu dan Budhanya. Bila datang Islam ia ikut pengaruh Arab dan Parsi. Datang Inggeris berkembang lagi.

Bahasa manapun demikian dipengaruhi oleh masa dan perkembangan. Hanya Latin dan Yunani – Greek – dikira bahasa mati tidak dipengaruh oleh sebarang perkembangan. Arab yang dikukuh dengan bahasa al-Quran pun mengambil pakai kalimah Parsi dan barat.

Begitulah bahasa dan istilah terpakai dan berkembang mengikut pertuturan dan pemakaian bahasa. Betullah dulunya kalimah baru itu asalnya baharu. Tetapi perkembangan setengah kalimah yang ada ha di tengahnya, ha itu sudah tidak diguna lagi.

Ejaan baharu dulupun tidak seragam. Orang Kelantan mengeja nama ibu negerinya Kota Bharu. Johor pula mengeja Johor Bahru. Bila Selangor membuka penempatan di Kuala Lumpur diejanya Kampung Baru.

Kita hendak kata baru betul atau baharu betul. Dewan yang ada autoriti bahasa cuba mengembalikan kalimah asalnya baharu. Hampir 100 tahun kalimah pakai semula ialah baru.

Zaman Dato’ Onn, mereka tidak kata merdeka itu merdeka. Lidah dan tekaknya memakai kalimah merdeheka. Indonesia menyenangkan dengan merdeka. Maka siapa yang kata merdeheka adalah Melayu sebelum merdeka.

Melayu yang maju terutama media ekonomi, ruang dan ejaan, memendekkan mana kalimah yang boleh dipendek. Rata-rata tidak gunakan sahaja seperti dulu, tapi guna saja. Dulu mereka guna dahulu, kini dulu saja.

Saya yang kita guna sekarang dari sahaya. Sahaya itu kata sinonim hamba. Setengah orang dulu membahasakan dirinya hamba. Maksudnya sahaya. Hamba sahaya merujuk kepada maksud kaum hamba abdi. Masih ada orang Melayu pakai kalimah sahaya. Tetapi umumnya tak pakai demikian lagi sebaliknya saya.

Orang jarang lagi gunakan kalimah bahagi, tetapi bagi saja. Bahagi tinggal istilah matematik iaitu bahagi selain daripada campur, tolak dan darab.

Justeru, Umno sebelum merdeka menggunakan terma bahagian, terpakailah itu tapi ada yang menggunakan bagian.

Inggeris sendiri tidak lagi menggunakan bahasa dan kalimah yang dipakai seribu tahun dulu. Bibel purba guna thau, thee dan lain-lain. Orang sekarang tak faham. Bahasa rasmi Amerika adalah bahasa Inggeris. Sastera England mengeja terjemahan warna dengan colour tetapi banyak buku di Amerika mengejanya color. Itu pada zaman sebelum ada Facebook dan seumpamanya.

Jika diamati kalimah ejaan duhulu tidak macam dulu lagi, banyaklah kalimahnya.

Cuma Dewan yang dulunya dilihat meninggalkan alam klasik, kini cuba balik ke zaman kelasik sedang dunia kita yang maju dan laju mahu meringkaskan apa yang boleh diringkas.

Bagi saya, baru pun betul baharu pun betul. Dahulu betul, dulu pun betul. Biarlah pengguna bahasa itu memajukan bahasanya dengan bahasa yang senang dan mudah baginya.

Kita sekarang sudah merdeka, bukan zaman merdeheka lagi. – HARAKAHDAILY 23/1/2019

SAYA ikuti sepenuhnya ucapan dasar Dr. Mahathir dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang intinya menyesali keburukan pimpinan Umno Najib dan meletakkan sentimen masyarakat majmuk menggagalkan cita-cita perjuangan kemerdekaan yang Melayu mahu.

Bolehlah dikira kini falsafah kebangsaan Melayu, satu bahasa, satu budaya, satu kebangsaan, satu bahasa pengantar di sekolah-sekolah yang jadi tapak perjuangan kemerdekaan musnah dan tersadai belaka.

Betul-betul ia mimpi. Maksud ini ada dalam ucapan itu.

Pimpinan Najib dengan Umno tidak boleh dibela oleh sesiapa. Tiada loyar boleh mewakilinya malainkan berloyar buruk. Keburukan dan kegagalan yang ada pada Umno itu bukanlah bermula dari tahun 2003 setelah ia ditinggalkan oleh Dr. Mahathir.

Tun Abdullah Badawi dan Najib adalah mewarisi pemerintahan dan sistem yang sudah buruk. Cuma menambah buruknya sahaja terutama di bawah Najib.

Jika momok PH tidak mudah dan tidak siapa dapat membetulkan keburukan yang Umno dan Najib tinggal dalam masa yang singkat, kerana terlalu teruk adalah benar. Rasuah dan hutang adalah amat melampau, tak terpikul oleh orang yang kemudian.

Mungkin Mahathir dan Anwar Ibrahim mati dulu belenggu itu tidak selesai lagi. Tetapi beban dan belenggu yang ditinggalkan oleh pemimpin-pemimpin sebelum tahun 2003 justeru teruknya juga adalah tidak terpikul oleh Abdullah dan Najib.

Yang dikira keburukan yang ditinggalkan oleh Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Husein Onn disebut oleh pendatang baru Anwar Ibrahim ke dalam Umno sebagai yang tidak dapat dikompromi. Dia menyertai Umno semasa Mahathir kerana dia tidak mewarisi teruk orang-orang sebelumnya. Kononnya sebagai anak yang berbapa dan beribukan Umno, dia tidak dapat menerima keburukan mereka, tetapi dikatakan Dr. Mahathir adalah lain.

Gejala rasuah dan penyelewengan kerajaan dan orang-orangnya dikatakan begitu teruk menyebabkan menteri Bahaman Samsudin yang jadi menteri sejak tahun 1955 tidak mahu jadi menteri lagi di bawah pimpinan bersama Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak.

Masa itu rasuah sudah ada tetapi tidak seteruk jiran di utara dan selatan. Menteri Bahaman kata ia sudah teruk.

Bila Mahathir datang, siapa kata dia bersih daripada yang diwarisinya. Persepsi merasakan dia tidak kurang dari orang sebelumnya. Cuma masa itu tidak ada orang yang marah kepada Umno dan pemimpin seperti yang ada pada zaman Najib. Cuma Najib teruk itu sudah memuncak.

Pembangkang sejak 61 tahun dahulu sudah membangkitkan hal itu. Bila Tun Razak jadi PM, dia beri laluan kepada BPR, SPRM masa itu bagi menangani amalan rasuah, ada MB dan YB yang dihukum. Tun tidak teruskan kelonggaran itu.

Isu agama, tidak siapa memperjuangkan satu agama bagi masyarakat berbilang agama. Ia bukan cara Islam. Tetapi bahasa, sekolah, kebudayaan dan lain-lain, itulah yang dimahukan oleh Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. Tunku melambatkan kerana perlembagaan menyebut supaya tunggu 10 tahun selepas merdeka.

Menjelang 10 tahun merdeka, Parlimen tidak laksana sepenuhnya dasar satu bahasa, satu sekolah. Albar kata, Mahathir dikirim Tun Razak jumpanya, ajak jangan laksanakan dasar itu 100 peratus demi kemenangan Umno dalam pilihan raya.

Menteri Pelajaran Rahman Ya’kub tahun 1970 tetapkan dasar satu bahasa pengantar bagi semua sekolah. PM Tun Razak takut nanti Cina hantar anak sekolah luar negeri. Bila Rahman Ya’kub jadi Ketua Menteri Sarawak, Razak batalkan pelaksanaannya.

Mahathir, Anwar pernah jadi pimpinan Umno. Apa mereka buat memartabatkan falsafah perjuangan Melayu? Jangan salah sentimen Cina dan India! Pemimpin Umno dari dahulu tidak buat kerja, Najib sambung sahaja. – HARAKAHDAILY 14/1/2019

HUJUNG Disember saya dimaklumkan Haji Muhammad Hassan, ahli PAS yang istiqamah dari Putrajaya diserang angin ahmar dan keadaannya tenat. Maka awal tahun baru ini dia meninggal. Jasawan PAS pertama di Wilayah Persekutuan mati tahun 2019.

Jenuh saya hendak memastikan yang mana satu Muhammad Hassan. Saya dimaklumkan ia adalah ‘kembar’ Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man. Wajah mereka seiras dan sama tinggi, usia lebih kurang. Masih saya tidak terbayang.

Rupanya dalam dua bulan ini Almarhum begitu rapat dengan saya. Beberapa kali mesyuarat persiapan Seminar Sejarah PAS, dia hadir bersama isterinya. Almarhum wakil Assabiqun Putrajaya, isterinya Ketua Assabiqat Putrajaya.

Kedua-duanya tidak pernah tinggal mesyuarat. PAS mesyuarat paling cepat pukul 10 malam. Pukul 12.00 belum tentu ditangguhkan. Bayangkan pukul berapa mereka tiba dari Putrajaya mesyuarat di Taman Melewar. Tetapi dia hadir.

Saya pergi diambil, balik dihantar. Pernah dia menawarkan untuk menghantar saya balik ke rumah. Demikianlah akrab dan dekatnya dengan saya tetapi payah hendak mengingatnya. Saya pilu Almarhum tidak sempat mengikuti Seminar Sejarah PAS pada 19 Januari ini sedang sumbangannya untuk seminar itu amat besar.

Saya tiba di Masjid Kampung Limau Manis, pinggir Putrajaya ketika solat jenazah hendak dimulakan. Untung saya ada wuduk. Saya terus di celah ratusan jamaah yang baru hendak takbir. Separuh masjid itu penuh. Saya di saf kelima. Di belakang beberapa saf lagi. Satu saf saya kira 60 hingga 70 orang. Paling kurang 500 yang menunaikan fardu kifayah itu.

Selepas itu Bendahari PAS Pusat pula mengimamkan sekali lagi. Lepas itu yang baru tiba solat sekali lagi.

Moga-moga bahagialah jenazah jasawan PAS itu. Bahagianya, sebagai Ketua Assabiqun Putrajaya beliau aktivis di peringkat cawangan dan kawasan. Istiqamah dan dapat mati dalam PAS. Ramai mati tetapi tidak semua mati dalam PAS terutama menjelang dan selepas PRU14. Allah memilihnya jadi orang PAS dan memilihnya mati dalam PAS.

Ketika ramai seangkatannya tercicir daripada PAS, Almarhum tidak berganjak dan tidak makan pujuk supaya meninggalkan PAS. Rupanya dia hendak meninggal dalam PAS. Sebagai aktivis dan pimpinan peringkat pertengahan, jenazahnya disolatkan oleh ramai.

Moga-moga, entah ramai mana pula malaikat bersama dalam solat itu.

Saya ucap takziah kepada keluarganya dan sahabat sesama PAS setempat atas pemergiannya. Dan saya sampaikan tahniah kepada keluarganya kerana Allah memilihnya mati dalam PAS dan berdoa supaya yang bersama PAS dan yang bakal menyertai PAS, moga-moga matikan sekalian dalam PAS. Amin!

Tidak mati dalam PAS mati dalam Islam juga. Mati dalam Islam itu adalah sebaik-baik mati. Tetapi mati dalam jamaah Islam adalah lebih baik. Islam adalah lebih baik daripada tidak Islam, tetapi Islam sahaja tidak memadai. Hendaklah masing-masing bersama jamaah Islam.

Terkeluar daripada jamaah Islam adalah seperti biri-biri yang terpisah dari kumpulan ternakan, bila-bila masa boleh dibaham serigala.

PAS adalah mata rantai jamaah itu, diakui harakah Islamiah sedunia. Sebagai jamaah haraki ia berdakwah dan berpolitik. Banyak jamaah dakwah tetapi tidak berpolitik. Banyak jamaah politik tetapi tidak berdakwah.

Islam agama diterima di sisi Allah. Ia ad-din, tidak memisahkan politik daripada agama. Yang memisahkan politik daripada agama adalah sekular. Jika dakwah menjauhi politik, ditakuti termasuk lubuk sekular. Maka tiada ruginya mati dalam PAS.

SAYA terima WhatsApp daripada Mohamad Lukman dari Sik moga-moga dapat membekalkannya maklumat tenang penglibatan Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad dalam PAS.

Saya tidak banyak maklumat mengenainya tetapi saya tidak mahu mengecewakan hajatnya.

Yang banyak tahu tentunya orang lama PAS Kedah khususnya PAS Sik sendiri, kerana Shahnon pernah sepenggal jadi Ahli Parlimen (MP) PAS Sik.

Saya mula tahu dia orang PAS apabila Almarhum Ustaz Fadzil Noor sebagai Presiden PAS menjelang PRU masa itu menyebut untuk menimbangnya menjadi calon di Sik. Namanya masyhur dalam kalangan penyokong PAS Kedah dan jika dia dicalonkan harapan menangnya cerah.

Apa penglibatannya dalam PAS saya tidak tahu. Saya acap ke Kedah termasuk beberapa kali ke Sik. Saya tidak pernah terserempak dengannya dalam majlis PAS kecuali sekali apabila naik pentas PAS ketika hampir pasti dia dicalonkan.

Betapa dia cenderung pada politik Islam dan dakwah dapat saya cium lama sebelum saya menyertai PAS.

Saya mengetahuinya seorang sasterawan penting tanah air disamakan oleh Perdana Menteri, Tun Razak dengan Victor Hugo, pujangga Perancis yang handal apabila menobatkannya sebagai Sasterawan Negara yang pertama awal 70-an.

Orang kata dia dekat dengan Arqam. Saya pernah melihatnya berserban seperti orang Arqam semasa menyertai forum Ulama Silam, siri kegiatan Fakulti Islam UKM. Dia bercakap tentang Islam malam itu. Ketika menjawab satu soalan tentang PAS, jawabnya sekalipun PAS banyak kelemahannya, tetapi ia adalah wadah Islam terbaik masa itu.

Saya selalu terserempak dengannya tetapi tidak pernah berbual rapat dengannya. Satu hari di awal penubuhan ABIM, dia minta saya menumpangkannya ke pejabat ABIM di Dewan Masyarakat Kampung Baru, Kuala Lumpur. Buat apa ke situ? Untuk menyampaikan sumbangan kepada gerakan belia Islam itu.

Mungkin dia mencari wadah Islam yang sesuai seperti Salman al-Farisi, meniti satu agama ke satu agama, akhirnya menemui Islam. Sebagai profesor dia mengetuai Pusat Islam USM. Apa kegiatannya saya tidak pasti.

Ia diketahui sebagai kaki buku, banyak masanya membaca lembar demi lembar kitab-kitab tebalnya. Jika tidak membaca, dia berkarya. TIdak diketahui bila dia bergaul dengan orang ramai seperti para aktvis PAS.

Tempatnya di Pulau Pinang dan Kedah. Saya di Kuala Lumpur. Jarang kami bersama.

Dan dia ketahui orang PAS sesudah dia layak jadi Assabiqun iaitu usia bersara dan tidak cergas bergerak kencang. Dalam usia demikian dia jadi MP. Kerancakan sebagai pendebat di Parliman sudah kurang tambahan pula dia asma, tidak tahan hawa dingin di Parlimen. Kehadirannya terhad.

MP yang mesti bermula muda. Jika dia berlebihan, orang kira anak muda mesti begitu. Bila kita bermula tua kita tidak boleh jadi macam budak. Jika orang tua bercakap macam budak, orang kata orang tua tidak sedar dia tua, jadi macam budak juga. Bila kita bercakap sebagai orang tua, orang kita sudah hilang bisa.

Jika MP bermula muda, bila dia kurang garang semasa tua, orang terima dia sudah tua.

Shahnon masuk Parlimen masa usia yang tidak betul. Dan mula bergiat dalam PAS, masa setengah aktivis PAS mula melepaskan jawatan cergas.

Apapun kegiatannya semasa muda dan sihat, tetapi masa tua dan tidak sihatnya adalah bersama Islam.

Moga-moga saya sudah memenuhi sebahagian daripada yang dicari oleh Mohamad Lukman, anak Sik tentang penglibatan PAS MPnya satu masa dahulu. – HARAKAHDAILY 3/1/2019

SAYA menziarahinya di wad Institut Jantung Negara (IJN) petang Selasa. Dia tidur dengan dawai-dawai di badannya. Bahasa orang sekarang keadaannya koma. Bahasa akhiratnya nazak dan sakratul maut. Saya bisik ke telinganya akan siapa saya. Melafazkan kalimah Lailaha illallah

Ikut ilmu perubatan dia dengar tetapi tidak membalas. Demikian juga ahli kubur, dengar kata orang atas kubur tetapi tidak menjawab. Moga-moga dia lafaz kalimah tauhid itu sebagai cakap terakhirnya.

Pagi Khamis saya terima mesej dia sudah pergi dalam usia kurang lapan seratus tahun. Reaksi saya, dia dapat Jumaat malam pertamanya di alam kubur. Kata orang, pengalaman malam Jumaat adalah baik. Moga-moga dan mudah-mudahan dilimpahi bahagia di sana. Amin.

Itulah Almarhum Tun Abdullah Ayub, kelahiran Sungai Parit, Pasir Panjang Laut, Sitiawan, kampung yang diterokai dua panglima Pasir Salak yang lepas daripada buruan British berikutan pembunuhan JWW Birch. Sekalian penduduk di situ adalah keturunan dua waris atau kerabat Datuk Maharajalela, penentang penjajah.

Almarhum adalah mantan Ketua Setiausaha Negara zaman Tun Razak, dua pupu bonda saya dan kerabat terdekat bapa saya. Tubuh saya mengalir darah kedua-dua pelarian Pasir Salak itu, Uda Bakti dan Itam Tiat.

Zaman remajanya dia Ketua API Dindings – Manjung sekarang. Tetamu hidang mempelainya ialah Pak Sako dan Ahmad Boestamam. Siswa bersama Dr Mahathir di Universiti Malaya Singapura, bersama Aminudin Baki dan Tun Siti Hasmah Ali mengasaskan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Dia minta biografi saya Anak Apak yang banyak menyebut namanya lapan tahun lalu. Bila saya menziarahinya tiga tahun lalu, dia menghadiah saya biografinya. Biografinya kaya dengan sejarah dan perkembangan politik dan kerajaan sebelum dan selepas merdeka sejak tahun 1953, pegawai pembantu penting Tunku dan Tun menangani urusan kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.

Sayangnya ia sekadar memapar detik dan peristiwa. Jika saya dengannya semasa sama-sama segar dahulu boleh duduk bersama, menganalisis dan menyingkap setiap politik dan sejarah yang dialaminya, nescaya ia dapat meninggalkan satu warisan untuk semua.

Antara yang disebutnya, Perdana Menteri Tun Razak bercadang untuk merangkap menteri kewangan. Nasihatnya, jangan! Jika Perdana Menteri menjadi menteri kewangan, payah bagi yang lain untuk memberi pandangan kedua.

Tun Razak sukar mencari ganti menteri kewangan sehebat Tun Tan Siew Sin. Tun minta siapa? Sebagai orang kaya pengalaman dalam Perbendaharaan dicadangkannya Encik Hussein Onn. Apa dia tahu tentang kewangan, balasnya.

Mereka, pegawai-pegawai boleh membantunya. Tun lantik Hussein jadi menteri kewangan.

Detik pahit baginya sebagai awam cemerlang. Sebagai calon Ketua Setiausaha Negara (KSN) dua tahun lagi, Tun Razak menamakannya sebagai Naib Canselor baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menggantikan Dr Ariffin Marzuki. Sekalian profesor dan pelajar membantah hingga diungkit keluarganya dan takwil perkhidmatannya. Pada hal dia terlibat dalam pembangunan Universiti Malaya, UKM dan lain-lain kampus. Alasan mereka dia menentang penubuhan UKM.

Hujahnya Universiti Malaya itu patut dijadikan Universiti Kebangsaan. Bukan setelah gagal menjadikan universiti nasional, kerajaan lari dan membentuk universiti lain. Atas demo itu dia menolak pelantikan itu.

Katanya pada saya, dua tahu dipastikan dia jadi KSN. Jika kemahuan PM ditolak, payah juga. Tapi bila dia dicercah, dia tiada pilihan. Lepas itu kerajaan mengangkat orang lain jadi KSN. Lama kemudian barulah dia diangkat.

Abdullah Badawi kecewa dengan tindakan kampus. Katanya pada saya, kerajaan berdepan masalah membangunkan universiti dan kampus baru UKM. Bukan senang mendapatkan bajet kerajaan. Jika orang kuat Perbendaharaan jadi Naib Canselor, senang baginya mendapat peruntukan.

Bila semua tahu dia bakal KSN, semua sedia menawar diri untuk menjadi pengajar di UKM.

Itulah Abang Dolah. – HARAKAHDAILY 27/12/2018

Tuan Guru Abdul Hadi berdoa di pusara Almarhum Ustaz Mustaffa.

TAKZIAH buat sekalian keluarga Almarhum Ustaz Mustaffa Daharun, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan dari Jempol. Moga-moga rohnya dikumpulkan bersama sekalian para salihin. Daripada Allah dia datang kepada Allah dia pergi.

Almarhum Ustaz Muftaffa DaharunKeluarga itu kehilangan seorang yang dikasihi, tetapi pemergiannya tidak merugikan kita semua khususnya keluarganya, kerana Allah memilihnya mati dalam PAS, sebuah harakah Islam, penyambung gerakan harakah sejak zaman Nabi, yang peranan dan kepentingannya dirakam dalam al-Quran.

Sejuta lebih umat Islam menyertai PAS sejak tahun 1951, tetapi tidak semuanya mati dalam PAS. Antaranya mengasas dan memimpin, mereka mencurahkan masa dan tenaga, tetapi Allah tidak memilihnya mati dalam PAS.

Almarhum Ustaz Mustaffa adalah pemimpin pertengahan, penyertaannya dalam parti amat sederhana, tidak terlalu ke depan dan tidak terkebelakang. Tetapi dia nyata dan terbukti istiqamah dalam perjuangan, suatu yang amat dicita-cita oleh setiap orang.

Untuk jadi anggota yang istiqamah tidak susah tetapi tidak senang. Kalau ia senang tidaklah ada pemimpin PAS mati di luar PAS. Jika payah tidaklah kebanyakan ahli biasa mati dalam PAS.

Mati di luar PAS bagi pejuangnya adalah satu tragedi, tetapi mati menentang PAS adalah satu yang amat malang. Sekalian yang masih dalam PAS, sekuat manapun PASnya dan selemah manapun PASnya, berdoalah sekalian supaya jangan tercicir dari parti dan moga-moga mengakhiri perjuangannya dalam PAS seperti Almarhum Ustaz Mustaffa.

Panggunya dipercayai bahagia kerana mati dalam perjuangan Islam. Jika yang begitu kuatnya dalam PAS dan masanya habis dalam PAS tetapi mati di luar PAS, maka kita yang tidak begitu kuat dan tidak penuh masa yang diberi, belumlah tentu nasib dalam PAS.

Maka semuanya mestilah berazam mencontohi dan mengikut jejak Ustaz Mustaffa, berjuang seadanya dan mohon, moga-moga mati dalam PAS.

PAS menegakkan kebenaran dan kemenangan bagi PAS. Kemenangan itu kadang-kadang dapat kita capai semasa hidup, dan kadang-kadang tercapai selepas kita mati. Kalau kita tidak sempat rasa sebelum mati, biarlah mati dalam PAS. Jika kita mati dalam PAS, selepas itu PAS menang, maka tentulah kita tercatat sebagai jasawan PAS yang dikenang dan dihargai oleh semua.

Zaman kita ini ramai orang politik tidak diketahui di mana matinya. Dalam partinya atau di luar partinya. Dato’ Onn mengasaskan Umno, tetapi tidak mati dalam parti itu. Dia mati dalam satu lagi parti yang diasasnya.

Tunku berjaya mencemerlangkan Umno hingga memerdekakan bangsa, layak jadi Bapa Kemerdekaan tetapi tidak boleh jadi Bapa Umno kerana menjelang ajalnya tidak lagi dalam Umno. Demikian juga Tun Hussein Onn. Di mana mainya. Dr Mahathir yang kini dilhat Umno boleh mati gara-garanya, mungkin Umno dulu daripadanya.

Yang mati dalam Umno yang sudah mati sebelum ini. Yang belum mati mungkin juga tidak berpeluang mati dalam Umno atau Umno mendahului mereka.

Ustaz Mustaffa jadi Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan selepas beberapa orang yang tidak mahu mati dalam PAS meninggalkan parti itu, sekitar tiga tahun. Kegiatan terpenting dan terakhirnya ialah mengepalai PAS mencabar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam PRK Port Dickson. Saya dimaklumkan beliau baru balik umrah.

Ketika ramai Umno payah mati dalam Umno lagi, dan PAS yang ada kini semuanya mahu mati dalam PAS, yang sah mati dalam PAS sekarang ialah Ustaz Mustaffa, satu kebanggaan bagi keluarganya. – HARAKAHDAILY 25/12/2018

JIKA ditakdirkan PAS berkuasa ia juga mungkin tawarkan mana-mana jasawan partinya untuk jadi Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) bagi mengepalai gerakan dakwah seperti biasa sejak ia diwujudkan kerajaan awal 70-an dulu.

Sejak itu biasanya orang kanan Umnolah yang mengisi jawatan penting itu yang dikira menjalankan kerja CEO bagi syarikat besar atau agensi kerajaan.

Semasa PAS menyertai kerajaan campuran Perikatan-PAS tahun 1973, Datuk Hassan Adli, Timbalan Yang Dipertua Agung PAS menjadi Timbalan Pengerusinya. Bila beliau jadi menteri, Ustaz Hassan Shukri, Setiasuaha Agung PAS jadi gantinya.

Prinsip awalnya ia merangkum kerja-kerja dakwah yang dimainkan oleh NGO dakwah yang bergerak bersendirian. Tetapi badan-badan dakwah itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada Yadim, bahkan masing-masing terus bergiat mengikut saluran pilihan mereka.

Yadim dengan pegawai-pegawainya memilih apa yang penting dan wajar yang dimainkan oleh badan-badan dakwah sebagai kerja-kerja kerajaan. Dahulu dakwah itu jadi tumpuan kerajaan. Bila ada Yadim, ia mengambil tugas pendakwah dan setengah daripada kerja Pusat Islam.

Jika Pusat Islam rasa kerajaannya, Yadim kerajaan juga tetapi tidak terikat seketat badan kerajaan. Ada kelonggarannya walaupun ia hak milik kerajaan juga.

Justeru jawatan utama Yadim itu ada politiknya, maka pemilihannya tidak ikut sepenuhnya disiplin badan totok kerajaan. Ia jadi tempat simpanan jasawan politik dan parti yang tidak jadi ahli kerajaan. Ia pekerjaan bagi yang tidak bekerja dan tidak berjawatan, dan sebagai pegawai kontrak, ia seperti pegawai percubaan dan sementara, tidak tertentu kemahiran dan kepakaran bidang dan kecekapannya.

Sedang dakwah adalah satu bidang yang penting yang memerlukan kemahiran bekerja, keupayaan merancang. Sebagaimana CEO Khazanah mesti memikir dan merancang membesar dan memajukan empayar dan pasaran produknya, panglima memikirkan strategi keselamatan dan perkakasan pertahanannya, maka CEO Yadim mesti merangka strategi dan sasaran mad’unya.

Ia bukan tempat makan gaji untuk tempoh kontraknya, tetapi sekalian penduduk adalah sasarannya, bukan sekadar menyampai mesej dakwah kepada bukan Islam bahkan menghalang jahiliah dari kalangan Islam mengembang fikiran jahiliahnya.

Dengan separuh abad kewujudannya, sepatutnya sebahagian ramai umat Islam sekarang adalah saudara baru. Kalaupun tidak sepesat pencapaian Sultan Melaka dalam waku yang singkat sekalian kafir Melayu jadi Islam belaka, maka Yadim ada sasaran saudara barunya bagi satu-satu tahun.

Dengan segala kemudahan dan bantuan daripada kerajaan, ia sepatut dilihat lebih ke depan dari Perkim atau sekurang-kurang seri dengan Perkim.

Mungkin menutup aurat wanita Islam satu kerajaan Yadim, tetapi guru dan murid Yayasan Anda kelolaan ABIM sudah bertudung sebelum Yadim wujud.

Jika memperkenalkan dakwah kepada bukan Islam satu tugas yang sulit, mendakwah orang Islam tentu tidak sesulit bergerak dalam kalangan bukan Islam. Tetapi jika tidak pernah dengan Islam liberal dan floral sebelum ini, budak Melayu rambut berwarna jadi ikutan setiap keluarga.

Maka pengambilan CEO Yadim tidak wajar lagi untuk memberi gaji kepada jasawan politik yang tidak berjawatan, tetapi Yadim memerlukan pakar dan perancang dakwah yang kaya pengalaman merancang dan mentadbir.

Mencuba orang politik tiba-tiba jadi CEO adalah cara lama yang usang. Malaysia Baharu mesti menjadikan Yadimnya baharu juga, bukan jadi tempat pegawai percubaan. - HARAKAHDAILY 24/12/2018