PERNAH saya tanya sahabat sekelas saya di Universiti Baghdad dulu, Ala' Abdullah Hamdan, seorang anak muda Palestin.

"Sampai bila kamu sanggup menentang Israel?"

Jawab beliau, "Sehingga hari kiamat!"

"Bagaimana nanti kalau di Palestin tiada lagi pemuda-pemuda yang bersedia untuk tampil ke medan jihad?" tanya saya sekadar untuk menguji.

"Azman! Allah akan memelihara orang yang berjuang mempertahankan bumi suci ummat Islam! Kalau Israel berjaya membunuh 100 orang pemuda kami, ibu-ibu Palestin akan melahirkan 200 orang lagi bayi yang akan membesar sebagai anak muda yang bersedia untuk berjihad!" tegas sahabat saya ini dengan penuh yakin.

Dengan penuh bangganya sahabat saya ini menunjukkan gambar abangnya yang tersimpan kemas dalam dompetnya. "Ini abang saya, As Syahid Marwan. Seorang anggota Briged Al Qassam. Semoga Allah merahmatinya. Dia telah pergi sebagai seorang syuhada di hujung senjata Israel."

Selepas menghabiskan pengajian pada tahun 1999, saya pulang ke Malaysia dan sahabat saya ini balik bertugas ke Hospital Gaza. Pernah juga dia menyuarakan hasrat supaya saya tolong carikan peluang kerja di Malaysia memandangkan keadaan hidup yang sukar di Gaza.

Sebaris pesan saya ingatkan beliau. "Sahabatku, awak berada di satu lokasi bumi jihad yang sangat mulia. Jangan tinggalkan bumi jihad itu. Saya dan saudara di Malaysia akan bantu awak selagi kami terdaya."

"Allahu Akbar! Terima kasih saudaraku kerana mengingatkan saya."

Donald Trump tentunya tak tahu apa itu erti semangat jihad yang dimiliki anak-anak muda HAMAS dalam Briged Al Qassam. Sebab itu Presiden Amerika ini berani membuat tindakan yang sangat bodoh dengan mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel. Tindakan yang akan menyalakan api yang berkobar di bumi jihad ini. Trump akan dapat saksikan sendiri bagaimana tindak balas yang akan bangkit dalam masa terdekat. Mr Presiden Amerika perlu belajar apa erti Baitul Maqdis bagi ummat Palestin dan Ummat Islam.

Dr Azman Ibrahim
AJK PAS Pusat
7 Disember 2017 - HARAKAHDAILY 7/12/2017

solidariti

SUDAH menjadi lumrah kebanyakan umat Islam, setiap kali tibanya bulan Rabiulawwal maka mereka menyambut Maulidurrasul dengan pelbagai cara dan kaedah. Apa yang terbaik ialah menghayati dan memperingati perjuangan Nabi SAW untuk dijadikan panduan dalam kehidupan ini.

Hari dan tarikh kelahiran Nabi SAW menjadi khilaf di kalangan ahli sejarah Islam dalam menentukannya dan pandangan yang kuat ianya berlaku antara 8 dan 12 Rabiulawwal tahun Gajah. Adapun tarikh dan hari yang tidak menjadi khilaf di kalangan ahli sejarah Islam ialah kewafatan Nabi SAW yang jatuh pada hari Isnin tanggal 12 Rabiulawwal tahun ke-11 hijrah.

Jika sekiranya tanggal kelahiran Nabi SAW adalah penting dan selalu dikaitkan dengan penyebaran ajaran Islam yang dibawa oleh baginda yang telah berjaya mengeluarkan manusia dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya Islam, maka kewafatan Nabi SAW juga adalah satu peristiwa penting yang perlu diingati oleh umat Islam.

Setelah wafatnya Nabi SAW di rumah Aisyah RA, beritanya tersebar ke seluruh Madinah. Ia umpama halilintar yang mengejutkan para sahabat sehingga menjadikan mereka tidak dapat untuk mengawal perasaan kerana kesedihan yang teramat sangat. Ada antara mereka yang terduduk dan ramai yang terdiam tidak dapat mengeluarkan kata-kata kerana terlalu sedih dan dukacita.

Saidina Umar Al-Khattab RA keluar ke lorong-lorong Madinah sambil menghunuskan pedangnya menafikan khabar berita ini dan mengancam untuk menetak pedangnya ke atas sesiapa yang menyebarkan berita ini kerana khuatir ianya adalah cakap-cakap golongan munafiqin. Akan tetapi hatinya masih gundah, hanya seorang sahaja yang boleh menenangkan hatinya, tidak lain dan bukan ialah Saidina Abu Bakar RA, sahabat setia Nabi SAW.

Melihat keadaan yang terkucar kacir ini, Saidina Abu Bakar RA memberikan ucapannya yang masyhur: “Wahai manusia! Ketahuilah sesiapa yang menyembah Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah mati dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah adalah Tuhan yang Maha Hidup tidak mati”. Lalu beliau membacakan ayat dari firman Allah Taala yang bermaksud: “Dan bukanlah Muhammad itu melainkan seorang Rasul yang telah didahului sebelumnya rasul-rasul. Maka apakah jika sekiranya dia mati atau terbunuh di medan perang nescaya kamu memalingkan tumit-tumit kamu (dari ajaran Islam). Sesiapa yang memalingkan kedua tumitnya (dari ajaran Islam) maka dia tidak memberikan apa-apa mudarat terhadap Allah dan pasti Allah akan memberikan ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur”. (Al-Imraan)

Tersentak Saidina Umar RA dan para sahabat RA yang mendengar ayat ini, seolah-olah baru pertama kali mereka mendengarnya sedangkan ianya sudah lama diturunkan oleh Allah, iaitu sejurus berlakunya peperangan Uhud mengingatkan umat Islam agar tidak berganjak dari perjuangan Islam.

Begitulah faqihnya Saidina Abu Bakar RA dalam memahami nas syarak dan menterjemahkannya ke alam realiti. Beliau telah menunjukkan satu sikap yang ditulis dengan tinta emas; bahawa perjuangan Islam ini tidak terhenti dengan kewafatan Nabi SAW, bahkan ianya mesti diteruskan walaupun baginda SAW sudah tidak berada di sisinya dan para sahabat yang lain. Justeru para sahabat bersepakat melantik beliau sebagai Khalifah menggantikan Nabi SAW untuk mengurus pemerintahan Islam dan memimpin ummah bagi meneruskan perjuangan baginda SAW. Pemerintahannya hanya dua tahun tiga bulan, akan tetapi ia memberikan kesan yang sangat besar kepada sejarah Islam yang diingati sehingga ke hari ini. Langkahnya yang telah berjaya menstabilkan pemerintahan Islam daripada golongan murtad yang mengikut nabi-nabi palsu dan mereka yang khianat ke atas pemerintahan Islam menjadi pemangkin kepada pemerintahan Saidina Umar SA selepas itu untuk melakukan banyak perubahan-perubahan dalam sistem pemerintahan Islam, dalam masa yang sama meluaskan pemerintahan Islam dengan mengalahkan Rom dan Parsi.

Begitulah seterusnya, amanat yang telah disampaikan oleh Saidina Abu Bakar RA diingati oleh umat Islam zaman berzaman sehinggalah kita berada di zaman kegelapan umat Islam pada hari ini. Sudah 1428 tahun Rasulullah SAW meninggalkan kita, di tengah waqi’ umat Islam yang berkecamuk. Nyawa mereka tidak ada nilai di mata manusia lain; ratusan ribu yang dibunuh di Afghanistan, Iraq, Bosnia, Arakan dan lain-lain lagi. Nyawa mereka juga dipertaruhkan demi untuk mencapai cita-cita musuh-musuh mereka sendiri sebagaimana di Syria, Iraq dan Yaman. Hak-hak mereka dinafikan seperti di Palestin dan Kashmir. Syariah Islam direndah-rendahkan sehingga terpaksa mengemis dengan penganutnya sendiri untuk dilaksanakan. Ajarannya ditakut-takutkan dengan dilabel pelbagai label-label yang jelek. Umat Islam yang memperjuang dan mempertahankan hak mereka dilabel sebagai pengganas sedangkan perampas hak mereka digelar sebagai pendamai.

Di tengah kabus yang meliputi umat ini, cahaya Islam tidak boleh dipadamkan walaupun musuh-musuhnya melakukan pelbagai perancangan untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala yang bermaksud: “Mereka (musuh-musuh) Islam mahu memadamkan cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka. Sedangkan Allah memenuhi cahayanya walaupun dibenci oleh orang-orang kafir”. (Al-Saff) Ianya terbukti apabila cahaya Islam menembusi tembok-tembok pemikiran di Barat dan Timur sehingga Islam menjadi agama yang paling cepat tersebar. Malang yang menimpa umat ini pasti akan ada cahaya kemenangan di hadapannya; umpama ucapan seorang penyair Arab: “Jika rakyat mahu kepada kehidupan maka ketentuan terpaksa mengikutnya. Malam yang gelap akan tiba penghujungnya dengan terbitnya fajar. Tangan-tangan yang digari akan berkecai juga garinya bila tiba masanya”.

Walaupun 1428 Rasulullah SAW telah wafat akan tetapi perjuangannya akan diteruskan oleh umatnya yang dipilih oleh Allah yang akan ada di sepanjang zaman sehinggalah pada masa yang ditentu dan ditetapkan oleh Allah SWT. Inilah yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadis yang bermaksud: “Akan tetap ada di kalangan umatku satu kumpulan yang menegakkan kebenaran, musuh-musuh mereka tidak boleh menghina mereka sehinggalah datangnya urusan Allah SWT (Qiamat).” (Hadis Sahih).

Mudah-mudahan Allah menggolongkan kita berada dalam kumpulan yang dipelihara oleh Allah ini.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
15 Rabiulawwal 1439 / 4 Disember 2017 – HARAKAHDAILY 4/12/2017

UMAT Islam di seluruh dunia sedia maklum bahawa 12 Rabiul Awwal merupakan Hari Keputeraan junjungan agung Nabi Muhammad SAW yang kita cintai.

Mencintai Nabi Muhammad SAW merupakan kewajipan bagi setiap Muslim. Seorang muslim yang mengaku mencintai Rasulullah SAW semestinya sentiasa berusaha untuk meneladani sunnah baginda s.a.w. dalam kehidupannya.

Tiada makna jika pengakuan cinta kita terhadap Rasulullah tanpa kita menjadikan Baginda sebagai qudwah dalam kehidupan termasuklah dalam aspek pentadbiran dan muamalah.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (balasan kebaikan pada) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah” (Surah al-Ahzaab: 21)

Sempena Maulidur Rasul kali ini, marilah sama-sama kita hayati pengorbanan baginda Rasulullah dalam memastikan Islam sampai kepada kita hari ini.

Bersyukur perjuangan Islam yang kita galas hari ini adalah kesinambungan daripada perjuangan yang terdahulunya telah dilalui oleh Rasulullah dan para sahabat.

Jadi, teramatlah rugi jika kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang ingin menegakkan syariat Allah.

Firman Allah di dalam surah Al Hadid ayat 21 yang bermaksud: “Bersegeralah kamu mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan daripada Tuhan dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Rasul Nya ; yang demikian adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar”.

Justeru itu, kami saff pimpinan Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengucapkan Salam Maulidur Rasul kepada seluruh rakyat Malaysia.

Semoga memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dihayati dengan penuh kecintaan dan seterusnya kita membanting tenaga dalam memastikan syiar Islam yang dibawa oleh Baginda S.A.W. terus menyinar di bumi ini.

Salam Maulidur Rasul 1439H

“Sejahtera Bersama Islam”

“Muslimat Memacu Kemenangan”

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 Rabiul Awwal 1439 / 1 Disember 2017 - HARAKAHDAILY 1/12/2017

maulid

SAYA ingin menarik perhatian rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu berkenaan satu laporan berita palsu yang sengaja disiarkan musuh perjuangan Islam PAS melalui satu portal yang seakan-akan menyamai portal rasmi PAS Terengganu.

mohd norLaporan palsu yang mengaitkan PAS dengan istana Terengganu itu, cuba memperbodohkan pembaca dengan berita yang tidak ketahuan punca ditambah lagi dengan penggunaan ‘template’ yang sama dengan ‘template’ portal rasmi PAS Terengganu bagi tujuan mengelirukan pembaca. Carian menunjukkan server portal jadian ini berpangkalan di California, US.

Dengan tarikh PRU yang semakin mendekat, ada golongan yang ketakutan dengan kekuatan pasukan Penerangan PAS Terengganu, menunjukkan keberkesanan tugas-tugas yang dijalankan oleh pasukan Penerangan PAS Terengganu yang bekerja siang malam tanpa diupah itu.

palsu1Ada jiwa yang terkesan, ada hati yang berdebar, ada makhluk yang kebimbangan dan ada kumpulan yang membenci kemaraan PAS Terengganu menuju ke Wisma Darul Iman bagi mengemudi kerajaan Terengganu dengan ikatan al-Quran dan sunnah.

Tidak ada orang yang akan meniru gaya P.Ramlee sekiranya beliau tidak terkenal. Tiada orang yang berangan untuk menjadi seperti Ronaldo jika dia seorang kaki bangku. Lionel Messi tidak akan dicemburui lawan jika dia hanya pembancuh minuman.

Oleh itu, BuletinOnline terbitan Lajnah Penerangan PAS Terengganu adalah pasukan terbaik yang dicemburui, ingin dikalahkan dengan apa cara mahupun cara jahat oleh semua musuh mereka. Saya mengucapkan syabas kepada BO atas kecemerlangan ini.

Namun begitu, kita mengecam dan mengutuk taktik bacul dari pihak lawan ini. Pengacau tidak akan dibiarkan tenang beradu setelah menabur onar. Penipu tidak seharusnya berada di dalam lapangan ini.

Maka dengan itu, insya Allah PAS Terengganu mengkaji dengan serius untuk mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat, bagi mereka dikenakan tindakan oleh pihak berwajib. Kepada semua pembaca BO, diharap sentiasa memeriksa berita dan alamat web BO yang betul iaitu http://buletinonline.net/v7/index.php .

Wallahua’lam

Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
5 Rabiulawwal 1439/24 November 2017 – HARAKAHDAILY 24/11/2017

SEMASA sesi perbahasan bajet 2018 semalam, sepuluh orang ADUN telah mengambil bahagian. Bermula dgn Melor, Gual Periok, Ayer Lanas, Selising, Gaal, Perupok, Tendong, Kok Lanas, Salor dan berakhir dengan Kelaboran.

Setelah tamat perbahasan YB Kelaboran tidak ada seorang Ahli Dewan yang bangun untuk membuat perbahasan termasuk YB Paloh.

Bahkan sepanjang tempoh perbahasan bajet tidak pula kelihatan YB Paloh bangun untuk meminta laluan samada sewaktu YB Dato' Speaker mengendalikan persidangan ataupun saya.

Seingat saya, YB Paloh ada bangun mencelah (tanpa kebenaran) sewaktu YB Tendong sedang berucap dan saya ada membuat teguran supaya tidak boleh mencelah kecuali dengan kebenaran Speaker dan meminta supaya beliau mengambil bahagian dalam perbahasan.

Sekitar jam 4.30 petang semalam YB Kelaboran menamatkan ucapan perbahasan beliau dan tidak seorang pun Ahli Dewan yang bangun. Bermakna ucapan YB Kelaboran adalah ucapan perbahasan bajet yang terakhir daripada Ahli Dewan.

Pagi tadi selepas persidangan disambung sekitar jam 11.20 pagi, YB Dato' Speaker menjemput pihak Kerajaan/Exco untuk membuat penggulungan.

Secara tiba-tiba YB Paloh bangun untuk berucap dan YB Dato' Speaker tidak membenarkan kerana sesi perbahasan sudah pun tamat.

Setelah lebih tiga kali YB Dato' Speaker meminta YB Paloh duduk, tetapi dia berkeras tidak akan duduk yang akhirnya YB Dato' Speaker terpaksa menggunakan Peraturan Dewan 51(2) iaitu “mengundurkan” Paloh dari Persidangan Dewan.

Walaupun sebelum itu YB Kelaboran telah mencadangkan supaya dirujuk kepada Peraturan Dewan 47(1) iaitu hendaklah patuh kepada Speaker dengan serta merta dan duduk dengan segera.

Jadi tidak timbul YB Dato' Speaker tidak memberi peluang kepada YB Paloh berucap, bahkan tuduhan beliau Speaker tidak berlaku adil adalah tidak benar sama sekali kerana daripada sepuluh Ahli Dewan yang berbahas, empat adalah ADUN pembangkang.

Petang ini ada satu lagi Rang Undang-Undang akan dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Peruhanjaya Tanah. Ahli-ahli Dewan masih mempunyai peluang dan dibenarkan untuk membuat perbahasan, tetapi semua ADUN BN telah pun keluar bersama-sama dengan YB Paloh pagi tadi, ini bermakna mereka tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan nanti kerana sehingga jam 3 petang ini tiada seorang pun ADUN pembangkang berada dalam dewan. Siapa sebenarnya yang tidak adil? Dan siapa sebenarnya bekerja untuk rakyat?

Ataupun ini adalah lakonan air mata YB Paloh untuk menghentam pihak kerajaan pada ceramah- ceramah selepas sidang Dun nanti atau memang sengaja kerana mahu pulang awal?

YB Abdul Latiff Abdul Rahman
Timbalan Speaker
Dewan Undangan Negeri Kelantan
Rabu, 3.00 pm,
3 Rabi'ul Awal 1439 / 22 November 2017 - HARAKAHDAILY 22/11/2017

TANGGAL 19 November 1985 adalah tarikh yang tidak dilupakan oleh seluruh ahli dan pimpinan PAS. Sama ada yang baru atau yang lama dan muda atau tua. Ianya akan sentiasa terpahat kemas “luka berparut batu nisan” kisah duka yang segar padat dalam ingatan pencinta perjuangan Islam tanah air.

Kalam keramat yang rajin diucapkan oleh As Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya) menjadi tasji’at kepada anak muda. As-syahid senantiasa memetik dalam ucapannya kalam Saidina Khalid Ibnu Walid ketika mengutus risalah dakwah kepada Emperial Parsi:

فقد جئتكم بقوم يحبون الموت كما تحبون الحياة

“Sesungguhnya kami datang kepada kamu dengan satu kaum yang kasih kepada mati sepertimana kalian kasih kepada hidup.”

Amalulillah yang menjadi syiar dan tagihan kerja jihad para pemuda PAS. Meletakkan syahid sebagai cita-cita tertinggi, merapat saf serta bekerja demi memartabatkan Islam. Bukan hanya bangga faham Islam tetapi tinggal perintah Allah bekerja dan berjihad.

Ustaz Syarhan Humaizi Halim
Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor
30 Safar 1439 | 19 November 2017

BALING sebuah daerah yang sarat dengan peristiwa besar negara dan melakar sejarah. Di saat tanah leluhur ini diselimuti perlawanan dengan gerila Bintang Tiga, maka Baling dipilih untuk dijadikan medan perbincangan solusi antara PKM dan pihak Kerajaan pada tahun 1955. Pada tahun 1974 pula, ekoran daripada harga getah yang merudum, maka Baling menyaksikan kebangkitan rakyat tani yang digalang oleh gerakan mahasiswa Malaysia sehingga menyebabkan ribuan anak-anak kampus ditahan oleh pihak berkuasa dalam lanjutan bantahan di Kuala Lumpur.

riduan1Akta Universiti Dan Kolej telah dipinda dan diketatkan pasca bantahan gerakan mahasiswa paling besar dalam sejarah negara ini. Kejerihan rakyat Baling telah memacu kebangkitan anak muda prihatin negara ini yang menjadi kuasa semak dan imbang yang berkesan.

Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya Peristiwa Berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan rejim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini. Dekad 1980-an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.

Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya. Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang. Ustaz Ibrahim bekerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di Kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat di kalangan masyarakat Utara Semenanjung. Beliau pernah bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling.

Pada tahun 1984, berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda PAS di bawah ISA, antaranya Ustaz Abu Bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara. Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. Umno kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.

Dalam Perhimpunan Agung Umno pada tahun 1985, sekali lagi wakil Umno Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan Umno di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan raya kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda.

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan Peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia. Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh. Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat, manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Junid mengisytiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

PAS mengadakan sambutan tragedi Memali secara besar-besaran tahun ini, 18 dan 19 November supaya generasi muda mengenang kejerihan masa lalu perjuangan yang tak terhampar dengan permaidani merah dan arakan bunga manggar. Suruhanjaya Siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama-nama mangsa tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini. – HARAKAHDAILY 18/11/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

TUGAS kita bekerja dan merancang untuk kejayaan. Kalah menang serah kepada Allah SWT. Jika kita tidak bekerja, bermakna kita merancang untuk kegagalan. Perkukuhkan jati diri ahli dan parti. Yakin kepada prinsip perjuangan, patuh dan wala' kepada arahan parti. Inilah rahsia kejayaan parti.

Biar orang hina kerana kita berpegang dengan prinsip Islam. Jangan orang benci dengan peribadi kita yang buruk. Kita bukan maksum dan suci daripada dosa.

Walaupun orang kata kita parti suci, biarlah orang kata. Kita tidak pernah kata. Suci lawannya kotor. Antara kotor dan suci, sudah pasti orang yang waras akan pilih yang suci.

PRU sudah tidak lama lagi. Ia menjadi tanda tanya dan teka teki. Inilah hebatnya negara yang merdeka lebih 60 tahun tetapi tarikh pilihan raya menjadi rahsia. Diandaikan pilihan raya dalam bulan Mac 2018, bermakna masa hanya tinggal 14 kali Jumaat lagi.

Ertinya bukan lama mana dah pilihan raya akan berlangsung. Pejam celik, pejam celik sampailah waktu dan ketikanya.

Pilihan raya memerlukan jentera yang kuat. PAS sebagai sebuah parti Islam dan pembangkang sudah tentu memerlukan komitmen yang tinggi di kalangan ahli dan pimpinan. PAS bukan ada 3M (money, media, machinery) seperti yang dimiliki oleh Umno BN. Tetapi PAS ada ahli yang komited dan ikhlas.

Insya Allah PAS kaya semangat, walaupun kita miskin harta. Sebagaimana Nabi SAW bersabda bermaksud: "Bukanlah kaya, kaya harta. Tetapi kaya dengan semangat". Inilah rahsia kekuatan PAS sejak 66 tahun dan 13 kali pilihan raya. PAS mampu bersaing dengan umno.

Pilihan raya tidak cukup dengan hero di media sosial sahaja. Kita masih menghadapi masalah pengundi yang buta maklumat dan tidak berapa kisah dengan media sosial. Masih bergantung dengan media konvensional televisyen.

Pengundi perlu disantuni untuk bersama dengan PAS. Kena mengetahui pantang larang. Sosial budaya pengundi berbeza antara satu bangsa dan kaum. Pengundi bandar dan kampung juga berbeza antara satu sama lain. Latar belakang pendidikan juga berbeza mempengaruhi pola pengundi.

Kalau orang berpendapat pilihan raya hanya berasas kepada sentimen semata-mata, maka ini pandangan yang silap. Gelombang berlaku hanya bermusim seperti perpecahan di dalam Umno. Ia bukan selalu, itupun hanya mempengaruhi setempat tidak menyeluruh. Tetapi kekuatan jentera adalah perkara yang paling penting. Ia tidak bergantung kepada isu semata-mata.

Teras politik Malaysia ialah Melayu. Tembok khurafat hanya Umno sahaja yang boleh jaga Melayu perlu diroboh. Mesti yakinkan bahawa PAS mampu menjaga Melayu. Oleh itu, isu yang mengguris perasaan orang Melayu perlu dielakkan. Kena maklumkan bahawa Melayu boleh diselamatkan dengan Islam.

Pengundi bukan Melayu terutama Cina, mereka tidak ada parti. Pola undi mereka lebih kepada arahan Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Pendidikan. NGO inilah yang berperanan menentu kepada mana-mana sokongan. Tumpuan lebih mereka ialah kepada ekonomi. Orang Cina marah kepada BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib kerana kos sara hidup yang meningkat.

Oleh itu, musuh PAS membuat fitnah kononnya PAS bersama Umno. Gambar pemimpin PAS bersama dengan pemimpin Umno disebar dalam masyarakat Cina. Ini yang menyebabkan orang Cina marah kepada PAS. Apabila kita tunjuk gambar pemimpin DAP bersama dengan pemimpin Umno, mereka terkejut. Tapi kita tidak katalah pemimpin DAP mahu masuk BN.

Bukan setakat gambar sebelaga pipi malahan belaga perut pun ada. Oh, akan adalah cyber trooper mereka akan bela, ini gambar kerajaan dengan kerajaan. Kalau pemimpin PAS tak boleh, kalau mereka boleh. Walaupun pemimpin PAS hadir program kerajaan tetap juga dikatakan PAS bersama Umno. Biarlah dengan mereka. Teruskan buat kerja. Tidak perlu habis masa melayan golongan ini. Banyak lagi kerja kita.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS / Ahli Parlimen Bukit Gantang
27 Safar 1439 / 17 November 2017 – HARAKAHDAILY 17/11/2017

ISLAM diturunkan melalui perutusan al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam untuk menyatukan manusia seluruhnya. Manusia asalnya adalah satu umat dan satu ugama sebelum akhirnya mereka berpecah dan sering sahaja berbalah dan bertelingkah.

nik abduh1Mereka adalah satu umat kerana mereka adalah daripada satu keluarga dan keturunan iaitu daripada zuriat nabi Adam alaihissalam. Baginda adalah ayah kepada seluruh manusia. Mereka juga adalah satu ugama iaitu ugama Islam yang dianuti oleh nabi Adam dan zuriatnya yang terawal. Islam adalah agama pertama manusia.

Tetapi akhirnya manusia berpecah dan gagal bersatu sesama mereka. Akibat kehilangan sumber ilmu yang benar dan kekalutan menjaga kepentingan diri dan kumpulan, mereka akhirnya melupai kecantikan asal usul mereka. Mereka menjaga keluarga dan kumpulan kecil mereka sehingga melupai keluarga besar dan keturunan besar mereka.

Akhirnya mereka melupai nikmat Allah ke atas mereka yang terbesar iaitu nikmat mengenali-Nya dan menganuti ugama Islam, ugama asal datuk mereka nabi Adam alaihissalam. Mereka telah sesat sehingga sanggup mengambil tuhan dan ugama selain Allah dan Islam. Apabila manusia berpecah dalam ugama, maka perpecahan tidak dapat dielakkan lagi. Ia adalah hakikat bahawa kebahagiaan dan kecelakaan manusia kini adalah tergadai kepada keupayaan mereka untuk kembali kepada jalan asal kejadian mereka.

Kejadian dan kelahiran asal adalah daripada nabi Adam. Agama asal adalah Islam yang dianuti nabi Adam dan zuriatnya yang terawal. Kemudian, kesesatan besar terawal manusia telah direkodkan oleh Allah melalui cerita nabi Nuh alahissalam yang menyeru kaumnya agar meninggalkan syirik dan kembali menyembah Allah. Tetapi kaumnya enggan, lalu mereka dihancurkan sehancur-hancurnya oleh Allah melalui banjir besar yang melanda dan menenggelamkan segala isi bumi kecuali bahtera penyelamat yang dibina oleh baginda dengan arahan daripada tuhannya.

Dengan manusia baru yang dibimbing nabi Nuh kembali memakmurkan dunia baru dengan Islam sebagai ugama, sepatutnya manusia mengambil iktibar daripada kedurjanaan perbuatan mereka meninggalkan Islam dan tauhid. Tetapi manusia tidak beriktibar kecuali sebahagian kecil sahaja. Akhirnya mereka kembali mensyirikkan Allah. Lalu berlangsunglah pembalasan Allah ke atas mereka. Berapa banyak kaum dan negeri dihancurkan akibat keangkuhan manusia sebagaimana diceritakan oleh Allah di dalam al Quran. Tetapi malangnya, manusia tidak pernah insaf dan sedar.

Walau bagaimanapun, bahtera penyelamat terus berlayar membawa misi agung memyelamatkan manusia di sepanjang zaman. Akhirnya sebuah bahtera besar diluncurkan sejak seribu empat ratus tahun yang lepas dan dikemudikan oleh nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Ia datang untuk kembali menyatukan manusia menuju keridhaan Allah.

Misi Islam adalah jelas. Pertama, mendakwah dan memujuk manusia agar menerima Islam sebagai ugama yang dianuti. Kedua, memastikan agar penganut Islam kekal bersatu padu di atas ugama Islam yang dianuti. Mereka bergerak bersama-sama menyembah Allah dengan melaksanakan kewajiban sebagai khalifah Allah yang memakmurkan muka bumi ini dengan kesejahteraan Islam.

Bagi memastikan hakikat perpecahan manusia akibat keengganan menerima Islam sebagai ugama yang satu itu tidak pula membawa perpecahan yang lebih teruk, Islam menerima kekufuran manusia sebagai satu hak dan kebebasan untuk memilih. Manusia di dunia berhak memilih ugamanya dan tiada paksaan di dalam berugama. Pilih saja, Islam atau kufur.

Justeru keamanan manusia adalah dijamin oleh Islam walaupun mereka kufur kepada-Nya. Umat Islam dilarang sama sekali memerangi manusia kerana ugama mereka yang berbeza. Malah Islam melalui syariat dan pengajarannya menganjurkan kehidupan yang aman, harmoni dan saling bekerjasama di antara umat manusia tanpa mengira ugama, bangsa, bahasa atau apa sekali pun.

Ia juga satu hikmat besar agar dakwah Islamiyah yang membawa misi bahtera penyelamat untuk umat manusia dapat bergerak lebih lancar, mesra dan terbuka. Kebencian dan permusuhan adalah ibarat dinding yang menyekat cahaya Islam daripada memancarkan sinarnya ke dalam hati manusia.

Adalah jelas bahawa umat Islam tiada sebab untuk berpecah belah. Islam itu sendiri datang untuk menyatukan. Ia malah menyatukan manusia dengan slogan satu keturunan (nabi Adam) walaupun berbeza ugama. Maka bagaimana Islam pula yang dijadikan faktor perpecahan di antara penganutnya sendiri? Ia mustahil berlaku kalaulah tidak kerana perangai manusia sendiri yang tidak mensyukuri nikmat Islam.

Tetapi hakikat yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam adalah perpecahan sesama umat. Umat nabi Muhamamd sebagaimana dipenuhi sejarah kesatuan dan kejayaan, ia juga tetap diwarnai dengan titik-titik perpecahan dan kegagalan sebagaimana yang terjadi hari ini. Justeru seruan kepada kesatuan umat Islam adalah menjadi topik paling utama pada sepanjang sejarah umat Islam.

Adalah suatu yang tidak diredhai Allah untuk terus mengekalkan sebab-sebab perpecahan. Ia haruslah dirungkai buang dan ia pastinya adalah satu usaha yang diberkati Allah. Ia bukan calang-calang untuk memadamkan perpecahan. Ia kesukaran yang dipenuhi ranjau untuk mengatasinya.

Selain gerakan terancang oleh musuh-musuh Islam untuk melemahkan Islam dengan mengapi-apikan permusuhan sesama sendiri, umat Islam sendiri terlalu naif untuk memahami kewajiban membina kesatuan umat. Di atas sebab-sebab yang terlalu kecil dan tidak munasabah, mereka sanggup berbalahan sesama mereka, bahkan sampai menganggapnya sebagai satu kerja ugama yang harus dilaksanakan.

Cuba perhatikan bagaimana perpecahan sesama umat Islam berlaku di dalam empat medan utama:

Pertama, mereka bersatu di atas asas akidah tauhid dan tuntutannya, tetapi berbalah besar di dalam perkara cabangannya.

Kedua, mereka bersatu di atas asas hukum-hakam syariat, tetapi berbalah besar di dalam perkara cabangannya.

Ketiga, mereka bersatu di atas kewajiban berdakwah, tetapi berbalah di dalam cara dan wasilah dakwah.

Keempat, mereka menerima kewajiban melantik imam atau ketua bagi menjaga urusan umat, tetapi mereka berbalah besar di dalam soal politik, pemerintahan dan kenegaraan.

Ertinya mereka sudah pun memiliki sebab-sebab kesatuan iaitu asas tauhid, asas bersyariah, asas dakwah dan asas kenegaraan. Tetapi mereka memilih untuk hidup berbalahan di atas faktor-faktor yang remeh yang mudah sahaja dileraikan jika mereka benar-benar insaf dengan kewajiban kesatuan umat.

Akibat lalainya umat daripada menumpukan perhatian kepada soal kewajiban kesatuan umat dan haramnya mengekalkan sebab-sebab perpecahan yang tidak syarie, maka ia menjadi lubang-lubang yang sedia terbuka untuk memudahkan musuh-musuh Islam menyusup masuk ke dalam benteng umat, seterusnya menaburkan racun-racun permusuhan sesama sendiri yang tiada kesudahan.

Saya akan terangkan nanti bagaimana PAS membina sikapnya terhadap isu kesatuan umat dan bagaimana PAS berperanan di dalam menggerakkan usaha besarnya di dalam menyatukan umat Islam di atas landasannya yang benar di dalam kerangka mengembalikan kegemilangan umat Islam sebagaimana ia termaktub teguh di dalam janji al Quran dan sejarah lebih seribu tahun umatnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2017

TIKA seorang pengusaha dobi meletakkan label perniagaan dobinya “hanya untuk muslim sahaja”, telah menjadikan negara gegak gempita. Semua respons, dari sebesar-besar hinggalah sekecil-kecil pangkat manusia.

nasrudinPelbagai kata nista dilempar. Kononnya itu adalah satu tindakan yang merosakkan keharmonian masyarakat berbilang kaum, bangsa dan agama. Semuanya jadi emosional tanpa terlebih dahulu merujuk kepada didikan agama dan pedoman ajaran Islam

Mutakhir ini timbul isu wanita muslimah tidak dibenarkan memakai tudung sewaktu bertugas sebagai “frontline staff” dan mendakwa bahawa ia adalah polisi sektor perhotelan antarabangsa.

Malangnya, tiada pembelaan wajar dari orang ramai terhadap wanita muslimah yang ingin mempraktis suruhan agamanya sebagaimana tiada juga kecaman hebat kepada mana-mana pihak hotel yang menafikan hak muslimah memakai tudung untuk menutup aurat sewaktu bertugas.

Bukan sahaja ia memperlihatkan satu sikap double standard tetapi jelas menunjukkan mereka masih tersangkar dalam pengaruh “Islamophobia”  yang sangat ketara meskipun mereka menafikannya.

Saya biasa musafir ke negara-negara bukan Islam dan saya pernah bertemu dengan pekerja hotel yang beragama Islam dan memakai tudung. Tidak pula mereka dilarang atau diambil tindakan kerana mengamalkan ajaran Islam di negara itu.

Kenapa boleh berlaku dalam negara Malaysia yang mana Islam adalah agama Persekutuan? Ummat Islam sendiri tidak bebas untuk mengamalkan ajaran Islam di dalam negara sendiri semata-mata alasan polisi antarabangsa sedang hotel-hotel  tersebut beroperasi dalam negara ini.

Memakai tudung dengan maksud menutup aurat adalah suatu yang bersifat fundamental dan diketahui kewajipannya oleh umum. Ia merupakan perintah agama Islam yang wajib ditaati oleh penganutnya. Lebih penting, tudung bukan menjadi penghalang untuk hasilkan mutu kerja.

Larangan terhadap wanita muslimah memakai tudung sekalipun hanya waktu mereka bertugas adalah suatu tindakan yang boleh dilihat mencabar sensitiviti ummat Islam. Selayaknya galakan dikeluarkan terhadap wanita muslimah agar mereka menutup aurat.

Saya akan mengusahakan satu pertemuan dengan pihak Persatuan Hotel Malaysia dan juga pihak berkenaan bagi menjelaskan perkara ini serta mengembalikan hak beramal dengan ajaran Islam kepada wanita muslimah yang bekerja sekalipun di mana sektor mereka di negara ini.

Sejahtera Bersama Islam

Nasrudin Hassan

22 Safar 1439 / 11 Oktober 2017 – HARAKAHDAILY 11/11/2017

NEGARA kita telah merdeka sejak tahun 1957. Perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sementara muslim adalah majoriti penduduk.

2. Malangnya pelaksanaan syariat Islam masih jauh dari sempurna dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara mahupun dalam kegiatan sosial dan aktiviti kehidupan masyarakat.

3. Bahkan terlalu banyak dasar dan aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam berbanding yang patuh syariah. Akhirnya kita menyaksikan pelbagai kepincangan dalam sistem politik, ekonomi dan iklim sosial negara kita.

4. Kemungkaran politik melahirkan perpecahan dan pertelagahan ummat. Ini adalah ekoran daripada amalan politik Mechavelli yang hanya mementingkan kuasa tanpa mengira hak atau bathil. Sanggup menindas, menipu, menafikan hak bahkan membunuh demi survival kuasa.

5. Kefasadan ekonomi menghasilkan malapetaka yang menghimpit negara dan rakyat sendiri. Ini adalah ekoran daripada amalan ekonomi kapitalis yang hanya mementingkan kekayaan dan kemewahan tanpa mengira halal atau haram. Sanggup lakukan rasuah, menyeleweng dana awam, mengamalkan riba bahkan tergamak memungut cukai dari rakyat miskin.

6. Kemaksiatan sosial membentuk sebuah masyarakat yang rosak moral dan hilang kemurnian budaya. Ini adalah ekoran daripada liberalisasi sosial yang hanya mementingkan kebebasan tanpa mengira syurga atau neraka. Gaya hidup songsang seperti LGBT cuba dipromosikan sebagai hak asasi individu, membudayakan pesta arak yang memabukkan akal, pelacuran kian subur bahkan judi dilesenkan sebagai aktiviti legal dalam negara.

7. Tidak mudah untuk memulihkan tahap kerosakan dan kebinasaan yang sedang dialami oleh negara pada hari ini. Ibarat pesakit yang terlantar di katil hospital, keadaannya kian parah menanti detik kuman merebak ke tangkai jantung.

8. Sekian lama negara dalam situasi begini. Semua orang merungut dan mengeluh. Keluhan itu bukan sekadar kerana minyak naik. Tetapi juga mengeluh kerana kos sara hidup meningkat, indek rasuah tinggi, ummat Islam berpecah, anak muda yang rosak moral, gejala ragut menjadi-jadi, pecah rumah, rogol, dera dan bunuh bukan lagi kes terpencil.

9. Soalnya, sampai bila kita hanya berpada dengan mengeluh? Mengeluh kemudian mengeluh lagi! Kenapa tidak kita bangkit buat perubahan. Sedang peluang untuk membuat perubahan itu ada. Pilihan untuk berubah senantiasa ada. Segalanya kembali kepada kita. Mahu berubah dengan melakukan tindakan yang berani dan luar dari kebiasaan atau terus kekal dalam tekanan perasaan untuk terus berada dalam situasi yang biasa buat selamanya.

Sabda Rasulullah saw:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Barangsiapa di kalangan kamu yang menyaksikan kemungkaran maka hendaklah ia merubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika sekiranya tiada kemampuan maka ubahlah dengan lidahnya dan jika tiada kemampuan juga, maka ubahlah dengan hatinya dan sedemikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Imam Muslim)

10. PAS menawarkan Islam sebagai penyelesaian. Suatu cara hidup yang diwahyukan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Kenapa tidak kita mengambil Islam yang sarat dengan formula penyelesaian sebagai pintu keluar dari situasi yang mencengkam sejak sekian lama.

Firman Allah swt:

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Celupan Allah dan celupan siapa lagi yang lebih baik daripada Allah swt, sedang kita kepadaNya mengabdikan diri. (Al Baqarah: 138)

Jawapan ada dalam sanubari anda. Berfikirlah dengan wajar dan matang lalu buat keputusan dengan bijak.

Sejahtera bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Safar 1439 / 10 November 2017 – HARAKAHDAILY 10/11/2017

SIANG mula melabuhkan tirainya apabila saya mula menerima berita kematian almarhum Ustaz Mat Iraq, seorang tokoh pendidikan dalam PAS malah mempunyai reputasi sebagai pakar fiqh mazahib. Sosok yang alim, merendah diri dan mempunyai ingatan yang kuat. Sebelum mengenali almarhum, saya terlebih dahulu mengenali anakanda beliau Hasan al Banna, semasa menuntut di kampus Universiti Malaya. Hasan al Banna, demonstran tegar di kampus dan kami tinggal di kolej yang sama, Kolej Kediaman Pantai Puri UM yang menghimpunkan demonstran tegar kampus UM.

Hasan al Banna yang berseluar jeans itu mendapat nama tokoh besar pendiri harakah Ikhwanul Muslimin, gerakan dakwah fenomena abad ke-20. Mungkin kerana kecintaan ayahandanya kepada murabi gerakan Islam terkenal itu dan kecintaannya pada tarbiah Ikhwan, kerana beliau semasa muda mendapat tarbiah secara langsung daripada Ikhwanul Muslimin semasa belajar di Iraq.

Ustaz Mat Iraq, begitulah panggilan paling popular terhadap tokoh ulama ini, beliau mendapat pendidikan awal Islam di Pondok Tok Kenali Kubang Kerian selama 13 tahun. Pondok agama yang diasaskan oleh Tuan Guru Haji Yusuf al Kenali yang mencicip ilmu selama 22 tahun di Mekah, dimajukan oleh Tuan Guru Haji Ahmad Bakok, anak Tok Kenali. Almarhum seterusnya belajar di peringkat menengah di Maahad Muhammadi Merbau, Kota Bharu dan pernah dinobat sebagai pelajar terbaik sekolah tersebut. Beliau meremaja dengan watak cintakan ilmu dan pengetahuan, maka tidak pelik jika puluhan tahun selepas zaman persekolahan, figura ini menjadi pakar rujuk ilmu Islam terutama fekah empat mazhab.

Almarhum, dengan reputasi sebagai pelajar pintar dan berbakat akhirnya dipilih belajar ke Universiti Baghdad. PAS menguruskan penghantaran beliau belajar di negara Teluk itu yang akhirnya menjadi tenaga penting kepada perjuangan Islam. Pada tahun 1963, satu rombongan pelajar Malaysia telah dihantar belajar ke Baghdad yang terdiri daripada 10 orang pelajar. PAS telah diberi peluang menghantar pelajar itu dengan ihsan daripada Perdana Menteri Iraq Abdul Salam Ariff yang merupakan seorang aktivis Islam Iraq. Ikhwanul Muslimin Iraq mempunyai hubungan dengan tokoh-tokoh PAS di Malaysia, juga kerajaan Iraq yang turut memberikan bantuan kepada YPTIK  Nilam Puri yang ditubuhkan oleh Kerajaan Kelantan. PAS telah memilih anak-anak muda yang berpotensi dan dilihat mempunyai tendensi untuk menjadi penyambung perjuangan. Mereka alumni sekolah-sekolah agama yang terpilih dari seluruh negara. 10 pelajar itu ialah:

1. Ustaz Hasan Shukri
2. Ustaz Mohamad Daud Iraqi
3. Ustaz Hashim Jasin
4. Ustaz Abdul Rahim Md Zain
5. Ustaz Hasbullah Kasban
6. Ustaz Abdul Ghani Kasa
7. Ustaz Dahlan Muhammad Zain
8. Ustaz Azmi Ahmad
9. Ustaz Isamuddin Haji Ahmad
10. Ustaz Abdul Halim Yahya

Mereka menghadiri kuliah secara formal dan juga program kaderisasi dakwah Ikhwanul Muslimin. Iraq mempunyai ramai tokoh pemikir Ikhwanul Muslimin seperti Sheikh Muhammad Mahmud Sowwaf dan Sheikh Abdul Aziz  al Badri.  Sebahagian daripada pelajar ini akhirnya menjadi aktivis PAS sama ada di peringkat Pusat atau Negeri. Daripada kalangan alumni Iraq ini, yang paling pantas menjadi pemimpin PAS ialah Ustaz Hasan Shukri. Beliau telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat beberapa tahun selepas pulang bermukim ilmu. Antara alumni Baghdad tarbiah Ikhwanul Muslimin yang masih menjadi tokoh besar PAS ialah Ustaz Hashim Jasin, Mursyidul AM PAS.

Pulang daripada bermukim ilmu di Baghdad selama empat tahun, beliau mengajar di Sekolah  Arab Yaakubiah Lundang. Seterusnya menjadi pensyarah di Kampus YPTIK (Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan), sebuah kampus yang melahirkan ramai tokoh-tokoh ilmuan Islam negara ini seperti Dr Fauzi Deraman, Dr Johari Mat, Dr Halim Mat Diah dan lain-lain lagi. Saat ini juga, peneraju utama YPTIK ialah almarhum Ustaz Dato Yahya Othman, sosok tarbiah antara terhebat dalam PAS. Beliau menjadi pensyarah YPTIK sehinggalah tahun 1981.

YPTIK akhirnya menjadi pensyarah Akademi Pengajian Islam Nilam Puri Universiti Malaya, beliau terus berkhidmat di UM sehinggalah tahun 1991. Dengan kemenangan PAS di Kelantan pada tahun 1990, banyak perubahan berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri yang mendukung motto membangun bersama Islam ini. Almarhum dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendidikan Yayasan Islam Kelantan sehinggalah nama beliau dicalonkan sebagai calon PRK Lundang pada tahun 1994. PRK DUN Lundang berlaku setelah kematian Ustaz Mawardi Ahmad, cucu Tok Kenali.

Beliau telah memenangi PRK Lundang dan namanya telah mencuat pantas di arena politik. Dengan gaya serban diikat kemas, tidak lokek berbahagi ilmu dengan masyarakat terutama kuliah-kuliah ilmu, termasuk beliau kerap menggantikan kuliah ilmu Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Medan ilmu Kota Bharu. Ini tidak pelik, kerana beliau juga sering dirujuk dalam perkara ilmu oleh almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz.

Dalam sejarah politik dan pentadbiran juga, almarhum pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Kelantan daripada tahun 1995 sehinggalah tahun 2004. Antara potfolio yang pernah beliau galang ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Kelantan, juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Belia dan Penerangan.

Tokoh ulama yang mempunyai perwatakan sederhana dan zuhud ini sangat menyintai ilmu, beliau pernah menjadi Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ketua Dewan Ulamak PAS Kelantan, Pengerusi ABIM Kelantan, ADUN Lundang, ADUN Demit dan pelbagai tugas serta amanah semasa hayatnya. Figura ini mengalami kemerosotan kesihatan beberapa tahun terutama akibat serangan stroke dan menjelang malam hari ini rohnya berkelana ke alam abadi. Damailah sang murabbi setelah berpenat lelah berjuang dan berdakwah di dunia yang fana ini, moga kerehatan buatmu di dunia 'sana'. - HARAKAHDAILY 9/11/2017

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.